2013-11-13

Tanya sama hati 49



assalamualaikum dan salam sejahtera semua...maaf beribu2 lemon sbb lama sangat amik masa nk update citer ni..haha..selalu macam tu kan??haha...tp tu lah...faham2 je la...student katanye...hewwww....esemen diutamakan...jadi sy harap korang masih setia baca citer ni okeh...kalo da tak ingt..bleh baca balik bab2 lepas..miahahaha...selamat mmbaca kawan2..
eh...asyik gambo baby je skrg..ihik2...comey sungguh....senyum semuaaaaa
Bab 49
Matanya sudah bengkak. Air mata dah tak mampu dikeluarkan lagi. Sekali lagi dugaan datang menimpa. Sungguh, dia sudah tak mampu nak tanggung. Dugaan kali ini dirasakan sangat berat. Otak juga sudah tak mampu nak berfikir. Bercelaru semuanya. Masalah yang sebelum ini pun belum selesai lagi.
Kedatangan Hilmi secara tiba-tiba sewaktu mereka sedang menikmati makan tengahari siang tadi betul-betul mengejutkan. Bukan setakat itu sahaja, panggilan Hilmi kepada Encik Zainal yang merupakan bakal bapa mertuanya juga lebih mengejutkan. Kenapa semua ini mesti terjadi kepada dirinya?
Kadang-kadang, kenyataan itu terlalu pahit untuk ditelan. Siapa dia untuk menyoal semua takdir ini? Sama ada suka atau tidak, menerima atau menolak, Faiz dan Khairul Hilmi tetap adik-beradik. Mereka berkongsi seorang ayah yang sama! Kenyataan yang sangat menyakitkan.
Ika memeluk lutut. Dia tersandar di tepi katil. Bagaimana dia mahu berhadapan dengan Faiz ataupun Hilmi sekarang ini? Memilih Faiz, dia tetap akan berhadapan dengan Hilmi. Jika pilih Hilmi pun, dia tetap akan berhadapan dengan Faiz. Jadi, apa yang patut dia buat? Meninggalkan kedua-duanya? Dia tak sanggup. Dirasakan saat ini, mahu saja dia lari sejauhnya. Mahu sahaja dia bersembunyi sedalam-dalamnya. Tapi semua itu tak akan dapat menyelesaikan masalah. Sedikit pun tidak.
Jadi, apa harus dia lakukan? Dia betul-betul terjerat. Memilih salah satu di antara mereka berdua akan tetap melukakan hatinya. Dadanya sesak. Kepalanya terasa mahu pecah. Pandangannya makin kabur. Untuk mengangkat tangan pun dia tak berdaya. Akhirnya dia terjelupuk di lantai. Lemah tak bermaya.
>> 
Ika menggagahkan diri untuk memandu pulang ke kampung. Doktor sudah beri cuti sakit. Dia tak betah untuk tinggal sendirian di sini dalam keadaan macam ni. Dia perlukan keluarganya. Walaupun ibu dan abah tak tahu cerita yang sebenar, dapat menatap wajah keduanya itu sudah cukup untuk buat hatinya tenang seketika. Kereta dipandu perlahan. Kepala masih berdenyut. Badan juga masih belum gagah. Wajahnya pucat.
Silau pancaran mentari makin buat kepala pening. Berpinar matanya. Tapi digagahkan juga. Hampir empat jam memandu, dia selamat sampai ke kampungnya. Wajah cuba dimaniskan seboleh mungkin. Tak mahu ibunya risau.
“Assalamualaikum.” Pintu depan tertutup rapat. Pasti ibu di dapur. Ika menapak ke dapur. Bau asam pedas pantas menyucuk hidungnya. Perut yang kosong sejak pagi serta-merta berkeroncong.
“Assalamualaikum. Ibu…” Seru Ika. Puan Siti sedang sibuk menghidang makanan. Bulat matanya memandang anak gadisnya muncul secara tiba-tiba di muka pintu dapur.
“Waalaikumussalam. Achik, kenapa tak bagitahu nak balik?” Tubuh anaknya dipeluk erat. Bahang panas dari tubuh itu dapat dirasa.
“Kenapa badan panas sangat ni? Muka pucat. Achik tak sihat ya? Dah, masuk dulu. Ibu pun dah siap masak. Kita makan dulu.” Tangan Ika ditarik masuk ke dalam. Tangan pun rasa panas. Memang sah anaknya tak sihat.
Nasi disenduk ke dalam pinggan. Ikan merah dimasukkan ke dalam pinggan anaknya. Runsing dia melihat keadaan Ika. Wajahnya betul-betul pucat. Mata pun nampak bengkak.
“Achik makan dulu. Lepas ni makan ubat. Rehat.” Kasih ibu tak ada tandingnya. Perlahan-lahan Ika menyuap nasi ke mulutnya. Asam pedas yang disediakan ibunya memang sedap tapi tekaknya tak dapat nak telan. Pahit semacam. Perit. Dia tak berdaya nak habiskan. Beberapa suap, dia sudah berhenti. Kalau dipaksa lagi, pasti semuanya akan terkeluar balik.
“Kenapa tak habis ni? Achik dah pergi klinik ke ni?” Puan Siti betul-betul risau. Teruk juga sakit anaknya ini.
Ika angguk. Dia meneguk air masak. Juga separuh gelas. Pinggan dibawa ke sinki. Mahu dicuci tapi ditegah oleh ibunya. Dia sudah tak mampu nak berdiri. Kepalanya kembali berdenyut.
“Achik naik dulu bu.” Ika melangkah perlahan menaiki tangga ke bahagian atas rumahnya. Pintu bilik dikuak. Tudung yang masih di kepala ditanggalkan. Badan dibaringkan dan mata dipejamkan. Sebentar saja dia sudah lena.
Riuh-rendah suara kanak-kanak bermain di laman mengganggu lenanya. Mata terasa berat untuk dibuka. Tangan diletak ke dahi. Panas sudah berkurang. Digagahkan juga untuk membuka mata. Perlahan-lahan dia bangun. Jam ditangan ditilik. Sudah hampir ke pukul enam petang. Lama betul dia tidur. Segera dia bangkit dari katil. Tuala dicapai. Badannya sudah melekit. Dia menjenguk ke dapur. Ibunya tiada. Mungkin di luar. Dia menapak ke bilik air.
“Dah bangun Achik?” Puan Siti muncul dari luar. Dia mengibas-ngibas badan yang berpeluh. Tudung ditanggalkan.
“Abah mana bu?” Dia masih belum bertemu abahnya sejak balik tengahari tadi. Macam mana nak jumpa kalau sekarang baru bangun.
“Ada di belakang sana. Tengok pokok dialah.” Puan Siti menuang air masak kemudian diteguk perlahan. Ika mengangguk dan kemudian masuk ke bilik air. Sudah tak tahan dengan badan yang melekit.
>> 
Bulan yang mengambang penuh langsung tak menarik perhatian Ika. Dia termenung kosong. Hatinya tak gembira. Mindanya kosong. Dirasakan sudah tak tahu apa yang patut difikirkan. Semuanya membebankan.
“Achik, kenapa termenung ni? Dari tadi ibu tengok Achik macam tak gembira aje. Ada masalah ke? Bergaduh dengan Faiz ya?” Tembak Puan Siti. Jarang Ika berkelakuan begini. Biasanya kalau balik ke kampung, bukan main gembira lagi. Tapi berlainan pula hari ini. Mungkin kerana anaknya kurang sihat.
“Taklah ibu. Achik pening sikit.” Seboleh mungkin dia tak mahu ibunya tahu masalah yang sedang dihadapi sekarang. Masalah ini adalah masalah ciptaannya sendiri.
“Betul ke ni? Ibu nampak macam lain macam saja?” Bukan baru sehari dua Ika jadi anaknya. Sudah berpuluh tahun. Dia tahu luar dalam anaknya.
“Taklah ibu. Achik tak ada masalah. Mungkin sebab banyak kerja. Tu yang pening sikit. Demam pun dah ok.” Ika membetulkan duduknya. Dia cuba senyum. Melihat wajah ibunya yang selalu mengharapkan kebahagiaannya, dia jadi bersalah.
“Kalau masalah kerja tak apa. Tapi kalau Achik ada masalah dengan Faiz, selesaikan baik-baik. Achik dengan Faiz tu dah bertunang. Tak lama lagi nak kahwin. Ibu ni bukan apa, tak nak masalah tu berlarutan.” Dia sukakan Faiz. Baik budaknya. Sopan bila bercakap dengan orang tua. Dia juga nampak yang pemuda itu begitu cintakan anaknya. Harapnya biarlah jodoh keduanya berpanjangan.
“Ibu jangan risau. Achik tak ada masalah dengan Faiz. Lagipun, dia tu baik. Tak pernah sakitkan hati Achik.” Faiz memang baik. Cuma dia saja yang seakan berubah hati. Dia pun tak tahu kenapa dia boleh jadi begitu.
“Baguslah kalau macam tu. Jadi, bila Achik nak buat persiapan? Lapan bulan tu bukannya lama sangat. Ibu tak naklah nanti majlis tu jadi huru-hara.” Dia sendiri pun sudah merisik tukang-tukang masak. Bukan apa, biar ditempah awal agar tak kelam kabut nanti.
“Ibu tak payah risaulah. Sekarang ni semuanya senang. Kat kedai tu semua ada.” Sejujurnya dia masih belum terfikirkan hal itu. Masalah yang datang bertimpa-timpa buat dia lupa pada perkara yang sepenting itu. Ditambah pula dengan hatinya yang sedang berbelah bahagi. Bercelaru semuanya.
“Memanglah kat kedai semua ada. Kalau tak dibeli, tak jadi juga.” Puan Siti mengeluh. Anaknya seakan tak ambil peduli tentang majlis perkahwinannya. Buat dia curiga. Betul ke tak ada masalah?
“Achik tak ada masa lagi nak buat semua tu sekarang. Nanti, bila lapang Achik selesaikan. Ibu jangan risau sangat. Dahlah bu, Achik peninglah. Nak masuk tidur dulu.” Ika tak selesa jika terus membincangkan hal itu. Makin menambah beban di kepalanya. Biar perkara yang lebih penting diselesaikan dulu.
“Ibu cuma nasihatkan. Achik fikirlah apa yang terbaik.” Puan Siti menurut langkah anaknya masuk ke dalam rumah. Kelakuan Ika agak berlainan. Pasti ada sesuatu yang tak kena.
Ika menutup rapat pintu bilik. Kepalanya tak pening. Matanya pun tak mengantuk. Itu semua alasan untuk dia duduk bersendirian. Memandang wajah ibunya buat hatinya tambah bersalah. Tingkap bilik yang tertutup dibuka semula. Dia memandang tepat ke arah bulan yang sedang mengambang. Cantik cahayanya. Tenang seketika.
Telefon bimbit berlagu nyaring. Ika biarkan saja. Dia tahu siapa yang menelefon. Kalau bukan Faiz, pasti Hilmi. Tak pun, si Syarifah. Dia tak rasa mahu bercakap dengan sesiapa. Dia mahu bersendirian. Beberapa kali telefonnya berdering dah hanya dibiar senyap tak berjawab.
Jam sudah menginjak ke pukul dua belas tengah malam. Matanya masih keras. Mungkin kerana siang tadi dia sudah tidur lama. Tingkap ditutup. Dia beralih pula ke katil. Telefon bimbit dicapai. Sudah dia jangka. Ada panggilan daripada Faiz. Ada juga panggilan dari Hilmi.
“Kenapa tak jawab call? Awak ok ke?”
Ika membaca mesej yang dikirim oleh Faiz. Tak terdetik di hatinya untuk membalas mesej itu. Badan direbahkan ke katil. Fikirannya menerawang jauh. Mengenangkan Faiz, dia rasa bersalah. Mengingatkan Hilmi, dia rasa sayang untuk dilepaskan. Tapi mahu atau tidak, dia terpaksa buat keputusan. Faiz mencintainya sepenuh hati sedangkan Hilmi belum tentu lagi mencintainya. Dia? Tak dapat dinafikan yang dia mencintai Hilmi tapi dia juga sayangkan Faiz. 
ngeh3...peaceeeeeeeeeeeeeeee yoooooooooooooooo....tq beribu2 lemon

3 comments:

  1. hi writer...sy rs ika perlu pilih faiz....tunangnya. what past is past...dia x seharusnya ikutkan ht.. emo pulak dgn sikap ika ni

    ReplyDelete
  2. Ooo..kak na...jgn terdera...hehe...
    Anonymous..hehe..hmm..cik writer pun rasa perkara yg sama tp kalo tetiba xpilih siapa2 mcm mana?

    ReplyDelete