2012-04-22

jangan merajuk sayang 9


 pewwwiiittt...minggu ni awal sket..takut xsempat esok...manyak keje..huhuhuhu...terimalah seadanya!!hehehe...enjoyzzzz!!!

Siti Fatimah tak dapat tumpukan perhatian sepenuhnya. Dalam kelas tadi pun entah apa-apa yang dia ajar. Beberapa kali kena tegur dengan anak murid. Hari pun salah tulis. Dua darab dua pun dia boleh salah. Memang kes kronik. Sekarang ni, dah masuk kali ke berapa dia padam apa yang dia tulis dalam buku rekod pengajaran pun tak tahulah.

“Siti ada masalah ke ni? Dari tadi akak tengok lain macam aje.” Tegur Kak Akma di sebelah.

“Eh, tak adalah kak. Penat kut. Semalam tak boleh tidur.” Alasan. Tapi memang dia tak boleh tidur pun. Sebabnya ialah Ryzal.

“Kenapa tak boleh tidur? Ingatkan seseorang ke?” Kak Akma tersengih-sengih.

“Eh, tak adalah kak. Panas kut.” Macam tahu-tahu saja Kak Akma ni. Cecair pemadam diguna lagi. Aduh, habislah buku jadi comot. Fokus Siti Fatimah, fokus.

“Tak nampak pula si Firdaus hari ni. Dengarnya demam. Dia tak bagitahu Siti apa-apa?” Cuba mengajak Siti Fatimah berbicara soal Firdaus. Dia bukan apa, kesian tengok Firdaus yang begitu beria-ia nak memikat hati Siti tapi langsung tak dilayan. Firdaus pun ada minta tolong dia untuk pujuk Siti Fatimah supaya menerima cintanya. Tapi sampai sekarang dia pun masih menemui jalan buntu. Keras betul hati cikgu yang seorang ini.

Lama Kak Akma menunggu. Tak ada jawapan daripada Siti Fatimah. Khusyuk buat kerja. “Siti, dengar tak apa yang akak tanya?” Sekali lagi dia tegur. Tak pernah pula si Siti Fatimah bersikap macam ni. Ini mesti sah ada masalah ni.

“Hah, apa dia kak? Tak dengar pula.” Kak Akma tengah bercakap dengan dia ke? Eh, dia ni dah kenapa? Dari tadi tak boleh nak tumpukan perhatian. Takkan sebab nak jumpa dengan Ryzal semuanya jadi kelam kabut? Tak boleh jadi.

“Akak tanya pasal cikgu Firdaus. Dia tak bagitahu apa-apa ke dengan Siti kenapa dia tak datang sekolah hari ni?” Ulang Kak Akma sekali lagi.

“Firdaus tak datang? Entah, tak ada pula dia cakap apa-apa dengan saya. Lagipun buat apa dia nak bagitahu saya.” Patutlah dia tak nampak mamat sengal tu di mana-mana hari ini. Tak datang rupanya. Baguslah. Kalau datang, buat tambah serabut kepalanya.

“Dia kan rapat dengan Siti. Manalah tahu dia ada bagitahu. Teruk ke demamnya atau ada sakit lain.” Kak Akma geleng kepala. Memang tak ada rezeki Firdaus nak memikat si Siti Fatimah ni. Payah.

“Mana ada rapat kak. Sama saja macam orang lain.” Rapat apanya. Hari-hari bergaduh. Tak ingin pun nak rapat dengan lelaki macam tu.

“Kenapa Siti anti sangat dengan Firdaus tu? Akak tengok bukan main lagi dia cuba nak pikat Siti. Kesian juga kadang-kadang. Asyik kecewa saja.” Soalan yang sering diulang. Naik muak Siti Fatimah nak jawab. Dah dia tak suka nak buat macam mana. Sudahnya, Siti Fatimah hanya senyum. Dah tak tahu nak jawab apa.

“Kak, Siti masuk kelas dulu ya. Lambat nanti, tunggang-langgang pula kelas tu.” Buku Matematik dikelek. Meninggalkan Kak Akma dengan soalan yang tak berjawab. Maaflah kak.

>> 

Ryzal menghirup perlahan minumannya. Norman sedang sibuk melayan SMS. Entahlah daripada perempuan mana. Tersengih-sengih macam orang tak betul.

“Aku dah buat macam yang kau suruh.” Ryzal memecahkan kesunyian di antara mereka. Norman angkat matanya, memandang tepat ke arah Ryzal. Dahinya berkerut.

 “Buat apa?” Apa yang dia suruh Ryzal buat?
Lembaplah kau ni. Tanya mama aku pasal budak perempuan tu.” Ini mesti kes banyak makan semut. Baru cakap semalam dah lupa. Apalah.

“Oh. So, macam mana? Apa yang kau dapat tahu?” Telefon masih di tangan. Orang tengah angau bercinta, macam tulah. Kalau boleh, pergi tandas pun nak bagitahu.

“Nama dia.” Sekali lagi dahi Norman berkerut. Bukan dah tahu ke? Yang si Ryzal kutuk-kutuk tu apa? Bukan nama?

“Bukan kau dah tahu ke? Siti Fatimah kan? Kenapa? Dia ada nama glamour ke?” Ketawanya pecah. Manalah tahu, jadi Fatty ke, Mimi ke. Biasalah tu. Ada nama cantik-cantik, nak juga tukar.

“Bukan. Nama sebenar dia. Siti Fatimah Adrianna.” Satu persatu dia sebut. Senyum terukir di bibir.

“Wow. Habis tu, apa lagi yang kau tahu? Takkan nama aje. Apa barang.” Kalau setakat nama, buang karan aje. Lembap.

“Banyaklah juga. Dia ni cikgu.” Macam menarik saja profil perempuan yang satu ini.

“Cikgu. Mesti jenis yang sopan-sopankan? Macam tak sesuai aje dengan buaya macam kau.” Habislah perempuan tu nanti. Dapat suami kaki perempuan. Kaki disko pula tu.

“Cakap tu baik-baik sikit. Nanti aku potong gaji baru kau tahu.” Dia cuma acah. Walaupun dia ada kuasa, tapi dia tak adalah sekejam itu. Campur adukkan hal peribadi dengan kerja.

“Ok...ok. Jahat betul. Apa lagi?” Telefon bimbit sudah diletakkan di atas meja. Tumpuannya kini beralih kepada cerita Ryzal.

“Hujung minggu ni aku akan keluar dengan dia.” Ternganga mulut Norman. Hebat. Memang dia tabik spring dengan Ryzal kalau bab mengayat. Mantap!

“Pergghh...mantaplah kau. Terus ajak keluar. Dating lagi tu.” Terbukti buaya darat. Entah kenapalah perempuan senang benar melekat dengan mamat yang seorang ni. Ayat sikit saja dah boleh bawa keluar. Mentang-mentanglah kaya. Perempuan sekarang ni bukan boleh tengok lelaki banyak duit sikit.

“Dia yang minta sebenarnya.”

“Kau biar betul? Kiranya, boleh tahan jugalah perempuan ni ya? Apa lagi, sambar sajalah. Orang dah offer, takkan kau nak tolak pula. Barang baik ni beb.” Cucuk Norman. Bertuah badan.

“Aku tak rasa macam tu. Mungkin dia nak siasat diri aku.” Memang dia ada terfikirkan perkara itu semalam. Tak mungkin Siti Fatimah sekadar nak bersua muka dengan dia. Mesti ada agenda di sebaliknya. Orang perempuan ni bukan boleh diduga hatinya. Banyak rahsia tersembunyi.

“Boleh jadi juga. So, apa plan kau?”

“Aku nak tengok setakat mana dia nak siasat aku. Kita tengok sajalah apa dia nak buat.” Berpura-pura baik? Tak mungkin sama sekali. Selagi dia boleh tolak Siti Fatimah, dia akan berusaha. Ingat senang ke nak kahwin dengan Mohd Ryzal Syahmi?

“Beb, katakanlah, ini cuma andaian aku ajelah. Katakanlah lepas kau jumpa dia, kau terpikat dengan dia. Apa kau nak buat?” Soalan cepu emas.

“Aku tak rasa macam tu. Kau pun kenal aku kan? Kalau aku nak pilih calon isteri pun, sekurang-kurangnya mesti cantik macam Siti Nurhaliza, seksi macam Britney Spears.” Punyalah tinggi impian. Jangan dapat yang sebaliknya sudah.

“Kan aku dah cakap tadi. Katakan. Kau ni, soalan senang pun tak faham. Lembap.” Tempelak Norman. Dia pulangkan paku buah keras.

“Nak buat apa? Kahwin ajelah.” Dah berkenan, tak payahlah pening-pening kepala nak fikir lagi. Dah ada rezeki depan mata.

“Hah, itu yang aku nak dengar. Soalan seterusnya. Katakanlah, dia nak jumpa kau hujung minggu ni sebab nak tolak lamaran mama kau. Tapi dalam masa yang sama, kau dah berkenan dengan dia. Apa yang kau akan buat pula?” Kalau tadi soalan cepu emas, sekarang soalan cepu cemas. Ryzal tak segera menjawab. Tak terfikir pula dia. Selama ini, mana ada perempuan tolak Ryzal Syahmi. Semua perempuan berebut-rebut nak jadi makwe dia.

“Banyak betullah soalan kau ni. Aku tak rasa macam tulah. Hei, mana ada perempuan berani tolak Ryzal? Kau ni pun macam baru kenal aku sehari. Come onlah.” Angkuh. Tapi sebenarnya dia terfikir juga. Apa akan berlaku kalau perkara itu terjadi? Ah, tak mungkinlah.

“Aku cakap kalau. Bahasa Melayu SPM kau gagal eh? Orang tanya lain jawab lain.” Sekali lagi dia kenakan bosnya. Bila lagi. Masa nilah. Puas hati.

“Mulut kau tu jaga sikit. Nanti aku betul-betul tolak gaji kau baru kau tahu. Dahlah, aku nak balik ofis. Jom!” Ryzal terlebih dahulu bangun.

“Hoi, air ni siapa nak bayar?” Kurang asam. Aku juga yang kena. Kedekut!

Soalan Norman tak diendahkan. Dia berjalan terus ke keretanya. Soalan dan andaian Norman tadi masih bermain di benaknya. Tapi kalau diikut cara Siti Fatimah semalam, rasanya tak kut. Tak apa. Tak payah pening kepala nak fikir perkara mengarut macam tu. Jumpa dulu. Lagipun, dia tak rasa dia akan berkenan dengan perempuan biasa macam tu.

 >> 

Baju kurung moden warna merah jambu cantik disulam denga labuci itu dibelek-belek. Cantik sulamannya. Kalau dah namanya Bob yang buat, tak payah dipertikaikan. Menjadi betul kerjanya. Kalah perempuan.

“Yang kau terbelek-belek baju tu dari tadi kenapa? Berkenan?” Dari tadi dia tengok gelagat Siti Fatimah. Muka kawan yang dikenali sejak sekolah itu sudah tak tegang macam semalam. Walaupun masih tak nampak senyum manisnya, tapi kira bolehlah.

“Cantik. Kau yang buat?” Sudah gaharu cendana pula.

“Haruslah. Habis tu kau ingat siapa yang buat? Hah, macam mana masalah besar kau tu? Dah mengecil ke belum?” Dari tadi lagi dia nak tanya tapi dia nak tengok keadaan Siti Fatimah dulu. Silap hari bulan nanti dia yang kena sembur. Minah tu boleh tahan juga mulutnya kalau mengamuk.

“Entahlah. Makin besar kut.” Pantas mindanya mengingat nama lelaki yang menghubunginya semalam. Lembut suaranya masih terasa menyapa pendengaran. Tapi tak adalah sampai terpikat. Cuma terkesima.

“La...kenapa pula? Kau dah jumpa dia ke?” Makin nak diselesaikan makin rumit pula keadaannya. Salah teknik ke apa?

“Belum lagi tapi aku dah janji nak jumpa dia hujung minggu ni.” Berterus-terang. Kepalanya sendiri pun dah berserabut. Tak mampu lagi nak berselindung.

“Serius? Baguslah macam tu. Habis tu apa masalah yang makin besar tu?” Dahinya berkerut seribu.

“Entah. Aku rasa takutlah pula.” Dia beralih ke baju yang lain.

“Kau nak takut apanya? Bukannya kau nak pergi jumpa harimau. Kau nak jumpa orangkan?” Sengallah minah ni. Semua benda pun nak takut. Nak jumpa takut, nak bercinta takut, nak kahwin pun takut.

“Kalau dia tu betul-betul macam harimau?” Sejak bersetuju untuk bertemu dengan Ryzal semalam, macam-macam andai negatif bermain di kepalanya.

“Apa kau susah? Kau jadilah singa. Macam tak biasa. Kata cikgu garang.” Perli Bob selamba. Selalu juga dia mendengar cerita Siti Fatimah tentang anak murid di sekolahnya. Tapi dia tak hairan, sejak zaman sekolah lagi Siti Fatimah Adrianna memang terkenal dengan sifat garangnya. Dah namanya pun pengawas. Tapi garang-garangnya pun ramai juga budak lelaki yang nak dekat.

“Aku takut tak sempat jadi singa, aku dah jadi tikus dulu. Macam mana ya Bob?” Selagi tak tiba harinya, selagi itulah dia akan gelisah. Lama-lama botak juga kepalanya fikir yang bukan-bukan.

“Alah, kau buat saja macam biasa. Kalau dia tu garang, lagi bagus. At least adalah alasan kau supaya tak kahwin dengan dia. Kata tak nak kahwin.” Siti Fatimah berfikir seketika sebelum dia mengangguk perlahan.

“Betul jugakan. Tapi kalau dia tu baik macam mana?” Kalau garang boleh menolak, kalau baik kena terimalah ya?

“Dah kalau baik, kau rembat sajalah. Buat apa nak fikir lagi. Kau ingat senang ke nak dapat lelaki baik sekarang ni? Tolak aku, dua tiga orang saja tau yang tinggal.” Masuk bakul angkat sendiri. Siti Fatimah mencebik. Baiklah sangat.

“Perasan. Tapi kalau aku tolak nanti, mesti mak aku sedih.” Emak dah berkenan sangat dengan Ryzal walaupun sekadar tengok gambar.

“Kau pun macam tak biasa buat mak kau sedih. Selama ni pun kau dah tolak banyak lelakikan?” Sekali lagi dia terkena. Memanglah mulut nak kena cili.

“Adoi, nak kahwin pun jadi masalah. Manalah putera kayangan aku ni tak muncul-muncul. Wahai sang putera, muncullah kau dengan segera di hadapan beta. Tuan puteri kanda ini sudah tak sabar menanti.” Siti Fatimah bermonolog sendiri.

“Putera kayangan konon. Tak payah nak berangan lebih-lebihlah mak cik. Baik kau terima saja siapa yang ada depan mata kau.” Kalau nak tunggu putera kayangan, sampai ke matilah kau tak kahwin.

“Yang ada depan mata aku sekarang ni kau. Takkan kau nak kahwin dengan aku pula? Ke kau memang ada hati dengan aku?” Serkap Siti Fatimah. Ketawanya meledak.

“Tak sayang mulut nampak. Bagi free pun aku tak ingin. Dahlah garang, cerewet pula tu. Siapalah yang malang dapat kau nanti.” Terkedek-kedek Bob melarikan diri ke belakang. Dia nak tengok pekerjanya yang sedang memotong kain. Kalau tak dipantau, hancur lebur jadinya.

Siti Fatimah jelir lidah. Tak payah nak ambil hati sangat dengan kata-kata Bob. Dah memang mulutnya macam tu. Siti Fatimah menghenyakkan punggungnya ke sofa. Termenung dia di situ. Esok dah hari jumaat. Lusa sabtu. Ryzal masih belum bagi jawapan. Dia pejam mata. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar. Biar cepat-cepat selesai.

2012-04-16

jangan merajuk sayang 8

hehehe...pompom..sampai sudeh..sila la eks..

enjoyzzzz!!!


Siti Fatimah tak senang duduk. Macam mana dia nak cakap dengan emaknya yang dia nak jumpa dengan Ryzal? Emak sahaja harapannya untuk bertemu dengan lelaki itu. Nak cakap tapi lidahnya jadi kelu. Nanti emaknya fikir dia setuju dengan lamaran itu. Dia jalan mundar-mandir dalam biliknya. Cuba fikirkan cara yang terbaik supaya emaknya tak salah sangka.

“Siti buat apa ni? Sakit perut ke apa?” Terjegul wajah Kak Teh di sebalik pintu. Siti Fatimah berhenti melangkah. Kak Teh!

“Teh, mari sini kejap.” Siti Fatimah tarik tangan kakaknya masuk ke dalam bilik. Terpinga-pinga si kakak.

“Ada apa?” Macam ada rahsia negara.

“Kak Teh, macam mana ni? Siti tak nak kahwin dengan mamat tu.” Berkerut wajahnya. Ketawa Siti Amirah meledak. Pasal kahwin rupanya. Ingatkan apalah tadi.

“Habis tu nak buat macam mana? Takkan nak suruh Kak Teh yang kahwin dengan dia?” Ketawanya masih bersisa.

“Ish, bukanlah macam tu. Macam ni, kalau boleh, Siti nak jumpa dulu dengan. Nak tengok macam mana orangnya. Tapi masalahnya, Siti tak tahu macam mana nak cakap dengan mak. Nanti takut mak salah sangka pula.” Bersemangat dia bercerita. Siti Amirah hanya senyum mendengar. Kalau dia pun, dia akan lakukan perkara yang sama. Nak kahwin tapi tak kenal tuannya. Macam mana.

“Hmmm...jadi nak minta tolong dengan Kak Teh lah ni? Tolong cakapkan dengan mak?” Teka Siti Amirah dan dibalas anggukan laju oleh Siti Fatimah. Nasib baik ada Kak Teh.

“Sebagai ganjarannya?” Mana boleh buat kerja percuma. Inilah masanya nak minta macam-macam.

“Hish, tak ikhlas langsung nak tolong adik sendiri. Yalah, Kak Teh nak apa?” Tak ada kerja lain. Nasib baik ada adik tak kedekut.

“Beg tangan LV, kasut Jimmy Choo, sutera digital yang harga dia dua ratus...ermmm...”

“Hoi, gila ke? Ingat Siti ni kerja cop duit ke apa? Dah...dah. Ayam KFC seketul.” Sengal. Minta benda yang dia sendiri pun tak mampu nak beli. Banyak cantik.

“Dah suruh minta. I minta ajelah. Habis tu bila cik adik kita ni nak jumpa bakal suami tercinta?” Usik Siti Amirah. Siti Fatimah jelir lidah. Naik loya dia dengar. Tak ada maknanya.

“Bila-bilalah. Hujung minggu ni pun bolehlah.” Lagi cepat lagi bagus. Tak payah nak pening-pening kepala fikir lama-lama. Lagipun dia tak ada apa-apa aktiviti hujung minggu ni.

“Amboi, cepat aje ye. Macam dah tak sabar-sabar.” Pantas jemari runcing Siti Fatimah mengutil peha kakaknya. Pedih. Padan muka.

“Dah, baik Kak Teh pergi cakap dengan mak cepat. Nanti mak tidur pula.” Kalau tadi dia tarik tangan kakaknya masuk, sekarang dia tarik tangan kakaknya untuk keluar dari bilik itu pula. Dadanya rasa berdebar pula.

“Nak beranganlah tu.” Sempat lagi dia usik adiknya. Siti Fatimah tutup pintu rapat-rapat. Tak kuasa nak mendengar kakaknya mengarut.

Harap-harap rancangannya menjadi. Apa nak jadi pun jadilah. Yang penting dia tak nak tersalah pilih. Baginya, cinta yang tersimpan kemas di hatinya kini adalah milik suaminya. Hanya untuk lelaki yang bergelar suami. Jadi, dia perlu betul-betul pilih seorang lelaki yang mampu untuk dia cintai.

>>

Perlahan-lahan Ryzal mendekati mamanya yang sedang asyik melayan siaran televisyen. Dia tahu hati mamanya pun terluka dengan sikapnya semalam. Dia tak bermaksud nak lawan cakap mamanya tapi dia tak boleh terima apa yang mamanya cuba buat untuk hidupnya. Dia mengambil tempat di sebelah wanita yang sangat disayanginya itu.

“Mama, Ryzal nak minta maaf pasal semalam. Ryzal tak sengaja nak lawan cakap mama. I’m sorry, ok.” Tangan lembut milik Datin Hajah Maria diraih ke dalam genggamannya. Dikucup hangat. Dia betul-betul minta maaf.

“Kamu ni dah kenapa? Buang tebiat ke? Tak pernah-pernah kamu macam ni?” Genggaman tangan Ryzal dilepaskan. Hatinya masih terasa sakit. Selagi Ryzal tak terima cadangannya, selagi itulah hatinya akan rasa sakit. Bunyinya macam kejam tapi dia ada sebab.

“Ma...Sorry ok? Semalam tu Ryzal penat sangat. Lagipun, Ryzal macam tak boleh terima bila mama paksa Ryzal macam tu.” Dia mendekatkan diri dengan mamanya. Cuba memujuk wanita itu lagi.

“Tak ada ibu bapa yang nak tengok anak dia menderita. Mama buat semua itu demi masa depan kamu. Demi kebaikan kamu.” Nada suaranya bertukar rentak. Sayu.

“Ryzal faham. Tapi bukan dengan cara macam tu ma. Ryzal pun ada impian Ryzal sendiri. Bukan Ryzal tak nak kahwin tapi belum masanya lagi.” Dia mahu mamanya faham. Dia belum puas hidup bujang.

“Habis tu nak tunggu sampai bila? Nak tunggu sampai mama dengan papa tutup mata baru kamu nak kahwin?” Pelukan Ryzal ditepis.

“Tak adalah sampai macam tu. Ryzal janji, tahun ni saja. Tahun depan, kalau mama suruh Ryzal kahwin, Ryzal akan kahwin. Ryzal janji.” Ryzal angkat tangan tanda berjanji.

“Tak payah nak berjanji dengan mama. Janji kamu tu bukannya boleh pakai. Tiap-tiap tahun pun janji benda yang sama tapi satu habuk pun tak ada.” Tangan Ryzal yang masih cuba memeluknya ditepis lagi. Dia betul-betul merajuk.

Ryzal garu kepala. Dah tak tahu nak pujuk macam mana. Terperangkap dengan kata-kata sendiri. Nampaknya mama betul-betul merajuk. Lemah betullah. Kalau awek tu pandai juga dia nak pujuk.

“Mama, apa nama budak perempuan tu?” Cuba mengumpan mamanya dengan buat-buat tanya pasal Siti Fatimah. Mungkin hati mamanya akan sejuk sikit.

“Buat apa kau nak tahu?” Suara Datin Hajah Maria jadi lembut sikit.

“Kata nak suruh jadi isteri Ryzal. Kenalah tahu juga sikit-sikit.” Mesti menjadi punyalah. Datin Hajah Maria pandang anaknya. Antara percaya atau tidak. Biar betul. Hatinya sedikit berbunga.

“Siti Fatimah namanya. Siti Fatimah Adrianna.” Baru semangat nak bercerita.

“Sedapnya nama dia. Mesti orangnya pun cantik.” Siti Fatimah Adrianna? Kenapa dia tak tahu nama Siti Fatimah masih ada sambungannya? Sedap pula tu. Adrianna. Barulah macam orang moden sikit.

“Cantik. Cantik sangat. Manis wajahnya. Orangnya pun baik.” Terbayang wajah itu yang manis tersenyum. Walaupun hanya tengok gambar, rasanya dah macam tengok tuannya sendiri.

“Hmmm...kalau mama dah puji melangit macam tu, maknanya memang cantiklah tu. Mana mama jumpa dia?” Rahsia terus dikorek. Kata Norman, korek hingga lubang cacing.

“Kawan Mak Long.” Datin Hajah Maria ukir senyum. Adakah itu maknanya Ryzal setuju dengan cadangannya?

“Kawan Mak Long? Umur dia berapa ma?” Biar betul. Takkan umur sebaya dengan Mak Long Yam kut.

“Muda lagi. Kamu ni pun, takkanlah mama nak cari anak dara tua bagi kat kamu. Lebih muda daripada kamu.” Agak-agaklah sikit. Dia pun tak nak cari menantu yang sebaya dengan dia. Bukan menyelesaikan masalah, tapi cari masalah lagi adalah.

“Oh, apa kerjanya?” Makin berminat nak dengar. Bukan apa, nak ambil hati mamanya.

“Cikgu. Orangnya memang baik tau Zal. Mak Long kenal dia ni tahun lepas. Masa mereka sama-sama pergi umrah. Keluarga dia pun baik-baik semuanya. Ayahnya pun cikgu juga. Tapi dah pencen. Adik beradik dia anak enam orang. Siti Fatimah anak bongsu.” Apa lagi. Makin rancak Datin Hajah Maria bercerita. Cuba untuk meyakinkan anaknya. Nampaknya, rancangannya menuju kemenangan.

Ryzal sekadar mendengar. Rasanya cukuplah sekadar apa yang dia tahu. Cikgu. Boleh tahanlah. Sekurang-kurangnya, ada pendidikan. Tak adalah kolot sangat.

“Hei kawan, nama tak menjamin apa-apa tau.” Teringat kata-kata Norman petang tadi. Memang betul pun.

“Mak Long call. Sekejap.” Datin Hajah Maria menjawab panggilan daripada kakaknya. Harap ada berita baik daripada pihak sana.

“Assalamualaikum.” Suaran Hajah Yam kedengaran ceria. Datin Hajah Maria senyum. Pasti ada berita gembira.

“Waalaikumussalam. Ada berita apa-apa ke Yam?” Hajah Mariam terus ditembak dengan soalan. Dia hanya mahu tahu mengenai perkara itu.

“Ada. Hajah Asmah ada call aku tadi. Katanya Siti Fatimah nak jumpa dengan Ryzal.” Bersemangat dia memberitahu adiknya. Nampaknya rancangan berjalan lancar.

“Betul ke ni? Habis tu kau cakap apa?” Gembira hatinya tak terbendung lagi. Tangan Ryzal diraih ke dalam genggamannya. Ryzal kerut dahi. Apa pula kali ni?

“Aku nak cakap apa? Takkan aku nak kata tak boleh pula. Aku dah bagi nombor telefon Ryzal dekat Hajah Asmah. Nanti pandai-pandailah si Siti tu. Hajah Asmah pun ada bagi nombor telefon Siti. Nanti aku sms nombor dia.” Rasa macam nak melompat. Syukur Alhamdulillah. Tak lama lagi, makan nasi minyaklah mereka.

“Oklah, nanti aku cakap dengan Ryzal.” Seketika kemudian, talian dimatikan. Senyumnya sudah sampai ke telinga.

“Siti Fatimah dah setuju.” Bukan itu yang diberitahu kakaknya tapi kalau dah nak jumpa tu, maksudnya setujulah tu.

“Setuju apa ma?” Dahinya makin berkerut.

“Siti Fatimah nak jumpa dengan Ryzal. Ini nombor telefon dia. Ryzal tanyalah dia nanti.” Telefon dihulurkan kepada Ryzal. Ada nombor telefon Siti Fatimah di situ.

Telefon bertukar tangan. Ryzal perhati skrin telefon bimbit mamanya. Nak jumpa? Boleh tahan berani juga perempuan ni. Jauh berbeza dengan apa yang dia bayangkan. Rasa rugi pula kalau tak mencuba. Manalah tahu perempuan ini memang ada ciri-ciri gadis pilihannya. Mari kita sama-sama tengok.

>>

Pintu bilik diketuk. Wajah Kak Teh terjegul di sebalik pintu bilik dengan senyuman meleret. Siti Fatimah cepat-cepat mendapatkan kakaknya. Mahu tahu perkembangan seterusnya.

“Macam mana?” Tak sabar-sabar. Ada sesuatu di tangan Kak Teh tapi cuba disorok daripadanya.

“Apa tu? Nak tengok.” Kak Teh geleng kepala. Nak tengok boleh, tapi ada syaratnya.

“Boleh tapi Kak Teh tak nak ayam KFC. Nak ayam panggang Kenny Rogers.” Amboi. Melampau.

“Ish. Melampaulah dia ni. Yalah...yalah. Esok orang belikan.” Mengada-ngadalah orang mengandung ni. Nanti anak dalam perut tu bulat macam ayam panggang baru tahu.

“Nah, nombor telefon bakal suami tersayang.” Sekeping kertas dihulurkan kepada Siti Fatimah. Sepantas kilat kertas itu disambar Siti Fatimah.

“Amboi, laju betul! Selamat berhubunganlah ya? Jangan lupa pula. Esok Kak Teh nak tengok ayam tu.” Dia ingatkan adiknya. Dah terbayang rasa ayam panggang. Sedapnya.

“Ya...ya. Dah, pergi sana.” Pintu bilik ditutup dan dikunci. Sekeping kertas yang berada dalam genggamannya dipandang. Nombor telefon. Jadi, dia kena telefonlah ya? Malulah pula.

Siti Fatimah bersila di atas katil. Kertas itu dipandang lagi. Nak telefon ke tak nak? Kalau tak telefon tak boleh jumpa. Tapi nak telefon dia malu. Hantar mesej boleh? Ah, kira bolehlah. Telefon bimbit dicapai. Kepalanya ligat mengarang ayat. Macam mana nak cakap ni? Takkan nak bagitahu, ‘Hai, saya bakal isteri awak. Boleh kita jumpa hujung minggu ni?’. Ish, macam tak kena aje. Gedik semacam.

Penat bersila, dia berbaring. Mesej tak juga dihantar. Sungguh dia tak pandai bab-bab macam ni. Dia cuba menaip sesuatu tapi kemudian dipadam semula. Beberapa kali sehingga dia mencampakkan telefon bimbitnya. Nasib baik campak atas katil. Kalau tak, mesti dah terburai. Siti Fatimah cuba pejam mata. Masih memikirkan benda yang sama. Ayat yang terbaik.

Sepuluh minit berlalu, dia masih tak dapat idea. Mata dah mengantuk. Hampir pukul sebelas malam. Esok kena bangun awal. Ah, esok ajelah fikir. Mata dipejam tapi beberapa saat kemudian ianya kembali celik. Telefon bimbitnya berbunyi. Siapa pula yang telefon malam-malam ni? Kacau orang nak tidur ajelah.

“Helo.” Panggilan terus diangkat. Tak tahu siapa yang telefon.

“Helo. Boleh saya bercakap dengan Siti Fatimah?” Mata Siti Fatimah terbuka luas. Suara lelaki. Daripada berbaring, dia terus terduduk. Tegak badannya.

“Ya, saya Siti Fatimah. Encik ni siapa ya?” Ryzal senyum sebaris. Sedap juga suara perempuan ni. Dia baru berkira-kira nak keluar berjumpa dengan Norman tapi ditunda sekejap bila teringatkan Siti Fatimah.

“Saya Ryzal.”

“Ryzal?” Ryzal mana? Hah, Ryzal? Terus dia berdiri tegak. Macam mana ni? Debaran di dada tak payah nak cakap. Automatik lidah jadi kelu.

“Ya, saya Ryzal. Takkan cik Siti Fatimah dah lupa kut dengan nama tu?” Ryzal bersandar pada keretanya. Sengaja dia nak duga Siti Fatimah. Nak tengok keberanian Siti Fatimah setakat mana.

“Ya, tahu. Ada apa ya?” Bergetar suaranya. Cakap dengan bakal suami kut. Walaupun belum pasti.

“Saja nak dengar suara bakal isteri sendiri. Kenapa, tak boleh ke?” Memang kepakarannya. Mengayat perempuan. Kerja senang.

‘Gulp!’ Siti Fatimah telan liur. Bakal isteri? Adakah itu maknanya Ryzal memang bersetuju untuk berkahwin dengannya? Oh, tidak!

“Siti Fatimah? Awak dengar ke tak?” Lembut panggilannya buat Siti Fatimah makin kelu lidah. Bukan setakat lidah. Semuanyalah. Nak bergerak pun rasa tegang.

“Ya. Err...err....” Betul-betul kelu. Nak cakap apa ni?

“Macam nilah. Cik Siti Fatimah kata nak jumpa dengan saya kan? Apa kata hujung minggu ni kita jumpa? Boleh?” Dia pun tak berniat nak cakap banyak. Norman dah menunggunya di kelab malam. Rasanya Siti Fatimah tak adalah berani sangat. Cakap sikit pun dah tergagap-gagap.

“Ya.” Itu saja yang dia boleh sebut. Otak pun macam beku. Ini dah kes berat. Baru dengar suara, belum tengok tuannya lagi.

“Ok, kalau macam tu, nanti saya bagitahu tempat dan masanya.”

“Ya.” Sekali lagi.

“Selamat malam. Sweet dream.” Siti Fatimah tak terkata. Terkedu sekejap. Telefon pun masih melekap dekat telinga walaupun talian dah diputuskan. Beberapa minit dia masih tak berganjak. Macam mimpi.

Dia melompat ke katil. Bantal peluk segera dicapai dan mukanya ditutup serapatnya. Malunya dia! Macam mana dia boleh terkedu dan tak dapat bercakap apa-apa? Mesti Ryzal fikir bukan-bukan. Macam mana nak bertentang mata dengan lelaki tu nanti? Dan sesungguhnya dia sedang menahan malu!

2012-04-09

jangan merajuk sayang 7

ada sudehhhh..hehehe...silakan!!!

saye dah tukar tajuk dia...tajuk ni buat sementara aje smentara memikirkan tajuk yg lebih ok..hehehe.


Siti Fatimah betul-betul tak ada mood hari ini. Berita tergempar yang diterima semalam betul-betul buat hidupnya kucar-kacir. Di sekolah, tak pasal-pasal anak murid yang tak bersalah jadi mangsa bebelan pedasnya. Nasiblah. Firdaus pun jadi mangsa sekali. Lantaklah. Memang padan dengan muka mamat tak reti bahasa tu. Dah tahu orang tengah banyak kerja, nak juga menyelit. Mana tak naik angin.

“Kau ni dah kenapa mak cik? Dari tadi aku tengok monyok aje. Macam ayam berak kapur dah muka kau tu. Cuba senyum sikit.” Bob rimas tengok muka Siti Fatimah asyik muncung dari tadi. Dia nak buat kerja pun tak senang.

“Pandailah kau. Ayam berak kapurlah. Cicak sembelitlah. Macamlah kau pernah tengok.” Nak buat lawak pun biarlah kena sikit. Tak ada perasaan nak gelak.

“Kau ni pun, nama aje cikgu sekolah. Peribahasa pun tak tahu.” Tempelak Bob. Tangannya ligat menyulam manik-manik di baju yang ditempah pelanggan.

“Aku cikgu matematik. Bukannya cikgu bahasa melayu.” Sedaya mungkin dia nak lupakan berita semalam. Macam-macam dia buat. Cuba sibukkan diri dengan kerja, tapi tak jalan juga. Rimas dibuatnya.

“Aku tahulah. Ni, kau tak nak cerita kat aku ke apa masalah kau? Manalah tahu aku boleh tolong. Tolong dengar pun kira jadilah kan?” Risau pula dia tengok keadaan Siti Fatimah begitu. Nampak daripada gayanya, macam penyakit kronik. Datang bulan ke?

“Mak aku suruh aku kahwin.” Siti Fatimah mengeluh berat di hujung kata-katanya. Bob jugalah jadi tempat meluahkan perasaannya. Walaupun kadang-kadang sakit hati juga dengar nasihat gila-gila mamat lembut ni.

“La...itu ke sebabnya? Habis tu, apa masalahnya? Kahwin sajalah. Itu pun susah.” Tak faham betul dengan minah senget seorang ni. Nak suruh kahwin pun jadi masalah. Orang lain berebut-rebut nak kahwin, dia boleh pula tak nak kahwin.

“Ini yang aku malas nak cerita dengan kau ni. Membazir air liur aje. Dah lah. Aku nak baliklah macam ni.” Merajuk. Orang tengah stress dia boleh buat main-main pula. Tumbuk sebiji baru tahu.

“Ya lah. Dah mak kau suruh kahwin, apa yang kau nak susahkan sangat? Dia ada carikan calon untuk kau ke?” Tak payah nak mengada-ngada. Merajuklah konon. Buang tenaga.

“Dah. Itulah masalahnya. Aku tak ada feel lah dengan mamat tu. Muka macam mamat poyo aje.” Bayang-bayang wajah lelaki yang bernama Ryzal itu samar-samar di pandangannya. Dia tak simpan gambar Ryzal. Diserahkan kembali kepada emaknya. Tak kuasa nak simpan. Buat menyemak aje.

“Jadi, kau dah tengoklah calon laki kau tu? Hensem tak?” Bob berhenti menjahit manik-manik. Cerita Siti Fatimah macam makin menarik pula. Dia suka kalau cerita bab mamat-mamat hensem ni.

“Entah, biasa aje aku tengok. Masalahnya sekarang, aku tak nak kahwin dengan dia. Aku tak kenal dia. Macam mana aku nak kahwin?” Siti Fatimah dah nak menangis. Sungguh-sungguh dia tak nak kahwin dengan Ryzal tapi bila mengingatkan harapan emaknya, sesak jadi dadanya.

“Apa nama dia?” Bob seakan tak kisah dengan rintihan Siti Fatimah. Dia lebih berminat nak dengar mengenai bakal suami Siti Fatimah. Macam dah terbayang baju pengantin yang nak dibuat untuk Siti Fatimah. Mesti meletup.

“Ryzal. Bob, aku tengah cerita benda lain, boleh pula kau tanya benda lain. Kau nak tolong aku ke tak nak ni?” Geram betul. Tadi cakap nak tolong.

“Aku nak siasatlah dulu bakal laki kau tu. Lepas tu barulah aku fikirkan cara nak tolong kau.” Siti Fatimah menjeling tajam. Banyaklah nak siasat. Nak menggatal tu maksudnya.

“Ryzal. Sedap juga nama dia. Cuba kau cakap dengan aku kenapa kau tak suka dengan dia. Kau bagi sepuluh sebab pun dah tak apa.” Selamba. Siti Fatimah jegil mata.

“Kau gila?”

“Tak adalah. Aku gurau saja. Hah, cepatlah bagitahu. Kenapa kau tak suka Ryzal? Kalau tak suka, boleh bagi kat mak aje.” Gedik. Siti Fatimah jelir lidah.

“Sebab aku tak sukalah. Ok, cuba kau bayangkan. Kau tak kenal pun orang tu. Batang hidung pun tak pernah nampak. Tup...tup, kau kena kahwin dengan dia. Tak ke gila? Dibuatnya dia tu ada sawan ke, perogol ke, perompak ke. Eh, silap-silap hari bulan, aku yang sawan tahu.” Masih lagi dengan prasangka buruknya. Seminit pun dia tak boleh nak berfikiran positif.

“Kau ni pun satu. Yang kau pergi fikir yang buruk-buruk tu kenapa? Takkanlah mak kau tu desperate sangat nak suruh kau kahwin sampai dah tak boleh pilih yang mana baik yang mana jahat? Lagi satu, kalau mamat tu sewel ke, perogol ke, perompak ke, takkanlah mak dia tu jahat sangat nak bagi anak dia tu dekat kau? Apalah perempuan ni. Sengal.” Bebel Bob. Siti Fatimah makin monyok. Nampaknya Bob tidak menyebelahi dia. Menyampah!

“Tapi aku tak kenal dia Bob. Aku tak nak salah pilih. Kahwin bukan sehari dua. Kalau boleh, untuk selamanya. Sampai ke syurga.” Dia punya impian. Impian mengenai perkahwinan. Dia harap sangat yang dia dapat miliki seorang lelaki bergelar suami sehingga ke akhir hayatnya. Cukup seorang lelaki.

“Tapi kau boleh berkenalan dengan diakan? Itupun jadi masalah. Apalah kau ni. Sebelum kau kahwin, kau jumpalah dia dulu. Kenal dulu. Lepas tu, kau buatlah keputusan.” Siti Fatimah tak menjawab. Bob pun hairan. Takkan itu pun tak boleh fikir? Kalau dah tak nak tu, macam-macamlah alasan.

“Aku takutlah Bob. Mak aku mengharap sangat yang aku kahwin dengan Ryzal. Macam mana nanti kalau lepas jumpa pun aku tak berkenan dengan dia? Takkan aku nak terima juga dia jadi suami aku? Dan kalau aku tolak, macam mana pula dengan mak aku? Aku betul-betul buntu.” Air matanya bergenang. Sesaat dua, air jernih itu mengalir membasahi pipinya.

“Mak cik, cuba kau fikir postif sikit. Sikit aje. Aku tak minta banyak. Cuba kau bayangkan lepas kau jumpa dia, kau suka dengan dia. Lepas tu kau kahwin dengan dia. Mak kau pun gembira, kau pun bahagia. Boleh tak?” Bob geleng kepala. Asyik nak fikir negatif aje. Bilalah nak maju.

“Aku pun harap benda yang sama Bob tapi aku tak boleh paksa hati aku ni untuk berhenti memikirkan pelbagai kemungkinan yang mungkin boleh berlaku.” Air mata diseka. Siapa yang tak nak bahagia.

“Siti, macam nilah. Satu saja yang aku boleh nasihatkan kau. Kau jumpa dulu Ryzal. Lepas kau dah jumpa dia, kau buatlah keputusan. Kalau kau tolak sekalipun lamaran tu, at least kau dah ada alasan yang kukuh.” Bob kembali serius. Baju pelanggan diletakkan ke bawah. Dia pandang wajah kasihan Siti Fatimah. Susah betul Siti Fatimah nak jatuh cinta. Tak tahulah kenapa.

Siti Fatimah diam. Sebetulnya memang begitu caranya. Tapi dia tetap juga bimbang. Macam mana kalau sebenarnya, Ryzal juga dipaksa berkahwin oleh ibunya? Macam mana kalau dia terjatuh hati dengan Ryzal dan Ryzal tak sukakannya? Takkan dia nak kahwin dengan orang yang tak cintakannya? Makin terseksa nanti. Ya Allah, berilah sedikit petunjuk.

“Aku balik dululah Bob. Dah nak Maghrib ni. Tengoklah macam mana nanti. Anyway, thanks sebab sudi dengar masalah aku. Ni yang aku sayang dekat kau ni.” Beg tangan dicapai. Baju kurung yang masih setia melekat di badannya dibetulkan. Bob juih bibir. Meluat.

“Bila aku bagi nasihat, kau sayanglah. Bila aku kutuk, kau menyampah macam nak suruh aku mati.” Bob sekadar bergurau. Siti Fatimah senyum sebaris. Siapa yang tahan dengan mulut celupar kau?

>>

Ryzal masih tak puas hati. Badan dihempas kuat ke kerusi. Dah nak masuk Maghrib tapi dia masih lagi di pejabat. Sesuatu yang sangat jarang dilakukan. Biasanya pukul lima dah lesap dari pandangan. Bukan terus pulang ke rumah, tapi melepak di mana-mana dengan kawannya. Tapi hari ini dia tak ada hati nak buat semua tu. Nak balik rumah lagilah dia malas. Geramnya masih terasa.

“Geng, apahal dengan kau ni? Kau tak nak balik lagi ke?” Tegur Norman. Dia sudah berkira-kira mahu pulang tapi langkahnya terhenti di hadapan bilik Ryzal. Masih berpenghuni. Pelik.

“Kau balik ajelah dulu. Aku banyak kerja ni.” Ryzal buat-buat buka fail di atas mejanya. Tapi pandangannya langsung tak menghala ke situ.

“Kau nak tipu aku pun agak-agaklah sikit. Setahu aku orang angau aje yang baca fail terbalik. Kau ni dah kenapa? Awek mana pula yang kau dah sangkut ni? Tak nak share dengan aku ke?” Pintu bilik Ryzal ditutup. Dia duduk di hadapan kawannya itu. Kalau nak tahu pasal awek-awek Ryzal, tanya saja dengannya. Semuanya dia tahu. Nama apa, kerja apa, bila kenal, bila putus, semua ada dalam poketnya.

“Mana ada. Aku ada kerja lagi ni. Nanti aku baliklah.” Kedudukan fail dibetulkan. Apa yang dia tengah baca pun dia tak tahu. Telinganya masih lagi terngiang-ngiang suara tinggi mamanya semalam. Nama perempuan pilihan mamanya juga masih melekat kuat di benaknya.

“Kerja apa budak tu? Mana kau kenal dia?” Kata-kata Ryzal tak diendahkan. Tak payah nak berahsia-rahsia sangat dengan dia. Selama ini pun, dia juga yang tolong tutupkan rahsia Ryzal bila lelaki itu cuba main kayu tiga. Memang playboy tahap dewa.

“Apa yang kau mengarut ni? Mana ada siapa-siapa. Dahlah, aku nak balik!” Serabut. Makin serabut. Ingatkan duduk kat pejabat bolehlah tenangkan fikiran sekejap, tapi sama saja. Mamat mata sepet ni memang nak kena betullah.

“Hei, sejak bila pula kau nak rahsia-rahsia dengan aku ni? Macam kes berat saja?” Norman mengekori langkah Ryzal yang sudah meninggalkan biliknya. Tak akan putus asa selagi tak tahu rahsia Ryzal.

Ryzal tak menjawab. Langkahnya diteruskan. Dia tak terus ke parkir kereta sebaliknya melencong ke restoran di sebelah syarikat milik papanya. Norman setia mengekori dari belakang.

“Cuba kau story sikit dekat aku. Manalah tahu aku boleh tolong. Apasal? Awek yang kau berkenan tu dah ada balak ke?” Ryzal terus diterjah dengan soalan. Masih lagi membisu. Tak tahu macam mana nak mulakan. Patut ke dia ceritakan kepada Norman? Selama ini pun, Norman juga yang banyak simpan rahsianya.

“Ok, kalau kau tak nak share dengan aku tak apa. Aku balik dululah. Malam ni aku tak keluar dengan kau. Aku dah janji dengan awek aku. Kau keluarlah seorang.” Macam merajuk tapi sebenarnya dia sengaja mengugut. Mesti Ryzal akan ceritakan masalahnya lepas ni. Beg sandang dicapai.

“Man, aku ada masalah sikit.” Hah, kan dah cakap. Mana boleh nak main rahsia-rahsia dengan Norman. Norman ukir senyum. Dia duduk kembali.

“Kan senang kalau kau cakap dari tadi. Tak adalah aku pening kepala nak buat andaian bukan-bukan. So, apa masalahnya?” Norman membetulkan duduknya. Bersedia nak dengar masalah Ryzal. Tapi dia yakin seratus peratus. Mesti pasal perempuan.

“Mama aku suruh aku kahwin.” Ryzal mengeluh kuat. Pandangannya dilontar sejauh mungkin. Lampu-lampu neon pelbagai warna yang mula terpasang langsung tak mampu nak ceriakan hatinya.

“La....aku ingatkan masalah apalah tadi. Emak suruh kahwin rupanya. Jadi, apa masalah kau? Nak kata kau ni gay, makwe keliling pinggang.” Nak suruh kahwin pun susah.

“Masalahnya mama aku dah carikan aku calon. Aku tak sukalah.” Siti Fatimah. Nama itu masih lagi berlegar-legar di ruang mindanya. Siapalah Siti Fatimah ni? Kenapa mama boleh pilih perempuan dengan nama kampung macam tu?

“Hah, itu lagi bagus. Tak payah kau pening-pening kepala nak pilih awek. Rezeki depan mata beb. Rembat sajalah.” Ini namanya kahwin percuma. Pakej lengkap. Tak payah susah-susah.

“Banyaklah kau punya rezeki. Ini bala namanya. Batang hidung pun kau tak pernah nampak, entah kurus ke gemuk, hitam ke putih, kau senang-senang nak kahwin dengan dia? Memang taklah.” Terbayang wajah perempuan comot yang gemuk dan pendek. Macam orang kampung zaman dulu-dulu. Ish, tak sanggup.

“Hah, kalau kau tak nampak batang hidung dia, kau pergilah teropong. Cari kat mana batang hidung dia. Bukan setakat batang hidung kau boleh nampak, dengan bulu-bulu hidung sekali kau boleh nampak. Apalah kau ni, belajar sampai London, tapi benda macam tu pun kau tak boleh nak fikir.” Norman ketawa. Ryzal menjeling marah. Nak buat lawak bodoh tak kena tempatlah. Ada juga yang makan kaki nanti.

“Masalahnya aku tak nak kahwin!” Itu yang paling utama. Dia tak nak kahwin. Kalau nak kahwin pun, dia nak cari sendiri calonnya. Bukan dia tak boleh dapat. Macam Siti Nurhaliza pun dia boleh dapatlah.

“Sebabnya? Ke kau ni sebenarnya....” Norman kecilkan matanya yang sepet. Ryzal dipandang atas bawah.

“Gila kau! Aku straightlah.” Norman ketawa berdekah-dekah. Tak cakap pun dia tahu. Dah terbukti kejantanannya.

“Habis tu?”

“Kau tahu tak, nama budak perempuan yang mama aku pilihkan tu adalah Siti Fatimah. Aku tak tahulah perempuan kampung mana yang mama aku kutip. Perempuan macam tu kau nak jadikan bini? Geli aku.” Meremang bulu roma bila mengingatkan apa yang dia fikirkan.

“Sebab tu aje? Kalau aku cakap kau ni bengap, kau marah. Hei kawan, nama tak menjamin apa-apa tau? Kau tengok anak perempuan Tan Sri Ariff, pemilik AA Corporations tu. Nama anak dia semuanya nama klasik tau tapi orangnya cantik nak mampus. Kau ada tanya mama kau mana dia kenal perempuan tu?” Terbayang salah seorang anak dara Tan Sri Ariff yang cun. Ummi Kalthum namanya. Putih melepak. Badan macam Beyonce. Bergegar lutut tengok.

Ryzal geleng kepala. Dia terdiam. Ya tak ya juga. Kenapa dia tak boleh fikir benda tu ya? Mama ada ke kawan yang duduk di kampung? Yang dia tahu mama aktif dengan persatuan. Ahli-ahlinya pun mak-mak datin. Entah-entah anak salah seorang ahli persatuan itu.

“Itulah kau. Lain kali korek dulu sampai lubang cacing. Ini tak, nak naik angin aje kerja. Dah, aku rasa kau patut balik sekarang. Mula-mula kau kena minta maaf dengan mama kau. Lepas tu, kau tanya mama kau elok-elok. Barulah betul. Apalah kau ni.” Perli baik punya. Ryzal tak menjawab. Mungkin berfikir tentang apa yang Norman cakapkan tadi. Huh, tadi nak rahsia sangat.

“Aku balik dululah. Malam ni macam mana? Kat tempat biasa?”

“Aik, tadi kata nak keluar dating dengan awek?” Muda-muda dah nyanyuk. Sengal.

“Tadi tu aku acah aje. Kalau tak, kau tak nak cerita kan? Bijak tak aku?” Ketawanya meledak lagi. Ryzal rasa nak pelangkung dengan kerusi. Nasib baik tempat awam.

Ryzal mencongak sendiri. Apa kata dia ikut nasihat Norman. Balik rumah dan tanya betul-betul dengan mama. Mana tahu, Siti Fatimah yang ini cantik orangya. Kalau seksi itu satu bonus. Lagipun, bukannya lepas kahwin tak boleh enjoy macam sekarang. Dia kan lelaki. Suka hatilah nak buat apa pun.