2013-06-04

Tanya Sama Hati 36, 37 & 38



http://i242.photobucket.com/albums/ff176/azrifit/Assalamualaikum.gif
tetibe rase citer ni sgt slow..hahaha..ape2 pun selamat mmbaca kawan2...


Bab 36
Hari ini suaminya datang lagi. Memang timbul perasaan pelik di hatinya tapi dia tak mahu perasaan itu menggangu hari istimewa ini. Bukankah ini yang dia inginkan? Bukankah ini yang dia tunggu saban hari? Kali ini, wajah suaminya sedikit ceria. Tidak seperti minggu lepas.
“Abang tak kerja ke?” Puan Sofia merangkul lengan suaminya, menarik lelaki itu ke dalam rumah.
“Ada, tapi tak banyak sangat. Abang singgah sekejap saja.” Tak boleh berlama-lama seperti minggu lalu. Tak mahu ada syak wasangka.
“Tak apalah bang. Fia faham. Abang datang ni pun syukur Alhamdulillah. Fia buatkan air ya?” Terkedek-kedek dia ke dapur. Tak kisahlah sekejap atau lama. Yang penting dia dapat lihat wajah suaminya.
“Macam mana keadaan keluarga abang sekarang? Dah ok sikit? Teringin Fia nak tengok cucu abang.” Bukan setakat cucu, seluruh keluarga di sebelah sana. Dia mahu kenal. Rasanya dia tak sanggup untuk berselindung lagi. Hidup seperti pelarian begini, dia mahu bebas. Bebas merasai kasih sayang suami tanpa batasan dan rasa bersalah.
“Ok. Lagipun isteri abang ada di sini. Temankan anak abang. Mungkin seminggu dua lagi baru balik.” Puan Sofia angguk. Patutlah suaminya selalu ke sini. Tapi dia tak kisah. Ingat juga suaminya nak menjenguk dia di sini.
“Abang makan malam di sini ya?” Dia sudah berkira-kira mahu masak apa. Asam pedas ikan merah. Pasti suaminya suka.
“Abang tak boleh lama Fia. Isteri abang dah pesan suruh abang balik makan di sana. Lain kali ya.” Sebetulnya dia tak sampai hati nak kecewakan wanita yang pertama bertakhta di hatinya ini tapi dia terpaksa. Berat lidahnya tapi dia tak mahu isterinya yang di sana merasa syak wasangka.
Puan Sofia kecewa. Dia belum puas melayan suaminya. Dia bahagia bila dapat menghidangkan makanan yang lazat buat suaminya. Dia bahagia bila melihat suaminya makan hingga licin pinggan. Dia mahu rasa bahagia seperti dulu. Di awal perkahwinan dulu, setiap bulan suaminya akan datang ke sini. Kadang-kadang dua atau tiga kali sebulan. Pantang ada kerja yang memerlukan suaminya ke sini, pasti kelibat suaminya akan muncul di rumahnya.
Dialah orang yang paling bahagia. Dialah orang yang paling sibuk di dapur. Semua dia mahu masak. Masakan tidak, sekali sekala memasak untuk orang tersayang. Dia bahagia bila suami memuji masakannya. Waktu itu Faiz rapat dengan papanya. Tapi semuanya tak lama. Beberapa tahun sebelum suaminya bersara, semuanya berubah. Hanya Dollah, pemandu suaminya yang selalu datang menghantar barang keperluan. Suaminya sudah jarang ke mari. Kalau datang pun, sekadar tunjuk muka.
“Bila abang nak datang ke sini lagi?” Dia tak mahu ungkin mengenai hal minggu lepas. Memang suaminya lupa. Kalau tak, mesti dia sudah minta maaf kerana mungkir janji. Tapi langsung tak disebut.
“Abang tak boleh janji. Nanti abang suruh Dollah hantarkan barang dapur.” Raut wajah Puan Sofia sudah tak ceria. Dia tak mahu Dollah. Dia mahu suaminya.
“Faiz nak bertunang bulan depan.” Sekadar memberitahu. Dia tak mahu mengharap lagi walaupun besar harapannya untuk melihat suaminya turut sama merasai kebahagiaan itu.
Encik Zainal tak jadi nak pergi. Dia berpaling semula ke arah isterinya. Dia teringat sesuatu. Aduh, macam mana dia boleh terlupa perkara sepenting itu? Dia betul-betul terlupa.
“Kenapa Fia tak ingatkan abang minggu lepas? Abang betul-betul terlupa. Abang minta maaf.” Dia kesal. Pasti isteri dan anaknya kecewa.
“Fia tak nak ganggu abang. Fia tahu abang banyak kerja. Lagipun menantu abang baru meninggalkan? Tak apalah bang. Majlis pun dah selamat berlangsung.” Ada nada kecewa. Dia mahu suaminya yang menawarkan diri untuk pergi ke majlis pertunangan itu nanti. Dia tak mahu kecewa lagi. Cukup sekali. Kasihan anaknya. Walaupun Faiz tak meluahkannya, tapi dia dapat rasa perasaan anaknya itu.
“Abang akan hadir. Tapi Fia kena ingatkan abang sekali lagi. Abang dah tua. Tak semua perkara abang boleh ingat.” Encik Zainal menabur janji. Memang dia mahu pergi. Dia mahu tebus kesalahannya.
“Insya Allah bang.” Bolehkah dia berpegang pada janji itu? Atau sekali lagi suaminya itu akan mengecewakannya? Dia hanya mampu berserah.
>> 
Puan Sofia merapati anaknya yang sedang leka menonton televisyen. Punggung dilabuhkan. Dia melepaskan nafas. Dah tua-tua begini, naik turun tangga pun dah tak larat.
“Papa datang tadi.” Tiada reaksi daripada anaknya. Masih dengan siaran di tv. Tangan anak tunggal kesayangan itu diraih ke dalam genggamannya.
“Faiz dengar tak apa mama cakap tadi?” Manalah tahu suaranya terlalu perlahan ataupun Faiz memang betul-betul fokus pada tontonannya.
“Dia nak apa?” Terpaksa juga ditanya walaupun dia langsung tak mahu tahu. Sekadar ingin menjaga hati si ibu.
“Faiz, dia kan papa Faiz. Tak boleh ke Faiz berlembut sikit?” Puan Sofia mengeluh. Ternyata masih ada dendam di hati anak teruna ini. Tapi sampai bila?
“Papa pada nama saja ma. Faiz langsung tak rasa yang Faiz ada papa.” Sinis sekali. Dendam yang tersimpan sekian lama memang payah nak padam walaupun lelaki itu datang melawat mamanya. Senyum bahagia mamanya melayan si suami masih belum dapat mengurangkan dendam di hati.
“Faiz, jangan biarkan dendam di hati Faiz itu menutup hati Faiz. Cuba pandang dia dengan hati yang bersih. Papa bukan sengaja buat begini Faiz. Dia terpaksa. Faiz cubalah faham, nak.” Luluh hatinya. Tapi dia tak boleh salahkan Faiz seratus peratus. Keadaan memaksa Faiz bersikap begitu.
“Faiz tak boleh ma. Faiz minta maaf.” Hatinya keras.
“Faiz, Faiz tahu tak? Perangai Faiz ni sebijik macam papa. Degil.” Dia cuba untuk memadamkan dendam itu.
“Faiz tak nak tahu pun.” Memang degil.
“Faiz…Tak baik macam tu sayang. Tak lama lagi Faiz nak jadi suami orang. Nanti, jadi ayah. Faiz nak ke kalau anak Faiz pun bersikap macam ni? Berdendam dengan ayah sendiri?” Dia cuba bermain dengan psikologi.
“Faiz tak akan buat apa yang papa dah buat. Faiz tak akan kecewakan isteri Faiz. Faiz tak akan abaikan anak-anak Faiz.” Itu tekadnya. Dia tak mahu anak-anaknya rasa apa yang dia rasa sekarang. Cukuplah dirinya sahaja. Dia mahu anak-anaknya cukup kasih sayang. Dia tak mahu isterinya makan hati seperti apa yang dialami oleh mamanya. Dia tak sanggup lihat wanita yang dicintai sepenuh hati mengalirkan air mata.
“Jadi Faiz anggap papa sengaja buat semua ini? Faiz salahkan mama juga sebab kahwin dengan papa walaupun mama tahu papa dah kahwin?” Faiz terkesima. Tak sampai ke tahap itu. Dia tak salahkan mamanya. Dia tak salahkan takdir yang menimpa mamanya. Itu bukan haknya.
“Nak, kalau dari dulu mama tahu hidup anak mama akan terseksa begini, mama rela membujang sampai ke tua. Tapi mama bukan Tuhan. Bukan juga ahli sihir yang dapat meramal masa depan. Mama manusia biasa. Ada perasaan ingin disayangi. Ingini punya keluarga bahagia. Ingin punya anak sebaik Faiz.” Sungguh dia tak ingin semua ini berlaku. Semuanya di luar kemampuannya. Bertemu dengan Abang Zainal dan jatuh cinta dan seterusnya membina mahligai bahagia, dia tak mampu menghalang.
Faiz terdiam. Dia dah buat mamanya sedih. Dia tak sengaja. Dia tak salahkan mamanya. Mama tak salah. Lelaki itu yang salah.
“Mama, Faiz minta maaf. Faiz tak ada niat nak buat mama tersinggung. Mama adalah mama yang terbaik buat Faiz.” Tubuh mamanya segera diraih ke dalam pelukan kasihnya. Dia sayang mamanya sangat-sangat. Rasa bersalah menyerbu sanubari.  
“Mama cuma inginkan yang terbaik buat Faiz. Jangan biarkan perasaan dendam tu menguasai diri. Apa pun yang papa dah lakukan, Faiz kena ingat. Papa lakukan demi kebaikan Faiz dan kita sekeluarga. Papa tu orang yang baik nak. Belajarlah untuk terima dia.” Air matanya merembes. Bukan senang untuk memadam rasa benci itu tapi dia tetap akan berusaha. Dia tak akan mengalah.
Faiz serba salah. Antara permintaan mama dan perasaan sendiri. Haruskah dia mengenepikan ego sendiri demi membuatkan mama gembira? Dia tak ada jawapan untuk itu.
 http://www.tiaratown.com/flowerLine.gif

Bab 37
Ika perasan akan riak wajah Faiz yang agak berlainan hari ini. Biasanya tak macam ni. Kali ini lelaki itu nampak tegang. Tiada senyuman seperti kebiasaannya. Apa dah jadi? Pening memikirkan hal mereka atau ada masalah lain?
“Kenapa tak makan?” Nasi goreng kampung yang dipesan Faiz masih tak terusik. Hanya dikuis-kuis. Takkan berdebar menunggu hari pertunangan sampai tak lalu makan macam ni? Dia pun berdebar juga tapi makan tetap makan. Mana boleh nak tahan lapar.
“Tak ada selera.” Jus tembikai dihirup perlahan. Ada perkara yang dia mahu Ika tahu. Biar apa pun tanggapan Ika, dia tak kisah. Yang penting Ika maklum mengenai itu sebelum melangkah masuk ke dalam keluarganya nanti.
“Abang ada benda nak cakap.” Kata ganti diri itu macam dah terbiasa diguna. Tak ada rasa kekok. Cuma Ika saja yang masih belum menggunakannya.
“Apa dia?” Mi bandung disua ke dalam mulut. Sedap sangat. Tak mampu nak tahan.
“Pasal keluarga abang.” Sekali lagi dia menghirup jus tembikainya. Nasi sudah ditolak ke tepi.
“Keluarga? Kenapa dengan keluarga awak?” Yang dia tahu, Faiz anak tunggal. Ada seorang mama dan seorang papa. Dia cuma pernah lihat mama Faiz. Papanya tak pernah pula lihat. Faiz pun tak pernah cerita dan dia pun tak ambil tahu. Setiap kali ditanya Faiz hanya jawab papanya sibuk. Selalu kerja luar daerah.
“Abang rasa Ika patut tahu sebelum kita berkahwin. Abang tak nak ada rahsia dan abang tak nak Ika rasa kekok nanti.” Ika sekadar mengangguk. Memang dia perlu tahu sedikit sebanyak mengenai bakal keluarga barunya.
“Sebenarnya, mama abang tu isteri kedua.” Faiz mula membongkar sedikit demi sedikit. Ika tak jadi menyuap mi ke dalam mulutnya. Matanya dibulatkan. Macam tak percaya pun ada.
“Dah lama. Mereka kahwin secara rahsia hampir tiga puluh tahun lepas. Sampai sekarang, keluarga isteri pertama papa abang tak tahu yang papa ada isteri kedua.” Makin bulat mata Ika. Cerita yang menarik. Lebih menarik daripada mi bandung yang sedang dimakannya. Dia meletakkan sudu dan garfu. Mahu mendengar cerita selanjutnya.
“Tak tahu? Habis tu selama ni, macam mana mama dan papa awak hidup? Tak adalah, maksud saya macam mana mama dan papa awak boleh simpan rahsia yang sebesar itu selama tiga puluh tahun?” Bukan satu jarak masa yang singkat. Dia tak dapat bayangkan bagaimana mereka sekeluarga harungi hidup selama ini.
“Kami tak macam keluarga lain. Papa jarang sangat balik rumah. Sebab tu abang tak rapat dengan dia. Abang cuma kesiankan mama. Abang tahu dia terseksa. Ya lah, mama tak macam isteri-isteri lain. Waktunya dengan papa terbatas.” Timbul simpati di hatinya. Melihat wajah Mak Cik Sofia, dia langsung tak dapat merasa yang wanita itu sebenarnya sedang menanggung derita. Wajah itu tenang dan ceria. Tabahnya dia.
“Habis sekarang macam mana? Sama juga?” Ika semakin ingin tahu. Serius mukanya.
“Dari dulu sampai sekarang, keadaannya sama saja. Kalau waktu abang kecil dulu, dalam sebulan adalah sekali atau dua kali dia balik. Itu pun sekejap. Sekarang ni lagi payah. Yang ada cuma pemandu dia yang selalu hantar barang dapur.” Faiz tak berniat nak rahsiakan apa-apa. Alang-alang buka cerita, biar jelas semuanya. Kalau dirahsiakan pun, lambat laun Ika akan tahu juga.
“Kesian mak cik.” Itu saja yang terluah di bibirnya.
“Minggu lepas dia ada balik. Terkejut juga abang. Dah bertahun abang tak jumpa dia. Mamalah yang paling gembira. Mama ada ajak dia pergi rumah Ika, tapi…” Kata-kata Faiz terhenti di situ. Dia tak mahu berprasangka buruk. Dia ingat pesan ibunya. Semua yang papa lakukan bersebab. Sebab apa, dia tak pasti.
“Tak apa. Saya faham. Lagipun, majlis tu dah lepas.” Pujuk Ika. Dia tak mahu Faiz rasa bersalah. Bukan salah Faiz pun.
“Dia memang lebihkan keluarga sebelah sana. Kami ini cuma menumpang saja. Tapi abang tak kisah. Dia ada ke, tak ada ke sama saja. Selama ni pun, mama yang jaga abang.” Hatinya rasa sedikit lega bila dia ceritakan semua itu. Dia harap hati Ika tak berubah bila dengar cerita itu. Maklumlah, keluarganya tak sempurna seperti keluarga Ika. Ada ibu, abah, kakak dan adik. Lengkap. Dia cuma ada mama.
“Awak sabarlah. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Mungkin ada sebab papa awak buat macam tu. Saya yakin, dia seorang suami dan papa yang baik. Kalau tak, takkan setiap bulan dia hantar barang dapur. Dia cuma tak berkesempatan nak buat semua itu sendiri. Awak sabar ya?” Dia harap kata-katanya akan meredakan sedikit kekecewaan hati Faiz. Dia tak pandai bagi nasihat, tapi dia cuba apa yang termampu.
“Mama pun selalu cakap macam tu. Memang sesuai betul Ika jadi menantu mama. Sekepala.” Usik Faiz. Ika tersipu. Bila masa pula dia jadi menantu? Tunang pun belum. Lambat lagilah Encik Faiz oi.
“Dahlah. Awak makan sikit. Ada beberapa barang lagi yang kita perlu beli.” Sudu dan garfu dicapai semula. Mi bandung yang tinggal sedikit dihabiskan.
“Sayang tak kisah kalau kerluarga abang macam tu?” Nasib baik tak tersembur minuman yang baru hendak masuk ke mulutnya.
“Tak ada manusia yang sempurna Faiz. Saya pun tak sempurna. Awak pun tahu macam mana saya sebelum ni kan? Saya terima awak sebagaimana awak terima saya.” Itu bukan sebab yang kukuh untuk dia menolak cinta Faiz. Memang betul dia masih mencuba untuk menerima lelaki itu tapi perkara yang baru dibangkitkan oleh lelaki itu tak meruntuhkan keyakinan yang sedang dibina.
“Terima kasih sayang. Abang betul-betul minta maaf sebab tak bagitahu hal ini dari awal. Abang sebenarnya tak suka nak bangkitkan hal ini tapi demi masa depan kita, abang terpaksa.” Faiz baru mampu tersenyum. Betapa beruntung dirinya kerana memiliki wanita sebaik ini. Dia tak akan lepaskan.
“Saya yang sepatutnya berterima kasih. Faiz, andai satu hari nanti saya kembali menjadi Siti Zulaikha yang dulu, maksud saya…” Tiba-tiba saja terdetik di hatinya untuk bertanyakan hal itu.
“Abang tak kisah macam mana pun rupa Ika. Abang kenal Ika pun sebelum Ika menjadi Ika yang sekarang ini. Kecantikan itu perkara kedua bagi abang. Yang penting hati. Abang cintakan semuanya mengenai Ika. Bukan kecantikan semata.” Seakan dapat mengagak apa ayat seterusnya yang akan keluar dari bibir itu. Faiz mahu jantung hatinya tahu yang dia betul-betul ikhlas menerimanya.
Ika diam. Dia dapat rasakan keikhlasan hati Faiz. Tak perlu disangsikan lagi. Tapi hatinya? Dia juga mahukan keikhlasan hati yang dimiliki oleh lelaki ini. Dia juga mahu rasa cinta yang dimiliki oleh lelaki ini.
“Abang teringin nak dengar sayang panggil abang, ‘abang’.” Ika serba-salah. Renungan mata Faiz buat hatinya gelisah. Dia masih belum bersedia. Lagipun, dia malu.
“Insya Allah.” Itu sahaja yang dia dapat janjikan.
Faiz sedikit hampa tapi tak apalah. Wanita manis di hadapannya ini hampir menjadi miliknya. Dia tak perlu risau lagi. Terbayang di matanya sebuah keluarga bahagia yang bakal terbina kelak. Hasil rasa cinta mereka berdua. Harapannya agar Tuhan makbulkan segala doanya.
>> 
Ika meletakkan semula kalendar ke atas meja. Seminggu telah berlalu. Masih berbaki tiga minggu lagi sebelum hari pertunangannya. Dia akui yang dia teruja tapi di sudut kecil hatinya dia rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Dia tak tahu kenapa.
Malam ini lenanya terganggu lagi. Sudah menghampiri pukul dua pagi tapi matanya masih segar. Dia bingung memikirkan hatinya. Sekejap kata cinta, sekejap kata tidak pasti. Apa lagi yang dia mahukan? Dia benar-benar bingung.
Adakah ini perasaan biasa yang dilalui oleh semua wanita yang bakal bergelar tunangan atau isteri orang? Dia tiada jawapan. Tak ada siapa yang dapat membantunya dalam hal ini. Dia tak berniat nak berkongsi rahsia hatinya dengan sesiapa pun. Tidak dengan ibunya dan juga tidak kepada Syarifah. Biar dia simpan sendiri.
“Abang cintakan semuanya mengenai Ika. Bukan kecantikan semata.”
Dia makin resah. Kenapa dia tidak punya rasa cinta yang sebegitu terhadap Faiz? Puas dia cuba. Lelaki itu tak ada cacat celanya. Rupa ada, budi bahasa ada, baik. Tapi kenapa dia tak dapat mencintai lelaki itu sepenuh hatinya? Ika bangkit. Langkah diatur ke meja kerjanya. Laci meja ditarik. Buku nota kecil miliknya dikeluarkan.
Dia belek satu persatu. Dua muka surat dari belakang. Ada kesan koyakan di situ. Dia mengeluh kecil. Peristiwa dua minggu lepas bermain di mindanya. Helaian itu sudah dikoyaknya. Dicampak ke dalam tong sampah. Dicampak sekali perasaannya ke dalam itu. Dia mahu lupakan segalanya. Segalanya mengenai lelaki yang telah membenihkan cinta buat pertama kali di hatinya.
Kerusi ditarik. Dia melabuhkan duduk. Pen berwarna biru dicapai. Dia mencoret sesuatu di atas kertas. Faiz. Siti zulaikha. Lama dia memandang tulisannya. Kenapa tiada getar sepertimana sewaktu dia menulis nama lelaki yang seorang itu? Ah, dia terlalu mengikut perasaan.
Sekali lagi dia mencuba. Kali ini dilukis juga bentuk hati. Namanya dan nama Faiz berada di dalamnya. Dia cuba hadirkan perasaan cinta. Segala kebaikan lelaki itu cuba diingati. Tapi sekali lagi dia gagal. Wajah disembam ke atas meja. Apa yang perlu dia buat lagi?
Muka surat itu turut dikoyak. Dicampak ke dalam tong sampah. Dia tak rasa sedih. Tak seperti semasa dia mencampakkan kertas yang tercoret nama Khairul Hilmi dulu. Apa sudah jadi dengan dirinya? Kenapa lelaki yang membenci dirinya separuh mati itu juga yang dia ingat? Kenapa bukan lelaki yang mencintainya sepenuh jiwa?
Sekali lagi dia tewas. Air mata meluncur laju menuruni pipinya. Dia tak kuat nak melawan rasa cinta yang hadir sejak lama dulu. Benar, dia sudah tekad untuk melupakan cinta lelaki itu. Tapi dia juga manusia biasa. Tak kuat untuk melawan semuanya.


 http://www.tiaratown.com/flowerLine.gif




Bab 38
Berat rasa kakinya hendak melangkah pergi meninggalkan anak kecil yang masih tak mengerti apa-apa itu. Bertalu-talu ciuman dihadiahkan buat si putera. Baik sungguh si kecil ini. Langsung tak meragam. Sama macam mamanya. Tak banyak karenah. Hilmi segera melepaskan anaknya. Mengingatkan arwah isterinya hanya membuatkan hatinya makin berat untuk meninggalkan anak ini.
“Mama jaga anak Mi baik-baik ya ma. Kalau ada apa-apa masalah, cepat-cepat telefon Mi.” Tangan kecil itu dikucup lagi. Sungguh dia berat hati tapi demi kebaikan anak kecil itu dia terpaksa merelakannya.
“Jangan bimbang. Ini cucu mama juga. Bukannya orang lain. Sebagaimana mama besarkan Mi dulu, macam tu jugalah mama akan jaga cucu mama.” Muhammad Khairul Ilham yang berada di pangkuannya sedang nyenyak tidur. Elok juga dia yang menjaga si kecil ini. Tak adalah bosan sangat hari-harinya.
“Mi balik dulu ya mama, papa. Hujung minggu ni Mi balik sini.” Dia menyalami kedua-duanya. Pipi anak kecil dikucup sekali lagi.
“Papa balik dulu ya sayang. Ilham duduk dengan nenek. Hujung minggu ni papa datang jenguk Ilham lagi. Jangan susahkan nenek ya sayang.” Dia segera berpaling ke belakang. Tak mahu mama dan papa perasan akan air jernih yang bergenang di kolam matanya.
“Hati-hati bawa kereta tu. Sampai nanti, telefon kami.” Pesan papanya. Hilmi sekadar mengangguk. Pintu kereta ditutup. Anak kecil yang berada di pangkuan mamanya dipandang lagi.
‘Papa loves you.’ Pedal minyak ditekan. Sebak hatinya. Rumah itu bakal kosong lagi. Tinggal dia sendirian. Tiada lagi hilai tawa Nur Jannah. Tiada lagi tangisan anak kecil. Dia sendirian. Kuatkah dia?
“Masa akan merawat segalanya. Mi perlu kuat. Fikirkan mengenai anak Mi ni.”
Ya, dia harap masa akan merawat segalanya. Dia harap masa supaya cepat berlalu. Membawa bersama kesedihan dan kekecewaan yang bersarang di hatinya kala ini. Dia tak sanggup lagi.
>> 
Hilmi meraup muka dengan sebelah tangannya. Tangan ditadah memohon doa. Tenang sedikit hatinya. Doanya agar arwah isterinya tenang di alam sana dan ditempatkan bersama dengan orang-orang beriman. Dia juga berdoa agar diberikan kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang.
Dia berteleku seketika di situ. Malam semakin larut. Perutnya berkeroncong tapi dia tiada selera untuk makan. Sejadah dilipat. Badannya sudah letih. Kopiah putih ditanggalkan. Lampu bilik dimatikan. Badan direbahkan ke katil. Semoga hari esok hatinya makin kuat.
Di sebuah bilik lain, Ika masih lagi duduk di atas sejadahnya. Alunan ayat-ayat suci Al-Quran meniti bibirnya. Tenang sedikit hatinya. Hilang segala gundah yang bersarang di hati. Minda pun terasa kosong. Khusyuk dia di situ.
Kitab suci ditutup perlahan. Dikucup lembut. Disimpan kembali ke tempatnya. Telekung putih masih lagi setia membaluti tubuhnya. Ika duduk di bucu katil. Termenung kosong. Dia mencari petunjuk. Petunjuk untuk memilih masa depannya. Ada dua persimpangan di hadapannya. Ke mana dia harus tuju?
Ika tak tahu. Dia merebahkan badan ke katil. Dia tak mahu tersilap langkah. Ini  masa depannya. Tak mahu hanya bahagia separuh jalan. Tapi jalan mana yang akan membawanya ke alam bahagia yang berpanjangan? Dia tak tahu. Sudahnya, dia terlelap menantikan jawapan. Semoga ada petunjuk dalam mimpinya.
>> 
Macam nak pecah gegendang telinganya saat Syarifah menjerit kegembiraan apabila diberitahu yang dia bakal menjadi tunangan orang. Tak padan dengan diri yang tengah berpantang. Main redah saja minah ni.
“Gembiranya aku. Tapi sampai hati kau tak tunggu aku. Nak juga buat waktu aku tengah berpantang ni.” Syarifah sekadar mengusik. Dia tak kisah sebenarnya. Asalkan kawannya itu bahagia. Lagi cepat lagi bagus.
“Bukan aku yang buat keputusan. Ikut cakap orang tua saja. Mereka dah sepakat nak buat bulan depan. Aku tak sanggup nak bantah. Biarlah.” Dia membelek cenderahati yang dipilih olehnya dan Faiz beberapa hari lepas. Faiz suka warna merah. Jadi dia ikutkan saja.
“Tak apalah. Mana-mana pun sama saja. Yang penting kau happy dan mereka pun happy.” Senyum tak lekang di bibirnya. Walaupun ada rahsia yang disimpan, dia harap Ika dapat maafkannya. Dia buat semua itu demi kebahagiaan Ika.
“Kau bila nak balik sini? Aku dah rindu ni. Geram nak tengok si comel tu.” Terbayang wajah comel anak Syarifah. Putih macam mama dan papanya.
“Aku kalau boleh sekarang pun nak balik ke sana. Kau tahulah, laki aku kat sana. Kesian kat dia. Bukannya dia biasa buat kerja rumah. Entah makan ke tidak. Mesti dah bersepah-sepah rumah tu dikerjakannya.” Pening memikirkan perihal suaminya. Tapi dah sayang, nak buat macam mana.
“Biasalah lelaki. Pandai-pandailah dia tu nanti.”
“Tengoklah dulu macam mana. Mungkin aku duduk seminggu dua lagi di sini. Mak aku tu bukannya nak lepaskan aku berpantang sendiri. Tak percayakan aku. Aku rasa nanti aku angkut aje mak aku pergi sana. Senang sikit. Dia boleh jaga aku, aku pun boleh jaga laki aku.” Ketawa kedua-duanya meletus. Sayang sungguh Syarifah dengan Anas. Teringin sangat dia nak tahu macam mana si Anas tu melamar Syarifah. Mesti lawak.
“Oklah, aku tak nak ganggu kau. Mesti penat. Nanti aku telefon lagi. Kau pun, kalau dah balik sini, bagitahu aku. Boleh aku pergi melawat.” Tak berniat nak mengganggu kawannya. Sekadar mahu memberitahu berita gembira itu.
“Ok. Nanti bolehlah kau bawa tunang kau sekali. Boleh aku kenal. Nak tengok, sesuai ke tak.” Ketawa masih kedengaran. Memanglah itu Syarifah. Ceria betul hidupnya.
“Insya Allah.”
Talian diputuskan. Ika kembali membelek bunga-bunga telur yang berwarna merah itu. Cenderahati buat tetamu yang datang. Semakin dekat hari yang ditunggu, semakin runsing kepalanya. Betul ke keputusan yang dibuat?
Cepat-cepat kesangsian itu dihalau jauh. Dia tak mahu terlalu memikirkannya. Dia tak mahu bikin kecoh. Ibu dan abah dah canang pada saudara-mara. Persiapan pun dah dibuat. Nanti kalau dia buat perangai, malu ibu dan abah. Tak mahulah. Dia rela berkorban. Semoga nanti segala kegusarannya akan terhapus.


 http://3.bp.blogspot.com/-T-hN9zeHYr8/TfN7SAMliiI/AAAAAAAAACM/CEgE6D1hYC8/s1600/Thanks%2Bfor%2Breading%2521.jpg


6 comments:

  1. Harap ika akn trus dgn faiz.kalo balik pada helmi rasanya makin teruk dendam faiz

    ReplyDelete
  2. hehehe...terima kasih anaitekureru n ryia...nntikan bab2 seterusnya ya!!

    ReplyDelete
  3. teringin nak tahu macam mana anas melamar syarifah..cerita dorang mesti lagi sweet...saya tertarik dengan cerita anas dgn syarifah je...tp yang lain pun best jgak..

    ReplyDelete
  4. teringin nak tahu pasal syarifah dengan anas mesti lawak..sejak start baca cite ni..tertarik dengan dorang berdua aje;

    ReplyDelete
  5. tq syasha kerana sudi mmbaca...hehehe...

    ReplyDelete