assalamualaikum dan salam sejahtera semua!!!
harap semuanya masih ok..masih boleh meneruskan puasa dgn cemerlangnya..hehe..macamla baru tahun ni puasa kan??kalo uzur syar'ie tu nk buat camno kan??dah namanya pun pompuan...hehe...mesti sume da siap sedia ngan persiapan raya ni kan??kot2 baju pun da siap gosok n tunggu nk pakai je tu..haha..agak melampau jugek tu..pose baru je seminggu...huhu...kalo tanye sy..hmmm....xde mood langsung nk raya..xtau la napa...mgkin sebab tahun ni adalah tahun pertama raya tanpa insan tersayang...puasa pun xsemangat je...mohon jasa baik semua pembaca utk sedekahkan al-fatihah buat ayah saya...i miss him so baddddddddddd... oklah...ni aje smbgan utk kali ni...betul2 takde mood...fikiran tengah bercelaru sangat2...
Bab 41
Ika galak mengusik bayi kecil yang sudah pandai senyum
itu. Rambutnya hitam berkilat. Matanya sedikit kecil tapi tetap cantik
dipandang. Lesung pipit menambahkan comel di wajahnya. Dia juga ingin punya
anak secomel ini. Tak puas memandangnya.
“Dahlah tu Ika. Tercabut juga pipi anak aku kalau kau
asyik cubit saja.” Syarifah ketawa. Dia yang setiap hari pandang ni pun rasa
tak puas nak cubit pipi gebu itu. Inikan pula Ika yang baru lihat buat kali
kedua.
“Sayang anak nampak? Aku cubit sikit saja. Pipi Amni
tembam sangat. Geram Mak Cik Ika.” Sekali lagi jemarinya menyentuh pipi itu.
“Persiapan kahwin kau macam mana?” Syarifah ubah topik.
Dia mahu tahu perkembangan Ika.
“Aku belum fikir lagilah. Lambat lagi. Banyak kerja lain
lagi.” Mereka semua dah setuju nak langsungkan tahun depan. Kalau diikutkan
Faiz, hujung tahun ini juga dia nak buat. Tapi dia yang tak mahu. Tak nak tergesa-gesa.
Kerja nikah kahwin ni bukan boleh buat ikut suka hati saja. Kena ada
perancangan yang rapi. Lagipun dia masih belum bersedia. Masih tak cukup ilmu
di dada.
“Kau jangan nak tunggu last minute baru nak buat Ika. Kelam kabut nanti.” Syarifah bercakap
berdasarkan pengalaman. Dia dan Anas dulu begitu. Tup-tup, nak kahwin. Mahunya
tak kelam kabut.
“Aku tahulah. Tapi memang lambat lagi pun.” Jawab Ika
acuh tak acuh. Macam perkara itu tak penting baginya.
“Kau ni kenapa? Hari tu masa nak bertunang bukan main
lagi menggelabah. Ini nak kahwin, kau boleh buat rileks saja. Terbaliklah kau
ni.” Masih dia ingat lagi bagaimana cuaknya Ika sebelum tiba hari
pertunangannya sebulan lalu. Mengalahkan pengantin.
“Mana ada rileks. Cuma perkara tu memang lambat lagikan?
Kau jangan risaulah. Kan Amni kan?” Bayi kecil itu senyum lagi, mempamerkan
lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
Syarifah malas nak berbahas lagi. Suka hatilah. Jangan
nanti tiba harinya, baru nak menggelabah cari orang sana sini.
“Sya, kau ingat tak budak sekolah kita dulu. Nama dia
Khairul Hilmi.” Ika sebenarnya teragak-agak nak tanya tapi entah kenapa dia
rasa ingin berbicara mengenai hal itu.
Pantas kepala Syarifah tegak memandang Ika. Dia telan
liur. Kenapa dengan lelaki itu? Kenapa tiba-tiba Ika membangkitkan hal itu?
Kawannya ini masih menaruh harapankah? Atau Ika sudah tahu duduk perkara
sebenar?
“Khairul Hilmi? Entah, macam ingat-ingat lupa. Kenapa
dengan dia?” Dia cuba berlagak setenang mungkin. Pura-pura tak tahu walaupun
dia rasa tak sedap hati.
“Kau memang. Kalau tanya pasal Anas, mesti kau tak
lupakan?” Tempelak Ika. Takkan Syarifah langsung tak ingat lelaki yang menjadi
kegilaan ramai pelajar perempuan itu?
“Dah dia tu laki aku. Mestilah aku ingat. Musuh tradisi
pulak tu.” Ketawa Syarifah meletus. Masih dia ingat lagi betapa beraninya dia
bertentang mata dengan lelaki itu. Siap angkat bakul sampah. Nasib baik cikgu
sempat masuk. Kalau tak memang bermandikan sampahlah Anas waktu itu.
“Musuh ketat.” Tambah Ika. Pantang berjumpa. Mesti nak
bercakar. Pening dia memikirkannya.
“Ni, pasal Khairul Hilmi tu. Kenapa dengan dia?”
Syarifah mahu tahu apa yang Ika tahu. Harap-harap bukan sepertimana yang dia
fikirkan.
“Aku dengar isteri dia dah meninggal. Kesian kan?”
Sekali lagi Syarifah telan liur. Ika dah tahu? Macam mana wanita ini dapat
tahu? Siapa yang bagitahu? Adakah Ika jumpa dengan Hilmi? Atau adakah mereka
sebenarnya berhubungan di luar pengetahuannya?
“Oh ya? Mana kau dapat tahu?” Syarifah buat-buat
terkejut. Dia harap Ika tak berubah hati disebabkan perkara ini.
“Rupanya adik dia tu student aku. Adik dialah yang
bagitahu. Mula-mula aku tak tahu yang budak perempuan ni adik dia, tapi semalam
aku jumpa mereka masa beli barang. Kebetulan, Hilmi bawa sekali anak dia.”
Terimbas kembali perjumpaan tanpa disengaja semalam. Seluruh tubuh rasa
bergetar.
“Oh. Kecilnya dunia.” Ya, memang kecil. Betapa dia
berdoa agar Ika tak akan tahu mengenai perkara ini tapi Tuhan itu Maha Mengetahui.
Syarifah memandang wajah Ika yang sedang leka melayan
anaknya. Wajah itu tenang tapi dia tahu hati Ika tak setenang itu. Pasti
kehadiran semula Khairul Hilmi mengocak sedikit ketenangan kolam hatinya.
Timbul rasa bersalah di hatinya. Dia bukan sengaja menyembunyikan hal itu. Dia
rasa itu yang terbaik buat Ika. Dia mahu Ika bahagia tapi bahagiakah kawannya
ini? Dia tahu betapa Ika mencintai Khairul Hilmi tapi sekarang wanita ini
sedang bertarung membuka hatinya untuk cinta lelaki lain. Sanggupkah dia lihat
Ika kecewa sekali lagi?
“Ika, aku sebenarnya…ermmm…” Syarifah betul-betul serba
salah. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Mana satu yang harus dia pilih?
“Sya? Apa kau nak cakap ni? Sejak bila pula kau
tergagap-gagap nak bercakap dengan aku ni?” Apa dah jadi dengan kawannya? Tak
pernah dia lihat Syarifah berkelakuan begini.
“Sebenarnya aku dah tahu semua tu.” Masih teragak-agak
tapi entahlah. Dia rasa tak adil bagi Ika jika dia terus menyembunyikan rahsia
itu.
“Dah tahu? Apa yang kau dah tahu?” Dahi Ika berkerut.
Syarifah langsung tak memandang matanya.
“Aku tahu yang isteri Hilmi dah meninggal. Anas yang
bagitahu aku. Dan aku juga tahu yang…” Syarifah tak menghabiskan ayatnya. Wajah
Ika sudah ketara berubah. Dia tahu Ika pasti marah.
“Yang?” Dia mahu tahu ayat seterusnya. Apa lagi yang
Syarifah tahu? Adakah…
“Yang kau…Hilmi…” Syarifah tak dapat menyebutnya lagi.
Dia rasa Ika sudah dapat tangkap maksudnya.
Ika telan liur. Syarifah tahu mengenai itu? Tapi macam
mana? Seingatnya, dia tak pernah ceritakan apa-apa mengenai hal itu kepada
Syarifah. Tak pernah dan tak akan cerita. Ika tak senang duduk. Macam mana
semuanya boleh terbongkar?
“Apa kau cakap ni Sya? Aku dengan Hilmi apa? Aku tak
faham.” Macam nak meletup dadanya. Jadi selama ini Syarifah hanya pura-pura tak
tahu?
“Ika, aku dah lama tahu. Sejak sekolah lagi. Kau tak
perlu nak sembunyikan apa-apa daripada aku.” Dia cuba meraih tangan Ika ke
dalam genggamannya tapi cepat disentap oleh Ika. Dia tahu Ika marah. Dia tahu
Ika kecewa.
“Aku faham kalau kau marah. Tapi aku buat semua ni sebab
aku nak tengok kau bahagia.” Syarifah mahu Ika faham. Dia tak sengaja dan
rahsia ini juga diketahui secara tak sengaja.
“Aku ingatkan lepas kau balik dari luar negara, kau akan
lupakan Hilmi. Tapi ternyata cinta kau terlalu kuat untuk dia. Sebab tu aku
beria-ia ajak kau pergi ke perjumpaan semula tu. Aku ingatkan bolehlah kau
jumpa Hilmi di sana tapi aku betul-betul silap. Tak sangka Hilmi dah berkahwin.
Dan aku tahu kau kecewa.” Ada air jernih yang mengalir menuruni pipi Ika.
Langsung tak terlintas di hatinya untuk buat Ika sedih. Niatnya baik.
“Masa kau datang lawat aku dekat hospital dulu, aku
ingat nak bagitahu kau berita ini. Manalah tahu kau masih ada peluang. Tapi
bila kau kata yang kau bakal dipinang, aku tak jadi nak bagitahu. Aku ingat kau
betul-betul dah lupakan Hilmi. Lagipun aku tak nak musnahkan kebahagiaan kau.
Mungkin orang lain lebih layak terima cinta kau.” Ika tak beri sebarang respon.
Syarifah jadi tak senang. Air mata terus mengalir laju. Betulkah keputusan yang
dia ambil?
“Tapi kenapa sekarang Sya? Kenapa sekarang? Saat aku
baru nak belajar menerima cinta Faiz. Saat aku baru nak belajar melupakan
segalanya? Lupakan perasaan bodoh aku ni. Lupakan Hilmi.” Ika mengongoi.
Syarifah turut sama mengalirkan air mata. Dia dapat rasa betapa seksanya
perasaan Ika sekarang. Bertahanlah Ika.
“Bodohnya aku. Dari awal lagi aku dah tahu yang dia tak
akan jatuh cinta dengan aku. Dari awal lagi aku dah tahu yang aku memang tak
layak untuk dia. Aku tak cantik. Tapi aku tetap juga berangan yang satu hari
nanti dia akan balas cinta aku. Bodohnya aku, bodohnya!” Syarifah mendakap erat
tubuh kawannya. Memberi sedikit kekuatan.
“Jangan cakap macam tu Ika. Kau tak salah. Apa yang kau
rasa tu tak salah. Semuanya dah ditakdirkan.” Cuba untuk memujuk hati Ika yang
sudah remuk redam. Dia tak betah untuk melihat keadaan Ika begini.
“Aku yang tak sedar diri. Masakan orang sehebat dia akan
jatuh cinta dengan orang seperti aku. Aku memang tak layak untuk siapa-siapa
pun Sya. Tak layak pun.” Ika terus menangisi nasib diri. Kenapa dia boleh jadi
sebodoh itu. Kenapa semua ini terjadi kepada dirinya.
“Ika, sudahlah tu. Kau sekarang ada Faiz. Dia cintakan
kau sepenuh hatinya. Dia akan bahagiakan kau. Apa yang penting sekarang, kau
kena lupakan Hilmi dan terima cinta Faiz.” Syarifah tak henti memujuk. Air mata
yang membasahi pipi Ika dikesat. Mata kawannya itu sudah bengkak.
“Aku dah cuba tapi aku tak boleh. Setiap kali
teringatkan Faiz, aku akan cuba tanamkan rasa cinta tapi tak semudah tu Sya.
Hilmi asyik mengganggu. Aku tak tahu kenapa. Aku tak boleh nak hapuskan
perasaan tak masuk akal aku tu.” Masih menyalahkan diri sendiri.
“Ika, kau dengar aku cakap. Kau tak salah. Apa yang kau
rasa, perasaan kau, semua itu adalah hak kau. Aku tak ada hak nak halang, Hilmi
tak ada hak nak halang, dan sesiapa pun tak berhak. Sekarang ni, semuanya
bergantung kepada diri kau. Kau saja yang berhak nak tentukan masa depan kau.
Kau juga berhak tentukan dengan siapa kau nak hidup. Lupakan rasa bersalah,
lupakan kebahagiaan orang lain. Kau kena fikirkan mengenai kebahagiaan diri
kau. Keputusan ada dengan kau. Tanya hati kau. Dan kau ingat, apa-apa pun yang
kau pilih, aku tetap sokong kau.” Syarifah cuba menyuntik sedikit semangat ke
dalam diri Ika yang sudah betul-betul lemah itu. Dia mahu Ika menjadi diri
sendiri. Cukuplah menyeksa diri demi menjaga hati orang lain.
“Tapi Sya, aku…” Dia sendiri tak tahu apa mahu hatinya.
Untuk menerima cinta Faiz, dia masih tak dapat lupakan Hilmi. Untuk mengejar
cinta Hilmi yang dia sendiri tak pasti akan kesampaian atau tidak, dia tak
sampai hati nak lepaskan cinta Faiz. Mana satu? Hatinya sendiri tak ada jawapan
untuk itu.
“Ika, kadang-kadang kita perlu jadi kejam dan
mementingkan diri sendiri demi kebahagiaan kita sendiri. Tugas kau sekarang,
kau balik dan fikir semasak-masaknya. Kau masih punya banyak waktu untuk buat
keputusan. Dan bagi aku, putus tunang itu lebih baik daripada bercerai. Itu
cuma pendapat aku.” Jari-jemari Ika digenggam erat. Dia akan tetap sokong apa
pun keputusan Ika. Biar Ika tentukan apa yang terbaik buat dirinya. Wanita ini
berhak hidup bahagia.
Ika kehilangan kata-kata. Mampukah dia membuat
keputusan?
>>
“Comelnya bantal
peluk dia. Siapa yang bagi ni?” Bantal kecil berwarna merah jambu itu begitu
comel. Ada patung arnab di hujungnya.
“Mak Cik Ika dia lah tu bagi. Petang tadi dia datang
sekejap.” Esak tangis Ika terasa masih kedengaran. Kasihan wanita itu. Pasti
tidur malam ini tak lena.
“Mak Cik Ika bagi ya? Hmm…nanti bila Mak Cik Ika dapat
baby, kita bagi yang lagi comel ok sayang?” Amni yang masih belum tidur senyum
diusik papanya.
“Tak payah tunggu dia dapat baby. Sekarang pun boleh.”
Entah dari mana dia dapat idea itu. Tiba-tiba saja datang.
“Takkan nak bagi Ika peluk bantal kecil ni kut?” Anas
tak faham apa yang dimaksudkan isterinya. Wanita senyum penuh makna tapi dia
gagal menafsirnya.
“Abang, abang boleh tolong sayang tak?” Mungkin dia
dapat bantu Ika. Walaupun tak pasti sama ada berjaya atau tak, dia perlu cuba
dulu.
“Apa dia?” Syarifah senyum lagi. Anas kerut
dahi. Makin tak mengerti.terima kasih kerana sudi membaca...komenan anda amat diharapkan agar sy dpt memperbaiki mutu e-novel ini..bye... :)
Wahh wat happens next...x sbr...mst syarifah mnx anas tlg ika dekat ngn hilmi..smbg lg...
ReplyDelete