assalamualaikum dan salam sejahtera...sudi2 la baca sambungan cinta tiga segi antara Ika, Faiz, & Hilmi ni ok!! sy post 2 bab sekali..hehe..harap korang enjoy....segala komenan anda sgt sy hargai...weeeeeeeee....
Muaahhhhsssss |
Bab 50
Sejam berlalu namun kelibat orang yang dinanti masih
belum kelihatan. Faiz mula gelisah. Hampir ke pukul tujuh petang. Panggilan
yang dibuat sejak malam tadi langsung tak dijawab. Itu yang menyebabkan dia
buat keputusan untuk datang ke sini. Tapi orang yang ditunggu masih juga belum
muncul. Kereta Ika pun tak kelihatan di tempat meletak kenderaan. Takkan masih
bekerja waktu macam ni? Dia tak sedap hati.
Sesekali dia menilik jam, sesekali dilihat cuba
menghubungi tunangannya. Penat makin terasa. Habis sahaja kerja tadi, dia terus
memandu ke sini. Hampir ke pukul lapan. Dia sudah tak boleh tunggu. Maghrib
makin berlalu. Enjin kereta dihidupkan. Hatinya sebal. Kenapa Ika berubah
sikap? Apa salahnya?
Ada sebuah kereta yang dipandu perlahan masuk ke petak
letak kenderaan. Faiz kenal kereta itu. Enjin dimatikan semula. Hati yang agak
panas cuba disabarkan. Pintu kereta dibuka dan kaki diatur menuju ke arah
kereta tadi. Dia berdiri betul-betul di sebelah pintu pemandu.
Ika memandang ke sebelah apabila dirasakan ada orang di
situ. Matanya tak berkelip. Dia tak salah pandangkan? Kenapa Faiz ada di sini?
Dia masih belum bersedia untuk berjumpa dengan lelaki itu. Apa alasan yang
perlu dia beri? Mahu tak mahu pintu terpaksa juga dibuka. Dia berlagak setenang
mungkin.
“Faiz. Kenapa tiba-tiba datang sini?” Faiz tak segera
menjawab. Dia hanya melihat tingkah tunangnya. Ika mengeluarkan begnya dari
tempat duduk belakang. Ada ketakutan dirasakan bila Faiz hanya diam.
“Saya pergi solat dulu. Lepas tu, saya tunggu awak di
sini.” Ika tak sempat nak berkata apa-apa. Arahan Faiz terpaksa diterima.
Debaran di hatinya makin kuat. Faiz nampak sangat serius. Tiada senyuman
seperti selalu. Dia yakin pasti Faiz mahukan penjelasan daripadanya.
Beg dijinjing masuk ke dalam rumah. Kepalanya tak lepas
daripada memikirkan alasan-alasan yang munasabah. Perlukah dia berbohong lagi?
Adakah perlu berterus-terang saja? Ika tak senang duduk. Dia meraup mukanya.
Kenapa dia jadi begini? Jauh berbeza dengan dirinya yang sebenar. Cinta dah
buat dia jadi begini. Kejamkah dia? Apa pun yang terjadi, dia terpaksa berdepan
dengan realiti ini. Dia yang mencipta masalah dan hanya dia yang boleh
menyelesaikannya.
Ika mengatur langkah mendekati Faiz yang sudah menunggu.
Lelaki itu membelakanginya. Kedua-dua belah tangannya digenggam kemas. Dia
berdiri betul-betul di belakang lelaki itu. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia
sudah bersedia untuk tanggung semuanya.
“Tak elok kita cakap di sini. Saya tak nak pelajar saya
nampak.” Faiz berpaling ke arah Ika yang kelihatan agak tak bermaya. Dia mengangguk,
bersetuju.
Faiz memandu tenang tanpa ada perbualan di antara
mereka. Melihatkan wajah tanpa senyuman Faiz, Ika takut hendak menegur.
Sudahnya dia lebih rela memandang lampu-lampu berwarna-warni di luar sana.
Hukuman yang pertama. Terima sajalah. Siapa suruh pandai-pandai buat perangai.
Ika mengambil duduk di hadapan Faiz. Minuman dipesan.
Buat beberapa ketika, mereka masih lagi diam sehingga minuman yang dipesan
sampai. Sesekali Ika menjeling ke arah Faiz yang masih lagi kelihatan serius.
Seksa rasanya. Mahu saja dia mengarahkan lelaki itu supaya bercakap.
“Abang minta maaf.” Ika tak jadi nak menghirup
minumannya. Cawan diletakkan semula ke tempatnya. Kenapa Faiz yang perlu minta
maaf? Lelaki itu tak salah apa-apa.
“Awak tak buat salah pun. Tak perlu minta maaf. Saya
yang sepatutnya minta maaf.” Memang sepatutnya. Membiarkan lelaki itu dengan
tanda tanya dan tanpa khabar berita. Walaupun dia punya alasan sendiri tapi itu
tetap salahnya. Kalau dia berada di tempat Faiz sekalipun, pasti dia akan rasa
marah.
“Ika buat abang rasa bersalah.” Ika terkedu. Memang
sepatutnya Faiz rasa begitu. Ika memandang tepat ke arah tunangya yang hanya
tertunduk. Rasa bersalahnya menggunung. Dirasakan diri langsung tidak layak
untuk berada di samping lelaki sebaik ini. Andai dapat diputar waktu.
“Maafkan saya. Saya tak ada niat nak buat awak rasa
begitu. saya cuma perlukan waktu untuk bersendiri.”
“Abang tahu mungkin keadaan keluarga abang buat Ika tak
selesa. Tapi abang nak Ika yakin dengan abang yang abang tak akan ulang apa
yang papa abang dah buat.” Keluarganya memang tak sempurna seperti orang lain.
Dia juga tahu Ika akan meraguinya. Pasti sedikit sebanyak ada juga gusar di
hati wanita itu. Bimbang jika dia tak dapat membahagiakan dirinya kelak.
“Faiz, saya tak ada masalah dengan keluarga awak. Saya
beruntung dapat kenal dengan keluarga awak. Mereka baik sangat. Cuma saya
sendiri yang tak yakin dengan diri saya sendiri.” Faiz angkat muka. Dia tak
faham maksud kata-kata Ika.
“Saya tak yakin yang saya mampu untuk jadi yang terbaik
buat awak. Awak terlalu baik dengan saya sedangkan saya selalu buat awak rasa
jauh hati. Selalu mengabaikan awak, selalu mendahulukan perkara lain daripada
awak. Saya tak yakin…” Ika tak menghabiskan ayatnya. Dia tak dapat cakap.
“Kenapa Ika tak yakin? Atau Ika tak yakin yang Ika
cintakan abang?” Faiz tak mahu sebut perkara itu tapi dia rasa dia perlu tahu.
Mana tahu selama hanya dia saja yang beria-ia mencintai wanita itu sepenuh hati
sedangkan wanita itu tidak begitu. Dia mahu Ika menidakkan perkara itu tapi dia
tak nampak hati Ika yang tersembunyi di dalam.
“Faiz…” Ika serba salah. Memang itu yang sebenarnya. Dia
tak yakin yang dia cintakan Faiz. Dia tahu dia tak sepatutnya rasa begitu
setelah ikatan yang terbina antara mereka, tapi dia tak dapat tipu diri
sendiri.
“Terus-terang saja Ika. Abang tak nak semua ini jadi
beban kepada Ika.” Berat untuk dia terima kenyataan jika andaiannya betul.
Cintanya terhadap Ika tulus. Bukan hanya sekarang malah sejak dulu.
Ika hanya diam.
Dia tak dapat jawab soalan itu. Dia tak mampu. Tak sampai hati nak lihat
kekecewaan di wajah Faiz yang terlalu mengharap dan mencintainya. Bukan dia tak
cuba untuk menerima lelaki itu tapi dia tak dapat paksa diri lagi bila cintanya
sudah diberikan kepada orang lain. Orang yang mempunyai pertalian darah yang
cukup kuat dengan Faiz. Lelaki itu tak akan dapat terima.
“Perkara ini ada kaitan dengan Hilmi?” Serkap Faiz.
Walaupun baru sekali mendengar nama itu tapi dia ingatannya masih kuat. Masakan
boleh lupa. Adik beradik sendiri!
Ika tersentak. Kenapa Faiz mengaitkan nama lelaki itu
secara tiba-tiba? Adakah lelaki ini mula mengesyaki sesuatu?
“Hilmi? Siapa ya?” Masih mahu berpura-pura. Minuman coklat
yang tadinya panas dihirup perlahan. Cuba untuk mengurangkan getar di dada.
“Betul Ika tak kenal dia? Habis tu kenapa Ika terkejut
masa jumpa dia beberapa hari lepas? Kalau tak salah abang, dia pun ada sebut
nama Ika.” Jelas Ika mahu menyembunyikan sesuatu. Dia dapat lihat dengan jelas
reaksi Ika sewaktu mata mereka bertentang tempoh hari. Ika kelihatan kaget.
Hilmi jelas terkejut.
“Oh, yang itu. Kawan saja. Tak ada kaitan.” Tak tahu
kenapa begitu mudah untuk dia menyatakan kepalsuan. Dia benci tapi dalam tak
sedar sudah banyak yang dia buat.
“Betul? Atau ada sesuatu yang abang tak tahu?” Ika
terjerat. Adakah sekali lagi dia akan menyatakan pembohongan? Faiz menanti
jawapan.
“Kawan sekolah menengah. Saya tak rapat pun dengan dia
dulu.” Mahu menutup kes itu. Rasanya itu adalah kebenaran.
“Sekarang?” Ika terkesima. Soalan Faiz betul-betul
menjeratnya. Ingatkan sudah boleh tutup fail. Lupa yang dia berhadapan dengan
pelajar pintar. Bukan calang-calang orang.
“Dah lewat ni. Saya nak balik. Saya letih. Tolong hantar
saya balik.” Soalan Faiz dibiar tanpa jawapan. Badannya memang betul-betul
letih. Soalan-soalan Faiz buat dia otaknya bertambah letih.
“Tidak selagi Ika tak jawab soalan abang.” Dia mahu tahu
sekarang. Ika lemas. Dia memegang kepalanya yang kembali berdenyut.
“Dia dah kahwin. Tak ada sebab untuk saya ada hubungan
dengan dia.” Tahap kesabarannya sedikit tercabar.
“Tapi isterinya dah meninggal kan?” Itu maklumat yang
dia terima daripada mamanya. Walaupun tak berniat untuk mendengar, mamanya
tetap juga bercerita.
Mata Ika tak berkelip. Dia telan liur.
“Dia abang saya.” Kenyataan yang sebolehnya dia tak mahu
tahu. Kepalanya tambah berdenyut. Betul-betul sakit. Berpinar matanya.
“Tolong hantar saya balik. Kepala saya sakit.” Dirasakan
mahu rebah di situ juga. Mukanya berubah pucat.
“Ika tak apa-apa?” Faiz cuak. Rasanya Ika tak main-main.
Berkerut wajah itu menahan sakit.
Ika gagahkan diri untuk bangun. Dia tak mahu lebih lama
di situ. Sakit yang dirasakan saat ini masih boleh ditanggung berbanding dengan
sakitnya menjawab soalan-soalan menjerat yang dilontarkan oleh Faiz. Dia tak
sanggup nak berbohong lebih banyak. Dosa yang sedia ada sudah tak tertanggung.
Terselit rasa bersalah di hati Faiz. Mungkin tak
sepatutnya dia terlalu mendesak wanita itu. Ika seakan bermain teka-teki. Dia
tak suka membiarkan teka-teki itu terbiar lama tanpa jawapan.
‘Maafkan abang, Ika.’
Bab 51
Jiwanya kacau. Tumpuan tidak seratus peratus pada
pemanduan. Soalan-soalan yang tidak dijawab oleh Ika membuatkan dia lebih
cenderung untuk membuat telahan sendiri. Dia dapat rasa yang Hilmi bukan sekadar
kawan biasa. Tak hairanlah jika perangai Ika sudah berubah sejak akhir-akhir
ini. Dadanya sesak. Dia cinta Ika sungguh-sungguh. Kenapa wanita itu permainkan
perasaannya?
Apa kelebihan Hilmi yang tiada pada dirinya? Pelajaran?
Kerja? Itu semua dia juga ada. Harta? Dia tak fikir Ika wanita yang begitu.
Tapi manusia boleh berubah sekelip mata bila sentiasa dihidangkan dengan
kemewahan. Tapi hatinya tetap menolak kemungkinan itu. Rupa paras? Dia akui
Hilmi punya rupa paras yang mampu menarik ramai wanita. Takkan Hilmi tertarik
kepada Ika?
Dia betul-betul tak senang duduk. Untuk melepaskan Ika,
itu tak mungkin. Ika yang pertama dan biarlah wanita itu juga jadi yang
terakhir. Dia tak mampu mencintai wanita lain selepas Ika. Dia sungguh-sungguh
mahukan Ika. Kenapa Ika seakan tak mengerti?
Faiz meraup mukanya. Tiba-tiba satu cahaya terang
memancar ke matanya menyebabkan dia hilang kawalan. Brek ditekan kuat
menyebabkan keretanya berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Kepalanya
terhantuk stereng. Kuat dan menyebabkan pandangannya kabur. Kepalanya terasa bingung.
Dia hanya dengar suara orang ramai yang mengerumuni keretanya. Beberapa minit
kemudian, suara itu makin menghilang dia sudah tak ingat apa-apa.
>>
Ika menangis semahunya. Apa yang sudah dia lakukan? Kebahagiaan
yang dicari tapi kedukaan pula yang bertandang. Kenapa payah benar dia nak rasa
bahagia? Takkan wanita yang tidak cantik sepertinya tak layak rasa bahagia? Tak
layak dicintai dan tak layak mencintai lelaki yang dipuja? Kenapa mesti dia
yang perlu lalui semuanya? Dirinya tak kuat.
Faiz sedang menyeksa jiwanya. Cinta Faiz menjerat
dirinya. Dia sedang menerima hukuman kerana cintanya kepada Hilmi. Naik gila
dia memikirkan semuanya. Ingatkan waktu bercinta semuanya indah.
Ika meraup muka. Mengesat air mata yang membasahi pipi.
Tuala dicapai. Segera kaki diatur ke bilik air. Pancuran air dibuka, menyiram
tubuhnya yang tak bermaya. Lama dia di situ. Senangnya jika segala masalah yang
membelenggu diri dapat dibawa pergi bersama titisan-titisan air ini. Pasti
selepas mandi nanti dia sudah lupa apa yang berlaku sebelumnya. Dan yang paling
penting, dia kembali jadi orang yang bahagia.
Baru sahaja melangkah keluar dari bilik air, telinganya
telah disapa oleh deringan telefon. Ika mengeluh. Nampaknya, titisan air tadi
tak membawa pergi sekali masalahnya. Apa lagi yang Faiz mahukan? Telefon bimbit
dicapai. Nama pemanggil yang tertera dibaca. Bukan Faiz. Panggilan segera
dijawab.
“Hello.” Tiada sahutan. Cuma ada tangisan yang didengar.
Ika jadi kaget. Kenapa Puan Sofia menangis?
>>
Pedal minyak ditekan kuat. Walaupun meter sudah
menunjukkan ke angka seratus dua puluh, dirasakan kereta bergerak sangat
perlahan. Keadaan jalan raya agak sibuk. Mahu tak mahu pemanduannya terpaksa
diperlahankan. Hatinya gelisah. Macam-macam yang difikirkan. Tangisan Puan
Sofia terngiang-ngiang di telinganya.
“Faiz accident.”
Itu sahaja yang dia dapat dengar. Suara Puan Sofia tenggelam timbul dek
tangisannya. Dan dia juga tak perlukan ayat lain lagi. Terduduk dia
mendengarnya. Serta-merta baju disarungkan. Rambut yang masih basah tak
dihiraukan. Tudung dan baju yang berlainan warna juga sudah tidak menjadi hal
yang besar.
Kereta membelok ke perkarangan hospital. Keadaan di situ
juga agak sesak. Dia tak nampak mana-mana petak kosong. Ika merengus kasar.
Bila nak cepat, banyak pula halangannya. Setelah hampir lima belas minit baru
dia dapat memarkirkan keretanya. Langkah diatur laju. Bunyi siren ambulans
membingitkan telinga.
Dia terus menghala ke unit kecemasan. Melilau matanya
mencari Puan Sofia. Tak ada. Dadanya sejak tadi tak henti berdegup kencang. Nafasnya
turun naik dek kerana keletihan. Mana dia nak cari? Dia menggagau telefon
bimbit di dalam poket. Tiada! Ika mengeluh lagi.
“Boleh saya tahu, di mana mangsa kemalangan yang namanya
Faiz?” Seorang jururawat yang kebetulan baru keluar dari wad kecemasan terus
dihampiri dan disoal. Dia terdesak.
“Maaf cik. Cik boleh tanya di kaunter.” Ika mengangguk.
Dengan kadar segera dia berlari ke kaunter pertanyaan. Soalan yang sama
diajukan.
“Terima kasih.” Matanya ligat membaca setiap papan tanda
yang ada. Mencari-cari bilik yang dinyatakan oleh jururawat tadi.
“Aduh. Mintak maaf.” Itulah jadinya bila mata asyik
memandang ke atas. Dia sudah sampai ke hujung hospital. Tak jumpa. Dia berpatah
balik. Nafas ditarik. Cuba untuk sedikit bertenang.
“Ika!” Segera kakinya berhenti melangkah. Memang ini
yang dia perlukan. Pantas matanya menangkap wajah lesu Puan Sofia. Ika menghela
nafas lega. Dia berlari mendapatkan Puan Sofia.
“Macam mana Faiz?” Tiada salam. Soalan terus dituju. Dia
dapat lihat mata Puan Sofia yang bengkak. Ini yang dia tak suka. Harap-harap
telahan negatifnya tak berlaku.
“Dia ada kat dalam.” Tak perlu buang masa. Hatinya tak
senang selagi tak dapat lihat sendiri. Pintu bilik ditolak. Faiz terbaring
lemah di katil. Kepalanya berbalut. Ada kesan darah. Kakinya juga berbalut. Ika
atur langkah perlahan menghampiri tunangnya. Sebak hatinya. Baru sekejap tadi
dia lihat Faiz dalam keadaan sihat walafiat.
“Apa doktor cakap?” Air matanya bergenang. Entah kenapa
hatinya diserbu rasa bersalah yang teramat. Dia tahu kenapa Faiz jadi begini.
Mesti lelaki ini terlalu memikirkan masalah mereka. Memang dia yang bersalah.
“Keadaan Faiz stabil. Cuma buat masa sekarang, dia perlu
rehat. Kepalanya cedera sebab terhantuk kuat pada stereng. Nasib baik tak ada
yang patah.” Puan Sofia memegang tangan anaknya. Kasihan Faiz.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” Dia simpati. Kerana
perbuatannya, Faiz jadi mangsa. Dia tak minta semua ini. Harap Faiz cepat
sedar.
“Mak cik pun tak tahu. Pihak polis yang telefon bagitahu
yang Faiz kemalangan.” Hanya Faiz yang tahu kenapa dan rasanya dia juga tahu.
Kepalanya kembali berdenyut. Apa yang dia dah lakukan? Nasib baik Faiz hanya
cedera ringan. Jika sebaliknya? Dia tak mungkin maafkan dirinya.
Ika duduk mengadap tunangnya yang masih belum sedar.
Melihat wajah Faiz, dia dapat lihat cinta lelaki itu. Cinta yang tulus buat
dirinya. Kejamnya dirinya. Hatinya dah tertutup dengan cinta Hilmi yang entah
kesampaian atau tidak. Kebahagiaan yang ada di depan mata sanggup ditolak ke
tepi demi cinta gilanya terhadap Hilmi. Memang patut dia diduga begini.
Cincin yang tersarung di jarinya dipandang. Setitis air
mata gugur. Dalam diam dia dah khianati cinta Faiz. Dia sudah permainkan perasaan
lelaki itu. Kenapa dia jadi begitu? Ini bukan dirinya. Bukan.
“Ika, kalau penat Ika baliklah dulu. Esok kerja kan? Mak
cik boleh jaga Faiz.” Air mata diseka. Sebolehnya dia mahu tunggu hingga Faiz
sedar. Tapi harus dia akui memang dia sangat penat.
“Saya tak sampai hati nak tinggalkan Faiz.” Sungguh dia
berat hati. Puan Sofia memegang bahunya. Mengusap mesra belakangnya.
“Jangan risau. Mak cik ada. Ika baliklah. Kalau ada
masa, esok Ika boleh datang lagi. Mungkin masa tu Faiz dah sedar.” Ika mengangguk
payah. Perlahan-lahan dia bangun. Tangan wanita itu disalami. Dia memandang
Faiz sebelum melangkah keluar.
‘Maafkan Ika. Ika tak ada niat nak buat Faiz jadi macam
ni.’ Ika segera melangkah keluar bila air matanya hampir menitis. Makin lama
dia di situ, makin berat hatinya.
Kereta dipandu tenang. Lega sedikit hatinya bila tahu
keadaan Faiz. Tapi rasa bersalah masih kuat membelenggu dirinya. Semua ini tak
akan berlaku jika dia ikhlas menerima cinta lelaki itu. Semuanya tak akan
berlaku jika dia tak berhubungan dengan Hilmi. Semuanya akan jadi baik jika dia
setia.
‘Siapa kau nak tolak ketentuan Tuhan?’ Dia manusia
biasa. Kadang-kadang tak dapat menggunakan akal waras dengan sebaiknya. Pasti
akan ada silap salahnya.
‘Belajarlah untuk setia. Faiz memang pilihan terbaik
buat kau.’ Dia memang seorang yang setia. Jika tidak, dia tak akan menunggu
Hilmi hingga ke saat ini.
‘Lupakan Khairul Hilmi. Kau hanya bertepuk sebelah
tangan. Dari dulu sampai sekarang.’ Rasanya untuk mendapatkan ijazah sarjana
tidak sesusah perkara ini. Dalam masa setahun dia sudah genggam ijazah itu tapi
untuk melupakan seorang lelaki bernama Khairul Hilmi, dia masih tak mampu
walaupun sudah diberi sepuluh tahun.
‘Kau harus kuat Ika. Siti Zulaikha bukan seorang yang
kejam. Sanggup kau lihat Faiz menderita lagi? Dia tak bersalah. Dia cuma
cintakan kau. Buka hati, buka mata. Terima Faiz.’ Andai hatinya boleh dibelah
dua. Bukan sifatnya membiarkan orang lain menderita di atas perbuatannya. Tak
boleh ditangguh lagi. Keputusan harus dibuat. Walaupun akan ada hati yang
terluka, dia pasrah. Dia sanggup bayar atas segala kealpaan dan kelalaiannya.
Tq soooooo muchhhhhh guyssssss!!!!
.Cpat2 la smbung x sbr nak tau ksdhan...dah lma mnggu
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi mngikuti cerita ini...inshaAllah... ;)
ReplyDeletei xsuka la dgn bdk ika nie...........
ReplyDeleteHehehehehe
ReplyDeletenext chapter plz... Lynn... ;D
ReplyDeletejap ye ivory.... :)
ReplyDelete