2011-08-15

tanya sama hati 2

terimalah citer yg tak seberapa ni hasil tangan sy yg terbaru....smbgan yg dulu...ermm...agak2 3/4 bulan lepas..hehehehehe....


Payah betul rasanya nak melelapkan mata. Sepasang mata milik pujaan hatinya asyik mengganggu tidurnya. Bibirnya mengulum senyum setiap kali teringatkan peristiwa siang tadi. Macam mimpi. Seolah-olah macam kisah dongeng. Puteri raja yang diselamatkan oleh putera raja yang sangat kacak. Ah, syoknya. Ika mula mengelamun.

“Hoi mak cik. Yang kau tersengih-sengih tengah-tengah malam buta ni apahal?” Sergahan Syarifah menghapuskan semua angan indah yang diciptanya sebentar tadi. Tak sempat nak naik kuda. Apalah si Syarifah ni. Mengacau saja kerjanya.

“Ish, mana ada aku sengih. Aku tengah tidurlah ni. Kacaulah.” Ika memusingkan badannya membelakangkan Syarifah.

“Alah, tak payah nak tipu aku. Aku tahu.” Pantas mata Ika terbuka. Dia kembali memusingkan badannya mengadap Syarifah. Apa yang kawannya tahu?

“Apa yang kau tahu?” Mukanya mula membahang. Mana si kepoh ni dapat tahu? Siapa lagi yang tahu. Malunya.

“Aku tahulah kau tak tidur lagi. Eh, kau tak jawab lagi soalan aku petang tadi.” Fuh, lega! Ika hela nafas lega. Nasib baik tak pecah rahsia.

“Soalan apa pula kau ni? Aku nak tidurlah.”

“Nyanyuk betullah kau ni. Kenapa kau masuk kelas lewat lepas rehat tadi? Masuk-masuk aje, terus diam tak bercakap. Kau kena sampuk ke? Manalah tahu kau pergi jaga tempat jin bertendang sana.” Memang celuparlah mulut minah seorang ni. Pantas ingatannya pada peristiwa pagi tadi terlayar di depan mata. Tiba-tiba sahaja pergelangan tangannya terasa perit.

“Aku bertugas macam biasalah.”

“Tapi tadi tu lewat sangat. Biasanya kau bertugas lima minit saja. Kau nak memonteng ya?” Serkap Syarifah.

“Gila kau. Apa faedahnya kalau aku ponteng kelas.” Apa punya kawanlah. Aku sikit punya baik.

“Aku gurau sajalah. Aku tahulah kau tu best student. Setiap kali ujian mesti dapat high score. Habis tu kau pergi mana?” Masih tak mengalah. Ika buat-buat tak dengar. Matanya dipejam rapat. Kadang-kadang, ada perkara yang perlu dirahsiakan juga walaupun dengan kawan baik sendiri. Maaf ya Syarifah. Perkara tu, biarlah rahsia.

“Ika, kau dengar tak aku tanya ni?” Tubuh kurus kawannya digoncang-goncang. Tak ada tindak balas. Syarifah merengus. Geram betul.

“Tak apalah. Dah tak sudi nak kawan dengan kita.” Syarifah merajuk. Dia menapak ke katilnya. Matanya pun sudah mengantuk.

‘Sorrylah Sya. Aku tak boleh nak cakap kat kau. Esok ajelah aku pujuk kau.’ Ika menyambung tidurnya. Harap-harap putera pujaan masih setia menunggunya bersama kuda putih.

>>

Ika meletakkan pen di tepi kertas ujian. Masih ada sepuluh minit sebelum masa tamat. Jawapannya disemak semula. Agak berpuas hati dengan jawapan yang diberi. Nasib baik ujian kali ni tak berapa susah.

“Baik pelajar semua. Masa menjawab dah tamat. Sila letakkan pen.” Ika menghela nafas lega. Subjek terakhir untuk ujian kali ini.

“Ish, susah betullah. Cikgu Siti kata soalan senang aje. Senang apa kalau macam tu. Pecah kepala nak fikir. Sengallah.” Bebel Syarifah. Tak habis-habis membebel. Dari hari pertama hingga ke hari terakhir hari ini, itu sahaja yang dibebelkannya. Naik berbulu telinga ni mendengar.

“Habis tu kau asyik fikir susah aje, memanglah susah jadinya. Cuba kau fikir senang, senanglah jadinya.” Tempelak Ika. Pau kacang dikunyah perlahan. Sudah tak ada selera nak makan benda lain. Maklumlah esok nak balik kampung.

“Kau senanglah. Memang bijak. Aku ni, baca sepuluh kali pun tak lekat-lekat kat otak.” Air pandan disedut laju.

“Ish, tak baik kau cakap macam tu. Kalau kau tak pandai, macam mana kau boleh masuk sekolah ni. Kau pun pandai, Cuma malas sikit aje.” Syarifah mencebik. Pandailah nak memujuk. Dah muak mendengar.

“Hah, ini dia si Negro tu.” Ika berhenti mengunyah. Syarifah yang tengah panas jadi makin berapi. Memang cari nahas.

“Hoi mangkuk. Kau orang kalau tak mengacau orang sehari tak boleh ke? Apa, kalau tak mengejek sehari, kau orang boleh mati ya? Kalau macam tu elok sangatlah. Mati lagi bagus daripada kau orang hidup. Menyusahkan mak bapak aje.” Syarifah dah bercekak pinggang. Merah padam mukanya menahan marah.

“Eh, mak bapak jangan sebut ok. Kau apahal? Ada aku mengata kau ke? Baik kau berambus sebelum muka kau tu pecah.” Ika telan liur. Kadang-kadang si Syarifah ni terlampau berani.

“Sya, dahlah tu. Aku ok je.” Ika cuba menarik tangan sahabatnya tapi ditepis.

“Apa kau ingat aku takut. Cubalah kalau berani. Hoi mangkuk, cuba kau cermin dulu muka kau tu. Kau ingat muka kau tu hensem sangat ke? Muka macam bangunan tak siap, ada hati nak mengutuk orang. Sedarlah sikit.” Berombak dadanya menahan marah. Berubah terus muka mamat di hadapannya. Kulit cerah lelaki itu bertukar merah. Telinga pun sama.

“Mulut kau tu jaga sikit. Silap haribulan tak boleh bercakap terus.” Penumbuk dikepal. Egonya tercabar. Dikutuk oleh seorang gadis. Memang tak boleh dimaafkan.

“Hah, apa kau tunggu lagi. Tumbuklah kalau kau berani.” Syarifah sudah menyuakan mukanya. Makin berani.

“Sya, sudahlah tu. Bahaya.” Tubuh kawannya ditarik sedikit menjauhi pelajar lelaki yang besarnya lebih satu kali ganda daripada mereka.

“Ah, aku tak peduli. Kau ingat dia orang tu berani sangat ke? Muka saja nampak macam samseng, tapi hati macam kucing.” Sesedap rasa sahaja si Syarifah itu mengutuk.

“Apa kau cakap?” Pelajar lelaki itu sudah hilang sabar. Penumbuknya diangkat. Tinggal seinci sahaja sebelum sampai ke muka Syarifah. Nasib baik kawan-kawannya sempat menghalang. Kalau tak memang lebam sebelah muka cantik Syarifah.

“Faizul! Ikut saya ke pejabat sekarang. Syarifah, kamu pun sama.” Hampir luruh jantung kedua-duanya bila mendengar jerkahan Cikgu Zaid. Memang cari nahas.

“Tu lah kau Sya, aku dah cakap. Jangan lawan dengan dia orang. Kan dah susah.” Ika dah tak tahu nak cakap apa. Memang Syarifah panas baran. Pantang silap sikit, melentinglah dia.

“Ah, aku tak kisah. Bukan salah aku pun. Mamat bengong tu yang salah. Buat apa aku nak takut.” Masih dengan sikap panas barannya. Sabar sajalah. Semua yang berada di kantin hanya memerhati dua pesalah itu.

“Apa nak jadi dengan kamu berdua ni? Dah tak nak sekolah? Nak jadi samseng pula?” Berdesing telinga Syarifah mendengar. Faizul hanya menunduk. Ini bukan kali pertama dia berdepan dengan guru disiplin. Minggu lepas pun dia dah jumpa. Tapi tak pandai serik.

“Bukan salah saya cikgu.” Syarifah cuba mempertahankan dirinya.

“Kamu diam. Saya tak habis cakap lagi.” Syarifah ketap bibir. Kepalanya ditunduk ke bawah.

“Faizul, saya tak tahu ini sudah kali ke berapa. Tiap-tiap minggu muka kamu sahaja yang datang mengadap saya. Apa nak jadi dengan kamu ni? Kamu kena ingat, tahun ni kamu SPM. Takkanlah sebab bergaduh dengan budak perempuan kamu sanggup kena gantung sekolah. Kamu tak fikir masa depan ke? SPM dah dekat. Tinggal dua bulan saja lagi. Apa salahnya kamu simpan dulu perangai samseng kamu tu. Lepas SPM nanti, kamu nak jadi samseng ke, nak jadi jin ke, nak jadi apa ke, lantak kamulah. Tapi buat masa sekarang, kamu masih di sekolah dan sekolah ni ada peraturan.” Cikgu Zaid tarik nafas. Kepala digeleng beberapa kali.

“Kamu faham tak apa yang saya cakap ni Faizul?” Faizul hanya mengangguk. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Macam biasa.

“Hah, kamu Syarifah. Apa masalah kamu sebenarnya ni? Dengan budak lelaki pun nak bertumbuk. Kamu ingat sikit, kamu tu perempuan. Jaga sikit tingkah laku kamu tu. Kamu fikir, ada ke orang yang nakkan kamu kalau kamu buat perangai macam ni?” Faizul tergelak kecil. Padan muka. Tak macam perempuan langsung. Syarifah merengus kasar. Kurang asam betul.

“Tapi dia yang mulakan dulu cikgu. Dia yang menghina Zulaikha dulu. Saya cuma nak pertahankan Zulaikha saja.” Tak boleh berdiam diri. Kebenaran mesti ditegakkan. Tak boleh biarkan yang salah terus berkuasa.

“Betul Faizul?” Peluh mula memercik di dahinya.

“Mana ada cikgu. Dia yang terlebih-lebih. Saya cuma menegur saja. Mana ada saya hina dia.” Bukannya susah sangat pun nak reka cerita bohong. Syarifah ketap bibir geram.

“Eh, kau jangan pandai-pandai nak reka cerita pulak kat sini. Yang kau panggil dia Negro tu apa? Bukan menghina namanya tu? Patutlah Bahasa Melayu selalu gagal.” Ejek Syarifah. Memang dia tak puas hati.

“Apa kau cakap?”

“Memang betul pun kan?” Tak mahu mengalah.

“Sudah-sudah. Tak habis-habis. Depan saya pun kamu nak gaduh ke? Nanti saya bagi surat gantung sekolah baru kamu tahu.” Gertak Cikgu Zaid. Macam-macam hal budak-budak sekarang ni.

“Eh, kalau cikgu nak bagi surat gantung sekolah, cikgu bagi kat dia saja sebab dia yang salah. Saya tak salah apa-apa.” Syarifah tetap mempertahankan dirinya. Dia tak nak kena gantung sekolah.

“Apa pulak. Kau yang mula dulu.” Memang dasar perempuan muka tembok.

“Saya kata sudah! Memang tak seriklah kamu berdua ni. Karang ada yang saya nikahkan terus kat sini.” Terbeliak mata Syarifah mendengar kata-kata cikgu disiplinnya itu. Gila ke apa nak kahwin dengan mamat tiga suku macam tu. Dah lah cakap berbelit-belit. Kaki penipu. Simpang malaikat empat puluh empat.

“Hish, bagi percuma pun tak nak.” Pantas Faizul geleng kepala.

“Dah, ini amaran terakhir saya. Kalau lepas ini kamu buat lagi, saya tak akan teragak-agak gantung kamu dari sekolah. Faham?” Kedua-duanya mengangguk. Lega bila diberi pelepasan. Kalau tak, mahunya kena gantung sekolah.

“Dan kamu Faizul, lepas ni saya nak kamu tumpukan pada pelajaran kamu. Masa depan kamu jauh lagi. Jangan musnahkan masa depan kamu tu hanya kerana perangai samseng kamu tu.” Faizul mengangguk lemah. Kedua-duanya keluar dari bilik Cikgu Zaid dengan perasaan bercampur-baur. Antara lega dan tak puas hati. Geram pun ada.

“Macam mana Sya? Kau ok ke?” Ika yang dari tadi menunggu di luar bilik guru disiplin terus mendapatkan kawannya. Tak senang duduk dibuatnya.

“Aku ok. Cuma aku tak puas hati aje. Macam mana cikgu boleh lepaskan mamat sengal tu. Memanglah nak kena dengan aku.” Tak serik lagi.

“Dahlah tu Sya. Nasib baik kau tak kena gantung sekolah. Kau jangan layan sangat sikap panas baran kau tu. Bahaya.” Nasihat yang entah ke berapa kali. Dah jenuh mulutnya membebel.

“Aku tahulah Ika. Tapi memang tak puas hati betullah. Siaplah dia lepas ni.” Masih dengan sikap keras kepalanya. Nak juga dia balas dendam.

“Sya!” Geram sungguh kalau nasihat kita tak diendahkan. Orang bagi nasihat untuk kebaikan dia. Ika menapak laju meninggalkan Syarifah. Panggilan kawannya langsung tak diendahkan. Sakit hati.



p/s: sorry eks...cam lama giler baru leh update...lepas nih..xtau la bile lagi leh update...huhuhuhuhuhuhuhuhu.....doa2 la semoga sy diberi ilham yg berpanjangan supaya cerita ini dpt disiapkan dengan kadar segera..hehe

ape2 pun...enjoyzzzzzz!!

No comments:

Post a Comment