Showing posts with label tAnyA sAmA hATi. Show all posts
Showing posts with label tAnyA sAmA hATi. Show all posts

2014-05-22

Tanya sama hati finale




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEglXb4-mRvxI3_5ALE1i5Qryr0oKQ370djrQFV9utFoNg5IbmR_4Y0a5l60isAzapcUSyaw7KGWiwHJ7kil_UZiSW4jvWZ4gD6oDS1BLrTCTtI-FrXVEaEA_Mtgb5u96olqmiTZTPPkL3Dz/s1600/bismillah-rumi.JPG 

 assalamualaikum dan salah sejahtera...wehuuuuuuu....mesti ramai yg rasa "fuh..akhirnya...reti pun dia ni nk up bab akhir.." muehehe..ke den je yg perasan? kihkihkih.....so setelah sekian lama tergendala...smpailah masanya utk bab akhir e-novel Tanya Sama Hati.... apelahhhhhhhh ending minah ni buat???jom sama2 kite baca....
layanzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz....
 




Bab 68 (Finale 1)
Siti Zulaikha memandang cermin. Lama. Senyum diukir. Di hatinya saat ini tiada perasaan gundah. Tiada perasaan yang bercampur-baur. Hanya perasaan tenang dirasakan. Rasa bahagia. Betapa agungnya kuasa Allah. Dia yang menghadirkan perasaan ini dan Dia jugalah yang mengatur segala-galanya dengan sempurna.
“Dah sedia?” tanya Puan Siti. Tangannya memegang kejap bahu puterinya. Syukurlah. Ika mengangguk. Bibirnya masih tersenyum manis.
“Cantik anak ibu. Ibu bersyukur sangat.”
“Ibu, tok kadi dah panggil tu. Achik, jom keluar.” Ika dipimpin lembut oleh Alongnya. Matanya melirik pada tetamu yang memenuhi ruang rumah. Dia melabuhkan simpuh di tempat yang disediakan.
Ika pantas menunduk pandang apabila pandangan matanya bertemu dengan mata bakal suaminya. Ya. Hari ini adalah hari pernikahannya. Dengan siapa? Sesungguhnya Allah itu Maha pengasih dan penyayang. Maha mengetahui segala-galanya. Terlalu sempurna aturan-Nya. Jodoh yang tak mampu untuk dia tolak.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, semua pun nampak ceria hari ni. Pengantin lelaki pun nampak macam dah tak sabar nak salam tangan ayah mertua ni.” Seloroh Haji Abdul Rahman. Pengantin lelaki menunduk dalam senyum. Debaran di dada semakin terasa tapi cuba dikawal sebaik mungkin.
“Nampak macam dah semua dah sedia. Tak perlulah kita tangguhkan perkara yang baik ni ya. Pengantin perempuan dah sedia ya?” Ika mengangguk. Tangan ibunya digenggam kemas. Syarifah di belakang menyentuh bahu Ika lembut. Belum apa-apa, air matanya dah bergenang. Sungguh dia terharu dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
Haji Khalid kelihatan mengangguk tanda faham apabila diberitahu beberapa perkara oleh juru nikah. Bukan tugas yang mudah tetapi sebagai bapa, ini adalah tanggungjawabnya.
“Bismillahirrahmanirrahim.” Haji Khalid menggenggam kemas tangan bakal menantunya yang terasa sejuk. Senyum diukir, mengurangkan sedikit kegusaran di hati pengantin lelaki.
“Nik Muhammad Yusuf Bin Nik Mustafa, aku nikahkan dikau dengan anakku Siti Zulaikha Binti Khalid dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.” Lancar lafaz akad disebut Haji Khalid.
“Aku terima nikahnya Siti Zulaikha Binti Khalid dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.” Lancar juga dari pihak pengantin lelaki.
“Sah!” Saksi-saksi sudah menjawab. Alhamdulillah.
Ika menutup matanya. Setitis air mata gugur. Tenang. cukup tenang dirasakannya. Syukur Ya Allah. Kau telah kurniakan lelaki yang terbaik buatku. Kau tetapkanlah hatiku untuk terus mencintai dia suamiku. Kau limpahkanlah kebahagiaan buat kami. Kau redhailah perhubungan ini hingga ke akhir hayat kami.
Ya. Yusuf pilihannya. Yusuf lelaki yang telah ditakdirkan Allah untuknya. Yusuf telah membuka hatinya untuk terus mengikat janji dengan pernikahan. Dan kini lelaki itu telah sah menjadi suaminya. Dia sudah jadi milik Yusuf. Kenapa dan bagaimana?
Semuanya bermula selepas dua minggu mereka pulang daripada mengerjakan umrah. Keluarga Yusuf datang menghantar rombongan meminang. Sungguh dia terkesima. Tercengang dan bingung seketika. Yusuf tak pernah menunjukkan apa-apa tanda sepanjang dua minggu mereka berada di tanah suci. Hajah Yam juga. Katanya Yusuf sudah punya kekasih.
Ika minta diberikan waktu. Tujuh hari berturut-turut dia lakukan istikharah. Tujuh hari itu jugalah dia berfikir sedalamnya. Apa yang dia rasakan waktu itu adalah ketenangan. Mengingati Yusuf buat dia rasa tenang. Mungkin ini petunjuk daripada Allah. Mungkin lelaki ini adalah jodohnya. Lelaki yang dua kali muncul di hadapannya ketika dia berdoa di Jabal Rahmah. Lelaki yang muncul ketika dia berdoa di hadapan Kaabah. Kelibat lelaki itu juga yang dilihat selepas berdoa di Raudhah.
Waktu itu, dia langsung tak terfikirkan apa-apa. Tambahan pula dengan sikap Yusuf yang tak banyak bercakap. Makan semeja pun tak pernah. Nak senyum pun susah. Tapi itulah uniknya jodoh pilihan Allah. Kadang-kadang ia hanya ada di depan mata. Cuma kita saja yang tak tahu dan tak perasan.
“Achik, salam tangan suami tu.” Ika menyambut huluran tangan Yusuf. Mengucup mesra tangan suaminya. Sungguh dia rasa bahagia. Melihat senyum Yusuf buat pertama kali kepadanya, membuatkan rasa cinta untuk suami bertambah mekar. Terima kasih, suamiku.
Genggaman tangan suaminya dieratkan. Tetamu yang hadir disapa mesra. Ternyata suaminya sangat ramah dan murah dengan senyuman. Suka Ika lihat Yusuf melayan tetamu. Walaupun tak kenal tapi tetap dilayan mesra. Lain benar dengan Yusuf yang dia kenal sewaktu mengerjakan umrah dulu. Makin kuat keinginannya untuk mengenali dengan lebih dekat lelaki bernama Yusuf ini.
“Tahniah Ika.” Ika berpaling ke belakang. Serta-merta senyum manisnya berubah kelat. Air liur juga rasa susah untuk ditelan. Tapi demi menjaga hati tetamu yang datang dari jauh, senyum diukir semanis mungkin.
“Terima kasih mak cik.” Tubuh Puan Sofea dipeluk mesra. Memang ada sisa-sisa rasa bersalah di hatinya tapi semuanya sudah jadi sejarah. Tak perlu dikenang lagi perkara yang pahit.
“Terima kasih sebab sudi datang. Mak cik dah makan ke?” Puan Sofea mengangguk. Saat dihulurkan kad undangan beberapa minggu lepas, Puan Sofea menitiskan air mata. Mulanya, Ika pun teragak-agak untuk menjemput mereka sekeluarga tetapi atas nasihat ibu, Ika gagahkan diri.
“Mana suami Ika?”
“Ermm…” Ika mencari-cari kelibat suaminya. Eh, mana pula perginya. Tadi ada di sebelah.
“Tadi ada. Oh, kat sana. Mak cik duduk dulu ya. Saya pergi panggil dia sekejap.” Ika tak jadi nak melangkah bila tangannya pantas ditarik oleh Puan Sofea. Ika pandang Puan Sofea.
“Tak apalah Ika. Mak cik pun tak boleh lama kat sini. Pak cik ada urusan lain lagi petang ni. Mak cik cuma nak sampaikan hadiah daripada Faiz. Minta maaf, dia tak dapat datang.” Kotak sederhana besar berbalut kertas bercorak hati itu bertukar tangan. Ika diam tak berkutik.
“Mak cik tahu Faiz sedih. Tapi mak cik yakin Faiz kuat. Ika tak perlu risaukan dia.” Puan Sofea mengetap bibir, menahan sebak di dada. Berhadapan engan Ika membuatkan dia pantas teringatkan Faiz yang sudah terbang ke London. Katanya atas urusan kerja tapi Puan Sofea tahu Faiz mahu mengubat hati.
“Ika minta maaf mak cik. Faiz layak untuk dapat wanita yang lebih baik daripada Ika. Ika akan sentiasa doakan dia.” Apa lagi yang boleh dia ucapkan. Biarlah apa pun yang terjadi di antara mereka. Ika harap ikatan persahabatan ini tak akan putus.
“Mak cik balik dulu. Senang-senang nanti, datanglah rumah mak cik. Teringin juga mak cik nak kenal jejaka yang dah berjaya miliki hati Ika ni.” Puan Sofea ukir senyum seraya memeluk tubuh Ika. Bukan rezekinya untuk bermenantukan Ika. Dia pasrah.
>> 
Ika memandang kosong ke arah dua bungkusan yang berada di atas katilnya. Hadiah yang berbalut cantik. Satu daripada Faiz dan satu lagi daripada Hilmi. Ika mengeluh lemah. Entah apalah perasaan mereka berdua saat membeli hadiah ini. Ika meraup mukanya.
“Selamat pengantin baru, Ika.” Satu ayat yang sepatutnya disambut dengan senyuman, tapi dia tak mampu untuk berbuat demikian. Berdiri di hadapannya kini adalah Hilmi. Lelaki itu datang agak lewat.
“Terima kasih. Awak datang sorang je?” Huluran hadiah daripada Hilmi disambut. Mana Zaza? Si kecil Ilham?
“Ya. Mereka tak tahu pun saya nak datang sini. Mulanya, memang saya tak bercadang nak datang. Tapi bila difikirkan balik, tak salah kalau saya datang untuk meraikan hari bahagia Ika.” Mendatar saja suaranya. Senyum pun kelat.
“Terima kasih. Kebetulan suami saya baru aje masuk. Dia nak solat.”
“Tak apa. Saya pun dah nak balik ni.” Melihat Ika dalam persalinan pengantin begini buat hatinya sedikit sebak. Ternyata perasaannya terhadap Ika masih bersisa. Tak semudah itu untuk dia lupa.
Ika tak mampu menghalang. Dia juga tak betah untuk terus menatap wajah Hilmi. Terlalu lama untuk dia melupakan cintanya terhadap Hilmi. Terlalu sakit rasanya bila melihat Hilmi berdampingan dengan wanita lain. Tapi sekarang Ika sedar yang semua itu sudah tiada maknanya lagi. Yusuf adalah masa depannya. Yusuf adalah lelaki yang halal untuk dicintainya.
Kotak sederhana besar pemberian Faiz dicapai. Perlahan-lahan pembalutnya dibuka. Ika mengeluarkan isi kotak. Sebuah album. Dibelek helaian pertama. Hampir menitis air matanya. Gambar semasa hari pertunangan mereka. Hanya gambar itu yang ada. Sekeping surat turut disertakan bersama.
Surat itu segera ditutup. Tak mampu lagi untuk dibaca. Dia tewas lagi dengan air mata. Ika dapat rasa yang hati Faiz betul-betul terluka dengan apa yang sudah berlaku. Maafkan Ika, Faiz. Maafkan Ika.
“Kenangan indah bersama wanita bernama Siti Zulaikha takkan Faiz lupakan sampai bila-bila. Faiz doakan Ika bahagia dan doakan kebahagiaan Faiz juga walaupun rasa bahagia itu tak mungkin akan pernah sama bila Ika ada di sisi.”
Ini yang terbaik buat kita Faiz. Terbaik buat semua. Demi menjaga hati Faiz, hati Hilmi, dan hati keluarga kita, Ika terpaksa ambil keputusan ini. Ia tak semudah yang Faiz sangka. Ika akan sentiasa doakan yang terbaik buat Faiz. Pasti Allah sudah sediakan seorang bidadari buat Faiz. InshaaAllah, satu hari nanti Faiz akan menemuinya.
Ika segera mengesat air matanya apabila mendengar ketukan di pintu. Pasti suaminya dah balik dari surau. Surat dan album segera dimasukkan semula ke dalam kotak dan disorokkan ke bawah katil. Bukan masanya untuk Yusuf lihat semua ni. Penampilan dirapikan. Ika segera melangkah ke pintu bilik yang sudah dibuka dari luar.
“Assalamualaikum,” sapa Yusuf dengan senyum manis terpamer di wajah.
“Waalaikumussalam.” Ika membalas senyuman Yusuf. Di hadapannya kini berdiri seorang lelaki bergelar suami. Lelaki yang wajib dicintainya. Lelaki yang dia akan setia selamanya.
‘Ya Allah, kurniakanlah rasa cinta yang mendalam di hatiku buat suamiku sepertimana Kau kurniakan rasa cinta yang agung di hati Zulaikha buat Nabi Yusuf.’


Bab 68 (Finale 2)
Setahun berlalu…. Fukuoka, Jepun.
Terkedek-kedek si kecil Zarra berlari. Dia mengutip bunga sakura yang berguguran di taman. Sekarang musim bunga. Bunga-bunga sakura sedang mekar berkembang. Tapi sayangnya bunga-bunga ini tak kekal lama. Sekejap sahaja sudah gugur ke bumi. Tapi pemandangan pada waktu ini sangat cantik. Bunga-bunga sakura yang berkembang menghiasi sepanjang jalan dan taman-taman. Sangat cantik dan mendamaikan. Seperti gula-gula kapas bersaiz besar!
Ika mengukir senyum. Damai terasa hatinya. Sesekali keletah Zarra mencuit hatinya. Ika menadah tangannya. Beberapa kuntum bunga sakura gugur ke tangannya. Kali pertama dia merasai musim bunga di negara matahari terbit ini. Kenapa dia di sini? Melarikan diri? Mungkin tidak. Dah hampir tiga bulan dia di sini. Menuntut ilmu dunia yang tak akan pernah habis.
“Zarra, come here sayang.” Terkedek-kedek si kecil itu menghampiri mamanya. Bunga-bunga sakura yang dikutip masih penuh di tangan. Dia melempar senyum seraya menghulurkan bunga sakura yang penuh di tangan kecilnya kepada mamanya.
“Oh, thank you sayang.” Ciuman dihadiahkan ke pipi gebu si anak tunggal.
“Untuk aunty tak ada ke sayang?” Ika buat muka merajuk. Zarra hulur sebelah lagi tangannya. Ika pantas ukir senyum lebar. Jika anak-anak saudaranya ada di sini, pasti mereka juga akan gembira mengutip bunga-bunga sakura ini seperti Zarra. Aduh, rindunya!
“Ika, dah lewat ni. Kita balik jom.” Kak Nurul, rakan baharu yang ditemui di sini. Kak Nurul pun sama sepertinya, datang ke sini sebagai seorang pelajar. Tapi kak Nurul sudah berada di tahun akhir. Suaminya juga sama. Beruntung kak Nurul. Kehidupannya lengkap. Punya suami, punya anak, punya pelajaran yang tinggi. Dia cemburu.
“Jomlah kak. Kesian Zarra. Penat ya sayang?” Pipi mulus itu dicubit geram. Zarra lahir di sini. Muka pun dah macam anak orang jepun. Kulitnya halus sangat. Teringat dekat Amni.
“Mana tahu penat budak ni. Kalau duduk sini sampai malam pun dia boleh.” Zarra didukung oleh Kak Nurul. Mereka beriringan berjalan keluar dari Maizuru Park. Masih ramai penduduk dan pelancong yang bersiar-siar di taman ini yang memang terkenal bagi menikmati keindahan bunga sakura.
“Minggu depan, akak dengan abang Lan nak pergi Nagasaki. Nak lawat kawan kami kat sana. Ika nak ikut?”
“Wow, macam best aje. Tapi rasanya tak bolehlah kak. Ika dah janji dengan Michiko.” Ika sedikit hampa. Bukan senang nak dapat pergi jalan-jalan. Dah alang-alang kat tempat orang ni, rugi kalau tak kutip pengalaman.
>> 
Bila bersendirian begini, mulalah otak melayang mengingatkan perkara-perkara lepas. Ika melepaskan keluhan kecil. Baru masuk tiga bulan dia di sini, tapi rasa rindu kat kampung dah membuak-buak. Sabar sajalah. Inilah cabaran dan pengorbanan yang perlu ditempuh demi mencari ilmu.
Ika merenung bintang di langit. Kerlipan bintang belum mampu untuk menceriakan hatinya. Memang dia ambil keputusan untuk terbang ke sini bagi menyambung pelajaran. Semuanya kerana segala yang telah berlaku ke atas dirinya. Dia perlukan ruang. Bila di sana, kemungkinan untuk bertemu mata dengan Faiz mahupun Hilmi tetap ada walaupun tak dirancang. Sebab itu dia ambil langkah untuk ke sini. Ke bumi asing yang tak pernah dijejaki.
Memang berat hatinya untuk pergi meninggalkan tanah air untuk kesekian kalinya. Tapi biarlah keadaan kembali seperti sediakala. Dia yakin, waktu mampu mengubati. Tempoh pengajian selama tiga tahun mungkin tak mampu untuk dia melupakan segala-galanya tapi cukuplah untuk membuat keadaan kembali tenang.
Sebulan sebelum dia terbang ke sini, ada sesuatu yang tak dijangka berlaku. Ada rombongan yang datang meminang dirinya. Kelu lidah waktu itu. Ibu dan abah juga sama. Mujurlah dia punya alasan yang kukuh untuk menolak. Baginya, jika ada jodoh antara mereka, adalah. Jika si lelaki betul-betul mahukan dirinya, tempoh tiga tahun bukan satu halangan yang besar.
Daripada siapa? Ika tarik nafas sedalamnya. Mata dipejam. Samar-samar kelihatan bayangan wajah jejaka itu. Langsung tak disangka. Mereka hanya berjumpa seketika. Entah bila jejaka itu jatuh hati  padanya. Bercakap pun hanya sepatah dua. Bibir mengulum senyum. Jejaka itu adalah Nik Muhammad Yusuf Bin Nik Mustafa. Ya, Yusuf. Jejaka sama yang ditemuinya sewaktu melakukan ibadah umrah.
Walaupun dia terpaksa mengecewakan lelaki sebaik Yusuf, tapi dia yakin Yusuf faham keadaannya. Mungkin Yusuf akan berjumpa dengan wanita yang lebih baik. Yusuf masih muda, punya pekerjaan yang bagus. Rupa paras tiada cacat celanya. Pedih di hatinya dengan kejadian yang berlaku masih belum sembuh. Kadang-kadang rasa fobia. Tak mampu untuk memberi sebarang komitmen dalam perhubungan.
Sejak setahun lalu juga dia dah tak dengar cerita pasal Faiz mahupun Hilmi. Entah apa khabar mereka semua. Ya, sejujurnya sehingga sekarang perasaan bersalah masih menghimpit jiwa tapi dia tak berdaya nak memuaskan hati orang lain sedangkan hatinya terseksa. Ika betul-betul berdoa agar kedua-dua lelaki budiman itu bertemu dengan wanita yang betul-betul mampu memberi kebahagiaan kepada mereka. Wanita yang mampu mencintai mereka dengan sepenuh hati. Wanita yang tetap setia berada di samping mereka sewaktu susah mahupun senang. Ika akan sentiasa doakan. Sentiasa.
>> 
Terkedek-kedek Ilham berjalan mendapatkan bola yang dibaling oleh ibu saudaranya. Galak dia ketawa bila tubuh kecilnya dicempung oleh ibu saudara yang sememangnya kuat menyakat. Mana taknya, ini aje satu-satunya anak saudara yang dia ada. Nak tunggu anak sendiri lambat lagi.
“Dah-dahlah tu Zaza. Dah nak senja ni. Tak elok Ilham tu senja-senja kat luar. Masuk mandi. Nanti papa dia balik.” Puan Zalina geleng kepala. Kalau dah bermain tu, tak ingat waktu.
“Ok, Ilham. Puan besar dah bersuara. Baik kita masuk sebelum kena tarik telinga.” Tubuh si kecil di bawa masuk ke dalam rumah. Sebaik tiba di muka pintu, kereta milik abangnya meluncur masuk ke garaj. Serentak dengan itu, Ilham menjerit kegembiraan. Tahu aje papanya dah balik. Bukan main suka lagi.
Hilmi keluar dari kereta dengan senyuman. Mendengar sahaja suara Ilham sudah cukup untuk buat otaknya yang berserabut kembali tenang. Letih pun dah tak terasa. Wajah kesayangannya itu sering buat hatinya sejuk.
‘Hei, anak papa tak mandi lagi ke? Tunggu papa ya? Jom kita mandi sama-sama ya?” Tubuh kecil itu bertukar tangan. Menjerit-jerit Ilham bila diusik oleh papanya.
“Sudahlah tu. Pergi mandi. Ilham, nanti tolong cukur sekali jambang papa awak tu ya.” Sempat lagi Puan Zalina berpesan. Macamlah cucunya itu faham.
“Mama…” tahu sangat. Nak perlilah tu. Dah setahun dia menukar imej dengan menyimpan jambang. Dah terbiasa. Bukannya panjang sangat pun.
Hilmi menepuk-nepuk punggung anaknya sudah terlena. Selimut ditarik menutup tubuh kecil itu. Wajah anak kesayangannya ditatap lama. Wajah itu semakin mirip dengan wajah arwah isterinya. Matanya, hidungnya, bibirnya. Hilmi lepaskan keluhan. Meraup mukanya.
Syukurlah keadaan sudah kembali tenang sekarang ini. Walaupun hubungannya dengan Faiz masih dingin, tapi mereka sekeluarga sudah kembali bersatu. Di sebalik kepahitan yang dirasa, ada hikmah yang tersembunyi. Walau di mana pun Ika berada saat ini, dia doakan wanita itu akan sentiasa bahagia. Ika akan sentiasa jadi kenangan manis dalam hidupnya. Tak mungkin ada dendam buat wanita itu.
“Walaupun tak ada perempuan lain dalam dunia ni, belum tentu aku akan pilih dia.”
Dia sudah terperangkap dengan kata-katanya sendiri tapi Allah itu Maha Adil. Dulu dia ego. Mungkin itu balasan untuk kata-katanya dulu. Hidupnya kini hanya tertumpu kepada Ilham. Soal cinta dan pasangan hidup, biarlah Tuhan yang menentukan. Siapa pun pilihan Allah untuknya, dia redha kerana itu adalah yang terbaik.
 


 so apa pendapat korang???puas hati tak????sobsss...sorila kalo ending cam hampeh...huhuhuhuhu.....apa2 pun thnks kat korang yg sudi baca..ikuti...tunggu...e-novel ni dari awal smpai akhir...wuwu..terharu cik kiahhh...sobss....

so, nk lagi tak e-novel lain??ngeeeee....tapi bukan dalam masa terdekat la ekss...skrg dalam tempoh kritikal...apa2 pun...korang jangan lupa dapatkan novel terbaharu sayeeeeeewwwww....
SAYA PILIH AWAK yg telah pun dibuka tempahannya....
sape nk tt retis tak glamer langsung nih...boleh order cepat2 ngan penerbitan kaki novel tauuuu....ku menunggu order dr kalian..ngeeeeeeeee....

ini novelnye.....hehehehehhe...jangan lupe dapatkannyaaaaaaa....

ooooooowwwwwwww...sebelum terlupa.....nk mintak tolong sangat3 nih...sapa2 kat sini yg kerja sbgai programmer, atau mengajar subjek programming, atau student yg sedang atau pernah belajar programming...apa yg ada kaitan dengan programminglah...or ada kawan2 yg korang kenal dlm bidang ni...boleh tak kalo sayew nk mintak tolong????wuwuwuwu....kalo ada...tolong komen kat bawah ni ekssss...nnt sy akan hubungi anda...jangan takut...sy bukan nk suruh bina sistem...nk tanya sikit2 je...tolong ekssss....

tq semuaaaaaaaaa!!!muahhhhhhsssssss











2014-05-08

Tanya sama hati 65


http://i477.photobucket.com/albums/rr132/AmirahFarhana/bismillahirrahmanirrahim.png
Assalamualaikum & salam sejahtera semua....hehe...malam ni cik lynn agak lemau sikit...nk wat esemen tapi mood macam dah kelaut hindi...ohokkssss....so, kesudahannya adalah cik lynn masukkan bab seterusnya..mihmihmih....sorila korang lama tunggu..huhu...dah hujung2 sem ni mmg esemen melambak...nmpak sangatlah kan suke tangguh2 keje..mihmihmih...alaaa...korang pun penah buat gak kan??kikikiki.....so tak payah cakap banyak2 malam2 ni....korang baca je la bab seterusnya ni....sila sila...

Bab 65
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”
(Al-Baqarah, 2:286)
Kiraan tasbih oleh jemarinya terhenti. Setitis air mata jatuh ke tangan. Setiap apa yang berlaku membuatkan dia banyak berfikir. Alhamdulillah, segalanya membuatkannya semakin dekat dengan Allah. Mungkin inilah hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap dugaan yang menimpa.
Ika berpaling apabila terasa bahunya disentuh. Air mata diseka. Ika membalas senyuman ibunya. Syukurlah masih ada insan yang begitu menyayanginya dengan sepenuh hati. Insan yang sentiasa menyokong setiap keputusannya.
“Jom, Achik. Abah dah tunggu kita nak pergi sarapan.” Ika mengangguk. Tak sedar jam sudah menginjak ke pukul lapan pagi. Tak terasa penat dan lapar bila duduk berhadapan dengan rumah Allah ini.
Ika benar-benar bersyukur. Mungkin hikmah di atas segala dugaan itu juga dia berada di sini sekarang. Hari ini hari terakhir mereka berada di sini sebelum berangkat pulang ke Malaysia esok. Hati sudah rasa sayu. Masih belum puas untuk terus bersujud di sini. Masih belum puas merasa betapa tenangnya hati sepanjang berada di sini.
“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
 (Al-Insyirah : 6)
Ya, dia merasai semua itu sekarang. Alhamdulillah, segala ibadahnya selama hampir dua minggu berada di sini dipermudahkan Allah. Doanya semoga segala urusannya pada hari-hari mendatang juga dipermudahkan Allah. Sudah hampir enam bulan dia tidak berhubung dengan Faiz mahupun Hilmi. Walaupun Faiz cuba mencarinya tapi Ika sedaya-upaya mengelak. Dia perlukan masa bersendiri.
“Sedih pula ibu rasa nak tinggalkan Mekah. Belum balik pun dah rasa rindu.” Sungguh dia rasa gembira berada di sini. Walaupun ia bukan kali pertama, tapi pengalaman setiap kali datang adalah berbeza.
“InshaaAllah, jika ada rezeki kita datang lagi. Ika pun rasa tak nak balik. Sekejap aje rasa.” Ika menyua roti ke dalam mulutnya. Tapi dalam hati rasa rindu juga kepada keluarga di Malaysia.
“Kak Yam, Yusuf mana? Tak nampak-nampak dari tadi,” tanya Puan Siti kepada Hajah Maryam, kenalan baharunya yang sama-sama mengikuti rombongan mengerjakan umrah.
“Tadi dia kata nak naik ke bilik sekejap. Tak tahulah apa yang dia buat,” jawab Hajah Yam. Nik Muhammad Yusuf, anak lelakinya yang turut sama dibawa mengerjakan umrah.
“Ibu, jomlah kita pergi beli barang. Tapi sebelum tu, Achik nak naik atas kejap.” Ika mengelap mulutnya dengan tisu dan bersedia untuk bangun.
“Saya nak ikut juga Siti tapi Yusuf ni tak turun-turun lagi. Tak apalah, Siti dengan Ika pergi dulu. Nanti saya pergi dengan Yusuf.” Ika dan Puan Siti mengangguk seraya melangkah pergi.
Ika membelek-belek beberapa helai jubah yang tergantung. Terlalu banyak pilihan sampai rambang mata. Ibu sedang tawar-menawar dengan pembantu kedai yang mungkin berbangsa Pakistan tapi agak fasih berbahasa melayu. Katanya pernah kerja di Malaysia. Kagum dengan golongan ini yang sanggup berhijrah beribu batu jauhnya daripada keluarga demi mencari rezeki.
Ika menarik sehelai jubah berwarna hitam dan pada masa yang sama turut ditarik oleh seseorang. Ika cuba mengintai di sebalik jubah-jubah tersebut. Dahinya berkerut. Macam kenal.
“Oh, maaf.” Jubah warna hitam dengan batu warna-warni yang dipegang tadi dilepaskan.
“Tak apa.” Ika lempar senyum. Yusuf. Anak lelaki kepada Hajah Yam.
“Mana Hajah Yam?” soal Ika. Matanya masih membelek-belek jubah tadi. Cantik, tapi jika dia beli lagi maksudnya dah lima helai jubah yang dia beli. Cukup-cukuplah tu Ika.
“Entah, tadi ada. Saya nak pergi cari dia. Jumpa lagi.” Ika sekadar mengangguk. Perempuan kalau dah masuk kedai. Ika menghampiri ibunya yang sudah siap tawar-menawar. Dah beli dah pun. Untuk cucu-cucu katanya.
“Achik terserempak dengan Yusuf tadi, tapi tak nampak pula Hajah Yam.” Beg plastik bertukar tangan.
“Oh ya ke? Habis tu mana dia?”
“Dia kata nak pergi cari Hajah Yam. Achik tak tanya banyak. Dia pun macam tergesa-gesa aje.” Dia pun bukannya rapat sangat dengan si Yusuf tu. Rasanya tadi tu kali kedua mereka bercakap. Kali pertama masa mula-mula jumpa. Itu pun sepatah aje dijawabnya.
Puan Siti mengangguk. Matanya masih melirik pada barang-barang yang dijual. Kat sini kalau tak lawan nafsu memang habis. Nasib baik suaminya dah pesan awal-awal. Tapi dah namanya perempuan.
>> 
Ika mencuit manja pipi gebu si kecil Syarifah Amni Humaira’. Budak kecil ni dah boleh merangkak. Lama betul dia tak datang jenguk Amni. Tak puas Ika mengusik Amni yang ketawa mengekek setiap kali diusik. Geram.
“Kau sihat ke? Berseri semacam aje aku tengok muka kau tu. Ada apa-apa rahsia ke?” usik Syarifah.
“Mestilah berseri sebab baru balik dari Mekah. Seronok tau kat sana Sya. Aku rasa macam tak nak balik. Nanti boleh kita pergi sama-sama.” Berseri wajahnya setiap kali bercerita mengenai pengalaman pertamanya mengerjakan umrah. Pengalaman yang tak mungkin dilupakan. Terlalu indah.
“Seronok aku tengok kau gembira macam ni. Aku macam dah dapat balik kawan baik aku yang dulu-dulu tu.” Syukurlah jika Ika dah boleh terima apa yang berlaku. Paling penting, dia mahu kawannya gembira.
“Aku pun bersyukur sebab Allah permudahkan urusan aku untuk ke sana dan beribadah kat sana. Aku lupa sekejap masalah aku kat sini.” Tipu kalau dia kata dia tak ingat sedikit pun masalah yang menimpanya. Tapi dia dapat rasa hatinya lebih terbuka dan tenang.
So, macam mana sekarang? Faiz dah tak cari kau ke?”
“Alhamdulillah. Aku rasa dia pun dah boleh terima kenyataan. Bukan jodoh aku dengan dia.”
“Hilmi?” soal Syarifah. Setiap kali teringatkan Hilmi, pasti Syarifah akan rasa bersalah. Dia yang mulakan. Sungguh dia tak sangka.
“Sama jugak. Biarlah Sya. Aku dah tak nak fikir semua tu. Aku nak mulakan hidup baru. Mungkin jodoh aku bukan di dunia.” Positif. Ya, dia pasrah. Walaupun dia tidak akan putus asa untuk mencari dan mencuba tapi jika itu sudah takdirnya dia pasrah.
“Aku akan sentiasa doakan yang terbaik buat kau. Amni pun sama. Kan Amni, kan?” Pipi tembam anaknya dicium.
“Habis tu kau kat sana, tak usha pak-pak arab ke? Manalah tahu kut-kut ada yang berkenan.” Tak habis-habis nak mengusik.
“Tak kuasa aku. Aku pergi sana nak beribadat. Tapi tak tahulah pulak kan kalau ada pak-pak arab yang berkenan kat aku. Hahaha…” Ketawanya pecah. Tak terfikir untuk ke arah itu walaupun dia sentiasa mendoakan agar dipertemukan dengan jodoh yang terbaik.
“Yalah tu. Entah-entah dah tersangkut. Saja tak nak bagitahu kita.” Syarifah mencebik dalam senyuman.
Ika hanya senyum sambil menggelengkan kepala. Sekarang ini, bukan itu keutamaannya. Biarlah masa yang menentukan. Bila sampai masanya nanti, pasti akan bertemu juga. Dia yakin janji Allah. Manusia itu dijadikan berpasang-pasangan.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”
(Surah Ar-Rum, 30:21)

sorila kalo tak memuaskan ati korang...sy hanya manusia biasa...ohokkksss....propa sangat aihhhh....so kalo ade ape2, korang komen2 la ye....entry lepas ni adalah bab terakhir e-novel ni....harap korang bersabar menantikannya..hehehehe...akhirnya smpai gak ke penghujung kan????
adiossssssssssssss.....

2014-04-21

Tanya sama hati 64

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEglXb4-mRvxI3_5ALE1i5Qryr0oKQ370djrQFV9utFoNg5IbmR_4Y0a5l60isAzapcUSyaw7KGWiwHJ7kil_UZiSW4jvWZ4gD6oDS1BLrTCTtI-FrXVEaEA_Mtgb5u96olqmiTZTPPkL3Dz/s1600/bismillah-rumi.JPG


assalamualaikum dan salam sejahtera...alhamdulillah...sempat jugak post entry baru walaupun minggu ni sgt kelam kabut sbb banyak esemen nk kene anto..hehe..tapi hobi tetap hobi...hehe...mesti ade jugak masa utk diluangkan utknya..mihmihmih..so ini bab 64 utk korang yg sentiasa tertunggu2 apalah lg si ika ni nk buat..huhuhu...terima kasih bebanyak kat korang yg setia tunggu n sudi baca ek..hehe...harap korang bpuas hati ngan bab ni ek..hehe...
Bab 64
Puan Sofia memandang anaknya yang hanya menunduk memandang lantai. Sejak kejadian malam itu, dia masih belum bercakap dengan Faiz. Dia kecewa. Teramat kecewa. Tak sangka Faiz boleh bertindak sejauh itu. Kalau orang lain, dia mungkin masih boleh terima tapi ini abangnya sendiri. Darah daging sendiri. Dah hilang akal agaknya.
“Faiz ada apa-apa nak bagitahu mama?”
Faiz hanya diam. Seketika dia keluarkan sesuatu dari poketnya dan meletakkannya di atas meja. Puan Sofia pejam mata, menarik nafas sedalamnya. Dia kenal sangat dengan cincin itu. Dia yang sarungkan ke jari manis Siti Zulaikha. Dan sekarang, cincin itu kembali semula ke sini.
“Memang patut Ika buat macam ni. Sekarang ni Faiz tanggunglah akibat perbuatan terburu-buru Faiz tu. Mama kecewa sangat-sangat dengan apa yang dah berlaku. Mama pun tak tahu macam mana mama nak berdepan dengan papa, dengan keluarga sebelah sana.” Untuk menelefon pun dia tak mampu apatah lagi nak berjumpa. Entah apa yang suami dan madunya fikirkan. Nampak sangat dia tak pandai jaga anak.
“Faiz minta maaf mama. Faiz tak berniat pun nak kecewakan mama. Faiz buat semua ni sebab Faiz terlalu cintakan Ika. Faiz tak nak dia jatuh ke tangan orang lain.” Masih mempertahankan diri.
“Tak guna minta maaf dengan mama. Faiz bersalah dengan abang Faiz. Mama nak Faiz minta maaf dengan abang Hilmi. Minta maaf dengan papa dan mak cik Zalina.” Sakit betul hatinya bila dengar alasan Faiz. Kenapa budak ni boleh fikir sampai ke situ? Dah tentu-tentu Ika tu tunang Faiz. Hilmi tu bakal abang ipar Ika.
“Assalamualaikum.” Puan Sofia terkesima sebaik sahaja matanya menangkap tetamu yang memberi salam tadi. Kenapa sekarang?
“Waalaikumussalam. Abang, Kak Za, Hilmi. Masuklah.” Tak mampu rasanya nak pandang wajah-wajah yang ada di hadapannya. Entah apa yang akan berlaku sebentar nanti.
Hilmi hulur tangan pada Faiz. Lambat Faiz sambut. Sedikit pun Faiz tak pandang wajah tetamu yang datang. Ikutkan hati mahu saja dia lari. Dirinya saat ini dilihat sebagai pesalah.
“Saya ke dapur sekejap.”
“Tak payah susah-susah Fia. Mari duduk sini. Biar kita selesaikan masalah ni sama-sama.” Puan Zalina tarik tangan Puan Sofia untuk duduk di sebelahnya. Senyuman Puan Zalina buat Puan Sofia tenang sedikit.
Encik Zainal dan Hilmi juga kelihatan tenang. Hanya Faiz yang kelihatan gelisah. Mungkin kerana dia tahu yang dia bersalah. Puan Sofia tak henti berdoa. Harap-harap hal ini tak berpanjangan. Dia tak mahu dua keluarga yang baru sahaja berbaik ini bermasam muka hanya kerana tindakan Faiz.
“Papa dah tahu semuanya. Hilmi dah ceritakan pada papa. Papa tak salahkan Faiz.” Encik Zainal membuka bicara. Hilmi mengangguk. Ya, dia dah jelaskan semuanya. Kejadian yang berlaku itu bukan salah Faiz seorang. Dia juga bertanggungjawab. Dia faham sangat kenapa Faiz bertindak sedemikian.
“Abang minta maaf. Abang tak berniat langsung nak masuk campur dalam hubungan Faiz dengan Ika. Memang salah abang sebab bagi harapan dekat Ika.” Papa dengan mama memang kecewa dengan apa yang telah dia lakukan tapi dia ikhlas. Dia tak main-main dengan Ika.
“Apa sebenarnya yang berlaku abang? Kak Za?” Puan Sofia masih tak mengerti duduk perkara sebenar.
“Saya minta maaf mak cik. Semuanya hanya salah faham. Masa saya jumpa Ika, saya tak tahu pun yang Ika dah bertunang dengan Faiz. Saya pun tak sedar yang kami dah semakin rapat.”
“Tapi lepas kau tahu dia dah bertunang pun kau masih kacau dia lagikan?” Marah Faiz masih bersisa. Tak semudah tu untuk dia lupa. Disebabkan Hilmi, Ika putuskan pertunangan mereka. Tahu tak betapa sakit hatinya saat ini?
“Faiz, abang tak…”
“Ah, sudahlah. Kau mengaku ajelah yang kau memang nak Ika tu jadi isteri kau sebab nak dia jadi mak kepada anak kau. Kau bukannya ikhlas sangat pun sukakan dia.” Apa pun alasan yang Hilmi beri, dia tak mahu dengar. Tak payah nak berselindung. Dia tahu semuanya.
“Faiz! Mama tak pernah ajar Faiz bercakap kurang ajar macam tu. Hilmi ni abang Faiz tau. Faiz kena hormatkan dia.” Faiz betul-betul dah berubah. Puan Sofia tak boleh tahan sabar bila Faiz makin kurang ajar.
“Tak apa mak cik. Saya tahu Faiz tengah marah. Saya tak kisah.” Ya, dia memang bersalah dalam hal ini. Dia memang masih cuba untuk menangi hati Ika walaupun tahu Ika sudah bertunang. Memang salah dia. Dia terlalu ikutkan perasaan.
Puan Sofia melepaskan keluhan. Malu sungguh dia dengan suami dan madunya. Kenapalah Faiz terlalu ikutkan perasaannya. “Kak Za, abang. Fia minta maaf bagi pihak Faiz. Hilmi, mak cik minta maaf ya. Tapi rasanya semua dah terlambat. Benda dah jadi. Ika pun dah minta putus. Rasanya hubungan antara Ika dengan Faiz tak mungkin dapat disambung lagi.”
Hilmi meraup muka. Encik Zainal juga geleng kepala. “Abang minta maaf sekali lagi, Faiz.” Sungguh dia tak sangka Ika akan putuskan pertunangan secepat ini.
“Puaslah hati kau sekarangkan?” Faiz sudah angkat punggung. Tak betah untuk terus berada di sini. Silap hari bulan, muka Hilmi jadi sasaran lagi. Pantas kakinya melangkah keluar dari rumah.
“Faiz!” Puan Sofia tak sempat nak halang. Makin risau dibuatnya. Ya Allah, Kau selamatkanlah anak aku.
“Biar dia tenangkan hati dia. Inshaa Allah, akak dan abang akan cuba untuk pulikan keadaan. Kami pun bertanggungjawab juga dalam hal ni. Kita sama-sama doakan yang terbaik ya,” pujuk Puan Zalina. Hilmi anaknya. Kalau Hilmi buat salah, dia juga turut terasa sama.
“Abang, Za rasa baik abang temankan Sofia kat sini. Kesian Sofia sorang-sorang,” usul Puan Zalina. Faiz pun entah ke mana perginya.
“Yalah. Za dengan Hilmi baliklah dulu. Nanti kalau ada apa-apa, telefon abang.” Puan Zalina dan Hilmi sama-sama mengangguk. Kedua-duanya minta diri untuk pulang. Walaupun masalah ini tak sepenuhnya diselesaikan tapi sekurang-kurangnya semua dah jelas duduk perkara sebenar.
“Fia tak payahlah risau sangat. Faiz tu dah besar. Dah pandai fikir. Abang yakin dia tak akan buat apa-apa yang tak sepatutnya,” pujuk Encik Zainal. Hati seorang ibu, dia faham. Lagipun hanya Faiz anak yang Sofia ada. Sofia yang besarkan Faiz seorang diri.
“Fia tak nak sejarah kita berulang bang.” Mendalam maksudnya. Encik Zainal terdiam seketika. Berfikir. Ya, apa yang berlaku sekarang hampir sama dengan apa yang telah mereka alami. Cuma sekarang ini dua orang lelaki mahukan wanita yang sama.
“Tapi Ika dah putuskan pertunangannya dengan Faiz.”
“Sama seperti abang tinggalkan Fia untuk Kak Za. Fia tak dapat bayangkan jika Ika pilih Hilmi.” Bergetar suaranya. Sungguh, saat itu hatinya hancur luluh walaupun dia merelakannya. Tapi jodohnya dengan abang Zainal memang kuat. Mereka kembali bersama. Tapi Ika perempuan. Tak akan dapat pilih kedua-duanya.
“Tak perlu ungkit cerita lama Fia. Kita pun dah bersatu sekarang. Yang penting sekarang ni kita perlu fikirkan cara bagaimana nak pulihkan keadaan. Fia ada bercakap dengan Ika?” Apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Tak perlu dikenang lagi cerita duka.
“Belum. Tadi baru Faiz bagitahu yang Ika dah putuskan pertunangan. Fia faham perasaan Ika bang. Tapi Fia harap Ika tak akan pilih Hilmi.” Walaupun dia tak layak untuk tentukan siapa yang harus dipilih Ika tapi dia berharap sangat perkara itu tak terjadi. Banyak masalahnya nanti.
“Kita doakan saja yang terbaik buat mereka.” Encik Zainal juga mengharapkan perkara yang sama. Tapi siapa mereka untuk menolak ketetapan Tuhan?
>> 
Saat ini, tiga hati sedang menanggung derita. Mereka memandang langit yang sama. Bulan yang sama. Kejadian pagi tadi kembali menerpa. Ika mengeluh perlahan. Betul ke tindakannya? Ah, betul atau tidak dia sudah buat keputusan. Berserah saja. Tapi satu yang perlu dia buat sekarang. Dia perlu betul-betul lupakan Hilmi. Terima hakikat yang dia dan Hilmi memang tak ditakdirkan untuk satu sama lain. Sama seperti Faiz.
Faiz pejam mata rapat. Apa yang dia takutkan sudah pun berlaku. Kenapa semua ini berlaku? Dia ikhlas cintakan Ika. Dia ikhlas mahukan Ika menjadi suri di hatinya. Menemaninya sepanjang hayat. Apa yang berlaku sungguh tak adil bagi dirinya. Salahkan dia mencintai? Salahkah dia untuk rasa dicintai? Dia mahukan Ika.
“Kenapa Ika buat abang macam ni? Kenapa Ika tak nampak yang abang sangat cintakan Ika? Kenapa Ika curang dengan abang? Kenapa Ika…Kenapa?” Soalan itu hanya tinggal soalan. Ika tiada di hadapannya untuk menjawab.
Dari dulu dia impikan sebuah kehidupan berkeluarga yang sempurna. Dia tak merasa semua itu sepanjang dia membesar. Dia hanya ada mama. Bila berjumpa dengan Ika, dia dapat rasa yang dia bakal temui kebahagiaan. Dia bakal punya keluarga impiannya. Walaupun dia perlu menunggu lama untuk menyunting Ika, dia rela. Tapi sekarang, dia hilang Ika dengan sekelip mata. Sungguh hatinya sangat sakit!
Hilmi merebahkan tubuhnya ke katil. Jam sudah menginjak ke pukul dua belas tengah malam. Apa yang dia dah lakukan? Secara tidak sengaja dia sudah hancurkan kebahagiaan yang sedang dibina oleh Faiz dan Ika. Terlalu pentingkan dirikah dia? Apa yang dia mahukan sebenarnya?
Kau mengaku ajelah yang kau memang nak Ika tu jadi isteri kau sebab nak dia jadi mak kepada anak kau. Kau bukannya ikhlas sangat pun sukakan dia.”
Hilmi meraup mukanya beberapa kali. Memang dia perlukan seorang wanita untuk jadi ibu kepada anaknya. Tapi dia juga perlukan seorang isteri untuk berkongsi segala suka dan duka. Seorang isteri yang dapat menemaninya hingga ke akhir usia. Memang silapnya kerana memilih Ika untuk mengisi kekosongan itu. Tapi cinta yang hadir adalah anugerah daripada Allah.
Apa yang pasti, tiga hati ini sedang berperang dengan perasaan masing-masing. Masih adakah rasa cinta buat mereka? Masih adakah sinar kebahagiaan buat mereka? Tabahkah mereka untuk berhadapan dengan dugaan pada esok hari?

p/s: tgh dengar lagu Indah AF - Percayalah....suke bangat ngan lagu ni...dengar sekali dh jatuh cintun gitu..hehe..boleh ambik ilham lagu ni nih...hehehe... "sejauh mana dirimu...ku ingin kau tahu..u always in my heart!!"..weeeehuuuuu... 
btw...tggal 2bab lagi kot citer nih..heheheheh...apakah kesudahannya???nantikan yer!!
byeeeeeeee....eh..sape2 nk g pesta buku???iols takde session conteng2 novel tahun ni tp mcm nk g jugak....inshaaAllah hari Sabtu ni kot....jom reramai eksss...
ok...byeeeee....tq2