Showing posts with label Saya Pilih Awak. Show all posts
Showing posts with label Saya Pilih Awak. Show all posts

2014-06-01

Saya Pilih Awak 8, 9, 10



Bismillahirrahmanirrahim....
assalamualaikum semua...pekabo..ngeeee....hehe..arini tatau nk mengarut apa...so korang bacalah smbgan novel Saya Pilih Awak ni ek..hehe..novel da ada kat pasaran start mggu lepas..so jgn lupa dapatkannye okehhh..nk order ngan Kaki Novel pun boleh...nk oder ngan sayew pun boleyy...hikhik..
kite bagi sikit2 je la eks..myb ini post last utk novel ni...kite bg terus bab 8, 9, dan 10...rasa sikit2..hehe..korang bley baca smbungannya dalam versi cetak eks..hehehehe..menanti komen korang tentang novel ni...i iz berdebar tak hengat..sobss...harap2 baiklah komenannya..tapi kalo sebaliknye pun takpe...tak semua org suka...ye dok..hehe...eh, tadi kate tatau nk mengarut apa...tapi panjang gak tulis ni..hehe..layankan ajela ye..dah mmg lumrah..bila penulis dapat keyboard..mana bley tulis sikit2..kikiki...so enjoyzzzz....

Bab 8

Ain merebahkan tubuhnya ke katil. Dia betul-betul tak larat. Kepalanya berdenyut-denyut. Selepas keluar dengan Fakri tadi, dia terus ke klinik. Macam mana nak kerja kalau nak pegang pen pun dia tak larat. Ain pejam mata serapatnya. Alangkah seronok jika buka sahaja mata nanti, semua masalahnya hilang. Agak-agaknya Fakri tanya tak mak dia apa yang dah berlaku tempoh hari? Rasa-rasanya mak dia mengaku tak? Kalau mak dia mengaku, apa reaksi Fakri? Ain tak dapat nak berfikir lagi. Kepalanya betul-betul dah tak boleh nak berfungsi. Mata pun makin berat. Penangan ubat mungkin. Dia mahu rehat dulu.
Ain tersedar saat telefon bimbitnya berlagu nyaring. Siapa pula yang kacau rehatnya ni? Nak tidur lima minit pun tak boleh. Ain capai telefon bimbitnya yang dah berhenti berdering. Lima panggilan tak dijawab. Lima? Kenapa dia tak dengar pun? Matanya difokuskan pada jam yang tertera di skrin telefon. Hah, lima minitlah sangatkan? Dah dua jam rupanya dia tidur. Patutlah tak dengar apa-apa. Ain pegang kepalanya yang masih rasa berpusing. Doktor ni bagi ubat tidur ke apa?
Telefon bimbit dicapai kembali. Siapa yang telefonnya sampai lima kali ni? Satu persatu butang ditekan. Tiga panggilan daripada Fakri. Dua daripada Puan Maziah. Puan Maziah? Kenapa wanita tu telefon dia? Nak jemput pergi majlis harijadi lagi ke? Ain gagahkan diri untuk bangun. Badan disandarkan ke kepala katil. Belum sempat dia nak buat panggilan, telefonnya terlebih dahulu berbunyi nyaring. Puan Maziah lagi. Macam penting sangat aje. Apa hal ni?
“Assalamualaikum.” Ain membetulkan suaranya yang serak.
“Waalaikumussalam Ain. Ain sibuk ke? Maaflah kalau mak cik mengganggu.” Puan Maziah serba salah. Kalau bukan kerana cucunya yang memaksa, tak adanya dia nak ganggu Ain. Si Allissa di sebelah ni dari tadi merengek nak bercakap dengan auntie Ain. Rindu katanya.
“Eh, tak adalah. Saya kat rumah ni. Ada apa mak cik?”
“Ni, si Allissa ni. Dari tadi suruh mak cik call Ain. Dia nak cakap dengan Ain,” Puan Maziah terus-terang. Tak diikutkan kehendak cucu kesayangannya ini nanti, merajuk pula. Ini pun dah tarik muka empat belas bila panggilan tak dijawab.
“Oh, ingatkan apalah tadi. Mana dia?” Alkisahnya. Ingatkan perkara penting apalah tadi.
“Assalamualaikum auntie Ain.” Ceria suara kanak-kanak di hujung talian. Ain ukir senyum. Dia pun turut rasa ceria. Kurang sedikit rasa peningnya.
“Waalaikumussalam, Lissa. Rindu auntie ya?” serkap Ain. Dia membetulkan duduknya. Baju kurung yang masih tersarung di tubuhnya buat dia rasa sedikit rimas. Dahlah panas. Ada kipas pun macam tak ada.
“Rindu sangat!” Rengek si kecil. Terkedu Ain seketika. Allissa rindukan dia? Terharunya. Budak kecil ini betul-betul dah buat hatinya rasa sayang.
“Ala, kesiannya dia. Kan baru semalam kita jumpa. Takkan dah rindu kut?” Tiba-tiba hatinya pun rasa rindu pada keletah si manja ini. Teringat peristiwa petang semalam. Allissa langsung tak nak berenggang dengannya. Asyik nak berkepit aje. Sampaikan ada orang ingat yang dia ni mama Allissa.
“Mestilah Lissa rindu. Auntie, bila auntie nak datang rumah Lissa? Lissa boringlah,” rengek Allissa lagi. Ain ukir senyum. Macam-macamlah budak seorang ni.
Boring? Nenekkan ada.” Seronok pula melayan budak ni. Kalau nak suruh dia pergi sana, bila-bila masa pun boleh. Tapi dia ni pemalu orangnya. Nanti apa pula kata keluarga Allissa.
“Tapi Lissa nak main dengan auntie. Auntie datanglah sini.” Merayu-rayu suaranya. Macam dah nak nangis pun ada. Kesian pula Ain dengar.
“Auntie seganlah sayang. Lagipun hari ni tak bolehlah. Auntie tak sihat. Lain kali ya?” pujuk Ain. Walaupun pening kepalanya dah berkurang, tapi badannya masih rasa lemah.
“Auntie sakit?”
“Auntie pening kepala ajelah.”
“Auntie kena makan ubat tau. Papa pesan, kalau sakit mesti cepat-cepat pergi klinik.” Ain ketawa mendengar celoteh Allissa. Bijak betul budak ni.
“Baiklah doktor Allissa. Saya akan dengar cakap doktor Allissa.”
“Lissa, dahlah tu. Jangan ganggu auntie Ain lama-lama.” Kedengaran suara Puan Maziah mengingatkan Allissa.
“Oklah auntie. Puan besar dah membebel. Auntie jangan lupa makan ubat tau. Bye, auntie.” Ain ketawa lagi. Puan besar? Lawaklah budak ni. Siapa agaknya yang mengajar dia ya?
Bye.” Senyuman masih terlakar di wajahnya. Sekurang-kurangnya terhibur juga hatinya. Hilang pening kepalanya. Ain meraup mukanya. Menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan.
Belum sempat pintu bilik dibuka, kedengaran ketukan dari luar. Mesti ummi. Pintu bilik dibuka. Terpacul wajah umminya. Ain ukir senyum. Rambut yang kusut masai tadi dah diikat kemas.
“Dah bangun dah? Pening lagi kepala tu?” soal ummi.
“Dah kurang.”
“Dah, pergilah makan. Ummi dah siapkan kat dapur tu. Dari tadi awak tu tak makan apa-apa. Nanti perut kosong, bertambah lagi sakit.” Puan Siti terlebih dahulu melangkah ke dapur. Ain membuntuti langkah umminya. Ini yang dia sayang lebih kat ummi ni. Tahu-tahu aje yang perutnya dah berlagu dangdut. Mahunya tak lapar. Dari pagi tak makan. Fakri punya pasallah ni.
Mengingatkan lelaki itu, hatinya jadi pilu. Apalah yang nak jadi dengan hubungan mereka ya? Apalah kurang dirinya di mata emak Fakri. Rasanya dia dah pakai baju cukup kain. Solek tebal? Ish, tak kuasa. Mungkin emak Fakri suka perempuan yang macam tu kut. Pakai baju tak cukup kain, solek tebal-tebal macam artis. Sebab tu dia kena reject. Manusia ni macam-macam perangai.
“Yang duk tenung nasi dalam pinggan tu kenapa? Tak adanya nasi tu nak melompat masuk dalam mulut awak. Pergi basuh tangan.” Ain garu kepala. Termengelamun pula. Sorry, puan besar. Eh, dah terikut si Allissa pula.




Bab 9
Syed Muammar melangkah perlahan menghampiri anak kesayangannya yang sedang termenung di taman rumah mereka. Bibirnya menguntum senyum. Apalah yang sedang difikirkan oleh si kecil itu. Dah macam orang dewasa, banyak masalah. Bibir Allissa memuncung panjang. Nampaknya macam ada masalah besar ni.
“Hai sayang. Kenapa duduk sorang-sorang ni?” Tubuh si kecil kesayangan cuba dipeluk tapi ditepis oleh anaknya. Aik, dah kenapa pula ni? Biasanya suka sangat kalau papa peluk.
“Amboi, sombongnya anak papa ni. Sayang marahkan siapa ni?” Syed Muammar duduk di kerusi bersebelahan Allissa. Kecil-kecil dah pandai merajuk. Nanti dah besar macam manalah agaknya. Adoi, budak-budak zaman sekarang. Cepatlah kepala papa ni botak kalau macam ni Allissa oi.
Allissa masih diam seribu bahasa. Makin panjang muncung di bibirnya. Apa kenalah dengan budak ni. Syed Muammar mengeluh perlahan. Dahlah dia penat seharian di pejabat. Balik-balik, dah kena mengadap orang merajuk pula. Dia mengurut kepala yang terasa berdenyut tiba-tiba. Allissa...Allissa. Dah tak sayang papa ke?
“Ok, kalau Lissa tak nak bagitau papa tak apa. Papa penatlah. Papa nak masuk. Nak mandi. Nak solat. Nak makan. Lissa duduklah sini sampai malam. Nanti, kalau hantu datang, Lissa bercakaplah dengan dia.” Syed Muammar tahan ketawa bila melihat Allissa dah jeling maut kat dia. Tahu pun takut. Dah tak nak bercakap dengan orang, bercakaplah dengan hantu.
Bye sayang.” Syed Muammar sedia untuk bangun. Allissa memerhati perbuatan papanya dengan muka tak puas hati.
“Papa masuk dulu. Jangan lupa ya nanti kirim salam kalau ada yang datang temankan Lissa.” Sengaja tambahkan sakit hati anaknya. Sakit perut tahan ketawa bila tengok muka tak puas hati Allissa. Berkerut seribu. Dah kalah muka nenek umur lapan puluh tahun. Tak nak layan papa kan? Padan muka.
“Papa ni, jahatlah!” Nyaring suara Allissa menjerit. Geram dengan papanya. Suka sangat nak menyakat.
“Alhamdulillah. Ada pun suara anak papa ni.” Syed Muammar berpaling semula ke arah anaknya. Ketawa dilepaskan. Dah senak perut tahan.
“Memanglah ada.” Allissa peluk tubuh. Satu lagi jelingan maut dihadiahkan kepada papanya.
“Habis tu Lissa tak nak cakap dengan papa. Papa nak masuklah. Ni kenapa ni? Masam aje papa tengok. Mulut tu, dah macam mulut itik dah.” Syed Muammar ketawa lagi. Ikut perangai siapalah si Allissa ni. Nenek kut?
“Dia rindukan auntie Ain lah tu,” Syed Muammar berpaling. Kelihatan Puan Maziah terkedek-kedek menghampiri mereka. Syed Muammar kembali menghadap anaknya. Sekali lagi dia mengeluh. Tak ada orang lain ke? Kenapa pula nak kena rindu dengan auntie Ain ni?
“Papa ingatkan Lissa rindukan papa. Sampai hati Lissa rindukan orang lain.” Sudah. Tadi anaknya yang merajuk. Ini papanya pulak nak buat hal. Elok sangatlah tu anak-beranak.
“Buat apa nak rindukan papa. Hari-hari pun Lissa jumpa papa. Lissa nak jumpa auntie Ain. Nenek, bila kita nak jumpa auntie Ain?” rengek Lissa. Puan Maziah hanya mampu senyum. Hari ni aje dah berapa kali dia dengar soalan tu. Dah habis idea nak jawab. Sekarang ni, biar papanya sendirilah yang jawab.
“Kenapa Lissa nak sangat jumpa auntie Ain tu? Baik sangat ke dia tu?” Tak puas hati. Dah naik muak dia dengar nama perempuan tu. Nampak macam biasa-biasa aje. Tak adalah baik sangat pun.
“Sebab rindulah. Papa, jomlah kita pergi jumpa auntie Ain. Papa...jomlah....” Dia tak akan berhenti sehingga keinginannya tercapai. Dia tak peduli, yang dia tahu dia nak jumpa auntie Ain.
“Papa banyak kerjalah Allissa. Lissa suruh ajelah dia datang sini. Papa nak masuklah.” Rimas betul. Macam tak ada benda lain yang nak diminta. Kalau Lissa minta nak pergi luar negara, boleh lagi dia tunaikan. Ini nak jumpa perempuan entah mana-mana, tak ada masa dia nak layan.
“Papa, please. Lissa rindukan auntie Ain.” Dah mula nak menangis. Kenapa susah sangat papa nak bawa dia jumpa auntie Ain. Dia cuma nak jumpa auntie Ain aje.
“Lissa, papa penatlah!” Agak tinggi suara Syed Muammar. Dah kenapa dengan anaknya ni?
“Papa memang tak sayang Lissa!” Suara Allissa juga meninggi. Pantas kakinya berlari meninggalkan papa dan neneknya. Air mata dah meluncur laju menuruni pipinya. Kenapa semua orang tak faham yang dia memang rindukan auntie Ain? Dia tak tipu. Dia nak jumpa auntie Ain. Sampai hati papa.
“Adoi, merajuk lagi. Lissa...Lissa. Tak fahamlah papa macam ni.” Syed Muammar picit kepalanya yang makin berdenyut. Dia mengeluh berat.
“Dahlah tu. Lissa tu budak-budak lagi. Nanti Ammar pujuklah dia. Dah, masuk. Dah nak Maghrib ni.” Puan Maziah pun dah tak tahu nak cakap apa. Allissa tu dah macam sayang sangat dekat Ain. Macam dah tak boleh nak berpisah. 



Bab 10

Syed Muammar tak jadi melangkah masuk ke dalam rumah bila dia menangkap suara orang ketawa di taman. Dia menjenguk ke arah suara itu. Allissa! Aik? Dah sihat ke? Bukan main kuat lagi anak daranya tu ketawa. Tengah berborak dengan siapa? Syarifah Maisara? Macam bukan. Syed Muammar tak puas hati. Pagi tadi sebelum pergi kerja, badan Allissa masih panas. Muka pun pucat. Langkah diatur laju menuju ke arah anaknya.
“Hai sayang. Dah sihat ke anak papa ni?” Tubuh kecil itu diraih ke dalam pelukan. Dahi puteri kesayangan dikucup penuh kasih. Dah tak panas macam semalam. Muka pun ceria semacam.
“Mestilah dah. Auntie Ain kan ada.” Sepantas kilat Syed Muammar berpaling ke arah wanita yang duduk bersama-sama dengan anaknya. Terlupa. Pandangan mereka bersatu. Ain segera menundukkan wajah bila dirasakan pandangan mata Syed Muammar agak berlainan. Marah ke? Tapi kenapa? Nak senyum pun tak jadi.
Syed Muammar masih diam. Usahkan nak tegur, senyum pun tak nampak. Ain jadi tak senang duduk. Mamat ni dah kenapa? Dia ada buat salah ke? Agak-agaklah sikit kalau nak tenung orang pun. Datang jenguk anak dia yang sakit aje kut? Takkan tu pun tak boleh. Kalau bukan sebab Puan Maziah yang telefon suruh dia datang, dia pun tak ingin nak datanglah.
“Papa, kenapa papa tengok auntie Ain macam tu? Papa suka kat auntie Ain ya?” Senyum Allissa dah sampai ke telinga. Mestilah papa dia suka sebab auntie Ain kan baik. Cantik.
Syed Muammar segera mematikan renungannya. Dia kembali menghadap puteri kesayangannya. Budak ni, mulut tak ada insurans ke? Dia berdehem kecil, cuba mengurangkan rasa malu ditegur begitu oleh anak sendiri. Jangan nak perasan. Dia cuma nak tengok betul-betul perempuan yang si Allissa ni rindu sangat. Nampak macam biasa-biasa saja.
“Mana ada. Pandai-pandai aje anak papa ni. Dahlah, jom kita masuk. Dah petang sangat ni.”
Ain rasa kulit wajahnya kebas. Kenapa hati dia rasa sakit semacam aje ni? Berdegup kalah orang lari pecut. Malunya!
“Alah papa. Auntie Ain baru aje sampai. Lissa tak puas lagi berborak dengan auntie Ain. Kalau papa nak masuk, papa masuklah. Lissa nak duduk sini dengan auntie Ain,” rengek si manja. Ain tak masuk campur. Macam mana nak cakap kalau nak buka mulut dia rasa payah semacam. Dah macam kena gam aje bibirnya. Nak telan liur pun rasa tersekat.
“Lissa...sayangkan tak sihat sepenuhnya lagi. Nanti, kalau sakit lagi macam mana? Papa juga yang susah tau.” Tak tahu kenapa dia rasa tak sedap hati bila anaknya terlalu rapat dengan perempuan ini. Macam ada yang tak kena aje.
“Lissa dah sihatlah papa. Papa rasa dahi Lissa, dah tak panaskan?” Allissa menarik tangan papanya dan meletakkannya di atas dahinya. Dia tak tipu. Dia memang dah sihat sepenuhnya.
“Tak panaskan? Hah, tu maknanya Lissa dah sihat.” Allissa pamer senyum lebar. Ain pula rasa nak tergelak. Bijak betul budak ni.
“Auntie, auntie cakaplah dekat papa yang Lissa dah sihat.” Seboleh-bolehnya dia nak papanya tahu yang dia memang dah sihat. Ain terkedu. Dia nak cakap apa? Dia pandang sekilas ke arah Syed Muammar. Nak cakap dekat mamat ni? Tak payah kut.
“Ok. Papa percaya. Dahlah, papa nak masuk. Jangan lama-lama sangat kat luar.” Akhirnya si papa dah mengalah. Syed Muammar geleng kepala. Macam-macam betul anaknya yang seorang ini. Tak pernah nak kalah.
“Oppsss...tunggu dulu papa. Lissa rasa nak pergi toiletlah. Boleh tak papa temankan auntie Ain sekejap? Sekejap aje. Ok, papa.” Tak sempat Syed Muammar nak cakap apa-apa, Allissa terlebih dahulu melompat dari kerusi dan berlari ke dalam rumah. Dah tak tahan sangat agaknya. Nasib baiklah si Allissa ni sorang aje anaknya. Kalau ada sepuluh yang macam ni, memang bersara awallah dia.
Alamak, Allissa ni pun. Waktu ni jugalah dia nak pergi toilet. Ain garu kepala. Dia pandang Syed Muammar yang membelakanginya. Atas bawah. Tegapnya badan dia. Pandangan Ain jatuh ke lengan Syed Muammar yang separuh terdedah apabila lengan baju kemeja biru yang dipakai oleh lelaki itu dilipat hingga ke siku. Ala-ala Adi Putra. Eh, Ain. Apa yang kau tengah buat ni? Cepat-cepat dimatikan lamunan yang entah apa-apa tu. Boleh pula dia fikir sampai ke situ. Gila!
Syed Muammar masih bercekak pinggang. Allissa suruh dia temankan perempuan ni. Apa dia nak buat? Takkan nak berdiri macam patung cendana aje kat sini? Nak kena berborak ke? Nak cakap apa? Perlahan-lahan dia memusingkan badannya menghadap Ain. Perempuan itu hanya tunduk memandang meja. Bibirnya terkatup kemas. Syed Muammar garu kepala. Sopan ke kalau dia masuk aje dalam rumah?
Ain angkat sedikit wajahnya. Cuba beranikan diri untuk senyum. Dah datang rumah orangkan, takkan nak buat sombong pula. “Kalau Encik Syed nak masuk pun, tak apa. Saya boleh tunggu kat sini.” Alamak, kenapa suara dia bergetar? Cakap dengan papa Allissa aje kut. Adoi.
“Hmm...” Memang itu pun yang dia nak buat. Bukan ada faedah pun dia duduk kat sini. Syed Muammar kembali memusingkan badannya. Dia berjalan selangkah sebelum kembali memusingkan badannya menghadap Ain semula. Dia perlu dapatkan kepastian.
“Err...boleh saya tanya sesuatu?” Ain angkat kening sebelum mengangguk perlahan. Dia pandang tepat ke wajah Syed Muammar. Tertanya-tanya apa yang nak ditanya oleh Syed Muammar.
“Awak ada bagi anak saya tu makan apa-apa ke?” Nah, straight to the point. Syed Muammar tak pandai nak tanya bengkang-bengkok. Maaflah.
“Hah?” Apa jenis soalan ni? Ain tak tunggu lama, dia angguk. Dah orang tanya, dia jawablah.
Syed Muammar kerut dahi. Jujurnya! Patutlah si Allissa tu angau semacam aje. “Awak bagi dia makan apa?” Muka aje macam suci. Dengan budak pun kau main kotor ya.
“Ni.” Ain tunjuk ke arah pinggan yang berisi buah anggur yang dibawanya tadi. Dia tak tahu nak bawa apa. Ini aje yang sempat di beli.
Syed Muammar tenganga. Rasa marahnya sebentar tadi seakan lenyap tiba-tiba. Lurus bendul betullah perempuan ni. Patutlah jujur sangat jawab.
“Encik Syed nak?” Ain hulur pinggan yang berisi anggur kepada Syed Muammar. Cepat-cepat Syed Muammar geleng kepala.
“Awak makanlah. Saya masuk dulu.” Cepat-cepat dia melangkah pergi. Adoi... apa ke lurus bendul sangat dia tu? Tanpa sedar bibirnya mengulum senyum. Ada juga orang macam tu.
“Hai, Ammar. Apa yang senyum-senyum tu? Dah jumpa Ain kat luar?” tanya Puan Maziah. Apa kena pula dengan anaknya ni senyum sorang-sorang?
“Hah? Dah.” Mati terus senyumnya. Mama, jangan fikir bukan-bukan ok!
Puan Maziah pandang anaknya yang sudah hilang ke tingkat atas. Perlahan-lahan, bibirnya juga turut menguntum senyum. Boleh tak dia nak fikir lebih sikit? Tak salahkan? Kalau ya pun, dia memang tak ada bantahan langsung. Sokong seratus peratus. Allissa lagilah. Memang melompatlah cucunya tu nanti.
 

  
hohohohoho...sampai sini je ek korangsss....nnt dapatkan versi cetak tau utk tahu kisah selanjutnye..hehe..kalo nk tau la..kalo takmo tahu pun takpe..hahahahahahha....anyway..thnks korangss sbb support kitew...huhu..tak sangka da 4buah novel kite buat...sobsss...tak penah mimpi boley smpai ke tahap ni..ingatkan stop smpai Sepupuku Suamiku je...huhuhuhu....inshaaAllah...kitew akan terus menulis jika masih ada yg sudi baca...doakan kite terus diberikan kekuatan dan ilham utk berkarya ye kawan2...hehe...sayang korang ketat2..muahhhsssss...





2014-05-24

Saya Pilih Awak 7



 Bismillahirrahmanirrahim....
Assalamualaikum dan salam sejahtera... i iz penat to d max!!ohokkksss...baru balik dr kenduri kawen sepupu...da la smlm smpt tdo 3 jam je..sobss...mana cukup baby tdo 3jam...LOLZZZZ...muntah pepel pink...tp skrg kepala sy mmg sedang terhuyung-hayang...eh..tapi still bley type ni lagi...erkkkkk.... apa2 pun..amik la ni...smbgan Saya Pilih Awak...jangan lupa dapatkan novelnye di pasaran...atau order ngan Kaki Novel..atau ngan iollsss...ngeh2...

 
Bab 7
Ain menutup lemah pintu keretanya. Dia betul-betul tak larat hari ini. Ingatkan nak ambil cuti tapi bila difikirkan balik, baiklah dia pergi kerja. Kalau duduk rumah, mesti lagi pening kepalanya memikirkan masalah yang sedang membelenggu. Bikin stres!
“Ain!” Ain tersentak. Alamak, masalah dah datang. Ain berpaling lambat-lambat.
“Fakri...” Lelaki itu sudah terpacak di hadapannya. Raut wajahnya tak payah cakap. Tegang semacam. Ain tertunduk. Tak sanggup nak pandang.
“Kita perlu berbincang.” Tegas. Ain diam tak berkutik. Apa nak buat? Confirm tak boleh lari.
“Saya bagitahu bos dulu.” Fakri mengangguk. Lega hati Ain. Mana tahu, tiba-tiba Fakri buat gila nak berbincang sekarang juga, mati dia.
Beberapa minit kemudian, Ain keluar semula dari pejabatnya. Lambat-lambat dia berjalan menghampiri Fakri. Macam mana dia nak terangkan dekat Fakri ni? Ain gigit bibir. Cuba buat muka tak bersalah. Fakri kat depan macam dah nak makan orang. Berkerut semacam.
“Naik kereta saya,” arah Fakri. Ain hanya menurut. Cari nahas namanya kalau membantah. Fakri ni nampak aje lembut, kalau dah marah, bergegar juga.
Sepuluh minit kemudian, mereka tiba di taman rekreasi. Suasana agak lengang. Cuma ada beberapa orang warga emas yang sedang bersenam. Ain yang sejak dari tadi diam seribu kata sekadar membuntuti langkah Fakri yang sudah tegak berdiri di hadapan tasik buatan yang dipenuhi bunga teratai. Dadanya sejak tadi berdegup kencang.
“Fakri nak penjelasan daripada Ain. Jelaskan semuanya. Saya tak suka tertanya-tanya.” Fakri masih berdiri tegak di hadapan tasik sambil bersilang tangan. Semalaman dia tak dapat nak tidur lena disebabkan hal ini. Ain betul-betul buat dia sesak nafas.
“Soalan saya masih belum dijawab.” Ain masih mahu main tarik tali. Fakri mendengus kasar. Ain sedang mencabarnya. Tolonglah.
“Jawapannya tak penting. Penjelasan Ain lagi penting.”
“Tapi jawapan tu penting bagi saya.” Ain cuba untuk berlagak setenang mungkin. Kalau Fakri sesak nafas, dia lagilah sesak semuanya. Tidur malamnya tak pernah lena sejak kejadian itu.
“Ain...apa hal sebenarnya ni? Mak saya ada marah awak ke? Dia ada cakap dia tak sukakan awak?” Tolonglah berterus-terang. Jawapan dari Ain sangat-sangat dia inginkan.
“Awak ada tanya mak awak pasal benda ni?” Soalan yang dijawab dengan soalan juga. Ain yakin, mesti Fakri tak berani nak tanya mak dia pasal benda ni.
“Tak. Saya nak dengar dulu penjelasan awak.” Dia memang berniat nak tanya emaknya tadi tapi dibiarkan dulu. Selagi dia tak dapat penjelasan dari Ain, selagi itulah dia tak akan puas hati.
Ain menghela nafas berat. Pandangan dibuang ke arah tasik yang kelihatan tenang di hadapannya. Nun di hujung seberang sana ada sepasang warga tua yang sedang duduk berdua-duaan. Mungkin sedang melepas lelah setelah penat bersenam. Kelihatan bahagia. Mampukah dia dan Fakri sebahagia itu? Mampukah dia dan Fakri membina mahligai cinta mereka? Mata yang sudah berkaca ditala ke arah lain. Tak sanggup nak fikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
“Ain...”
“Kadang-kadang, kita tak perlukan kata-kata untuk menyatakan rasa hati. Cukup dengan perbuatan dan lirik mata.” Ain berhenti seketika. Suaranya bergetar. Dadanya berombak.
“Dari gerak-geri dan layanan emak awak pada saya tempoh hari dah cukup buat saya faham apa yang ada dalam hati dia.” Ain tak dapat nak tahan lagi air mata yang sejak tadi mahu menitis. Fakri terdiam. Hilang wajah tegangnya sebentar tadi.
“Apa mak saya cakap dekat awak?”
“Awak tanyalah mak awak sendiri. Dia lebih tahu apa yang dia cuba sampaikan pada saya.” Ain seka air mata yang masih galak mengalir. Sedih mengenangkan ke mana hala tuju cinta yang dibina dan dipertahankan selama tujuh tahun ini. Bahagia atau sebaliknya?
“Fakri minta maaf kalau mak dah sakitkan hati Ain. Fakri betul-betul tak sangka perkara ni boleh jadi macam ni. Fakri cuma nak kenalkan bakal isteri Fakri pada mak.” Fakri meraup mukanya. Mak...kenapa mak buat abang macam ni? Ain tak salah.
“Fakri, apa pun keputusan awak selepas ni, saya terima dengan redha. Saya faham. Awak mesti dahulukan mak awak daripada orang lain.” Pasrahkah dia? Relakah dia untuk melihat semua impian yang diangankan berkubur begitu saja? Dia cuma wanita biasa.
“Apa Ain cakap ni?” Tak senang dengan kata-kata dengan baru keluar dari mulut kekasih hatinya.
“Kita tak mampu nak lawan takdir, Fakri. Andai jodoh ini bukan milik kita, kita harus terima dengan hati yang redha. Tuhan itu Maha Mengetahui.” Sabarlah wahai hati. Yakinlah dengan janji Allah.
“Ain...Fakri cintakan Ain sepenuh hati Fakri. Fakri tak boleh hidup tanpa Ain.” Membayangkan hidup tanpa Ain di sisi adalah perkara yang paling menyakitkan hati. Kenapa Ain begitu mudah mengalah pada dugaan? Tak cintakah Ain pada dirinya?
“Sebanyak mana Fakri cintakan Ain, sebanyak itu jugalah Ain cintakan Fakri. Tapi Fakri kena ingat, walaupun Ain ni isteri Fakri sekalipun, emak Fakri tetap berada pada carta tertinggi. Takkan awak sanggup lihat mak awak menderita disebabkan kita? Tak mungkin kita akan bahagia tanpa restu daripada dia.” Hatinya sakit. Sakit terhiris oleh kata-kata sendiri. Dia tahu, Fakri juga merasakan sakit yang sama. Tapi dia tak mampu nak menyembunyikan rasa hatinya. Dia harap Fakri faham.
“Ain janji dengan Fakri, kita akan kuat lalui semua ini.” Cukuplah. Dia dah tak mampu nak dengar semua itu. Air matanya hanya menunggu masa untuk mengalir.
“Sekuat mana pun kita, kita tak mampu lawan takdir Allah. Dahlah, Ain dah tak mampu nak fikir semua ni. Hantar Ain balik pejabat.” Ain tarik nafas sedalamnya. Hujan di pagi hari. Mungkinkah mentari akan bersinar lagi petang nanti?
Sekali lagi Fakri meraup wajahnya. Cuba menyembunyikan air mata lelakinya yang sudah menitis. Melupakan cintanya dengan Ain adalah perkara yang mungkin tak akan berlaku. Walau apa pun yang bakal berlaku, dia akan tetap cintakan Ain sampai ke akhirnya. Ain yang pertama dalam hatinya dan biar wanita ini jadi yang terakhir juga.
>> 
Fakri menolak kuat pintu rumahnya. Berdentum bunyinya. Hatinya mendesak. Dia mahu tahu dengan segera apa yang dah berlaku antara Ain dan emaknya. Ain tipu? Tak mungkin. Dia kenal Ain bukan sehari dua. Tapi takkan emaknya begitu? Dia kenal emaknya lebih lama daripada dia kenal Ain.
“Mak!” Laung Fakri. Kuat suaranya. Pintu bilik emaknya dikuak. Tak ada. Dia pantas menuju ke dapur.
“Ada apa ni abang? Menjerit-jerit. Cuba masuk tu bagi salam dulu. Mak ada aje kat dapur ni.” Berkerut dahi Maimon. Entah apa kena dengan angin anaknya hari ni. Tangan yang tadinya ligat memotong sayur berhenti serta-merta.
“Mak, abang harap mak berterus-terang dengan abang.” Fakri berdiri tegak di hadapan emaknya. Matanya merenung tajam pada wanita yang melahirkannya itu. Dia mahu cari kepastian.
“Terus-terang pasal apa pula?” Makin berkerut dahi Maimon.
“Pasal Ain.” Mustahil emaknya dah lupa. Perkara tu baru aje beberapa hari berlaku.
“Pasal Ain?” Serta-merta wajahnya bertukar riak. Jadi, budak perempuan yang anaknya berkenan sangat tu dah berceritalah ya? Boleh tahan juga. Pandai mengadu.
“Apa mak dah cakap dekat Ain?” desak Fakri. Bukan masanya untuk berdiam diri. Dia mahukan jawapan.
“Apa dia dah cakap pada abang?” mengendur sedikit suara Maimon. Sayur yang baru separuh dipotong sebentar tadi diambil semula. Dia buat acuh tak acuh saja.
“Itu tak penting. Yang penting sekarang apa yang mak dah cakap dengan Ain. Kenapa mak buat Ain macam tu?” Geram. Tak puas hati dengan sikap emaknya yang buat tak endah saja.
“Apa yang mak dah cakap? Mak tak cakap apa-apa pun. Kenapa dia nak terasa pula?” Bakul berisi sayur dibawa ke sinki. Masih bersikap selamba. Fakri dah kepal penumbuk. Dia tak pernah tengok emaknya bersikap begini. Kenapa dengan emak ni?
“Mak tak suka Ain? Tapi apa salah Ain?” Nampaknya Ain memang tak menipu. Tapi kenapa mak buat macam tu?
“Mak tak cakap pun mak tak suka dia. Yang abang nak marah sangat ni kenapa? Takkan sebab perempuan tu abang nak jadi kurang ajar dengan mak?” Dia berpaling menghadap anaknya.
“Jadi betullah mak ada cakap sesuatu dekat dia?” Fakri meraup mukanya. Apa yang dah berlaku ni? Kenapa mak sanggup buat dia macam ni?
Maimon diam. Mengiakan tidak. Menidakkan pun tidak. Dia tak rasa apa yang dia cakap pada Ain itu salah. Dia rasa dia ada hak untuk tentukan apa yang terbaik untuk anaknya. Dia bukannya tak sukakan Ain tapi dia punya agenda lain untuk anaknya.
“Mak suka atau tak, saya akan tetap pilih Ain untuk jadi isteri saya. Saya cintakan dia dan saya hanya akan bahagia dengan dia.” Tegas. Dada Fakri berombak kencang. Sikap berdiam diri emaknya makin buat hatinya sakit.
“Tak! Mak tak akan setuju,” bantah Maimon. Fakri terdiam. Dia memandang tepat ke arah emaknya.
“Budak tu tak sesuai dengan keluarga kita. Mak tak boleh terima dia.” Maimon nekad. Dia dah janji dengan Kinah. Dia dah janji dengan Maya. Dia tak boleh mungkir janji.
“Tapi kenapa? Ain tu baik. Apa yang tak cukup lagi?” Fakri betul-betul tak mengerti. Perempuan macam mana lagi yang mak inginkan?
“Mak dah ada pilihan lain.” Fakri terlopong. Pilihan lain? Apa yang mak cakap ni? Sejak bila dia perlukan pilihan? Dia tak perlukan semua itu sebab dia dah pilih Ain. Pilihan pertama dan terakhir.
“Apa mak cakap ni? Pilihan? Mak, saya tak mahu pilihan mak. Saya dah ada pilihan saya sendiri dan pilihan saya tetap Ain. Saya tak akan pilih yang lain.” Itu pendiriannya. Tak akan berubah. Biarlah apa pun nak jadi. Dia tak akan pilih yang lain.
“Baik, abang boleh pilih Ain tapi jangan harap abang boleh jejakkan kaki abang ke sini lagi. Mak pun tak ada anak derhaka macam abang!” Jika Fakri boleh berdegil, dia pun boleh dan dia tak main-main.
Sekali lagi Fakri terpana. Dia betul-betul tak kenal dengan wanita yang sedang berdiri di hadapannya ini. Tak pernah terjangka wanita yang mengandungkan dirinya selama sembilan bulan dan membesarkannya ini sanggup berkata begitu? Emakkah ini?
“Mak!” Fakri kehilangan kata-kata. Dia kecewa. Betul-betul kecewa. Apa salah Ain? Apa kurangnya Ain? Dia tak nampak cacat cela gadis itu di mana-mana. Ain begitu baik.
Fakri tak menunggu lama. Hatinya remuk redam. Langkah diatur laju. Seketika kemudian kedengaran deruman kereta meninggalkan perkarangan rumah. Maimon terduduk di kerusi. Segala kekuatannya hilang. Bergetar badannya. Bertakung air matanya. Memang patut Fakri marah dengannya. Memang patut Fakri rasa sakit hati. Tapi dia bukan sengaja. Dia terpaksa. Terpaksa kerana janji yang dah diikat. Terpaksa kerana budi yang dah ditabur.
“Maafkan mak, abang.” Air mata tak terbendung. Sakit hati Fakri, sakit lagi hatinya. Kerana janji, dia terpaksa memusnahkan kebahagiaan anak sendiri. Dia tak berdaya. Memungkiri janji bermakna memutuskan hubungan saudara dengan satu-satunya saudara kandung yang dia ada. Dia tak sanggup.