assalamualaikum salam sejahtera semua....Alhamdulillah...akhirnya dpt juga sy smbg post e-novel terbaru saya ni..huhuhu....buat pengetahuan semua...novel ni saya dh hantar kat penerbit...so, dorg dah terima n lulus penilaian utk penerbitan..jadi..novel ni akan bersambung dlm versi cetak..sy hanya akn post beberapa bab awal sahaja..harap semuanya faham mengenai terma dan syarat penerbitan ini...hehe...tajuk da kompem "SAYA PILIH AWAK". apa2 pun..korang usha2 la dulu ek novel ni...bila nk terbit?errrrrrmmm..inshaaAllah akan diberitahu dalam masa terdekat...takpun korang tgk je update kat FB n instagram kite ek...hehe...link fb n ig ade kat sebeleh tu ---->
hehe..penerbit masih lagi sama...penerbitan KAKI NOVEL terchenta..mihmih...
so, korang bacalah dua bab ni dulu ek...hehehe...
Bab 2
Ain tersenyum simpul. Kiriman khidmat pesanan
ringkas dari buah hati tersayang buat hatinya bahagia. Walaupun tak dapat nak
tengok wajah kesayangannya itu, dapat baca SMS pun dah kira ok. Hai hati,
bersabarlah. Hampir tiga bulan tak bersua buat hatinya rasa rindu dendam. Si
jejaka pujaan hati nun jauh di perantauan. Merantau bagi mencari sesuap nasi.
Tak apalah, untuk dia juga nanti. Senyumannya makin melebar.
“Ish, anak dara seorang ni, dari tadi
duk tersengih-sengih. Apa nak jadi pun tak tahulah. Kalau tolong ummi ni potong
sayur ke, siang ikan ke, masak-masak ke ada juga faedahnya. Ini tidak. Asyik
benar dengan telefon dia tu. Entah apa yang ada kat dalam tu pun tak tahulah,”
bebel Hajah Siti Aisyah. Geleng kepala. Macam orang dah tak betul pun ada.
“Alah ummi ni, nanti orang buatlah. Nak
rehat sekejap pun tak boleh.” Muncungnya panjang sedepa. Telefon bimbit
dimasukkan ke dalam poket seluar yang dipakainya. Seikat sayur bayam dicapai.
Ligat tangannya memotong sayur itu.
“Dari pagi tadi berehat takkan tak puas
lagi? Kamu tu perempuan. Esok lusa dah nak kahwin. Nanti kalau duduk rumah mak
mertua takkan nak buat perangai macam tu juga.” Ain mengeluh perlahan. Dah mula
dah. Malas betul nak dengar bab yang satu ini.
“Orang buatlah ni ummi. Ummi nak masak
apa hari ni ummi? Macam teringin nak makan paprik ummi yang sedap tu.” Topik
perbualan segera diubah. Tak mahu berpanjangan.
“Paprik tak cukup bahan. Esok ajelah.
Nanti abah kamu ke pasar, ummi pesan pada dia. Dah, bawa sayur tu ke sinki.
Bilas. Goreng sekali,” Ain akur. Tak lepas hajat nak makan paprik umminya yang
sedap. Tak apa. Esok masih ada masa.
“Adik mana ummi? Tak nampak pun dari
tadi?” Mohd Afiq Azwar. Satu-satunya adik yang dia ada. Tahun ni dah tingkatan
lima. Dah besar panjang dah adik dia tu. Sekejap betul masa berlalu.
“Entah, tadi dia kata ada study group. Tak habis lagilah tu.”
Tangan Hajah Aisyah ligat membuat itu dan ini. Ain hanya menongkat dagu di meja
makan. Memerhati umminya yang ke sana ke mari.
“Ummi, apa cerita Kak Jihah tu ummi?
Jadi ke dia kahwin dengan mat salih tu?” Masa nilah nak korek cerita anak
jirannya tu. Sebelum ni bukan main lagi Mak Hawa tu bercerita mengenai anak
daranya yang kononnya dipinang mat salih. Tapi sampai sekarang pun masih tak
ada bau nasi minyaknya. Entah-entah tipu aje. Sengaja nak buat orang jealous.
“Entahlah. Ummi tak dengar cerita pula.
Hari tu adalah dia cerita yang si Jihah tu dah tempah baju nikah. Tapi lepas tu
senyap aje.” Dia bukannya ambil kisah sangat dengan cerita-cerita macam tu.
Tumpang dengar bolehlah. Nak campur lebih-lebih dia tak berani. Benda-benda
macam ni, kalau terlebih rempah ratusnya boleh rosakkan keadaan.
“Rasanya dah nak dekat setahun. Tapi tak
ada apa-apa pun Ain tengok. Mak Hawa tu pun senyap aje. Entah-entah tak jadi.
Cakap aje lebih.” Ain mencebik. Dia dah agak dah. Mak Hawa tu bukan boleh
percaya sangat cakapnya. Lebih sudu dari kuah. Dia ingat lagi dulu, beria cakap
yang Kak Jihah tu boleh pergi United Kingdom buat medic, tapi sudahnya belajar kat Malaysia aje. Medic lah juga. Tapi bukan jadi doktor. Jadi jururawat. Kelakar
betul. Agak-agaklah nak mengagungkan anak pun. Tak sesuai.
“Hish kamu ni. Cakap tu elok-elok sikit.
Tak baik mengata orang. Kita tu, dah ada ke belum? Umur awak tu bukannya dua
belas tahun. Dah nak masuk senja,” perli Hajah Siti. Dia bukannya nak memaksa
tapi teringin juga nak ada menantu lelaki. Yang sekarang ni hanya ada dua
menantu perempuan. Ain ni satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Kalau tak Ain
yang bagi menantu lelaki, siapa lagi.
“Ummi ni, orang baru aje kerja setahun.
Mana ada duit lagi nak kahwin. Sabarlah sikit.” Sekali lagi umminya mula.
Menyesal pula tanya pasal Kak Jihah.
“Memanglah tak cukup duit kalau setahun
sekali tukar kerja. Cuba kerja elok-elok sikit. Ini tak, asyik nak tukar kerja
aje,” bebel Hajah Siti lagi. Ain garu kepala yang tak gatal. Terkena balik. Dah
tu tak sesuai dengan jiwa, nak buat macam mana.
“Nak cari pengalamanlah ummi. Banyak
tempat kita kerja, banyaklah pengalaman kita.” Hentam sajalah alasan apa pun.
Tapi memang betul pun kan? Masuk kali ni, dah tiga kali dia tukar kerja. Baru
tiga kali. Bukannya tiga puluh kali. Betul tak? Normallah tu. Orang lain lagi
banyak.
“Banyaklah awak punya pengalaman. Dah,
tengokkan gulai ummi tu. Ummi nak naik atas sekejap.” Hajah Siti berlalu keluar
dari dapur meninggalkan anak daranya yang terkial-kial bila disuruh
tengok-tengokkan gulai yang dimasak tadi. Baru suruh tengok-tengokkan, belum
disuruh masak. Bertuah betullah budak ni. Dah layak ada anak dua pun masih lagi
tak tahu nak masak.
>>
Durratul Ain berguling-guling di atas katilnya. Jemarinya
ligat menaip mesej. Sesekali bibirnya menguntum senyum. Rindu. Itu sahaja yang
dia boleh simpulkan perasaannya saat ini. Lagi dua hari, si jantung hatinya
akan pulang ke Malaysia. Tak sabar nak jumpa. Macam mana agaknya rupa buah
hatinya tu ya? Gemuk ke kurus ke? Ish kau ni Ain, baru tiga bulan tak jumpa
bukannya tiga tahun. Mana nak nampak perubahannya.
Fakri...Fakri. Macam manalah dia boleh
terjatuh cinta dengan mamat sengal tu pun tak tahulah. Masa mula-mula kenal
dulu, bukan main lagi dia buat tak layan. Dah nama pun budak nakal, siapa yang
nak. Tapi lama-lama tercair juga. Jangan tanya macam mana dan bila, dia sendiri
tak tahu. Sedar-sedar dia dah terjatuh cinta. Hari-hari asyik nak dengar suaranya
saja. Gilakan? Tak sangka cinta mereka masih kekal sampai sekarang. Dah hampir
tujuh tahun. Agak lama juga.
Tapi yang tak seronoknya sekarang mereka
dah jarang jumpa. Fakri selalu tak ada di Malaysia. Dah namanya pun kelasi
kapal. Memang selalulah kena berlayar ke sana sini. Tapi tak apa, dia tahu Fakri
setia orangnya. Kalau tak, takkanlah Fakri sanggup bertahan hingga tujuh
tahunkan?
Ain menarik sesuatu dari bawah bantal
tidurnya. Gambar Fakri. Kacaknya jantung hatinya. Rindunya dekat awak. Awak rindu
dekat saya tak? Ish, gatallah kau ni Ain. Gambar Fakri dibawa ke dadanya. Biar Fakri
pun dapat dengar degup jantungnya saat ini yang sedang berlagu riang bila
memikirkan yang mereka bakal bertemu tak lama lagi.
“Ain,
saya sukakan awak. Sudi tak awak jadi kekasih saya?”
Saat itu, jantungnya memang berdegup
kencang. Kalah atlet buat larian seribu meter. Sekeping kad sederhana besar
bercorak bunga ros warna merah itu ditutup kembali. Betul ke apa yang dia baru
baca tadi? Ada orang nak dia jadi kekasih? Kad itu dibuka sekali lagi. Nak tahu
siapa yang kirim. Tapi dia macam dah dapat agak. Sah. Memang budak sengal tu.
Ain pandang kiri kanan. Dia tak nampak
kelibat lelaki itu di mana-mana. Bila masa pula dia letak kad ni atas mejanya?
Rasanya sekejap saja dia ke tandas. Mesti lelaki itu masih ada dekat-dekat
sini. Hmm...nak main sorok-sorok ya? Nanti ya, saya memang suka cari orang yang
main sorok-sorok ni.
Ain tutup buku tebal yang menjadi bahan
bacaannya sejak sejam yang lalu. Dia pandang sekali lagi ke kiri dan kanan.
Dari mana nak mula dulu ni? Dia bingkas bangkit dari duduknya. Sebuah buku yang
sederhana tebal dibawa bersama. Kononnya nak berlakon. Biar nampak real sikit. Tak adalah si dia yang
mungkin sedang mengintai gerak-gerinya itu curiga. Perlahan-lahan dia melangkah
melalui setiap rak-rak buku yang tinggi lebih dua kali ganda daripadanya.
Sesekali dia membelek-belek buku yang tersusun kemas di atas rak tapi matanya
melilau sekeliling. Mana dia pergi ni? Takkan sekelip mata dah hilang kut? Tak
puas hati, Ain beralih pula ke rak yang lain.
“Ehem...”
“Opocot, mak kau meletup.” Melatah
rupanya. Ain tutup mulut. Terlupa yang dia berada dalam perpustakaan. Siapa
punya kerja ni? Sepantas kilat dia berpusing ke belakang. Kurang asam betul.
Bulat matanya bila orang yang
dicari-cari dari tadi sedang berdiri tegak di belakangnya sambil menutup mulut
menahan ketawa. Geramnya! Memang betul-betul kurang asamlah budak ni. Sengal!
Sopan betul cara nak menegur orang. Sekolah mana entah yang ajar budak ni. Ain
masih dengan muka tak puas hati. Berkerut habis mukanya.
Pantas kakinya melangkah meninggalkan
lelaki itu. Hatinya masih bersisa geram. Ada ke buat terkejut orang macam tu?
Dahlah dalam perpustakaan. Buat malu orang saja. Cepat-cepat Ain mengemaskan
bukunya. Kad berbunga ros merah yang diterimanya tadi dicampak saja di situ.
Tak hingin nak jadi kekasih kau! Ain
menapak laju ke pintu keluar.
Fakri terpinga-pinga. Hasratnya tadi
sekadar nak menegur. Dia perasan yang Ain sedang mencarinya. Mana taknya, dah
hampir sejam dia mengintai pujaan hatinya tu. Tak pasal-pasal dia jadi mamat library hari ni. Kalau tak, jangan
harap dia nak duduk lama-lama dalam perpustakaan ni. Dah lah sejuk, bosan pula
tu. Lepak kat cafe lagi bagus. Tapi
demi buah hatinya, dia berkorban.
Melihatkan Ain yang sudah jauh di
hadapan, Fakri menambahkan kelajuan langkahnya. Dia perlu minta maaf. Mesti Ain
marahkannya. Alah, dia bukannya sengaja nak buat Ain terperanjat. Tak tahu pula
si Ain tu boleh melatah macam tu.
“Ain!” Panggil Fakri bila mereka sudah
berada di luar perpustakaan. Ain langsung tak berpaling. Memanglah. Orang
tengah marah. Fakri berlari mengejar Ain. Tercungap-cungap dia bila dia sudah
berjaya menyaingi langkah Ain. Boleh tahan laju juga si budak ayu ni berjalan.
“Ain, sorry. Please...” rayu Fakri. Ain masih dengan muka masamnya. Cuba
menjarakkan sedikit dirinya dengan Fakri yang tiba-tiba muncul di sebelahnya
pula.
“Sorry...sorry.
Naik lorilah.” Perlahan tapi rasanya Fakri dapat dengar bila terhambur ketawa
dari mulut lelaki itu. Ain tambah hairan. Dah kenapa pula dengan budak sorang
ni? Orang tengah marah, boleh pula dia gelak sakan? Ish, mental.
“Aik, pandai marah juga rupanya buah
hati saya ni.” Ketawanya masih bersisa. Ain berhenti melangkah. Dahinya
berkerut seribu. Dia tak salah dengarkan? Buah hati? Sejak bila pulalah dia
isytiharkan dirinya sebagai buah hati budak ni? Perangai macam hantu.
“Hah, pandai pun nak berhenti. Penat
saya kejar awak. Laju betul dia jalan. Kalau macam ni, Hussin Bolt pun kalah.
Penatlah.” Fakri masih tercungap-cungap. Nafas ditarik dalam-dalam.
“Kalau tak kacau orang tak boleh ke?”
Geram. Tak reti bahasa betul. Ini bukan kali pertama Fakri mengacaunya. Dah
banyak kali.
“Tak boleh. Awak ni comel sangat. Kalau
tak kacau rasa macam rugi pula.” Fakri mengekek ketawa. Bertambahlah Ain geram.
Budak ni, ada juga yang makan kasut nanti. Rimaslah!
“Gila!” Ain menghentak kakinya keras
seraya berjalan laju meninggalkan Fakri sekali lagi.
“Memanglah gila. Gilakan awak yang comel
ni.” Bukan main manis lagi mulut masa nak mengurat. Entah ikhlas entah ke tidak.
Bukan boleh percaya sangat. Ain buat tak endah. Geli pula telinganya mendengar.
“Ain, saya serius ni. Nah, ambil balik
kad ni. Awak fikirkanlah baik-baik. Saya betul-betul ikhlas nak berkawan dengan
awak. Ain, please...” Rayu Fakri. Dah
lama sangat dia pendam rasa. Dah nak dekat setahun rasanya. Pertama kali
terpandang wajah comel dan ayu Ain, dia terus terpikat. Setiap hari, mesti dia
akan ambil peluang untuk berjumpa dengan pujaan hatinya ini. Tak dapat berbual
pun, dapat tengok dari jauh pun dah kira bagus.
Ain mengeluh perlahan. Nak diikutkan
hatinya yang memang rapuh ni, nak saja dia maafkan lelaki ini. Tapi kenalah
jual mahal sikitkan. Kata ikhlas, biarlah Fakri pujuk lama-lama sikit. Ish,
gatal juga kau ni Ain kan?
“Ain, please...” Sekali lagi Fakri merayu. Akhirnya Ain berhenti juga. Yes! Berjaya. Dia tahu, Ain pun mesti
sukakannya. Jejaka paling terkenallah katakan. Orang lain berebut-rebut nak
berkenalan dengan dia. Tapi dia sukakan Ain seorang saja. Setia kut.
“Awak ni memang muka tak malukan?”
“Memang pun. Tapi dengan awak ajelah.” Fakri
sengih. Tunjuk muka comellah kononnya. Ain tahan dari mengukir senyum. Lawak
betullah muka dia ni.
“Kat universiti ni ramai lagi budak
perempuan lain yang lagi cantik, yang lagi baik daripada saya. Pergilah
mengurat dia orang tu.” Ain menjeling tajam. Apalah yang lebihnya dia ni pun
tak tahulah. Rasanya sama aje macam orang lain. Tapi tak tahulah pula kalau si Fakri
ni nampak dia macam Siti Nurhaliza. Ehem...terperasan pula.
“Tapi awak lagi cantik. Bukan. Awak lagi
comel. Senyumlah sikit. Barulah nampak comel macam Nora Danish.” Ain
menjegilkan mata. Hish, tak kuasa dia nak melayan budak mental nilah. Silap
hari bulan, berjangkit sekali.
“Alalala...comelnya dia buat mata bulat.
Ini yang buat abang tak boleh tidur malam ni. Kalau sayang ni isteri abang, dah
lama abang cubit tau.” Fakri ketap bibir geram. Memang sengaja nak menyakat.
Ain apa lagi, bertambah-tambahlah marahnya. Secara automatik buku yang
dipegangnya dihempuk ke arah Fakri.
“Adoi, sakitlah sayang. Orang puji pun
nak marah. Tak faham betul. Tapi tak apa, demi sayang abang sanggup mati.”
Berdekah-dekah Fakri ketawa. Ain panas telinga. Drama sebabak yang ditonton
secara percuma oleh pelajar-pelajar yang lalu-lalang di situ. Ikut hati mahu
saja dia hempuk lagi budak bertuah ni lagi tapi bila difikirkan ayat yang
mungkin akan keluar selepas ini, dia ambil langkah selamat. Kaki diatur laju
meninggalkan Fakri. Baru ingat nak maafkan, terus tak jadi. Lantaklah.
Ain senyum sendiri mengenangkan
peristiwa itu. Tak lama selepas tu, dia cair juga dengan pujukan Fakri. Mana
tak tersentuh bila hari-hari dihujani dengan kata-kata cinta. Memang mulut
manis betul si Fakri tu. Sampai sekarang pun macam tu juga. Kadang-kadang geram
juga tapi dah sayang, nak buat macam mana.
Bohonglah kalau dia kata dia tak
teringin nak kahwin. Umur macam dia ni dah selayaknya bergelar seorang isteri
atau mungkin seorang ibu. Tapi nak buat macam mana. Fakri sentiasa sibuk. Bukan
setakat sibuk tapi selalu tak ada di Malaysia. Pernah juga dia tanyakan perkara
itu pada Fakri setahun yang lalu. Fakri hanya jawab, sabarlah. Belum masanya
lagi. Kewangan masih belum stabil katanya. Lepas itu, dia diamkan saja. Dia
faham. Fakri masih perlu menanggung keluarganya. Adik-adiknya masih ada yang
bersekolah. Ayahnya dah lama meninggal. Jadi dia yang terpaksa galas
tanggungjawab tu.
Tapi sekarang, Ain rasa dah sampai
masanya mereka beralih ke tahap yang seterusnya. Dah lama sangat hubungan
mereka. Sesekali terbit juga rasa bimbang di hatinya. Manalah tahu, jodoh ni
ketentuan Tuhan. Tapi Ain selalu berdoa agar jodohnya dipanjangkan. Biar Fakri
jadi yang pertama dan yang terakhir buatnya. Dia sayangkan Fakri. Dia cintakan Fakri.
Dia mahu jadi milik Fakri selamanya.
Bab 3
Durratul Ain mengira detik. Matanya tak lepas
memandang jam di dinding. Semua kerjanya sudah dibereskan awal-awal lagi. Dia
tak mahu lewat walau seminit pun. Dah lama sangat dia tunggu hari ini. Macam
terlalu rugi kalau terlewat seminit. Pen diketuk-ketuk. Lambatnya! Kalau dia
tinggi, dah lama dia panjat dan turunkan jam di dinding tu.
“Orang lain pun ada pakwe juga cik Ain
oi. Tapi tak adalah kronik macam kau ni,” perli Noni, rakan sepejabatnya. Dah
tahu sangat perangai si Ain ni. Almaklumlah, pakwe duduk jauh.
“Diamlah kau. Ish, kenapa macam lambat
aje jarum jam tu bergerak? Noni, kau lupa tukar bateri jam ke?” Tak puas hati
dengan jam di dinding, dia lihat jam di pergelangan tangan. Sama juga. Betullah
kut tu.
“Cik Ain oi, baru dua hari lepas aku
tukar bateri jam tu tau. Kau sendiri juga yang tolong aku tukar bateri jam tu.
Sahlah kau ni memang kronik. Aku doakan kau cepat-cepatlah kahwin. Aku yang
tengok ni pun terseksa tau.” Noni geleng kepala. Dia pun bercinta juga. Tapi
tak adalah sekronik minah ni. Memang dah wajib kahwin kalau macam ni gayanya.
“Hah, dah pukul lima. Dah boleh balik.
Noni, aku balik dulu ya. Bye!”
Sepantas kilat. Tak sempat si Noni nak kata apa-apa.
Ain
memakirkan keretanya. Senyum tak payah cakaplah. Memang dari tadi tak
lekang dari bibirnya. Dada? Macam dah nak meletup. Dup dap dup dap. Ish, macam
kali pertama nak jumpa pula kan? Kereta dikunci. Langkah diatur laju. Tempat
pertama yang harus dituju ialah tandas. Buat apa? Mencantikkan diri. Boleh tak?
Dah namanya pun kerja dari pagi. Mestilah nak kena tambah apa yang patut. Tapi
tak boleh lebih-lebih. Bahaya!
Jam dikerling sekilas. Masih sempat
lagi. Cepat-cepat Ain masuk ke dalam tandas. Membelek mukanya. Bedak masih ada
lagi. Sebenarnya, lepas Asar tadi pun dia dah siap berdandan. Tapi tahu ajelah
kalau dah namanya perempuan. Selendang berwarna merah jambu dibetulkan. Baru
beli tau. Agak-agak dah puas hati, baru dia keluar. Kaki diatur setenang
mungkin tapi dalam hati Tuhan saja yang tahu. Fakri dah sampai ke belum ya? Ain
menyeluk beg tangannya. Masih belum ada panggilan daripada Fakri. Belum sampai
kut.
Ain masuk ke dalam restoren yang
dijanjikan. Restoren kegemaran mereka. Matanya melilau sekeliling. Manalah tahu
kalau-kalau Fakri dah sampai. Tak ada. Tak apalah. Masih ada lima minit sebelum
waktu yang dijanjikan. Ain menanti dalam debar. Macam lama pula lima minit ni. Fakri
ni pun satu. Datanglah awal sikit. Suka sangat buat orang tertunggu-tunggu.
“Nak order
apa cik?”
“Saya order nanti ya. Saya tunggu ka...” Bulat mata Ain saat dia
berpaling ke arah ‘pelayan’ itu. Kurang asam. Semangat dia jawab.
“Awak!” Suka sangat nak menyakat orang.
Ain tarik muka masam. Buat-buat merajuk pula.
Sengajalah tu nak suruh orang pujuk.
“Cik tunggu siapa? Tunggu buah hati ya?”
Makin giat Fakri menyakat. Dia mengekek ketawa bila melihat Ain yang sudah
tarik muncung empat belas.
“Tak, tunggu buah nangka.” Buah nangka
busuk. Nak aje dia menambah.
“Amboi, marahnya dia. I’m sorry.” Fakri mencari mata Ain yang
sengaja dilarikan. Hai, rindunyalah nak menatap wajah comel ni. Wajah yang buat
tidur malamnya asyik tak lena.
“Sorry
naik lorilah.”
Fakri ketawa lagi. Ayat biasa Ain. Dah
lama tak dengar. Ain memandang Fakri yang masih tak berhenti ketawa. Apa yang
lawak sangat. Fakri mengawal ketawanya apabila melihat wajah Ain yang masih
lagi masam mencuka. Yalah...yalah. nak pujuklah ni. Manja betul.
Fakri menatap wajah gadis di hadapannya
tak berkelip. Dia ukir senyum menggoda. Ain tak senang duduk. Gelisah melihat
renungan Fakri yang selalu buat dia tewas. Sesekali matanya dilarikan. Tak
sanggup nak tatap lama-lama. Adoi, janganlah tengok orang macam tu. Nak
tercabut jantung den ni.
“Apa pandang-pandang?” Senyumannya cuba
ditahan.
“Saya pandang buah hati saya. Lama tak
jumpa. Rindulah.” Ain makin tak keruan. Kita pun rindu kat awak juga. Tapi
janganlah pandang kita macam tu. Kita malulah awak.
“Makin lama tak tengok, makin comel pula
buah hati saya ni. Awak pakai fair and
lovely ya?” Ain tak dapat tahan ketawanya lagi. Ada pula macam tu? Habis tu
kalau tak pakai fair and lovely, tak
comellah ya?
“Comelnya dia ketawa,” sakat Fakri lagi.
Ain rasa mukanya membahang. Segera ditundukkan wajah. Melebih-lebih pula si Fakri
ni.
“Malulah tu. Comel betul.” Fakri
menongkat mukanya, memandang tepat ke arah Ain yang sudah tertunduk malu.
Memang dia suka sakat Ain. Dia suka tengok Ain tersipu malu begitu. Dia suka
tengok pipi Ain yang merah setiap kali kena sakat. Comel aje.
“Ish, awak ni. Dahlah tu. Saya bukannya
boleh keluar lama-lama ni. Membebel pula ummi nanti.” Dahlah masa yang ada
singkat. Kalau asyik kena sakat aje, bila masa nak bercakap.
“Alah, bagilah saya tengok wajah awak
yang comel tu sekejap lagi. Tak puas lagi ni. Penat saya datang jauh-jauh tau.”
Hampir satu jam juga dia memandu dari rumahnya ke sini. Tak apa, demi gadis
yang bernama Durratul Ain dia sanggup.
“Mengada-ngada betullah dia ni. Kalau
nak tengok lama-lama, masuklah meminang cepat-cepat. Hari-hari pun awak boleh
tengok.” Cuba memberi sedikit hint
kepada Fakri. Lelaki itu berdehem perlahan. Membetulkan posisi duduknya. Ain
mengeluh perlahan. Dah tahu sangat. Adalah tu alasannya lagi.
“Ummi dah tanya. Lagipun kita dah lama
sangat kenal. Tak elok kalau lama-lama sangat berkawan.” Bukannya dia nak
memaksa, tapi dia jadi tak senang duduk bila ummi asyik bertanya. Sampaikan
ummi nak jodohkan dia dengan anak kawannya.
“Tapi duit tak cukup lagi. Ikmal nak
masuk universiti. Banyak nak pakai duit. Awak sabar sikit ya?” Fakri serba-salah.
Bukan dia tak nak tapi dia perlukan sedikit masa lagi. Lagipun dia bukannya
dari keluarga orang senang. Dia satu-satunya anak yang dah bekerja. Terpaksalah
dia berkorban sikit.
“Tak payah buat besar-besar. Akad nikah
pun dah cukup.” Takkanlah sikit pun Fakri tak simpan? Lagipun bukannya dia
minta hantaran sampai dua puluh ribu pun. Setakat yang termampu sudahlah.
Lainlah kalau dia ni anak raja.
“Cakap memanglah senang. Kita ni ada
keluarga. Mahu tak mahu kena juga buat majlis. Nanti apa pula kata mereka. Saya
cuma minta awak sabar sikit aje lagi. Saya janji, bila dah cukup duit saya
nanti, saya terus masuk meminang. Saya pun tak nak tunggu lama-lama. Takut buah
hati saya ni kena kebas.” Fakri cuba menenangkan suasana yang sedikit tegang
antara mereka.
“Tahu pun. Nasib baik ummi tak terima
pinangan anak pak imam. Kalau tak, memang melepaslah awak.” Main ugut-ugut pula
ya? Ah, biarlah. Biar si Fakri ni tahu sikit.
“Saya tahu sebab awak pun tak akan dapat
hidup tanpa saya kan?” Fakri melirikkan matanya memandang Ain membuatkan gadis
pujaan hatinya itu tersipu malu. Hai, siapalah yang tak mahu kahwin. Tapi dia
perlukan sedikit waktu lagi. Sabarlah sayang.
>>
Ain mengeluh perlahan. Percubaan kali ini gagal
lagi. Tapi tak apa, Fakri dah berjanji yang dia akan cuba untuk mempercepatkan
semuanya. Dia cuma perlu bersabar sikit. Takkan lari gunung dikejar kan? Tapi Fakri
tu bukannya gunung. Manusia. Ada kaki. Boleh sangat kalau nak lari. Tak, dia
percayakan Fakri. Lelaki itu takkan buat dia kecewa.
“Entah-entah dia tu dah ada makwe lain.
Sebab tu liat sangat nak masuk meminang kau. Lelaki zaman sekarang ni bukan
boleh percaya sangat.”
Kata-kata Noni beberapa bulan lalu
bermain di benaknya. Waktu itu dia luahkan kekecewaannya bila Fakri beri alasan
untuk masuk meminang.
“Taklah. Fakri bukan lelaki macam tu.
Aku kenal dia dah lama.” Cuba untuk menyedapkan hati sendiri. Lagipun dia
memang yakin Fakri tak akan buat begitu.
Tapi sekarang sekali lagi dia kecewa.
Ain menguak rambut lurusnya ke belakang. Jam sudah menginjak ke pukul sembilan
malam. Segera dia turun dari katil. Perkara yang satu ini cukup dijaga. Seboleh
mungkin dia akan cuba solat di awal waktu. Dah terbiasa dari kecil. Abah memang
tegas bab yang satu ini. Kaki diatur menuju ke bilik air. Semoga hatinya tenang
semula selepas ini.
>>
Syed Muammar menolak daun pintu bilik puteri
kesayangannya, Syarifah Allissa Nurzara. Kelihatan puterinya sedang termenung
di atas katil. Entah apa pulalah yang tak kena hari ini. Dari tadi Allissa
hanya diam. Masa makan pun dia diam. Kalau tak, memang kecoh mulutnya bercerita
itu ini. Maklumlah, waktu itu saja Allissa dapat bercerita panjang dengannya.
“Sayang, kenapa termenung ni? Allissa
marahkan papa ya?” Tubuh kecil itu dipeluk erat. Wajah manis si kecil masih
masam mencuka.
Allissa geleng kepala.
“Habis tu kenapa sayang masam aje papa
tengok? Ke anak dara papa ni rindukan seseorang?” usik Ammar. Masih tiada
senyuman di wajah puteri kesayangannya.
“Lissa tak nak cerita dekat papa?” Masih
cuba memujuk si kecil. Apa sebenarnya yang mengganggu kesayangannya ini.
“Kalau Lissa cerita pun, papa bukannya
nak faham pun.” Ammar kerut dahi. Amboi, bukan main lagi. Apa yang dia tak
fahamnya?
“Ok, cuba Lissa bagi papa faham.”
Pelukan dieratkan. Allissa diam. Lama. Matanya kelihatan berkaca. Ammar mula
tak senang duduk. Dah kenapa pula ni sampai nak menangis? Apa yang buat anaknya
ini sedih sangat? Dia ada buat salah ke?
“Allissa, look at me. Sekarang, bagitahu papa. Apa yang buat anak papa
menangis ni?” Air mata yang mengalir di pipi puteri kesayangannya dikesat
perlahan.
“Didie dapat adik baru. Mama Didie
bersalin semalam.” Didie, kawan baiknya di tadika. Bukan main ceria lagi wajah
Didie bila bercerita mengenai adik barunya itu. Allissa hanya mampu mendengar.
Syed Muammar senyum segaris. Itu rupanya
yang buat anak kesayangannya ini sedih. Tapi takkanlah sedih sangat sampai
menangis macam ni. Ini mesti ada benda lain lagi ni.
“Kan best
kalau Lissa pun ada adik macam Didie.” Air matanya diseka. Dia teringin sangat
nak main dengan adiknya sendiri.
“Macam tu rupanya. Patutlah anak papa ni
sedih sangat. Lissa kan ada papa, ada nenek, ada atuk. Irsyad dengan Mimi pun
selalu datang sini kan?” Syed Muammar cuba memujuk anaknya yang masih belum ada
tanda-tanda mahu reda.
“Papa selalu tak ada kat rumah. Nenek
dengan atuk pun bukannya nak main dengan Lissa. Sekejap aje dah penat. Irsyad
dengan Mimi seminggu sekali baru datang. Itu pun kadang-kadang tak datang.
Lissa bosanlah papa,” rungut si kecil. Celotehnya kadang-kadang mengalahkan
orang tua. Syed Muammar ketawa.
“Kan Lissa dah cakap tadi. Papa bukannya
nak faham pun kalau Lissa cerita.” Tubuh tegap papanya ditolak sekuat mungkin.
Marah mungkin bila papanya ketawa. Dia berbaring membelakangkan papanya. Dah
merajuk pula. Syed Muammar geleng kepala. Perangai siapalah anaknya ini ikut
ya?
“Aik, merajuk dengan papa pulak?” Syed
Muammar cuba menarik bantal yang menutupi wajah Allissa tetapi pantas ditarik
semula oleh anaknya itu.
“Tak nak cakap dengan papa!” Protes.
Allissa membatukan dirinya.
“Allissa dah tak sayang papa ya?”
Kecil-kecil pun dah pandai merajuk. Tak tahulah besar nanti macam mana.
Allissa...Allissa.
“Papa yang tak sayangkan Allissa.” Mati
terus senyuman di bibir Syed Muammar apabila mendengar kata-kata anak tunggalnya.
Siapa kata dia tak sayangkan anaknya?
“Allissa...” Tubuh genit itu cuba diraih
tapi Allissa mengeraskan diri. Marah betul dia dengan papanya.
“Ok, cuba Allissa cakap apa yang Lissa
nak papa buat?” Inilah padahnya kalau manjakan sangat anak. Tapi kalau tak
manjakan Allissa, nak manjakan siapa lagi. Inilah satu-satunya harta paling
berharga yang arwah Nur Annissa tinggalkan untuk dia.
“Kalau Lissa cakap pun bukannya papa
boleh bagi.” Suara Allissa sedikit mengendur.
“Papa akan bagi apa saja yang anak papa
minta. Ok now tell me. Apa yang
puteri kesayangan papa ni nak.” Syed Muammar merebahkan diri di sebelah
anaknya. Sebelah tangannya memeluk erat si kecil itu. Tapi janganlah minta
bulan dan bintang, itu tak bolehlah dia nak bagi.
“Betul?” Mata anaknya bercahaya.
“Papa janji.” Syed Muammar angkat tangan
tanda janji. Alah, budak-budak, apa sangatlah yang boleh diminta. Paling tak
pun, mainan. Tak pun pergi bercuti. Setakat ni, Allissa tak pernah minta
lebih-lebih.
“Kalau papa mungkir janji, Lissa tak nak
kawan dengan papa lagi.” Amboi, dah pandai main ugut-ugut. Tapi tak apalah,
demi anak tersayang.
“Ok.” Hidung mancung Allissa dicuit.
Macam-macam betullah anaknya yang seorang ni.
“Lissa nak.....” Lissa sengih
menampakkan garisan giginya yang putih bersih.
“Lissa nak?” Syed Muammar ulang ayat
anaknya. Nak apa?
Allissa mendekatkan wajahnya kepada Syed
Muammar. Mulutnya didekatkan ke telinga papanya itu. Cuba membisikkan sesuatu.
Syed Muammar kerut dahi. Apa yang rahsia sangat sampai nak kena bisik-bisik ni?
“Mama,” bisik Allissa. Hilang kerutan di
wajah Syed Muammar. Dia terdiam. Wajah comel Allissa dipandang. Langsung tak terlintas di fikiran yang
anaknya akan minta perkara yang satu itu.
“Bolehkan papa?” Allissa buat muka
comel. Tadi papa dah janji. Ustazah cakap, tak baik mungkir janji. Berdosa.
“Mama? Nak buat apa? Kan papa ada.” Apa
yang Allissa mengarut malam-malam ni? Sebelum ni pernah juga Allissa sebut
pasal mama, tapi tak adalah minta sampai macam ni.
Allissa memandang papanya tajam. Mulutnya
memuncung. Marah betul dia kali ni.
“Papa memang tak sayang Lissa!” bentak
si kecil. Dia memalingkan badannya membelakangi Syed Muammar. Dia betul-betul
tak nak cakap dengan papanya. Merajuk!
“Lissa...” pujuk Syed Muammar lembut.
Tak jalan. Memang merajuk habis dah anak dia ni. Dia garu kepala. Tak pandai
betul nak pujuk.
TQ atas kerjasama semua!!!!nntikan kemunculan novel ini di pasaran...pastikan rak buku korang ade terselit novel ni jugekkkkkkkkkk...hehehhe....
lots of luv
lynn allyna
utk baca bab 1..boleh klik kat sini http://princess-fantaghiro.blogspot.com/2014/03/saya-pilih-awak-1.html
No comments:
Post a Comment