2015-08-13

kerana aku wanita 10



Mak Jah mengeluh perlahan. Wajah Hana dipandang tanpa perasaan. Tak tahu mahu anggap apa yang Hana baru sampaikan ini sebagai dugaan atau rezeki. Anak matanya dilarikan pula ke arah Mak Wan, rakan baiknya. Apa alasan terbaik yang dia boleh berikan?
“Hadi sendiri yang buka mulut. Kami pun tak ada halangan.” Mak Wan senyum lebar. Mak Jah memaksa diri untuk senyum.
“Kita pun dah lama kenal Mak Jah. Rasanya elok sangatlah ni.” Tambah Hana. Makin serba-salah Mak Jah dibuatnya. Sepatah kata pun masih belum keluar dari mulut Mak Jah. Duduknya juga tak tenang.
“Kamu macam tak setuju aje Jah? Kamu tak suka ke?” soal Mak Wan bila dilihatnya Mak Jah hanya diamkan diri.
“Bukan macam tu Wan. Kau pun tahu keadaan Sarah sekarang ni. Aku rasa sekarang ni bukan masa yang sesuai nak bercakap pasal benda ni.” Rasanya alasan itu sudah cukup kuat untuk dia menolak lamaran keluarga Hadi. Sarah tak layak untuk lelaki sebaik Hadi. Dia bukannya mahu menolak rezeki tapi dia tak mahu bersubahat. Tak mahu menipu kawan baiknya ini. Susah nanti jika rahsia terbongkar.
“Aku faham Jah. Kami bukannya nak suruh mereka nikah sekarang. Bila keadaan Sarah dah pulih nanti, kita buatlah.” Mak Wan faham. Mereka tak mendesak. Bukan senang untuk Sarah terima orang lain secara mendadak begini. Mereka boleh beri masa.
“Aku...Aku....” Payah untuk Mak Jah menjawab. Keadaan mungkin tak sesukar ini jika Sarah tak mengandung dan gugur. Mak Jah mengeluh lagi.
“Sarah tak boleh terima Hadi, Mak Wan. Sarah minta maaf.” Ketiga-tiga pasang mata serentak berpaling ke arah Sarah yang berdiri tegak di pintu dapur. Wajahnya sugul. Masih pucat. Mak Jah telan liur. Dalam hati dia bersyukur, Sarah muncul tepat pada waktunya.
Sebenarnya, Sarah dah dengar semuanya sejak dari awal. Sengaja dia diamkan diri di sebalik dinding. Dia tahu niat Hadi baik. Tapi dia bukan wanita yang diidamkan lelaki sebaik Hadi. Jurang mereka amat jauh. Terlalu jauh. Dia wanita jahat. Dia wanita kotor. Mahkotanya sebagai perempuan sudah lama hilang. Mana mungkin mereka boleh bersatu.
“Ustaz Hadi lelaki yang baik. Dia layak untuk dapat wanita yang baik. Sarah minta maaf Mak Wan. Tak mungkin Sarah akan terima Ustaz Hadi.” Tertahan-tahan katanya dek kerana menahan sebak di dada. Hadi yang menjadi dambaan setiap ibu-ibu untuk dijadikan menantu. Sarah pasti, emaknya juga. Tapi itu tak mungkin terjadi.
“Sarah, Hadi pun banyak yang kurang. Tak semestinya dia ada pangkat ustaz, lulusan Al-Azhar, dia kebal dari melakukan dosa. Semua tu tak ada jaminan.” Hana yang sudah berdiri di sebelah Sarah menggenggam perlahan tangan sahabatnya itu. Sebelum ini pun dia pernah nak jodohkan Sarah dengan Hadi tapi waktu itu Sarah juga menolak. Mungkin kerana waktu itu arwah Roy masih ada.
Sarah geleng kepala. Berilah apa-apa sahaja alasan. Dia tak akan terima. Dia tahu siapa dirinya. Walau apa pun yang terjadi, Roy masih lagi tetap ada di hatinya. Melupakan Roy adalah sesuatu yang mustahil. Dia tak akan dan tak mahu lupakan lelaki itu. Roy terlalu kuat pengaruhnya terhadap dirinya.
“Mak Wan, Kak Hana, terima kasih sebab ambil berat pasal Sarah. Tapi Sarah betul-betul minta maaf. Sarah tak dapat terima lamaran ni. Sarah doakan Hadi akan jumpa wanita yang setaraf dengan dia. Sampaikan salam Sarah untuk Hadi.” Laju air matanya mengalir. Mak Jah juga turut mengesat air matanya.
Hana hanya mampu melihat Sarah berlalu pergi. Dia pandang Mak Jah dan emaknya. Sungguh dia kecewa tapi dia harus terima semua ini dengan lapang dada. Mungkin Sarah bukan jodoh yang Tuhan tetapkan untuk Hadi. Ini juga bukan alasan untuk mereka bermasam muka. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah.
“Mak Jah pun minta maaf Hana. Mak Jah tak dapat nak ubah keputusan Sarah. Mak Jah tak mahu paksa dia. Wan, aku minta maaf.” Tangan Mak Wan digenggam kemas. Betapa hatinya kecewa. Memang Hadi adalah calon menantu yang terbaik tapi Sarah tidak.
“Tak apalah Jah. Mungkin bukan jodoh budak-budak ni. Tuhan tahu apa yang terbaik dan ini mungkin yang terbaik buat kita semua. Aku akan sentiasa doakan Sarah temui seseorang yang dapat menjaga dia.” Tubuh Mak Jah diraih ke dalam pelukannya. Walaupun hatinya sedikit kecewa tapi dia redha.
Sarah tatap gambar arwah Roy. Gambar itu juga sudah basah dengan air matanya. Kenapa begitu cepat Roy tinggalkannya? Dia perlukan lelaki itu. Sudah seminggu dan hakikat itu masih belum dapat diterimanya. Tolong khabarkan kepadanya yang ini semua hanyalah mimpi.
“Sampai bila kamu dah meratap macam tu? Orang yang dah mati tak boleh hidup semula.” Mak Jah berdiri tegak di hadapan pintu bilik Sarah. Dia akui hatinya sangat kecewa tapi air mata Sarah buat hati keibuannya pilu. Sarah mengalih pandangan ke luar.
“Mak Wan telefon tadi. Dia cakap Hadi terima keputusan kamu.” Baju-baju Sarah yang berselerak di atas katil dicapai dan dilipat. Sarah tak beri respons. Masih kaku memandang ke luar melalui tingkap bilik.
“Mak tahu Mak Wan kecewa tapi mak rasa dia akan lebih kecewa kalau kamu kahwin dengan Hadi dan….”
“Sarah nak balik esok.” Tak sempat Mak Jah habiskan ayatnya. Berkerut dahinya dengar keputusan Sarah.
“Kamu larat ke?”
“Sarah sihat mak. Sarah dah boleh terima kenyataan.” Betul ke dia dah boleh terima kenyataan? Dia sendiri tak pasti tapi dia perlu balik. Dia tak mahu emak dengan ayah risau lihat keadaan dirinya. Lagipun cutinya dah habis.
“Betul ke ni? Cutilah dua tiga hari lagi.” Kalau Sarah tak ada depan mata lagilah dia risau. Entah apa pula yang Sarah lakukan kalau duduk seorang diri di sana.
“Cuti Sarah dah habis mak. Sarah kena kerja. Mak tak payah risau. Sarah ok.” Mungkin bila sibuk dengan kerja akan buat dia lebih baik. Mungkin…
“Hmmm… Suka hati Sarahlah. Mak tak nak paksa.” Nasihat banyak-banyak pun bukan Sarah nak dengar. Buatlah apa yang dirasakan terbaik. Baju-baju Sarah yang berselerak tadi sudah dikemaskan. Mak Jah meninggalkan Sarah yang masih tak berganjak dari kedudukannya.
Sarah mengeluh berat. Kepala ditundukkan. Keputusan serta-merta yang dibuat. Tiba-tiba dia sendiri jadi tak pasti. Mampukah dia? Sarah memeluk lutut. Perasaan takut menerpa. Takut untuk berhadapan dengan realiti. Menggigil tangannya.
“Allah…” Panggilan agung itu tercetus di bibirnya. Adakah ini balasan-Nya? Sarah dapat rasa tekanan yang amat hebat di dadanya. Sesak nafas jadinya. Dia terbaring lemah. Mata cuba dibuka tapi dia tak mampu. Kepala memberat. Dia tewas.
>> 
Bonet kereta ditutup. Keputusan untuk pulang tetap diteruskan walaupun badan terasa lemah. Wajahnya juga masih pucat. Sarah tahu emak dan ayah risau tapi ini saja cara untuk dia kurangkan rasa bersalah. Bila lihat wajah emak dan ayah, dia makin rasa bersalah. Walaupun emak dah tahu dan tak tunjukkan rasa marah, Sarah tahu emaknya pendam rasa.
“Bawak kereta elok-elok. Jangan laju. Kalau penat, berhenti dulu. Makan jangan lupa.” Bergetar suara Mak Jah. Pesanan yang bukan hari ini baru diberikan. Berat hati nak lepaskan Sarah tapi mungkin ini yang terbaik.
“InshaaAllah mak. Mak dengan ayah pun jaga diri. Kalau ada apa-apa, telefon Sarah.” Tangan emaknya digenggam. Air mata sedaya upaya ditahan. Dia harus tunjuk kuat. Tangan emaknya dicium. Tubuh itu diraih ke dalam pelukan. Terlalu banyak dosanya pada wanita yang melahirkannya ini. Maafkan Sarah, mak.
“Ayah, Sarah balik dulu.” Tangan itu pula diraih. Tangan yang mencari rezeki bagi membesarkannya. Tangan yang membesarkannya. Tangan yang tak pernah menyakitinya. Tapi dia dah khianati kepercayaan ayahnya. Maafkan Sarah, ayah.
Lemah langkahnya. Pintu kereta ditutup. Nafas ditarik dalam. Semoga diberikan kekuatan untuk perjalanan yang jauh ini. Sarah cuba untuk senyum. Mahu redakan sedikit kerisauan emak dan ayah.
“Hati-hati Sarah.” Sungguh, senyum Sarah itu tak mampu buat risaunya reda. Makin risau dibuatnya bila kereta sudah bergerak meninggalkan halaman rumah. Air mata diseka. Sarah masih perlu jaga pemakanannya. Sarah masih perlu jaga pergerakannya. Ya Allah, Kau peliharakanlah anakku daripada segala musibah.
“Dahlah tu Jah. Tak payah nak risau sangat. Dia dah besar. Pandailah tu dia jaga diri. Jom masuk.” Tubuh isterinya didorong untuk masuk ke dalam rumah. Dia juga risau tapi dia tahu Sarah mampu untuk hadapi semua ini.
Mak Jah masih diam. Sebab Sarah dah besar dia tambah risau. Lebih-lebih lagi bila berseorangan, jauh dipandangan mata. Setelah apa yang berlaku sebelum ini, lagilah dia risau. Macam mana kalau Sarah buat lagi perkara terkutuk tu? Macam mana kalau Sarah mengandung lagi? Aduh, bagaimana dia tak nak risau? Berdenyut kepalanya.
“Kenapa ni Jah? Awak tak sihat ke?” Risau Haji Man bila lihat isterinya picit kepala. Dahi pun dah berkerut-kerut. Nampak macam sakit sangat.
“Kepala ni tiba-tiba berdenyut pula. Sekejap aje kut bang. Tak payah risaulah.” Tapi dia tak rasa sakit ini sekejap saja selagi persoalan-persoalan tadi masih menghantui. Allah, jauhkanlah Sarah daripada perkara terkutuk itu.
“Itulah awak. Risau tak bertempat. Sarah dah kata dia ok. Maknanya dia oklah tu. Dah, awak rehat aje. Saya nak ke masjid. Tengahari nanti awak tak payah masak. Saya belikan lauk.” Mak Jah akur. Memang dia dah tak larat nak buat kerja. Kepala makin kuat pula berdenyut. Syukurlah masih ada suami yang boleh diharapkan.
Sarah memandu perlahan. Air mata masih bergenang. Dia cuba tumpukan perhatian. Sesekali dia kesat air mata yang mengalir di pipi. Betul ke dia kuat nak hadapi semua ini sendiri? Cengkaman pada stereng dikemaskan. Sekali lagi ketakutan menghantui. Kenapa dia lemah sangat? Sesak nafas kembali menyerang. Tak boleh jadi. Kereta diberhentikan di tepi jalan.
Mata dipejam. Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba untuk menenangkan diri. Sarah, kau kena kuat. Kau tak boleh lemah macam ni. Mak dengan ayah masih perlukan kau. Kau kena kuat Sarah. Kena kuat! Hampir lima belas minit Sarah cuba untuk bertenang. Apabila sudah yakin, barulah dia meneruskan pemanduan.
Radio dikuatkan. Cuba untuk menghalau ingatan pada arwah Roy. Bibirnya cuba untuk mengikut lirik. Tapi hanya serangkap yang dia mampu. Jiwanya tetap tak di situ. Baru setengah jam perjalanan, dia sudah rasa tak mampu nak teruskan. Dia tak mampu nak fokus. Kenapa susah sangat ni? Takkan dia nak patah balik? Tak, nanti emak dengan ayah akan bertambah risau.
Pemanduan tetap diteruskan. Walaupun beberapa kali dihon pemandu lain dan hampir terbabas kerana kepenatan, Sarah tetap kuatkan semangat. Biasanya jarak dari kampung ke rumahnya hanya mengambil masa tiga jam tapi sekarang sudah hampir lima jam dia memandu. Tubuhnya sudah tak bermaya. Rumahnya hanya satu kilometer di hadapan. Peluh memercik walaupun disegarkan dengan pendingin hawa.
Brek tangan ditarik. Sarah lepas nafas lega. Akhiranya. Perjalanan paling mencabar dirasakannya. Dahi dilekapkan ke stereng. Seminit kemudian, badannya disandarkan ke kerusi. Mata dipejam rapat. Badannya sudah tak mampu untuk digerakkan. Enjin masih belum dimatikan tapi Sarah sudah hanyut ke alam mimpi

8 comments:

  1. bila nk keluar ni, xkn nk kena tunggu sthn kot,ke dh stop brkarya. lagi pn saya nk tanya pasal novel jangan merajuk sayang,stock habis. mna tau dk cikgu ada stock.

    ReplyDelete
  2. bila nk keluar ni, xkn nk kena tunggu sthn kot,ke dh stop brkarya. lagi pn saya nk tanya pasal novel jangan merajuk sayang,stock habis. mna tau dk cikgu ada stock.

    ReplyDelete
  3. bila nk keluar ni, xkn nk kena tunggu sthn kot,ke dh stop brkarya. lagi pn saya nk tanya pasal novel jangan merajuk sayang,stock habis. mna tau dk cikgu ada stock.

    ReplyDelete
  4. novel jangan merajuk sayang ada lagi x

    ReplyDelete
  5. novel jangan merajuk sayang ada lagi x

    ReplyDelete
  6. and, novel baru bila nk keluar

    ReplyDelete
  7. novel jangan merajuk sayang ada x lagi sekarang ini

    ReplyDelete
  8. sorry fakhrul ikram..e-novel ini adalah sebahagian drp novel Aku Ada Dia..so boleh dptkan novel tersebut utk smbungan e-novel ini..n for novel jangan merajuk sayang...boleh order dengan Penerbitan Kaki Novel..tq :)

    ReplyDelete