2014-10-31

Kerana Aku Wanita 3



Assalamualaikum semua..salam sejahtera...Allahuakbar....maafle korang...lama giler baru boleh nk update sambungan novel ni...nak kata bz mengalahkan perdana menteri..tak juge..hehe..dah beberapa kali ingat nk update..tapi tak terupdate jugak...hari ni baru bleh nk update..huhu...apa2 pun selamat mmbaca la korang ek...macam yg sy ckp sebelum ni (err..ade ke??) e-novel terbaru sy ni agak berat...takde dh nk romantik2 terlebih..maklumlah..umur iols pun makin meningkat..kikikiki...so kenalah cuba sesuatu yg baru..takkanlah nk duk kat situ je smpai ke tua...ye dak??apa2 pun..korang baca dulu..kalo rasa ok, teruskan membaca..kalo rasa tak ok..korang buat2 la baca jugak..haha...ok bye..selamat mmbaca :)

Bab3

Sarah memberhentikan kereta di tepi jalan. Dah masuk daerah kelahirannya. Lima belas minit lagi sampailah ke rumah. Tudung warna merah jambu dicapai dan terus disarung ke kepala. Senang betul nak pakai tudung sekarang ni. Sarung aje. Tak perlu nak tengok cermin pun tak apa. Selesai dengan misinya, Sarah meneruskan perjalanan. Rasa bersalah? Kadang-kadang rasa juga tapi sekejap aje. Lepas tu dah tak rasa apa-apa.
Kereta Suzuki Swift warna merah diparkir di halaman rumah. Kelihatan Mak Jah sudah siap sedia menunggu di depan pintu utama. Cepat-cepat wanita itu mendapatkan anak gadisnya. Sungguh dia rindu. Kalau Sarah tak balik juga minggu ni, dia dah rancang nak pergi ke sana jumpa anaknya.
“Mak!” Sarah meluru keluar dari kereta dan terus memeluk emaknya. Ah, pelukan seorang ibu sentiasa ada magis. Hilang rasa rindu. Hilang segala penat memandu hampir empat jam bila tangan tua emaknya menggosok-gosok perlahan belakangnya.
“Balik juga kamu. Mak dah tak senang duduk tunggu kamu.” Mana taknya, Kuala Lumpur tu bukannya dekat. Macam-macam boleh berlaku. Bukannya mendoakan tapi beringat-ingat.
“Mak memang selalu macam tu. Bukan hari ni aje. Asal orang nak balik aje, mesti tak senang duduk dari pagi. Sarah oklah mak. Dah biasa dah.” Sarah geleng kepala. Macam tu lah dari dulu. Beg pakaian dicapai dan berjalan beriringan masuk ke dalam rumah.
“Ayah mana mak?” Sarah melirik jam di pergelangan tangan. Oh, dah nak masuk zohor. Ke suraulah tu.
“Suraulah. Mana lagi. Dah nak masuk zohor ni.”
“Mak masak apa hari ni? Laparlah. Tadi sempat makan roti aje sekeping.” Sarah gosok perut. Memanglah tak sempat kalau pukul sembilan setengah baru nak bangun. Itupun sebab mak telefon tanya nak bertolak pukul berapa.
“Ayam masak lada hitam. Kamu juga yang suruh mak masak tu semalam. Macam orang mengidam.” Mak Jah terus ke dapur. Nanti suaminya balik dari surau, boleh terus makan.
Sarah garu kepala. Ya ke? Entah, dia sendiri pun dah lupa. “Sedapnya, macam dah meleleh-leleh air liur Sarah ni.”
“Nanti. Tunggu ayah kamu balik dulu. Pergi solat zohor dulu.” Terbantut nak makan. Solat? Malaslah.
“Orang cutilah mak.” Tudung yang masih melekat di kepala segera ditanggalkan. Terlupa pula pakai tudung. Patutlah panas semacam. Macam biasa, rambut dah kembali ke warna asal.
“Pergi simpan dulu beg kamu tu dalam bilik. Mak dah kemaskan bilik kamu tu.” Sarah akur. Beg pakaian dibawa masuk ke dalam bilik. Ah, rindunya bilik. Walaupun kecil tapi banyak kenangannya. Sarah merebahkan diri ke katil. Rasa macam dah setahun tak balik. Katil ni memang betul-betul ada aura. Walaupun tilamnya bukan berharga ribuan ringgit, tapi bila baring, cepat aje mata ni nak tertutup. Selesa dia tu lain macam.
“La, orang suruh dia bawa beg masuk bilik. Patutlah senyap.” Mak Jah hanya mampu geleng kepala. Biarkan ajelah. Penat sangat agaknya memandu tadi. Pintu bilik segera ditutup.
“Kita makan dululah bang. Anak awak tu dah tertidur. Penatlah tu. Tadi cakap lapar. Tapi bila dah dapat bantal busuk dia tu, tak sampai lima minit dah berdengkur.” Mak Jah senyum. Tak berubah dari dulu. Pantang betul dapat katil. Tidur ajelah kerjanya. Macam manalah nak kahwin.
>> 
Sarah buka mata perlahan-lahan. Cuba mengingati semula kejadian sebelumnya. Eh, aku kat kampunglah. Pantas matanya mencari jam di pergelangan tangan. Aduh, macam mana boleh tertidur pulak ni? Perutnya mencucuk-cucuk. Lapar sangat!
“Hah, dah bangun dah? Pergi mandi dulu, lepas tu makan. Lauk semua mak dah simpan bawah saji tu.” Mak Jah sedang lipat kain sambil menonton siaran Al-Kuliyyah.
“Kenapa mak tak kejutkan Sarah. Laparlah mak.” Sekali lagi dia merebahkan diri ke kerusi. Penat semacam aje badan ni. Seronoknya kalau boleh sambung tidur.
“Dah kamu tu tidur sampai berdengkur, kesian pula mak tengok. Dah, tak elok tidur petang-petang ni. Cepat pergi mandi sebelum ayah kamu tu membebel lagi panjang.” Malas-malas Sarah bangun dari pembaringannya. Sejak balik, tak jumpa lagi dengan ayah. Petang-petang macam ni mesti pergi minum kopi kat warung. Tak pun duduk kat surau tu.
Pancuran air membuatkan matanya serta-merta segar. Sejuknya! Baru kena sikit dah menggigil satu badan. Jauh beza dengan rumah sendiri kat Kuala Lumpur. Ada air panas. Tahankan ajelah. Dulu boleh aje. Cepat-cepat Sarah menyudahkan mandi. Tuala dibalut kemas ke tubuhnya. Gigi berlaga-laga. Bibir pun dah nak biru. Ini petang, kalau mandi pagi tak tahulah macam mana.
Siap berpakaian, Sarah terus meluru ke dapur. Perut dah naik sebu. Sikit lagi tahan tak makan, muntahlah jawabnya. Nasi disenduk masuk ke dalam pinggan. Tudung saji segera dibuka. Ayam masak lada hitam segera disudu masuk ke dalam pinggan. Tak sempat baca doa, tangan dan menyuap nasi ke mulut. Tak senonoh betul. Sedapnya!
“Kau tak makan ke kat sana? Kurus betul mak tengok kau ni.” Mak Jah geleng kepala tengok anak daranya. Gaya macam tak makan sebulan. Kata hari-hari masak.
“Mak masak sedap sangat. Lama tau mak Sarah tak makan ayam masak lada hitam sedap macam ni. Kat sana lain rasanya.” Tak sampai lima minit, pinggannya dah hampir licin. Dah berkira-kira nak tambah lagi. Lantaklah kalau gemuk pun. Kalau tak makan banyak lagi rugi.
“Dah kamu tu yang susah sangat nak balik. Kalau selalu balik, dapatlah selalu makan.” Perli baik punya. Sarah hanya senyum kambing. Terkena batang hidung sendiri juga akhirnya.
“Ayah mana ni mak? Sarah tak jumpa lagi ayah ni. Kata tak sihat tapi berjalan mengalahkan orang muda.” Nasi disenduk lagi masuk ke dalam pinggan. Silap haribulan habis juga nasi seperiuk ni.
“Pergi rumah Haji Jamil. Esok Haji Jamil nak buat kenduri doa selamat sikit. Tu yang ayah pergi tolong-tolong.” Haji Jamil tu dah jadi macam abang kandung. Rapat sangat. Naik haji pun sama-sama.
“Kenduri doa selamat apa mak?” Mulut penuh dengan nasi. Memang budak ni tak senonoh. Tak apa, depan mak aje pun.
“Anak bongsu dia tu dah habis belajar kat Mesir. Apa nama dia, mak lupa. Dah lama sangat kat Mesir tu.” Mak Jah garu kepala. Hanya wajah anak Haji Jamil aje yang terbayang di mata.
“Anak bongsu Haji Jamil?” Sarah kerut dahi. Anak Haji Jamil ada lima. Seingat dia yang bongsu tu lelaki. Apa nama dia?
“Hadi!” Dah ingat dah. Budak Hadi yang dia selalu kacau dulu tu. Dah tu baik sangat. Walaupun budak lelaki tu tua setahun daripadanya, tapi apa ada hal. Minah brutal macam dia mana takut dengan orang.
“Hah, Hadi. Ustaz Hadi dah sekarang. Kadang-kadang dia ada juga mengajar kat surau tu. Sekarang ni dia dah kerja kat KL. Sekali-sekala balik, dia mengajarlah. Suka mak dengar dia bagi ceramah. Stail orang muda-muda sekarang.” Baik budaknya. Kalau jadi menantu memang syukur Alhamdulillah.
“Dah jadi ustaz dah dia sekarang. Sarah ingat lagi dulu mak. Sarah selalu usik dia. Ada sekali tu Sarah tolak dia masuk sungai. Habis lencun satu badan. Nasib baik dia tu budak baik, tak melawan.” Kenangan waktu zaman budak-budak memang susah nak lupa lebih-lebih lagi kalau yang nakal-nakal tu.
“Ish, kamu ni Sarah. Kenapalah buat orang macam tu. Ini, kalau ayah kamu dengar ni habislah kamu.”
“Dah dengar dah pun.” Tersedak Sarah dibuatnya. Serta-merta kedua-duanya berpaling ke arah Haji Man. Nak buat apa lagi, sengih ajelah.
“Ayah, apa khabar?” Tangan ayahnya disalam. Tangan kiri aje yang available. Hentam sajalah.
“Alhamdulillah. Kamu cuti lama ke?” Haji Man menanggalkan kopiah putih dan meletakkannya di atas meja. Rambutnya sudah banyak bertukar warna putih.
“Ahad baliklah ayah. Isnin dah kena masuk kerja.” Pinggan kedua sudah licin. Sarah membawa pinggannya ke sinki. Perut rasa ketat. Mahu tak ketat, dua pinggan licin.
“Eloklah tu. Esok bolehlah kamu pergi rumah Haji Jamil. Tolong apa yang patut.” Sarah jatuh rahang. Wajib ke? Malulah nak pergi.
“Hah, eloklah. Kamu pun dah lama tak jenguk Mak Wan. Mak Wan tu selalu tanya pasal kamu.” Mak Wan, isteri Haji Jamil. Dulu mereka memang rapat. Kak Hana, anak ketiga Mak Wan tu memang rapat dengan Sarah masa kecil-kecil dulu. Sekarang, bila masing-masing dah kerja jarang dapat jumpa.
“Inshaa Allah. Kak Hana balik ke mak?” Bagus juga kalau pergi. Bolehlah jumpa Kak Hana. Dah berapa anak Kak Hana sekarang agaknya. Maklumlah orang kahwin awal.
“Balik katanya. Lagipun Hana tu bukannya duduk jauh pun.” Sarah sekadar mengangguk. Tiba-tiba rasa tak sabar nak pergi. Hehe...janganlah si Hadi tu ingat lagi apa yang pernah dia buat dulu. Tak cam dia langsung pun lagi bagus.
>> 
Sarah membetulkan tudung warna merah hati yang melekat di atas kepalanya. Maklumlah tak biasa pakai. Bila pakai rasa canggung, mulalah rasa serba tak kena. Tetamu masih tak ramai. Masih awal. Sengaja dia datang awal. Kononnya nak temankan mak. Lagipun kalau pergi lambat mesti ayah bising.
            “Lamanya Mak Wan tak tengok Sarah. Makin cantik dah sekarang ni.” Mak Wan peluk tubuh Sarah. Serba salah Sarah dibuatnya. Layankan ajelah.
“Elok sangatlah tu buat menantu,” sampuk seorang mak cik disambut gelak ketawa oleh tetamu yang lain. Entahlah siapa, Sarah tak kenal. Agak-agaklah mak cik. I dah ada pakwe tau. Tak mainlah kahwin pilihan mak ayah ni.
“Mak Wan sihat ke? Sarah pun dah lama tak tengok Mak Wan. Sibuk dengan kerja Mak Wan.” Pelukan dileraikan. Mak Wan ni, dari muda sampai ke dah bercucu sederet ni pun masih cantik lagi. Macam manalah anak-anak Mak Wan tak cantik. Kak Hana tu, berebut-rebut orang nak. Cantik!
“Sihat orang tua Sarah. Kadang-kadang sihat kadang-kadang tak. Nasib baiklah anak-anak semua dah ada depan mata. Tak adalah Mak Wan risau sangat.”
“Mak Wan kuat lagi ni. Tengok, kulit pun tak berkedut lagi. Kongsilah sikit rahsia Mak Wan.” Dah ke situ pula dia mengarut. Tak tahu nak cakap apa sebenarnya.
“Ish, kamu ni Sarah. Dari dulu sampai sekarang tak berubah perangai. Suka sangat nak menyakat.” Lengan Sarah ditampar lembut. Sarah sengih lagi. Nak buat macam mana, dah perangai sejak azali.
“Tak payah dilayan sangat si Sarah tu Wan. Menjadi-jadi nanti. Sarah, baik kamu tolong mak susun lauk ni.” Sarah akur. Kenalah tunjuk baik sikit kan. Air muka mak ayah kena jaga. Kalau kat KL lainlah.
“Kak Hana tak sampai lagi ke Mak Wan?” Sarah tilik jam. Takkan tak sampai lagi. Kata duduk dekat aje.
“Dalam perjalanan katanya. Anaknya yang kedua tu tak sihat sikit. Tu yang lambat tu.” Sarah menangguk. Anak kedua. Maksudnya mesti ada anak ketiga. Kalau tak mesti Mak Wan cakap anak bongsu kan? Eh, apa-apa sajalah.
“Hadi mana Wan?” soal Mak Jah. Dia bukan apa, suka tengok wajah si Hadi tu. Sejuk aje rasanya.
“Kat depanlah agaknya tu. Sarah ingat lagi dengan Hadi kan?” soal Mak Wan.
Gila tak ingat. Dah sampai terjun sungai budak tu dikerjakannya. Tapi tak tahulah kalau si Hadi tu tak ingat. Nasib baik. “Ingat kut Mak Wan. Dah lama tak jumpa. Muka pun dah tak berapa nak cam.” Budak lelaki kan cepat matang. Lagilah kalau dah simpan misai dan janggut. Memang tak camlah jawabnya.
“Tulah. Habis aje SPM, terus ke Mesir. Dekat sepuluh tahun jugaklah Hadi kat sana. Sarah pun bukannya duduk kat kampung ni.”
“Aku ni Wan, kalau ada anak perempuan, dah lama aku pinang si Hadi tu. Ada anak pun semua dah kahwin. Tinggal yang lelaki aje.”
“Aku pun.”
Eh, mak cik-mak cik ni. Macam tak ada orang lain dah nak buat menantu. Yang satu tu juga direbutnya. Handsome sangat ke si Hadi tu sekarang? Dulu biasa-biasa aje. Macam terpanggil-panggil pula hatinya nak tengok rupa si Hadi tu.
“Jah, si Sarah ni dah berpunya ke? Elok sangatlah kalau kamu berbesan dengan si Wan ni. Lagipun, bukan orang lain. Dah lama kenal kan?” Mak Jah hanya senyum sebaris. Tak pernah pula dia tanya hal itu kepada Sarah. Dia tak mahu mendesak. Lagipun itu hal masa depan anaknya. Biarlah Sarah sendiri yang tentukan.
Amboi mak cik ni. Lebih-lebih pula dia. Nak jadi matchmaker pula dia. Tak berminatlah mak cik. Pakwe saya tu berganda-ganda lagi handsome tau dari si Hadi tu. Lagipun si Hadi tu ustaz. Saya ni, aduh. Jauh bezalah mak cik. Tak apalah mak cik ya. Terima kasih aje.
“Takkan kita nak paksa pula. Biarlah tuan badan buat pilihan sendiri.” Mantap jawapan Mak Wan. Sayang Mak Wan.
Tapi hati Sarah ni macam meronta-ronta nak tengok si Ustaz Hadi tu. Tapi mesti sama macam ustaz-ustaz yang ada tu. Janggut panjang, pakai kopiah, tak pun lilit serban. Pakai kain pelikat aje. Ish, tak sesuailah. Macam langit dengan bumi. Dia dahlah pakai baju tak cukup kain, rambut warna-warni, pergi kelab malam pula tu. Haru hidup kalau kahwin dengan ustaz. Tak nak!

p/s: utk korang yg akan berkonvo..atau baru berkonvo...tahniah sy ucapkan!!!! adik kite pun nk konvo jugak hujung bulan depan...hikhik...selamat dtg ke alam pekerjaan...semoga terus sukses...kita sama2 doa ok!

No comments:

Post a Comment