2014-01-20

Tanya Sama Hati 56



Assalamualaikum semua!!hehehehe..lama ek tunggu..hehehehe...sori2...takmo cakap banyak... harap korang enjoy ngan smbungan kisah Ika ni ek..heheee..maaf kalo tak best!!bleh bagi cadangan utk jadikan citer ni lebih best!!!
Bab 56
“Terima kasih sebab bawa balik Zaza sekali.” Hilmi mengambil peluang mendekati Ika setelah kerjanya selesai. Sudah dipastikan yang Faiz tak ada di situ.
“Tak apa. Kebetulan saya pun memang nak datang ke sini. Bagus juga ada Zaza, boleh tunjukkan jalan. Lagipun tak adalah bosan sangat.” Ika membetulkan alas meja berwarna merah yang dipasangnya tadi. Sesekali matanya melirik ke arah pintu pagar. Manalah tahu tiba-tiba Faiz muncul. Dia tak mahu bikin kecoh.
“Zaza tu memang banyak mulut sikit. Anyway, terima kasih juga sebab sudi datang.” Hilmi perasan yang mata Ika asyik memandang ke arah pintu pagar. Pasti menunggu kedatangan Faiz. Cemburukah dia?
“Kebetulan tak ada kerja.” Matanya masih mencuri pandang ke arah pintu pagar. Janganlah lelaki itu muncul secara tiba-tiba. Sejujurnya, kalau lelaki itu tak datang lagi bagus. Buat sakit hati saja.
“Tunggu siapa? Faiz?” Serkap Hilmi. Pantas Ika berpaling ke arahnya. Serba salah jadinya.
“Tak adalah. Macam nak hujan saja. Gelap.” Entahlah sesuai atau tak alasan tu. Itu saja yang boleh dia fikir.
“Bukan nak hujan Cik Ika oi, tapi dah nak malam. Jomlah kita masuk.” Hilmi tergelak. Nak cari alasan pun agak-agaklah sikit. Dah pukul tujuh, memanglah gelap.
Ika malu sendiri. Nampak sangat menipu. Padan muka. Sempat dia menangkap wajah tersengih-sengih Zaza yang sedang membentangkan karpet di dalam rumah. Kenapa pula nak tersengih-sengih begitu? Dia meraba mukanya. Manalah tahu kut-kut ada terlekat sesuatu yang membuatkan gadis itu rasa lucu. Tak ada.
“Kenapa Zaza tengok akak macam tu?” Dia turut membantu Zaza menyudahkan kerjanya. Tiga bidang karpet sudah siap dihampar, memenuhi ruang tamu rumah. Hijau, merah, dan kuning. Dah macam lampu isyarat pula.
“Tak ada apa.” Zaza melepaskan lelah seketika. Bibirnya masih mengulum senyum. Ika tak puas hati. Entah apa yang lucu sangat pun dia tak tahu.
“Habis tu kenapa dari tadi akak tengok Zaza tersengih-sengih pandang akak? Baik Zaza bagitahu. Kalau tak akak balik sekarang.” Ugut Ika.
“Eh, janganlah balik dulu. Ok, Zaza bagitahu. Tapi akak jangan marah Zaza pulak.” Zaza angkat sebelah tangannya. Memaksa Ika untuk melakukan perkara yang sama. Tanda janji.
“Zaza tengok Kak Ika dengan abang Hilmi macam sesuailah. Kan best kalau akak kahwin dengan abang.” Bulat mata Ika. Itu yang gadis ini fikirkan? Mengada-ngada betul.
“Ada pula fikir macam tu. Memang akak akan kahwin dengan abang awak pun.” Perlahan. Nada suaranya tak ceria. Tak seperti bakal pengantin lain yang pasti rasa teruja dan malu-malu bila mengingatkan bakal suami.
“Abang yang tu tak best. Akak kahwinlah dengan abang Hilmi.” Macam budak minta gula-gula. Senangnya cakap. Ika geleng kepala. Tahu tak? Kalau boleh senang-senang tukar suami, dah lama dia buat.
“Ish, mengarutlah Zaza ni. Dahlah, akak nak tumpang solat boleh?” Makin dilayan nanti, makin mengarut pula budak ni.
“Ika, Faiz tak bagitahu Ika ke dia nak datang pukul berapa? Mak cik dah banyak kali call tapi tak dapat. Cuba Ika call dia. Janji nak datang awal, tapi sampai sekarang tak nampak batang hidung. Geram betul dengan budak seorang ni.” Ngomel Puan Sofia. Lehernya panjang menjenguk ke luar rumah. Anak bujangnya masih belum kelihatan.
“Tak ada pula mak cik. Kejap lagi dia datanglah tu. Mungkin ada kerja.” Dia sendiri pun sedang menunggu kemunculan lelaki itu. Tapi harapannya berlainan dengan harapan Puan Sofia. Kalau Puan Sofia mengharapkan anaknya cepat sampai, dia sebaliknya. Tak datang langsung lagi dia suka.
“Nak datang lambat pun bagitahulah. Ini tidak, buat orang risau saja.” Terkedek-kedek dia masuk ke dapur semula. Ika hanya senyum sebaris. Faiz memang suka buat perangai yang menyakitkan hati.
“Zaza rasa, kalau dia tak datang langsung pun lagi bagus. Buat sakit hati aje tengok muka dia.” Terkebil-kebil Ika mendengarnya. Nampaknya sakit di hati Zaza tak habis lagi.
Waktu Maghrib dah masuk. Lebih baik dia pergi solat. Doa banyak-banyak. Lebih bagus daripada menunggu lelaki yang semakin menyakitkan hati itu. Lantak dialah nak datang ke tak. Malas nak ambil kisah. Faiz dah besar, belajar pun bukan calang-calang. Sampai ke luar negara. Pandai-pandailah fikir.
>> 
Alunan surah Yasin memenuhi segenap ruang rumah. Menenangkan setiap jiwa yang sedang berkecamuk. Ika turut sama mengalunkan ayat-ayat suci itu. Hilang seketika perihal Faiz. Tak kuasa dia nak ambil tahu. Sampai sekarang, batang hidung lelaki itu masih tak kelihatan. Dah puas Puan Sofia cuba telefon. Langsung tak diangkat. Lantaklah.
“Mak cik tak makan ke? Makanlah dulu mak cik. Dari siang tadi mak cik tak makan apa-apakan?” Riak risau jelas kelihatan di wajah lembut itu. Pasti memikirkan anak bujangnya. Faiz dah melampau. Pentingkan diri sendiri. Dengan ibu sendiri pun nak buat perangai. Geram betul.
“Tak apalah. Mak cik nak tunggu Faiz dulu. Ika makanlah.” Entah ke mana anaknya pergi. Takkan tak suka dengan keluarga ini sampai macam ni? Kalau betul tak suka pun, sekurang-kurangnya angkatlah telefon. Risau betul dibuatnya.
“Faiz tu dah besar. Pandai-pandailah dia datang nanti. Mak cik makan dulu ya.” Ika menghulurkan sepinggan nasi kepada Puan Sofia. Kalau si Faiz tu tak datang sampai ke sudah, tak makanlah jawabnya wanita ini.
Jangan harap dia nak telefon lelaki itu. Hatinya masih berbekas sakit. Ika menyuap nasi ke mulutnya. Tapi entah kenapa seleranya berkurang. Bukan kerana lauk yang dihidang tak sedap tapi hatinya yang tak sedap. Dalam sakit hati, terfikir juga ke mana sebenarnya tunangnya itu pergi. Janganlah buat sesuatu yang bodoh. Tapi dia yakin Faiz tak begitu. Tapi tak boleh kira juga, manalah tahu tiba-tiba gilanya datang. Nasi di pinggan dibiar. Faiz betul-betul melampau. Nak saja dia lempang muka lelaki itu.
“Kenapa tak habis Kak Ika? Lauk tak sedap ya?” Tegur Zaza. Nasi di dalam pinggan kakak barunya itu masih banyak. Pinggannya sudah licin.
“Tak adalah. Sedap lauk ni. Tiba-tiba tak ada selera.” Semuanya gara-gara Faiz.
“Akak risaukan abang Faiz ya?” Budak ni pakai bomoh ke apa? Macam semua yang bermain di mindanya budak ini tahu.
“Tak adalah.” Malu nak mengaku.
“Zaza tahu.” Bisik Zaza seraya membawa pinggan kotornya ke dapur. Ketara sangat ke di wajahnya? Ika mengeluh perlahan. Bila semuanya nak berakhir? Dia dah penat.
Dari jauh Hilmi dapat lihat wajah muram Ika. Mesti memikirkan buah hati yang masih tak nampak bayangnya. Dia pun hairan kenapa Faiz tak datang. Dan yang paling hairan, Ika pun tak tahu ke mana hilangnya lelaki itu. Kenapa? Mereka bergaduh ke? Adakah ini peluang yang baik untuk dia masuk jarum?
“Tak cuba tak tahu, Hilmi.” Kata-kata Zul terngiang di telinganya. Ya, dia mesti cuba.
Tetamu sudah mula bergerak pulang. Hanya tinggal beberapa orang jiran tetangga sahaja. Ika bersendirian mengemas meja di luar rumah. Nak basuh pinggan dah ada bibik. Ruang tamu pun dah ada orang kemaskan. Disebabkan dia tak habiskan nasinya tadi, perutnya sedang berkeroncong sekarang. Nak makan, dia malu.
“Kenapa makan tak habis tadi?” Tersentak jantungnya. Serentak perutnya berbunyi kuat. Aduhai perut! Bikin malu.
“Tak baik biarkan perut tu kosong. Tengok, siap ada bunyi lagi. Nah.” Hilmi menghulurkan sepinggan penuh nasi berlauk ayam gulai. Besar mata Ika tengok nasi yang membukit di dalam pinggan. Ingat dia ni anak jin ke apa nak makan banyak macam ni?
“Banyaknya. Tak apalah, saya makan lepas kemas ni.” Ika menyambung kerjanya. Nasi yang dihulur Hilmi diletak atas meja. Gerun dia tengok. Kalau makan ni, tahan seminggu.
“Tak boleh. Kena makan sekarang juga. Duduk sini. Biar Mi temankan.” Ika terpempam seketika. Mi? Manja bunyinya. Lelaki itu nampak selamba. Ika terpaksa duduk. Hilmi sudah tarik kerusi untuknya. Dia pandang kiri kanan. Nasib baik tak ada orang tengok.
“Makanlah.” Hilmi tongkat dagu, memandang tepat ke wajah Ika yang kelihatan serba salah. Mesti terfikir-fikir macam mana nak habiskan nasi yang sebanyak itu. Comel aje.
“Awak tak makan ke?” Ika menguis nasi di dalam pinggannya. Tiga ketul ayam, Hilmi memang nak dera dia.
“Dah makan tadi. Ika makanlah. Kalau tak habis, Mi tak bagi Ika balik.” Hilmi tergelak kecil melihat muka Ika yang melopong. Memang tak boleh baliklah pun kalau nak suruh habiskan.
“Kalau bagi kucing makan sampai habis, kira bolehlah kan?” Hilmi tergelak besar. Ika tak jadi suap nasi ke mulutnya. Apa yang lucunya? Dia serius.
“Saya seriuslah.” Tak naklah dia tidur sini. Kalau Faiz tahu, mampus dia kena hentam.
“Comel betul.” Ika telan liur. Dia tak salah dengarkan? Kenapa dengan Hilmi ni?
“Mi tak nak kucing. Mi nak Ika yang makan.” Masih tak puas nak menyakat. Rasanya, baru sesuap wanita di depannya ini makan. Tak apa, biar lama-lama sikit.
Ika tak menjawab apa-apa. Perlahan-lahan dia suap nasi ke mulutnya. Baru beberapa suap perutnya dah rasa penuh. Macam mana nak habiskan semuanya sekali? Hilmi sengaja atau apa ni? Adik-beradik sama saja. Suka susahkan orang.
“Ika free tak esok?” Tak terlalu cepat rasanya. Dia betul-betul mahu mencuba.
Ika angkat muka. Kenapa Hilmi tanya begitu? Ada majlis lagi ke esok?
“Tak tahu lagi. Setakat ni belum ada plan lagi. Kenapa? Ada majlis lagi ya?” Berterus-terang. Lagipun esok cuti, biasanya dia hanya berehat di rumah. Tak pun, keluar dengan Faiz. Tapi dah lama dia tak buat begitu.
“Kalau Mi ajak Ika keluar, Ika sudi tak?” Secara automatik, kunyahannya jadi perlahan. Keluar? Hilmi ajak dia keluar? Biar betul. Apa rancangan lelaki ini sebenarnya?
“Keluar? Kenapa? Awak nak pergi mana?” Bertubi soalan yang ditanya. Serius, ini sesuatu yang di luar jangkaan. Hilmi sedang mengajaknya keluar.
“Ermm…pergi pasar, beli ikan. Nak tak?” Ketawa cuba ditahan. Berkerut dahi Ika. Dia suka menyakat wanita ini. Lurus bendul betul.
“Beli ikan?” Ada ke nak pergi pasar pun nak berteman? Lainlah kalau nak pergi berkelah ke, shopping ke, ini nak ke pasar. Tak romantik langsung.
“Ya, kita beli ikan, beli ayam, beli sayur. Lepas tu bolehlah Ika masak. Macam teringin nak makan masakan orang tu.” Tersedak Ika mendengarnya. Hilmi hulur air sirap. Cepat-cepat Ika capai.
“Masak?”
“Ya, masak. Takkan Ika tak tahu masak?” Sesak rasa dadanya menahan ketawa. Muka Ika dah berkerut seribu. Kesian betul. Tapi dia suka.
“Masak air pandailah.” Perlahan tapi sudah cukup buat Hilmi ketawa berdekah-dekah. Aduh, malunya. Beberapa pasang mata berpaling ke arah mereka berdua. Dan mata itu termasuklah sepasang mata milik si Zaza. Habis dia lepas ni diperli gadis itu.
“Masak air aje? Hmm…macam mana nak kahwin ni?” Perli Hilmi. Merah padam muka Ika. Nasi yang hanya luak sedikit ditolak ke tepi. Mukanya mencuka. Geram bercampur malu. Orang tahu masaklah, saja tak nak bagitahu.
“Mi gurau ajelah. Marah ke?” Tak sampai hati nak tengok muka manis itu masam lama-lama. Hai, hati ini dah jatuh cinta lagi. Parah!
“Dah habis ke cakap? Saya nak kemas meja.” Ika sudah angkat pinggannya. Masih tiada senyuman. Malas nak layan Hilmi. Tak faham betul dengan perangai lelaki yang satu ini.
“Jadi, esok pukul sepuluh Mi jemput Ika ya?” Keputusan yang dibuat sendiri. Mahu tak mahu, Ika kena setuju.
“Tengoklah dulu macam mana. Tak boleh janji. Banyak kerja.” Dia terus berpusing ke belakang, membawa bersama pinggan dan beberapa barang lain.
“Ok, confirm. Jumpa esok ya.” Ika menjegilkan mata. Hilmi angkat kening sambil tersengih. Suka-suka hati nak paksa orang. Memang sah adik beradik Faiz.

terima kasih daun keladi...harap sudi baca lagi lepas ni..hehe...tggu novel terbaru saya okehhhhh :)

No comments:

Post a Comment