2014-02-26

Tanya Sama Hati 61



Bab 61
Ika hanya menunduk. Tak tahulah kenapa berat sangat dia nak bagi tahu ibu dan abahnya hal ini. Puan Siti dan Haji Khalid masing-masing berkerut kening. Kenapa tiba-tiba saja? Ada perkara yang Ika sorokkan daripada mereka ke? Jangan-jangan….
“Faiz desak kamu ke?” soal Puan Siti. Seboleh mungkin dia tak mahu bangkitkan kemungkinan yang terbit di benaknya. Minta dijauhkan. Faiz tu nampak baik. Takkan mereka berdua ni buat perkata yang bukan-buka kut?
Ika hanya geleng. Memang Faiz tak mendesak tapi lelaki itu memaksa dalam diam. Fikiran Ika kosong sekarang ini. Soal pernikahan langsung tak melekat di benaknya. Tak bersedia langsung.
“Habis tu, kenapa? Dua bulan tu singkat sangat Achik. Tak sempat kita nak buat persediaan. Banyak benda nak kena buat. Takkanlah nak buat ala kadar aje.” Puan Siti mula runsing. Bukan dia tak ada pengalaman buat kerja nikah kahwin ni tapi disebabkan ada pengalamanlah dia jadi tak senang duduk. Kalau nak ditulis, senarainya panjang sedepa.
“Buat yang wajib aje bu. Tak perlu buat besar. Yang penting nikah.” Apa yang diucapkan tak selari dengan apa yang ada dalam hatinya. Dia tak mahu kahwin. Dia tak mahu tapi itu yang sudah dijanjikan kepada Faiz dan keluarga belah sana.
“Apa masalah sebenarnya ni? Kamu dengan Faiz tak buat perkara bukan-bukan kan?” Tak boleh nak ditahan lagi curiga di hatinya. Ika angkat muka. Haji Khalid juga terkejut.
“Ish, awak ni. Tak sah kalau tak fikir benda yang bukan-bukan. Awak tak percaya dengan anak sendiri ke?” Tak setuju dengan isterinya. Walaupun itu adalah salah satu kemungkinan yang boleh berlaku, tapi dia percaya anaknya masih waras.
“Saya bukan apa bang. Saya cuma keliru. Zaman sekarang ni macam-macam boleh jadi.” Puan Siti tahu dia salah. Tak sepatutnya dia curiga dengan anak sendiri.
“Ibu jangan risau. Ika tak akan buat perkara macam tu. Ika masih waras lagi. Masih ada iman.” Ika meraup mukanya. Makin lama dibincangkan makin kusut jadinya.
“Macam ni lah bu. Kalau ibu rasa majlis tu tak boleh dilangsungkan dalam masa dua bulan ni, Ika akan cakap dengan Faiz. Kita akan buat ikut perancangan asal.” Dah malas dia nak fikir. Lagipun rasa menyesal pula usulkan perkara itu pada Faiz.
“Ibu bukannya nak menghalang. Tapi Achik kenalah fikir betul-betul. Keluarga kita ni besar. Nanti apa pula kata dia orang kalau kita tak jemput. Tapi kalau Achik dengan Faiz nak nikah juga, ibu tak boleh nak buat apa.” Puan Siti mengeluh. Dia tak naklah nanti, sebab dia menghalang, perkara lain pula yang jadi.
“Achik faham bu. Tak apalah. Nanti Achik cakap dengan Faiz. Kalau dia betul-betul nakkan Achik, mesti dia boleh tunggu.” Muktamad. Tak payah nak fikir lagi. Faiz nak terima ke tak nak terima ke, itu masalah dia. Kalau tak nak terima, tak payah kahwin. senang.
“Kamu berdua ni betul-betul tak ada masalah ke Achik? Risau ibu tengok kamu ni. Kalau ada masalah, bincanglah baik-baik. Jangan buat keputusan terburu-buru. Kamu berdua bukannya nak kahwin sehari dua.” Puan Siti mengusap perlahan belakang anak daranya. Tak tahulah kenapa hatinya rasa tak sedap. Macam ada sesuatu yang sedang disembunyikan Ika.
“Tak ada apalah. Ibu dengan abah tak payahlah risau. Kalau ada masalah, takkanlah kami tetap nak kahwin.” Ika senyum kelat. Sebab ada masalahlah dia nak kahwin cepat-cepat.
“Kamu bincang elok-elok dengan Faiz tu. Abah memang tak ada halangan kalau kamu nak kahwin awal tapi kita mesti fikir juga saudara yang lain.” Lembut suara Haji Khalid memujuk. Ika angguk perlahan. Tak tahulah kenapa dia rasa lega. Mungkin sebab tak perlu kahwin dalam masa dua bulan lagi kut? Ahhhh….Ika!!!
>> 
Puan Siti mendekati anak daranya yang sedang melipat kain. Wajah Ika mendung. Tak seceria selalu. Dia yakin pasti ada masalah yang mengganggu anak daranya ini. Puan Siti mengambil duduk di sebelah Ika seraya tangan anaknya disentuh lembut. Ika angkat muka. Cuba melemparkan senyum walaupun payah. Redup renungan ibunya buat hatinya terus dipanah rasa bersalah.
“Dugaan tu memang lumrah kehidupan. Tak lengkap hidup kalau tak ditimpa dugaan.” Puan Siti memulakan bicara. Dia bukan nak masuk campur hal anaknya tapi sebagai ibu dia rasa dia patut membantu sedaya yang mampu.
“Tak ada masalah yang tiada jalan penyelesaian. Cuma kita perlu bijak mencari jalan dan berusaha bersungguh-sungguh,” sambungnya lagi. Ika sudah menunduk. Air mata bergenang. Tak sanggup untuk berahsia lagi. Ibu memang kenal dia seratus-peratus!
“Achik takut bu…” serta-merta air matanya mengalir. Setakat itu sahaja dia mampu tahan. Tubuh ibunya dipeluk erat.
“Ibu kan ada. Ibu tak nak tengok Achik sedih macam ni. Ibu akan tolong semampu yang boleh.” Luluh hati Puan Siti melihat anaknya teresak menangis begini. Terasa berat masalah yang sedang ditanggung Ika.
“Achik minta maaf bu. Achik tak ada niat pun nak sorok daripada ibu tapi Achik tak tahu macam mana nak cerita dekat ibu.” Teresak-esak Ika menutur kata.
“Apa masalah sebenarnya? Faiz ada buat apa-apa kat Achik ke?” Tubuh Ika diusap perlahan. Cuba memberikan sedikit kekuatan. Harap-harap apa yang dia fikirkan tak betul. Faiz tu baik budaknya.
“Achik buntu bu. Tak tahu nak buat apa. Faiz…” Ika tak mampu nak teruskan kata-kata. Mengingatkan Faiz, hatinya jadi sakit. Marahnya masih bersisa. Dia pulang ke kampung ni pun Faiz tak tahu. Dah berhari-hari dia tak bercakap dengan Faiz sejak peristiwa malam tu.
“Kenapa dengan Faiz?” Puan Siti makin tak puas hati. Takkanlah Faiz buat perangai kut?
Ika menggenggam kedua-dua belah tangannya yang menggeletar. Bagaimana dia mahu ceritakan perkara ini kepada ibunya? Masalah berpunca daripada dirinya. Boleh ke ibu terima?
“Achik….” Puan Siti sentuh bahu Ika yang kelihatan serba-salah.
“Faiz ada buat perkara tak elok dekat Achik ke?” Sebagai ibu, dia tak dapat nak mengelak daripada memikirkan perkara sebegitu. Memanglah Faiz nampak baik tapi bila dah namanya lelaki. Ustaz pun boleh terangkat kopiah kalau tengok perempuan dahi licin.
Ika geleng. Dia meraup mukanya. Menarik nafas dalam-dalam. Masih membisu.
“Dah tu?” Makin tak sabar jadinya. Apa masalah yang sebenarnya? Jangan-jangan Ika yang buat perangai. Sebab tu anaknya ni nampak gelisah semacam. Puan Siti ketap bibir.
“Achik ada buat apa-apa ke?” Berhati-hati Puan Siti bertanya. Dia harap telahannya tak benar. Ika telan liur. Makin gelisah. Nampak sangat ke?
“Tak apalah kalau Achik tak nak cerita. Achik dah besar. Dah tak perlukan ibu.” Puan Siti putus asa bila Siti Zulaikha masih lagi membisu.
“Bu….” Ika genggam kemas tangan ibunya. Mengharapkan pengertian. Dia betul-betul tak tahu nak mula dari mana.
“Masih tak terlambat nak betulkan keadaan. Tak ada manusia yang tak pernah buat kesilapan.”
“Achik yang salah bu. Achik yang salah. Achik tak jujur. Achik tak tahu kenapa semua jadi macam ni. Achik tak tahu bu…tolong Achik bu…” ngongoi Ika. Sekali lagi air matanya tumpah. Dia takut. Seluruh tubuhnya menggigil.
“Sabar Achik…sabar. Cuba cerita satu persatu kat ibu.” Puan Siti cuba bertenang. Tenyata telahannya benar. Tapi apa yang anaknya dah buat sampai jadi macam ni? Ika curang? Tapi kenapa?
“Achik tak tahu macam mana semua ni berlaku. Semuanya secara kebetulan. Achik terjumpa dengan kawan sekolah Achik dulu. Tak tahu macam mana kami jadi rapat.” Ika berhenti seketika. Cuba mencari kekuatan untuk membongkar kisah seterusnya. Puan Siti beristighfar. Memang patutlah kalau Faiz mahu mereka cepat-cepat bernikah.
“Dan Faiz dapat tahu?” Puan Siti buat kesimpulan. Ika angguk. Puan Siti lepas keluhan berat. Memicit kepala yang tiba-tiba berdenyut. Patutlah muram semacam.
“Sebab tu juga dia kemalangan.” Makin berdenyut kepala Puan Siti. Tak sangka perkara jadi seteruk ini. Tapi kenapa sekarang baru nak cerita?
“Dan Faiz desak Achik untuk berkahwin?” Sekali lagi Puan Siti buat kesimpulan.
Ika geleng kepala. “Achik yang buat keputusan tu. Achik tak mahu perkara jadi makin buruk. Achik tak mahu Faiz terus salah sangka.”
“Tapi rasanya masalah jadi makin besar.” Ika mengeluh lagi. Puan Siti kerut dahi. Kenapa pula?
“Kawan Achik tu sebenarnya abang kepada Faiz. Achik tak tahu pun benda tu.” Kali ini Puan Siti urut dada. Bertimpa-timpa masalah yang datang.  
“Tapi Faiz kan anak tunggal. Macam mana dia boleh ada abang?” Puan Siti teringatkan sesuatu.
“Itu abang tiri dia. Papa Faiz kahwin dua. Faiz anak isteri kedua. Ika pun baru tahu perkara tu. Selama ni isteri pertama papanya tak pernah tahu yang papanya kahwin lain. Mereka baru dapat tahu beberapa bulan lalu.” Ika seka air matanya. Perasaannya sekarang? Agak lega tapi masih lagi takut. Masih lagi tak tenang. Masih lagi tak tahu penyelesaian yang sebaiknya.
Puan Siti geleng kepala. Alkisahnya. Dia sendiri pun buntu, tak boleh nak berfikir.
“Achik sukakan abang Faiz?” soalan yang tiba-tiba dari Puan Siti. Ika segera angkat muka. Dadanya berdebar kencang. Air liur tak tertelan. Macam mana dia nak jawab?
“Ibu tak tahu apa yang ada dalam hati anak ibu ni tapi ibu harap Achik boleh buat keputusan yang terbaik. Minta dengan Tuhan. Itu yang paling baik. Ibu tak salahkan Achik dan ibu tak salahkan Faiz jika dia mendesak untuk segera bernikah. Jawapan terletak pada Achik. Ibu harap Achik tak akan lukakan hati sesiapa. Ibu boleh nampak yang Faiz tu terlalu cintakan Achik.” Puan Siti menyeka air matanya. Dia berdoa semoga sesuatu yang buruk tak berlaku. Semua yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.
“Achik minta maaf bu. Achik pun tak nak semua ni berlaku tapi Achik tak mampu.” Tubuh ibunya dipeluk lagi. Terasa selamat dan tenang begitu. Boleh tak dia mahu selama-lamanya begini? Dia mahu hidup tenang.
“Ada hikmah semua yang berlaku. Sabarlah…” Puan Siti balas pelukan anaknya. Semua ini dugaan untuk menguji sekuat mana iman anaknya. Semoga ada sinar di penghujungnya. 
 

5 comments:

  1. Lama tgu ni..hehe...nampak mcm positive

    ReplyDelete
  2. nape teman rasa nk ika ngan faiz ni hehehhe

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga masih ada harapan utk faiz dan ika..hehe.. :)

      Delete
  3. Nmpk sgt ika xtetap pendirian. Kalu ikotkan baik kawen dgn org cintakan kita dan terima kita seadanya jer mcm faiz. Kesian fauz dpt tunang mcm ika. Mcm lalang pun ada

    ReplyDelete