2014-05-17

Saya Pilih Awak 4






Bab 4

“Encik Ammar...Encik Ammar...” Bibik terkocoh-kocoh turun dari tingkat atas. Ada apa pulalah pagi-pagi macam ni. Syed Muammar tak jadi menghirup minumannya. Cawan berisi air Nescafe diletakkan kembali.
“Ada apa bik?” soalnya. Bibik menarik nafas. Penat berlari dari tingkat atas. Kalau muda-muda dulu bolehlah tahan. Ini, umur dah nak masuk separuh abad. Cepat semput.
“Allissa...” Sepatah bibik menjawab. Tiga pasang mata serentak memandang bibik. Apa kena dengan anaknya? Sakit? Demam?
“Kenapa dengan Lissa bik?” Dahi Syed Muammar berkerut.
“Allissa nggak mahu pergi tadika. Katanya, nggak mahu pergi selagi tak dapat mamanya.” Pening kepala bibik memujuk si kecil Allissa. Dah macam-macam cara digunakan. Semuanya tak jalan. Akhirnya, terpaksalah dia bagitahu Syed Muammar sendiri.
“Hah?” Sudah! Nampaknya Allissa betul-betul serius semalam. Syed Muammar garu kepala.
“Mama? Mama mana?” Puan Maziah tak faham. Mama mana yang cucunya maksudkan? Dia pandang wajah anak lelakinya.
“Siapa Ammar?” Anaknya ada sembunyikan apa-apa daripadanya ke?
“Tak ada apa-apalah mama. Ammar naik pujuk Lissa dulu.” Syed Muammar segera meninggalkan meja makan. Allissa...Allissa. Keras kepala betul anak papa seorang ni.
“Bang, abang tahu apa-apa ke? Ammar tu dah ada calon isteri ya?” Bercahaya mata Puan Maziah. Kalau betul, memang dia setuju sangat. Dah lama sangat anak lelakinya itu menduda. Dah memang sepatutnya Ammar kahwin lain. Takkan selamanya nak menduda macam tu. Kesian Allissa, nak juga merasa kasih sayang seorang ibu.
“Manalah saya tahu. Awak macam tak kenal anak lelaki awak tu. Mana pernah dia cerita apa-apa kat kita. Masa nak masuk meminang arwah Nissa dulu pun, bukan main susah lagi dia nak buka mulut.” Syed Mustaffa meneruskan pembacaan surat khabar. Sepatutnya isterinya lebih tahu mengenai perkara ini. Syed Muammar tu lebih rapat dengan ibunya.
Puan Maziah tak puas hati. Siapa mama yang dimaksudkan cucunya? Ini mesti Ammar ada rahsiakan sesuatu daripadanya. Tak apa, bukannya susah pun. Allissa ada. Tak dapat daripada Ammar, dia boleh korek daripada Allissa. Puan Maziah mengulum senyum. Macam tak sabar pula nak menerima menantu lagi.
Syed Muammar menghampiri katil Allissa. Si kecil itu masih lagi berbaring di katil sambil memeluk erat teddy bear besar pemberian Mak Ucunya sewaktu hari jadinya tahun lepas. Syed Muammar duduk di birai katil. Dia mengeluh perlahan. Dia memandang ke arah Allissa yang tak ada tanda-tanda mahu berpaling ke arahnya.
“Sayang, dah lewat ni. Nanti Lissa lewat pergi tadika. Nanti cikgu marah. Lissa bangun ya sayang.” Sungguh, dia memang gagal bab pujuk-memujuk ni. Selalunya bibik yang bangunkan Allissa setiap pagi.
Allissa tak bagi sebarang respons. Syed Muammar garu kepala. Nak kena guna cara diktator ke?
“Ok, kalau Lissa tak nak bangun sendiri, papa angkat Lissa.” Syed Muammar cuba mencempung tubuh anaknya. Lissa meronta. Dia tak nak.
“Tak nak...tak nak pergi tadika. Lissa nak mama...Lissa nak mama,” raungnya. Pegangan tangan papanya ditepis sekuat mungkin. Tak cukup tangan, dia guna kaki. Berguling-guling atas katil.
“Lissa...janganlah macam ni.” Syed Muammar masih cuba memujuk dengan cara baik. Tak sampai hati pula nak guna cara keras. Lissa masih kecil. Dah namanya pun budak-budak, sabar ajelah.
“Tak nak. Papa tipu, Lissa tak nak kawan dengan papa. Papa jahat...papa tipu!” Bergema seluruh bilik dengan suara halus Syarifah Allissa Nurzara. Dah macam tengok gusti pun ada. Meronta-ronta setiap kali Syed Muammar mahu memegangnya.
“Ya Allah, apa kena ni Ammar?” Puan Maziah geleng kepala. Sampai macam ni sekali.
“Tak tahulah ma. Buat perangai pula dia pagi ni.” Syed Muammar cekak pinggang. Dia mengalah. Anaknya memang keras kepala. Langsung tak mahu mengalah. Langsung tak makan pujuk. Geram betul. Mana dia nak cari ‘mama’ pagi-pagi macam ni?
“Dah, kamu pergi sarapan. Dah lewat nak pergi kerja ni. Biar mama pujuk Lissa.”
“Anak seorang pun tak reti nak pujuk. Orang suruh cari isteri tak nak,” bebel Puan Maziah perlahan. Ammar tak jadi nak melangkah keluar. Mama cakap apa?
“Apa ma?” Nenek dengan cucu pun sama aje. Sesuai sangatlah tu.
“Tak ada apa-apa. Tu, Nescafe awak dah sejuk kat bawah tu. Pergi cepat.” Syed Muammar tunjuk muka tak puas hati. Bukan itu yang dia dengar tadi. Puan Maziah buat muka selamba. Tak salah pun dia cakap macam tu. Dah memang sepatutnya pun. Tengoklah ni. Sampai mengamuk si Allissa.
“Ala....kesiannya cucu nenek ni. Mari sini dekat nenek.” Tubuh kecil Allissa diraih ke dalam pelukannya. Pipi gebu si kecil yang dibasahi air mata disapu perlahan sebelum dikucup penuh kasih. Apa sebenarnya yang dah berlaku ni? Kenapa Allissa asyik sebut pasal mama?
“Dah, tak payah menangis lagi. Hari ni Lissa tak payah pergi tadika. Lissa teman nenek kat rumah. Kita pergi jalan-jalan ya?” Kesian cucunya. Sampai teresak-esak menangis. Sedih sangat agaknya ni. Rambut lurus Allissa diusap perlahan.
“Lissa nak mama...” Tersekat-sekat suaranya dek kerana esakan yang belum reda. Puan Maziah kembali memandang wajah cucunya. Mama? Ish, pening betul kepalanya. Siapa sebenarnya mama ni? Jangan budak ni nak mama dia yang ada dalam kubur tu sudahlah. Memang sah-sahlah tak dapat.
“Mama? Mama mana ni Lissa? Cuba sayang cakap dengan nenek.” Inilah masanya nak korek rahsia. Perempuan manalah yang si Lissa ni dah berkenan sampai mengamuk tak nak pergi tadika. Setahunya Ammar tak ramai kawan perempuan. Yang ada pun semua dah kahwin. Catherine? Ish, takkan wanita cina tu kut? Tak sesuailah. Dah tak ada orang melayu ke?
“Mamalah. Semalam, Lissa cakap dengan papa Lissa nak mama sebab Lissa nak adik macam Didie.” Muka cantik Puan Maziah berkerut seribu. Nak adik macam Didie? Terus terbayang wajah Didie, kawan Lissa yang berambut kerinting itu. Patutlah mengamuk sakan pun. Nak adik rupanya. Ini mesti kes jealouslah ni. Lissa...Lissa. Macam-macam cucunya ini.
“Habis tu papa cakap apa? Papa cakap nak bagi Lissa mama?” Berbunga-bunga hatinya. Apa salahnya. Dia pun memang dah teringin sangat nak tengok Ammar tu dijaga seseorang.
“Papa tak cakap apa-apa. Papa tu memang tak sayang Lissa. Kawan-kawan Lissa semua ada mama. Semua ada adik. Lissa aje yang tak ada adik.” Air matanya mengalir lagi. Dia sedih. Setiap kali kawan-kawannya bercerita pasal keluarga masing-masing, dia hanya boleh dengar. Dia pun nak juga bercerita pasal keluarganya. Takkan nak cerita pasal atuk dengan nenek kut?
“Ala...kesiannya cucu nenek ni. Nak adik ya? Tak apa, kalau papa tak nak bagi Lissa mama, nenek boleh bagi Lissa mama. Kita cari sama-sama, nak?” Puan Maziah ukir senyum penuh makna. Mata Allissa yang tadinya berkaca-kaca dek air mata sekarang dah bersinar ceria. Nenek nak bagi dia mama? Mestilah dia nak!
“Jom nenek!” Tangan neneknya ditarik menuju ke pintu bilik.
“Eh, Lissa nak ajak nenek pergi mana?”
“Cari mamalah. Tadi nenek cakap nak cari mama.” Puan Maziah tergelak. Amboi bukan main lagi budak bertuah ni. Baru cakap tadi dah nak pergi sekarang.
“Tapi sebelum tu, Lissa kena mandi dulu. Gosok gigi, pakai baju cantik-cantik. Barulah mama suka. Dah, jom kita mandi ya sayang.” Puan Maziah geleng kepala. Kesian pula dia tengok. Sedih hati tuanya. Allissa betul-betul mahukan belaian seorang ibu. Dari kecil, Allissa hanya sempat merasa belaian ibu selama setahun sebelum Nur Annissa meninggalkan mereka semua bersama adik Allissa. Pasti hati Allissa sedih setiap kali melihat kawan-kawannya dipeluk dan dikucup ibu masing-masing. Sabarlah sayang. Insya Allah, waktu itu akan tiba. Nenek percaya, pasti ada seorang wanita yang mampu buat hati papa Allissa terbuka untuk berkahwin lagi.
>> 
Syed Muammar merenyuk surat khabar yang berada ditangannya. Geram. Benci. Sakit hati. Marah. Semua ada. Setiap hari ada saja berita pasal benda tu. Apa, dah tak ada kerja lain ke nak buat? Dia orang ni gila ke apa? Suka-suka hati nak bunuh orang? Hilang moodnya untuk baca surat khabar. Kadang-kadang nak tengok berita dekat televisyen pun dia malas. Selalu sangat ada berita yang paling dia benci tu.
Irfan menolak pintu bilik kawannya perlahan. Dia dah ketuk tapi Syed Muammar tak menyahut. Itu yang dia main redah aje. Baru aje berjalan selangkah, kakinya tersepak sesuatu. Dipandang ke bawah. Gumpalan surat khabar. Irfan mengeluh perlahan. Ini tak lain tak bukan mesti berita pasal kes ragut ni. Dah lima tahun, dia dah tahu sangat. Marah Syed Muammar tak hilang lagi.
Bro, sudah-sudahlah tu. Dah lima tahun dah pun. Peragut tu pun dah kena tangkap.” Irfan menarik kerusi di hadapan Syed Muammar seraya duduk. Lima tahun dulu, dia dikejutkan dengan berita kematian Nur Annissa. Wanita itu menjadi mangsa ragut manusia durjana. Sejak itu, Syed Muammar memang anti dengan peragut. Dengar atau baca saja berita pasal ragut, mesti dia akan mengamuk.
“Kau tak faham perasaan aku. Sakitnya masih terasa.” Sampai bila-bila pun dia tak akan maafkan orang yang dah bunuh isterinya tu. Walaupun peragut tu dah dihukum, tapi hatinya masih belum puas. Kalau boleh, dia nak peragut tu pun mati cara yang sama macam yang dia dah buat dekat arwah isterinya. Biar peragut jahanam itu rasa sakit sama macam arwah isterinya rasa.
“Tak baik berdendam lama-lama. Nanti silap hari bulan, kau yang sakit.” Irfan tahu, tak ada gunanya bagi nasihat dekat si Syed Muammar ni. Buang air liur aje. Langsung tak nak dengar.
“Aku tak akan berhenti selagi hati aku tak puas.” Matanya jelas menunjukkan yang api kemarahannya masih lagi marak membakar. Irfan geleng kepala. Jangan nanti makan diri sudahlah.
“Dah, jom. Aku belanja kau makan aiskrim. Biar sejuk sikit hati kau tu. Beku terus pun tak apa,” seloroh Irfan. Syed Muammar ni, balik rumah awal-awal pun bukannya ada bini pun. Dia tak apa, isterinya kerja syif malam hari ni. Balik lewat sikit pun tak ada hal.
“Kau ingat aku ni budak sekolah rendah ke nak belanja makan aiskrim? Apa punya kawanlah kau ni. Lainlah kalau belanja aku pergi London ke, Paris ke. Ada juga faedahnya.” Giliran Syed Muammar pula kenakan kawan baiknya itu. Bulat mata Irfan.
“Hoi, kau ingat aku ni tauke balak ke? Aku ni, nak pergi Sabah pun kena kira bajet dulu tau tak?”
“Kau tu bukan apa. Kedekut aje lebih. Tu yang si Syafi tu makan hati hari-hari,” tempelak Syed Muammar.
“Oklah tu makan hati. Daripada makan tulang, lagi naya.” Ketawanya berderai. Mana ada kedekut. Fikirkan masa depan. Tak lama lagi ahli keluarganya akan bertambah. Mestilah dia kena berjimat sikit. Kalau tak, ada yang betul-betul makan tulang nanti.

p/s::da ade yg teka dgn betul kat fanpage KN..weeeeeeee....

 http://www.houseofqueenb.com/v/vspfiles/photos/06-1.jpg

4 comments: