2015-05-03

Kerana Aku Wanita 6




Bab 6

Sarah mundar-mandir di dalam bilik air. Seketika, dia pandang wajahnya dalam pantulan cermin. Kedua-dua pipinya disentuh dengan tapak tangan. Wajahnya digeleng-geleng. Ish, otak tiba-tiba tak boleh berfikir. Dia kembali mundar-mandir. Hampir setengah jam dia berkeadaan begitu.
“Sayang, tak siap lagi ke? Dah lambat ni. I nak mandi.” Roy ketuk pintu bilik air. Dah lebih pukul tujuh pagi. Dia ada meeting pagi ni.
“Kejap.” Dia sebenarnya belum mandi lagi. Pintu dikuak.
“Aik, kenapa tak mandi?” Berkerut dahi Roy. Bukan main lama lagi dalam bilik air.
“Errr....” Terkebil-kebil Sarah pandang Roy. Cuba cari alasan yang sesuai.
“You mandi dululah.” Tak dapat nak fikir alasan yang terbaik. Cepat-cepat Sarah melarikan diri. Roy jungkit bahu. Entah apa kena pula dengan Sarah.
Sarah ketap bibir. Apa nak buat ni? Beberapa kali diraup muka yang terasa membahang. Macam mana boleh jadi positif? Alat ujian kehamilan masih kemas dalam genggamannya. Ya, jika alat yang digenggamnya ini boleh dipercayai memang sah dia hamil! Kepala tambah berdenyut. Mual serta-merta menyerang. Macam mana boleh terlajak ni?
Are you ok, dear?” Roy sentuh bahu Sarah yang terdedah. Hampir terlepas alat ujian yang digenggam kemas tadi. Segera wajah risau Roy dipandang. Apa yang reaksi yang perlu dia tunjukkan?
Sarah tak menjawab. Otaknya seakan gagal berfungsi. Sarah pejam mata. Cuba untuk bertenang seketika. Apa-apa pun yang bakal berlaku, Roy tetap harus tahu. Dia mengandungkan anak lelaki itu, bukan anak lelaki lain.
“Sayang, kenapa ni? Kenapa you tak mandi lagi? You tak sihat? Tak nak pergi kerja?” Dahi Sarah disentuh. Tak pula rasa panas. Tapi kenapa muka Sarah nampak cuak?
I’ve something to tell you.” Kebenaran dah tak dapat nak diselindung.
“Apa dia?” Roy pula yang cuak.
This.” Lambat-lambat Sarah hulur alat ujian kehamilan yang digenggamnya dari tadi. Roy terkebil-kebil. Huluran Sarah tak segera disambut. Matanya tak berkalih memandang ke situ.
Roy tak bereaksi. Sarah makin cuak. Roy marah? Roy tak suka? Roy tak dapat terima? Adakah Roy akan tinggalkan dia kerana ini? Pelbagai persoalan bermain di minda. Harap semuanya tak akan berlaku. Dia pun tak minta semua ni. Selama ini pun mereka sangat berjaga-jaga.
Roy raup mukanya beberapa kali. Sarah sudah tak dapat tahan perasaannya. Air mata terus mengalir laju. Dia takut Roy akan marah dan tinggalkannya seperti mana yang berlaku kepada Melissa. Dia tak mahu. Jika Roy tinggalkannya, dia boleh mati.
“Sayang.... please say something. I... I tak tahu macam mana boleh jadi macam ni. Please...” Bergetar seluruh tubuhnya. Roy bukan lelaki macam tu. Roy tak akan tinggalkannya macam tu aje. Dia kenal Roy.
“Benda ni terlalu mengejut. I...” Roy berdiri sambil bercekak pinggang. Kepalanya ditunduk. Ini bukan salah Sarah seorang. Perkara ini tak akan berlaku jika hanya ada Sarah. Perkara ini melibatkan mereka berdua.
“You tak akan tinggalkan I kan? You tak akan biarkan I jadi macam Mel kan?” Sarah memaut kuat lengan Roy. Cuba meminta simpati. Dia tak dapat bayangkan jika perkara itu benar-benar berlaku. Roy tak boleh buat dia begitu.
“Hei, kenapa you cakap macam tu? I tak akan sesekali buat you macam tu. I love you. Ini bukan salah you seorang. I pun bertanggungjawab juga. Ok, stop crying. Kita perlu selesaikan masalah ni segera.” Air mata yang berjuraian di pipi Sarah diseka. Tubuh genit itu dipeluk erat. Dia tahu Sarah takut bila dia hanya berdiam diri tadi. Sarah tak perlu bimbang. Dia cintakan Sarah. Terlalu cinta. Tak mungkin dia akan sakiti Sarah.
Sarah peluk erat tubuh Roy. Sungguh dia lega. Terasa lapang dadanya seketika. Dia dah fikir terlalu jauh. Tak sepatutnya dia mencurigai Roy. Semua itu berlaku sebab dia terlalu takut. Dia tak mahu kehilangan Roy. Jika Roy tak mahukan anak ini, dia rela gugurkan. Asalkan Roy ada bersamanya.
“Apa kita nak buat sekarang?” soal Sarah bila keadaan sedikit tenang. Tubuhnya masih berbalut tuala. Roy juga.
“Kita ada dua pilihan. Tapi I rasa, mungkin dah tiba masanya.” Roy pandang tepat ke mata Sarah. Wanita ini buat hidupnya bahagia. Wanita ini buat hidupnya lengkap. Wanita ini terlalu dicintai. Dia mahukan wanita ini sentiasa di sisinya sampai ke akhir hayat. Hanya wanita ini.
“Dah tiba masa? Maksud you?” Sarah tak faham. Berkerut dahinya, cuba mentafsir kata-kata Roy yang tergantung.
Let’s get married.” Roy yakin. Amat yakin. Itu jalan terbaik. Itu jalan yang mereka harus pilih. Sarah melopong. Tak berkelip matanya memandang lelaki di hadapannya. Mimpi? Salah dengar? Tapi bahasa Roy itu sangat mudah. Serta-merta wajahnya rasa membahang. Sepantas itu juga air mata kembali menuruni pipi. Dia memang tak bermimpi.
“Dah masanya untuk kita nikah. Lepas ni kita tak perlu sorok lagi.” Roy ukir senyum. Sarah juga. Walaupun sebelum ini mereka tidak pernah teruja untuk berkahwin, tetapi perasaan itu sangat berlainan sekarang. Seolah-olah mereka baru bercinta. Perasaan itu tak dapat digambarkan.
“I love you.” Tubuh Roy dirangkul kemas. Dia mahu berada di dalam dakapan ini selama-lamanya.
“I love you too, mama.” Sarah tergelak. Belum apa-apa dah panggil mama. Lambat lagilah.
“Kenapa gelak? Betullah tu. Kan baby, kan?” Roy usap perut Sarah yang masih tiada perubahan. Makin kuat Sarah gelak. Ish, kuat berangan betullah.
“Dah, dah. Dah nak dekat pukul lapan ni. Baik you call bos you cakap you lambat. I pun nak call datuk.” Apa alasan dia nak buat pun tak tahulah. Hentam ajelah. Asalkan masuk kerja.
Yes, maam.” Roy angkat tabik.
“Tapi sebelum tu, I nak you tahu. I love you. Will always love you, no matter what. Remember that.” Roy cuit hidung Sarah. Senyum bahagia terukir di wajah Sarah. Ya, dia tahu dan dia akan sentiasa ingat itu. Dia juga cintakan Roy. Selama-lamanya.
>> 
Hari ni dan hari-hari seterusnya haruslah senyum sampai telinga. Mata Sarah melilau sekeliling. Lambat pula si Melissa ni. Dah tak sabar-sabar dah nak bagitahu berita tergempar ni. Makin lebar senyuman Sarah bila lihat Melissa melangkah masuk ke dalam restoren.
“Amboi, senyum. Macam nak terkeluar semua gigi. Apa yang bahagia sangat ni?” Tak sempat duduk, mulutnya dah berbunyi.
“Adalah.” Sarah jungkit kening beberapa kali. Melissa tak puas hati. Apa yang nak rahsia sangat ni?
“Pelik betul aku tengok kau ni tau. Kau sihat tak?”
“Sihat. Sihat sangat.” Senyum masih tak pudar.
“Baguslah kalau sihat. Tak perlu susah-susah aku hantar kau kat Tanjung Rambutan.”
“Sampai hati kau cakap aku tak betul. Aku happy sangat ni tau. Kau tak nak tanya ke kenapa?” Dah tak ada rasa nak marah dah sekarang ni. Mood bahagia aje.
“Habis tu, yang tadi tu bukan aku tanya ke? Kau yang tak nak jawab.” Dah agak dah. Mesti ada apa-apa ni.
“Hahaha...Ok. Tapi kau janji jangan jerit tau.” Minah ni bukan boleh kira. Dah jadi tabiat dia menjerit. Buat malu aje nanti.
“Ok.”
“Tadi...Roy lamar aku!” Masih terngiang-ngiang kata-kata Roy pagi tadi. Rasa bahagia dah tak boleh nak disorok-sorok.
Melissa terdiam seketika. Tak berkelip memandang Sarah. Lamar? Biar betul budak berdua ni? Bukan hari tu cakap tak sedia nak kahwin lagi ke? Kenapa tiba-tiba pula? Jangan-jangan...
“Kau mengandung?” Terus mati senyuman Sarah. Macam mana Melissa boleh fikir sampai ke situ? Dia ada tercakap ke?
“Kau tak gembira ke beb?” Soalan Melissa tak dijawab. Kenapa Melissa nampak macam tak teruja? Tak percaya ke?
“Taklah. Aku pelik sebab tiba-tiba aje kau nak kahwin. Sebelum ni bukan main lagi mengelak. Kut-kutlah sebab kau dah...” Melissa tunjuk isyarat perut buncit. Sarah sudah cuak tapi dia perlu berlagak tenang. Melissa tak boleh tahu perkara itu lagi. Nanti saja.
“Kau ni. Takkan sebab pregnant aje baru boleh kahwin. Kami rasa dah sampai masanya. Lagipun sampai bila nak hidup menyorok macam ni. Penatlah.” Baik punya alasan.
“Hmmm...so, bila nak nikah?” Melissa masih curiga. Tak apa, bukan susah pun nak korek rahsia.
“Tak decide lagi tapi kalau boleh dalam masa terdekatlah. Tak payah tunggu lama-lama. Terus nikah aje.” Sarah menyuap makanan ke mulutnya. Perlu segera sebelum apa yang cuba diselindungi tak terdedah.
“Amboi, macam dah tak sabar-sabar. Alah, kalau lambat pun apa masalahnya. Selama ini pun korang hidup macam suami isteri. Tak ada beza pun kahwin ke tak,” tempelak Melissa. Sarah hanya senyum sumbing. Mungkin dulu ya, sekarang dah lain.
“Kau ni kan, macam tak suka aje kami nak nikah. Kau patut bersyukur tau. At least kawan kau ni dalam usaha menjauhkan maksiat.”
Melissa mencebik. Jauhlah sangat. Dah sampai tahap macam ni baru nak jauhkan diri dari maksiat. Dia bukan tak gembira, cuma curiga.
“Yalah. Tahniahlah. Tak sabar aku nak makan nasi minyak kau.” Hambar bunyinya.
“Bukan aku yang masak pun.”
“Hmmm... nak tunggu kau masak, memang taklah. Entah-entah si Roy tu pun tak sempat nak rasa.” Nak buat nasi goreng pun macam nak berperang satu dapur, inikan pula nak masak nasi minyak. Mimpi ajelah.
“Hey, kau jangan cabar aku. Nanti, lepas kahwin aku pandai masak baru kau menyesal. Silap hari bulan tiap-tiap hari kau datang tadah pinggan kat rumah aku.” Bila dah ada status isteri, barulah semangat nak jadi suri rumah betul-betul. Bab basuh baju kemas rumah dah tak jadi masalah walaupun kadang-kadang dobi juga jadi pilihan. Biasalah tu, nama pun wanita bekerjaya. Sibuklah.
“Kalau silap hari bulanlah. Aku rasa hari bulan tak pernah silap.” Ketawa Melissa pecah.
“Sengal!” Ada saja akalnya nak menjawab. Baiklah, kita tengok aje nanti.

No comments:

Post a Comment