2014-09-12

Kerana Aku Wanita 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua kawan2...ya Allah...lama giler tak update ape2..sori3... tuan badan bz buat keje lain..hhahahahah....korang jgn majuk (Jangan Merajuk Sayang kekdahnya)...so, bg memujuk hati2 korang..sy dh sebulat hati nk post novel terbaharu sy..yeayyyyyyyyyyyyyyyy!!! akhirnya ada citer baru...hahaha...taktaulah terpujuk ke tak hati korang tu..hehe...iols tak pandai pujuk...pujuk le sendiri kalo yg jenis tak makan pujuk tu...muahahaha...iols baik hati arini sebab arini bday iols...hahaha...nak jugek gtau satu dunia..tak malu oiii...
citer ni agak berat..xde jiwang2 cintan cintun sangat...sy mahu cuba yg lebih mencabar...novel ni akan dihantar ke penerbit nnt..tapi akan diubah suai sikit mengikut kesesuaian...harap korang sudi komen apa2 yg patut utk penambahbaikan eksss....plis3...so selamat membaca..doakan sy agar terus diberikan kerajinan utk menaip...opsss...tajuk masih dalam perbincangan...sila berikan pendapat anda juga..hehe..

*pening pale saye sebab hujung tahun ade dua dateline yg perlu dikejar!!doakan saya!!!

Bab 1



Lantai dansa dipenuhi pelanggan yang seperti telah dirasuk. Menari mengikut rentak muzik rancak yang diputar DJ. Lampu neon pelbagai warna terpancar di segenap ruang. Bau asap rokok bikin sesak nafas. Bingit telinga tapi itu pelanggan yang berkunjung dah kebal. Mungkin telinga mereka kalis bunyi. Lelaki perempuan tak ada hadnya di sini. Laga pipi, peluk cium itu perkara biasa.
Sarah turut sama menggoyangkan kepala mengikut rentak lagu Rock Your Body. Malam ni dia tak larat nak ‘menggila’ di lantai tari. Penat. Kerja bertimbun di pejabat. Dia cuma nak hilangkan stres malam ini. Coke diteguk beberapa kali. Melissa sedang melayan entah jantan mana. Pedulilah. Melissa memang suka melayan. Baru kenal pun dah boleh diajak menari bersama.
Babe, you penat sangat ke? Muka tu tak ceria langsung.” Roy paut bahu Sarah. Jemarinya kemudian memicit perlahan bahu Sarah. Terleka sebentar Sarah. Memang ini yang dia perlukan sekarang.
“Kalau you penat, kita balik ajelah,” bisik Roy. Sarah geleng kepala. Dia masih mahu menikmati muzik di sini. Kalau ikutkan penat, dari tadi dia memang tak payah datang. Sejak kenal dengan dunia disko beberapa tahun lalu, dia dah jadi ketagih. Kalau sengkek sangat pun, sebulan sekali mesti wajib datang. Minum segelas air pun dah jadi.
I’m ok. Esok bukannya kerja pun.” Sarah usap manja wajah Roy. Sudah enam tahun mereka kenal. Sarah rasa sangat serasi dengan Roy. Mereka dah macam belangkas. Ke mana-mana mesti nak bersama. Dari zaman belajar sampai sekarang. Hubungan mereka semakin bebas. Biasalah bila jauh dari keluarga. Halal haram dah tak kenal.
“Jangan esok you mengadu sakit sudah.”
“You kan ada.” Sarah senyum menggoda. Jemarinya beralih ke dada bidang Roy.
Guys, you all tak menari ke?” Melissa tercungap-cungap lantas mencapai gelas minumannya. Tubuhnya masih bergoyang-goyang. Ini pun seorang lagi. Tahap ketagihnya lebih teruk dari Sarah. Masa zaman belajar dulu, tiap-tiap minggu nak datang.
“Macam mana nak menari, you dah conquer satu tempat tu.” Melissa mencebik. Kadang-kadang sakit mata juga tengok dua orang makhluk ni. Asyik nak berkepit aje. Tahulah tengah angau bercinta. Tak bosan ke mengadap muka dua puluh empat jam?
“Pakwe kesayangan you mana? Takkan dah tidur kut?” Darren yang dimaksudkan Roy. Biasanya lelaki cina itu ada.
Outstation. Tak payahlah nak risaukan pasal dia tu. Kerja tak reti nak habis.” Pandai membebel juga si Melissa ni. Tapi itulah, sejak akhir-akhir ni si Darren tu asyik sibuk aje. Tiap-tiap minggu outstation. Betul ke ada kerja? Ke cari kerja lain?
“Kau percaya ke dia tu pergi outstation. Entah-entah ke lain,” Sarah menguntum senyum. Sengaja nak buat Melissa sakit hati.
“Suka hati dialah nak pergi mana pun. Aku dah bosan. Kau tahu tak, minggu ni aku langsung tak jumpa dengan dia. Orang lain pun kerja juga.” Geram juga bila difikirkan. Kadang-kadang rasa nak putuskan saja.
“Hmm... kau tu bukan boleh percaya. Sekali si Darren tu mengayat, cair juga. Cuba kau tegas sikit dengan dia tu. Kau jangan bagi muka sangat dekat lelaki ni Mel.” Sempat Sarah menjeling ke arah Roy di sebelah.
“Ehem...” Roy berdehem dan dibalas senyum sumbing oleh Sarah.
“Ah, lantaklah.” Melissa dah malas nak ambil pusing. Kalau si Darren tu ada orang lain sekalipun, dia tak kisah.
“Hai, jom temankan I menari?” seorang lelaki lingkungan 30-an menyapa. Melissa balas dengan senyum manis. Sarah geleng kepala. See... tak susah pun nak pikat minah ni. Apa yang penting, lelaki itu mesti kacak dan poket tebal. Kalau sengkek, memang minah ni tak layan. Mata duitan. Nak hidup katanya.
Sarah tilik jam di pergelangan tangan. Hampir ke pukul satu pagi. Mulut menahan kuap. Melissa masih ligat menari. Mata dah pedih. Mata dah nampak katil dengan bantal. Dah wajib balik ni.
“Dear, jomlah balik. I dah mengantuklah.” Lengan Roy diusap perlahan. Lelaki itu mengangguk. Roy pun nampak penat. Sarah melambai tangan pada Melissa yang kebetulan memandangnya. Melissa angguk. Sarah dan Roy bergandingan keluar dari pusat hiburan yang masih dipenuhi dengan pengunjung. Maklumlah esok hari minggu.
>> 
Siti Sarah membuka matanya perlahan-lahan. Pancaran cahaya matahari yang menyusup masuk melalui tingkap makin buat matanya susah hendak buka. Dia berpaling ke sebelah. Roy masih di alam mimpi. Telefon bimbit di meja sebelah dicapai. Tiga minit sebelum pukul satu tengahari. Memang betul-betul balas dendam ni. Sarah masih belum rasa mahu bangun tapi perut yang berkeroncong memaksa dirinya untuk segera bangun.
Sarah keluar dari bilik air. Rambut yang masih basah dibalut dengan tuala warna biru bercorak abstrak. Sempat dia mengerling Roy yang masih berbalut. Selagi tak dikejutkan, selagi itulah lelaki kesayangannya itu tak akan bangun. Baju t-shirt warna merah jambu tanpa lengan disarung ke tubuh dan dipadankan dengan seluar pendek separas paha. Duduk rumah aje pun. Tak perlu nak cantik sangat. Asalkan selesa.
Sarah melangkah ke dapur, mencari sesuatu yang boleh dijadikan sarapan. Sepatutnya waktu begini dah patut makan tengahari. Sebiji epal merah dicapai. Dia beredar ke ruang tamu. Alat kawalan televisyen dicapai. Macam nilah kalau hari minggu. Kadang-kadang boleh terlajak tidur sampai petang. Mana taknya, kalau malam berjaga. Nasib baik duduk kat bandar. Kalau kat kampung, sah-sah bergegar gegendang telinga kena leter. Lagipun, jiran-jiran kat sini bukannya ambil kisah pun. Kiri kanan bukan Islam. Cara hidup pun lebih kurang sama dengan mereka.
Kenapa Roy ada di sini? Dah setahun mereka berdua hidup bersama. Kahwin? Belum masanya lagi kut. Lagipun mereka dah selesa hidup macam ni. Bukannya ada orang tahu pun. Mak ayah kat kampung bukannya tahu apa yang berlaku kat sini. Kalau mereka datang melawat pun mesti Sarah bawa mereka menginap di hotel. Alasannya, takkan ayah yang berpangkat Haji tu nak duduk serumah dengan anak dara lain. Padahal, tak nak tembelangnya pecah.
Dia dah Roy pun dah macam suami isteri. Nasib baik dia tak pernah mengandung. Si Melissa tu dah dua kali gugurkan kandungan. Pandai-pandailah kan nak hidup. Benda tu semua dah jadi perkara biasa dah sekarang ni. Yang bertudung pun jangan disangka baik sangat. Ada yang lebih teruk. Bukan mereka tak nak kahwin tapi masih belum sedia nak pikul tanggungjawab tu. Bukan senang nak hidup dengan keluarga baru. Itu belum ditambah dengan pening kepala nak fikirkan persediaan majlis kahwin. Lagipun nak buat apa kahwin kalau hidup macam ni pun dah dapat merasa semuanya?
Sarah bermain-main dengan rambutnya yang sudah hilang warna hitam asli. Dah berkarat habis. Macam mana kalau balik kampung? Pandai-pandailah beb. Kat kedai tu berlambak produk. Apa susah, hitamkan balik. Lagipun, balik kampung dia pakai tudung. Memang di mata ayah dan emak, dia seorang anak yang baik, sopan, dan masih ada pegangan agama. Padahal, belakang mak ayah perangai macam hantu. Nasib baik tak pernah kantoi dengan orang-orang kampung.
Di kampung, tudung dengan baju sopan-sopan memang wajib. Tapi bila dah balik ke sini, jangan harap. Pakaiannya semua jenis yang tak cukup kain. Tak pun yang melekat habis kat badan. Fesyen katanya. Takkanlah orang cantik macam dia nak pakai selekeh-selekeh. Jatuhlah air muka. Mula-mula tu memanglah kekok tapi bila dah dua tiga kali pakai dan ramai yang puji, apa lagi. Makin menjadi-jadilah. Bukan dia tak perasan ada mata-mata yang sakit tengok pakaiannya. Ah, lantaklah. Bukannya dia beli pakaian tu semua guna duit mereka.
Morning, sayang.” Roy dengan selamba cium pipi Sarah. Itu memang satu perkara yang wajib setiap pagi. Lebih dari tu pun boleh. Tak siapa yang kisah.
Morning? Dah petanglah sayang. Senang pula you bangun hari ni? Dah puas bermimpi ke?” Sarah pandang wajah Roy yang berserabai. Mata bengkak, rambut berserabut. Roy sambung baring di sofa.
“Macam mana I nak tidur lena. You tak ada kat sebelah nak peluk.” Sarah mencebik. Yalah tu.
Dear, pergilah mandi. I laparlah. Macam dah terbayang-bayang nasi beriani kambing. Cepatlah....” rengek Sarah. Tangannya menggoyang-goyang tubuh Roy yang tidak berbaju. Hanya berseluar pendek.
“Nak kiss dulu.” Roy muncungkan bibir. Sarah menjentik bibir muncung itu geram. Orang dah lapar macam nak pengsan, dia nak main-main lagi.
“Cepatlah! Tak selera I nak kiss. Gigi pun tak gosok.” Roy sengih macam kerang busuk. Malas-malas dia bangun. Kalau tak, makin panjang mak cik ni membebel. Lagipun, perut dia pun dah memang lapar.
“Sayang, tolong mandikan.” Sarah jegilkan mata. Masih nak main-main. Ada juga yang kena sumbat dengan epal ni nanti.
No! You pergi mandi cepat. Kalau tak I merajuk sebulan.” Tegas. Roy memang agak takut kalau dia dah mula mengugut. Sebabnya, dia dah pernah buat. Tapi tak adalah sampai sebulan. Bertahan sampai dua minggu aje. Sampai botak kepala si Roy cuba memujuk. Macam-macam lelaki itu buat. Tak sampai hati pula bila lama-lama. Nanti, kalau Roy betul-betul mengalah, dia juga yang gigit jari. Berpisah dengan Roy, oh tak boleh. Dah sayang sangat dekat lelaki tu. Tengok ajelah sekarang, sampai sanggup beri segalanya.
Bukan Sarah tak pernah fikir soal halal haram. Tipulah kalau dia kata dia tak pernah rasa bersalah hidup macam ni. Tipu mak ayah yang percaya seratus peratus padanya. Tapi rasa bersalah tu sekejap aje. Bila rasa seronok, dia lupa semua tu. Lebih-lebih lagi bila dapat belaian dan disayang oleh Roy. Hanyut.
Telefon bimbit yang bernyanyi-nyanyi dicapai. Sarah tepuk dahi bila lihat siapa yang menelefon. Habislah kalau orang di sana tahu yang dia baru bangun.
“Assalamualaikum...” cuba bertenang sebaik mungkin. Bukannya tak biasa berlakon. Hari-hari pun dia berlakon.
“Waalaikumussalam. Kamu ke mana Sarah? Mak telefon kamu banyak kali tadi. Risau dibuatnya.” Pening sungguh dengan anak bongsunya ini. Dahlah satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Rasanya bela sekandang lembu lagi senang daripada bela anak perempuan seorang. Tambah-tambah bila anaknya tak ada depan mata.
“Err... Ada mak. Sarah basuh kain tadi. Baru siap ni. Kemas rumah lagi. Masak lagi. Mak sihat ke?” Bukan main kalau bab reka cerita. Kalau boleh dia nak cakap dia siap solat Dhuha lagi. Tapi melampaulah pula bunyinya.
“Hmmm...tak apalah kalau macam tu. Mak ingatkan Sarah tak bangun tidur lagi. Mak sihat. Ayah kau tu aje yang batuk-batuk. Cuaca tak menentu kat sini. Sarah sihat?” Suara Mak Jah sudah sedikit mengendur. Lega sikit hatinya bila dengar suara anak manjanya.
“Teruk ke mak? Habis tu dah pergi klinik ke belum?” Memang cuaca sekarang tak menentu. Sekejap panas sekejap hujan. Orang muda pun tak tahan apatah lagi orang tua.
“Tak adalah teruk sangat. Kamu bukan tak tahu ayah kamu tu. Bukannya dia nak pergi klinik. Degil. Dia beli aje ubat batuk kat kedai Pak Wan. Esok-esok eloklah tu. Dah lama Sarah tak balik kampung. Mak nak pergi sana kamu tak bagi.” Sayu suaranya. Rindu betul dengan anaknya. Dahlah hanya ada dua orang anak. Dua-dua duduk jauh.
“Errr...bukan tak nak balik mak. Banyak kerja kat sini. Hari cuti pun kadang-kadang kena pergi kerja juga. Nantilah Sarah tengok jadual kerja Sarah. Inshaa Allah, kalau sempat Sarah balik ya mak.” Memang betul pun. Dah lama sangat dia tak balik kampung jenguk mak ayah. Dah dekat tiga bulan. Padahal bukannya jauh sangat pun. Empat jam memandu dah boleh sampai.
“Mak bukan apa. Rindu dengan Sarah. Abang kamu tu pun dah lama tak balik sejak naik pangkat ni. Lagipun dia tu dah berkeluarga. Mak fahamlah. Kamu tu bujang lagi. Tak terikat.” Memang dia bujang tapi bujang yang dah punya ‘suami’. Sarah garu kepala. Apa lagi dia nak bagi alasan ni.
“Inshaa Allah, mak. Sarah pun rindu sangat dekat mak. Tapi tulah, kerja asyik bertimbun aje. Nanti bila kerja Sarah dah siap, Sarah balik mak ya.” Itu ajelah yang dia boleh buat sekarang ini. Berjanji dan terus berjanji. Bulan lepas pun dia janji benda yang sama juga. Tapi tak juga muncul-muncul kat kampung tu.
“Sayang, baju I...” Sarah segera berpaling ke arah Roy dan menunjukkan isyarat senyap. Mampus kalau mak dengar. Dahlah suara Roy kuat.
“Siapa tu Sarah? Macam suara lelaki aje mak dengar. Kau kat mana ni?” Curiga.
“Eh, mana ada mak. Si Melissa tu. Dia pun sakit tekak. Tu yang suara garau semacam aje tu. Mak, si Melissa tu dah bising ajak makan. Nantilah Sarah telefon mak lagi ya. Kirim salam kat ayah ya mak. Assalamualaikum.” Cepat-cepat talian diputuskan setelah mendengar jawapan salam dari emaknya. Bikin kacau saja si Roy ni. Tak pasal-pasal bertambah dosa menipunya.
“Siapa?” soal Roy. Dia sudah siap berpakaian.
“Mak. Dia tanya bila I nak balik. I nak bersiap sekejap.” Sarah segera masuk ke dalam bilik. Rajin pula si Roy ni kemaskan katil. Baguslah. Kurang sikit kerjanya. Baju t-shirt dicapai dan dipadankan dengan jeans ketat. Ringkas dan selesa. Rambut separas bahu dibiar lepas. Wajah disolek nipis. Orang cantik tak perlu bersolek tebal-tebal. Perasan tak?

p/s: maaf di atas segala kekurangan...salah bahasa ke apa...nnt korang komen la eks...tq3
 byeeeeeeeee!!!!

No comments:

Post a Comment