2015-07-02

Kerana Aku Wanita 9




bab 9
Sarah memandang kosong ke luar tingkap. Walaupun ditegah doktor untuk tidak ke mana-mana, dia tetapi berdegil. Sudahnya, emak dan ayah terpaksa mengikut kehendaknya. Sekarang mereka sedang dalam perjalanan ke rumah Roy. Ustaz Hadi yang memandu kereta. Nasib baik ustaz muda itu sudi membantu.
Hampir dua jam perjalanan, mereka sampai ke kampung Roy. Kaki Sarah kaku tak bergerak. Mampukah dia berhadapan dengan realiti? Tadi dia yang beria-ia mahu datang. Tapi sekarang, dia sendiri sudah tak kuat. Masih ramai yang datang berziarah ke rumah arwah Roy. Mak Jah genggam tangan anaknya. Memberi sedikit kekuatan.
“Mereka dah ke kubur.” Haji Man kembali semula ke kereta.
Secara automatik air mata Sarah mengalir lagi. Tak pernah keringkah ia?
“Kita ke kubur sajalah Pak Cik Man,” usul Ustaz Hadi. Haji Man mengangguk. Kereta terus dipandu ke kubur.
Nampaknya urusan di kubur juga sudah selesai apabila orang ramai sudah beransur pulang. Sarah masih kaku di dalam kereta. Untuk memandang ke arah kubur pun dia tidak mampu apatah lagi untuk masuk ke dalamnya. Roy, kenapa buat Sarah macam ni? Kenapa Roy mungkir janji?
“Marilah nak. Jangan diikut sangat rasa sedih tu. Perkara dah jadi. Dah tak boleh diundur.” Mak Jah usap perlahan belakang anaknya. Cuba untuk memujuk. Walaupun hanya sekali bertemu dengan Roy, Mak Jah turut rasa sedih. Ialah, bakal menantu.
Sarah tarik nafas sedalamnya. Dia perlukan kekuatan yang bukan sedikit sekarang ini. Baru semalam dia berbual dengan Roy. Meluah rasa rindu dan cinta. Masih terngiang-ngiang suara Roy mengucap rasa cinta. Oh, sungguh dia tak kuat untuk berhadapan dengan realiti. Tubuhnya bergetar hebat.
“Mari. Mak dengan ayah Roy tunggu Sarah tu.” Mak Jah pimpin tangan Sarah. Wajah Sarah jelas pucat.
Sarah melangkah perlahan. Rasa sakit akibat keguguran pagi tadi masih terasa ngilu. Air mata diseka lagi. Seboleh mungkin dia tak mahu menangis di hadapan emak dan ayah Roy. Dia tahu emak dan ayah Roy lagi rasa sedih dengan kehilangan anak mereka. Lutut yang rasa lemah digagahkan juga.
Tanah kubur itu masih merah. Masih basah. Bunga yang ditabur juga masih segar. Tubuh Sarah dipeluk erat oleh emak Roy. Tangisan kedengaran lagi. Sarah sudah tidak kuat lagi. Terjelopok dia jatuh di sisi pusara Roy. Diam tak beriak. Hanya mata yang mampu memandang pusara sunyi itu.
“I love you, sayang. I love you so much.”
Sarah pejam mata. Pedih hatinya bila kata-kata Roy semalam bermain di benak. Bersungguh-sungguh Roy ucap kata cinta itu. Langsung tak terlintas di fikirannya apa-apa yang buruk kerana hati sedang diselubungi rasa bahagia yang teramat.
“Alah, tak kiralah perempuan ke lelaki ke, yang penting ikut muka papa. Anak yang kedua nanti baru ikut muka mama.”
Ah, kenapa waktu begini semua kata-kata Roy terngiang di telinga? Roy tak ada. Bayi mereka juga sudah tak ada. Tiada apa yang tinggal untuknya. Hanya kenangan. Sesaknya dada tak tertanggung. Tanah kubur digenggam. Dia mahu Roy kembali.
“Sabar nak. Sedekahkan Al-Fatihah.” Mak Jah usap perlahan belakang Sarah. Dia juga sedang menahan tangis.
“Roy...” Hanya itu yang mampu diucap Sarah. Betapa hatinya mahu lihat Roy di depan mata. Dia mahu Roy. Sakitnya untuk menerima hakikat yang dia tak lagi dapat melihat Roy. Sakit...lebih sakit daripada apa yang berlaku subuh tadi.
Sarah rasa kepalanya berpusing. Mata berpinar. Kepala makin berat untuk diangkat. Kesakitan makin mencucuk. Genggaman tanah kubur makin kejap, menahan kesakitan yang dirasa. Cuba bertahan tetapi dia kalah. Kepalanya jatuh ke atas kubur Roy. Suara-suara di sekeliling semakin menghilang.
>> 
Sudah tiga hari dan tiga hari itu jugalah Sarah hanya mampu termenung dan menangis. Makan hanya sesuap dua. Tidur juga kerap kali terjaga. Dan setiap kali terjaga itulah air matanya mengalir. Kehilangan itu terlalu sakit buatnya. Segalanya berlaku sekelip mata. Dia bukan hilang satu tapi dua. Mana mungkin dia mampu bertahan.
Mak Jah hanya mampu geleng kepala lihat anaknya. Dah habis kata-kata untuk memujuk. Sarah sudah seperti mayat hidup. Bila diajak berbual, rasa macam bercakap dengan patung. Untuk keluarkan sepatah kata pun Sarah tak mampu. Memang dia sedih tengok anaknya jadi begini tapi dalam masa yang sama juga dia rasa kecewa, marah. Mak Jah yakin anaknya memang keguguran tempoh hari.
Hati ibu mana yang tak hancur. Selama ini dia percayakan Sarah seratus peratus. Walaupun pernah curiga tapi rasa itu cepat ditepis. Sarah anaknya. Dia kenal anaknya luar dalam. Tak mungkin Sarah akan buat perkara bukan-bukan. Tapi sekarang, ini yang berlaku. Dah tak boleh disorok lagi. Tak hairanlah Sarah mahu berkahwin segera. Ingatkan betul-betul sebab nak cepatkan perkara yang baik.
Mak Jah seka air mata yang mengalir. Bukan kerana sedih dengan keadaan Sarah tapi sedih kerana ditipu anak sendiri. Sanggup Sarah buat perkara terkutuk tu. Sejak kecil Sarah dididik dengan ajaran agama. Tapi bila difikirkan balik, ada hikmah juga Sarah keguguran. Tak adalah dia menanggung malu jika perkara itu diketahui umum.
Bayangkan jika Sarah tak keguguran. Suaminya orang kuat masjid. Dia juga masih mengajar wanita-wanita di kampung ini mengaji. Mana mereka nak letak muka jika rahsia terbongkar? Halang Sarah dari balik ke kampung? Sampai bila? Lambat-laun orang akan tahu juga. Mak Jah tutup paip dan terus meletakkan bakul berisi sayur yang sudah dibasuh di atas meja. Dia sendiri pun sudah hilang semangat untuk buat kerja bila memikirkan perkara itu.
Bagaimana sebenarnya kehidupan Sarah di bandar tu? Macam mana Sarah boleh mengandung? Benarkah Roy bapanya? Sudah berapa lama perkara terkutuk itu berlaku? Ya Allah, gagalkah aku sebagai ibu? Kenapa berat sungguh dugaan-Mu kali ini? Beri aku kekuatan Ya Allah...
“Awak tak masak ke hari ni, Jah?” Pelik melihat isterinya termenung jauh. Biasanya waktu begini isterinya sedang ligat menyiapkan hidangan tengahari.
“Masak bang. Tapi saya rasa penat sikit. Itu yang duduk kejap. Abang dah lapar ke?” Segera dicapai bakul sayur tadi. Kuali yang tersangkut di dinding dicapai dan diletakkan di atas dapur. Patutkah dia beritahu suaminya apa yang sudah berlaku? Apa reaksi suaminya nanti? Dengan keadaan Sarah yang begitu, tak sanggup rasanya untuk buka mulut.
Tapi Haji Man ada hak untuk tahu. Memang perkara ini terlalu sukar untuk diterima tapi hakikat tetap hakikat. Apa akan berlaku jika Haji Man dapat tahu tapi bukan dari mulutnya? Parah. Tapi tak ada sesiapa yang tahu. Hanya dia. Tak mungkin Sarah akan buka mulut.
“Ya Allah, Jah. Awak ni tengah fikirkan apa? Dah berasap kuali tu.” Haji Man bingkas bangun dan menutup gas. Apa kena dengan isterinya ini? Takkanlah sebab fikirkan Sarah sampai macam ni sekali.
“Allah, maaf bang. Saya tak perasan. Saya...pening.” Terpaksa cipta alasan. Ya, memang dia pening tapi bukan kerana penyakit. Masalah Sarah buat dia tak keruan.
“Dah, kalau awak tak sihat, tak payah masak. Pergi berehat aje. Biar saya keluar pergi beli lauk.” Risau jadinya. Inilah akibatnya kalau diikutkan sangat hati tu.
“Tak apa bang. Saya boleh masak lagi. Abang pergilah rehat dulu. Kesian pula dekat Sarah kalau saya tak masak.” Anak, walau sejahat mana pun anak itu pasti terselit juga rasa sayang. Sarah tak boleh makan sembarangan. Keadaannya sekarang sama seperti orang sedang berpantang selepas melahirkan. Mak Jah ketap bibir. Payah untuk dia terima hakikat itu. Air mata segera diseka.
Sarah turun ke dapur setelah penat termenung di dalam bilik. Apa lagi yang dia boleh buat selain daripada itu? Mahu menolong emaknya di dapur, dia tak berdaya. Mak Jah sedang menyusun lauk-pauk yang sudah siap dimasak. Sekilas dia memandang Sarah yang sedang menuju ke arah meja makan. Pantas kejadian yang berlaku menerpa di benaknya. Setakat hari ini dia masih mampu untuk menyembunyikan kebenaran yang sebenarnya dia tahu apa yang berlaku.
“Maaf mak. Sarah tak larat nak tolong mak kat dapur.” Sarah tarik kerusi seraya duduk. Aroma lauk-pauk yang dimasak menusuk ke hidung. Tapi ia masih belum mampu untuk membuka seleranya. Sejak peristiwa itu, emak hanya sediakan ikan panggang untuknya. Lagilah dia tak ada selera nak makan.
“Ini lauk kamu. Yang lain tu tak elok untuk kamu.” Mak Jah menolak pinggan berisi ikan kembung panggang. Sarah memandang kosong. Ini lagi? Kenapa yang lain tak elok? Jangan-jangan...
“Mak...” Sarah pandang emaknya. Pandangan yang meminta jawapan dan kepastian. Mak Jah melarikan anak matanya. Mata tua itu sudah berkaca.
“Kamu makanlah. Mak nak pergi panggil ayah.” Tak betah untuk terus berhadapan dengan Sarah. Hatinya sakit tapi dalam masa yang sama hatinya sedih. Kasihan. Tak sampai hati mahu meminggirkan anak sendiri. Ini sahaja zuriat yang dia ada.
“Mak...” Cepat-cepat Sarah sambar lengan Mak Jah. Matanya sudah berlinangan dengan air mata. Dia tahu emaknya tahu sesuatu.
“Dahlah Sarah. Kamu makan saja.” Mak Jah juga mengesat air matanya. Bukan mudah untuk menyembunyikan kebenaran.
“Mak, Sarah minta maaf mak. Sarah tak ada niat nak tipu mak dengan ayah. Ampunkan Sarah mak. Ampunkan Sarah...” Terduduk Sarah di atas lantai. Tangannya memeluk erat kaki emaknya. Sungguh, memang dia bersalah. Memang dia berdosa. Memang dia layak terima kebencian mak dan ayah.
“Ya Allah, dah kenapa pula ni?” Haji Man bergegas turun ke bawah. Apa dah jadi sampai Sarah melutut macam tu?
“Tak ada apalah bang. Sarah ni yang sedih sangat. Tak dapat nak terima hakikat lagi.” Belum masanya untuk suaminya tahu. Sarah hanya diamkan diri. Dia dapat bayangkan jika ayahnya tahu apa yang sudah berlaku. Terima kasih, mak.
Haji Man hanya mampu gelengkan kepala. Apa lagi yang dia mampu nasihatkan? Siapa kita untuk menolak takdir Tuhan? “Sudah-sudahlah tu. Mari kita makan. Tak elok bersedih depan rezeki.”
Perlahan-lahan Sarah duduk di atas kerusinya. Air mata disapu dengan hujung lengan baju. Seleranya mati. Tapi digagahkan juga untuk menelan sesuap dua nasi. Setakat itu sahaja yang dia mampu. 

Jeng....jeng...jeng....heheheheheh

 Alhamdulillah....novel ke-5 sy telah berada di pasaran bermula Julai...e-novel Kerana Aku Wanita ini adalah sebahagian daripada novel ke-5 sy "AKU ADA DIA"...so kpd pembaca yg nak tahu apa kesudahan kisah Sarah...bolehla dapatkan novel ADD ni okeh...novel ni bukan saja ada kisah Siti Sarah, tapi juga...kisah-kisah lain...so nk tahu kisah apa? jom dapatkan novel sy ni okeh....kpd pembaca yg dah dapatkan novel ni..terima kasih byk2 sy ucapkan....ok la...xbley nk cakap byk2...koje byk.hikhik....BYEEE....

4 comments:

  1. kirenye nnt da xde sambungan la nnt??huhuhu sedihnye

    ReplyDelete
    Replies
    1. InshaaAllah akan ada beberapa bab lagi yg sy akan smbung kat sini...tq kerana sudi membaca :)

      Delete
  2. Besttt. dalam bnyk2 yg u tulis, i suka yg kerana aku wanita. maybe cara u tulis buat i tertarik. hihi. keep on gaing ya sis. Anyway, kalau free2 jemput ke blog saya untuk info2 kekal fit and slim.

    >>>Tips Slim & Fit Semula Jadi!<<<

    ReplyDelete