2013-05-20

tanya sama hati 33



 http://i242.photobucket.com/albums/ff176/azrifit/Assalamualaikum.gif
Bab 33
Ika tersenyum sendiri. Memikirkan hari esok sentiasa buat bibirnya ukir senyum. Tak pernah terlintas yang hari esok akan tiba secepat ini. Bercinta pun tak lama. Berjumpa pun jauh sekali. Hanya dua atau tiga kali. Maklumlah, masing-masing sibuk. Lagipun, bukannya dekat.
“Salam. Buat apa tu? Fikirkan saya ya? Tak sabar nak tunggu hari esok.”
Dia juga. Tak sabar nak tunggu hari esok. Walaupun hanya majlis merisik, itupun sudah cukup mengujakan. Langkah pertama menuju ke alam bahagia. Adakah semua wanita juga merasa apa yang dia rasa saat ini? Atau dia saja yang berlebih-lebih?
Ika mengimbas semula pertama kali dia bertemu dengan Faiz. Salihah adalah orang yang bertanggungjawab. Pasti kawannya itu gembira jika berita ini dikhabarkan. Itulah, dulu kata tak nak.
Mengenali Faiz, dia rasa senang. Walaupun hanya sekadar seorang kawan, Faiz memang cukup mengambil berat. Faiz pernah belikannya panadol sewaktu dia demam, belikan makanan, salinkan nota. Tapi waktu itu hatinya betul-betul tak boleh terima Faiz lebih daripada seorang kawan. Mungkin kerana sebab yang satu itu. Dia tak mahu ingat.
Faiz sopan. Pertuturannya lembut. Sentiasa tersenyum. Hidupnya dikelilingi buku. Hari-hari kerjanya ke perpustakaan. Romantik? Tak kut. Pendek kata, dia suka dan senang berkawan dengan lelaki itu. Lelaki yang cukup menjaga batas pergaulan. Tak pernah ambil kesempatan.
Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki sebaik Faiz. Tuhan itu Maha Mengetahui. Jika dengan Hilmi, tak tentu lagi dia akan bahagia. Belum tentu orang yang cantik luaran seperti Hilmi cantik juga dalamannya. Dalam diam, dia mula menghalau jauh figura kacak itu pergi dari hidupnya. Biar sampai di sini.
>> 
Ika menanti dalam debar. Waktu sudah menginjak ke pukul dua belas tengahari. Faiz masih belum sampai. Dia cuba bersabar. Lagipun Kuala Lumpur ke kampungnya bukan dekat.
“Duduklah dulu Achik. Sekejap lagi sampailah tu. Achik dah bagitahu pelan rumah kita ke?” Tegur Along. Dia sedang menyusukan anaknya. Dia dulupun begitu juga. Tak betah duduk lama-lama. Asyik nak tengok luar rumah saja.
“Dah.” Baju kurung moden warna merah jambu dengan tudung sedondon buat dia nampak cantik. Ini saja yang dia dapat cari. Masa terhad.
Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi hon kereta. Makin berdebar jantung Ika. Dia mengintai di sebalik langsir jendela. Memang kereta Faiz. Kelihatan lelaki itu keluar dari kereta. Dia juga pakai baju berwarna merah jambu. Nampak kacak. Ika berlari ke biliknya.
“Assalamualaikum.” Faiz hulur tangan. Mungkin ini bakal ayah mertuanya.
“Waalaikumussalam. Jemput naik.” Encik Khalid mempersilakan tetamunya naik ke rumah.
“Duduklah. Mesti penat jalan jauh-jauh ni.” Faiz mengangguk. Dia memerhati sekeliling. Rumah sederhana besar ini kelihatan kemas. Ada gambar Ika sedang menerima ijazah di dinding. Faiz senyum.
“Maaflah, rumah kampung saja. Jemputlah minum.” Puan Siti menyusun minuman dan beberapa piring kuih yang sempat dibuatnya.
“Tak apa kak. Saya ni pun orang kampung juga.” Puan Sofia kelihatan sangat gembira. Melihat bakal besannya, dia rasa sedikit senang. Nampak seperti orang baik-baik.
“Rasanya, kakak dan abang pun dah tahu apa hajat kami datang hari ni. Ya lah, saya nak bercakap pun tak pandai. Tak ada pengalaman. Faiz ni satu-satunya anak saya.” Puan Sofia menyusun kata. Semalaman dia tak lena tidur memikirkan apa yang perlu dia cakap hari ini.
“Kami pun sama Puan. Anak semuanya pun perempuan. Yang bongsu saja lelaki.” Puan Siti merendah diri.
“Tak payah panggil puan. Panggil saja Sofia.” Puan Siti mengangguk.
“Macam nilah kak, abang. Saya memang betul-betul tak tahu macam mana nak cakap. Rasanya berterus-terang lagi senang.”
“Hajat kami datang hari ni sebab nak merisik anak perempuan kakak dengan abang untuk anak teruna saya ni. Mereka berdua pun dah lama kenal. Jadi rasanya tak eloklah kalau berkawan lama sangat. Sebab tu kami terus datang hari ini. Tak mahu tangguh lagi. Maaflah kalau dah menyusahkan keluarga abang dengan kakak.” Puan Sofia rasa sedikit lega bila hasrat di hati dah disampaikan. Harap dia tak tersalah cakap.
“Taklah. Kami terima dengan senang hati. Betul tu. Perkara yang baik ni tak baik tangguh lama-lama. Lebih-lebih lagi sekarang ni, banyak sangat dugaannya. Tak macam kita dulu-dulu.”
Semua yang ada pun bersetuju dengan kata-kata Encik Khalid. Lebih-lebih lagi anak daranya itu duduk jauh dari keluarga. Lagilah bertambah bimbang.
“Along, pergi panggil Achik keluar. Kesian Mak Cik Sofia tunggu lama-lama.” Arah Puan Siti. Anak sulungnya mengangguk.
Debar di dada Ika hanya Tuhan yang tahu. Sejuk tangannya. Nak senyum pun rasa sumbing. Dia duduk bersimpuh di sebelah ibunya selepas bersalam dengan tetamu yang datang. Wajah langsung tak diangkat.
Puan Sofia tak tunggu lama. Dia merapati Ika. Wajah Ika diangkat. Cantik bakal menantunya ini. Pandai anaknya pilih.
“Ika apa khabar?” Dia sekadar mahu mendengar suara wanita ini.
“Sihat mak cik.” Ada getar di situ. Cepatlah semuanya selesai. Dia dah tak sanggup nak tanggung debar di dada.
“Ika sudi terima anak mak cik, Faiz?” Puan Sofia minta kepastian untuk terakhir kali sebelum cincin disarungkan.
Ika tak jawab. Dia hanya angguk. Faiz sedikit lega. Manalah tahu, Ika ubah fikiran pula.
Puan Sofia mengeluarkan kotak kecil berwarna merah dari dalam beg. Cincin belah rotan dikeluarkan dari kotak dan terus disarungkan ke jari manis bakal menantunya. Cantik. Muat-muat dengan jari Ika.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Semua yang terlibat menarik nafas lega. Lebih-lebih lagi Ika dan Faiz. Seakan tak sabar nak menunggu fasa seterusnya. Mereka dah setuju nak langsungkan majlis bertunang sebulan daripada sekarang.
>> 
Ika membelek cincin belah rotan yang tersarung di jari manisnya. Cincin emas yang diukir cantik itu membuatkan dia mengukir senyum. Majlis pertunangan yang dijangka dilangsungkan sebulan lagi buat senyumannya makin mekar. Pantas betul masa berlalu. Terasa semuanya seperti mimpi. Mimpi indah buat wanita yang tak sempurna sepertinya.
Dari gadis bertudung putih yang sering dijadikan bahan ejekan oleh pelajar-pelajar nakal, dia kini adalah Siti Zulaikha yang baru. Yang berjaya menggenggam cita-cita. Yang tidak lagi menjadi bahan ejekan. Dan yang paling penting seorang wanita yang sudah berjaya menakluki hati seorang lelaki bernama Faiz. Walaupun lelaki itu bukanlah lelaki idamannya, tapi itu adalah jodohnya. Dia redha.
“Achik…Achik buat apa ni? Tak tidur lagi?” Ika menyeka air mata bahagianya. Segera dilemparkan senyuman buat ibu yang sudah banyak berkorban.
“Belum lagi bu. Ibu pun tak tidur lagi ke? Tak penat?” Puan Siti mengambil duduk di sebelah anak daranya yang baru disunting orang.
“Penat juga tapi ibu bahagia. Macam tak percaya. Anak dara ibu ni dah disunting orang. Ibu tak sedar yang anak ibu ni dah dewasa. Dah boleh jadi isteri orang.” Usik Puan Siti. Ika tersipu malu. Ibu tak percaya, dia lagi tak percaya.
“Sekejap aje masa berlalu kan bu? Macam baru semalam Achik tinggalkan ibu pergi belajar kat United Kingdom.” Kemas dia memeluk ibunya. Masih terasa seperti anak kecil ibunya.
“Tak payah fikir lagi cerita dulu-dulu. Sekarang ni, Achik dah dewasa. Bakal jadi milik orang. Achik kena siapkan diri mulai sekarang. Belajar jadi isteri yang solehah. Belajar jadi menantu yang baik.” Pesan Puan Siti. Itulah pesan yang dititipkan buat semua anak-anak perempuannya. Dia tak sekolah tinggi. Itu saja yang mampu dia bagi.
“Insya Allah bu.” Memang itu mahunya. Dia bukanlah yang terbaik. Tapi dia mahu belajar untuk jadi yang terbaik buat suaminya dan keluarganya.
“Dahlah tu. Tidur. Esok Achik dah nak balik. Rehatlah.” Ika sekadar mengangguk. Menghantar ibunya keluar dengan pandangan matanya.
Dia merebahkan diri. Baru terasa lenguh-lenguh badan. Sepanjang hari langsung tak rasa penat dek kerana rasa gembira melayan tetamu istimewa yang bertandang. Dia mahu rehat sepuasnya. Moga malam ini, dia mimpi indah. 
 https://www.jackpetcheyfoundation.org.uk/public/thank-you-and-Follow-up.jpg

No comments:

Post a Comment