Bab 8
Ketukan di
pintu bilik mengganggu tidur Sarah. Siapa pula yang kacau ni. Rasanya baru lima
minit dia tidur. Takkan dah nak kena bangun kut? Bagilah dia tidur sekejap saja
lagi. Pintu bilik terus dikuak. Tubuh Sarah digoncang kuat. Berat betul nak
buka mata.
“Bangun
Sarah, bangun.” Berjuraian air mata Mak Jah. Pasti dia sudah tahu apa yang
berlaku.
Sarah
buka separuh matanya kemudian tutup balik. Serius dia memang mengantuk. Tapi
bila Mak Jah sudah mengongoi, terpaksa Sarah buka mata. Terkulat-kulat Sarah
pandang emaknya yang menangis teresak-esak. Kenapa pula ni?
Mak
jah peluk tubuh Sarah kemas. Sungguh Sarah bingung. Kenapa dengan emaknya?
Takkan sedih dia nak kahwin sampai macam ni? Macamlah lepas kahwin dia dah tak
akan balik ke sini. Pelik betullah.
“Mak,
kenapa pula ni? Janganlah sedih sangat. Sarah bukannya nak pergi mana pun.
Sarah nak kahwin kan? Yang mak sedih sangat ni kenapa?” Sarah usap belakang
emaknya. Cuba menenangkan si ibu yang ternyata tak ada tanda-tanda untuk
berhenti menangis. Dia pula yang terasa sebak. Dia tahu emak memang
sayangkannya.
“Sarah...”
Berat Mak Jah nak buka mulut. Dia pandang wajah Sarah penuh kasih. Tak sanggup
rasanya nak hancurkan kegembiraan yang Sarah rasa sekarang ini. Matanya
menyorot pada jari-jemari Sarah yang bersalut inai. Makin pedih hatinya.
“Mak,
dahlah tu. Nanti kalau Sarah nangis juga, bengkak mata nak nikah esok. Mak
pergilah tidur.” Sempat matanya melirik pada jam di atas meja solek. Hampir ke
pukul empat pagi. Patutlah mata susah sangat nak buka. Mana pernah bangun
seawal ini.
“Sarah...janji
dengan mak ya. Sarah kena sabar. Redha...” tersekat-sekat suara Mak Jah. Haji
Man sudah berdiri di belakang. Sarah kerut dahi. Takkan ayah pun sedih juga?
“Ya
mak. Sarah janji. Dah berapa kali mak pesan dengan Sarah. Ayah, bawalah mak
masuk tidur. Nanti tak cukup tidur, pening kepala pula esok.” Haji Man
menunduk. Kenapa ni? Dia mimpi ke?
“Sarah...Roy.
Dia...” Sungguh. Ianya tak semudah yang disangka. Percubaan kali ini gagal
lagi. Mak Jah sudah lembik. Sarah pegang kuat emaknya. Mengantuk yang masih
bersisa tadinya terus hilang. Apa yang mak cuba cakap?
“Mak,
kan Sarah dah cakap. Masuk tidur. Tengok ni...” Tubuh emaknya diletakkan di
atas katil. Tapi kenapa emak sebut nama Roy tadi? Hatinya dah tak keruan.
“Sarah,
mak mertua kamu telefon tadi. Roy kemalangan. Dia....” Haji Man juga tak
sanggup nak teruskan bila lihat wajah Sarah sudah berubah riak. Sebak dadanya.
Sarah
rasa kepalanya bergegar. Nafas sudah tersekat di kerongkong. Tubuhnya keras tak
bergerak. Matanya tepat memandang ayah yang sudah tertunduk. Kepalanya kosong.
Sungguh, dia rasa kosong sekarang ni. Roy kemalangan? Itu saja yang dia ingat.
Tapi tubuhnya betul-betul tak dapat bergerak.
“Sabar,
Sarah. Sabar.” Tubuh anak tunggalnya dirangkul lagi. Dia sendiri pun sudah tak
berdaya tapi digagahkan juga demi anaknya. Sarah masih tak beriak.
“Roy....”
perlahan suara Sarah menyeru nama lelaki yang terlalu dicintainya itu. Roy
kemalangan. Ayat itu berulang lagi dalam benaknya. Macam mana Roy sekarang? Dia
nak pergi jumpa Roy.
Serta-merta
Sarah turun dari katil. Berjalan menuju ke pintu biliknya. Dia mahu jumpa Roy.
Dia mahu lihat keadaan Roy. Pasti Roy sakit. Tapi pantas Haji Man menarik
tangan anaknya. Sarah meronta. Air matanya mengalir tanpa sedar. Dadanya sebak.
Hanya Roy yang ada dalam fikirannya sekarang.
“Tunggu
Sarah. Sabar.” Sarah masih tetap meronta. Menolak cengkaman tangan ayahnya.
Sungguh otaknya tak dapat berfikir saat ini.
“Roy...”
Luluh hati si ibu melihat keadaan anak tunggalnya begitu. Mak Jah mengongoi
lagi.
“Mayat
Roy masih dibedah siasat. Kita tak boleh masuk tengok.” Serta-merta Sarah
berpaling memandang ayahnya dengan mata membuntang. Mayat? Dia salah dengarkan?
Ayah tak sebut perkataan tu kan? Tak, dia memang salah dengar.
Sarah
geleng kepala laju-laju. Ayah memang tak sebut perkataan tu tadi. Macam mana
ada mayat kalau Roy masih hidup? Roy cuma kemalangan. Roy tak mati. Tak, Roy
tak boleh mati. Lutut Sarah sudah bergetar. Tak kuat untuk berdiri lagi.
Terjelopok dia di lantai. Makin bingung jadinya. Kepalanya berputar. Seketika
dia sudah terbaring lesu.
“Sarah!”
>>
Sepuluh minit
kemudian Sarah kembali tersedar setelah ayahnya merenjiskan air ke mukanya.
Minda cuba memutarkan kembali apa yang telah berlaku sebelumnya. Tak semudah
itu untuk dia lupa. Emaknya sudah berhenti menangis. Hanya mata yang sudah
bengkak.
Sarah
rasa dadanya sebu. Mulut ditekup. Segera dia bangun dan berlari ke dapur. Laju
kakinya menuju ke bilik air. Dihambur segala isi perutnya. Terduduk dia di
situ. Ini kali pertama dia muntah sejak rahimnya berisi. Tapi kenapa sekarang?
Hatinya sakit. Perutnya ditumbuk beberapa kali. Senak yang dirasa tak
dipedulikan. Dia benci!
“Kenapa
kau ada dalam kat dalam ni?” Perut ditumbuk lagi.
“Sebab
kau aku kahwin.”
“Sebab
kau Roy mati!” Makin kuat tumbukan di perut hingga dia menyeringai kesakitan. Sarah
tekan perutnya kuat. Ah, sakit yang teramat! Ya Allah, apa aku dah buat?
“Sarah,
buka pintu ni nak.” Mak Jah ketuk pintu bilik air. Risau sungguh dengan keadaan
Sarah. Dia takut Sarah buat perkara bukan-bukan.
“Sarah,
bukalah nak. Dahlah tu. Redhalah nak.” Mak Jah tak mampu untuk terus menahan
air matanya. Terlalu berat dugaan yang Tuhan timpakan ke atas mereka
sekeluarga.
Sarah
buka pintu. Mukanya pucat lesi. Tangannya masih memegang perut. Rasa ngilu yang
amat. Dia cuba berjalan. Tapi dia tak mampu untuk melangkah lebih jauh. Sarah
tersungkur di hadapan pintu bilik air.
Sekali
lagi Mak Jah menjerit. Tak tertanggung sudah pedih di hatinya melihat keadaan
si anak. Tubuh Sarah cuba diangkat. Haji Man juga turut membantu. Tubuh Sarah
digoncang kuat tapi tiada reaksi. Kelam-kabut jadinya. Sudahlah tak ada orang
lain yang ada dirumahnya.
“Abang,
kita bawa Sarah ke hospital sekarang.” Haji Man hanya menurut. Dia juga risau
melihat keadaan anaknya yang sudah dua kali tak sedarkan diri. Bergegas dia
mencari kunci kereta Sarah.
Dengan
kudrat tua, mereka mengangkat tubuh Sarah masuk ke dalam kereta. Mak Jah
berusaha untuk menahan tangisnya tapi tak berjaya. Haji Man menghidupkan enjin
kereta. Dalam keheningan subuh, kereta meluncur laju menuju ke hospital.
Sebaik
tiba di hospital, Sarah terus dikejarkan ke unit kecemasan. Mak Jah dan Haji
Man tak senang duduk. Tak putus-putus mulut Mak Jah berdoa. Penat berdiri, dia
duduk. Mengurut kepala yang rasa mencucuk-cucuk. Mak Jah pandang suaminya yang
sedang duduk bersandar. Berat rasa mulutnya ingin bertanya. Tapi Mak Jah tak
rasa suaminya nampak apa yang dia nampak tadi.
Ada
tompokan darah pada bahagian belakang baju tidur Sarah. Secara tak sengaja dia
ternampak semasa Sarah dipindahkan ke atas katil sebelum ditolak masuk ke dalam
unit kecemasan. Darah apa? Datang bulan? Tapi kenapa agak banyak? Mak Jah pejam
mata. Janganlah apa yang dia fikirkan sebelum ini jadi kenyataan. Tapi....
Sarah
sudah sedarkan diri. Tapi kesakitan yang dirasa memang tak tertanggung. Doktor
masih ada di bersamanya. Apa sudah jadi dengan kandungannya? Adakah tindakannya
tadi menyebabkan kesakitan yang dia rasa sekarang ni?
“Doktor...”
Lemah suaranya.
“Puan
rehat dulu. Puan sangat lemah.” Doktor wanita itu mencatat sesuatu sebelum
melangkah keluar.
“Doktor.”
Sekali lagi Sarah memanggil. Kali ini lebih kuat. Doktor yang merawatnya
kembali melangkah mendekatinya.
“Anak
saya...” Sarah pejam mata. Ada air mata yang mengalir.
“Sabar
puan. Kami minta maaf. Puan keguguran.”
Allah.
Bertimpa-timpa dugaan yang datang. Ain tarik nafas sedalamnya. “Doktor, tolong
jangan bagitahu keluarga saya pasal perkara ni ya.” Emak dan ayah tak boleh
tahu. Cukuplah dengan berita kematian Roy. Biar rahsia ini terkubur di sini
sahaja.
“Please, doctor,” rayu Sarah. Doktor
wanita itu terpaksa mengangguk.
Sarah
pegang perutnya yang kini kosong. Apa yang dia dah buat tadi? Hanya kerana
sakit hatinya, anak yang tak berdosa ini menjadi mangsa. Sekarang, kedua-duanya
sudah pergi daripada hidupanya. Roy tiada, dan zuriat Roy juga tiada. Bagaimana
dia nak teruskan hidup?
Roy,
kenapa awak tinggalkan saya macam ni? Awakkan dah janji nak datang. Awakkan dah
janji nak kahwin dengan saya. Awak nak tengok saya dalam pakaian pengantin kan?
Cepatlah datang tengok saya Roy. Tolonglah Roy, jangan pergi dulu. Tak henti
air matanya mengalir. Mahu menjerit tapi dia sudah begitu lemah untuk
mengeluarkan sedikit suara pun.
Kenapa
mesti hidupnya jadi begini? Kenapa Tuhan ambil Roy daripadanya? Hari ini hari
pernikahannya dengan Roy. Kenapa hari yang sepatutnya dipenuhi dengan
kegembiraan ini dicemari dengan kedukaan? Sungguh hatinya tak kuat. Dia mahu
jumpa Roy. Dia mahu lihat Roy. Dia tak akan percaya selagi tak lihat dengan
matanya sendiri. Tolonglah bawa dia ke sana.
Haji
Man sudah pulang ke rumah selepas melihat keadaan anaknya tadi. Pasti ada jiran
dan saudara mara yang sudah datang. Ikut perancangannya, mereka akan mula
bergotong-royong memasak selepas subuh. Sekarang sudah hampir pukul enam
setengah pagi. Tinggal Mak Jah yang menemani Sarah.
Mak
Jah seka air mata yang masih mahu mengalir. Sarah masih diam membatu. Air mata
anaknya tak henti-henti mengalir. Mak Jah faham perasaan Sarah. Pasti perasaan
itu lebih sakit kerana hari ini adalah hari pernikahan mereka. Entah apa yang
berlaku di rumah sekarang ini. Majlis pernikahan tak mungkin berlangsung.
Sebelum ini, hanya baca di surat khabar tapi sekarang perkara itu betul-betul
menimpa mereka.
p/s: SELAMAT BERPUASA KAWAN2...SEMOGA RAMADHAN LEBIH BAIK DARIPADA SEBELUM INI..TINGKATKAN AMAL IBADAT..KURANGKAN MENGELAT..HEHEHE...
nak lagi
ReplyDelete