Bismillahirrahmanirrahim....
Assalamualaikum dan salam sejahtera... i iz penat to d max!!ohokkksss...baru balik dr kenduri kawen sepupu...da la smlm smpt tdo 3 jam je..sobss...mana cukup baby tdo 3jam...LOLZZZZ...muntah pepel pink...tp skrg kepala sy mmg sedang terhuyung-hayang...eh..tapi still bley type ni lagi...erkkkkk.... apa2 pun..amik la ni...smbgan Saya Pilih Awak...jangan lupa dapatkan novelnye di pasaran...atau order ngan Kaki Novel..atau ngan iollsss...ngeh2...
Bab 7
Ain menutup lemah pintu keretanya. Dia betul-betul
tak larat hari ini. Ingatkan nak ambil cuti tapi bila difikirkan balik, baiklah
dia pergi kerja. Kalau duduk rumah, mesti lagi pening kepalanya memikirkan
masalah yang sedang membelenggu. Bikin stres!
“Ain!” Ain tersentak. Alamak, masalah
dah datang. Ain berpaling lambat-lambat.
“Fakri...” Lelaki itu sudah terpacak di
hadapannya. Raut wajahnya tak payah cakap. Tegang semacam. Ain tertunduk. Tak
sanggup nak pandang.
“Kita perlu berbincang.” Tegas. Ain diam
tak berkutik. Apa nak buat? Confirm
tak boleh lari.
“Saya bagitahu bos dulu.” Fakri
mengangguk. Lega hati Ain. Mana tahu, tiba-tiba Fakri buat gila nak berbincang
sekarang juga, mati dia.
Beberapa minit kemudian, Ain keluar
semula dari pejabatnya. Lambat-lambat dia berjalan menghampiri Fakri. Macam
mana dia nak terangkan dekat Fakri ni? Ain gigit bibir. Cuba buat muka tak
bersalah. Fakri kat depan macam dah nak makan orang. Berkerut semacam.
“Naik kereta saya,” arah Fakri. Ain
hanya menurut. Cari nahas namanya kalau membantah. Fakri ni nampak aje lembut,
kalau dah marah, bergegar juga.
Sepuluh minit kemudian, mereka tiba di
taman rekreasi. Suasana agak lengang. Cuma ada beberapa orang warga emas yang
sedang bersenam. Ain yang sejak dari tadi diam seribu kata sekadar membuntuti
langkah Fakri yang sudah tegak berdiri di hadapan tasik buatan yang dipenuhi
bunga teratai. Dadanya sejak tadi berdegup kencang.
“Fakri nak penjelasan daripada Ain.
Jelaskan semuanya. Saya tak suka tertanya-tanya.” Fakri masih berdiri tegak di
hadapan tasik sambil bersilang tangan. Semalaman dia tak dapat nak tidur lena
disebabkan hal ini. Ain betul-betul buat dia sesak nafas.
“Soalan saya masih belum dijawab.” Ain
masih mahu main tarik tali. Fakri mendengus kasar. Ain sedang mencabarnya.
Tolonglah.
“Jawapannya tak penting. Penjelasan Ain
lagi penting.”
“Tapi jawapan tu penting bagi saya.” Ain
cuba untuk berlagak setenang mungkin. Kalau Fakri sesak nafas, dia lagilah
sesak semuanya. Tidur malamnya tak pernah lena sejak kejadian itu.
“Ain...apa hal sebenarnya ni? Mak saya
ada marah awak ke? Dia ada cakap dia tak sukakan awak?” Tolonglah
berterus-terang. Jawapan dari Ain sangat-sangat dia inginkan.
“Awak ada tanya mak awak pasal benda
ni?” Soalan yang dijawab dengan soalan juga. Ain yakin, mesti Fakri tak berani
nak tanya mak dia pasal benda ni.
“Tak. Saya nak dengar dulu penjelasan
awak.” Dia memang berniat nak tanya emaknya tadi tapi dibiarkan dulu. Selagi
dia tak dapat penjelasan dari Ain, selagi itulah dia tak akan puas hati.
Ain menghela nafas berat. Pandangan
dibuang ke arah tasik yang kelihatan tenang di hadapannya. Nun di hujung
seberang sana ada sepasang warga tua yang sedang duduk berdua-duaan. Mungkin
sedang melepas lelah setelah penat bersenam. Kelihatan bahagia. Mampukah dia
dan Fakri sebahagia itu? Mampukah dia dan Fakri membina mahligai cinta mereka?
Mata yang sudah berkaca ditala ke arah lain. Tak sanggup nak fikirkan sebarang
kemungkinan yang bakal berlaku.
“Ain...”
“Kadang-kadang, kita tak perlukan
kata-kata untuk menyatakan rasa hati. Cukup dengan perbuatan dan lirik mata.”
Ain berhenti seketika. Suaranya bergetar. Dadanya berombak.
“Dari gerak-geri dan layanan emak awak
pada saya tempoh hari dah cukup buat saya faham apa yang ada dalam hati dia.” Ain
tak dapat nak tahan lagi air mata yang sejak tadi mahu menitis. Fakri terdiam.
Hilang wajah tegangnya sebentar tadi.
“Apa mak saya cakap dekat awak?”
“Awak tanyalah mak awak sendiri. Dia
lebih tahu apa yang dia cuba sampaikan pada saya.” Ain seka air mata yang masih
galak mengalir. Sedih mengenangkan ke mana hala tuju cinta yang dibina dan
dipertahankan selama tujuh tahun ini. Bahagia atau sebaliknya?
“Fakri minta maaf kalau mak dah sakitkan
hati Ain. Fakri betul-betul tak sangka perkara ni boleh jadi macam ni. Fakri
cuma nak kenalkan bakal isteri Fakri pada mak.” Fakri meraup mukanya.
Mak...kenapa mak buat abang macam ni? Ain tak salah.
“Fakri, apa pun keputusan awak selepas
ni, saya terima dengan redha. Saya faham. Awak mesti dahulukan mak awak
daripada orang lain.” Pasrahkah dia? Relakah dia untuk melihat semua impian
yang diangankan berkubur begitu saja? Dia cuma wanita biasa.
“Apa Ain cakap ni?” Tak senang dengan
kata-kata dengan baru keluar dari mulut kekasih hatinya.
“Kita tak mampu nak lawan takdir, Fakri.
Andai jodoh ini bukan milik kita, kita harus terima dengan hati yang redha.
Tuhan itu Maha Mengetahui.” Sabarlah wahai hati. Yakinlah dengan janji Allah.
“Ain...Fakri cintakan Ain sepenuh hati Fakri.
Fakri tak boleh hidup tanpa Ain.” Membayangkan hidup tanpa Ain di sisi adalah
perkara yang paling menyakitkan hati. Kenapa Ain begitu mudah mengalah pada
dugaan? Tak cintakah Ain pada dirinya?
“Sebanyak mana Fakri cintakan Ain,
sebanyak itu jugalah Ain cintakan Fakri. Tapi Fakri kena ingat, walaupun Ain ni
isteri Fakri sekalipun, emak Fakri tetap berada pada carta tertinggi. Takkan
awak sanggup lihat mak awak menderita disebabkan kita? Tak mungkin kita akan
bahagia tanpa restu daripada dia.” Hatinya sakit. Sakit terhiris oleh kata-kata
sendiri. Dia tahu, Fakri juga merasakan sakit yang sama. Tapi dia tak mampu nak
menyembunyikan rasa hatinya. Dia harap Fakri faham.
“Ain janji dengan Fakri, kita akan kuat
lalui semua ini.” Cukuplah. Dia dah tak mampu nak dengar semua itu. Air matanya
hanya menunggu masa untuk mengalir.
“Sekuat mana pun kita, kita tak mampu
lawan takdir Allah. Dahlah, Ain dah tak mampu nak fikir semua ni. Hantar Ain
balik pejabat.” Ain tarik nafas sedalamnya. Hujan di pagi hari. Mungkinkah
mentari akan bersinar lagi petang nanti?
Sekali lagi Fakri meraup wajahnya. Cuba
menyembunyikan air mata lelakinya yang sudah menitis. Melupakan cintanya dengan
Ain adalah perkara yang mungkin tak akan berlaku. Walau apa pun yang bakal
berlaku, dia akan tetap cintakan Ain sampai ke akhirnya. Ain yang pertama dalam
hatinya dan biar wanita ini jadi yang terakhir juga.
>>
Fakri menolak kuat pintu rumahnya. Berdentum
bunyinya. Hatinya mendesak. Dia mahu tahu dengan segera apa yang dah berlaku
antara Ain dan emaknya. Ain tipu? Tak mungkin. Dia kenal Ain bukan sehari dua.
Tapi takkan emaknya begitu? Dia kenal emaknya lebih lama daripada dia kenal
Ain.
“Mak!” Laung Fakri. Kuat suaranya. Pintu
bilik emaknya dikuak. Tak ada. Dia pantas menuju ke dapur.
“Ada apa ni abang? Menjerit-jerit. Cuba
masuk tu bagi salam dulu. Mak ada aje kat dapur ni.” Berkerut dahi Maimon.
Entah apa kena dengan angin anaknya hari ni. Tangan yang tadinya ligat memotong
sayur berhenti serta-merta.
“Mak, abang harap mak berterus-terang
dengan abang.” Fakri berdiri tegak di hadapan emaknya. Matanya merenung tajam
pada wanita yang melahirkannya itu. Dia mahu cari kepastian.
“Terus-terang pasal apa pula?” Makin
berkerut dahi Maimon.
“Pasal Ain.” Mustahil emaknya dah lupa.
Perkara tu baru aje beberapa hari berlaku.
“Pasal Ain?” Serta-merta wajahnya
bertukar riak. Jadi, budak perempuan yang anaknya berkenan sangat tu dah
berceritalah ya? Boleh tahan juga. Pandai mengadu.
“Apa mak dah cakap dekat Ain?” desak Fakri.
Bukan masanya untuk berdiam diri. Dia mahukan jawapan.
“Apa dia dah cakap pada abang?”
mengendur sedikit suara Maimon. Sayur yang baru separuh dipotong sebentar tadi
diambil semula. Dia buat acuh tak acuh saja.
“Itu tak penting. Yang penting sekarang
apa yang mak dah cakap dengan Ain. Kenapa mak buat Ain macam tu?” Geram. Tak
puas hati dengan sikap emaknya yang buat tak endah saja.
“Apa yang mak dah cakap? Mak tak cakap
apa-apa pun. Kenapa dia nak terasa pula?” Bakul berisi sayur dibawa ke sinki.
Masih bersikap selamba. Fakri dah kepal penumbuk. Dia tak pernah tengok emaknya
bersikap begini. Kenapa dengan emak ni?
“Mak tak suka Ain? Tapi apa salah Ain?”
Nampaknya Ain memang tak menipu. Tapi kenapa mak buat macam tu?
“Mak tak cakap pun mak tak suka dia.
Yang abang nak marah sangat ni kenapa? Takkan sebab perempuan tu abang nak jadi
kurang ajar dengan mak?” Dia berpaling menghadap anaknya.
“Jadi betullah mak ada cakap sesuatu
dekat dia?” Fakri meraup mukanya. Apa yang dah berlaku ni? Kenapa mak sanggup
buat dia macam ni?
Maimon diam. Mengiakan tidak. Menidakkan
pun tidak. Dia tak rasa apa yang dia cakap pada Ain itu salah. Dia rasa dia ada
hak untuk tentukan apa yang terbaik untuk anaknya. Dia bukannya tak sukakan Ain
tapi dia punya agenda lain untuk anaknya.
“Mak suka atau tak, saya akan tetap
pilih Ain untuk jadi isteri saya. Saya cintakan dia dan saya hanya akan bahagia
dengan dia.” Tegas. Dada Fakri berombak kencang. Sikap berdiam diri emaknya
makin buat hatinya sakit.
“Tak! Mak tak akan setuju,” bantah
Maimon. Fakri terdiam. Dia memandang tepat ke arah emaknya.
“Budak tu tak sesuai dengan keluarga
kita. Mak tak boleh terima dia.” Maimon nekad. Dia dah janji dengan Kinah. Dia
dah janji dengan Maya. Dia tak boleh mungkir janji.
“Tapi kenapa? Ain tu baik. Apa yang tak
cukup lagi?” Fakri betul-betul tak mengerti. Perempuan macam mana lagi yang mak
inginkan?
“Mak dah ada pilihan lain.” Fakri
terlopong. Pilihan lain? Apa yang mak cakap ni? Sejak bila dia perlukan
pilihan? Dia tak perlukan semua itu sebab dia dah pilih Ain. Pilihan pertama
dan terakhir.
“Apa mak cakap ni? Pilihan? Mak, saya
tak mahu pilihan mak. Saya dah ada pilihan saya sendiri dan pilihan saya tetap
Ain. Saya tak akan pilih yang lain.” Itu pendiriannya. Tak akan berubah.
Biarlah apa pun nak jadi. Dia tak akan pilih yang lain.
“Baik, abang boleh pilih Ain tapi jangan
harap abang boleh jejakkan kaki abang ke sini lagi. Mak pun tak ada anak
derhaka macam abang!” Jika Fakri boleh berdegil, dia pun boleh dan dia tak
main-main.
Sekali lagi Fakri terpana. Dia
betul-betul tak kenal dengan wanita yang sedang berdiri di hadapannya ini. Tak
pernah terjangka wanita yang mengandungkan dirinya selama sembilan bulan dan
membesarkannya ini sanggup berkata begitu? Emakkah ini?
“Mak!” Fakri kehilangan kata-kata. Dia
kecewa. Betul-betul kecewa. Apa salah Ain? Apa kurangnya Ain? Dia tak nampak
cacat cela gadis itu di mana-mana. Ain begitu baik.
Fakri tak menunggu lama. Hatinya remuk
redam. Langkah diatur laju. Seketika kemudian kedengaran deruman kereta
meninggalkan perkarangan rumah. Maimon terduduk di kerusi. Segala kekuatannya
hilang. Bergetar badannya. Bertakung air matanya. Memang patut Fakri marah
dengannya. Memang patut Fakri rasa sakit hati. Tapi dia bukan sengaja. Dia
terpaksa. Terpaksa kerana janji yang dah diikat. Terpaksa kerana budi yang dah
ditabur.
“Maafkan mak, abang.” Air mata tak
terbendung. Sakit hati Fakri, sakit lagi hatinya. Kerana janji, dia terpaksa
memusnahkan kebahagiaan anak sendiri. Dia tak berdaya. Memungkiri janji
bermakna memutuskan hubungan saudara dengan satu-satunya saudara kandung yang
dia ada. Dia tak sanggup.
No comments:
Post a Comment