Bab 2
Sarah menyemak jadual
kerjanya. Berkira-kira bila dia boleh ambil cuti untuk pulang ke kampung. Kalau
nak diikutkan, jadual memang padat sampai hujung bulan. Pen diketuk-ketuk ke
meja. Kalau orang di luar tengok, nampak macam bersungguhnya dia fikirkan
kerja. Padahal, fikir nak cuti. Dia bukan apa, tak nak mak bising lama-lama.
Lagi lambat dia balik ke kampung, lagi lamalah mak berbunyi. Kalau tak buat
sekarang, esok lusa dia kena buat juga. Sarah bulatkan satu tarikh. Confirm.
Hanya perlu isi borang cuti. Bukannya susah sangat nak bodek bos.
Tambah-tambah, bosnya itu lelaki. Hidung belang pulak tu. Pantang nampak perempuan
cantik dan seksi, mulalah penyakit miang ulat bulunya menjadi. Layankan ajelah.
Kalau tak, bukan senang dia nak naik pangkat macam sekarang. Nak hidupkan...
“Cik Sarah, bos nak jumpa.” Tak sedar bila pintu biliknya
diketuk. Sedar-sedar si Zana ni dah terpacul kat depan pintu. Elok sangatlah
tu. Boleh terus minta cuti. Sarah membetulkan rambutnya. Menilik solekan di
wajah. Skirt kembang separas lutut warna merah hati dibetulkan. Apalah yang
orang tua tu nak agaknya.
Hampir
empat puluh lima minit di dalam bilik Datuk Robert, Sarah keluar dengan muka
berserabut. Orang tua tak sedar diri. Tak sah kalau tak menggatal. Ada ke patut
nak suruh temankan dia pergi bercuti ke Thailand? Tak masuk akal betullah atuk
sorang tu. Ke mana hilang semua perempuan simpanannya sampai pekerja sendiri
pula yang nak dijadikan mangsa? Kalau dah kemaruk sangat, bawa ajelah bini tua
dia tu. menyusahkan orang betul. Nasib baik Sarah bagi alasan nak ambil cuti
sebab ayah sakit. Macam tak biasa menipu kan? Tapi betul apa, ayah memang tak
sihatkan sekarang ni?
“Bos
nak apa cik Sarah? Kenapa muka tu nampak stress sangat?” tegur Zana. Mahu tak
stress dapat bos gatal miang macam tu.
“Tak
payah bagitahu pun mesti kau boleh agak. Dasar orang tua gatal.” Sarah lepaskan
geramnya. Zana dan beberapa lagi pekerja yang ada di situ ketawa mendengar.
“Macam
tulah lelaki kalau bini dah expired.
Nak nak yang poket tebal. Perut memboyot pun ramai yang nak.” Bab mengata bos
memang kepakaran pekerja-pekerja kat sini. Satu pejabat memang dah tahu perangai
bos mereka tu. Silap-silap bini dia kat rumah pun tahu. Saja buat-buat tak
tahu. Nanti kalau bising kena cerai, tak dapat harta. Putih mata. Melopong.
“Dahlah,
baik aku siapkan kerja aku cepat-cepat. Hari Jumaat ni aku cuti tau.” Tak susah
pun nak minta cuti dengan bos tu. Gatal memang gatal tapi sebab perangai gatal
tulah senang nak ambil kesempatan. Yang itu memang kepakaran Sarah. Setakat
kenyit-kenyit mata, buat suara gedik-gedik, puji sikit-sikit, tak ada hallah.
“Cuti?
Kenapa? Cik Sarah ikut bos pergi mana-mana ke?” Cepat Zana bertanya. Manalah
tahu kut-kut bos berjaya pujuk Sarah.
“Gila
ke nak ikut dia? Silap hari bulan aku kena bom macam si Altantuya tu. Aku nak
balik kampung sekejap. Mak aku dah bising.” Seram bila fikirkan perkara-perkara
macam tu. Malang tak berbau. Maut pun tak menunggu. Bini Datuk Robert tu pun
boleh tahan juga samsengnya. Ada bodyguard
merangkap pemandu peribadi. Entah-entah merangkap anak ikan sekali. Tak
mustahil kan?
“Hai
Sarah. Lajunya jalan. Nak pergi mana?” Ini lagi sorang makhluk tak reti bahasa.
Kenapalah dia masih bertahan kerja kat pejabat ni pun tak tahulah. Bos satu
hal, mamat muka tembok ni satu hal.
“Banyak
kerja.” Malas nak layan. Makin dilayan makin menjadi. Bukannya Kamal tak tahu
yang dia dah ada Roy. Siap dah jumpa Roy lagi. Tapi tetap juga tak faham-faham.
Nak juga menggatal. Macam dah tak ada perempuan lain kat dunia ni. Dalam
pejabat ni pun berlambak lagi perempuan yang solo. Tahulah aku ni cantik. Oh,
perasan lagi.
“Amboi,
kerja apa yang banyak sangat tu? Nak saya tolong? Saya tengah tak ada kerja
ni.” Kamal menahan pintu bilik Sarah. Ada juga yang kena sumpah seranah aku
nanti.
“Terima
kasih ajelah. Aku masih boleh buat sendiri. Kalau kau tak ada kerja sangat, kau
pergi depan sana, tolong kak Rafidah tu. Dah tak menang tangan dia buat kerja.
Dahlah tengah sarat. Berganda-ganda pahala kau.” Tolonglah jangan kacau. Tak
larat aku nak tengok muka tempe kau tu.
“Orang
nak tolong tak sudi pula. Yalah, siapalah kita ni.” Jauh hati.
Hah,
tahu pun. Sedar diri pun. Kalau dah sedar, cepat-cepatlah berambus. Tak aman
aku nak buat kerja kalau kau asyik tercegat kat depan tu.
“Encik
Kamal, bos panggil!” laung Zana. Syukur Alhamdulillah. Macam tahu-tahu pula bos
ni ya. Entah-entah bos nampak si Kamal ni tengah mengganggu. Bos tu bukan boleh
kira.
“Hish,
orang tua ni. Tak boleh tengok orang senang langsung.” Sarah mencebik. Padan
muka. Kalau nak bersenang-lenang, tak payah kerja. Sarah cepat-cepat habiskan
kerjanya. Roy kata dia habis kerja awal hari ni. Bukan senang Roy boleh balik
awal. Jadi ianya harus diraikan.
>>
Rancangan tergendala.
Tak pasal-pasal malam ni hanya terperap kat rumah. Elok-elok si Roy pulang
awal. Rancangnya nak ‘berdating’ di bawah sinaran rembulan. Tengah-tengah
teruja tu, si Melissa pula telefon. Katanya mahu datang ke rumah. Mustahak. Apa
ajelah yang mustahak tu. Masa telefon bukan main lagi. Macam nak sampai masa tu
juga. Ini dah setengah jam menunggu, tak juga sampai-sampai. Kesian Roy,
terpaksa pergi beli nasi bungkus.
Loceng
berbunyi. Sarah bingkas bangun. Sampai pun. Pintu utama dikuak. Terpacul wajah
kelat Melissa. Dah kenapa pula muka macam ayam berak kapur ni? Melissa meluru
masuk sebaik sahaja pintu besi dibuka. Pelik sungguh minah ni.
“Kau
ni tak reti nak bagi salam ke masuk rumah orang?” Pintu ditutup kembali. Sarah
mendekati Melissa yang sudah terbaring di sofa. Apahal sebenarnya ni?
“Kau
kenapa beb?” Tolonglah berterus-terang aje. Kalau senyap macam ni, baik tak
payah datang. Buat sakit hati aje. Dahlah terlepas nak beromantik dengan Roy.
“Aku
dah putus dengan mamat tak guna tu!” Melissa lepaskan apa yang terpendam.
Bantal segi empat ditekup ke muka. Sarah melopong. Putus? Biar betik?
“Serius?”
“Taklah,
aku main-main aje. Kau tak nampak ke muka aku ni?” Geram pula. Tak bagitahu,
membebel. Bila dibagitahu tak nak percaya pula. Perempuan tipikal.
“Tak
adalah, maksud aku kenapa?” Ini mesti kes si Darren dah terkantoi ni.
“Dia
ada betina lain. Berani dia main-main dengan aku.” Dah agak dah. Patutlah asyik
outstation. Cari ‘kerja’ rupanya. Cari
penyakit sekali.
“Macam
mana boleh terkantoi?”
“Perempuan
tu datang cari aku. Tengah mengandung empat bulan. Kurang ajar betul si Darren
tu. Dah lama rupanya dia perbodohkan aku. Dasar lelaki tak kenang budi.” Marah
betul Melissa. Apa taknya, di sebabkan Darren, dia pernah gugurkan
kandungannya. Sebabnya, lelaki tu tak nak anak. Habis tu yang dia buntingkan
perempuan lain tu apa? Memang dia mengamuk betul tadi. Habis pecah segala yang
ada dalam rumah. Nasib baik kepala si ‘mangkuk’ tu tak pecah dikerjakan.
“Boleh
tahan juga mamat tu. Nampak aje macam nerd,
tapi ligat juga. Cantik ke minah tu?” Nak juga Sarah tahu. Tapi memang kalau
tengok penampilan si Darren tu orang tak akan agak dia sebenarnya kaki
perempuan. Bahaya betul dunia sekarang ni.
“Kau
boleh tak jangan tanya soalan yang boleh buat aku naik angin?”
“Ok.
Kau ni pun, rilekslah. Macam tak biasa aje putus cinta. Sebelum ni pun, dengan
si Frank tu, cinta setengah mati juga. Tak sampai sebulan selepas tu, elok aje
kau bercinta dengan Darren. Entah-entah, kali ni lagi cepat. Kau kan cantik
macam miss world.” Hentam sajalah,
nak memujuk punya pasal. Dalam hati, meluat pun ada.
“Aku
malaslah nak fikir. Jantan yang kat luar sana tu semua nak satu benda aje. Dah
dapat, blah macam tu aje.” Setakat ni
dah berapa ramai lelaki yang dia jalinkan hubungan. Semuanya tak boleh pakai.
Ingatkan si Darren ni lain. Macam Sarah cakap tadi, muka nampak nerd tapi sebenarnya lebih hebat
daripada Silvio Berlusconi, bekas perdana menteri Itali yang terkenal dengan
skandal seks tu.
“Dah
tu kau yang senang sangat nak percaya. Baru kenal sehari macam dah kenal
bertahun-tahun. Cuba kau jual mahal sikit.” Dah malas nak nasihat sebenarnya.
Berbuih-buih nasihat pun si Melissa ni buat juga.
“Macam
mana aku nak tolak kalau yang datang tu semuanya handsome, kaya pula tu. Bodohlah kalau reject.” Masih nak pertahankan diri. Sarah mencebik. Dah agak dah
jawapannya. Betul-betul mata duitanlah minah ni. Dari rasa nak tolong terus tak
jadi.
“Itulah
kau. Kepala tu ingat duit aje. Dahlah, malas aku nak tolong kau.” Sarah terus
menapak ke dapur. Sekejap lagi pasti Roy balik. Perut pun dah lapar sangat ni.
“Ya
lah. Kau tak rasa apa yang aku rasa. Kau lainlah. Ada orang yang betul-betul
sayang dekat kau. Bertuahlah. Aku ni, asyik kena tinggal aje.” Dah mula dah.
Ini yang tak tahan ni. Dah tu dia nak buat apa lagi? Nasihat pun bukannya nak
dengar. Dah dapat yang betul-betul sayang, si Melissa tolak mentah-mentah.
Mentang-mentanglah Sham tu supervisor
kat kilang aje. Tak sama taraf katanya. Macamlah dia tu pangkat CEO.
“Dulu,
si Sham tu nak dekat kau, kau reject
dia. Tengok sekarang. Kalau kau jadi dengan dia, dah bahagia dah. Ini tak.
Bertuahlah bini dia tu.” Sebab kecewa dengan Melissa, Sham kahwin dengan anak
dara sekampung. Mak dia yang carikan. Untung.
“Kau
jangan ungkit boleh tak? Sakit telinga aku dengar.” Apa kelas si Sham tu?
Dahlah pakai kereta kecil je. Ada hati nak mengurat orang.
“Ok.
Lepas ni aku nak diam aje. Suka hati kaulah nak buat apa pun.” Kan dah cakap,
tak guna pun nasihat banyak-banyak. Keras kepala budak sorang ni.
“Kau
tak masak ke beb? Laparlah.” Dari pagi dia tak makan. Geram punya pasal. Nak
makan pun tak ada selera.
“Tak.
Aku suruh Roy bungkus aje. Kau tak cakap kau tak makan lagi.”
“Tak
apalah. Beb, aku tumpang tidur rumah kaulah malam ni. Tak ada mood aku nak drive.” Ini bukan pertama kali. Rumah ni pun dah jadi rumah
keduanya. Kalau Roy outstation,
dialah jadi mangsa kena temankan minah penakut tu.
“Hmm...bukannya
kau tak biasa. Pergilah tidur. Rehatkan otak kau tu.” Nasib baiklah dia tak
pernah kena macam tu. Memang dia bersyukur dipertemukan dengan Roy. Walaupun
tak adalah sekaya mana tapi cukuplah Roy tu setia. Kehidupan mereka pun dah
rasa sempurna walaupun tak ada ikatan yang sah.
>>
“Kenapa
dengan Mel tu?” soal Roy sebaik sahaja dia melayangkan tubuhnya ke katil. Hari
yang sibuk akan bermula esok. Sebab itulah dia mahu pulang awal hari ni.
“Dia
dah putus dengan Darren. Tu yang stres sangat tu.” Sengaja dia tak bercerita
awal tadi. Tak mahu ganggu masa bersama Roy dengan cerita orang lain.
“Seriously?” Roy pun terkejut.
“Yup.
Darren ada perempuan lain. Dah mengandung dah pun perempuan tu. Itu yang Mel
angin sangat tu. Dulu, masa dia pregnant
Darren kata dia tak bersedia lagi. Sanggup Mel gugurkan. Sekarang, lain pula
jadinya.” Roy sekadar mengangguk. Dia tak risau sangat sebab si Melissa cepat
aje dapat pengganti. Dah banyak kali dah.
“Dear.” Sarah merapati Roy yang sudah
mahu menutup mata. Ada sesuatu yang mengganggu hatinya.
“You
tak akan buat I macam tu kan?” Walaupun Sarah tahu yang Roy memang setia
dengannya tapi kita tak boleh jangka masa depan. Berhati-hati itu perlu.
“Apa
you cakap ni? Of courselah. I
bukannya lelaki macam tu. Don’t worry,
ok!” Roy tahu Sarah pasti rasa risau. Tapi dia janji, dia tak akan buat macam
tu. Sarah adalah wanita yang paling dia cintai. Tak mungkin dia akan dapat cari
pengganti Sarah.
“Thanks, sayang. I tahu you bukan lelaki
macam tu. You pun tahu kan yang I boleh gila kalau you tinggalkan I. I tak
boleh hidup tanpa you.” Tubuh Roy dirangkul kemas. Roy mengucup setiap inci
wajah Sarah. Dia mahu Sarah tahu yang dia tak main-main.
“I
pun tak boleh hidup tanpa you.” Mereka sama-sama tenggelam dalam perasaan. Syaitan-syaitan
sedang melonjak kegembiraan. Sifat malu telah hilang lama dulu. Maruah dan
harga diri juga bukan lagi perkara terpenting. Cinta dan keseronokan duniawi
telah melalaikan mereka. Siapa yang perlu dipersalahkan?
biar betik / biar betul
ReplyDeletebiar betik / biar betul
ReplyDeletehai awk
Delete