dan salam sejahtera semua pembaca!!sempat tak p pesta buku kat PWTC aritu???syoookkkkkk gilerrrrrrrr kowwwttt...hehehehehe...apa2 pun...berbanyak2 terima kasih sy ucapkan kat korang2 yg sudi datang n jumpa ngan saya....terharu gilerrrrr....seriously...sblm p tu risau gilerrr...ade ke org nk dtg jumpa aku nih??hahahaha...tapi alhamdulillah...korang mmg sporting habesssssss lah...dan yg penting...booth KN mmg meletopp..smpai terkepung i kat tepi tu..haha..ramai gilerr pencinta novel!!! sekali lagi terima kasih korangggg!!!
the only gambo yg ade...huhuhuhu...xsempat nk snap2..org ramai sgt..malu...haha...credit to ksha for this pic.. :) |
so......ape lagi...silalah enjoy mmbaca bab yg seterusnya ini :)
Bab 32
Puan Sofia termenung di sofa. Menunggu panggilan telefon
daripada suaminya bagai menunggu buah yang tak gugur. Diikutkan hati, mahu saja
dia telefon. Tapi bila difikirkan apa akan berlaku jika madunya yang menjawab,
dia tak jadi meneruskan niat. Sudah dua hari dia tunggu. Masih belum ada
panggilan. Dia kecewa. Lelaki itu sudah berjanji mahu memberi kata putus.
Kedatangan suaminya dua hari lepas agak memeranjatkan.
Datang secara tiba-tiba. Langsung tak diberitahu. Nasib baik dia ada di rumah.
Lelaki itu nampak kepenatan. Asyik memicit kepala. Masalah di rumah atau di
tempat kerja?
“Abang sihat ke?” Tangan lelaki itu disalami. Dah lama
dia tak memegang tangan ini. Rindu.
“Sihat.” Encik Zainal terus melabuhkan punggungnya ke
sofa. Dia menyandar. Jemarinya ligat memicit kepala yang terasa berdenyut.
Gara-gara tak cukup rehat.
“Abang sakit kepala? Nak Fia picit?” Puan Sofia cuba
hulur bantuan. Jika diikutkan, dia dengan rela hati mahu buat begitu. Bukan
senang suaminya dapat pulang ke rumahnya. Ini saja peluangnya untuk melayan
suami.
“Tak apalah. Ambilkan abang air.” Puan Sofia akur. Dia
berlalu ke dapur. Nak bertanya kenapa suaminya datang ke sini tapi dia tak mahu
suaminya rasa tak selesa. Nanti apa pula dikata. Ini pun rumahnya juga.
Bila-bila masa dia boleh datang.
Puan Sofia menatang dulang berisi minuman dan sedikit
makanan. Kuih apam pemberian jirannya tadi. Nasib baik masih ada. Ingatkan nak
simpan untuk Faiz tapi nampaknya kuih ini jadi rezeki suaminya. Dia melabuhkan
duduk di sebelah suaminya. Bagus juga suaminya datang. Ada sesuatu yang penting
mahu dikhabarkan.
“Abang tak kerja ke hari ni?” Sekadar berbasa-basi. Tak
mahu tergopoh-gapah.
“Tak. Sebab tu abang datang ke sini. Kebetulan abang ada
kerja di sini semalam.” Encik Zainal hirup air milo panas yang disediakan
isteri mudanya. Lama betul dia tak rasa air tangan isterinya yang seorang ini.
Kasihan wanita ini. Pasti dia rasa kekurangan.
‘Abang minta maaf Fia.’
“Abang nampak tak sihat saja. Ada masalah ke?” Dari tadi
air muka suaminya suram. Tak ceria. Dia rindu nak tatap senyuman suaminya.
Senyuman yang selalu buat hatinya tenang.
“Tak adalah. Mungkin sebab penat sikit. Menantu abang
baru saja meninggal.” Puan Sofia sedikit terkejut. Timbul simpati di hatinya.
Dia mahu tahu lebih lanjut. Tapi bagaimana dia nak khabarkan berita gembira itu
sedangkan suaminya sedang berduka?
“Innalillahiwainnailaihirajiun…sakit apa bang?” Dia tak
kenal siapa menantu suaminya itu tapi yang pasti masih muda. Kalau tak silap
perkiraan, baru beberapa tahun berkahwin. Anak? Dia tak pasti pula. Suaminya
jarang bercerita mengenai keluarga sebelah sana.
“Masa bersalin. Pendarahan teruk sebab dia terjatuh.”
Encik Zainal kembali menyandarkan badannya. Letih menguruskan hal itu masih
terasa. Maklumlah, umurnya bukan muda lagi. Sudah melepasi umur pencen.
“Ya Allah, kesiannya. Jadi anaknya?” Simpatinya makin
melimpah. Pasti pedih nak menerima berita sebegini. Patutlah suaminya tak
ceria.
“Anaknya selamat.” Puan Sofia mengangguk. Syukurlah.
Sekurang-kurangnya ada juga yang ditinggalkan. Puan Sofia masih ingin bertanya
tapi terbantut apabila melihat suaminya kembali mengurut kepala.
“Kepala abang sakit lagi? Fia ambilkan panadol ya?” Puan
Sofia terus ke dapur tanpa menunggu persetujuan suaminya. Dia kembali semula
bersama panadol dan segelas air suam.
“Panadol bang. Makanlah. Nanti boleh rehat.” Biar
suaminya rehat lama sedikit di sini. Boleh jumpa dengan Faiz sekali. Tak lama
lagi Faiz akan pulang. Anak teruna mereka itu pun dah lama benar tak jumpa
ayahnya.
“Abang nak rehat di atas?” Encik Zainal menggeleng.
Cukup di sofa ini.
Encik Zainal merebahkan badannya. Puan Sofia merenung
wajah suaminya. Lama. Masih kacak seperti dulu cuma ada garis kedutan. Diam tak
diam, sudah hampir tiga puluh tahun mereka berkahwin. Dan hampir tiga puluh
tahun juga mereka menyembunyikan rahsia perkahwinan mereka daripada pengetahuan
umum.
Adakah rahsia ini akan terbongkar juga suatu hari nanti?
Andai terbongkar, biarlah dengan keadaan yang baik. Dia tak mahu bikin kecoh.
Mereka semua dah tua. Tak elok bergaduh. Malu. Puan Sofia bergegas ke dapur.
Dia mahu sediakan makan malam buat suaminya. Lama betul dia tak sediakan
makanan buat suaminya. Sudah ada peluang, dia tak mahu lepaskan. Dia tak pernah
lupa masakan kegemaran suaminya.
Puan Sofia sedang sibuk di dapur semasa Faiz pulang.
Terus anak terunanya itu menuju ke dapur. Pasti dia pelik melihat papanya ada
di situ. Sedang tidur pula tu.
“Kenapa dia ada kat sini mama?” Seakan tak selesa.
Bayangkanlah, dah berapa lama dia tak jumpa papanya. Sampai dia sendiri pun dah
terlupa bagaimana rupa papanya. Gemuk atau kurus?
“Faiz, Papa. Bukan dia.” Puan Sofia membetulkan
panggilan anaknya. Sampai bila anaknya akan rasa tak selesa dengan papa
sendiri. Dia selalu doakan yang mereka sekeluarga akan kembali bersatu dan
bahagia.
“Mama masak apa ni? Sedapnya bau.” Faiz tak ambil
peduli. Kedatangan lelaki itu langsung tak memberi kesan kepada dirinya. Dia
tak rindu. Sayang? Entahlah. Dia sendiri tak pasti.
“Mama masak lauk kegemaran papa. Masak lemak cili padi.
Papa suka sangat. Sama macam Faiz jugakan?” Sengaja dia berkata begitu. Dia
mahu anaknya rasa yang dia mempunyai pertalian dengan lelaki di luar itu.
“Tak adalah suka sangat. Oklah, Faiz naik dulu. Nak
mandi.” Terus dia melangkah pergi. Sekujur tubuh yang terbaring di sofa hanya
dikerling sekilas. Kalau boleh, bila dia turun nanti, lelaki itu sudah tak ada.
Dia tak betah nak duduk semeja dengan lelaki itu.
Puan Sofia menguntum senyum. Lauk sudah terhidang di
atas meja. Suaminya masih lagi lena. Penat sangat agaknya. Maghrib pun dah
masuk. Dia mahu mengejutkan suaminya. Mereka boleh solat sekali. Dia rindu
semua itu.
“Bang, bangun bang. Dah Maghrib ni.” Encik Zainal buka
mata. Bau masakan yang masih panas menusuk hidungnya. Serta-merta dia rasa
lapar.
“Kita solat dulu ya? Fia dah siapkan makan malam. Nanti
kita makan sama-sama.” Bagai anak kecil, Encik Zainal hanya mengangguk. Dia
mengekori langkah Puan Sofia naik ke atas.
Puan Sofia mengeluarkan tuala dan kain pelikat milik
suaminya yang tersusun kemas. Tak banyak, ini pun yang lama dulu. Harap masih
boleh dipakai.
“Abang pergilah mandi dulu.” Puan Sofia senyum. Dia
senang dapat melayan suaminya. Dah lama dia tunggu saat begini. Biarpun
sekejap, dia mahu melakukannya.
Usia solat, mereka berdua turun. Senyum tak lekang dari
bibir Puan Sofia. Bahagia betul dia.
“Faiz, mari makan sama-sama.” Faiz tak berkata apa-apa.
Memandang papanya pun tidak.
“Faiz, salam dengan papa dulu nak. Dah lama Faiz tak
jumpa papa kan?” Kalau bukan disebabkan mamanya yang suruh, tak ingin dia
sentuh tangan itu.
Encik Zainal senyum. Dia renung anak terunanya. Dah
besar. Sebenarnya dia hampir terlupa mengenai anaknya ini. Kejamnya dia.
‘Maafkan papa, nak. Papa bukan papa yang baik.’
“Faiz sihat?” Encik Zainal cuba untuk memulakan perbualan.
Tapi jawapannya hambar. Faiz hanya angguk sekali. Tiada senyuman. Encik Zainal
tak kecil hati. Dia faham. Dia tak salahkan anaknya. Dia yang salah.
“Bang, Fia ada benda nak bagitahu ni.” Mungkin ini masa
yang sesuai. Faiz pun ada di sini.
“Apa dia?” Berselera betul Encik Zainal makan. Lauk
kegemaran. Isterinya tak pernah lupa.
“Hujung minggu ni, Fia nak pergi jumpa kawan Faiz.
Maksud Fia, pergi jumpa keluarga kawan Faiz.” Puan Sofia susun ayat. Dia
pandang Faiz. Tak ada respon daripada anaknya. Angkat muka pun tak.
“Maksud Fia?” Dia mahu tahu maksud sebenarnya.
“Fia nak pergi merisik untuk Faiz.” Puan Sofia senyum.
Dia tak dapat sembunyikan kegembiraan yang sedang dirasa. Faiz masih lagi tak
beri respon. Laju saja dia menghabiskan nasinya.
“Merisik? Alhamdulillah.” Encik Zainal turut senyum. Dia
pandang Faiz. Anaknya betul-betul dah dewasa. Dia tepuk mesra bahu itu.
Faiz mahu mengelak tapi dia tak mahu mamanya terasa
hati. Kenapa hal ini mesti dikhabarkan kepada papanya? Apa lelaki itu boleh
buat? Bukan dia akan pergi pun. Buang masa saja bagitahu.
“Jadi, Fia ingat Fia nak minta abang ikut sekali. Ya
lah, abangkan papa Faiz. Lebih elok jika abang ada sekali.” Dia harap sangat
suaminya dapat sertai mereka. Ini soal keluarga. Apa dia nak jawab kalau ditanya
mengenai suaminya? Takkan dengan bakal besan pun dia nak menipu?
“Hari apa?” Encik Zainal memikirkan sesuatu. Sepatutnya
memang dia perlu pergi. Faiz anaknya.
“Sabtu.” Mata Puan Sofia penuh pengharapan. Dia mahukan
jawapan yang positif.
“Hmm…abang kena tengok jadual abang dulu. Kalau tak ada
aral, nanti abang telefon Fia bagitahu.” Puan Sofia mengangguk. Walaupun
sedikit kecewa tapi sedikit harapan itu sudah cukup buat dirinya.
Kini, dua hari dah berlalu. Masih tak ada jawapannya.
Adakah suaminya dah lupa? Adakah perkara ini betul-betul tak penting buat
lelaki itu? Kesian Faiz. Pasti dia terasa.
“Mama, buat apa ni?” Faiz memeluk mesra tubuh ibunya.
“Tak ada apalah. Tunggu Faiz balik kerjalah.” Dia cuba
senyum. Tak mahu anaknya perasan yang dia sedang risau.
“Mama tunggu dia telefon ke?” Faiz tahu. Tak bagitahu
pun dia dah tahu. Telefon sentiasa ada dekat dengan mamanya. Apalagi kalau tak
kerana lelaki itu.
“Taklah. Esok kita nak bertolak pukul berapa?” Dia tukar
topik. Mungkin dia perlu terima hakikat yang suaminya tak akan menelefonnya.
Suaminya tak akan datang esok.
“Pukul sembilan ma. Mama ni kenapa? Masuk kali ni, dah
banyak kali mama tanya. Faiz pun dah tak ingat berapa kali.” Faiz mengambil
duduk di sebelah mamanya. Memegang tangan tua itu.
“Mama nervous.
Maklumlah kali pertama.” Dia tak biasa. Nasib baiklah dua orang kawannya
bersetuju nak ikut serta. Kalau tak, boleh mati kutu dia sendirian di sana.
“Tak ada apalah ma. Bukan majlis besar pun. Ika pun dah
bagitahu, sebelah dia tak ramai pun. Mak ayah dia dengan dua orang mak cik. Itu
saja.” Kalau mamanya gementar, dia lagilah gementar. Pertama kali nak bersua
muka dengan bakal mentua. Entah apalah rupanya nanti.
“Oklah ma. Jangan risau sangat. Faiz naik dulu.” Faiz
angkat punggung. Meninggalkan mamanya sendirian di situ.
Puan Sofia pasrah. Mungkin suaminya betul-betul sibuk.
Maklumlah, menantu baru sahaja meninggal. Mungkin terpaksa uruskan banyak
perkara. Dia cuba memujuk hati sendiri. Dia juga menuruti langkah anaknya.
Maghrib sudah hampir. Lebih baik dia solat dan berdoa agar semuanya selamat dan
berjalan lancar.
cian puan sofia...
ReplyDelete