Showing posts with label jangan merajuk sayang. Show all posts
Showing posts with label jangan merajuk sayang. Show all posts

2013-02-07

berita baik...berita baik...berita baik...mari mari

http://i48.photobucket.com/albums/f217/smkdbs34/assalamualaikum.png 

salam sejahtera kpd pembaca semua....jeng3...kepada mereka yg dah lama menunggu (termasuk yg duk menaip ni pun)...sy persembahkan..........


hehehehehehehe....da bleh senyum smpai telinga.....sy yg di atas ini bakal menjengah ke rak2 kedai buku seluruh Malaysia (1 Malaysia katakan) pada bulan MAC 2013. so nntikan saya ye kawan2....selain dapatkan di kedai2 buku..korang juga bleh dapatkan di www.kakinovel.com dan berita baik kepada mereka yg terpilih menjadi 300 penempah (erkk...betul ke ni?) terawal, anda berpeluang mendapatkan novel beserta tandatangan penulisnyerrrrrrrrr....ihiksss...kalo nak la...xder paksaan..kot2 la ade yg tak nak novelnya kotor plak nanti..hehe...okey korang....
harga tak mahal pun sbb penulis ni xpandai nak wat novel panjang berjela...hikhik...

semenanjung: RM 21
S/S: 24

dan yg paling best..ada diskaun kepada ahli Kaki Novel...

so ape lagi. marila kite mengorder novel ini secara berjemaah...tapi tunggu...tempahan hanya akan dibuka pada hari RABU  (13/2/2013)...

sekian berita terkini...selamat membeli..hihihihihi....


p/s::penulis ini sedang bersedia mental dan fizikal utk menerima kritikan2...sob2..harap2 korang puas hati la eks...kasihani saya!!

TQVM atas semua sokongan anda....

LYNN ALLYNA sayang kamu semua!!
 

2012-07-17

jangan merajuk sayang 21


okesssssss...bab seterusnya..silakan..hehe..

Ryzal menyandarkan badannya ke sofa. Kepala didongak ke atas. Masalah dah jadi makin rumit. Nak balik rumahnya, memang dah tak boleh. Nak balik rumah mak mertua dia malu. Habis tu takkan nak duduk hotel? Sampai bila?

“Nah, minum ni. Kau fikir banyak-banyak pun bukan boleh selesai pun masalah kau tu.” Norman menghulurkan minuman panas kepada Ryzal. Tak habis-habis dengan masalah.

“Jadi sekarang kau nak buat macam mana? Apasal kau tak balik aje rumah mak mertua kau tu? Bukannya dia tahu pun yang kau menipu.” Ryzal menghirup perlahan minumannya. Memanglah mereka tak tahu tapi mestilah mereka akan curiga. Kata kerja, tapi tak sampai sehari dah balik semula.

“Aku pun tak tahu nak buat macam mana. Bini aku tu tak habis-habis buat masalah. Dah elok-elok duduk rumah aku, dia pula gatal mulut buka cerita.” Mahu saja dia cili mulut minah senget tu. Tak bersyukur langsung.

“Dah kau juga yang buat masalah. Elok-elok kata nak duduk rumah dia seminggu, kau pergi balik rumah kau tu kenapa? Mestilah dia bengang.” Ego tak habis-habis. Nak juga salahkan orang. Salah sendiri tak nampak.

“Habis tu kau nak suruh aku tidur atas lantai seminggu?” Terang-terang dia cakap dia tak sanggup.

“Kau ni pun, manalah tahu hari pertama saja dia jual mahal. Entah-entah esoknya dia siap paksa kau tidur atas katil lagi. Kau kenalah pandai sikit pujuk dia. Perempuan ni, kalau kena cara pujuknya, sekelip mata saja boleh cair tau. Takkan itu pun aku nak kena ajar? Kau kan pakar.” Pelik betullah. Kalau dengan perempuan lain, bukan main lagi. Dengan bini sendiri pun tak kalah.

“Tak payah mimpilah kalau perempuan macam tu. Aku berani kerat jarilah. Kau belum kenal lagi dia tu siapa.” Siti Fatimah tu hati batu. Pujuklah macam mana pun, tak jalan punya.

“Habis tu kalau kau memujuk pun macam nak cari gaduh, mestilah dia balas balik. Cuba kau berlembut dengan dia.” Macam pelik pula bila dia yang bagi nasihat pasal memujuk perempuan kepada Ryzal.

“Sebab dengan dia tu tak boleh cakap lembut-lembut.” Tak ada masa dia nak cakap lembut-lembut dengan Siti Fatimah. Silap hari bulan dia yang kena buli.

“Adoi, tengok tu. Tak cuba lagi dah mengalah.” Norman geleng kepala.

Ryzal diam. Tak payah cuba pun dah tahu. Dia tilik jam di tangan. Hampir pukul lapan malam. Telefon bimbit diperiksa. Tiada mesej atau panggilan daripada Siti Fatimah. Agaknya, Siti Fatimah dah balik ke belum? Perempuan tu pergi mana ya?

“Malam ni macam mana? Kat tempat biasa?” Norman menghidupkan api rokoknya. Asap berkepul-kepul keluar.

“Malaslah aku.  Tak ada mood. Kau pergilah sendiri.” Ryzal bangun. Kunci kereta dicapai.

“Kau nak ke mana ni?” Soal Norman bila dilihat Ryzal sudah menghampiri pintu utama.

“Balik.” Pintu rumah dikuak.

“Eloklah tu. Pergilah balik pujuk bini kau tu elok-elok.” Sempat lagi dia berpesan. Nampaknya dia akan keseorangan malam ini.

>> 

Ryzal berdiri di hadapan bilik Siti Fatimah. Nak ketuk ke tak nak? Ikutkan hati, malas dia nak ambil tahu tapi bila difikirkan balik, dia kena juga ambil tahu. Dia tak jadi nak ketuk pintu bilik Siti Fatimah. Dia berlalu ke biliknya yang terletak di sebelah. Telefon bimbit dikeluarkan. Dia menaip sesuatu.

“Kau dah makan ke?” Mesej dihantar.

Siti Fatimah mencapai telefon bimbitnya. Tuala yang masih tersangkut di kepala ditanggalkan. Mesej dibuka dan dibaca. Apahal mamat ni tiba-tiba nak ambil kisah pasal dirinya? Ah, balas sajalah. Biar lelaki itu tahu yang dia pun boleh hidup tanpa dirinya.

“Dah.” Ringkas. Mesej dihantar.

Ryzal baca mesej yang dihantar Siti Fatimah. Nampaknya dia kena makan seorang diri malam ini. Sia-sia dia tahan rasa lapar sejak tadi. Ingatkan Siti Fatimah masih belum makan. Nampak sangat yang perempuan itu memang tak pernah fikirkan pasal dirinya.

Siti Fatimah rasa tak sedap hati. Ryzal dah makan ke? Mungkin Ryzal masih belum makan dan sebab itu dia tanya. Dia capai semula telefon bimbitnya. Mesej ditaip lagi dan dihantar.

“Kenapa kau tanya? Kau tak makan lagi ke? Nak aku temankan?” Tiba-tiba rasa baik hati nak tawarkan pertolongan.

Ryzal renung mesej daripada Siti Fatimah. Agak lama sebelum dia membalas mesej itu.

“Aku tunggu kau di bawah sekarang.” Butang hantar ditekan. Kunci kereta dicapai.

Siti Fatimah membaca mesej daripada suaminya sambil mencebik. Nak minta tolong pun sombong. Kalau cakap awal-awalkan senang. Nak berkias-kias pula. Dia segera mencapai baju yang dipakai tadi dan disarung ke badan. Wajah dioles sedikit bedak dan pelembap bibir. Tas tangan dicapai.

Siti Fatimah menghampiri Ryzal yang sudah tercegat di sisi kereta. Malam-malam pun nak pakai cermin mata hitam ke? Tak sesuai langsung. Bila ingatkan apa yang lelaki tu dah buat, rasa nak naik ke bilik semula. Tapi disabarkan hati.

“Cepatlah. Kata nak pergi makan.” Sedikit pun dia tak pandang muka Ryzal. Menyampah.

Ryzal pandang wajah Siti Fatimah. Macam mana dia nak lembutkan hati wanita ini? Dia tak nampak jalannya. Dengan harta? Dia tak rasa Siti Fatimah mata duitan. Dengan kasih sayang? Dia tak rasa Siti Fatimah senang dicairkan. Lagipun hatinya belum terbuka untuk kembali bercinta.

“Yang kau renung aku macam nak makan tu kenapa? Takkan lapar sampai macam tu kut?” Dia tak selesa bila sepasang mata milik Ryzal asyik merenung wajahnya. Susah kalau dia terjatuh cinta nanti.

Ryzal melarikan pandangannya. Dia menghampiri Siti Fatimah seraya menarik tangan wanita itu. Siti Fatimah terdorong ke hadapan dan badannya melekap pada tubuh sasa Ryzal. Terperanjat dia. Apa ni?

“Kau ni dah kenapa? Sakit tahu tak?” Siti Fatimah cuba untuk melepaskan pergelangan tangannya yang dicengkam kuat oleh Ryzal tapi tak berjaya. Lelaki itu memandang tepat ke arahnya. Apa pula kali ni?

“Nadia dah tunggu kita kat restoran depan tu.” Ryzal memaut pinggang isterinya memaksa wanita itu untuk mengikut langkahnya. Siti Fatimah tak dapat menolak.

Nadia melambaikan tangan sebaik sahaja melihat kelibat abang dan kakak iparnya. Ryzal turut sama angkat tangan. Siti Fatimah cuba senyum walaupun payah. Dia tak suka bila dirinya dipeluk begitu di hadapan orang ramai. Dia malu.

“Amboi, bukan main romantik lagi orang baru kahwin ni. Jalan pun peluk-peluk.” Usik Nadia. Amar di sebelah hanya senyum. Ryzal menarik kerusi untuk isterinya. Berlagak macam suami mithali kononnya. Menyampah!

“Kau orang dah kahwin nanti pun mesti macam ni juga. Asyik nak berkepit saja.” Sambung Ryzal. Siti Fatimah mengiyakan saja. Nak termuntah dia dengar. Berkepitlah sangat. Nak dekat pun payah.

“So, Siti. Macam mana dengan abang Ryzal? Dia ni memang kuat mengusik. Kaki buli pun ya. Nad dah selalu sangat kena.” Rasa kekok bila nak panggil kakak ipar dengan gelaran kakak bila umur mereka sama.

“Mana boleh buli isteri sendiri. Abang ni jenis sayang bini tau.” Makin loya tekak Siti Fatimah. Sayang konon. Ada juga penampar yang melayang nanti. Tak payah nak berpura-pura sangat boleh tak? Bernanah telinga ni dengar.

“Ya lah. Orang ada bini. Dah...dah. Nad dah lapar ni. Cepatlah order.” Amar angkat tangan memanggil pelayan. Siti Fatimah menjeling tajam ke arah Ryzal. Menyesal dia ikut Ryzal.

“Kenapa tiba-tiba ajak kami makan kat sini? Biasanya orang yang baru kahwin ni tak nak diganggu.” Baru tadi dia dapat mesej daripada abangnya. Kebetulan dia pun memang sudah janji dengan Amar untuk makan bersama malam ini.

“Saja. Siti ni yang nak sangat jumpa dengan Nad. Katanya hari tu tak sempat nak berbual panjang dengan Nad.” Sekali lagi nama Siti Fatimah dipergunakan. Memang suka cari pasallah dia ni.

“Itulah. Nad pun nak sangat jumpa dengan Siti. Tapi maklumlah Nad memang sibuk sikit sekarang ni. Nak kena siapkan tesis. Lagi dua minggu due date. Lepas tu nak kena buat persiapan perkahwinan pula. Nasib baik ada mama.” Tarikh sudah ditetapkan. Majlis nikah akan berlangsung sehari sebelum majlis persandingan mereka dua beradik. Kad pun sudah dicetak.

“Maaflah Nad. Menyusahkan saja.” Terpaksalah juga dia berlakon walaupun dia tak tahu apa-apa.

“Tak apa. Alang-alang jumpa, boleh kita bincang sekali tentang majlis kita nanti. Siti dengan abang dah decide nak pakai warna apa? Kami dah sepakat nak pakai gold. Kalau Siti dengan abang pakai silver, mesti cantik.” Cadang Nadia. Siti Fatimah hanya senyum. Dia tak pernah fikir pasal majlis tu nanti. Yang dia tahu, emak mertuanya dah aturkan segala-galanya.

“Abang ikut saja dik. Sayang macam mana? Setuju?” Ryzal mengelus perlahan bahu isterinya. Siti Fatimah tak dapat nak mengelak. Nadia dan Amar asyik memandang ke arah mereka.

“Siti ikut saja.” Dia rimas bila tangan Ryzal asyik memegangnya. Macam nak ambil kesempatan pula.

“Ok, kalau macam tu kira jadilah ya? Nanti Nad bagitahu mama.” Ryzal angguk. Siti Fatimah senyum lagi. Tak tahu ekspresi apa yang patut dia beri.

“Saya nak ke tandas sekejap ya?” Itu hanya alasan untuk dia melarikan diri daripada Ryzal. Dia dah tak tahan asyik berkepit dengan mamat tu. Cepat-cepat dia bangun dan melarikan diri ke tandas. Lama dia di dalam sebelum hatinya betul-betul kuat untuk keluar kembali.

“Abang dah bincang dengan mama ke pasal hal ni? Nad tak yakin yang mama akan bersetuju.” Nad memandang tajam ke arah Siti Fatimah. Dah kenapa pula ni? Perkara apa yang diperkatakan Nadia?

“Belum lagi. Abang pun baru saja suruh orang betulkan rumah tu. Ada rosak sikit. Nanti bila dah settle semuanya, baru kami akan pindah.” Siti Fatimah memandang Ryzal. Pindah? Pindah ke mana? Dia tak tahu pun?

“Mesti mama sedih. Siti, tak boleh ke duduk saja kat rumah tu? Lagipun bukannya ada orang lain. Lepas kahwin, Nad dengan Amar kena pindah ke Terengganu. Amar ditukarkan ke sana.” Baru sahaja dia dapat tahu minggu lepas. Mahu tak mahu dia terpaksa akur. Tak sanggup nak hidup berpisah dengan Amar.

“Hah?” Siti Fatimah tercengang. Kenapa tanya dia pula? Bukan dia yang buat keputusan. Baru beberapa saat tadi dia tahu yang Ryzal mahu pindah. Ini mesti ada yang tak kena ni. Mesti mamat sengal ni gunakan namanya sekali lagi. Tak guna punya lelaki.

“Mama mesti faham punyalah. Lagipun bukannya jauh sangat rumah abang tu. Tak sampai lima belas minit dah sampai. Tiap-tiap minggu pun boleh jenguk mama dengan papa.” Ryzal menyuap makanan ke mulutnya. Itu keputusan yang dia ambil sendiri. Nak tak nak, Siti Fatimah kena ikut. Rasanya kalau mereka tinggal berasingan daripada ibu bapa masing-masing lebih senang. Tak perlu nak berlakon setiap masa.

Siti Fatimah tak berhasrat nak menyampuk. Ryzal memang suka buat keputusan tanpa berbincang dengannya. Kalau tak, tak adalah mereka terperuk di hotel. Lagipun, bagus juga kalau tinggal di rumah sendiri. Dia boleh buat apa yang dia suka tanpa rasa bersalah.

>> 

Siti Fatimah tercegat di hadapan pintu bilik sambil memeluk tubuh. Dia memandang Ryzal yang sudah mahu masuk ke dalam biliknya. Ada perkara yang perlu dibincangkan.

“Sampai bila kau nak duduk sini? Aku tahulah kau banyak duit tapi kita ni ada keluarga. Duduk kat hotel ni macam orang pelarian pula.” Ikutkan hati sekarang juga dia mahu ajak Ryzal pulang ke rumahnya. Dia tak selesa di sini. Bosan.

“Aku nak balik esok.” Siti Fatimah beri kata putus. Dia akan buat Ryzal setuju.

“Pagi esok kita balik.” Ryzal terus menghilangkan diri di sebalik pintu bilik. Siti Fatimah terpinga-pinga di situ. Biar betul? Tak payah paksa pun dia terus setuju. Kan senang kalau hari-hari macam ni. Tak adalah nak bergaduh saja.

Siti Fatimah juga masuk ke biliknya. Dia dah boleh senyum sekarang. Tapi kenapa dia rasa macam nak berborak dengan seseorang? Ryzal dah masuk bilik. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Pantas dia keluarkan sekeping kad nama daripada dompet. Khairul Anwar. Agak-agaknya lelaki itu masih ingat dia tak? Tak cuba tak tahu. Telefon bimbit dicapai. Seketika kemudian, telefon bimbit diletakkan kembali. Kad nama itu dipandang lama. Boleh ke dia buat macam ni?
 
“Ingat sikit kau tu bini orang.” Teringat akan kata-kata Bob petang tadi. Siti Fatimah mengeluh perlahan. Kad nama itu disimpan kembali ke dalam dompetnya. 

p/s:: alhamdulillah...enovel ini dah diterima untuk dicetak...so, sy terpksa menghentikan post utk novel ni..myb sy bole post sikit jer lagi..sorry k..kepada yg mendoakan dan menyokong kerjaya sy ni, teramat2 terima kasih diucapkan..doakan semuanya berjalan lancar n doakan juga sy diberi ilham utk terus berkarya...
thnks alot guyss...hehe...
tunggu tau novel ni..xtau lagi bila akan diterbitkan..hehe...tggu kata putus dr publisher..hehe..


satu lagi..jgn lupa komennn kat sini..hehe

2012-07-10

jangan merajuk sayang 20


 sorrrrrrrrrrryyyyyyyyyyyyyyyy..delay lagi..hehe
ape2 pun harap korang semua enjoy baca sambungan cerita siti fatimah n ryzal.hehehehehe...

Bab 20

Siti Fatimah senyum sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya. Berbeza dengan Ryzal yang masam mencuka. Marahlah tu. Langsung tak kisah. Yang penting dia dah menang. Seronoknya dapat jumpa dengan anak-anak saudara. Duduk rumah Ryzal macam duduk dalam perpustakaan. Senyap. Rumah besar yang sangat sunyi. Tak seronok langsung.

“Eh, boleh tak bawa kereta tu elok-elok sikit? Kau tu bawa penumpang. Kalau kau nak mati, kau mati seorang. Aku tak nak.” Nasib baik tak tercium kereta di hadapan. Kut ya pun nak lepaskan geram, agak-agaklah sikit. Tengah jalan ni. Ryzal mencerlung tajam ke arah Siti Fatimah membuatkan wanita itu terdiam. Takut juga.

Ryzal membelok ke kiri memasuki parkir kereta di hadapan sebuah bangunan. Siti Fatimah terpinga-pinga. Nak buat apa kat sini? Aduh, orang dah semangat nak balik rumah, dia boleh pula menyinggah kat sini.

“Kau nak pergi mana pula ni? Boleh tak kita balik rumah dulu? Lepas tu kau nak keluar, tak nak balik pun tak apa.” Ryzal tak menjawab. Enjin kereta dimatikan. Dia keluar dan terus menuju ke dalam bangunan itu.

Siti Fatimah mengerutkan dahi. Apa Ryzal nak buat di sini? Rumahkan ada. Buat apa nak duduk di hotel? Akalnya pantas berputar. Jangan-jangan...Siti Fatimah telan liur. Dia pegang kemas tas tangannya. Perlukah dia melarikan diri sekarang ini? Dia tak rela jadi mangsa Ryzal. Seketika kemudian, Ryzal keluar dari hotel dengan wajah yang sangat menakutkan. Siti Fatimah menggeletar. Jangan nak macam-macam ya.

Ryzal membuka bonet. Mengeluarkan beg pakaian mereka. Cermin Siti Fatimah diketuk. Siti Fatimah tak hiraukan. Dia masih lagi dalam keadaan takut. Bimbang apa yang difikirkan tadi menjadi kenyataan. Kalau macam ni, dia rela duduk rumah Ryzal.

“Kau pekak ke? Malam ni kita tidur sini.” Pintu kereta dikuak bila Siti Fatimah masih enggan membuka pintu. Tak ada masalah nak main-main.

“Kenapa pula? Kitakan dah janji nak balik rumah aku?” Siti Fatimah masih enggan keluar. Dia nak balik rumah.

“Kalau kau nak balik, kau balik sendiri. Aku nak duduk sini. Nah, ini kunci bilik kau.” Siti Fatimah terlopong. Kunci bilik dia? Maksudnya? Dia menghela nafas lega. Dia dah fikirkan yang bukan-bukan tadi. Perlahan-lahan dia keluar dari kereta. Beg pakaiannya diambil daripada Ryzal.

Mahu tak mahu dia terpaksa juga ikut langkah Ryzal. Tak pasal-pasal malam ini dia kena tidur di hotel. Padahal, rumahnya bukan jauh pun. Tak sampai lima belas minit pun daripada sini. Teruk betullah Ryzal ni. Suka-suka hati buat keputusan.

Siti Fatimah merebahkan diri ke katil. Nampaknya tak dapatlah dia jumpa dengan anak-anak saudaranya hari ini. Rindunya dekat mereka semua. Dia menilik jam di tangan. Masih awal. Apa dia nak buat dalam bilik ni seorang diri? Bosannya. Telefon dikeluarkan. Mesti orang ini dapat membantunya. Sistem pesanan ringkas dihantar.

>> 

Siti Fatimah duduk di sofa sementara menunggu Bob melayan pelanggan. Lega rasa kepalanya bila dapat keluar dari bilik hotel. Lepas hantar SMS kepada Bob tadi, dia terus ambil teksi ke butik kawannya ini.

“Pengantin baru in the house.” Terkedek-kedek Bob menghampirinya setelah pelanggannya keluar. Siti Fatimah mencebik. Pengantinlah sangat.

So, macam mana? Laki kau mana?” Apa kes baru tiga hari kahwin dah tarik muka empat belas?

“Entah. Malas aku nak ambil tahu pasal dia. Menyakitkan hati saja.” Masa dia keluar tadi, kereta Ryzal tak ada di tempatnya. Tak kisahlah, asalkan dia pun boleh keluar.

“Ish, kau ni. Ingat sikit dia tu laki kau. Yang kau keluar ni, minta kebenaran dia tak? Aku tak nak subahat. Dosa tau.” Inilah masalahnya kalau kahwin tak ikhlas. Kalau orang lain, tak nampak muka seminit pun dah rindu. Ini, seorang ke hulu, seorang ke hilir. Apa nak jadi?

“Aku mesej dia. Dia tak balas. Aku keluar ajelah.” Dia pun tahu batasnya juga. Marah-marah pun, dia tetap minta izin. Tapi bila Ryzal tak bagi maklum balas, dia terpaksa ambil keputusan sendiri. Yang penting Ryzal tahu dia keluar.

“Apalah nak jadi dengan kau orang berdua ni. Kau ni pun satu, tak boleh ke beralah sikit?” Siti Fatimah ada bagitahu yang dia rasa tertekan dengan Ryzal. Habis tu dia nak buat macam mana. Ryzal tu suami Siti Fatimah. Dia ada hak sepenuhnya ke atas Siti Fatimah.

“Nak beralah apanya? Dia yang nak sangat kahwin dengan aku. Sekarang dia tanggunglah akibatnya.” Wajahnya penuh dengan kebencian. Bob mengeluh perlahan. Susahlah kalau dua-dua pun ego. Tak nak mengalah.

“Entahlah, aku pun bukannya pandai sangat nak nasihat orang yang dah kahwin ni. Aku sendiri pun tak kahwin lagi.” Dia dah penat nak bagi nasihat. Bukannya Siti Fatimah nak dengar pun.

“Aku tak tahan betullah dengan dia tu. Dia lebih rela tidur di hotel daripada balik ke rumah aku. Tak puas hati betul. Apa, hina sangat ke rumah aku tu? Tahulah tak setanding dengan istana dia. Tapi janganlah hina sampai macam tu. Kesian mak ayah aku.” Hatinya sebak. Sanggup Ryzal buat mak ayahnya macam tu. Dia sendiri pun terpaksa berkorban perasaan demi melihat orang tuanya bahagia tapi Ryzal senang-senang hati nak tipu orang tuanya.

“Mungkin dia tak biasa kut. Maklumlah, selama ini dia duduk rumah tak ada orang. Dekat rumah kau tu ramai orang. Perlahan-lahanlah Siti.” Pujuk Bob. Cuba untuk bersikap positif yang boleh.

“Kau tak payahlah nak back-up dia sangat. Dah memang dia tu teruk. Sombong. Berlagak.” Geramnya. Tapi dia masih tak puas hati lagi. Memang sungguh-sungguh dia bencikan lelaki itu.

“Kau tak baik cakap laki kau macam tu. Ingat sikit, syurga kau tu terletak bawah tapak kaki laki kau tau. Tak cium bau syurga nanti.” Bob tahu Siti Fatimah tertekan. Biasanya Siti Fatimah tak macam ni.

“Ah, ada laki pun perangai macam tahi.” Bila teringatkan perkara itu, macam tak sabar nak bercerai dengan Ryzal. Kalau terus dengan lelaki itu, sampai bila-bila pun dia tak dapat cium bau syurga. Asyik mengutuk dan mengata sahaja.

“Assalamualaikum.” Kedua-duanya berpaling. Bob lebih dulu ukir senyum. Siti Fatimah masih memandang lelaki yang baru masuk itu. Dia macam kenal dengan lelaki itu.

“Waalaimkumussalam. Seorang saja ke?” Bob mendapatkan pelanggannya. Siti Fatimah cuba ukir senyuman bila mata lelaki itu memandangnya tepat.

“Ya. Saya nak tempah baju.” Dia menghulurkan beg plastik yang berisi kain. Bob menilik ke dalam beg plastik.

“Eh, kenapa warna purple? Biasanya orang nikah pakai baju warna putih.” Soal Bob. Jarang sangat orang pakai warna lain. Lainlah kalau majlis nikah dan sanding dilakukan sekali. Kalau nak jimatkan kos. Tapi lelaki di hadapannya ini orang kaya. Takkan nak jimatkan kos juga kut?

“Eh, ini bukan baju nikah. Saya akan jadi pengapit.” Lelaki itu menjelaskan duduk perkara sebenar.

“Oh ya ke? Ingatkan nak tempah baju nikah. So, bila nak nikahnya?” Kecoh. Sibuk aje nak tahu hal orang. Lelaki itu memandang Siti Fatimah dan melempar senyum manis. Malu-malu Siti Fatimah.

“Jodoh kami tak panjang. Kami dah berpisah bulan lepas.” Terkejut Siti Fatimah dan Bob mendengarnya. Putus tunang. Kesian. Tunang punyalah cantik. Tapi dah tak ada jodoh, nak buat macam mana.

“Maaflah. Tak tahu pula. Dah tak ada jodohkan.” Bob membawa beg plastik tadi ke belakang. Meninggalkan Siti Fatimah bersendirian dengan lelaki itu. Lelaki yang pernah dia angankan.

“Kerja kat sini ke?” Soal lelaki itu.

“Eh, taklah. Saja datang lepak sini.” Dadanya berdebar. Tak tahu kenapa. Senyuman lelaki itu menggoda sangat dan dia sedang tergoda.

“Saya Khairul Anwar.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Makin lebarlah senyuman Siti Fatimah.

“Siti. Siti Fatimah.” Malu-malu tapi mahu. Ada hikmah juga Ryzal suruh dia tidur di hotel hari ini. Dapat jumpa jejaka pujaan.

“Selalu ke lepak kat sini?” Khairul Anwar mengambil duduk di hadapan Siti Fatimah. Makin menggeletar lutut Siti Fatimah.

“Selalu juga. Lagipun Bob tu kawan baik saya. Dah lama kami kenal.”

“Oh, patutlah.” Khairul Anwar memandang wajah wanita di hadapannya. Cantik.

“Bila you nak ambil baju ni?” Suara Bob mengejutkan mereka berdua. Kacau daun betul!

“Dalam masa dua minggu boleh?” Bob mencatat sesuatu di atas kertas.

“Boleh aje.” Amboi, kalau dengan lelaki kacak, bukan main lagi gediknya. Tak kuasa!

“Oklah. Kalau macam tu saya balik dulu. Oh ya, ini kad saya.” Khairul Anwar keluarkan sekeping kad dari dompetnya dan menyerahkan kepada Siti Fatimah. Bob tak puas hati.

“Hai, untuk Siti aje ke? I tak dapat ke?” Khairul Anwar senyum sebaris. Dia keluarkan sekeping lagi kad. Dihulurkan kepada Bob.

“Thanks.” Bob baca kad nama yang baru diterimanya. Terlopong mulutnya.

Welcome. Hope to see you again.” Dia melirik ke arah Siti Fatimah. Siti Fatimah tak tahu nak cakap apa. Lelaki tu betul-betul buat hatinya tergoda. Jauh benar perangainya daripada Ryzal. Sejuta kali lebih baik.

“Amboi, sempat lagi kau mengurat ya? Ingat sikit kau tu bini orang. Bagilah chance dekat mak yang bujang lagi ni.” Siti Fatimah senyum meleret. Kad nama itu dipandang lagi. Khairul Anwar. Boleh tahan juga ya?

“Mana ada mengurat. Kau ni mengarut sajalah. Dah orang nak berkawan, takkan kita nak tolak pula.” Hilang sudah sakit hatinya tadi. Senyuman Khairul Anwar benar-benar buat hatinya cair.

“Tapi dia tu memang handsome kan? Kenapalah perempuan tu putuskan tunang?” Masih dia ingat betapa mesra merpati dua sejoli itu sewaktu datang ke kedainya mengambil baju pertunangan. Tak sampai dua bulan bertunang dah putus. Kalau dah tertulis bukan jodoh, tak boleh nak buat apalah.

“Adalah masalahnya tu. Eh, dahlah Bob. Jom pergi makan. Aku laparlah. Nanti kalau dah balik hotel, malas aku nak keluar lagi.” Ryzal masih tak membalas mesejnya. Risau? Tak ada maknanya. Dia tu lelaki. Pandailah jaga diri. Bukannya budak kecil.

“Jomlah. Aku pun dah lapar. Kau belanja tau.” Bob menutup suis lampu dan kipas butiknya. Kebetulan pembantunya tak datang hari ini. Terpaksalah dia tutup butik awal sikit.

“Kau memang. Duit banyak buat harta karun.” Tempelak Siti Fatimah. Bob mencebik.

“Alah, kau kan baru dapat hantaran dua puluh ribu. Takkan nak belanja aku sepuluh ringgit pun berkira?” Bob membalas balik. Duit hantaran yang diberikan Ryzal bukan alang-alang. Terlopong mulutnya masa Siti Fatimah bagitahu.

“Kalau dia tak bagi pun, aku masih ada duitlah nak belanja kau. Cepatlah, dah nak maghrib ni.” Siti Fatimah sudah bersedia di sebelah kereta Bob. Lelaki itu masih terkial-kial mengunci butiknya.

:p/s::nakk komennn...hehehehe

2012-07-03

jangan merajuk sayang 19


adusss..lambat lagi..huhu..maaf..banyak perkara yg perlu diselesaikan mggu ini..
apa2 pun...enjoyzzzzzzz!!!

 
Ryzal membalas senyuman yang dilemparkan oleh gadis-gadis pelayan kelab kepadanya. Hampir seminggu dia tak bertandang ke sini. Kena kuarantin di rumah sebab nak berkahwin. Dia mencari kelibat Norman di dalam kelab yang sesak dengan pelanggan. Suasana bingit menyesakkan telinga. Senyumnya makin melebar bila ternampak Norman melambai padanya.

“Hai bro, apa cerita? Orang baru kahwin biasanya tak nak keluar dari bilik. Kau ni, baru dua hari kahwin dah boleh melepak dekat kelab?” Sinis. Bukan dia tak tahu cerita di sebalik pernikahan Ryzal.

“Bosanlah duduk kat rumah. Kalau bini tu perempuan yang aku suka tak apa juga. Ini mengalahkan singa betina. Rimas aku. Asyik mengaum saja kerjanya.” Minuman dipesan. Kepalanya digoyang-goyang mengikut rentak muzik. Dia nak lupakan seketika apa yang berlaku dalam dua hari ini. Anggap saja dia masih lagi bujang seperti sebelum ini.

“Kau biar betul? Aku tengok, dia tu lembut saja?” Terbayang wajah isteri Ryzal. Kali pertama melihat, dia tak nafikan perempuan itu memang cantik. Senyumnya manis. Perwatakan pun lembut saja.

“Kau tengok luarannya. Takkan depan orang dia nak mengamuk pula. Aku yang duduk sebilik dengan dia ni saja yang tahu. Kau percaya, malam pertama pun aku dah kena dera.” Nasib baik lenguh di badannya dah hilang. Malam ini terpaksalah dia tidur di bilik tetamu. Tak sanggup nak tidur atas lantai lagi.

“Kena dera? Kenapa? Apa dia dah buat dengan kau? Dera fizikal ke dera batin?” Norman ketawa nakal. Seronok juga dengar cerita orang baru kahwin ni.

“Kau gila? Ada ke dia suruh aku tidur atas lantai? Dahlah tak ada tilam. Satu badan sakit tau.” Bulat mata Norman mendengar. Ketawanya meledak lagi. Ini kes dera zahir dan batin.

“Hei, apa kes ni bro. Dah hilang taring ke? Kau ada hak tau atas isteri kau tu.” Dia sendiri pun belum kahwin lagi tapi sikit-sikit tu dia tahulah. Dia ada dengar masa kursus perkahwinan dulu. Sekarang tunggu masa nak nikah saja.

“Kalau perempuan macam dia tu, baik tak payah. Nak dekat pun aku seram. Silap hari bulan, aku kena masuk hospital pada malam pertama.” Dia lebih rela tidur di lantai daripada tidur di dalam wad. Isterinya itu bukan boleh kira.

“Itu kalau silap hari bulan. Kalau betul hari bulannya, aku rasa kau tak akan keluar lagi malam-malam.” Sekali lagi ketawanya meledak. Ryzal ketap gigi geram. Tak ada benda lain nak fikir ke? Satu ketukan singgah di dahi Norman. Pandai pun nak berhenti ketawa.

“Dahlah tu. Malas aku nak fikir pasal perempuan tu. Aku datang sini nak release tension jadi kau jangan nak rosakkan mood aku.” Matanya melilau sekeliling. Tak ada gadis ke pelayan  yang boleh dijadikan teman malam ini?

“Dah ada yang halal, nak juga cari yang haram. Pelik betullah.” Norman geleng kepala. Dah kahwin pun masih tak berubah lagi perangai kawannya ini. Agak-agak boleh berubah ke ya?

Ryzal tak ambil pusing dengan kata-kata Norman. Seorang gadis menghampirinya. Ryzal kenyit mata. Boleh tahan juga. Pinggan gadis seksi itu diraih. Sekelip mata dia sudah hilang ke lantai tari bersama gadis itu. Norman hanya memerhati. Nasiblah kau Siti Fatimah, dapat laki kaki perempuan.

>> 

Ryzal menolak daun pintu biliknya. Suasana sudah bertukar gelap. Mana taknya, dah hampir pukul tiga pagi. Perlahan-lahan dia menapak ke katilnya. Siti Fatimah sudah terlena di atasnya. Merengkot kesejukan. Tudung masih setia di kepala. Dia teringin nak tengok Siti Fatimah tanpa tutup di kepala.

Lama dia memerhati wanita yang sudah dua hari menjadi isterinya yang sah itu. Kulit wajahnya cantik. Tak ada noda. Air mukanya lembut. Kalau orang yang tak kenal mesti ingat Siti Fatimah ini seorang yang lemah lembut. Tak ada cacat-celanya wanita ini jika dipandang dari segi fizikal. Tapi kenapa hatinya tak terbuka untuk mencintai wanita ini? Dia ada hak untuk menyentuh Siti Fatimah tapi kenapa dia tak mahu berbuat demikian?

Siti Fatimah mengingatkannya kepada kekasih yang dicinta sepenuh hati. Di mana wanita itu sekarang? Sihatkah dia? Hatinya tiba-tiba diterpa rasa rindu. Lama dia tak rasa begitu. Selimut tebal ditarik menutupi tubuh kurus Siti Fatimah. Sekali lagi dia merenung wajah itu. Dia terbayangkan Natasha! Perlahan-lahan tangannya cuba menyentuh wajah itu. Lembut. Sentuhannya menjalar ke dagu dan kemudian ke bibir merah merekah.

Lena Siti Fatimah terganggu apabila dia merasa ada sesuatu yang menjalar di wajahnya. Cuba membuka mata yang macam digam. Dalam gelap malam dia menangkap wajah seseorang di hadapannya. Seorang lelaki. Terus terbuka luas matanya. Nak menjerit tapi mulutnya pantas ditekup oleh Ryzal. Sepantas kilat dia bangun. Apa yang Ryzal cuba lakukan?

“Shhh...” Tapak tangan Ryzal masih di mulutnya. Sebelah lagi tangan Ryzal meramas lembut sebelah tangan milik Siti Fatimah. Dikucup hangat. Siti Fatimah tergamam. Kenapa Ryzal tiba-tiba jadi seberani itu? Nafasnya seakan tersekat. Air matanya sudah bergenang. Dia tak rela disentuh Ryzal.

Tangan Ryzal dialihkan daripada mulut Siti Fatimah. Dia cuba untuk merapati Siti Fatimah. Wajah mereka sangat dekat hingga dapat dirasa deruan nafas keduanya. Siti Fatimah pejam rapat matanya. Dia tak rela Ryzal buat apa-apa pada dirinya. Dijauhkan sedikit wajahnya dan kemudian dihantukkan dahinya ke dahi Ryzal. Dia rela sakit daripada menjadi mangsa Ryzal.

“Aduh!” Ryzal gosok dahinya. Pedih. Dia buka mata dan lihat Siti Fatimah berada di hadapannya. Mana Natasha?

“Apa yang kau buat ni?” Setitis air mata gugur. Dia takut. Bantal ditekup ke dada.

Giliran Ryzal pula yang tergamam. Adakah dia sedang bermimpi dalam sedar tadi? Wajah Natasha adalah khayalan semata-mata. Kenapa boleh jadi sampai begitu? Mungkin kerana dia terlalu rindukan wanita itu. Beberapa saat kemudian, susuk tubuhnya menghilang di sebalik pintu bilik. Dia malu.

Siti Fatimah pelik dengan perangai Ryzal. Kenapa lelaki itu nampak macam terkejut? Adakah Ryzal sekadar berlakon untuk menutup kesalahannya? Tapi kenapa Ryzal cepat-cepat keluar dari bilik? Siti Fatimah meraba pipinya yang disentuh Ryzal. Begitu juga tangannya yang dikucup Ryzal. Saat itu hatinya bergetar hebat. Pertama kali dia lihat Ryzal selembut itu.

Ryzal menyembunyikan dirinya di dalam bilik tetamu. Nasib baik semua orang dah tidur. Esok awal-awal pagi dia akan keluar dari sini. Lampu dibiar tak berpasang. Dia berteleku di hujung katil. Macam mana dia boleh bayangkan Siti Fatimah sebagai Natasha? Dia meraup wajahnya. Entah apa yang akan Siti Fatimah fikir tentang dirinya? Ah, pedulikanlah. Yang penting, dia tak ada niat nak sentuh Siti Fatimah. Dia hanya terbayangkan Natasha.

 >> 

Siti Fatimah menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Ryzal masih tak kelihatan. Bangun pagi tadi pun Ryzal masih tak ada di dalam bilik. Tak tahulah mana mamat tu tidur. Tak kisahlah, bukan rumah orang lain pun. Rumah dia sendiri. Mesti adalah tu di dalam salah satu bilik.

“Mana Ryzal? Tak bangun lagi ke?” Siti Fatimah serba salah nak jawab. Manalah dia tahu Ryzal dah bangun ke belum. Orangnya pun dia tak tahu dekat mana.

“Belum.” Tipu sunat. Nak menyelamatkan keadaan. Nanti tak pasal-pasal kecoh satu rumah.

“Dah berbini pun macam tu jugak perangainya. Bangun tak pernah nak awal.” Bebel Datin Hajah Maria. Teh panas dituangkan ke dalam cawan suaminya.

“Biasalah tu. Orang baru kahwin.” Sampuk Datuk Haji Azizan. Dia menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Pipi Siti Fatimah memerah menahan malu.

“Orang lain pun baru kahwin juga. Tapi pandailah juga nak bangun awal sikit.” Datin Hajah Maria turut menyuapkan nasi goreng ke mulutnya. Siti Fatimah kelu di situ. Dia masih tak biasa dengan keluarga barunya ini. Nak sebut mama dan papa pun rasa kekok.

Morning.” Sepantas kilat Siti Fatimah berpaling. Panjang umur.

“Panjang pun umur. Ingatkan dah reti nak bangun.” Ryzal tersengih-sengih. Siti Fatimah cepat-cepat melarikan pandangannya. Tak tahu kenapa cepat saja peristiwa di dalam gelap semalam menerpa ke mindanya. Tak boleh jadi.

“Mana boleh tak bangun ma. Isteri kesayangan Ryzal ni tak ada depan mata sekejap pun Ryzal dah rindu.” Ryzal meramas tangan Siti Fatimah menyebabkan wanita itu serba salah lagi. Nak tarik ke nak biarkan? Siti Fatimah ambil langkah selamat. Dia menyenduk nasi goreng ke pinggan Ryzal.

“Baguslah kalau macam tu. Cepat sikit mama dapat cucu, kan bang?” Tersedak Siti Fatimah. Baru dua hari kahwin dah cakap pasal cucu? Ryzal senyum sinis memandang Siti Fatimah yang sudah berubah riak wajahnya. Kalau tidur pun atas lantai, macam mana nak dapat anak?

“Insya Allah ma. Kami pun dah rancang. Tak nak tunggu lama-lama. Kalau boleh, dalam bulan ni juga.” Masa inilah dia nak kenakan Siti Fatimah. Gerenti Siti Fatimah tak akan melawan.

“Elok sangatlah tu. Mama pun dah tak sabar nak timang cucu. Siti, makan lebih-lebih sikit. Biar gemuk sikit. Baru senang nak mengandung.” Senyum Ryzal makin melebar. Siti Fatimah rasa nak sorok muka bawah meja. Tolonglah, boleh tak cakap benda lain?

“Dengar tu sayang. Makan banyak-banyak sikit.” Ryzal menceduk nasi goreng dan meletakkannya ke dalam pinggan Siti Fatimah. Banyak. Sengaja nak kenakan isterinya. Sebelum ni seronok sangatkan kenakan orang? Sekarang kau rasalah pula.

‘Kau memang sengajakan nak kenakan aku. Mentang-mentanglah mak bapak kau ada.’ Mahu tak mahu Siti Fatimah terpaksa juga lempar senyum walaupun rasa sumbing. Tapi nasi yang membukit dalam pinggan ni siapa nak makan?

Ryzal menyuap nasi goreng ke mulutnya tanpa ada rasa bersalah. Siti Fatimah tak puas hati. Ada yang nak kena ni. Jangan ingat mak bapak Ryzal ada depan mata dia tak boleh nak kenakan mamat sengal ni.

“Bukan semalam awak cakap awak kena masuk kerja ke hari ni?” Biar Ryzal terjerat dengan pembohongannya sendiri.

“Hah, nasib baik Siti ingatkan. Mama nak tanya semalam tak sempat. Abang ada suruh Ryzal pergi kerja ke?” Soalan berbalik kepada suaminya. Kalau ya, memang nak kena dua beranak ni.

“Tak adalah. Diakan tengah bercuti sampai hujung minggu ni. Nak pergi kerja buat apa? Bukannya ada masalah pun di pejabat tu.” Datuk Haji Azizan berhenti menyuap makanan ke mulutnya. Dia memandang tepat ke arah anak lelakinya. Kenapa Ryzal nak pergi kerja hari ni? Bukan ke dia dah siapkan semua kerja sebelum bercuti tempoh hari?

“Tak jadi ma. Masalah dah selesai.” Sedikit pun dia tak memandang wajah orang tuanya. Kenapa Siti Fatimah nak ungkit cerita tu pula? Bukan ke minah ni dah tahu ke yang dia hanya mencipta alasan untuk balik ke sini? Ada yang tak kena ni.

“Masalah apa? Kenapa papa tak tahu?” Setahunya tak ada masalah yang dilaporkan kepadanya. Lagipun dia pengarah di situ. Kalau ada masalah dia akan tahu.

“Masalah kecil aje pa. Tak ada apalah.” Habislah. Nak kelentong apa lagi ni?

“Ryzal, cuba cakap baik-baik. Jangan buat mama dengan papa keliru.” Datin Hajah Maria tak puas hati. Ryzal macam sembunyikan sesuatu. Atau anaknya ini sedang berbohong. Tapi kenapa?

Siti Fatimah tak menjawab apa-apa. Biarkan Ryzal jawab semuanya. Nak menipu sangatkan? Seronok pula tengok Ryzal kena marah dengan datuk dan datin.

“Mungkin Ryzal sengaja reka cerita kut mama sebab dia nak balik ke sini.” Sayu suara Siti Fatimah. Masa untuk berlakon. Datin Hajah Maria dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Reka cerita?

“Ryzal, betul ke apa yang Siti cakap tu?” Suara mamanya agak meninggi. Tapi kenapa sampai nak reka cerita begitu?

Ryzal diam. Siti Fatimah ni dah kenapa? Sengaja nak tengok aku kena marah ke? Memang tak senang kalau tak menyusahkan orang. Mangkuk betullah minah ni.

“Tak apalah ma. Siti tahu, rumah Siti tak besar macam rumah ni. Rumah kampung saja. Mungkin Ryzal tak biasa.” Siti Fatimah menunduk. Suaranya makin sayu. Nasi yang menimbun sudah ditolak ke tepi. Berjaya juga dia buat alasan supaya tak payah habiskan nasi tu. Bijak tak?

“Tapi Siti terkilan sebab Ryzal dah tipu mak, ayah dan ahli keluarga Siti yang lain. Kesian dia orang.” Makin sedih jadinya. Mama dan papa Ryzal makin tak senang duduk. Ryzal memang nak kena.

“Ryzal, betul ke apa yang Siti cakap tu?” Apa dah jadi dengan anaknya ni. Dia tak pernah ajar anaknya menipu. Sanggup Ryzal malukan dia dan suaminya.

“Ma, mana ada. Siti yang salah faham.” Bijak betul kepala otak perempuan ni. Ada saja idea dia nak kenakan orang. Siaplah kau nanti.

“Tak apalah ma. Siti ke dapur dulu.” Mukanya memang sangat menyedihkan. Pinggan di bawa ke dapur. Dalam hati, macam nak melompat. Suka sangat sebab Ryzal kena marah. Marah lagi, marah sampai Ryzal menangis. Yes!

“Habis tu kenapa tiba-tiba balik sini semalam? Mama tak sangka Ryzal sanggup buat macam tu. Mama tak pernah ajar Ryzal menipu tau. Ryzal tahu tak siapa yang Ryzal dah tipu tu? Mak ayah Ryzal tau. Mama betul-betul kecewa dengan Ryzal.” Remuk hatinya. Ryzal dah betul-betul melampau. Entah apa yang besannya akan fikir tentang dirinya. Betul-betul tak pandai jaga anak.

“Ma, please.” Ryzal menguak rambutnya ke belakang. Kenapa boleh jadi sampai macam ni pula? Siti Fatimah!

“Mama tak akan maafkan Ryzal selagi Ryzal tak balik semula ke sana dan minta maaf dengan keluarga Siti.” Tak perlu nak pujuknya lagi. Keputusannya bulat. Datin Hajah Maria meninggalkan meja makan. Terus mendaki tangga menuju ke biliknya.

Siti Fatimah yang mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atas Ryzal. Gembira bukan kepalang. Dapatlah dia balik ke rumah semula. Padan muka Ryzal.

“Papa pun tak tahu nak cakap apa. Kamu dah buat salah dan sekarang kamu kena tanggung akibatnya.” Ringkas dan padat. Ryzal menunduk. Siti Fatimah memang pembawa masalah.