2013-06-17

tanya sama hati 39

http://i242.photobucket.com/albums/ff176/azrifit/Assalamualaikum.gif 

salam sejahtera semua kawan2..hehe..lama tak update citer nih...sorryla...mggu lepas stress ngan exam..n now..exam da abesss..hehehe..suka2..tapi esemen melambak lagi tak siap..huhuhu...ape2 pun...harap korang enjoy ngan smbungan citer nih okeh...daaaaaaaaaa.....

Bab 39
Riuh rendah suara sanak saudara di dapur sedikit sebanyak mengurangkan debaran di dadanya. Dalam beberapa jam sahaja lagi status dirinya akan bertukar. Menjadi tunangan orang. Sekali lagi jari manisnya akan disarungkan cincin sebagai tanda. Dalam gembira menanti, dia mengaku ada debar.
“Tak payah takut sangat. Kau bukannya nak pergi mengadap Yang Dipertuan Agong. Nak jumpa bakal mak mertua saja. Rileks.” Pesan Syarifah semalam semasa dia meluahkan rasa hatinya. Betul juga cakap Syarifah. Bukannya tak pernah jumpa.
“Achik, dah siap ke? Sekejap lagi rombongan nak sampai.” Puan Siti masuk ke bilik anaknya. Ika sudah cantik didandan. Tinggal nak pakai tudung saja.
Lama Puan Siti merenung anaknya yang cantik disolek. Lain benar rupanya jika dibandingkan dengan sepuluh tahun dulu. Dah semakin cantik. Makin matang.
“Kenapa ibu pandang Achik macam tu? Tak cantik ke bu?” Ika pandang wajahnya yang sudah siap dirias di cermin. Dia tak biasa bersolek tebal begini. Sudah dipesan pada Kak Hajar agar solekannya jangan terlalu ketara. Dia tak suka.
“Cantik. Anak ibu memang cantik. Cuma ibu macam tak percaya anak ibu dah besar. Dah nak bertunang pun.” Puan Siti senyum. Ika membalas senyum ibunya.
“Cepatlah siap. Ibu ke dapur dulu. Nak siapkan apa yang patut.” Ika angguk. Puan Siti melangkah keluar. Tudung berwarna merah hati disarungkan ke kepala. Cantik. Berseri-seri wajahnya.
“Dah siap.” Kak Hajar yang bertindak sebagai jurusoleknya hari itu membuat sentuhan terakhir. Dia pandang atas bawah. Berpuas hati dengan kerjanya.
Ika pun puas hati walaupun dia malu nak bersua muka dengan Faiz dengan keadaan wajahnya yang tebal disolek. Tak pernah Faiz nampak dia bersolek begini. Apa reaksi lelaki itu agaknya. Suka ke?
>> 
Cincin belah rotan sudah bertukar rupa. Kini cincin emas bertatahkan tiga biji berlian menghiasi jari manisnya. Ika mengucap syukur. Dia kini sah menjadi tunangan kepada Faiz. Lelaki yang dikenalinya beberapa tahun dulu. Cinta? Biarkan ia datang secara perlahan-lahan. Dia yakin.
Faiz tak berkelip memandang tunangnya. Ika nampak lain benar. Tak dia nafikan memang cantik. Senyuman yang diukir wanita itu buat dia makin tak sabar nak memiliki diri itu secara mutlak. Cepatlah masa berlalu. Dia sudah tak sabar nak mengecap bahagia yang sering diimpi.
“Sayang cantik hari ni.” Bisik Faiz sewaktu mereka dipaksa bergambar oleh saudara mara. Ika nak mengelak tapi banyak pula suara-suara yang mencucuk. Mahu tak mahu, terpaksalah.
“Hari ni aje?” Laju bibirnya bertanya. Kemudian, dia malu sendiri.
“Hari-hari pun cantik. Tapi hari ni cantik lebih sikit. Geram abang tengok.” Ika telan liur. Biar betul Faiz ni. Dah makin berani pula bergurau. Cepat-cepat dia berdiri. Mencari alasan untuk menjarakkan diri daripada lelaki itu. Bahaya!
Ika mendekati bakal ibu mertuanya. Di sebelahnya ada seorang lelaki. Dia tak pernah lihat sebelum ini tapi dari bentuk wajahnya, seiras dengan tunangnya. Ini ke bakal bapa mertuanya? Faiz langsung tak perkenalkan. Dia faham.
“Ika, ini papa Faiz.” Puan Sofia memperkenalkan lelaki di sebelahnya. Mungkin Ika tertanya-tanya.
“Oh, apa khabar pak cik. Jemputlah makan.” Tak salah tekaannya. Wajah mereka memang seiras. Daripada riak wajah lelaki yang mungkin sebaya abahnya ini, dia tak rasa lelaki ini seburuk yang digambarkan Faiz. Lelaki itu nampak seperti lelaki baik.
“Maafkan pak cik. Masa merisik tempoh hari pak cik tak dapat datang. Ada kerja yang tak dapat dielak.” Lembut suara Encik Zainal membuatkan Ika terlupa akan cerita yang pernah diberitahu oleh Faiz.
“Tak apa pak cik. Yang penting hari ni pak cik ada.” Kalau Faiz tak ceritakan mengenai keluarganya, dia tak akan dapat mengagak yang lelaki ini seperti yang diceritakan. Faiz reka cerita? Ah, manusia adalah pelakon yang terbaik.
Ika melepas nafas lega setelah semuanya selesai. Sebulan dia bertungkus lumus bagi memastikan majlis hari ini sempurna. Tak sia-sia usahanya. Dapat dilihat senyum bahagia ibu dan abahnya. Dia puas. Dirinya? Itu tak penting.
>> 
Hilmi mendukung anaknya yang sudah semakin besar. Badan pun bukan main berisi lagi. Makin geram dibuatnya. Bila si kecil ini senyum, terpamer lesung pipit di kiri dan kanan pipinya. Betul-betul mewarisi mamanya.
“Mi, jangan lama-lama sangat di luar tu. Anak kamu tu kecil lagi.” Tegur Puan Zalina. Gembira dia tengok bila Hilmi sudah semakin pulih. Dah tak muram seperti mula-mula kehilangan isteri dulu. Dah boleh senyum. Dah berselera makannya.
Hilmi mengacah anaknya membuatkan si kecil itu menggeliat. Menahan geli agaknya.
“Papa mana ma? Dari pagi tadi Mi tak nampak dia.” Takkanlah papanya ke kebun sampai ke petang begini. Biasanya sebelum makan tengahari dah tercongok di rumah.
“Ada kerja di luar katanya. Lepas subuh tadi dia keluar. Mama tanya ke mana, dia tak jawab pula. Pelik juga tapi tak apalah. Mungkin kerja penting. Katanya esok baru balik.” Puan Zalina tak ambil kisah sangat. Kalau dulu mungkin dia akan menyelidik sehabisnya tapi sekarang dia dah malas. Dia percayakan suaminya. Lagipun cucu dan anaknya ada di rumah.
“Selalu ke papa bermalam di luar?” Dah pencen pun masih aktif lagi. Memang kuat bekerja betul. Dari dulu sampai sekarang.
“Taklah selalu. Adalah dua tiga kali. Dia pergi pun dengan Dollah. Tu yang mama tak kisah sangat.” Hilmi mengangguk. Perhatiannya masih lagi kepada si kecil.
“Ilham ikut papa balik rumah kita nak?” Hilmi sekadar mengacah. Dia tahu mamanya tak akan benarkan.
“Jangan nak mengada-ngada. Budak tu kecil lagi. Mama pun bukan ada kerja di sini. Nak jaga sampai besar pun tak apa.” Bunga ros yang mekar di dalam pasu itu dibelek. Lama tak memanjakan pokok-pokoknya. Sejak menjadi nenek, dia asyik sibuk dengan cucu sahaja.
“Mi bergurau ajelah mama. Lagipun, minggu depan Mi outstation.” Hilmi menghirup teh yang sudah hampir sejuk.
“Kesian cucu nenek. Rindukan papa ya? Suka sangat bila papanya balik. Tidur pun tak nak. Asyik nak main dengan papanya saja.” Ilham semakin aktif. Pantang diacah sedikit, pasti mulutnya berbunyi.
“Mi tak bosan hidup seorang?” Anaknya masih muda. Tipulah kalau tak rasa kesunyian.
“Terpaksalah biasakan diri. Lagipun kerja kat ofis tu banyak. Tak sempat nak rasa sunyi. Balik rumah dah penat. Tak sempat nak fikirkan apa-apa dah tertidur.” Walaupun pahit, dia terpaksa telan jua. Walaupun payah, dia akan tetap gagah harunginya.
“Mi tak nak cari ganti?” Kesian juga melihat anaknya hidup sendirian. Lagipun, anaknya masih mampu. Takkan selamanya nak hidup seorang diri begini. Kalau ada isteri lainlah sikit. Tak adalah dia bimbang sangat nak serahkah Ilham.
“Ma, arwah baru aje sebulan pergi. Tanah kubur pun masih merah lagi. Mi tak pernah fikir nak cari pengganti. Dan Mi tak nak cari pengganti.” Tak terlintas langsung di hatinya. Nur Jannah adalah yang pertama dan dia harap biarlah wanita itu juga jadi yang terakhir. Dia tak akan dapat cari Nur Jannah yang kedua.
“Mama faham perasaan Mi. Tapi takkan selamanya Mi nak hidup macam ni. Ilham pun perlukan kasih sayang seorang ibu. Bukan mama tak sudi nak jaga Ilham, tapi mama ni dah tua Mi. Entah esok lusa giliran mama pula. Waktu tu, siapa yang nak jaga Ilham?” Dia tak minta anaknya cari pengganti sekarang. Dia tahu betapa sayang Hilmi pada Nur Jannah. Dia cuma mahu anaknya berfikir untuk masa depan.
“Ma…Hilmi ada. Hilmi boleh jaga Ilham. Mama tak perlu risau.” Dia tak suka bila topik itu diutarakan. Dia tak mahu fikir dan dia benci untuk memikirkannya.
“Cakap memang senang Mi. Jaga anak bukan macam jaga kucing. Cukup masa bagi makan. Kucing, kalau kita dah tak suka, boleh buang kata mana-mana saja.” Hilmi hanya mendengar. Bukan mengiyakan tapi dia betul-betul tak terfikir akan perkara itu.
“Mama tak mahu cucu mama kekurangan kasih sayang. Sayang seorang ibu dengan sayang seorang ayah lain Mi. Mama bukan nak suruh Mi lupakan Nur Jannah tapi mama nak Mi fikirkan mengenai anak Mi. Apa perasaan dia nanti bila semua kawan-kawannya bercerita mengenai ibu masing-masing? Bila kawan-kawannya menunjukkan makanan yang dibekalkan oleh ibu masing-masing.” Wajah cucunya dipandang. Kasihnya tertumpah di situ.
“Mama bukan nak paksa Mi. Mama cuma bagi pendapat. Keputusan semuanya di tangan Mi. Kamu fikirlah apa yang terbaik buat diri kamu. Buat anak kamu.” Tangan anak sulungya digenggam erat. Wajah itu tak seceria tadi.
Hilmi menarik nafas panjang. Mamanya tak salah. Kata-kata itu memang ada betulnya. Cuba hatinya tak terdetik untuk menduakan Nur Jannah. Dia tahu dan sedar yang Nur Jannah sudah tiada dan tak timbul soal orang kedua tapi dia tetap tak mampu nak lakukannya. Hatinya seolah sudah tak kenal erti cinta. Nur Jannah sudah bawa pergi rasa itu bersama jasadnya.
  sdikit teaser utk bab 40...hehehehehe....

Bab 40
Lobak merah, bunga kobis, tomato, kacang buncis, serai, bawang, cili, dan ayam. Satu persatu barang yang berada di dalam troli diperiksa. Ika kerut dahi. Apa lagi bahan yang dia perlukan untuk membuat paprik? Rasanya sudah cukup. Troli ditolak ke sudut yang lain.
“Cik Zulaikha!” Sepantas kilat Ika berpaling ke arah suara yang agak kuat menyebut namanya itu. Seorang gadis sedang tersenyum memandangnya. Gadis itu juga sedang menolak kereta sorong. Tapi bukan berisi barang. Berisi seorang bayi.
“Hai. Anak?” Entah macam mana dia boleh terus tembak gadis itu dengan soalan begitu. Takkan anak kut. Belajar pun tak habis lagi.
“Yup.” Selamba gadis itu menjawab. Bulat mata Ika. Biar betul? Bila masa pula budak ni mengandung?
“Anak saudaralah Cik Zulaikha.” Gadis itu tersenyum, mempamerkan barisan gigi yang tersusun cantik.
“Oh, ingatkan anak betul. So, awak buat apa kat sini?” Ika mencuit pipi gebu bayi itu. Comel. Putih melepak.
“Buat kuih kut.” Zaza ketawa. Sekali lagi dia berjaya mengenakan pensyarah muda itu. Ika turut ketawa. Apa punya soalanlah. Dah namanya pasaraya. Beli baranglah.
“Awak seorang ke? Mana mama dia?” Ika tak nampak sesiapa di situ. Hanya Zaza seorang.
“Mama dia tak ada. Dia cuma ada papa aje.” Senyumnya tak selebar tadi.
Ika tak faham. Dahinya kembali berkerut. Mama tak ada? Cuma ada papa? Apa maksud Zaza. Pantas ingatannya teringatkan peristiwa dua bulan lepas. Maksudnya, inilah bayi yang kehilangan ibunya sejurus selepas kelahirannya itu? Ika pandang anak kecil yang sedang nyenyak tidur itu. Kasihan.
“Oh, sorry. Saya terlupa.”
It’s ok. Lagipun dah biasa. Dah dua bulan kan?” Dua bulan yang dirasakan sangat panjang. Masih terasa kehilangannya.
“Zaza, ada lagi yang nak dibeli?” Kedua-duanya berpaling ke arah suara yang tiba-tiba mencelah. Pandangan Ika tak berkelip. Betulkah apa yang matanya nampak sekarang ini? Betulkah lelaki itu sedang berdiri di hadapannya?

 http://3.bp.blogspot.com/-T-hN9zeHYr8/TfN7SAMliiI/AAAAAAAAACM/CEgE6D1hYC8/s1600/Thanks%2Bfor%2Breading%2521.jpg

No comments:

Post a Comment