2013-09-07

Tanya Sama Hati 45



Assalamualaikum & salam sejahtera...weeeee.....dah ada smbungan....hehe...hari ni sy nak balik UKM dah...cuti dah abes...wuwuwuwuwuw.....korang doakan sy sampai ke UKM dengan selamat ya!!semoga terhibur...muahhhhsss :)

Bab 45
Azlan cuba menghidupkan enjin keretanya tapi gagal. Dicuba lagi dan beberapa percubaan berikutnya juga gagal. Kereta buat hal pula. Macam mana nak balik rumah ni? Dia memeriksa enjin keretanya, apa yang boleh dia baiki? Dia bukan mekanik. Masalah!
“Lan, kenapa kereta kau?” Tegur Hilmi. Setahunya, dah setengah jam Azlan keluar dari pejabat.
“Entahlah. Buat hal pula dia. Pagi tadi elok aje.” Dia masih melihat-lihat enjin kereta. Tapi tak tahu juga apa penyakitnya.
“Itulah kau, pakai kereta saja tau. Sakit sikit, terus menggelabah.” Hilmi turut sama meninjau ke bahagian enjin. Dia pun sebenarnya bukan arif sangat pasal kereta.
“Baru bulan lepas aku pergi servis. Aduh, dah lah penat. Kau pula buat hal. Sengal betullah.” Azlan menyandar di sebelah keretanya. Telefon dikeluarkan. Harap-harap masih simpan nombor telefon bengkel baiki kereta.
“Dahlah. Aku hantar kau balik. Tak sampai hati pulak aku nak tengok kau menangis kat sini.” Hilmi tepuk bahu kawannya. Kereta rosak sikit pun nak menggelabah.
“Kereta aku ni?” Kesian si hitam manisnya ini.
“Kita hantar pergi bengkel dulu. Lepas tu, aku hantar kau baliklah.” Hilmi sudah berganjak ke keretanya. Menghidupkan enjin sementara menunggu kereta penunda.
Baru sekali dia ke rumah Azlan. Dia tak biasa dengan kawasan ini. Kedudukannya agak jauh dari bandar.
“Rumah aku kat depan tu.” Hilmi menghalakan keretanya ke arah yang ditunjuk.
“Thanks bro. Nasib baik kau tak balik lagi tadi. Kalau tak, merasa aku naik bas hari ni.” Azlan garu kepala. Dah lama dia tinggalkan zaman naik bas.
“Tak ada hal lah. Lagipun boleh juga aku kenal rumah kau.” Hilmi memerhati sekeliling. Kawasan perumahan kelihatan agak meriah dengan suara kanak-kanak bermain. Lagipun, depan rumah Azlan ada taman permainan.
Matanya berhenti pada satu sudut. Ada sebuah kereta di sana. Agak biasa di matanya. Dia kecilkan mata untuk melihat nombor pendaftaran kereta. Betul. Tak silap pandangannya. Memang dia biasa lihat kereta itu. Tapi kenapa kereta itu ada di sini? Kereta itu kosong. Pasti tuannya ada di dalam rumah. Rumah siapa?
“Kau tengok apa tu Mi?” Azlan turut memandang ke arah yang sama. Dia tak nampak sesiapa di situ. Hanya ada budak-budak yang bermain basikal.
“Tak ada apa-apa. Seronok aku tengok budak-budak tu. Aku balik dululah.” Dia masuk semula ke dalam kereta. Dia belum terasa ingin balik. Dia mahu tahu apa yang tuan punya kereta buat di dalam rumah itu. Yang menjadi persoalan, rumah siapa?
‘Ah, mungkin rumah kawan dia kut.’ Hilmi cuba menyedapkan hati. Dia saja yang suka fikir bukan-bukan. Gear dimasukkan. Pedal minyak ditekan. Belum pun sempat kereta bergerak, matanya menangkap sesusuk tubuh yang amat dikenalinya keluar dari sebuah rumah.
Pedal minyak dilepaskan semula. Di sebelah lelaki itu, ada seorang wanita yang mungkin sebaya mamanya. Wanita itu kelihatan mencium tangan lelaki itu. Lelaki itu pula mengusap perlahan kepala wanita itu. Apa sebenarnya yang terjadi? Siapa wanita itu? Dan kenapa lelaki itu ada di situ?
Pelbagai andaian menerjah benaknya. Rasanya matanya tak silap pandang. Dia kenal benar dengan sesusuk tubuh milik lelaki itu. Bukan sehari dua dia kenal. Dah berpuluh tahun. Tak mungkin dia silap. Yang dia mahu tahu, apa hubungan lelaki itu dengan wanita itu? Adik beradik? Saudara? Atau isteri? Kemungkinan yang semuanya berasas.
>> 
Hilmi tak dapat menumpukan perhatian pada kerja yang menuntut berfikir. Kerusi ditolak ke belakang sedikit. Tangan disilang ke dada. Makin difikir makin dia tak dapat buat kerja. Sudahnya, komputer riba ditutup dan dia menapak ke tingkat bawah.
Zaza sedang menonton tv. Buku di atas meja hanya dijadikan sebagai umpan supaya kalau ditanya, dia boleh tunjuk bukti. Balik rumah sebab nak belajar konon. Hilmi merapati adiknya. Alat kawalan jauh dirampas. Saluran televisyen di tukar. Zaza mendengus.
“Abang ni. Orang tengah syok tengok cerita, janganlah tukar.” Marah. Cerita korea yang sedang ditayangkan sudah berubah menjadi siaran di padang bola. Hilmi buat tak tahu saja.
“Hari tu kata, balik rumah nak study. Jadi, tak payahlah tengok tv.” Perlawanan di antara pasukan baju biru dan baju merah menarik perhatiannya. Terlupa sekejap pada masalah tadi.
“Sekejap aje. Bukannya tiga jam pun cerita tu. Sejam saja. Habis nanti, Zaza sambunglah study balik. Buku pun ada tu. Abang, tukarlah balik cerita tadi. Sekejap aje lagi nak habis ni.” Rayu Zaza. Meminta belas agar abangnya bersimpati. Hilmi tak makan pujuk. Makin muncung mulut Zaza.
“Dik, selain daripada Mak Long dengan Pak Su, papa ada adik beradik lain ke? Tak adalah, maksud abang adik beradik tiri ke, adik angkat ke?” Manalah tahu kalau-kalau adiknya tahu. Zaza agak rapat dengan papa.
“Ish, mana ada. Papa kan ada tiga orang adik beradik aje. Kenapa tiba-tiba abang tanya macam tu?” Pelik dengan soalan abangnya yang tiba-tiba. Takkan saudara sendiri pun tak ingat?
“Abang tanya aje. Manalah tahu masa abang dekat oversea dulu papa ada ambil adik angkat ke. Tak ada ya?” Sekali lagi dia meminta kepastian. Tapi kalau ambil saudara angkat, takkanlah tak bagitahu dia. Mustahil.
“Tak ada. Peliklah abang ni. Tiba-tiba tanya soalan macam tu. Macam ada rahsia aje. Baik abang bagitahu.” Zaza membetulkan duduk mengadap abangnya. Dia tak puas hati. Mesti ada sesuatu yang disimpan.
“Tak ada apalah. Nahlah, lepas habis cerita ni nanti tutup tv tu. Baca buku. Kalau tak, abang hantar balik kolej semula. Biar padan muka.” Ugut Hilmi. Dia cuma tak mahu adiknya itu bertanya lebih lanjut. Zaza bertepuk gembira. Siaran segera ditukar.
Hilmi kembali semula ke biliknya. Masih memikirkan masalah tadi. Kalau bukan adik atau saudara, siapa lagi? Hanya ada satu kemungkinan. Perempuan simpanan atau isteri. Tak mungkin papanya ada perempuan simpanan. Papanya bukan orang begitu. Tikar sejadah tak pernah ditinggalkan. Masjid juga menjadi kemestian kalau mempunyai kelapangan. Jadi, adakah itu isteri papanya?
Hilmi tak sedap hati. Perkara ini serius. Kalau benarlah apa yang dia fikir, maksudnya papa sudah berlaku curang dengan mama dan menipu mereka semua. Tapi tak pernah pula papa bermalam di luar kecuali kalau ada kerja di luar daerah. Itupun Pak Dollah ada sekali. Takkan Pak Dollah turut sama bersubahat? Ini tak boleh jadi. Dia harus siasat segera.
>> 
Hilmi melambaikan tangan bila matanya menangkap sesusuk tubuh milik kawan lamanya. Lama betul tak jumpa. Kali terakhir pun sewaktu majlis perjumpaan hampir setahun dulu.
“Apa khabar?” Tangan kawannya digenggam erat. Bahunya ditepuk.
“Alhamdulillah, baik. Makin sihat aku tengok kau. Maklumlah orang baru kahwin.” Kedua-duanya ketawa. Zul mengambil tempat di hadapan Hilmi.
“Biasalah. Senang hati. So, kau macam mana sekarang?” Riak wajah kawannya ini memang nampak ceria tapi di dalam hati siapa yang tahu. Pasti sakitnya masih terasa.
“Aku macam nilah. Terpaksa sibukkan diri dengan kerja. Balik awal-awal pun bukan ada orang kat rumah tu. Sekarang ni pun, nasib baik adik aku ada. Tak adalah sunyi sangat. Berapa lama kau kat KL ni?” Seronok bila tengok orang lain bahagia. Dia juga pernah rasa sebegitu. Tapi keadaan dah tak sama sekarang.
“Aku dua hari aje kat sini. Habis meeting, baliklah.” Hilmi angguk. Zul tak jadi nak berbual lebih-lebih mengenai rumah tangga. Takut Hilmi terasa.
“Zul, kau ingat tak budak sekolah kita dulu yang namanya Zulaikha. Siti Zulaikha. Rasanya, junior kita.” Zul tak jadi nak sedut minumannya. Kenapa tiba-tiba Hilmi sebut nama itu?
“Kenapa kau macam terkejut bila aku sebut nama tu? Kau ingat tak?” Hilmi ulang soalannya.
“Macam ingat. Kenapa tiba-tiba kau sebut nama dia? Kau ada jumpa dia ke?” Jus mangga disedut perlahan. Siti Zulaikha. Mana dia boleh lupa. Dia masih ingat sampai sekarang.
“Ya. Aku ada jumpa dia beberapa kali. Rupanya dia tu pensyarah adik aku. Mula-mula aku tak tahu yang dia tu budak sekolah kita. Hari tu aku pergi kenduri rumah Anas, jumpa lagi dengan dia. Masa tu lah Anas bagitahu. Terkejut juga aku. Memanglah tak perasan. Berubah betul muka dia.” Beberapa siri perjumpaan tak sengaja itu kembali terimbas di kotak ingatannya. Bila membandingkan wajah Zulaikha di zaman persekolahan dulu dengan yang sekarang, memang banyak bezanya.
“Kenapa? Kau dah terpikat ke?” Tembak Zul. Takkan Hilmi nak jilat ludah sendiri kut? Atau lelaki itu dah lupa apa yang dia pernah cakap sepuluh tahun lepas?
“Ish kau ni. Mengarutlah. Malas aku nak fikir benda-benda macam tu. Lagipun, hati aku ni macam dah tertutup. Kau tahulah kan, arwah isteri aku dulu tu terlalu banyak berkorban untuk aku. Jadi aku rasa macam tak sanggup nak menduakan dia.” Bukan sikit pengorbanan Nur Jannah. Tak terbalas rasanya.
“Tak timbul soal menduakan dia Hilmi. Dia dah tak ada. Kau tak perlu seksa diri kau.” Zul tak setuju dengan apa yang dikatakan Hilmi. Kalau isterinya itu masih hidup, bolehlah diterima alasan itu.
“Kau tak faham Zul.” Biarlah dia seorang saja yang faham apa yang ada dalam hatinya. Lambat laun, orang akan diam sendiri.
“Sebagai kawan, aku hanya boleh bagi nasihat dan pendapat. Yang lain tu terserah kepada kau. Apa yang kau rasa baik, kau buatlah. Aku sentiasa doakan kau bahagia.” Tak sangka begini nasib kawannya. Bahagia yang didamba hanya bertahan untuk seketika. Mungkin Tuhan mahu mengurniakan kebahagiaan yang lebih indah buat Hilmi. Semuanya adalah rahsia-Nya. Sabarlah.

thanks alot!!!!

No comments:

Post a Comment