2013-09-18

Tanya Sama Hati 46



assalamualaikum dan salam sejahtera semua...harap semua sihat2...jemput baca ye smbungan seterusnya....harap korang pun bleh la komen sket...sy pun tak tahu e-novel ni mcm mana sebenarnya...ok ke...bosan ke...tak menarik ke...huhu...kalo korang bg feedback atleast sy bleh ubah sikit2 smntara citer ni belom smpai ke penghujungnya...nak kutuk2 pun tak kisah...da biasa..hehe..ok..selamat mmbaca!!!
bab 46
Ika memasukkan duit yang baru dikeluarkan dari mesin ATM ke dalam dompet. Baru saja dapat gaji, tapi dah nak habis duitnya. Mana nak bayar kereta lagi, nak bagi orang tua di kampung lagi, perbelanjaan harian lagi, nak simpan untuk perkahwinan lagi. Pening kepala nak uruskan kewangan.
“Ika!” Segera dia berpaling. Tergamam seketika. Takkan kebetulan lagi kut?
“Hai.” Dia membetulkan tudung yang dipakai. Dan seperti biasa, jantungnya berdegup laju.
“Dari mana?” Hilmi masih kelihatan segak dengan kemeja lengan panjang walaupun hari sudah petang. Tali leher sudah tidak ada di tempatnya. Lengan baju juga dilipat hingga ke siku, menyerlahkan sebahagian tangannya yang sasa.
Ika menuding jarinya ke sebelah. Beberapa orang pengguna masih lagi beratur di mesin ATM. Hilmi mengangguk faham.
“So, tengah banyak duitlah ni? Bolehlah belanja saya minum?” Sakat Hilmi. Ika angkat kening. Benar-benar maksudkannya atau sekadar bergurau? Kalau Hilmi mahu, dia seribu kali lagi mahu.
Just kidding. Tapi, Ika busy ke? Kalau tak, boleh kita minum dulu. Lagipun awal lagi ni.”
“Why not.” Ika ketap bibir. Kenapa begitu senang dia menerima pelawaan Hilmi? Apa yang dia nak bualkan nanti? Menyesal pula.
“Jom.” Ika angguk perlahan. Berjalan beriringan dengan Hilmi adalah satu perkara yang tak pernah terfikir dek akalnya dan sekarang ianya adalah kenyataan. Seluruh badannya rasa bergetar. Dia sempat melirik ke arah lelaki pujaan di sebelah. Cara jalannya penuh karisma. Wajahnya penuh daya tarikan. Ika telan liur. Dia sudah keterlaluan.
“Jus tembikai. Ika?”
“Hah? Ermm…” Kenapa dia tiba-tiba jadi lupa ingatan? Air apa pun dia tak boleh nak sebut. Satu jenis minuman pun tak terlintas di mindanya. Ini sudah kes kecemasan!
“Ika?” Sekali lagi Hilmi sebut namanya bila dia masih belum membuat apa-apa pesanan. Ika, sila bertenang.
“Samalah.” Minuman apa yang dipesan Hilmi tadi pun dia tak ingat. Betul-betul sudah melampau.
“Ika pernah datang sini?” Mata Hilmi tepat memandangnya. Bergemuruh seluruh jiwa.
‘Awak, jangan pandang saya macam tu. Nanti saya boleh pengsan.’ Sungguh dia lemah. Mata Hilmi buat dia terpukau.
“Tak.” Sepatah dijawab. Tapi memang dia tak pernah datang.
“Saya dah ganggu Ika ke? Sorrylah, kebetulan saya habis kerja awal hari ni. Nak balik rumah pun bukannya ada orang. Ada Zaza aje. Itupun, asyik terperap dalam bilik. Malam baru dia keluar.” Entah kenapa dia rasa senang nak berbual dengan Ika. Walaupun tak rapat, tapi dia rasa selesa.
“Tak adalah. Saya pun tak buat apa-apa juga kalau balik rumah.” Mereka diam seketika. Memberi laluan kepada pelayan yang menghantar pesanan.
“Terima kasih.”
“Manalah tahu, Ika ada date dengan pakwe. Terpaksa pula layan saya kat sini.” Ika telan liur. Serta-merta dia teringatkan Faiz. Dah lama dia tak jumpa lelaki itu. Tapi kenapa dia tak rasa rindu?
“Tak adalah. Saya lebih suka rehat di rumah.” Ika buntu. Dia tak tahu apa yang perlu ditanya. Sungguh dia tak biasa begini.
“Lepas sekolah, Ika sambung belajar di mana?” Hilmi menyedut minumannya. Dapat dilihat Ika yang agak kekok di hadapannya. Matanya asyik memandang ke bawah. Sifat pemalunya masih menebal.
“UK.” Sepatah lagi dijawab. Dia juga mahu bertanyakan soalan yang sama tapi suaranya seakan tersekat.
“Wow. So, tak plan nak sambung PhD ke?” Makin seronok dia bertanya. Ika langsung tak tanya apa-apa. Pasti wanita itu kurang selesa.
“Insya Allah. Mungkin dua tahun lagi. Awak?” Ika pandang wajah Hilmi yang masih merenung tepat ke arahnya. Dia terpaku di situ. Cuba dialih pandangannya tapi macam ada magnet yang menariknya untuk terus memandang lelaki itu.
Tak banyak berubah. Tetap menarik seperti sepuluh tahun dulu. Cuma Hilmi sekarang ini nampak lebih matang. Mukanya bersih daripada sebarang kumis atau janggut. Keningnya tebal terbentuk. Bibirnya merah. Giginya putih tersusun rapi. Ika terleka. Setiap butir bicara Hilmi seakan angin lalu. Antara dengar dan tidak.
“Ika? Awak ok ke?” Ika tak bergerak. Matanya langsung tak berkelip. Sakit?
“Ya. Ok. Apa awak cakap tadi?” Malunya! Segera disedut jus tembikai di depannya. Matanya melilau memandang sekeliling yang dipenuhi dengan pelanggan lain. Aduh, kenapa dia sebegitu berani? Ini bukan dirinya. Harap-harap Hilmi tak perasan.
Hilmi ketawa kecil. Sekali lagi Ika terpaku. Senyuman itu. Sepuluh tahun dulu, senyuman itulah yang memikat hatinya hingga dia jadi angau. Sekarang, sekali lagi senyuman itu buat dia jadi tak tentu arah. Sihir apa yang Hilmi guna?
>> 
Ika tak dapat sembunyikan senyumannya. Sejak pulang lewat petang tadi, bibirnya sentiasa manis berukir senyuman. Nak mandi pun senyum, nak pakai baju pun dengan senyuman, nak makan pun masih lagi sempat tersenyum. Dan sekarang, nak tidur pun dia masih lagi senyum.
Hampir satu jam juga dia duduk berbual dengan Hilmi tadi. Tak ada perkara menarik yang dibualkan tapi dia tetap rasa seronok. Seakan pasangan kekasih yang sedang angau dilamun cinta. Hilmi cukup sempurna. Cara percakapannya, cara layanannya, gurauannya. Ah, dia cemburu dengan wanita yang pernah memiliki lelaki ini dulu. Pasti wanita itu sangat bahagia.
Setiap kali ingin menutup matanya, dia terbayangkan wajah Hilmi yang tersenyum menggoda. Naluri kewanitaannya terpesona. Bersama dengan Hilmi dia terlupa akan statusnya. Berduaan dengan lelaki itu buat dia terlupa akan Faiz. Berdosakah dia? Hatinya tak dapat menolak. Dan buat pertama kali dalam beberapa bulan ini, tidurnya bertemankan senyuman.
Hilmi gelisah di katilnya. Dia tak dapat lelapkan mata. Setiap kali cuba untuk menutup mata, setiap kali itu juga bayangan wajah Ika menjelma. Apa sudah jadi dengan dirinya? Tak mungkin dia jatuh hati dengan Ika. Sudah dia berjanji akan tetap setia kepada Nur Jannah.
Dia bingkas bangun dan duduk di birai katil. Bilik yang sederhana besar ini hanya diterangi oleh lampu tidur. Masih terbayang akan sifat malu-malu wanita itu. Sesekali dia perasan yang mata wanita itu melirik ke arahnya. Pandangannya tak dapat ditafsir. Hilmi raup muka. Tak sepatutnya dia fikirkan wanita lain. Semua itu terjadi mungkin kerana dia rindukan Nur Jannah.
Ika dan Nur Jannah adalah dua orang wanita yang jauh berbeza. Ika pemalu. Nur Jannah manja. Nur Jannah sering buatnya ketawa tapi Ika buat dia senang untuk berbicara. Perbezaan paling ketara adalah Nur Jannah ialah isterinya sedangkan Ika hanyalah seorang kawan.
“Tapi kan bang, Cik Ika tu cantik juga ya?” Dia tak nafikan itu. Berbanding sepuluh tahun dulu, wanita itu memang jauh berubah. Tapi itu bukan alasan untuk dia jatuh hati.
 “Abang, entah-entah Cik Zulaikha tu tersyok dekat abang kut.” Tak mungkinlah. Wanita itu nampak biasa saja cuma pandangan wanita itu saja yang agak berlainan. Mungkin perasaannya saja tapi kalau betul-betul Ika sukakannya?
“Abang masih tak mampu nak lupakan sayang. Hati ini masih dipenuhi dengan cinta sayang. Abang rindukan sayang.”
Nur Jannah senyum padanya. Walaupun hanya sekeping gambar, dia tetap rasa wanita itu ada di hadapannya. Kemerduan suaranya, kelembutan belaiannya, kehangatan kucupannya, semuanya masih terasa. Dia tenggelam setiap kali Nur Jannah mengungkap kata cinta. Dia hanyut setiap kali Nur Jannah menyulam kata rindu dan sayang. Dia mahukan Nur Jannah saat ini. Dia perlukan wanita itu saat ini.
Bantal dipeluk erat. Empat bulan berlalu. Haruman milik Nur Jannah di setiap inci bilik semakin pudar. Bunga yang dulunya kembang mekar kini sudah layu. Kering tak bermaya. Semua yang ada dalam bilik ini kelihatan suram. Serinya sudah hilang. Hilang bersama jasad pemiliknya. 

Terima kasih banyak2 sbb baca smpai habis...heeeeeeeee...

1 comment:

  1. best... keep posting new post. I would like to know what going happen to Ika n Hilmi n Faiz. Cinta 3 Segi.

    ReplyDelete