assalamualaikum dan salam sejahtera...alhamdulillah...sempat jugak post entry baru walaupun minggu ni sgt kelam kabut sbb banyak esemen nk kene anto..hehe..tapi hobi tetap hobi...hehe...mesti ade jugak masa utk diluangkan utknya..mihmihmih..so ini bab 64 utk korang yg sentiasa tertunggu2 apalah lg si ika ni nk buat..huhuhu...terima kasih bebanyak kat korang yg setia tunggu n sudi baca ek..hehe...harap korang bpuas hati ngan bab ni ek..hehe...
Bab 64
Puan Sofia memandang anaknya yang hanya menunduk
memandang lantai. Sejak kejadian malam itu, dia masih belum bercakap dengan
Faiz. Dia kecewa. Teramat kecewa. Tak sangka Faiz boleh bertindak sejauh itu.
Kalau orang lain, dia mungkin masih boleh terima tapi ini abangnya sendiri.
Darah daging sendiri. Dah hilang akal agaknya.
“Faiz ada apa-apa nak bagitahu mama?”
Faiz hanya diam. Seketika dia
keluarkan sesuatu dari poketnya dan meletakkannya di atas meja. Puan Sofia
pejam mata, menarik nafas sedalamnya. Dia kenal sangat dengan cincin itu. Dia
yang sarungkan ke jari manis Siti Zulaikha. Dan sekarang, cincin itu kembali
semula ke sini.
“Memang patut Ika buat macam ni.
Sekarang ni Faiz tanggunglah akibat perbuatan terburu-buru Faiz tu. Mama kecewa
sangat-sangat dengan apa yang dah berlaku. Mama pun tak tahu macam mana mama
nak berdepan dengan papa, dengan keluarga sebelah sana.” Untuk menelefon pun
dia tak mampu apatah lagi nak berjumpa. Entah apa yang suami dan madunya
fikirkan. Nampak sangat dia tak pandai jaga anak.
“Faiz minta maaf mama. Faiz tak
berniat pun nak kecewakan mama. Faiz buat semua ni sebab Faiz terlalu cintakan
Ika. Faiz tak nak dia jatuh ke tangan orang lain.” Masih mempertahankan diri.
“Tak guna minta maaf dengan mama.
Faiz bersalah dengan abang Faiz. Mama nak Faiz minta maaf dengan abang Hilmi.
Minta maaf dengan papa dan mak cik Zalina.” Sakit betul hatinya bila dengar
alasan Faiz. Kenapa budak ni boleh fikir sampai ke situ? Dah tentu-tentu Ika tu
tunang Faiz. Hilmi tu bakal abang ipar Ika.
“Assalamualaikum.” Puan Sofia
terkesima sebaik sahaja matanya menangkap tetamu yang memberi salam tadi.
Kenapa sekarang?
“Waalaikumussalam. Abang, Kak Za,
Hilmi. Masuklah.” Tak mampu rasanya nak pandang wajah-wajah yang ada di hadapannya.
Entah apa yang akan berlaku sebentar nanti.
Hilmi hulur tangan pada Faiz. Lambat
Faiz sambut. Sedikit pun Faiz tak pandang wajah tetamu yang datang. Ikutkan
hati mahu saja dia lari. Dirinya saat ini dilihat sebagai pesalah.
“Saya ke dapur sekejap.”
“Tak payah susah-susah Fia. Mari
duduk sini. Biar kita selesaikan masalah ni sama-sama.” Puan Zalina tarik
tangan Puan Sofia untuk duduk di sebelahnya. Senyuman Puan Zalina buat Puan
Sofia tenang sedikit.
Encik Zainal dan Hilmi juga kelihatan
tenang. Hanya Faiz yang kelihatan gelisah. Mungkin kerana dia tahu yang dia
bersalah. Puan Sofia tak henti berdoa. Harap-harap hal ini tak berpanjangan.
Dia tak mahu dua keluarga yang baru sahaja berbaik ini bermasam muka hanya
kerana tindakan Faiz.
“Papa dah tahu semuanya. Hilmi dah
ceritakan pada papa. Papa tak salahkan Faiz.” Encik Zainal membuka bicara.
Hilmi mengangguk. Ya, dia dah jelaskan semuanya. Kejadian yang berlaku itu
bukan salah Faiz seorang. Dia juga bertanggungjawab. Dia faham sangat kenapa
Faiz bertindak sedemikian.
“Abang minta maaf. Abang tak berniat
langsung nak masuk campur dalam hubungan Faiz dengan Ika. Memang salah abang
sebab bagi harapan dekat Ika.” Papa dengan mama memang kecewa dengan apa yang
telah dia lakukan tapi dia ikhlas. Dia tak main-main dengan Ika.
“Apa sebenarnya yang berlaku abang?
Kak Za?” Puan Sofia masih tak mengerti duduk perkara sebenar.
“Saya minta maaf mak cik. Semuanya
hanya salah faham. Masa saya jumpa Ika, saya tak tahu pun yang Ika dah
bertunang dengan Faiz. Saya pun tak sedar yang kami dah semakin rapat.”
“Tapi lepas kau tahu dia dah
bertunang pun kau masih kacau dia lagikan?” Marah Faiz masih bersisa. Tak
semudah tu untuk dia lupa. Disebabkan Hilmi, Ika putuskan pertunangan mereka.
Tahu tak betapa sakit hatinya saat ini?
“Faiz, abang
tak…”
“Ah, sudahlah. Kau mengaku ajelah
yang kau memang nak Ika tu jadi isteri kau sebab nak dia jadi mak kepada anak
kau. Kau bukannya ikhlas sangat pun sukakan dia.” Apa pun alasan yang Hilmi
beri, dia tak mahu dengar. Tak payah nak berselindung. Dia tahu semuanya.
“Faiz! Mama tak pernah ajar Faiz
bercakap kurang ajar macam tu. Hilmi ni abang Faiz tau. Faiz kena hormatkan
dia.” Faiz betul-betul dah berubah. Puan Sofia tak boleh tahan sabar bila Faiz
makin kurang ajar.
“Tak apa mak cik. Saya tahu Faiz
tengah marah. Saya tak kisah.” Ya, dia memang bersalah dalam hal ini. Dia
memang masih cuba untuk menangi hati Ika walaupun tahu Ika sudah bertunang.
Memang salah dia. Dia terlalu ikutkan perasaan.
Puan Sofia melepaskan keluhan. Malu
sungguh dia dengan suami dan madunya. Kenapalah Faiz terlalu ikutkan
perasaannya. “Kak Za, abang. Fia minta maaf bagi pihak Faiz. Hilmi, mak cik
minta maaf ya. Tapi rasanya semua dah terlambat. Benda dah jadi. Ika pun dah
minta putus. Rasanya hubungan antara Ika dengan Faiz tak mungkin dapat
disambung lagi.”
Hilmi meraup muka. Encik Zainal juga
geleng kepala. “Abang minta maaf sekali lagi, Faiz.” Sungguh dia tak sangka Ika
akan putuskan pertunangan secepat ini.
“Puaslah hati kau sekarangkan?” Faiz
sudah angkat punggung. Tak betah untuk terus berada di sini. Silap hari bulan,
muka Hilmi jadi sasaran lagi. Pantas kakinya melangkah keluar dari rumah.
“Faiz!” Puan Sofia tak sempat nak
halang. Makin risau dibuatnya. Ya Allah, Kau selamatkanlah anak aku.
“Biar dia tenangkan hati dia. Inshaa
Allah, akak dan abang akan cuba untuk pulikan keadaan. Kami pun
bertanggungjawab juga dalam hal ni. Kita sama-sama doakan yang terbaik ya,”
pujuk Puan Zalina. Hilmi anaknya. Kalau Hilmi buat salah, dia juga turut terasa
sama.
“Abang, Za rasa baik abang temankan
Sofia kat sini. Kesian Sofia sorang-sorang,” usul Puan Zalina. Faiz pun entah
ke mana perginya.
“Yalah. Za dengan Hilmi baliklah
dulu. Nanti kalau ada apa-apa, telefon abang.” Puan Zalina dan Hilmi sama-sama
mengangguk. Kedua-duanya minta diri untuk pulang. Walaupun masalah ini tak
sepenuhnya diselesaikan tapi sekurang-kurangnya semua dah jelas duduk perkara
sebenar.
“Fia tak payahlah risau sangat. Faiz
tu dah besar. Dah pandai fikir. Abang yakin dia tak akan buat apa-apa yang tak
sepatutnya,” pujuk Encik Zainal. Hati seorang ibu, dia faham. Lagipun hanya
Faiz anak yang Sofia ada. Sofia yang besarkan Faiz seorang diri.
“Fia tak nak sejarah kita berulang
bang.” Mendalam maksudnya. Encik Zainal terdiam seketika. Berfikir. Ya, apa
yang berlaku sekarang hampir sama dengan apa yang telah mereka alami. Cuma
sekarang ini dua orang lelaki mahukan wanita yang sama.
“Tapi Ika dah putuskan pertunangannya
dengan Faiz.”
“Sama seperti abang tinggalkan Fia
untuk Kak Za. Fia tak dapat bayangkan jika Ika pilih Hilmi.” Bergetar suaranya.
Sungguh, saat itu hatinya hancur luluh walaupun dia merelakannya. Tapi jodohnya
dengan abang Zainal memang kuat. Mereka kembali bersama. Tapi Ika perempuan.
Tak akan dapat pilih kedua-duanya.
“Tak perlu ungkit cerita lama Fia.
Kita pun dah bersatu sekarang. Yang penting sekarang ni kita perlu fikirkan
cara bagaimana nak pulihkan keadaan. Fia ada bercakap dengan Ika?” Apa yang
berlaku sudah ditakdirkan. Tak perlu dikenang lagi cerita duka.
“Belum. Tadi baru Faiz bagitahu yang
Ika dah putuskan pertunangan. Fia faham perasaan Ika bang. Tapi Fia harap Ika
tak akan pilih Hilmi.” Walaupun dia tak layak untuk tentukan siapa yang harus
dipilih Ika tapi dia berharap sangat perkara itu tak terjadi. Banyak masalahnya
nanti.
“Kita doakan saja yang terbaik buat
mereka.” Encik Zainal juga mengharapkan perkara yang sama. Tapi siapa mereka
untuk menolak ketetapan Tuhan?
>>
Saat ini, tiga hati sedang menanggung derita. Mereka
memandang langit yang sama. Bulan yang sama. Kejadian pagi tadi kembali
menerpa. Ika mengeluh perlahan. Betul ke tindakannya? Ah, betul atau tidak dia
sudah buat keputusan. Berserah saja. Tapi satu yang perlu dia buat sekarang.
Dia perlu betul-betul lupakan Hilmi. Terima hakikat yang dia dan Hilmi memang
tak ditakdirkan untuk satu sama lain. Sama seperti Faiz.
Faiz pejam mata rapat. Apa yang dia
takutkan sudah pun berlaku. Kenapa semua ini berlaku? Dia ikhlas cintakan Ika.
Dia ikhlas mahukan Ika menjadi suri di hatinya. Menemaninya sepanjang hayat.
Apa yang berlaku sungguh tak adil bagi dirinya. Salahkan dia mencintai?
Salahkah dia untuk rasa dicintai? Dia mahukan Ika.
“Kenapa Ika buat abang macam ni?
Kenapa Ika tak nampak yang abang sangat cintakan Ika? Kenapa Ika curang dengan
abang? Kenapa Ika…Kenapa?” Soalan itu hanya tinggal soalan. Ika tiada di
hadapannya untuk menjawab.
Dari dulu dia impikan sebuah
kehidupan berkeluarga yang sempurna. Dia tak merasa semua itu sepanjang dia
membesar. Dia hanya ada mama. Bila berjumpa dengan Ika, dia dapat rasa yang dia
bakal temui kebahagiaan. Dia bakal punya keluarga impiannya. Walaupun dia perlu
menunggu lama untuk menyunting Ika, dia rela. Tapi sekarang, dia hilang Ika
dengan sekelip mata. Sungguh hatinya sangat sakit!
Hilmi merebahkan tubuhnya ke katil.
Jam sudah menginjak ke pukul dua belas tengah malam. Apa yang dia dah lakukan?
Secara tidak sengaja dia sudah hancurkan kebahagiaan yang sedang dibina oleh
Faiz dan Ika. Terlalu pentingkan dirikah dia? Apa yang dia mahukan sebenarnya?
“Kau
mengaku ajelah yang kau memang nak Ika tu jadi isteri kau sebab nak dia jadi
mak kepada anak kau. Kau bukannya ikhlas sangat pun sukakan dia.”
Hilmi meraup mukanya beberapa kali.
Memang dia perlukan seorang wanita untuk jadi ibu kepada anaknya. Tapi dia juga
perlukan seorang isteri untuk berkongsi segala suka dan duka. Seorang isteri
yang dapat menemaninya hingga ke akhir usia. Memang silapnya kerana memilih Ika
untuk mengisi kekosongan itu. Tapi cinta yang hadir adalah anugerah daripada
Allah.
Apa yang pasti, tiga hati ini sedang
berperang dengan perasaan masing-masing. Masih adakah rasa cinta buat mereka?
Masih adakah sinar kebahagiaan buat mereka? Tabahkah mereka untuk berhadapan
dengan dugaan pada esok hari?
p/s: tgh dengar lagu Indah AF - Percayalah....suke bangat ngan lagu ni...dengar sekali dh jatuh cintun gitu..hehe..boleh ambik ilham lagu ni nih...hehehe... "sejauh mana dirimu...ku ingin kau tahu..u always in my heart!!"..weeeehuuuuu...
btw...tggal 2bab lagi kot citer nih..heheheheh...apakah kesudahannya???nantikan yer!!
byeeeeeeee....eh..sape2 nk g pesta buku???iols takde session conteng2 novel tahun ni tp mcm nk g jugak....inshaaAllah hari Sabtu ni kot....jom reramai eksss...
ok...byeeeee....tq2
p/s: tgh dengar lagu Indah AF - Percayalah....suke bangat ngan lagu ni...dengar sekali dh jatuh cintun gitu..hehe..boleh ambik ilham lagu ni nih...hehehe... "sejauh mana dirimu...ku ingin kau tahu..u always in my heart!!"..weeeehuuuuu...
btw...tggal 2bab lagi kot citer nih..heheheheh...apakah kesudahannya???nantikan yer!!
byeeeeeeee....eh..sape2 nk g pesta buku???iols takde session conteng2 novel tahun ni tp mcm nk g jugak....inshaaAllah hari Sabtu ni kot....jom reramai eksss...
ok...byeeeee....tq2
No comments:
Post a Comment