2013-08-25

Tanya Sama Hati 44



assalamualaikum dan salam sejahtera semua...
raya dan nak abes...rumah terbuka masih lagi rancak..hehe...cuti sem tinggal lagi 2mggu..ayooo...kene reset balik sbb da lama sgt cuti ni hah...apa2 pun...kpd adik2 kakak2 yg baru nk dftr masuk u mggu depan (ye kot), selamat menempuh alam universiti...hehe...seronok tauuuuu!!! sbb tu sy masuk u balik..hahaha...apa2 pun...jemputla baca n3 terbaru sy nih..hehe...opss...sape2 yg nk beli novel JANGAN MERAJUK SAYANG....masih boleh tau...sebelum cuti sy habis 2mggu lagi okehhh...
Bab 44
Puan Sofia senyum puas. Lauk sudah siap terhidang di atas meja. Baru tadi suaminya menelefon mengatakan yang dia akan pulang. Gembira bukan kepalang hatinya mendengar. Pantas dia menyediakan juadah makan malam buat suami tercinta.
Sejak kebelakangan ini, suaminya selalu pulang ke rumah. Kadang-kadang seminggu sekali. Syukurlah, apa yang diharapkan sudah termakbul. Faiz pun nampaknya makin mesra dengan lelaki itu. Walaupun tak pernah melihat anaknya dan lelaki itu berbual mesra, tapi cukuplah kalau Faiz sudah mahu menghulur salam tanpa disuruh. Dia terasa kebahagiaan dulu kembali menyinari hidupnya.
Cepat-cepat dia berlari ke pintu utama apabila mendengar deruan enjin kereta. Pintu utama dibuka. Terpacul wajah tak bermaya Faiz. Puan Sofia lempar senyum manis. Faiz membalas senyuman mamanya. Dia menyalami tangan itu.
“Cantik mama hari ni? Mama nak keluar ke?” Penampilan mamanya agak berlainan hari ini dengan baju kurung bercorak batik. Rambutnya disanggul rapi. Bibirnya dioles sedikit gincu.
“Tak adalah. Mama nak tunggu papa balik. Dia telefon mama tadi. Katanya dia nak balik sini.” Ceria wajahnya. Faiz mengangguk lemah.
Baru minggu lepas papanya datang. Makin kerap pula lelaki itu datang ke rumah. Sebenarnya dia tak selesa tapi demi mamanya, dia terpaksa berlakon. Dia tak mahu mamanya sedih lagi. Ika pun nak lihat dia berbaik semula dengan papanya. Kalau bukan kerana dua orang wanita kesayangannya ini, tak mungkin dia akan maafkan lelaki itu.
“Faiz naik dululah ma.” Tak berniat untuk turut sama menanti kedatangan papanya. Pantas kakinya didaki ke tingkat atas. Meninggalkan mamanya berseorangan di bawah.
>> 
Zaza merapati abangnya yang sedang khusyuk mengadap komputer riba. Berkerut-kerut dahinya. Mug berisi air Milo panas diletakkan di hadapan abangnya.
“Bang, sibuk ke?” Dia menghenyakkan punggung di kerusi sebelah. Abangnya masih lagi fokus pada kerjanya.
“Sibuk juga. Kenapa?” Mesti ada apa-apa ni. Siap buatkan minuman.
“Tak ada apa-apa. Saja tanya.” Dia hirup Milo panas dari mugnya. Malam masih muda. Matanya pun tak mengantuk lagi. Bosan duduk berseorangan di atas, dia turun ke bawah.
“Betul ke tak ada apa-apa? Siap buatkan abang air. Mustahil tak ada apa-apa. Kali ini apa pula yang Zaza berkenan?” Perli Hilmi. Air Milo dihirup perlahan. Segar sikit matanya. Masih banyak yang perlu disiapkan.
“Ish abang ni. Orang ikhlas tau tak?”
“Tak tahu.” Hilmi ketawa. Bagus juga adiknya datang ke sini. Tak adalah bosan sangat. Ada juga teman hendak berborak. Zaza menjeling tajam.
“Bang…nak tanya sikit boleh?” Kan dah cakap. Mesti ada apa-apa. Entah apa pula kali ini.
“Hai, tadi cakap tak ada apa-apa. Nak tanya apa?” Zaza senyum sumbing. Dia membetulkan duduk. Perkara ini serius.
“Abang tak cakap pun yang abang kenal Cik Zulaikha?” Jemari Hilmi berhenti menaip. Dia pandang wajah adiknya yang tepat memandang ke arahnya meminta jawapan.
“Bila masa abang kenal dia?” Rasanya perkara itu tak penting. Sekadar kawan lama.
“Tak payah bohonglah abang. Habis tu kalau abang tak kenal dia, macam mana abang boleh panggil Cik Zulaikha tu Ika aje? Setahu Zaza abang baru jumpa dia sekali kan? Itupun Zaza yang kenalkan.” Rasanya bukti itu cukup jelas. Tak payah nak berselindung lagi.
“Hmm…teliti juga Zaza ni ya?” Milo dihirup lagi. Dia tak berniat nak berselindung dan tak ada apa yang perlu dia selindung.
“Mestilah. Inikan Zaza. Cepatlah bang, abang senyap-senyap contact dia ya?” Zaza buat andaian sendiri. Tapi mana abangnya dapat nombor telefon pensyarahnya itu? Dia sendiri pun tak ada.
“Memandai ajelah Zaza ni. Cik Zulaikha tu sebenarnya kawan lama abang. Bukanlah kawan sebenarnya. Cuma dia tu satu sekolah dengan abang dulu.” Dia kembali menyambung kerjanya. Melayan adiknya ini, tak siap pula kerjanya.
“Kawan? Habis tu kenapa hari tu abang kata tak kenal dia?” Dahi Zaza berkerut. Kata kawan, tapi bila jumpa buat-buat tak kenal. Atau mereka memang sengaja buat-buat tak kenal sebab dia ada di situ?
“Kan abang dah cakap. Dia cuma satu sekolah dengan abang. Abang pun tak perasan. Lagipun dah lama. Dah lupa.” Ditambah pula dengan wajah Ika yang jauh berubah. Manalah dia nak perasan.
“Habis tu, macam mana abang boleh tahu yang dia tu sebenarnya kawan sekolah abang?” Dia makin nak tahu. Seronok pula dengar.
“Ish, banyak betul soalan budak ni lah. Buku dah habis baca ke?” Soalan Zaza tak berjawab. Dia pusing ke tajuk lain.
“Abang jawablah dulu. Tak lari ke mananya buku tu.” Tak puas hati selagi abangnya tak jawab soalan.
“Hmm…abang jumpa dia rumah kawan abang minggu lepas. Kawan abang yang bagitahu. Dah puas? Sekarang, pergi naik atas baca buku.” Tak ada apa yang perlu diceritakan lagi. Cukup untuk kali ini.
“Oh, patutlah macam dah kenal lama. Siap panggil Ika lagi. Manja saja bunyinya.” Usik Zaza. Sekali lagi jemarinya berhenti mengetuk papan kekunci.
“Zaza…” Mukanya berubah serius. Tak habis-habis nak mengarut.
“Ok…ok. Zaza naik baca buku. Tapi kan bang, Cik Ika tu cantik juga ya?” Tak serik. Masih lagi mahu menyakat.
“Zaza!” Dah mula dah. Ini yang dia tak suka nak cerita apa-apa ni. Mesti lepas ni sampai ke pengetahuan mamanya. Anak dengan mak sama saja. Pening kepala.
Zaza buka langkah seribu. Sekejap saja kelibatnya hilang. Tapi dia puas. Rahsia abangnya sudah diketahui. Mesti dilaporkan segera kepada mamanya.
>> 
Tiada bintang menghiasi langit luas malam ini. Cahaya bulan pun seakan malu-malu untuk bersinar. Hujan renyai-renyai masih membasahi bumi yang semakin sunyi sepi. Lampu neon berwarna-warni menceriakan suasana. Tiada deretan kereta di jalan raya. Tiada juga orang berpusu-pusu menuju ke sana sini. Tapi di sebalik semua itu, ada tiga jiwa yang sedang berkecamuk dengan pelbagai rasa.
Hilmi masih setia di meja kerjanya. Rasa mengantuk sudah lama hilang. Komputer riba masih terpasang tapi kerjanya sudah lama siap. Gambar yang terpapar di skrin komputer ditatap lama. Cerianya si dia. Cantiknya senyuman si dia. Manis bertudung di pagi lebaran. Dia rindu.
Baginya, rasa cinta dalam hati sudah hilang. Semuanya sudah diberikan kepada si dia yang masih tetap setia bertakhta di hati walaupun jasadnya sudah tidak kelihatan lagi. Setitik air mata yang gugur segera diseka. Sudah dia berjanji untuk tidak menangis lagi. Dia segera bangkit, menghampiri jendela yang tertutup. Di luar sana hujan renyai-renyai. Sama seperti hatinya.
“Mama bukan nak suruh Mi lupakan Nur Jannah tapi mama nak Mi fikirkan mengenai anak Mi. Apa perasaan dia nanti bila semua kawan-kawannya bercerita mengenai ibu masing-masing? Bila kawan-kawannya menunjukkan makanan yang dibekalkan oleh ibu masing-masing.”
Hilmi raup muka. Dia juga kasihankan anaknya. Tapi apa yang dia boleh buat? Cinta tak boleh dipaksa. Dia tak mahu menyeksa wanita yang akan menjadi isterinya itu. Biarlah, selagi anaknya tak bertanya, selagi itu dia akan cuba bertahan. Dia yakin, anaknya juga pasti akan jadi sekuat mamanya.
Sudah puas dia cuba untuk melelapkan mata. Tapi masih gagal. Setiap kali matanya dipejam, setiap kali itu juga bayangan wajah si dia akan menjelma. Hatinya resah tak menentu. Pertemuan demi pertemuan yang tak disengajakan membuatkan semua yang baru hendak tenang menjadi kucar kacir semula.
Hati seorang wanita bernama Siti Zulaikha ini begitu rapuh. Semuanya hanya kerana cinta. Kenapa hatinya mudah menjadi lemah apabila bertentang mata dengan lelaki bernama Khairul Hilmi? Kenapa dia mudah memaafkan lelaki itu walaupun hatinya teruk disakiti? Kenapa dia kerap merasa tak tenang bila bayangan lelaki itu menjelma?
Ika bangkit dari pembaringan. Menuju ke meja yang menyimpan kenangan lama. Sebuah buku tebal dikeluarkan dari kedudukannya. Dia membelek laju dan ianya terhenti di satu muka surat. Ada sekeping gambar lama di situ. Gambar zaman persekolahan. Dalam gambar itu, ada seorang gadis yang sedang memendam rasa terhadap seorang lelaki dan lelaki itu tak tahu dan masih tak tahu sehingga sekarang.
Senyuman Ika mati. Di atas meja itu sekarang, ada sekeping lagi gambar. Gambar yang cantik terletak di dalam bingkai. Gambar yang diambil beberapa bulan lalu. Gambar di mana dia disolek cantik dan berpakaian cantik. Di sebelahnya ada seorang lelaki bernama Faiz. Itu gambar di hari pertunangan mereka. Ika segera beredar ke katil. Hatinya jadi sakit semula.
Kedua-dua tangan disilangkan ke belakang. Lenanya terganggu dek mimpi. Ika datang kepadanya. Senyum kemudian menyerahkan sesuatu kepadanya. Seketika, wanita itu terus hilang. Dia buka tapak tangan. Sebentuk cincin emas bertatahkan tiga biji berlian. Dia kenal cincin itu. Dia yang beli cincin itu. Cincin pertunangan mereka.
Tapi kenapa Ika menyerahkan cincin itu kepadanya? Dia tahu mimpi hanya mainan tidur tapi kenapa dia tak dapat berhenti memikirkannya? Hatinya jadi tak tenang. Memikirkan sikap Ika yang agak berlainan kebelakangan ini, dia tak tahu di mana silapnya. Ika seolah-olah menjauhkan diri.
Mesej yang dihantar kadang-kadang tak berbalas. Panggilan yang dibuat kadang-kadang tak berjawab. Mula-mula bolehlah dipujuk hati mengatakan bahawa tunangnya itu sibuk. Tapi lama-lama, dia sudah tak berdaya nak pujuk hati sendiri. Mahu marah, bimbang wanita itu merajuk. Nak ditanya, pasti jawapannya adalah sama.
Apa sebenarnya yang berlaku? Ika dah berubah hati? Ika dah bertemu dengan lelaki lain yang lebih baik daripadanya? Atau selama ini memang dia hanya bertepuk sebelah tangan? Hanya dia beria-ia mencintai wanita itu sedangkan Ika? Faiz buntu. Betul-betul buntu.
thank u so muccchhhhh guysssss :)

No comments:

Post a Comment