2014-05-20

Saya Pilih Awak 5&6




 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEglXb4-mRvxI3_5ALE1i5Qryr0oKQ370djrQFV9utFoNg5IbmR_4Y0a5l60isAzapcUSyaw7KGWiwHJ7kil_UZiSW4jvWZ4gD6oDS1BLrTCTtI-FrXVEaEA_Mtgb5u96olqmiTZTPPkL3Dz/s1600/bismillah-rumi.JPG
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...huhuhu...akibat kepala da denyut2 mengadap esemen..maka saya ambil keputusan utk rehat sebentar dan post smbgn novel ni..wuwu...ayat skema tak tahan...ohokkss...order utk novel ni da dibuka..boleh cek fanpage Kaki Novel atau FB penerbitan kaki novel ekss...hehehehe...nk beli ngan saya pon boley jugeks...hehe..tapi lmbt sikit la...so, silakan baca...senang sikit korang bley la wat keputusan lepas baca sikit2 kat sini..sama ada nk beli ke tak..nak beli ke tak...tapi beli la ekss..hehehehe....

Inilah rupanya...heheheheh...KN mmg kreatif bab2 cover ni...setakat ni mmg takde yg mengecewakan..tiptop semuanya...hehehe....


Bab 5
Ain membetulkan tudung bawal warna ungu muda yang dipakainya. Tak tahulah dah berapa kali dia betulkan tudung yang sememangnya dah terletak cantik di kepalanya. Baju kurung cotton polkadot warna ungu dibetulkan sekali lagi. Cantik ke tak ni? Dah memang tak ada cacat celanya lagi. Hatinya saat ini macam dah berdangdut dag dig dug. Laju semacam. Sekali lagi dia kerling jam di tangan. Dah boleh sangat nak bertolak ni.
“Bismillahirrahmanirrahim...” Tas tangan dicapai. Langkah diatur perlahan. Ni mesti ummi tanya ni. Apa taknya. Hari minggu macam ni pakai baju kurung. Buang tebiat agaknya anak daranya.
“Aik, kamu nak ke mana ni Ain? Siap pakai baju kurung ni. Ada kenduri ke?” Hah, kan dah cakap. Anak daranya ni mana pernah pakai baju kurung kalau ke bandar. Ish, apa nak jawab ni?
“Hah, taklah ummi. Nak pergi rumah kawan kejap.” Ain tersengih. Nak kena bagitahu ke? Tak naklah. Malu. Lagipun, kalau ummi tahu, ummi nak bagi ke?
“Rumah kawan? Tak pernah-pernah pula kamu ni pakai baju kurung kalau keluar. Nak pergi rumah siapa? Buat apa pergi rumah dia? Dia buat tahlil ke?” soal Hajah Siti lagi. Agak peliklah kalau anaknya ni keluar pakai baju kurung. Kalau macam ni selalu kan cantik. Sejuk hati tengok.
“Saja, jalan-jalan. Ain pergi dulu ya ummi. Dah lewat ni.” Tangan umminya disalami. Kena cepat-cepat pergi. Nanti banyak pula soalannya. Tak naklah sampai kena menipu.
“Elok-elok bawak kereta tu.” Hajah Siti geleng kepala tengok anak daranya. Selalu kelam-kabut. Nak kejar apa pun tak tahulah.
Ain lepas nafas lega. Halangan yang ini dah lepas. Tinggal lagi satu. Jantungnya berdegup makin pantas. Aduh, apasal berdebar sangat ni? Rileks Ain...rileks. Bukannya kau nak pergi jumpa hakim negara pun. Jumpa orang biasa-biasa aje. Tapi masalahnya, orang yang dia nak jumpa ni lagi tinggi pangkatnya daripada hakim negara.
Ain memarkirkan keretanya di hadapan sebuah restoren. Fakri janji nak jemput dia kat sini. Tapi kelibat lelaki tu tak nampak lagi. Telefon bimbit dikeluarkan dari tas tangannya. Tak sempat nak hantar mesej, cermin keretanya terlebih dahulu diketuk. Terpampang wajah si Fakri yang sedang tersengih kat situ. Suka sangat buat orang terkejutkan?
“Sukakan tengok orang sakit jantung?” Dahlah orang tengah berdebar nak mampus, boleh pula dia buat terperanjat macam tu. Pintu kereta ditutup rapat.
“Ish, janganlah cakap macam tu. Kalau sayang abang ni sakit jantung, kesian abang. Dah, jom. Mak dah tunggu tu.” Cantik Ain hari ni. Sopan bila pakai baju kurung. Barulah macam menantu pilihan.
“Ini kenapa pula sengih-sengih tengok orang ni?” Dadanya dah rasa macam nak pecah. Dup dap dup dap. Nak bernafas pun rasa semput.
“Kalau macam ni, memang confirm mak tak akan tolak. Cantik bakal isteri abang ni.” Ain menjeling tajam. Ketuk kepala baru tau. Orang dah seram sejuk, boleh lagi dia buat lawak.
Ain genggam kemas kedua-dua tangannya. Sejuk. Aduh, semua orang rasa macam ni ke kalau nak jumpa bakal mak mertua? Kenapa seksa sangat ni? Macam manalah rupa mak si Fakri ni ya? Betul ke baik? Entah-entah jenis mak-mak mertua zaman dulu. Suka membebel. Mati dia kalau dapat yang macam tu. Dahlah dia ni bukan jenis anak-anak dara zaman dulu kala. Habislah.
“Takut ya?” usik Fakri. Dari tadi dia perasan Ain macam menggelabah. Bercakap pun tak nak. Kelakar betul.
“Mahunya tak takut. Sekali mak awak tu tak suka saya, habislah kita.” Itu yang dia takutkan. Walaupun dah beberapa kali Fakri kata yang mak dia tu baik, tapi dia tetap risau. Orang tua ni lain. Hati tak boleh nak baca.
“Awak ni risau tak bertempatlah. Kan saya dah cakap, mak saya tu ok. Tak makan orang. Makan nasi aje,” Fakri mengekek ketawa. Makin geram Ain dibuatnya. Cekik leher tu baru tau. Suka sangat nak menyakat orang.
Kereta Gen 2 milik Fakri berhenti di hadapan sebuah rumah sederhana besar. Rumah kayu dengan senibina tradisional itu nampak sunyi. Macam tak ada orang. Kata adik-beradik ramai. Mana? Ah, lagi bagus. Tak adalah dia nak kena layan ramai orang. Halamannya bersih. Pasu bunga tersusun kemas di sekeliling rumah. Sama hobi macam ummi. Elok sangatlah tu.
“Dah sampai. Jom kita masuk.” Perlahan-lahan Ain membuka pintu kereta. Nak melangkah keluar pun rasa payah. Ish, apa kena dengan kau ni Ain. Kan Fakri dah cakap tadi, mak dia makan nasi aje. Tak makan orang.
“Assalamualaikum...” Fakri mendahului Ain masuk ke dalam rumah. Ain telan liur. Dalam hati, dah macam-macam ayat dia baca. Puh kanan...puh kiri. Minta-mintalah semuanya berjalan lancar.
Ain melangkah masuk ke dalam rumah. Sunyi. Tak ada orang. Ish, Fakri ni biar betul. Mak dia ada ke tak ada ni? Nanti tak pasal-pasal kena tangkap khalwat baru tahu. Ain tak jadi melangkah. Dia berdiri tegak di hadapan pintu rumah. Fakri, awak nak buat apa ni?
“Masuklah.” Kus semangat. Seorang wanita yang agak berumur keluar dari bilik. Ni kut mak si Fakri. Ain cuba ukir senyum walaupun terasa pelik. Cepat-cepat dia merapati wanita itu dan menghulurkan salam.
“Apa khabar mak cik?” Terketar-ketar suaranya. Wanita kat depannya ni pun, tak pandai nak senyum ke? Makin resah hatinya. Terbantut segala pergerakannya.
“Baik, duduklah.” Ain angguk. Kedua-duanya diam. Hati Ain makin tak keruan. Nak cakap apa ni? Dia tak reti. Mak cik, tanyalah apa-apa pun. Kenapa mak cik diam pula ni? Fakri ni pun, sejak masuk tadi, terus tak nampak batang hidung. Sampai hati tinggalkan orang.
“Dah lama kenal dengan Fakri?” Serius. Ain telan liur. Mak cik ni bekas peguam ke?
“Dah lama. Masa universiti dulu.” Sekali lagi dia cuba senyum tapi tetap rasa pelik. Dah mak cik kat depan ni masih tak senyum-senyum. Mana Fakri ni? Cepatlah sayang oi!
“Ok, air dah sampai.” Fakri datang dengan menatang dulang berisi minuman. Amboi, rajinnya. Sejuk hati tengok.
“Mak, nilah Ain yang abang cerita tu. Cantik tak dia?” Bertuah punya budak. Ada ke itu yang ditanya? Buat malu orang saja. Ain rasa pipinya dah panas. Kurang asam betullah.
“Abang, kamu pergi ambil Sarah. Tadi dia dah telefon suruh ambil dia kat rumah Ecah.” Senyuman Ain serta-merta mati bila mendengar arahan mak Fakri yang ala-ala kalau tak buat kena pancung tu.
“Ok. Ain, awak berbual dengan mak dulu ya. Saya pergi ambil adik saya kejap.”
Ain rasa macam nak nangis. Nak ikut juga. Tak nak duduk sini dengan mak cik ni. Takut. Nak tak nak terpaksalah Ain mengangguk walaupun matanya jelas menunjukkan yang dia sebenarnya nak ikut Fakri. Ain menjeling sekilas ke arah mak Fakri. Wajahnya masih kelat seperti tadi. Macam mana nak jadi mak mertua kalau macam ni? Mak cik, senyumlah sikit.
“Ain serius ke dengan Fakri?” Huh? Dah kalau aku tak serius, tak adanya aku datang hari ni. Mak cik ni kenapa? Macam tak suka aje aku kawan dengan anak dia.
Ain tak berani nak jawab. Dia hanya mengangguk. Dia dah lama tunggu Fakri. Kalau boleh, biarlah Fakri jadi lelaki pertama dan terakhir untuknya.
Wanita itu mengeluh perlahan. “Mak cik bukan apa Ain. Fakri tu anak lelaki sulung. Jadi, dialah satu-satunya yang boleh mak cik harapkan. Adik-adik dia semua sekolah lagi. Jadi kalau boleh, biarlah adik-adik dia selesai dulu sebelum Fakri kahwin.”
Ain terdiam. Kelu lidahnya nak berkata-kata. Apa maksud mak cik ni? Dia kena tolak mentah-mentah ke?
“Lagi satu, kalau dia kahwin, mesti dia akan pindah. Tak ada siapa kat rumah ni yang mak cik boleh harapkan. Ain fahamkan?” Ain terpaksa mengangguk walaupun kepalanya rasa berat. Musnah harapannya. Patutlah dia rasa tak sedap hati dari tadi.
“Assalamualaikum...” Kedua-duanya berpaling ke arah pintu utama. Ada dua orang wanita di situ. Seorang muda dan seorang lagi macam sebaya dengan mak Fakri.
“Waalaikumussalam...Kinah, Maya. Masuklah.” Ain hanya memerhati. Mak cik yang tadinya langsung tak senyum, sekarang dah boleh senyum lebar sampai telinga. Terasa hati. Nampak sangat kedatangannya tak dialu-alukan. Sedih.
“Amboi, anak dara ni. Cantik sungguh. Kamu tak kerja ke hari ni Maya?” Tubuh anak saudaranya itu dipeluk erat. Macam dah lama sangat tak jumpa.
“Maya cuti hari ni mak long. Itu yang ajak mak datang. Abang Fakri dah balik ya mak long?” Rindu betul dia dengan abang sepupunya yang kacak bergaya tu. Lama tak jumpa.
“Ada. Tapi dia pergi ambil Sarah sekejap. Nanti baliklah tu. Duduklah dulu, mak long pergi buat air.” Peramah aje orang tua ni. Ain betul-betul terasa hati. Dia yang duduk tercongok dekat sini dari tadi tak ada siapa pun yang peduli. Dah rasa macam patung pun ada.
“Siapa ni kak?” tanya wanita yang dipanggil Kinah oleh mak Fakri tadi. Dia pandang Ain macam orang tak puas hati. Anak-beranak dia semua macam ni ke?
“Kawan Fakri.” Acuh tak acuh mak Fakri menjawab seraya berlalu ke dapur. Sakitnya hati. Ikut hati, sekarang juga dia nak berambus dari rumah ni. Panas punggung. Si Fakri ni pun satu, pergi ambil adik ke pergi buat adik? Lama betul.
“Oh...” Mak cik Kinah hulur salam. Senyum pun macam nak tak nak. Maya pun sama. Apa kena dengan orang dalam rumah ni?
Ain diam di tempatnya. Yang lain semuanya ikut mak Fakri ke dapur. Air matanya bergenang. Sedih diperlakukan begitu. Dirinya betul-betul tak dialu-alukan ke sini. Mak Fakri memang tak makan orang tapi pandai siat-siat hati orang. Tak semena-mena air matanya tumpah. Cepat-cepat diseka bila terdengar deruman enjin kereta. Mesti Fakri dah balik. Baguslah. Dia pun dah tak betah nak duduk di sini lama-lama. Boleh sawan dibuatnya.
“Aik, mana mak?” tanya Fakri bila hanya ada Ain di ruang tamu. Ain tak menjawab. Nak jawab apa? Belum sempat jawab, si gedik Maya tu lebih dahulu menerpa kekasih hatinya. Berbulu mata tengok. Ini adegan apa pula ni?
“Abang! Rindunya kat abang. Abang sihat ke?” Maya pintal hujung rambunya yang panjang mengurai. Buat-buat manjalah konon. Menyampah Ain tengok.
“Eh, Maya. Bila sampai? Datang sorang aje?” Makin sakit hati Ain bila Fakri layan si Maya tu. Senyumnya lebar sampai ke telinga. Ini dah melampau. Hantar dia balik sekarang!
“Tak. Datang dengan mak. Makin kacak abang sekarang.” Ish, dia main mata pula. Punggung Ain dah berasap. Duduknya dah tak betul.
“Mana ada. Maya tu abang tengok makin cantik. Ini mesti dah ada pakwe ni,” usik Fakri buat Maya tersipu malu. Ain dah tak sanggup nak tengok. Maya tu dah kenapa nak tergedik-gedik dengan pakwe orang? Tak tahu ke yang dia ni makwe si Fakri?
“Maya mana ada pakwe. Pandai-pandai aje abang ni tau. Bang, jomlah kita pergi dapur. Maya ada bawa kuih apam kesukaan abang.” Tangan Fakri ditarik lembut. Makin berbungalah hati dia.
“Ya ke? Mesti sedapkan?” Tak boleh jadi. Dia ingat aku kat sini apa? Penonton drama ke? Memang nak kena si Fakri ni tau. Baru kena goda sikit dengan si Maya tu dah cair. Geramnya!
“Fakri!” Tegas bunyinya. Dia nekad. Dia nak balik sekarang juga. Dah tak sanggup nak duduk dalam rumah yang tak mengalu-alukan kedatangannya ni lama-lama. Orang datang dengan cara elok, macam ni pula dilayannya.
“Oh, ya. Maya dah jumpa dengan Ain belum? Ni abang kenalkan, Durratul Ain. Kawan abang.”
Kawan? Fakri kenalkan dia sebagai kawan? Habis tu yang selama ni dia duk merayu-rayu suruh aku jadi kekasih dia tu apa? Macam nak meletup dadanya menahan marah. Lama sikit lagi dia kat sini memang ada yang kena penyepak.
“Dah.” Amboi, siap jeling baik punya. Kurang asam punya budak. Dahlah goda pakwe orang, boleh pula dia main jeling-jeling macam tu.
“Fakri, saya nak balik.” Air matanya bergenang lagi. Suara pun dah jadi lain macam.
“Nak balik? Kan Ain baru sampai. Duduklah dulu. Kita makan tengahari sama-sama.” Fakri mendekati kekasihnya. Apa kena pula dengan Ain ni? Tadi elok saja.
“Saya dah kenyang. Saya nak balik sekarang.” Muktamad. Minum air pun dia tak selera, ini kan pula nak suruh makan. Kejap lagi ada pinggan yang melayang.
“Ain, kenapa ni? Saya ada buat salah ya?” Lembut suara Fakri sudah tak mampu mengubat hati Ain yang sedang teramat sakit saat ini.
“Tak. Saya cuma nak balik. Awak hantar saya balik sekarang ya?” rayu Ain lagi. Fakri tak salah pun. Tak adil untuk dia menghukum Fakri. Cuma saat ini dia mahu Fakri faham yang dia betul-betul tak boleh lama di sini.
“Alah abang ni. Dia nak balik, biarkan ajelah,” sampuk Maya yang dari tadi masam mencuka bila abang sepupunya melayan Ain dengan lembut. Cemburu! Dia dah lama ada hati dengan abang sepupunya itu. Mak longnya pun setuju kalau dia dan abang sepupunya bersatu. Perempuan bernama Ain ni tak perlu masuk campur. Fakri adalah haknya.
“Kita jumpa mak dulu ya?” pujuk Fakri lagi.
Perlu ke? Mak awak tu pun tak nak jumpa saya. Buat apa saya terhegeh-hegeh nak jumpa dia. Buat sakit hati saja. Awal-awal lagi dah bagi warning.
“Siapa yang nak balik?” soal mak Fakri. Ain langsung tak berpaling.
“Ain nak balik. Pening katanya. Saya pergi hantar dia kejap ya mak.” Terpaksalah bohong demi jaga hati mak. Ain malas nak ambil kisah. Tangan orang tua itu disalamnya. Langsung tak ada senyum. Biarlah. Mak cik tu pun bukannya reti nak senyum.
“Ish, sombong betul kawan si Fakri tu. Senyum pun tidak.” Nada tak puas hati. Kinah mencebik. Lagi bagus anaknya.
Ain diam sepanjang perjalanan. Fakri juga tak berani nak menegur bila lihat wajah buah hatinya masam mencuka. Mak ada cakap apa-apa ke dekat Ain? Ain terasa hati? Tapi apa halnya?
“Hati-hati drive. Nanti dah sampai, call saya. Esok kita jumpa.” Ain langsung tak menjawab. Fakri jadi serba salah. Runsing kepalanya.
Tak perlu tunggu sampai rumah, dalam kereta pun air matanya dah bercucuran. Sedih. Sangat sedih. Kenapa wanita itu layan dia sebegitu. Apa? Salah ke kalau Fakri cintakan dia dan dia pun cintakan Fakri? Kenapa sampai nak kena kata macam tu? Dia tak sejahat tu sampai sanggup nak pisahkan emak dengan anak. Lagipun bukannya dia nak suruh Fakri masuk meminang sekarang. Dia faham masalah Fakri. Kalau tak berkenan, cakap ajelah terang-terang. Tak payah nak berkias-kias.
Ain tak terus pulang ke rumah. Kereta dibelok memasuki lebuh raya. Nak ke mana pun dia tak tahu. Yang pasti bukan ke rumah. Dia tak nak pulang ke rumah dengan mata yang bengkak macam ni. Nanti panjang pula soalan ummi. Tak pasal-pasal terbongkar rahsia. Hampir setengah jam memandu, dia akhirnya membelok keretanya menghala ke sebuah masjid. Waktu Zohor dah masuk. Menangis bagai nak rak pun tak guna. Sembahyang lagi bagus. Biar tenang sikit hatinya.
Ruangan solat bagi wanita hanya ada seorang jemaah. Ain membentangkan sejadah. Telekung disarungkan ke badannya. Mata dipejam seketika sebelum mula solat. Biar tenang dulu hatinya.
Usai solat, dia berteleku sebentar di sejadahnya. Berzikir. Mahu lupakan apa yang baru saja berlaku sebentar tadi. Apa kesudahan kisah cintanya dengan Fakri? Dia tak tahu. Pasrah? Dia masih belum kuat untuk menerima jika mereka terpaksa putus. Saat ini, dia hanya perlu sabar. Tenangkan diri. Doa ditadah. Dia cintakan Fakri. Dia mahu bahagia bersama lelaki itu.
‘Ya Allah, lembutkanlah hati ibu Fakri. Permudahkan segala urusan kami. Peliharakan jodoh kami. Kurniakan kebahagiaan kepada kami. Andai ini jodoh yang Engkau telah tetapkan kepada kami, maka kuatkan hati kami untuk menempuh segala dugaan dan cabaran. Andai ini bukan jodoh kami, maka kuatkan juga hati kami untuk menerima ketentuan-Mu. Aku berserah.’
Ain menyeka air matanya. Biarlah Tuhan menentukan segalanya. Dia yakin, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Ini hanya ujian kecil daripada Tuhan. Tak sepatutnya dia merintih begini. Telekung yang tersarung di badannya ditanggalkan dan dilipat kemas. Tudung bawal berwarna ungu lembut itu kembali disarungkan ke kepala. Ain menghela nafas panjang. Dia masih belum rasa mahu pulang. Lagipun matanya masih jelas bengkak.
Ain menghidupkan keretanya. Jemarinya mengetuk stereng kereta. Berkira-kira ke mana dia boleh pergi untuk melupakan seketika masalah yang sedang membelenggu kepalanya. Tangannya mencapai telefon bimbit di dalam beg tangan. Ada panggilan tak dijawab. Mesej pun ada. Mesti dari Fakri. Sah. Biarlah. Dia tak mahu bercakap dengan lelaki itu buat sementara waktu.
Gear dimasukkan. Dia tahu mana dia nak pergi. Alang-alang dah sampai ke pusat bandar, baik dia pergi cuci-cuci mata. Dapat tengok pun jadilah. Pakai baju kurung? Ah, tak kisahlah. Asalkan hatinya yang sakit tadi terubat.
“Fuh, akhirnya!” Ain tarik nafas lega. Bukan main susah lagi nak cari parking kosong. Dekat lima kali dia pusing. Kalau tak dapat juga tadi, memang dia patah balik. Buat habis minyak kereta aje. Dahlah minyak asyik naik aje sekarang ni.
Ain membetulkan baju kurung cottonnya yang agak berkedut. Ah, tak kisahlah. Dah namanya pun kain cotton. Memang senang berkedut. Langkah diatur tenang. Ramainya orang. Dari ceruk mana pun tak tahulah. Tengahari macam ni ingatkan tak ada orang. Pedulilah. Bukannya orang nak kacau dia pun.
Pasaraya besar itu dipenuhi dengan orang ramai. Nak kata baru dapat gaji, tak juga. Alah, bukan semua orang makan gaji macam dia. Dari mana nak mula ni? Ini pun masalah juga. Besar sangat sampai tak tahu nak mula cuci mata dari mana. Ain tekan punat lif. Mula dari ataslah.
Satu-persatu kedai dia masuk. Dari kedai pakaian ke kedai kasut. Tengok-tengok aje. Nak beli, bajet tak cukup. Ish, masa-masa nilah ada barang yang berkenan. Kasut sederhana tinggi warna perak itu diangkat. Cantik pula warna ni. Siap ada bling-bling. Ini kalau pakai memang berpinar biji mata orang yang tengok ni. Tag harga ditilik. Mak ai. Memang berpinar biji matalah pun. Itu belum pakai lagi. Tak jadi, dia letak balik. Beralih pula ke sudut lain. Wedges berbelang hitam oren dicapai. Tingginya. Tak gayat ke kalau pakai ni? Mahu lima inci tingginya ni. Dia letak semula. Kalau dia pakai, alamatnya tak bergerak ke manalah. Puas membelek kasut, dia ke kedai lain pula. Tak ada yang menarik perhatian. Semua baju pun yang seksi-seksi.
Lenguh kakinya. Ain duduk sebentar. Hampir ke pukul tiga petang. Pasaraya besar ini baru separuh ditawafnya. Dia bangun semula. Bergerak ke tingkat bawah. Kakinya laju diatur masuk ke kedai yang menjual busana muslimah. Cantiknya baju-baju kat sini. Macam-macam warna ada. Baju kurung, blaus, skirt, seluar, semua pun ada. Ini yang buat dia tak senang duduk ni. Satu persatu baju yang tergantung dibelek. Ain...kuatkan semangat. Jangan membazir. Baju yang kau beli minggu lepas pun kau tak pakai lagi. Ain geleng kepala. Tak boleh...tak boleh. Baju yang dipegang diletakkan semula. Cepat-cepat dia keluar dari kedai itu. Tapi baju tadi cantik. Patah balik aci tak? Tak aci!
Sebuah demi sebuah kedai dilewatinya. Hanya mampu tengok dari luar. Nak masuk, nanti takut menyesal pula. Kakinya berhenti melangkah di hadapan sebuah kedai. Matanya tertancap pada sepasang persalinan warna putih yang begitu cantik. Bibirnya ukir senyum. Mesti cantik kalau baju itu tersarung di badannya. Memang impiannya untuk pakai baju nikah warna putih bersih macam tu. Lama dia berdiri di hadapan kedai pengantin itu. Persalinan putih bersih itu betul-betul menarik perhatiannya.
“Kalau dia kahwin, mesti dia akan pindah. Tak ada siapa kat rumah ni yang mak cik boleh harapkan. Ain fahamkan?”
Terus mati senyuman Ain. Terngiang-ngiang kata-kata mak Fakri di telinganya. Hatinya rasa pilu. Nampaknya tak merasalah dia nak pakai baju cantik macam ni kalau mak si Fakri tu tak setuju. Ain mengeluh lagi. Cepat-cepat dia berundur dari situ. Ingatkan semuanya akan jadi baik bila dia berjumpa dengan mak Fakri. Tapi sebaliknya pula.
Kakinya dah penat. Dah hampir semua kedai dia masuk. Jam ditangan ditilik sekali lagi. Pukul empat petang. Ini, kalau dia tak balik ni, mahu umminya membebel panjang. Dari pagi keluar, dah dekat nak Asar macam ni pun masih tak balik-balik lagi. Ain melangkah laju keluar dari pusat membeli-belah itu.
Dia berdiri sekejap di hadapan pintu masuk utama pusat membeli-belah. Malasnya nak menapak ke hujung sana. Dahlah panas. Beberapa meter darinya, ada seorang budak perempuan sedang main belon. Comel pula budak tu. Putih melepak. Macam anak mat salih. Kat sebelahnya ada seorang wanita yang sedang mencari sesuatu di dalam beg tangannya. Agak tua. Takkan mak budak tu kut? Ish, tak sesuailah. Tapi zaman sekarang, semua pun tak mustahil. Lelaki pun boleh beranak, inikan pula perempuan lanjut usia.
Ain leka memerhati budak comel tu main belon. Tiba-tiba belon itu terlepas dari pegangannya. Budak perempuan itu cuba kejar. Ain tersentak. Kereta! Pantas dia membuka langkah. Lengan budak perempuan itu ditarik ke arahnya. Ain terjatuh. Belon yang dah terbang ke tengah jalan meletup dipijak kereta.
“Lissa!” Puan Maziah terkesima. Barang-barang yang dibeli tadi bertaburan. Cucunya yang sudah terduduk di atas seorang wanita segera diraih. Ya Allah, nasib baik selamat.
Ain cuba bangun tapi pinggangnya rasa sakit. Tangannya pun rasa perit. Perutnya senak dek kerana ditindih oleh budak perempuan tadi. Boleh tahan berat juga budak kecil ni. Dia gagahkan diri. Nasib baik tak terkoyak kain. Dia pegang pinggangnya yang terasa sakit.
“Nenek!” Allissa menangis. Kejadian sebentar tadi buat dia terkejut.
Puan Maziah peluk erat cucunya. Cuba menenangkan si kecil itu. Ain pegang pula tangannya yang terasa perit tadi. Sedikit berdarah. Ini mesti sebab bergesel dengan jalan tar. Baju kurungnya dibetulkan. Nasib baik budak tu selamat. Kalau tak, memang dah jadi macam belon tadi tu.
“Terima kasih cik. Kalau cik tak ada tadi, tak tahulah apa jadi dekat cucu saya ni.” Oh, cucu rupanya. Kalau yang tu, sesuai. Ain mengangguk. Dia ikhlas.
“Tak apa puan. Kebetulan saya ternampak.” Tangannya masih memegang pinggang yang sakit. Aduh, pinggangnya patah ke?
“Kesian cik. Mesti sakit. Tak apa, kita ke klinik ya?” Puan Maziah pegang tangan Ain yang berdarah. Walaupun tak banyak, tapi mesti sakit juga.
“Eh, tak apalah puan. Sikit aje ni. Saya tak apa-apa. Adik tu yang kesian. Mesti dia terkejut.” Allissa sudah berhenti menangis. Sebelah tangan neneknya digenggam erat. Mesti masih terperanjat dengan kejadian tadi.
Puan Maziah mengusap perlahan kepala cucunya. “Terima kasih sekali lagi ya cik. Oh ya, ini kad saya. Esok, saya buat majlis kesyukuran sempena hari jadi Allissa. Cik....”
“Panggil aje Ain.”
“Ya. Ain jemputlah datang. Kami buat kecil-kecil aje.” Kad bertukar tangan. Ain membaca sekilas. Puan Maziah Binti Abdul Aziz.
“Insya Allah. Kalau tak ada aral melintang, saya datang. Kalau macam tu, saya balik dulu ya.” Ain hulur tangan dan disambut mesra oleh Puan Maziah. Hah, macam nilah baru tak sakit hati. Ini tak, orang hulur salam, nak tak nak aje menyambutnya. Ternyata, rasa geramnya masih bersisa.
Ain usap lembut pipi Allissa. Comellah budak ni. Geram pula dia tengok. Allissa senyum lantas mencium pipi Ain. Tersentak sekejap. Tak berkelip Ain tengok Allissa.
Thank you auntie Ain.” Ain tak terkata. Masih terkejut sebab tiba-tiba kena cium. Nasib baik kena cium dengan budak perempuan. Kalau lelaki yang cium dia, agaknya terus pengsan kat situ.
You are welcome, Allissa.”
“Auntie jangan lupa datang rumah Allissa petang esok tau. Lissa tunggu.” Petah betul mulut si kecil yang comel ni. Tadi bukan main kuat lagi dia menangis. Sekejap aje dah boleh senyum lebar macam ni. Ajaib betul. Anak siapalah ni ya?
“Kami balik dulu ya Ain. Jangan lupa datang tau.” Ain angguk. Jadi, memang kena pergilah ni ya? Baru ingat nak lepak-lepak kat rumah. Ain lambai tangan. Kereta BMW warna hitam itu meluncur laju meninggalkannya yang masih terhinjut-hinjut nak berjalan. Adoi, sakitnya pinggang!


 Bab 6
Ain mengurut-ngurut tangannya yang masih terasa sakit. Sejak balik petang tadi, dia hanya berkurung di dalam bilik. Makan pun tidak. Lapar? Tak payah cakap. Sejak tengahari tadi tak makan apa-apa. Tapi seleranya mati. Fakri pula dari siang tadi asyik call. Tapi dia tak jawab pun. Kononnya malas nak serabutkan kepala tapi makin serabut adalah. Akhirnya, dia tutup aje telefon bimbitnya.
Macam mana ni? Kalau mak si Fakri tu tak setuju, macam mana dia nak kahwin dengan Fakri? Kalau main redah aje kahwin, mesti banyak pula masalah nanti. Putuskan hubungan dengan Fakri? Tak naklah. Dia sayangkan Fakri. Dia cintakan Fakri. Ingat senang ke nak kekalkan hubungan lama macam ni? Tujuh tahun mereka bertahan sehinggalah ke hari ini. Tak pernah ada dugaan sebesar hari ini.
Ain merebahkan tubuhnya. Bantal peluk dibawa ke dadanya. Dipeluk erat. Dah buntu kepalanya berfikir. Jangan-jangan mak si Fakri tu dah ada calon untuk Fakri tak? Sebab tu dia layan acuh tak acuh aje tadi. Entah-entah si Maya tu bakal menantu pilihan mak Fakri. Ish, tak ada orang lain ke mak cik tu nak pilih. Tengok rupa pun dah tak berkenan. Dahlah tergedik-gedik. Dengan pakaian yang tak berapa nak senonohnya, itu ke yang nak dibuat menantu. Baiklah pilih dia.
Tak selesa berbaring, dia bangun semula. Terasa sengal di pinggangnya. Nasib baik tak patah. Ain meraba pipinya. Ciuman dari Allissa masih terasa. Ain tersenyum. Nasib baik comel. Bertuah mak ayah dia ada anak pintar macam tu. Dia pun kalau boleh nak anak comel dan cerdik macam Allissa. Hmm...nak pergi ke tak nak ya rumah Allissa esok? Kalau tak pergi, nanti kecewa pula si Allissa. Beria dia mengajak. Siap cakap nak tunggu lagi. Tapi budak-budak, bangun pagi esok dah lupa. Tapi tak tahu kenapa dia rasa macam nak pergi.
Ok, dia akan pergi. Tapi sebelum tu kena beli hadiah dulu. Dah nama pun majlis hari jadi. Kenalah ada hadiahnya. Nak beli apa ya? Tengok dari gaya neneknya, macam orang kaya. Nanti, kalau dia beli hadiah murah, malu pula. Ish, tak nak pergi, rasa macam nak pergi. Nak pergi, kena beli hadiah pula. Nak beli hadiah apa ni?
>> 
Ain baca sekali lagi alamat yang tertera pada kad yang diberi oleh Puan Maziah semalam. Dah betul dah ni. Mak ai, besarnya rumah. Macam rumah datuk-datuk. Biar betul? Beberapa orang tetamu masuk ke dalam halaman rumah itu. Ain keluar dari kereta. Dia pandang sekeliling. Semuanya kereta mewah. Cuma dia aje yang bawa kereta MyVi. Ah, tak kisahlah. Adalah juga kereta. Ain berjalan perlahan masuk ke dalam perkarangan rumah. Memang ada majlis. Sebuah khemah besar berdiri teguh di halaman rumah yang besar itu. Dah macam buat kenduri kahwin dah. Kata buat kecil-kecil aje.
“Bismillahirrahmanirrahim....” Harap-haraplah kejadian di rumah Fakri kelmarin tak berulang lagi. Yang paling penting, harap-haraplah Puan Maziah tu masih cam lagi mukanya. Ya lah. Baru sekali jumpa. Kebarangkalian tak ingat tu memang ada.
“Auntie Ain!” Allissa berlari laju mendapatkan Ain. Ain ukir senyum. Nasib baik budak comel ni ingat dia lagi. Tubuh Ain dipeluk erat. Beberapa pasang mata memerhatikan mereka. Mesti dalam hati mereka tertanya-tanya, perempuan manalah yang si Allissa tu peluk.
Happy birthday Allissa. Comel Allissa hari ni.” Memang comel pun. Siap ada mahkota kecil atas kepala. Gaun pun kembang semangkuk. Lip lap lip lap lagi. Maklumlah, nama pun orang kaya.
Thank you auntie Ain.” Chup! Ish, budak Allissa ni. Suka sangat cium orang. Relakan ajelah. Bukannya berdosa pun.
“Jomlah masuk.” Tangan Ain ditarik. Senyum Allissa melebar. Macam bangga pula dapat berdamping dengan Ain. Eh, nama saya Durratul Ainlah bukannya Siti Nurhaliza.
“Assalamualaikum puan.” Tangan Puan Maziah disambut mesra. Tubuh Ain diraih ke dalam pelukannya. Ain tak terkata. Tadi kena cium dengan Allissa, sekarang kena peluk dengan nenek Allissa pula. Popular sangat ke dia ni?
“Waalaikumussalam. Datang pun. Ingatkan dah tak datang tadi. Kesian Allissa. Tertunggu-tunggu auntie Ain dia sampai.” Allissa masih tak berganjak dari sisi Ain. Suka sangat bila Ain datang.
Seorang wanita yang mungkin sebaya dengannya datang menghampiri mereka. Ini mesti mak si Allissa. Muka macam ada iras-iras. Cantik. Patutlah anak pun comel. Ain hulur tangan dan disambut mesra oleh wanita tadi.
“Sara, ini mama kenalkan. Ain. Perempuan yang mama ceritakan semalam tu. Yang dah selamatkan Allissa semalam,” terang Puan Maziah. Ain hanya mampu senyum.
“Oh, inilah auntie Ain yang Allissa cerita tu ya? Patutlah suka sangat, cantik rupanya auntie Ain dia ni,” puji Syarifah Maisara. Ain tertunduk malu. Ish, tak payahlah puji banyak-banyak sangat. Kembang pula nanti.
“Ini mama Allissa ya?” soal Ain. Sekadar untuk memastikan.
“Eh, tak adalah. Saya emak saudara Allissa. Maisara. Panggil aje Sara.” Syarifah Maisara memperkenalkan diri.
“Oh, saya ingatkan mama Allissa. Mama Allissa yang mana satu?” Ain pandang sekeliling. Tak nampak pula mana-mana perempuan yang nampak macam tuan rumah. Ain tersedar saat tangannya dilepaskan oleh Allissa. Si kecil Allissa menjauhkan diri. Wajahnya masam mencuka. Aik? Apa dah jadi? Tiba-tiba monyok?
“Tak apa Ain. Lissa tu tak ada apa-apa. Sebenarnya, Lissa tu anak yatim. Mama dia dah meninggal lima tahun lepas. Itu yang buat dia sedih tu.” Melopong Ain dengar. Patutlah monyok bila ditanya pasal mamanya. Anak yatim. Kesiannya. Maaflah, dia tak sengaja.
“Ain, jemputlah makan. Biarkan Allissa tu. Nanti mak cik pujuk dia.” Ain serba-salah. Dia yang sepatutnya pujuk Allissa.
Ain merapati Allissa yang sedang bersendirian di atas buaian. Dia memang nak makan tadi tapi tak jadi bila dilihatnya Allissa yang masih diam di situ. Ain mengambil tempat di sebelah Allissa. Si kecil itu masih mendiamkan diri. Pandai merajuk juga ya budak comel ni.
“Lissa, auntie minta maaf tau. Auntie tak tahu pun pasal tu. Lissa maafkan auntie ya?” Ain hulur tangan tanda minta maaf. Tapi huluran tangannya tak bersambut. Gawat, dia mana ada pengalaman pujuk budak merajuk ni. Kalau anak saudaranya dia tahulah. Ini, kenal pun baru sehari.
“Ok, kalau Lissa tak nak maafkan auntie tak apa. Auntie nak baliklah. Tapi Lissa kena janji dengan auntie tau. Lissa tak boleh sedih lama-lama tau. Nanti mama Lissa pun sedih jugak. Kesian dia. Kalau Lissa rindukan mama, Lissa bacalah Al-fatihah.” Ain dah tak tahu nak cakap apa. Allissa pun macam tak kisah aje dengan apa yang dia cakap. Perlahan-lahan Ain turun dari buaian.
“Auntie balik dulu ya? Happy birthday sayang.” Pipi Allissa diusap lembut. Tak tahulah kenapa dia rasa sayang pula dengan budak comel ni. Padahal baru sehari kenal.
Tak sempat Ain melangkah, tangannya sudah dipaut Allissa. Air mata si kecil itu mengalir di pipi. Alahai, sedih pula hati Ain. 
“Auntie, janganlah balik. Lissa janji, Lissa tak sedih dah. Auntie jangan balik ya?” Allissa seka air matanya. Ain senyum. Tubuh kecil Allissa dirangkul kemas. Sebuah kucupan hinggap di pipinya. Sungguh, dia dah jatuh sayang pada Allissa.
“Ok, auntie tak balik. Dah jangan nangis lagi. Dah tak cantik dah princess Allissa ni.” Mahkota yang menghiasi kepala Allissa dibetulkan. Si kecil itu senyum segaris.
“Mama, siapa yang Allissa peluk tu?” tanya Syed Muammar. Dari tadi dia perhatikan anaknya dan perempuan itu. Dia tak kenal. Tapi Allissa macam dah kenal lama dengan perempuan tu. Siapa?
“Ain. Budak perempuan yang mama cerita semalam tu.”
“Ain?” Ain mana pula ni? Bila masa pula mama cerita pasal Ain ni?
“Alah kamu ni. Macam orang tua. Cepat sangat lupa. Ain, perempuan yang selamatkan Lissa dekat shopping complex semalam tu.” Dia yang dah tua ni pun tak adalah nyanyuk macam tu. Itulah, asyik ingat kerja aje.
“Oh. Tapi kenapa si Lissa tu macam rapat sangat dengan budak tu?” Tak puas hati. Takkanlah baru jumpa semalam dah rapat macam tu?
“Entah. Manalah mama tahu. Mungkin dia dah berkenan dengan si Ain tu tak?” Puan Maziah cuba bagi hint. Dia pun tak ada bantahan kalau Ain tu jadi menantu. Dah elok sangat. Orangnya pun sopan santun, lemah lembut. Pandai layan budak-budak. Nak apa lagi?
“Berkenan?” Syed Muammar tak faham.
“Berkenan nak dijadikan mama.” Terus-terang. Pantas Syed Muammar memandang mamanya yang dah pergi entah ke mana? Dijadikan mama? No way!
Mama Allissa hanyalah Nur Annissa. Dia tak akan cari pengganti Nur Annissa. Allissa pun tak perlu ada mama selain daripada Nur Annissa. Syed Muammar memandang ke arah anaknya yang kelihatan gembira di samping wanita yang dipanggil Ain itu. Langsung tak berenggang. Perempuan tu pun, kenapa beria sangat layan anaknya? Sengaja nak tunjuk dekat semua orang yang boleh jadi pengganti mama Allissa? Jangan harap. Dia tak akan tertipu.
“Lissa, auntie tadi tu mama awak ke?” tanya Didie, kawan baik Allissa. Kek yang berada di dalam pinggan sudah habis separuh. Mulutnya pun dah comot kena aising kek.
“Taklah. Tapi nanti dia jadilah mama kita,” jawab Allissa selamba. Nanti?
“Nanti?” Didie garu kepala. Sedikit aising kek berwarna merah jambu melekat di rambutnya.
“Yalah. Nanti, bila auntie Ain dah kahwin dengan papa kita.” Laju mulutnya menjawab. Itu yang dia mahukan. Dia mahukan Ain jadi mamanya. Dia sukakan Ain. Dia dah sayangkan Ain.
“Auntie tu nak kahwin dengan papa awak?” Bulat mata Didie mendengar jawapan Allissa. Wah, lepas ni Allissa dah ada mama. Jadi, Allissa dah tak perlu sedih bila kawan-kawan cerita pasal mama.
“Mestilah.” Confident.
>> 
Syed Muammar tolak daun pintu bilik anak tunggalnya yang berwarna putih. Allissa masih belum tidur. Si kecil itu sedang menyusun hadiah-hadiah yang diterima siang tadi. Banyak betul. Memang bertuah anak papa seorang ni. Ramai sangat yang sayang.
“Hai birthday girl. Banyaknya hadiah dia. Papa nak sikit boleh?” Tubuh Allissa dipeluk erat. Sayangnya tak perlu diucap.
“Tak boleh. Kalau papa nak, papa belilah sendiri. Papa kan dah kerja.” Allissa menggeliat kegelian bila papanya cuba menggeletek.
“Amboi, kedekut betul anak papa ni. Ermm...papa nak yang ni!” Syed Muammar capai seekor patung beruang sederhana besar warna merah jambu. Comel. Macam Allissa.
“Tak boleh!” Jerit Allissa. Teddy bear baru itu cuba dirampas daripada papanya. Kalau papa nak ambil hadiah lain, dia boleh bagi. Tapi yang ini, dia tak akan bagi pada sesiapa pun.
“Amboi, garangnya! Hah, ini mesti pakwe Allissa yang bagikan? Pandai ya anak papa ni,” usik Syed Muammar. Laju Allissa menggeleng.
“Habis tu siapa yang bagi? Mak Ucu?” Allissa geleng lagi. Syed Muammar kerut dahi. Biasanya adiknya Syarifah Maisara yang suka sangat hadiahkan Allissa teddy bear.
Teddy bear ni, auntie Ain yang bagi.” Allissa senyum lebar. Walaupun tak sebesar teddy bear yang Mak Ucu bagi, tapi dia tetap sayangkan teddy bear ni. Paling sayang.
“Auntie Ain?”
“Yalah. Auntie Ain. Auntie yang selamatkan Lissa semalam tu. Auntie Ain tu baikkan papa? Lissa suka auntie Ain.” Jujur. Syed Muammar pandang anaknya. Apa perempuan tu dah buat dekat anaknya? Mandrem? Pelik, sebab baru kenal dah rapat macam ni. Tengok ajelah anaknya, hadiah yang perempuan tu bagi pun dia boleh sayang sampai macam ni sekali.
“Papa suka tak auntie Ain?” soalan Allissa membuatkan Syed Muammar tersentak. Apa jenis soalan yang anak dia tanya ni? Tak ada ke soalan lain yang lebih mencabar minda sikit?
“Dahlah tu Lissa. Dah lewat ni. Esok sekolahkan. So, anak papa yang comel ni kena tidur. Esok, kalau lambat pergi sekolah, siapa yang susah? Papa juga.” Syed Muammar mengemaskan hadiah-hadiah yang bersepah di atas katil anaknya. Kalau boleh, teddy bear yang Allissa peluk tu pun dia rasa nak campak sekali. Banyak lagi teddy bear lain yang boleh Allissa peluk.
Sweet dream, sayang.” Syed Muammar kucup mesra dahi anaknya. Hari ini, genap enam tahun umur anaknya. Sekejap aje dah besar.
I love you, papa.” Allissa ukir senyum lebar.
I love you too, sweetheart.” Syed Muammar balas senyuman Allissa. Senyuman Allissa buat dia terkenangkan Nur Annissa. Lesung pipit di kedua-dua belah pipi Allissa sama seperti Nur Annissa.
I love you, auntie Ain.” Senyuman di bibir Syed Muammar mati serta-merta. Dia pandang Allissa tak berkelip. Patung beruang pemberian Ain dipeluk erat oleh Allissa. Tak ada benda lain ke nak cakap?
>> 
Ain membetulkan duduknya. Pinggangnya masih rasa sakit tapi bolehlah tahan. Rambut yang masih basah dibiar lepas. Ringan rasa kepala bila dah basahkan rambut. Semerbak bau syampu Sunsilk. Telefon bimbit yang masih dimatikan sejak semalam dicapai. Mesti Fakri sakit hatikan? Ah, biarkan. Hati dia yang sakit ni siapa nak tolong rawat? Nasib baik petang tadi jumpa Allissa, sejuk sikit hati. Ain ukir senyum. Wajah comel Allissa terbayang di ruang mata.
Telefon bimbit dihidupkan. Nah, ambik kau! Tujuh puluh tujuh panggilan tak dijawab. Tiga puluh lima mesej. Sayang juga Fakri ni dekat aku. Ain mencebik. Tahu pun takut. Ain buka daftar pemanggil. Berderet nama Fakri. Ada beberapa sahaja nama orang lain. Mesej pun sama. Satu persatu mesej dibaca. Nak tergelak pun ada. Nak pujuk konon. Masuk meminang dulu, baru hati I ni sejuk, tau.
Ain merebahkan badannya ke katil. Penat. Esok dah kerja. Malas betullah. Ambil MC boleh tak? Baru nak tutup mata, telefon bimbitnya dah menjerit-jerit. Inilah masalahnya kalau dah on telefon. Panggilan tak berhenti. Nak rehat sikit pun tak boleh. Mahu tak mahu Ain capai juga telefonnya. Dah dia agak. Fakri. Sebenarnya, dia pun dah rindu nak dengar suara Fakri tapi sakit di hati masih terasa.
Hello...” Ain menjawab malas. Dalam hati, Tuhan saja yang tahu. Berdegup kencang. Fakri akan mengamuk ke? Marah?
“Ain...kenapa baru sekarang Ain jawab call? Mana Ain pergi?” Dah dua hari dia tunggu. Bukan main susah lagi nak hubungi kekasih hatinya ni. Entah apalah salahnya sampai Ain tak nak angkat telefon.
“Tak ada pergi mana pun. Ada aje kat rumah ni.” Bukannya nak tanya dia sihat ke tak. Sabar ajelah.
“Habis tu kenapa Fakri call tak jawab?” Fakri masih cuba melembutkan suaranya walaupun dia agak marah dengan tindakan Ain yang tiba-tiba mendiamkan diri. Sayang punya pasal.
“Saja.” Acuh tak acuh. Sengaja mahu menduga hati Fakri. Biar Fakri tahu yang dia pun sedang sakit hati.
“Saja? Ain...tolonglah jangan buat Fakri macam ni. Cuba Ain cakap dengan Fakri, apa salah Fakri. Fakri tak bolehlah hidup macam ni.” Jawapan yang langsung tak boleh nak diterima. Ain tak pernah buat perangai macam ni. Kalau merajuk pun, sekejap saja.
“Awak tak salah apa pun.” Ain lepas keluhan. Ya, Fakri tak salah. Yang salah mak Fakri. Tapi macam mana dia nak cakap? Nanti Fakri cakap dia mengada-ngada pula.
“Ain...please. Tak payah nak sorok apa-apa dari saya. Saya kenal awak bukan sehari dua. Dah tujuh tahun. I know you. Kalau tak ada apa-apa, Ain tak merajuk macam ni. Please, sayang.” Lembut suara Fakri memujuk. Ain tersentuh. Bergenang air matanya. Boleh ke awak terima apa yang saya nak cakap ni?
“Awak sayang saya?” soal Ain. Dan dia tahu jawapan Fakri.
Of course I love you.” Pelik dengan soalan buah hatinya. Ain tak perlu tanya. Wanita itu sendiri dah tahu jawapannya.
“Awak sayang mak awak?” Berat untuk bertanya tapi dia perlu kuat. Dan kali ini pun dia tahu apa jawapan Fakri.
“Ain? Kenapa awak tanya macam tu? Of course. I love you and I love my mum. Ain...please. Terus-terang dengan Fakri.” Makin pelik. Dia masih tak faham kenapa Ain perlu tanya semua tu.
“Kalau awak perlu pilih antara saya dan mak awak, siapa yang awak akan pilih?” Air matanya bercucuran. Suaranya bergetar. Dia sayang Fakri. Tapi dia tahu, kedudukan ibu tetap berada di carta paling atas. Lebih-lebih lagi bagi seorang lelaki.
“Ain...apa awak cakap ni? Saya tak faham.” Tak senang duduk dibuatnya. Malam yang dingin dah terasa panas.
“Dahlah Fakri. Saya penat. Awak lupakan soalan saya tu. Assalamualaikum.” Ain tak mampu nak meneruskan kata-katanya. Air mata makin galak bercucuran. Teresak-esak. Selama tujuh tahun, cinta mereka tak pernah diduga. Tapi sekarang, bila masanya dah tiba untuk mereka memeterai ikatan suci, ada pula dugaannya. Tak sedikit.
“Ain!” Fakri hampa. Talian terlebih dahulu diputuskan. Dia tumbuk tilam. Apa yang Ain cuba bagitahu? Mak? Apa yang mak dah cakap dengan Ain? Mak tolak Ain? Mak tak suka Ain? Fakri buntu. Dia mahukan jawapan segera. 

PS::suke ke idok???????

2 comments:

  1. Aduhhhh...... x sabar nk peluk satu. Huh...... lambat pulak bulan June nih.... Syukur n tahniah ya.... (sorry.... X leh komen bnyak sgt sbb hati kite... pon tgh berbunga nie bila baca news n lihat cover novel nie.....He he he...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe...tq sis safiah..tulaaaa..kite pun xsabar nk peluk..hehe..lama kottt tggu..hehe..tp alhamdulillah dpt jugak publish..hihi..semoga brpuas hati.,...hehe

      Delete