2012-04-16

jangan merajuk sayang 8

hehehe...pompom..sampai sudeh..sila la eks..

enjoyzzzz!!!


Siti Fatimah tak senang duduk. Macam mana dia nak cakap dengan emaknya yang dia nak jumpa dengan Ryzal? Emak sahaja harapannya untuk bertemu dengan lelaki itu. Nak cakap tapi lidahnya jadi kelu. Nanti emaknya fikir dia setuju dengan lamaran itu. Dia jalan mundar-mandir dalam biliknya. Cuba fikirkan cara yang terbaik supaya emaknya tak salah sangka.

“Siti buat apa ni? Sakit perut ke apa?” Terjegul wajah Kak Teh di sebalik pintu. Siti Fatimah berhenti melangkah. Kak Teh!

“Teh, mari sini kejap.” Siti Fatimah tarik tangan kakaknya masuk ke dalam bilik. Terpinga-pinga si kakak.

“Ada apa?” Macam ada rahsia negara.

“Kak Teh, macam mana ni? Siti tak nak kahwin dengan mamat tu.” Berkerut wajahnya. Ketawa Siti Amirah meledak. Pasal kahwin rupanya. Ingatkan apalah tadi.

“Habis tu nak buat macam mana? Takkan nak suruh Kak Teh yang kahwin dengan dia?” Ketawanya masih bersisa.

“Ish, bukanlah macam tu. Macam ni, kalau boleh, Siti nak jumpa dulu dengan. Nak tengok macam mana orangnya. Tapi masalahnya, Siti tak tahu macam mana nak cakap dengan mak. Nanti takut mak salah sangka pula.” Bersemangat dia bercerita. Siti Amirah hanya senyum mendengar. Kalau dia pun, dia akan lakukan perkara yang sama. Nak kahwin tapi tak kenal tuannya. Macam mana.

“Hmmm...jadi nak minta tolong dengan Kak Teh lah ni? Tolong cakapkan dengan mak?” Teka Siti Amirah dan dibalas anggukan laju oleh Siti Fatimah. Nasib baik ada Kak Teh.

“Sebagai ganjarannya?” Mana boleh buat kerja percuma. Inilah masanya nak minta macam-macam.

“Hish, tak ikhlas langsung nak tolong adik sendiri. Yalah, Kak Teh nak apa?” Tak ada kerja lain. Nasib baik ada adik tak kedekut.

“Beg tangan LV, kasut Jimmy Choo, sutera digital yang harga dia dua ratus...ermmm...”

“Hoi, gila ke? Ingat Siti ni kerja cop duit ke apa? Dah...dah. Ayam KFC seketul.” Sengal. Minta benda yang dia sendiri pun tak mampu nak beli. Banyak cantik.

“Dah suruh minta. I minta ajelah. Habis tu bila cik adik kita ni nak jumpa bakal suami tercinta?” Usik Siti Amirah. Siti Fatimah jelir lidah. Naik loya dia dengar. Tak ada maknanya.

“Bila-bilalah. Hujung minggu ni pun bolehlah.” Lagi cepat lagi bagus. Tak payah nak pening-pening kepala fikir lama-lama. Lagipun dia tak ada apa-apa aktiviti hujung minggu ni.

“Amboi, cepat aje ye. Macam dah tak sabar-sabar.” Pantas jemari runcing Siti Fatimah mengutil peha kakaknya. Pedih. Padan muka.

“Dah, baik Kak Teh pergi cakap dengan mak cepat. Nanti mak tidur pula.” Kalau tadi dia tarik tangan kakaknya masuk, sekarang dia tarik tangan kakaknya untuk keluar dari bilik itu pula. Dadanya rasa berdebar pula.

“Nak beranganlah tu.” Sempat lagi dia usik adiknya. Siti Fatimah tutup pintu rapat-rapat. Tak kuasa nak mendengar kakaknya mengarut.

Harap-harap rancangannya menjadi. Apa nak jadi pun jadilah. Yang penting dia tak nak tersalah pilih. Baginya, cinta yang tersimpan kemas di hatinya kini adalah milik suaminya. Hanya untuk lelaki yang bergelar suami. Jadi, dia perlu betul-betul pilih seorang lelaki yang mampu untuk dia cintai.

>>

Perlahan-lahan Ryzal mendekati mamanya yang sedang asyik melayan siaran televisyen. Dia tahu hati mamanya pun terluka dengan sikapnya semalam. Dia tak bermaksud nak lawan cakap mamanya tapi dia tak boleh terima apa yang mamanya cuba buat untuk hidupnya. Dia mengambil tempat di sebelah wanita yang sangat disayanginya itu.

“Mama, Ryzal nak minta maaf pasal semalam. Ryzal tak sengaja nak lawan cakap mama. I’m sorry, ok.” Tangan lembut milik Datin Hajah Maria diraih ke dalam genggamannya. Dikucup hangat. Dia betul-betul minta maaf.

“Kamu ni dah kenapa? Buang tebiat ke? Tak pernah-pernah kamu macam ni?” Genggaman tangan Ryzal dilepaskan. Hatinya masih terasa sakit. Selagi Ryzal tak terima cadangannya, selagi itulah hatinya akan rasa sakit. Bunyinya macam kejam tapi dia ada sebab.

“Ma...Sorry ok? Semalam tu Ryzal penat sangat. Lagipun, Ryzal macam tak boleh terima bila mama paksa Ryzal macam tu.” Dia mendekatkan diri dengan mamanya. Cuba memujuk wanita itu lagi.

“Tak ada ibu bapa yang nak tengok anak dia menderita. Mama buat semua itu demi masa depan kamu. Demi kebaikan kamu.” Nada suaranya bertukar rentak. Sayu.

“Ryzal faham. Tapi bukan dengan cara macam tu ma. Ryzal pun ada impian Ryzal sendiri. Bukan Ryzal tak nak kahwin tapi belum masanya lagi.” Dia mahu mamanya faham. Dia belum puas hidup bujang.

“Habis tu nak tunggu sampai bila? Nak tunggu sampai mama dengan papa tutup mata baru kamu nak kahwin?” Pelukan Ryzal ditepis.

“Tak adalah sampai macam tu. Ryzal janji, tahun ni saja. Tahun depan, kalau mama suruh Ryzal kahwin, Ryzal akan kahwin. Ryzal janji.” Ryzal angkat tangan tanda berjanji.

“Tak payah nak berjanji dengan mama. Janji kamu tu bukannya boleh pakai. Tiap-tiap tahun pun janji benda yang sama tapi satu habuk pun tak ada.” Tangan Ryzal yang masih cuba memeluknya ditepis lagi. Dia betul-betul merajuk.

Ryzal garu kepala. Dah tak tahu nak pujuk macam mana. Terperangkap dengan kata-kata sendiri. Nampaknya mama betul-betul merajuk. Lemah betullah. Kalau awek tu pandai juga dia nak pujuk.

“Mama, apa nama budak perempuan tu?” Cuba mengumpan mamanya dengan buat-buat tanya pasal Siti Fatimah. Mungkin hati mamanya akan sejuk sikit.

“Buat apa kau nak tahu?” Suara Datin Hajah Maria jadi lembut sikit.

“Kata nak suruh jadi isteri Ryzal. Kenalah tahu juga sikit-sikit.” Mesti menjadi punyalah. Datin Hajah Maria pandang anaknya. Antara percaya atau tidak. Biar betul. Hatinya sedikit berbunga.

“Siti Fatimah namanya. Siti Fatimah Adrianna.” Baru semangat nak bercerita.

“Sedapnya nama dia. Mesti orangnya pun cantik.” Siti Fatimah Adrianna? Kenapa dia tak tahu nama Siti Fatimah masih ada sambungannya? Sedap pula tu. Adrianna. Barulah macam orang moden sikit.

“Cantik. Cantik sangat. Manis wajahnya. Orangnya pun baik.” Terbayang wajah itu yang manis tersenyum. Walaupun hanya tengok gambar, rasanya dah macam tengok tuannya sendiri.

“Hmmm...kalau mama dah puji melangit macam tu, maknanya memang cantiklah tu. Mana mama jumpa dia?” Rahsia terus dikorek. Kata Norman, korek hingga lubang cacing.

“Kawan Mak Long.” Datin Hajah Maria ukir senyum. Adakah itu maknanya Ryzal setuju dengan cadangannya?

“Kawan Mak Long? Umur dia berapa ma?” Biar betul. Takkan umur sebaya dengan Mak Long Yam kut.

“Muda lagi. Kamu ni pun, takkanlah mama nak cari anak dara tua bagi kat kamu. Lebih muda daripada kamu.” Agak-agaklah sikit. Dia pun tak nak cari menantu yang sebaya dengan dia. Bukan menyelesaikan masalah, tapi cari masalah lagi adalah.

“Oh, apa kerjanya?” Makin berminat nak dengar. Bukan apa, nak ambil hati mamanya.

“Cikgu. Orangnya memang baik tau Zal. Mak Long kenal dia ni tahun lepas. Masa mereka sama-sama pergi umrah. Keluarga dia pun baik-baik semuanya. Ayahnya pun cikgu juga. Tapi dah pencen. Adik beradik dia anak enam orang. Siti Fatimah anak bongsu.” Apa lagi. Makin rancak Datin Hajah Maria bercerita. Cuba untuk meyakinkan anaknya. Nampaknya, rancangannya menuju kemenangan.

Ryzal sekadar mendengar. Rasanya cukuplah sekadar apa yang dia tahu. Cikgu. Boleh tahanlah. Sekurang-kurangnya, ada pendidikan. Tak adalah kolot sangat.

“Hei kawan, nama tak menjamin apa-apa tau.” Teringat kata-kata Norman petang tadi. Memang betul pun.

“Mak Long call. Sekejap.” Datin Hajah Maria menjawab panggilan daripada kakaknya. Harap ada berita baik daripada pihak sana.

“Assalamualaikum.” Suaran Hajah Yam kedengaran ceria. Datin Hajah Maria senyum. Pasti ada berita gembira.

“Waalaikumussalam. Ada berita apa-apa ke Yam?” Hajah Mariam terus ditembak dengan soalan. Dia hanya mahu tahu mengenai perkara itu.

“Ada. Hajah Asmah ada call aku tadi. Katanya Siti Fatimah nak jumpa dengan Ryzal.” Bersemangat dia memberitahu adiknya. Nampaknya rancangan berjalan lancar.

“Betul ke ni? Habis tu kau cakap apa?” Gembira hatinya tak terbendung lagi. Tangan Ryzal diraih ke dalam genggamannya. Ryzal kerut dahi. Apa pula kali ni?

“Aku nak cakap apa? Takkan aku nak kata tak boleh pula. Aku dah bagi nombor telefon Ryzal dekat Hajah Asmah. Nanti pandai-pandailah si Siti tu. Hajah Asmah pun ada bagi nombor telefon Siti. Nanti aku sms nombor dia.” Rasa macam nak melompat. Syukur Alhamdulillah. Tak lama lagi, makan nasi minyaklah mereka.

“Oklah, nanti aku cakap dengan Ryzal.” Seketika kemudian, talian dimatikan. Senyumnya sudah sampai ke telinga.

“Siti Fatimah dah setuju.” Bukan itu yang diberitahu kakaknya tapi kalau dah nak jumpa tu, maksudnya setujulah tu.

“Setuju apa ma?” Dahinya makin berkerut.

“Siti Fatimah nak jumpa dengan Ryzal. Ini nombor telefon dia. Ryzal tanyalah dia nanti.” Telefon dihulurkan kepada Ryzal. Ada nombor telefon Siti Fatimah di situ.

Telefon bertukar tangan. Ryzal perhati skrin telefon bimbit mamanya. Nak jumpa? Boleh tahan berani juga perempuan ni. Jauh berbeza dengan apa yang dia bayangkan. Rasa rugi pula kalau tak mencuba. Manalah tahu perempuan ini memang ada ciri-ciri gadis pilihannya. Mari kita sama-sama tengok.

>>

Pintu bilik diketuk. Wajah Kak Teh terjegul di sebalik pintu bilik dengan senyuman meleret. Siti Fatimah cepat-cepat mendapatkan kakaknya. Mahu tahu perkembangan seterusnya.

“Macam mana?” Tak sabar-sabar. Ada sesuatu di tangan Kak Teh tapi cuba disorok daripadanya.

“Apa tu? Nak tengok.” Kak Teh geleng kepala. Nak tengok boleh, tapi ada syaratnya.

“Boleh tapi Kak Teh tak nak ayam KFC. Nak ayam panggang Kenny Rogers.” Amboi. Melampau.

“Ish. Melampaulah dia ni. Yalah...yalah. Esok orang belikan.” Mengada-ngadalah orang mengandung ni. Nanti anak dalam perut tu bulat macam ayam panggang baru tahu.

“Nah, nombor telefon bakal suami tersayang.” Sekeping kertas dihulurkan kepada Siti Fatimah. Sepantas kilat kertas itu disambar Siti Fatimah.

“Amboi, laju betul! Selamat berhubunganlah ya? Jangan lupa pula. Esok Kak Teh nak tengok ayam tu.” Dia ingatkan adiknya. Dah terbayang rasa ayam panggang. Sedapnya.

“Ya...ya. Dah, pergi sana.” Pintu bilik ditutup dan dikunci. Sekeping kertas yang berada dalam genggamannya dipandang. Nombor telefon. Jadi, dia kena telefonlah ya? Malulah pula.

Siti Fatimah bersila di atas katil. Kertas itu dipandang lagi. Nak telefon ke tak nak? Kalau tak telefon tak boleh jumpa. Tapi nak telefon dia malu. Hantar mesej boleh? Ah, kira bolehlah. Telefon bimbit dicapai. Kepalanya ligat mengarang ayat. Macam mana nak cakap ni? Takkan nak bagitahu, ‘Hai, saya bakal isteri awak. Boleh kita jumpa hujung minggu ni?’. Ish, macam tak kena aje. Gedik semacam.

Penat bersila, dia berbaring. Mesej tak juga dihantar. Sungguh dia tak pandai bab-bab macam ni. Dia cuba menaip sesuatu tapi kemudian dipadam semula. Beberapa kali sehingga dia mencampakkan telefon bimbitnya. Nasib baik campak atas katil. Kalau tak, mesti dah terburai. Siti Fatimah cuba pejam mata. Masih memikirkan benda yang sama. Ayat yang terbaik.

Sepuluh minit berlalu, dia masih tak dapat idea. Mata dah mengantuk. Hampir pukul sebelas malam. Esok kena bangun awal. Ah, esok ajelah fikir. Mata dipejam tapi beberapa saat kemudian ianya kembali celik. Telefon bimbitnya berbunyi. Siapa pula yang telefon malam-malam ni? Kacau orang nak tidur ajelah.

“Helo.” Panggilan terus diangkat. Tak tahu siapa yang telefon.

“Helo. Boleh saya bercakap dengan Siti Fatimah?” Mata Siti Fatimah terbuka luas. Suara lelaki. Daripada berbaring, dia terus terduduk. Tegak badannya.

“Ya, saya Siti Fatimah. Encik ni siapa ya?” Ryzal senyum sebaris. Sedap juga suara perempuan ni. Dia baru berkira-kira nak keluar berjumpa dengan Norman tapi ditunda sekejap bila teringatkan Siti Fatimah.

“Saya Ryzal.”

“Ryzal?” Ryzal mana? Hah, Ryzal? Terus dia berdiri tegak. Macam mana ni? Debaran di dada tak payah nak cakap. Automatik lidah jadi kelu.

“Ya, saya Ryzal. Takkan cik Siti Fatimah dah lupa kut dengan nama tu?” Ryzal bersandar pada keretanya. Sengaja dia nak duga Siti Fatimah. Nak tengok keberanian Siti Fatimah setakat mana.

“Ya, tahu. Ada apa ya?” Bergetar suaranya. Cakap dengan bakal suami kut. Walaupun belum pasti.

“Saja nak dengar suara bakal isteri sendiri. Kenapa, tak boleh ke?” Memang kepakarannya. Mengayat perempuan. Kerja senang.

‘Gulp!’ Siti Fatimah telan liur. Bakal isteri? Adakah itu maknanya Ryzal memang bersetuju untuk berkahwin dengannya? Oh, tidak!

“Siti Fatimah? Awak dengar ke tak?” Lembut panggilannya buat Siti Fatimah makin kelu lidah. Bukan setakat lidah. Semuanyalah. Nak bergerak pun rasa tegang.

“Ya. Err...err....” Betul-betul kelu. Nak cakap apa ni?

“Macam nilah. Cik Siti Fatimah kata nak jumpa dengan saya kan? Apa kata hujung minggu ni kita jumpa? Boleh?” Dia pun tak berniat nak cakap banyak. Norman dah menunggunya di kelab malam. Rasanya Siti Fatimah tak adalah berani sangat. Cakap sikit pun dah tergagap-gagap.

“Ya.” Itu saja yang dia boleh sebut. Otak pun macam beku. Ini dah kes berat. Baru dengar suara, belum tengok tuannya lagi.

“Ok, kalau macam tu, nanti saya bagitahu tempat dan masanya.”

“Ya.” Sekali lagi.

“Selamat malam. Sweet dream.” Siti Fatimah tak terkata. Terkedu sekejap. Telefon pun masih melekap dekat telinga walaupun talian dah diputuskan. Beberapa minit dia masih tak berganjak. Macam mimpi.

Dia melompat ke katil. Bantal peluk segera dicapai dan mukanya ditutup serapatnya. Malunya dia! Macam mana dia boleh terkedu dan tak dapat bercakap apa-apa? Mesti Ryzal fikir bukan-bukan. Macam mana nak bertentang mata dengan lelaki tu nanti? Dan sesungguhnya dia sedang menahan malu!

No comments:

Post a Comment