2015-06-02

Kerana Aku Wanita 7


Bab 7
Mak Jah tak senang duduk. Perkhabaran dari anaknya tadi buat kepalanya runsing. Tiba-tiba nak kahwin. Tak ke pelik? Sebelum ini bila ditanya, asyik mengelak. Itu dia boleh terima lagi. Yang jadi masalahnya, hujung minggu ni rombongan dari pihak lelaki nak datang. Mahu tak kelam kabut. Hujung minggu itu maksudnya beberapa hari lagi. Tak perlu susah-susah katanya. Hanya datang untuk merisik. Memanglah, tapi ini kampung. Rumah jiran, saudara-mara sebelah-menyebelah aje. Takkanlah tak nak bagitahu sepatah dua.

“Apa yang awak fikirkan tu Jah oi. Tak sudah-sudah lagi risaukan si Sarah tu? Dah sampai masanya dia kahwin, apa yang awak risaukan lagi? Sebelum ni bukan main sibuk suruh anak awak tu cari calon. Sekarang dah ada, lain pula jadinya.” Haji Man geleng kepala. Kopiah yang berada di atas kepala dibetulkan. Bersiap sedia untuk keluar ke kedai kopi.

“Saya bukan apa bang. Tiba-tiba aje si Sarah tu nak kahwin. Cepat-cepat pula tu. Saya risau kut-kut...” Dia ibu. Memang tak dapat lari dari fikirkan perkara-perkara begitu. Sarah tu perempuan. Duduk sendirian. Jauh daripada ibu bapa. Ibu mana yang tak risau.

“Astaghfirullahal’azim. Cuba bawa mengucap sikit. Takkanlah si Sarah tu nak buat perkara bukan-bukan. Kita bagi dia ajaran agama. Saya sendiri yang ajar dia mengaji. Awak ni, kalau nak risau pun janganlah lebih-lebih sangat. Dahlah, saya nak keluar.” Kunci motosikal dicapai.

“Bang, nantilah dulu. Bukannya saya tak percayakan anak kita. Tapi mengejut sangat. Rombongan pihak lelaki pun nak datang hujung minggu ni. Mahunya saya tak kelam-kabut. Abang kenalah tolong saya sediakan apa yang patut. Takkanlah kita nak bagi tetamu minum air kosong aje.” Memanglah tak perlu buat majlis besar-besar tapi kenalah sediakan juga makanan walaupun tak banyak.

“Awak ni, dah tentulah saya tolong awak. Sarah tu anak saya juga. Tapi kan Sarah dah cakap, keluarga lelaki tu datang satu kereta saja. Awak punya kalut tu macam rombongan nak datang satu bas tau. Dah, saya keluar dulu.” Dah namanya pun perempuan. Hal kecil pun nak dibesar-besarkan.

Mak Jah mengeluh perlahan. Risau di hatinya masih bersisa. Dunia sekarang ni macam-macam boleh berlaku. Yang berjubah pun belum tentu baik. Tapi, perkara baik macam tu buat apa nak tangguh lama-lama. Mungkin bakal suami Sarah tu orang banyak ilmu agama. Itu yang nak nikah cepat-cepat. Fikir positif ajelah.

“Dah-dahlah tu termenung mak dia oi. Ni, pokok bunga awak ni dah kering-kontang. Daun kering pun dah menimbun tu. Kalau awak bersihkan laman ni ada juga faedahnya.” Sempat Haji Man perli dari atas motosikalnya sebelum berlalu pergi.

“Yalah, yalah.” Mak Jah terus bangun. Fikir yang baik-baik ajelah. Takkanlah Sarah nak buat perkara bukan-bukan. Betul juga cakap suaminya. Rasanya mereka dah beri ajaran agama yang cukup buat anak tunggalnya tu. Masa sekolah dulu pun, Sarah pernah dapat anugerah pelajar sahsiah terbaik.

>> 

Sarah memasang angan. Majlis pernikahannya akan berlangsung pada pertengahan bulan depan. Lebih kurang sebulan dari sekarang. Terkejut beruk emak masa dia bagitahu yang mahu berkahwin bulan depan. Mesti mak dah fikir bukan-bukan. Tapi fikiran mak tu tak meleset. Memang betul pun. Tapi takkan nak terus-terang? Mahu kena kejar keliling kampung dengan parang. Perutnya pun belum nampak. Semalam dah pergi cek di klinik. Kalau ikut perkiraan doktor, tiga minggu. Belum sampai sebulan. Nasib dia baik. Tiba-tiba terdetik nak periksa bila tubuhnya terasa lain macam dan lambat datang bulan.

Nasib baik sekarang ni bukan musim cuti sekolah. Jadi tak ada masalah kalau buat tempahan pelamin di akhir waktu. Esok dia akan pulang ke kampung. Lusa rombongan dari pihak Roy akan datang. Roy pun ada cakap yang keluarganya pun terkejut tapi nak buat macam mana. Nasib baik Roy dapat yakinkan mereka. Sebab tu tak ramai yang dapat datang. Masing-masing dah ada rancangan sendiri.

Harap-harap semuanya berjalan lancar. Paling penting, harap-harap mak tak perasan apa-apa perubahan pada dirinya. Mata orang tua ni lain sikit. Nampak saja perubahannya, lebih-lebih lagi anak sendiri. Tapi rasanya, tak kut. Dia tak alami alahan macam wanita mengandung yang lain. Sarah rasa perutnya. Tak nampak beza dari sebelum ini. Wajah pun tak nampak pucat. Rasanya, selamatlah ni.

“Tengah berangan apa ni?” Roy cuit pipi Sarah. Makin meleret senyum Sarah.

“Macam-macam. Berangankan baby. Agak-agak ikut muka papa ke muka mama?” Sekali lagi Sarah sentuh perutnya. Ah, tak sabarnya nak peluk cium anak sendiri.

“Muka papa please...” Wajah Roy penuh pengharapan. Sarah tergelak. Sampai macam tu sekali.

“Kenapa pula nak ikut muka papa? Kalau girl, mestilah cute macam mama.”

“Alah, tak kiralah perempuan ke lelaki ke, yang penting ikut muka papa. Anak yang kedua nanti baru ikut muka mama.” Sarah bulatkan mata. Anak yang sulung belum nampak rupanya, dah fikir anak kedua? Amboi, banyak cantik?


“Yalah. Apa-apa ajelah. Tak sabar nak tunggu lusa. You jangan lupa pula cincin tu. Kalau tertinggal, siap you.” Hidung Roy ditarik manja. Walaupun hanya majlis merisik, tapi ia tetap satu pengalaman yang indah.

Rumah sudah cantik berhias. Khemah juga sudah memenuhi halaman rumah. Rasa terlalu lama untuk menanti hari esok. Mengikut perancangan, akad nikah akan dilangsungkan pada pukul sepuluh pagi esok dan majlis bersanding akan terus diadakan selepas zohor. Hanya majlis kecil-kecil. Tak sempat nak rancang majlis yang lebih meriah. Tak kisahlah, yang penting mereka sudah nikah dan kandungannya tak perlu disorok lagi.

“Pukul berapa Aida nak datang Sarah?” soal Mak Jah yang sedang sibuk menyusun beg-beg kecil yang berisi cenderahati untuk tetamu esok. Kalau diikutkan, memang tak menang tangan nak menyediakan semuanya. Maklumlah tak ada pengalaman. Nasib baik jiran-jiran banyak membantu.

“Katanya lepas Isyak, mak. Lewat sikit pun tak apa. Nanti kalau dah pakai inai, dah tak boleh nak buat kerja.” Aida, kawan sekampungnya. Kawan satu kelas pun ya juga. Inai masih belum dipakai. Tunggu malam sikit.

“Roy tu dah sampai ke rumahnya ke Sarah?” Mak Jah sudah meninggalkan kerjanya tadi. Melepaskan lelah sebentar. Sekejap lagi nak goreng ayam pula.

“Entah. Tadi Sarah call, dia masih belum bertolak. Katanya pukul lapan baru nak bertolak.” Roy perlu hadiri mesyuarat di saat akhir. Mahu tak mahu terpaksa juga pergi. Terpaksa batalkan cuti yang sudah diambil awal.

“Kamu habiskan kerja ni. Mak nak tengok orang kat bawah tu.” Mak Jah berlalu ke dapur. Kalau ikut penat, memang penat. Tapi ini majlis anak tunggalnya. Penat sikit pun tak apa. Yang penting, majlis berjalan dengan lancar.

Sarah capai telefon. Dah pukul lapan setengah. Tak ada pula Roy hantar SMS cakap dah bertolak. Mungkin terlupa sebab nak cepat kut. Butang panggil ditekan. Tangannya masih ligat memasukkan gula-gula yang sudah siap dipeket ke dalam beg cenderahati. Seketika, panggilannya bersambut. Senyum terukir.

“You dah bertolak ke?” Telefon bimbit diselitkan di antara telinga dan bahunya. Terpaksalah. Cenderahati masih banyak yang belum diisi. Nak harapkan adik-beradik, tak ada. Nasib baik jemputan tak sampai seribu orang.

“Dah. Baru aje keluar dari hotel. You buat apa tu?”

“Tengah siapkan goodies. You janganlah bawa kereta laju-laju sangat. Malam-malam ni bahaya. Hujan tak kat sana?” Risau juga. Memanglah Roy dah biasa memandu malam tapi tetap kena berjaga-jaga jugakan? Esok mereka dah nak bernikah. Lagilah kena berjaga-jaga.

“Yalah. I tahu. Kat sini hujan renyai-renyai aje. I miss you lah.” Wiper dipasang apabila rintik hujan semakin lebat. Siang tadi bukan main panas. Nasib baik malam ni tak banyak kereta.

I miss you too. Sabarlah sikit. Esokkan kita jumpa. Lepas tu dah tak perlu nak berpisah lagi.” Senyum Sarah makin lebar. Mahunya tak rindu. Dah beberapa hari mereka tak jumpa sejak dia pulang ke kampung.

“Mesti you cantikkan esok?”

“Ermmm...tak tahu. You tengoklah sendiri esok.” Pipi terasa panas. Macamlah sebelum ni tak pernah kena puji.

“Kalau I tak tengok pun I tahu, you memang cantik.” Senyum Roy meleret. Kereta diperlahankan sedikit. Terbayang wajah cantik Sarah di dalam persalinan pengantin.

“Tahu tak apa. You dah sampai mana ni?” Baru beberapa minit mereka berbual, takkanlah Si Roy tu dah sampai rumah. Beg cenderahati pun baru dua saja yang disudahkan. Macam mana nak fokus kalau Roy asyik memuji.

“Belum masuk highway lagi. I tak bawa laju. Nanti ada orang marah pula.”

“Oklah. You hati-hati tau. Nanti kalau ada apa-apa call I.”

“Ok. I love you, sayang. I love you so much.”

I love you too.” Talian dimatikan tapi senyuman Sarah masih tak lekang. Ya, dia tahu. Roy memang terlalu cintakannya dan dia pun terlalu cintakan Roy.

“Amboi orang tu. Senyum sampai tak sedar orang datang. Tahulah tengah bahagia.” Aida sudah elok bersila di sebelah. Bila sampai pun Sarah tak perasan. Memang angau.

“Kau dah lama ke sampai?” Tukar topik. Tangan laju memasukkan gula-gula ke dalam beg kertas.

“Aku dah lama sampai tapi aku berborak dengan mak cik-mak cik kat bawah tu dulu. Sajalah aku nak bagi chance kat kau melepas rindu dengan abang sayang dulu.” Galak Aida mengusik. Paket gula-gula juga dicapai dan dimasukkan ke dalam beg kertas.

“Yalah tu. Kita habiskan kerja ni dulu. Lepas tu baru pakai inai, ok.” Kerja disambung. Aida angguk. Tiada bantahan. Lagipun masih awal.

Roy masih ukir senyum. Sungguh dia rindukan Sarah. Esok mereka bakal disatukan. Mengenang kembali detik pertemuan mereka, sungguh dia tak sangka mereka akan kekal sehingga sekarang. Walaupun dia memang hatinya ikhlas dan setia dengan Sarah, tapi kuasa Tuhan tak siapa boleh halang. Bukan sedikit rintangan dan dugaan yang mereka terpaksa lalui untuk terus bersama.

Roy tahu, mereka memang sudah jauh tersasar dari landasan agama. Bersekedudukan. Berzina. Tapi imannya tak sekuat mana untuk melawan semua godaan itu. Bukan dia tak tahu dosa pahala. Tapi semua itu seolah-olah tak wujud bila sedang seronok. Keseronokan dunia itu dirasakan terlalu rugi untuk ditinggalkan. Hidup hanya sekali.

Satu persatu kenangan bersama Sarah terlayar di depan mata. Sejak dari awal sehingga sekarang. Senyum Sarah. Rajuk Sarah. Renungan Sarah. Sentuhan. Semuanya. Makin lebar senyum Roy bila mengingatkan itu semua. Dia betul-betul terleka dengan seorang wanita bernama Siti Sarah.

“POMMMMMM!!!!”

Roy tersentak. Hon panjang dari lori di belakang menyebabkan kereta yang dipandu tersasar ke tepi jalan. Brek kereta ditekan kuat. Kepalanya terhantuk kuat di stereng. Ah, nasib baik umurnya masih panjang. Tiada kenderaan lain di belakang. Roy tercungap-cungap. Jantung melantun laju. Bergetar tangannya. Stereng dicengkam kemas. Tubuh disandarkan ke kerusi. Kepala yang terhantuk masih terasa pening. Pasti sudah lebam.

Muka diraup. Terlalu asyik dengan seorang wanita bernama Siti Sarah, nyawanya hampir melayang. Tak sedar kereta yang dipandu hampir masuk ke laluan sebelah. Nasib baik juga lori tu bunyikan hon. Kalau tak, memang dah ‘selamat’ dia tadi. Tangan diletakkan ke dada. Merasa debar yang semakin berkurang. Dia bersedia untuk kembali meneruskan perjalanan. Gear dimasukkan.

Maka apabila ajal itu tiba, mereka tidak akan dapat meminta penangguhan dan tidak pula mempercepatkan barang sesaat pun.
(Surah Al-A’raaf, 7:34)

Kereta yang dipandu Roy terseret lebih 200 meter apabila dirempuh sebuah lori kontena yang dipandu laju. Lori tersebut tak sempat mengelak apabila kereta Roy tiba-tiba memasuki laluan. Hancur berkecai kereta yang dipandu bakal pengantin itu. Hanya sekelip mata.

Sementara di rumah, Aida sedang memakaikan inai di jari Sarah. Sarah tak mahu pakai inai yang dibeli di kedai. Tak tahan lama katanya. Warnanya pun tak cantik. Lagipun kat kampung ni banyak pokok inai. Tak susah nak cari.

“Lama betul aku tak pakai inai. Dulu, masa sekolah dulu sukalah pakai. Sampai kena perli dengan cikgu. Cikgu kata aku dah tak sabar-sabar nak kahwin.” Sarah tergelak. Mengingat kembali kenangan dulu. Memang dulu dia dan beberapa lagi orang rakan suka pakai inai.

“Aku ingat. Takkan kau tak ingat apa cikgu Safarin cakap? Hai, melepaslah saya. Ada orang dah kahwin.” Aida mengajuk kata-kata cikgu Safarin yang selalu sangat mengusik Sarah. Rasanya satu sekolah tahu gosip pasal cikgu Safarin dengan Sarah. Sampai kena perli dengan pengetua. Nasib baik tak kena gantung sekolah.

“Agak-agaknya dah berapa orang anak cikgu Safarin ya?” Sarah menyuakan jemarinya yang sudah bersalut inai ke hidung. Bau inai daun ni memang wangi. Dia suka.

“Entah. Lepas kita habis SPM, cikgu Safarin dah pindah. Lepas tu dah tak tahu cerita pasal dia. Dia kecewa dengan kau kut Sarah?” Ketawa Aida terhambur. Tak padan dengan anak dara.

“Banyaklah kau punya kecewa. Dah, cepat habiskan inai kat jari aku ni. Macam mana aku nak pergi toilet ni?” Hanya tinggal dua batang jari lagi yang belum dipakai inai. Pipi yang rasa gatal hanya digosok dengan mahu. Rambut yang berjuraian pun tak dapat nak dibetulkan.

“Kau tahan aje sampai pagi esok. Tadi aku suruh kau pergi toilet awal-awal kau tak nak. Degil!” Sambil mulutnya membebel, sambil tangannya menyalut jari Sarah dengan inai. Jari-jarinya sendiri pun dah nampak merah-merah.

“Tadi tak rasa nak ke tandas.” Apa nak buat, kenalah bertahan sampai esok. Bengkak.

“Dah siap. Confirm merah esok ni. Aku kan pakar bab-bab buat inai ni. Kau tengok jari aku ni. Dah merah dah pun.” Aida menunjukkan jemarinya. Macam-macam petua nak merahkan inai ni. Ada yang cakap letak air teh lah, letak gambirlah, letak siraplah. Tapi kalau daun inai tu memang jenis yang merah, tak payah letak semua tu.

Sarah lihat jemarinya yang sudah disalut dengan inai. Ah, tak sabarnya nak tunggu esok! Pasti Roy sangat segak dalam persalinan pengantin. Sarah melirik ke arah jam di dinding. Hampir ke pukul sebelas malam. Agak-agaknya Roy dah sampai belum? Nak telefon pun dah tak boleh. Jari dah tak boleh nak tekan.

Sementara di tempat kejadian, bomba masih berusaha untuk mengeluarkan tubuh Roy yang tersepit di tempat duduk. Lebuhraya juga sudah dipenuhi dengan orang ramai yang ingin menyaksikan kemalangan maut itu. Hujan yang agak lebat menyukarkan bomba untuk mengeluarkan mayat. Sudah hampir sejam usaha dilakukan.

Tamat sudah perjalanan hidup seorang lagi anak Adam. Sesungguhnya ajal maut itu di tangan Allah. Tinggallah semua yang dimiliki di dunia ini. Hanya amalan yang dibawa bersama.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Setelah hampir dua jam, barulah mayat Roy dapat dikeluarkan. Tubuhnya berlumuran darah. Kedua-dua kakinya hampir putus kerana tersepit. Pasti Roy sangat terseksa saat kematiannya. Semuanya sudah ketentuan Allah SWT. Tak ada siapa yang dapat menghalang. Semoga dosa-dosanya diampunkan.

Sarah tidak dapat melelapkan mata. Dia gelisah. Roy pun tak menghubunginya. Dah sampai ke belum? Takkan lupa lagi kut? Geram saja hatinya nak telefon Roy tapi jarinya dah terhalang dek jemarinya yang bersalut inai. Mungkin Roy pun tahu kut yang dia tak boleh nak angkat telefon dengan jarinya yang sebegini. Tadikan dah bagitahu.

Sarah pejam mata. Esok adalah hari bersejarahnya dengan Roy. Seluruh tubuh sudah rasa letih. Nasib baik dia tak muntah-muntah siang tadi. Anak mama ni memang baik tau. Macam tahu-tahu saja mama perlukan pertolongan. Terima kasih ya sayang. Esok kita jumpa papa ya. 


No comments:

Post a Comment