dan salam sejahtera kpd semua pembaca yg masih sudi bertandang ke blog Lynn Allyna...huhuhuhu...da lama giler tak update citer nih...sori berjuta lemon...biasala bila da balik kampung...laptop akan dtolak ke tepi dengan jayanya..kihkih...skrg ni sy tgh cuti sem..bulan 9 nnt baru masuk blaja balik..hehe..cuti panjang..da lama tak merasa cuti pnjg mcm ni..hehe,,time keje dulu, paling lama pun sebulan lebih jer cuti...tapi cuti lama2 pun bosan gak tak tau nk wat pe..huhu...ni pun da start merasa kebuhsanannya...wuwuwuwu..nak keje takde org nak amik..sob2..ok2..takmo bebel panjang2...silalah semuanya mmbaca smbgan citer Ika ni yek....semoga semuanya berpuas hati...or mayb uollsss bleh bg idea, so that sy bleh olah citer ni supaya lebih menarik...hehe...waiting for ur commentsss...bye dearrrrr
Bab 40
Lobak merah, bunga kobis, tomato, kacang buncis, serai,
bawang, cili, dan ayam. Satu persatu barang yang berada di dalam troli
diperiksa. Ika kerut dahi. Apa lagi bahan yang dia perlukan untuk membuat
paprik? Rasanya sudah cukup. Troli ditolak ke sudut yang lain.
“Cik Zulaikha!” Sepantas kilat Ika berpaling ke arah
suara yang agak kuat menyebut namanya itu. Seorang gadis sedang tersenyum
memandangnya. Gadis itu juga sedang menolak kereta sorong. Tapi bukan berisi
barang. Berisi seorang bayi.
“Hai. Anak?” Entah macam mana dia boleh terus tembak
gadis itu dengan soalan begitu. Takkan anak kut. Belajar pun tak habis lagi.
“Yup.” Selamba gadis itu menjawab. Bulat mata Ika. Biar
betul? Bila masa pula budak ni mengandung?
“Anak saudaralah Cik Zulaikha.” Gadis itu tersenyum,
mempamerkan barisan gigi yang tersusun cantik.
“Oh, ingatkan anak betul. So, awak buat apa kat sini?” Ika mencuit pipi gebu bayi itu. Comel.
Putih melepak.
“Buat kuih kut.” Zaza ketawa. Sekali lagi dia berjaya
mengenakan pensyarah muda itu. Ika turut ketawa. Apa punya soalanlah. Dah
namanya pasaraya. Beli baranglah.
“Awak seorang ke? Mana mama dia?” Ika tak nampak sesiapa
di situ. Hanya Zaza seorang.
“Mama dia tak ada. Dia cuma ada papa aje.” Senyumnya tak
selebar tadi.
Ika tak faham. Dahinya kembali berkerut. Mama tak ada?
Cuma ada papa? Apa maksud Zaza. Pantas ingatannya teringatkan peristiwa dua
bulan lepas. Maksudnya, inilah bayi yang kehilangan ibunya sejurus selepas
kelahirannya itu? Ika pandang anak kecil yang sedang nyenyak tidur itu.
Kasihan.
“Oh, sorry.
Saya terlupa.”
“It’s ok.
Lagipun dah biasa. Dah dua bulan kan?” Dua bulan yang dirasakan sangat panjang.
Masih terasa kehilangannya.
“Zaza, ada lagi yang nak dibeli?” Kedua-duanya berpaling
ke arah suara yang tiba-tiba mencelah. Pandangan Ika tak berkelip. Betulkah apa
yang matanya nampak sekarang ini? Betulkah lelaki itu sedang berdiri di
hadapannya?
Dia memandang Zaza dan lelaki itu silih berganti.
Kemudian pandangan dialih kepada bayi di dalam kereta sorong. Cerita Zaza
kembali bermain di benaknya.
“Cik Zulaikha, kenalkan ini abang saya Khairul Hilmi.
Abang, ni Cik Zulaikha. Pensyarah Zaza.” Zaza adik Hilmi? Jadi anak kecil yang
sedang nyenyak tidur ini adalah anak Hilmi? Isteri Hilmi? Sekali lagi
pandangannya ditala ke arah Hilmi.
Hilmi sekadar senyum. Tapi pandangan mata wanita itu
dirasakan agak berlainan. Mereka saling mengenalikah? Dia kenal wanita ini? Dia
tak ingat.
“Kita kenal ke?” Soalan Hilmi buat Ika tersedar. Ketara
sangat ke cara dia memandang Hilmi? Tak, Hilmi tak boleh tahu.
“Tak.” Cepat Ika menjawab.
“Saya cuma…ermm…Tak ada apa-apa. Oklah Zaza. Saya pergi
dulu.” Wajah Hilmi langsung tak dipandang. Dia tak sanggup.
Langkah diatur laju. Troli yang ditolak sudah tak tentu
arah. Mindanya terasa sesak. Permainan apa yang sedang berlangsung sekarang? Lelaki
yang berdiri tegak di hadapannya tadi memang betul-betul Hilmi. Lelaki sama
yang dia kenal hampir sepuluh tahun lalu. Dia tak akan silap. Itu memang lelaki
itu.
Tapi lelaki itu langsung tak kenal dia. Tak perasan akan
dia. Nampak sangat yang lelaki itu langsung tak kisah akan kehadirannya dulu.
Tapi kenapa hatinya rasa sakit sekarang? Bukankah dia dah hapuskan nama lelaki
itu dari benaknya? Kenapa sekarang lelaki itu muncul kembali? Disaat dia sedang
belajar untuk mencintai dan setia kepada Faiz.
Troli berisi barang-barang ditinggalkan sahaja. Paprik
sudah tidak menjadi keutamaannya kini. Khairul Hilmi. Perasaannya sedang
berkecamuk. Hatinya sangat sakit. Derap kaki semakin laju meninggalkan
pasaraya. Dia mahu ke mana? Keretanya di mana? Kenapa dia tak ingat? Deretan
kereta pelbagai jenis buat kepalanya pening. Air mata sudah bergenang. Kenapa
semua ini berlaku kepada dirinya?
Dia cuba bertenang. Cuba untuk berfikir secara waras.
Dia tak boleh benarkan lelaki itu menguasai mindanya sekarang. Dia tak akan
benarkan. Dia sudah bertunang. Dia sudah buat pilihan hati. Khairul Hilmi tak
layak untuk menjejak hatinya. Dia tak kenal lelaki itu. Dia tak mahu kenal pun.
Cukup sekali. Hatinya dah cukup terluka dulu.
“Abang ni, nak mengayat pun agak-agaklah. Dia tu
pensyarah Zaza tau.” Perli Zaza. Hilmi tak faham.
“Mengayat apanya? Apa abang dah buat?” Troli yang sudah
separuh berisi barang-barang ditolak. Tak terlintas di hatinya nak mengayat
wanita tadi. Tak berminat.
“Tadi tu. Abang tanya soalan macam orang nak mengurat.
Tapi cara lamalah bang.” Zaza ketawa. Tahulah dah lama tak mengurat. Tapi
takkan itu pun nak kena ajar.
“Mengarutlah. Abang tanya saja. Habis tu dia tengok
abang macam nak telan abang. Manalah tahu dia kenal abang. Well, abangkan popular.” Hilmi menggosok hidungnya. Dia sekadar
bergurau. Tapi dia masih tak boleh lupa cara wanita tadi memandangnya. Macam
terkejut. Kenapa ya?
“Perasan! Abang ingat abang tu Aaron Aziz ke? Dah lah.
Zaza dah penat. Kesian mama tunggu lama kat rumah.” Hilmi menolak trolinya
menghampiri kaunter. Tapi pandangan mata Cik Zulaikha masih kuat melekat di
fikirannya. Zulaikha. Macam dia pernah dengar nama itu. Siapa ya? Ah, bukan
seorang yang namanya Zulaikha dalam Malaysia ni. Mungkin salah seorang kawannya
di universiti atau mungkin juga kawan Nur Jannah. Dia betul-betul dah lupa.
“Abang, entah-entah Cik Zulaikha tu tersyok dekat abang kut.” Tembak Zaza.
Manalah tahu, rasanya Cik Zulaikha masih solo. Tak salahkan?
“Jangan nak mengarut. Dah, angkat Ilham tu.” Arah Hilmi.
Zaza mencebik. Apa salahnya. Abangnya pun bukan ada isteri. Cik Zulaikha solo.
Oklah tu.
>>
Ika menghenyakkan punggung ke katil. Kenapa dia perlu
rasa sedih? Kenapa dia perlu rasa sakit hati? Kenapa dia perlu jadi tak berdaya
begini? Kenapa mesti sekarang semuanya perlu berlaku? Cincin emas di jari
manisnya disentuh. Mahu menyedarkan dirinya yang dia sekarang adalah tunang
kepada Faiz. Dia tak boleh berpaling lagi.
Dia sudah nekad untuk melupakan lelaki itu. Dia cuma
mahu mencintai Faiz. Dia akui memang sukar untuk membuatkan hatinya mencinta
Faiz sebagaimana rasa cinta yang pernah hadir dalam hatinya dulu. Tapi dia
sedang mencuba. Dia tak mahu ada gangguan lain. Tapi sekarang?
Tak. Dia tak akan biarkan Khairul Hilmi menjadi
penghalang buat kali kedua. Dulu dia menolak cinta Faiz bulat-bulat kerana
lelaki itu. Sudahnya, dia yang kecewa. Jatuh terduduk. Sekarang dia tak akan
benarkan perkara itu berlaku lagi.
‘Kau yakin yang kau akan lupakan dia seratus-peratus?
Kau yakin yang kau tak akan tewas dengan dia lagi kali ini?’ Hatinya sedikit
berkocak. Yakinkah dia?
‘Kuatkan semangat Ika. Takkan kau nak tengok Faiz kecewa
lagi? Jangan jadi kejam Ika.’ Dia tak kejam. Kemunculan Khairul Hilmi hanyalah
satu dugaan. Menduga sekuat mana cintanya buat Faiz. Dia tak akan lemah.
‘Walaupun kau sendiri tak bahagia? Walaupun kau sendiri
akan terseksa nanti? Kau sanggup nak tipu Faiz?’ Ika tak ada jawapan untuk itu.
Sanggupkah dia?
‘Semua itu hanya sementara Ika. Faiz cintakan kau. Pasti
dia akan buat kau bahagia. Pasti dia tak akan benarkan kau terseksa.’ Ya, Faiz
cintakannya.
‘Tapi kau tak cintakan dia kan?’ Ika telan liur.
Terjerat dalam perbahasan ciptaannya sendiri.
“Aku cintakan Faiz. Aku cintakan dia. Aku tak cintakan
Hilmi. Aku tak suka dia. Aku benci dia. Aku hanya cintakan Faiz.” Laju bibirnya
meluah kata. Tapi adakah hatinya juga mengatakan yang sama? Mulut memang suka
menipu tapi hati?
‘Ya Allah, apa aku dah buat ni? Kenapa sungguh berat
dugaan yang Kau beri? Aku tak kuat. Aku betul-betul tak kuat.’
Air matanya laju membasahi pipi. Kenapa senang benar
hatinya lemah bila berhadapan dengan Khairul Hilmi? Kenapa lelaki itu juga yang
dipuja setengah mati sedangkan lelaki itu membencinya sepenuh hati? Dia hanya
ingin bahagia seperti orang lain. Bahagia seperti Syarifah yang memiliki lelaki
yang dicintainya. Seperti Salihah yang juga memiliki cinta hatinya. Seperti
pasangan lain yang bahagia mencintai dan dicintai.
>>
Bintang-bintang bertaburan di angkasa raya. Cantik.
Ceria sekali. Bergemerlapan walaupun hanya meminjam cahaya sang rembulan. Hilmi
leka seketika.
“Cantikkan abang bintang-bintang tu. Rasa macam nak
terbang ke atas sana dan ambil semuanya.” Nur Jannah bersandar di dada bidang milik suaminya.
Matanya tak lepas memandang bintang yang sedang bersinar di atas sana.
“Memang cantik. Tapi abang tak nak petik bintang kat
atas tu.” Angin malam yang sepoi-sepoi bahasa terasa mendamaikan. Hilang segala
kepenatan seharian bekerja.
“Kenapa?” Nur Jannah berpaling memandang suaminya.
Dahinya berkerut seribu.
“Sebab abang dah ada satu bintang yang lebih cantik kat
bawah ni.” Hidung kecil Nur Jannah ditarik manja. Bintang yang berada di
sebelahnya ini lebih bersinar. Lebih menarik hatinya.
Nur Jannah tersenyum. Manis sekali. Tak puas dipandang.
Ah, dia rindu nak lihat senyuman itu lagi. Dia rindu nak rasa hangat pelukan
itu lagi. Dia rindu. Rindu yang teramat.
“Hah, berangan!” Sergah Zaza. Hilang bayangan wajah Nur
Jannah. Hilmi membetulkan duduk. Air Milo panas dihirup perlahan.
“Pandailah. Mana ada. Abang tengah fikirkan masalah kat
pejabat tu.” Bohong. Masalah pejabat tak layak berada di sini. Suasana tenang
begini tak akan menerima masalah-masalah itu sebagai tetamu.
“Ya lah tu. Entah-entah tengah fikirkan entah perempuan
mana. Ingat dekat Cik Zulaikha ya?” Hilmi membulatkan mata. Kenapa tiba-tiba
nama wanita itu lagi yang disebut adiknya? Dia dah lupa.
“Cik Zulaikha? Cik Zulaikha tu siapa?” Sampuk Puan
Zalina yang sudah berdiri tegak di belakang mereka.
“Tak payah layan budak tak cukup umur ni ma. Entah siapa
yang disebut pun Mi tak tahu. Pandai-pandai saja.” Hilmi geram. Dia tak suka.
Dia sedang terkenangkan Nur Jannah. Bukan Zulaikha.
“Alah abang tu. Buat-buat tak kenal pula. Cik Zulaikha
tu pensyarah Zaza ma. Tadi kami terserempak dengan dia. Ada orang tu siap nak
mengayat tapi guna cara lama.” Makin galak Zaza mengusik. Hilmi sudah
mencerlung tajam ke arah adik perempuannya.
“Apa yang Zaza merepek
ni? Boleh tak jangan fikir bukan-bukan?” Serius wajahnya. Tak ada wanita
lain di hatinya saat ini. Nur Jannah masih menduduki carta teratas. Dia tetap
akan di situ. Tak akan berubah.
“Ok.” Zaza muncung. Dia hanya bergurau. Kenapa abangnya
nak marah sampai begitu sekali?
“Zulaikha. Cantik nama dia. Orangnya cantik tak Zaza?”
Puan Zalina seakan berminat dengan topik yang menyebabkan Hilmi bermasam muka
itu.
“Cantik mama. Dahlah baik. Bujang lagi tau mama.” Tak
dapat mencucuk abangnya, mama pun jadilah.
“Bujang?” Puan Zalina sedikit teruja. Dia melirik
sekilas kepada anak lelakinya yang sudah kembali membujang.
“Mama!” Hilmi tak selesa bila topik itu terus
dibicarakan. Bosan dia mendengar. Segera dia angkat punggung. Panas telinga
kalau dengar lama-lama. Baik dia beredar sebelum hatinya pula yang terbakar.
No comments:
Post a Comment