2013-02-07

Tanya Sama Hati 14,15,16






 http://i242.photobucket.com/albums/ff176/azrifit/Assalamualaikum.gif 
 p/s:bekalan utk cuti raya cina..kihkih...

Bab 14
Ika memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Malas sungguh rasanya. Baru dua hari di rumah. Memang tak cukup. Telefon yang berdering diangkat. Entah dari siapa. Hanya nombor yang tertera di skrinnya.
“Helo..” Siapakah gerangannya manusia di sana?
“Assalamualaikum.” Suara lelaki. Ika kerut dahi. Siapa ya?
“Waalaikumussalam. Siapa ya? Nak cakap dengan siapa?” Mesti salah nombor ni. Mana pernah ada lelaki yang menelefonnya. Kalau ada pun abah dengan adiknya.
“Zulaikha ya?” Hah, makin pelik. Bukan salah nombor ni. Betul.
“Ya saya. Siapa ya di sana?” Sekali lagi soalan yang sama diulang.
“Hai, takkan dah tak cam suara siapa ni? Belum lagi sampai setahun kita tak jumpa.” Kerutan di wajah Ika makin ketara. Pelik betul. Betul ke tak orang ni?
“Maaflah encik. Saya tak kenallah encik ni siapa.” Ika sudah berkira-kira mahu memutuskan talian. Dia tak suka orang main-main.
“Betul tak cam?” Soal lelaki itu. Ika diam. Cuba diamati suara itu. Macam pernah dengar tapi dia tak boleh teka siapa.
“Maaflah. Encik ni cari Zulaikha lain kut.” Boleh jadi juga. Anggap sajalah begitu.
“Hmm…sampai hati suara kawan sendiri pun tak cam. Dulu hari-hari dengar suara ni.” Ika telan liur. Aduh, siapalah pulak ni. Mana aku ada kawan lelaki. Kalau ada pun…si Faiz. Tapi takkanlah ini…
“Faiz?” Perlahan. Dia tak pasti tekaannya betul atau salah.
“Ermm…” Kedengaran ketawa di hujung talian. Memang sah lah ni.
“Ya Allah. Faiz. Kenapa tak cakap awal-awal. Suka ya dapat main-mainkan orang.” Ika buat-buat merajuk.
“Mana ada main-main. Saja nak uji. Ingat lagi tak dekat kawan yang seorang ni.” Faiz bangkit dari sofa empuk. Beralih ke balkoni luar.
“Mana boleh lupa. Tadi tu cuma tak cam suara saja. Dengar macam suara orang lain aje.” Cuba menutup rasa malunya. Memang dia betul-betul tak cam dan tak pernah terfikir yang Faiz akan menghubunginya.
“Ya lah tu. So, macam mana sekarang? Dah kerja?” Bahang mentari memaksa Faiz untuk masuk semula ke dalam rumah.
“Alhamdulillah. Dah kerja. Faiz macam mana?” Ika mengalih duduknya. Pakaiannya dibiar tak berkemas. Nanti saja.
“Dah tapi kerja biasa-biasa saja. Tak macam orang tu.” Merendah diri.
“Ya lah tu. Takkan best student kerja biasa-biasa saja. Entah-entah sekarang dah jadi ketua penyelidik.” Masih dia ingat cita-cita kawannya ini. Mahu jadi penyelidik ternama katanya. Itu tak mustahil dengan keupayaan mental lelaki itu yang memang bijak.
“Belum lagilah Ika. Masih lagi jadi pekerja bawahan.” Punat alat kawalan jauh tv ditekan. Terpapar wajah cantik Rozita Che Wan.
“Tak apa. Perlahan-lahan. Ika yakin Faiz mesti boleh lakukan.” Rindu pula untuk bertemu mata dengan lelaki ini.
“InsyaAllah. Ika ada kat mana ni?”
“Kampung. Tapi petang ni baliklah. Esokkan dah kerja.” Entah kenapa dia rasa mahu berborak lama. Badannya dibaringkan.
“Rasa rindu pulak nak jumpa Ika dengan Salihah. Dia apa khabar ya?” Teringat pula kawannya yang lagi seorang itu.
“Entahlah. Ika pun jarang contact dengan dia. Kadang-kadang YM aje. Tapi dia dah kerja dah. Dekat USM.” Salihah juga sepertinya. Menjadi tenaga pengajar di sana.
Perbualan berlanjutan. Pelbagai perkara dibualkan. Hingga tak terasa masa berlalu. Hampir satu jam mereka berbual. Dari zaman universiti dulu hingga kepada kehidupan sekarang.
“Bila agaknya nak merasa nasi minyak Faiz ya?” Usik Ika. Bukan dia tak tahu perasaan Faiz padanya. Tapi dia tak dapat nak balas. Ada sesuatu yang menghalang.
“Mungkin nasi minyak kita sama kut.” Usikan dibalas dengan satu usikan yang tersirat maksudnya. Ika terdiam seketika.
“Pandai ajelah Faiz ni. Kalau ramuannya berlainan, macam mana boleh sama.” Serba-salah dia menjawab. Dia faham benar maksud Faiz.
“Hmm…kita boleh jadikan ramuannya sama.” Wajah Rozita Che Wan sudah tak kelihatan. Bertukar dengan wajah malu-malu Ika. Gadis yang telah mencuri hatinya. Lama dia memendam perasaan.
“Eh, Faiz. Dah lewatlah. Nanti takut terlepas bas pula.” Tak berani dia nak berborak lama-lama bila masuk bab itu. Nanti makin merepek-repek pula.
“Tak apa. Kalau Ika nak suruh Faiz jemput pun tak apa.”
“Ish, kampung Ika jauhlah. Oklah Faiz. Ika kena letak dulu ni. Banyak kerja lagi nak kena buat.” Makin tak senang duduk. Bukan seperti awal tadi.
“Ya lah. Orang di sana dah tak sudi. Kita nak buat macam mana.” Perlahan suaranya persis orang merajuk.
“Jangan cakap macam tu. Ada masa nanti kita borak lagi. Assalamualaikum.” Terpaksa. Maafkan Ika. Tak bermaksud nak kecilkan hati Faiz.
Ika hembus nafas lega. Talian sudah diputuskan walaupun dia tahu Faiz berat hati. Dia bukannya sengaja. Tapi entah kenapa, huluran cinta dari lelaki itu tak dapat dibalas dengan rasa yang sama. Cukup sekadar menjadi rakan karib.
“Kau ni memang tolak tuahlah Ika. Si Faiz tu bukan main baik lagi. Dahlah dia tu cinta separuh mati dekat kau. Kesian aku tengok dia.” Bebel Salihah. Orang tengah antara Ika dan Faiz.
“Dah aku tak ada rasa cinta dekat dia. Aku nak buat macam mana. Nanti kalau aku terima cinta dia, maksudnya aku dah membohongi diri aku sendiri dan diri dia juga. Aku tak sanggup nak aniaya orang sebaik dia Sal. Sebab itu aku terus-terang saja dengan dia. Aku rasa ini jalan terbaik.” Bantal dipeluk. Dia bukan begitu. Faiz terlalu baik. Tak mahu menipu lelaki itu.
“Tapi kau boleh cuba dan belajar cintakan dia kan?” Masih tak puas memujuk kerana di matanya, Ika dan Faiz sangat secocok. Dua-dua pun baik, dua-dua pun pandai. Dan yang paling penting, dua-dua pun masih solo.
“Aku tak boleh Sal. Tujuan aku ke sini nak belajar, bukan bercinta. Aku tak nak hampakan harapan orang tua aku, keluarga aku.” Mungkin itu alasan terbaik. Harap Salihah dapat terima.
“Bukan kau saja Ika. Aku pun. Tapi kita kena pandailah. Bukan aku suruh kau abaikan pelajaran.” Ika mengeluh. Dia tak sekuat Salihah.
“Aku tak pandai macam kau Sal. Aku tak boleh nak buat dua kerja dalam satu masa. Nanti, aku takut pelajaran aku ke mana, si Faiz tu pun ke mana.” Hatinya bulat. Biarlah apa pun yang akan dikatakan Faiz, keputusannya tetap sama.
“Kenapa kau tak boleh terima cinta dia, Ika?” Mahu juga dia tahu. Mana tahu mungkin dia boleh tolong.
Sepi seketika. Ika cuba menyusun kata-kata. Tak mahu rahsia hatinya terungkai dan cuba untuk mencari alasan yang masuk akal. Serba-salah dibuatnya.
“Aku tak sedia.” Boleh diterimakah?
“Itu saja? Atau kau ada simpan sesuatu daripada aku?” Serkap Salihah.
Ika kaget. Adakah kelihatan jelas di wajahnya? “Eh, mana ada. Kau ni pandai-pandai saja.” Cepat dia menjawab.
“Betul?” Mata dikecilkan. Tepat memandang wajah Ika yang cuba dilarikan pemiliknya.
“Betul. Kau ni ada-ada sajalah. Dahlah, aku nak study.” Ika melarikan diri ke mejanya. Membuka buku yang dia sendiri tak tahu apa yang ingin dibacanya.
“Achik.” Ika tersedar dari lamunannya. Ya Allah, jauh hingga ke negara bersalji itu dia mengelamun.
“Ya Allah, tak berkemas lagi. Bila lagi kamu nak kemas ni Achik oi. Dah pukul berapa ni?” Puan Siti geleng kepala. Pakaian anaknya masih berterabur di atas katil.
“Kawan telefon tadi bu, itu yang berhenti sekejap. Ni nak kemaslah ni.” Ika segera mencapai baju-bajunya. Dilipat ala kadar dan dimasukkan ke dalam beg.
“Lipatlah betul-betul. Ish, anak dara seorang ni. Pemalas betul.” Bebel Puan Siti seraya keluar dari bilik.
Lipatan makin perlahan. Teringat kembali apa perbualan dengan Faiz sebentar tadi dan lamunannya. Bukan senang untuk dia jatuh hati. Sekali dia jatuh hati, perasaan itu akan tetap di situ. Kesetiaannya tinggi. Maafkan Ika, Faiz.  
>> 
Malas-malas dia keluar dari kereta. Beg pakaian dijinjing. Stesen bas hingar-bingar dengan suara pelbagai jenis orang. Bunyi enjin dan hon bas makin membingitkan telinga. Tiket dikeluarkan dari dompetnya. Jam tangan dikerling. Masih ada lima belas minit sebelum waktu bertolak.
“Bas kamu pukul berapa Achik?” Untuk kesekian kalinya Puan Siti bertanya. Pening kepala melihat begitu ramai orang.
“Lima belas minit lagi bu. Duduklah dulu.” Kalau diikutkan hati, mahu saja dia sambung cuti. Tak puas lagi duduk di kampung.
“Kamu dah bagi tahu Along ke ni? Nanti kamu dah sampai, dia pula tak sampai-sampai.” Risau seorang ibu. Memang begitulah keadaannya.
“Dah bagitahu tadi. Nanti dia datanglah jemput. Ibu janganlah risau sangat. Bukannya Achik tak biasa naik bas. Dari zaman sekolah menengah dulu lagi.” Kali pertama dia naik bas seorang diri sewaktu pulang ke kampungnya semasa cuti sekolah. Waktu itu dia di tingkatan satu. Takutnya bukan main lagi. Tapi dikuatkan juga semangat. Kalau tak cuba, sampai bila asyik nak menyusahkan ayahnya saja.
“Sampai sana nanti, kirim salam kat semua ya. Rindu betul ibu dengan budak-budak tu.” Belakang anaknya diusap perlahan. Masih tak puas melepas rindu.
“Hah, bas dah datang tu.” Haji Khalid yang sedari tadi asyik memerhati bas yang keluar masuk bersuara. Bas berwarna ungu muda itu berhenti di petaknya.
“Hai, malas betul rasanya nak balik.” Ika bangun. Membetulkan bajunya.
“Lain kali balik lagi. Jangan kerja teruk-teruk sangat. Hati-hati dekat tempat orang tu. Kalau ada masalah, cepat-cepat bagitahu ibu dengan abah. Tak pun, bagitahu Along. Dah, naik bas cepat.” Ika peluk kemas ibunya. Hatinya sayu. Bilalah agaknya dia boleh berada lama di samping ibunya.
“Insya Allah. Ibu janganlah risau. Achik tahu jaga diri.” Dia beralih, mencapai tangan abahnya. Dikucup penuh kasih.
“Ibu dengan abah jaga diri tau. Jangan buat kerja berat-berat sangat. Makan ubat cepat-cepat kalau sakit.” Berat hati nak lepaskan ibu dan abahnya. Lambat-lambat dia mendaki tangga bas. Tangan tak lepas melambai hingga kedua-duanya hilang dari pandangan.
Bab 15
Ika tekun mengadap komputernya. Biasalah, orang baru kerja. Kenalah tunjuk rajin sikit. Sambil buat kerja, dia sibuk membalas mesej yang dihantar Salihah menerusi Yahoo Messenger. Lama tak bertanya khabar. Bila dah dapat peluang, gunakan sepenuhnya. Seronok mendengar bila kawannnya itu akan melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya hujung bulan ini. Salihah memang bertuah. Aman begitu setia di sisinya.
Jari-jemarinya berhenti menekan butang-butang di papan kekunci bila telefon bimbitnya nyaring berbunyi. Segera dicapai. Dah agak. Memang tak ada orang lain.
“Ika, kau tengah kerja lagi ke?” Tanpa salam.
“Assalamualaikum mak cik. Kau ni, tak reti bagi salam ke?” Perli Ika. Kedengaran ketawa kecil Syarifah.
“Waalaikumussalam. Aku lupalah. Excited sangat nak tanya kau ni.” Memang jelas suara keterujaannya. Teruja nak tanya apa pun tak tahulah.
“Apa yang excited sangat ni? Aku rasa macam artis pula.” Sempat lagi dia berangan.
“Perasan jugak kau ni ya?” Syarifah mencebik.
“Habis tu, kau saja ke yang boleh perasan? Eh, cepatlah. Apa kau nak tanya aku ni?” Tangannya masih ligat membalas mesej-mesej dari Salihah. Kerja pun dah entah ke mana.
“Tak ada. Aku cuma nak ingatkan kau tentang majlis malam esok tu. Kau kan suka buat-buat lupa.” Lepas ni jangan cakap dia tak ingatkan sudah.
“Malam esok? Kalau aku tak pergi boleh?” Dah mula buat perangai dah.
“Kau jangan macam-macam Ika. Kang ada pula yang masuk hospital nanti.” Tak kira. Dia sanggup tunggu depan rumah Ika sehingga gadis itu keluar.
“Alah, kalau aku tak ada pun, majlis tu berjalan juga. Aku bukannya orang penting. Lainlah kalau aku penganjur majlis ke, artis ke yang semua orang nak tengok. Tak payahlah ya?” Masih cuba untuk memujuk walaupun dia tahu Syarifah juga akan cuba sedaya upaya untuk memaksanya pergi.
“Jangan nak mengada-ngada ya. Kau dah janji nak pergi. Aku dah belikan kau baju. Aku tunggu depan rumah kau malam esok.” Tak nak bertolak ansur lagi. Nanti, makin banyak pula alasannya.
“Aku macam tak sedia lagilah Sya. Tak payah pergilah ya?” Sudah tak tahu macam mana nak menolak. Serba-salah dibuatnya.
“Tak ada maknanya. Dah, malam esok pukul lapan kau bersiap. Aku datang jemput kau kat rumah.” Keputusan muktamad. Tak ada kompromi.
Ika diam. Kalau dengan si Syarifah ni memang tak boleh nak membantah. Macam diktator. Susah betul.
“Kau jangan lambat. Kau ingat ya?” Talian diputuskan. Ika termenung sendirian.
Mesej-mesej dari Salihah dibiarkan tak berbalas. Pening memikirkan masalah yang tak sudah-sudah ini. Cepatlah esok. Tapi dia tak mahu melalui saat itu. Ya Allah, kuatkan hati hamba-Mu ini.
>> 
Bedak dioles ke pipi. Sedikit pembayang mata berwarna merah disapu ke kelopak mata. Kemudian, celak dikenakan dan diikuti dengan maskara. Melentik bulu matanya. Gincu berwarna merah dicalit ke bibir. Seri wajahnya terus menyerlah. Lama dia mengadap cermin. Meneliti setiap inci wajahnya yang baru sahaja disolek. Betul ke tindakannya?
Entah kenapa dia rasa mahu pakai semua itu. Pergi kerja pun tak pernah dia bersolak macam tu. Cukup sekadar bedak dan gincu. Tapi hari ini, gatal sahaja tangannya mencapai alat-alat solek yang rasanya sudah berkurun menjadi penghuni kotak hikmatnya. Beberapa minit kemudian Ika bangun dan mencapai tudung warna merah dan dikenakan ke kepala. Kena sekali dengan bajunya yang berbunga merah. Ini semua gara-gara Syarifah.
Siap berdandan, Ika masih tak berani nak keluar dari biliknya. Apa kata kakaknya nanti bila lihat dia dalam keadaan begini? Apa reaksi abang iparnya? Aduh, malu pula menerpa. Ika kembali mengadap cermin. Ditilik sekali lagi penampilannya. Terlebih ke? Sebelum ni, bukan main lagi menolak nak pergi. Sekarang, lebih-lebih pula. Pasti teruk dia dikenakan Syarifah.
Tisu dicapai. Sudah berkira-kira mahu menanggalkan solekan yang begitu cantik di wajahnya. Terasa berat. Dia menarik nafas dan menghembus semula perlahan.
‘Ika, tetapkan pendirian kau.’ Cuba member kata-kata perangsang kepada diri sendiri.
“Achik, ni kawan Achik dah sampai ni.” Ketukan di pintu membantutkan pergerakan Ika. Memang tak sempat nak padam semua itu. Hentam sajalah.
“Ya, sekejap.” Tas tangan dicapai. Sekilas dia memandang cermin. Berserah saja. Biarlah orang nak kata apa pun.
Pintu bilik ditarik. Kakaknya sudah beredar ke ruang tamu. Anak tangga dituruni satu-persatu. Suara kakaknya dan Syarifah makin jelas kedengaran. Debaran di hati makin menjadi-jadi. Ika kuatkan hati. Cuba berfikiran positif.
Saat kakinya menjejakkan kaki ke anak tangga yang terakhir, tiga pasang mata memandang tepat ke arahnya. Perbualan terus terhenti. Langkahnya juga terhenti. Semua terdiam. Dia lihat Alongnya menguntum senyum. Abang iparnya juga. Hanya Syarifah yang masih memandang tak berkelip. Melopong mulutnya.
“Wow!” Itu sahaja yang terkeluar dari mulut kakaknya. Ika makin tak selesa. Memang betul dia salah perkiraan.
“Kenapa tengok macam tu? Ada yang tak kena ke?” Cuba untuk menutup debar di hati walaupun rasanya sudah macam nak meletup.
“Taklah. Cantik. Tak pernah tengok Achik cantik macam ni. Macam lain saja. Cantiklah.” Puji kakaknya. Memang tak pernah tengok adiknya bersolek begini. Pasti ada sesuatu yang istimewa di sana.
“Bencilah macam ni. Sya kau tunggu kejap. Aku nak basuh muka.” Ini baru di rumah. Pasti lagi teruk kalau sudah berada di sana. Pasti teruk dikutuk. Itik hodoh nak jadi angsa yang cantik. Argh, tak boleh jadi.
“Eh, kau jangan nak mengada-ngada. Kita dah lewat ni. Nanti, tak pasal-pasal mengamuk laki aku dalam kereta tu. Dah, jom.” Bebel Syarifah. Jangan harap dia nak bagi muka. Bukan senang nak tengok Ika cantik macam ni. Ika memang memudahkan kerjanya.
“Tapi, aku ….”
“Tak payahlah Achik. Dah cantik dah tu. Tak baik susahkan si Sya ni. Ni, kamu nak balik pukul berapa ni?”
“Tak tahu lagi kak. Tengoklah majlis tu habis pukul berapa. Rasanya tak adalah lewat sangat kut.” Tak dapat nak bagi kata putus. Kalau ramai yang datang, lagi lambatlah habis.
“Hmm…kalau macam tu, Achik bawa kunci siap-siap. Takut Along tertidur. Tak pasal-pasal ada yang kena tidur luar rumah.” Ika menyambut kunci yang dihulurkan kakaknya. Tanpa banyak cakap, dia membuntuti langkah Syarifah yang sudah di hadapan.
“Pergi dulu ya Along.” Kakaknya hanya mengangguk dengan senyuman yang masih tak lekang di bibir.
Pintu rumah ditutup. Kasut sederhana tinggi berwarna putih disarungkan ke kaki melengkapkan gayanya. Perlahan-lahan dia menapak menuju ke kereta Syarifah. Takut terkehel. Biasalah, baru nak belajar pakai kasut tumit tinggi.
“Cepatlah mak cik. Kita dah lambat ni.” Ika mempercepatkan langkah. Pintu kereta dikuak dan dia terus memboloskan diri ke dalam.
“Hai Ika. Lama betul tak jumpa dengan kau.” Ika tergamam seketika. Siapa?
“Ya Allah aku lupa pulak mamat ni laki kau. Lainnya kau sekarang. Makin gemuk.” Ketawa Ika terhambur. Melihat melihat pipi Anas yang jelas kelihatan tembam. Pandai betul si Syarifah jaga.
“Kalau dah hari-hari kena sumbat dengan nasi, mana tak gemuknya. Kau pun apa kurangnya. Lain benar aku tengok. Makin cantik.” Mata dikerling ke arah isterinya di sebelah. Syarifah menjeling tajam. Cemburu mungkin.
“Pandai je kau. Bini kau kat sebelah tu pun apa kurangnya.” Ika menanggalkan kasut tumit tingginya. Rasa tak selesa.
“Kau jangan layan sangat budak ni Ika. Kalau bab menggatal, memang tak pernah kalah.” Ngomel Syarifah. Ika hanya ketawa. Bahagia betul tengok orang dah kahwin ni.
“Gatal-gatal pun, awak sayang juga kan?” Usik Anas seraya membelokkan kereta memasuki lebuhraya.
“Hai, macam manalah boleh terkahwin dengan orang gatal macam ni?” Syarifah mengeluh. Dia cuma bergurau. Mahu tak sayang, laki aku tu.
“Tak baik kau cakap macam tu Sya. Kecil hati si Anas.” Anas juih bibir. Kepala diangguk tanda setuju dengan kata-kata Ika.
“Alah, beranilah dia nak kecil hati dengan aku.” Dia menjeling ke arah suaminya. Bibir senyum mengejek.
“Hish, kau orang berdua ni. Dari zaman sekolah sampai sekarang tak habis-habis nak bergaduh. Pelik aku, macam manalah kau orang ni boleh kahwin.” Ketawa ketiga-ketiganya terhambur. Mungkin ada cerita lucu di sebaliknya. Hanya mereka berdua yang tahu.
“Tu lah Ika. Aku pun pelik, dulu bukan main anti lagi aku dengan minah kerek ni. Entah macam mana boleh terjatuh cinta pula. Kalau setakat terjatuh cinta tu tak apa lagi. Ini siap jadi bini. Aduh, terseksa aku.” Terbayang jelas di matanya bagaimana antinya dia dengan Syarifah waktu sekolah dulu. Pantang berjumpa, pasti berperang mulut. Hai, kalau dah jodoh.
“Jodoh, Nas.” Perlahan tapi membuatkan mereka semua diam. Jodoh adalah ketentuan Tuhan yang tak dapat ditolak.
Ika mengalih pandangan ke luar. Deretan lampu neon pelbagai warna menceriakan suasana. Entah kenapa hatinya tak seceria itu. Ada sesuatu yang berlegar di fikirannya. Tentang apa? Dia tak dapat nak jawab. 



Bab 16
Anas memperlahankan keretanya. Matanya meliar mencari petak parking yang masih kosong. Syarifah juga. Ika di belakang mula menggelabah. Kasut yang ditanggalkan tadi disarungkan semula ke kakinya. Menggigil tangannya. Entah apa yang ditakutkan sangat pun tak tahulah.
Melihatkan deretan kereta di luar restoren buat dia sedikit panik. Macam ramai saja yang datang. Ini yang dia tak suka ni. Kenapa ramai pula yang datang?
“Sebelah kereta merah tu dear.” Pantas jari Syarifah menunjuk ke arah depan. Masih ada satu petak kosong di sebelah kereta MyVi merah.
“Ok, dah sampai. Jom kita turun.” Anas mematikan enjin kereta. Syarifah sudah membuka pintu kereta. Ika masih mematungkan diri di belakang. Berat hati untuk turun.
“La, yang kau tak turun lagi ni kenapa? Nak aku dukung ke?” Pintu kereta dibuka. Ika masih membatu. Dia pandang Syarifah minta belas.
“Kau jangan nak mengada-ngada. Kita dah sampai ni.” Syarifah tarik tangan Ika. Memaksa gadis itu keluar.
“Kenapa pula tu?” Anas menjenguk. Dahinya berkerut.
“Sya, aku seganlah.” Lambat-lambat dia melangkah keluar. Ika cuba berdiri dengan betul dek kerana memakai kasut tumit tinggi.
“Jangan nak mengada-ngada. Kita dah sampai. Orang lain pun dah ramai yang sampai. Tengok kat sana tu, dah mula majlis agaknya.” Syarifah memegang erat tangan Ika. Takut kawannya itu lari. Tak pasal pula dia nak kena kejar.
“Itu yang buat aku seram. Ramai sangat orang.” Ika makin tak selesa.
“Oi mak cik. Yang kat dalam tu semuanya orang. Tak ada hantu jembalang. Dinasour pun tak ada. Apa yang kau nak takut sangat?” Syarifah mula geram. Kena juga nanti si Ika ni.
“Jom yang. Tak sabar abang nak jumpa dia orang tu.” Anas mengajak Syarifah. Dari tadi dia asyik tertinjau-tinjau ke dalam restoren. Tak sabar nak jumpa kawan-kawan lama.
“Cepat. Kalau tak aku tinggalkan kau kat sini. Hah, nak sangat berkawan dengan hantu.” Syarifah memaut lengan suaminya. Meninggalkan Ika yang masih berdiri tak bergerak.
Syarifah sudah jauh di depan bersama Anas. Ika masih kaku. Payah betul kakinya nak melangkah.
‘Kenapa dengan kau ni Ika? Kau dah sampai dah pun. Kenapa kau nak takut sangat. Tak semestinya ramai orang kat dalam tu, dia pun mesti ada sekali. Kau tak kesiankan Syarifah ke?’
Perasaannya berperang. Memang itulah yang dia takutkan. Takut untuk bertemu mata dengan Khairul Hilmi. Lelaki yang selama ini sering mengacau mindanya. Ika tarik nafas dalam. Dihembus perlahan-lahan. Sedikit demi sedikit dia membuka langkah. Berdetak bunyi sepatunya. Kedengaran alunan muzik indah dari dalam restoren. Ika kuatkan semangat.
Langkahnya terhenti betul-betul di hadapan pintu utama. Matanya dijamu dengan warna merah dan putih. Pelbagai gaya. Suara ketawa menerpa gegendang telinganya. Degupan di dada semakin kencang. Nafas seakan tersekat. Nak telan liur pun terasa payah. Dia tak tahu nak menuju ke mana. Wajah-wajah yang terhidang di depannya terasa asing. Seperti tak pernah dilihatnya.
“Ika, sini!” Ika berpaling. Syarifah sedang melambaikan tangannya. Dia hela nafas lega. Nasib baik ada Syarifah. Dia mengatur langkah. Wajah ditunduk sedikit ke bawah. Tak mahu orang tahu yang dia juga ada di situ.
“Mas, kau cam tak siapa ni?” Mastura mengecilkan matanya. Cuba mengamati gadis yang baru sahaja muncul di sebelah Syarifah. Nampak macam kenal tapi dia tak pasti sama ada tekaannya ini betul atau tidak.
“Macam kenal tapi takkanlah kut. Satu kelas dengan kita ya Sya?” Mastura cuba mengamati wajah itu betul-betul. Ika naik rimas. Takkan orang tak perasan langsung akan dia? Ini belum buat pembedahan plastik lagi.
“Mestilah. Cuba kau tengok betul-betul.” Ika cuba senyum walaupun sebenarnya dia tak suka keadaan itu.
“Takkan Zulaikha kut? Ish, bukanlah. Siapa ni Sya? Aku tak camlah.” Mas menyerah. Ada iras-iras Zulaikha tapi yang ini cantik sikit. Tak macam Zulaikha.
“Kau rasa?” Syarifah masih mahu berteka-teki. Bibirnya mengulum senyum.
“Zulaikha?” Dahi Mastura berkerut. Tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Ika segera mengangguk. Tak mahu dirinya terus dijadikan bahan tilikan.
“Ya Allah. Biar betul? Ika, lamanya tak jumpa kau. Aku langsung tak cam kau. Lain sangat. Kau apa khabar?” Mastura memeluk erat tubuh Ika, membuatkan Ika sedikit lemas.
“Aku baik. Alhamdulillah. Kau pun apa kurangnya. Dah makin berisi. Datang seorang ke? Tak bawa suami?” Sekadar berbasa-basi. Tak tahu nak tanya apa sebenarnya.
“Biasalah kalau dah beranak ni Ika. Badan memang naik. Aku datang seorang saja. Suami aku jaga anak kat rumah.” Mas kelihatan bahagia. Terselit cemburu di hati Ika. Tuah orang, siapa yang tahu.
“Ish, aku macam tak percaya saja yang kat depan aku ni Ika. Macam mana kau boleh jadi macam ni Ika?” Mas masih teruja. Ini yang Ika malas nak datang. Pasti kena soal siasat.
“Macam ni macam mana?” Buat-buat tak faham. Malas nak cerita sebenarnya.
“Hmm…tak payahlah kau tanya Mas. Aku ni dah lama tanya. Masih tak dapat-dapat lagi. Kedekut betul.” Kalau bab mengata memang kepakaran si Syarifah. Ada juga yang kena cili mulut nanti.
“Bagitahulah Ika.” Rayu Mastura. Ika sekadar senyum.
“Syarifah, Mas. Kau orang apa khabar? Lamanya tak dengar cerita.” Syarifah dengan Mas saja? Aku?
Wanita itu memeluk erat Mas dan Syarifah. Ika seolah-olah tak diendahkan. Dia rasa janggal. Takkan kawan-kawan sendiri tak kenal dia? Ini yang dia malas nak datang ni. Bosanlah macam ni.
“Awak pun satu batch dengan kami ke?” Wanita itu juga seperti Mastura. Memandangnya macam tak pernah nampak orang.
“Kau pun tak kenal aku ke?” Ika mula bosan. Takkanlah perlu perkenalkan diri dekat semua orang. Bagus buat pengumuman terus kat atas pentas tu.
“Macam kenal.” Terdiam seketika sebelum matanya membulat.
“Astaghfirullahalazim. Macam mana aku boleh tak cam kau beb? Biar aku tengok lagi sekali.” Fiza menyentuh lembut wajah Ika. Ditilik dalam-dalam. Memang sah.
“Apa dah jadi pada kau? Kau buat plastic surgery ya?” Ini lagi seorang. Tak sayang mulut betul.
“Assalamualaikum semua.” Fuh, Ika hembus nafas lega. Mereka semua berpaling ke arah pentas. Kelihatan seorang lelaki lengkap berpakaian mengikut tema berdiri di sana dengan memegang microphone.
“Selamat datang ke majlis reunion bekas pelajar SMS Dato’ Mahmud. Sekolah kesayangan kita semua. Kita amat bertuah hari ni sebab ada seseorang yang istimewa bersama kita hari ini. Berikan tepukan kepada cikgu yang telah banyak berjasa kepada kita semua. Cikgu Zabedah.” Tepukan bergema. Ramai yang bersorak. Siapa tak kenal dengan Cikgu Zabedah. Cikgu paling nyaring suaranya kalau mengajar matematik. Sebatu pun boleh dengar.
“Cikgu Bedah pun ada? Lama betul tak tengok dia tu. Entah macam mana rupa dia sekarang ya? Agak-agak, dah tua-tua ni garang lagi ke ya?” Pertanyaan Syarifah disambut dengan ketawa oleh yang lain. Hish, memanglah mulut tak ada insurans.
Ika cuba untuk mengingat kembali siapa lelaki yang berada di atas pentas itu. Dia ingat-ingat lupa. Bukan ke itu…
“Faizul.” Terpacul nama itu dari mulutnya.
“Ha’ah. Tu memang Faizul. Kau ingatkan? Hantu raya yang selalu kacau kau dulu tu. Sampai sekarang pun aku ingat tau. Sebab dia aku kena marah dengan Cikgu Zaid. Memang kurang ajar betul.” Dendam Syarifah pada lelaki itu seakan-akan masih belum padam. Dia sendiri pun dah lupa. Sebab dia tak pernah ambil kisah.
“Kau ni. Cerita tu dah lama. Buat apa nak ingat lagi. Hensem dia sekarang kan?” Dari jauh memang nampak macam lelaki macho. Belum tengok dekat lagi.
“Hai, takkan berkenan dekat hantu tu kut?”
“Aku cakap sajalah. Kau ni, suka fikir bukan-bukan.” Macam mana dia nak jatuh cinta dengan Faizul kalau di hatinya terpahat nama lelaki lain?
Ika memandang sekeliling. Orang yang sentiasa di mindanya masih belum nampak batang hidung. Tak datang ke? Dia cuma Nampak Wadi dan Zul. Rakan baik Hilmi waktu di sekolah dulu. Dia berpaling pula ke sebelah kiri. Masih tak nampak kelibat lelaki itu di mana-mana.
“Ika, kau cari siapa?” Tanya Syarifah yang perasan akan keadaan itu. Ika segera berpaling ke arah kawannya itu. Ketara sangat ke?
“Eh, mana ada. Aku tengok-tengok saja. Ramai juga yang datang ya?” Pandangannya kembali ditala ke hadapan. Cikgu Zabedah masih lagi memberi ucapan. Ika tak berminat nak dengar sebab ada perkara lain yang lebih menarik minatnya.
“Hmmm…macam kurang seoranglah. Kau tak perasan ke?” Syarifah menanti reaksi Ika. Sebenarnya dia tahu apa yang ada di fikiran Ika saat ini. Rahsia Ika yang terbongkar tanpa disengajakan. Rahsia yang dia simpan kemas sampai sekarang. Ika sendiri tak tahu yang dia sebenarnya tahu akan rahsia itu.
“Siapa? Entahlah. Aku bukannya kenal ramai orang pun. Setakat budak kelas kita, aku ingatlah. Tu pun tak semua.” Cuba menahan gugup di hati. Di kepalanya, hanya nama itu yang berputar dan orang itu memang belum muncul. Mungkin tak akan datang.
“Ya, itu dia. Ketibaan handsome boy SMSDM. Selamat datang En. Khairul Hilmi.” Suara besar Faizul membuatkan jantung Ika berdegup kencang dengan serta-merta. Mukanya terasa panas. Air liur yang ditelan terasa sejuk semacam. Dia kaku. Nama itu bagai terpenjara di benaknya. Bergema di situ.  
“Hah, datang pun. Ika, tengok tu. Kau kenal dia kan?” Syarifah masih menanti reaksi Ika. Kawannya itu kelihatan tak bergerak. Jelas kelihatan wajah gugupnya. Memang masih ada perasaan itu di hati Ika.
Ika masih belum ada kekuatan untuk berpaling dan memandang susuk tubuh lelaki yang sering mengusik jiwa gadisnya. Tak semena-mena kata-kata hinaan Hilmi dulu terngiang-ngiang di telinganya.
“Kalau ya pun dia syok kat aku, lantaklah. Aku nak buat macam mana. Kalau setakat perempuan macam tu, aku tak hairan. Walaupun tak ada perempuan lain dalam dunia ni, belum tentu aku akan pilih dia, tau?”
“Eh, siapa pula di sebelahnya tu?” Syarifah kerut dahi. Ada wanita cantik di sebelah Hilmi. Kekasih? Tapi wanita di sebelahnya itu memang cantik. Putih melepak. Siap berkait lengan lagi. Pasti seseorang yang istimewa.
“Ika, jom kita pergi sana. Kita jumpa kawan-kawan kita kat sana. Macam ramai aje kat sana tu.” Syarifah rasa serba salah. Pasti Ika kecewa. Tangan Ika dicapai. Ingin segera berlalu supaya Ika tak melihat lelaki itu.
Sekilas Ika berpaling ke belakang. Pertanyaan Syarifah buat hatinya terlalu ingin tahu. Siapa yang dimaksudkan oleh Syarifah? Dalam keriuhan ramai jemputan, dia dapat melihat senyuman Hilmi yang sehingga kini dia masih ingat.
“Jomlah Ika. Tengok sana, si Peah, Mail dengan Kinah ada tu. Lama betul tak jumpa mereka.” Tangan Ika ditarik. Mahu cepat-cepat pergi jauh dari Hilmi dan pasangannya. Tujuan dia memaksa Ika ke sini untuk menghiburkan hati kawannya itu. Memang dia mahu Ika bertemu dengan pujaan hatinya dalam diam, tapi bukan ini yang dia harapkan. Dia sudah tersilap. Kasihan Ika. Pasti jiwanya terluka lagi.
Mata Ika masih tak lepas menilik di celah orang ramai. Wajah Hilmi terlindung di sebalik ramai orang. Dalam kepayahan, dia mengecilkan mata menyorot wajah wanita di sebelah lelaki hebat itu. Cantik. Itu perkataan pertama yang dia dapat luahkan. Air liur yang ditelan terasa perit. Pandangan dialih apabila badannya sudah jauh didorong Syarifah ke hadapan. Semakin jauh meninggalkan lelaki yang masih melekat di mindanya walaupun dia pernah rasa terhina oleh sebaris ayat yang diucap lelaki itu.
“Eh, Zulaikha ke ni? Kenapa aku nampak lain sangat?” Ika kembali ke dunia nyata. Pertanyaan daripada seorang kenalan membuatkan dia tersedar. Lama dia memandang ke arah lelaki itu. Ingatannya kembali membawanya ke zaman sekolah dulu. Memang sah, tak ada orang lain lagi.
“Kau jangan nak buat macam-macam ya. Kalau dulu, zaman sekolah bolehlah kau nak mengejek dia setengah mati. Sekarang dah lain. Sekali lagi kau ejek dia, aku cari kau sampai lubang cacing.” Amaran keras. Masih tak berubah. Ika masih terpinga-pinga.
“Mak ai. Tak berubah langsung minah brutal yang seorang ni. Rilekslah beb. Kalau cantik macam ni, aku nak ejek buat apa. Aku nak ayat sikit je. Tak salahkan. Lagipun aku single lagi ni. Ermm…cik Ika cantik ni pun single lagi kan?” Ulat bulu dah naik daun. Ika senyum acuh tak acuh. Tak ingin langsung.
“Oh, nak mengayat ya? Banyak cantik muka kau. Dah berlori-lori kau ejek dia dulu, sekarang dia dah cun macam ni, kau nak mengayat pula? Eh Faizul, aku nasihatkan kau pergi cermin dulu muka kau tu. Kau pergi sental dulu jerawat-jerawat yang ada kat muka kau tu ya?” Memang lancang mulut minah ini seorang. Memang tak ada insurans. Tengah orang ramai macam ni pun sempat lagi dia menyembur orang. Terkulat-kulat Faizul.
“Ish, Sya. Tak baik kau cakap macam tu. Kesian dia. Buat apa nak ingat lagi perkara yang dulu.” Ika sedikit rasa bersalah. Melihat wajah Faizul yang sudah masam mencuka, buat dia rasa kasihan.
“Jangan ambil hati ya Faizul. Syarifah ni bergurau saja.” Cepat-cepat Ika tarik tangan Syarifah supaya berlalu daripada situ. Tak mahu lama-lama berperang mulut. Tak pasal-pasal huru-hara jadi majlis ini nanti.
“Ermm…Ika!” Sempat lagi Faizul menghulurkan sekeping kad nama kepada gadis di hadapannya. Ika sambut acuh tak acuh.
“Kau ni kasar sangatlah Sya, kesian kat budak tu. Tak pasal-pasal kena sembur.” Beberapa orang yang menyapa dibalas dengan senyuman manis. Tak kurang juga mata-mata gatal yang menjeling manja ke arahnya. Malas nak layan.
“Ah, biarlah. Baru padan dengan muka dia.” Syarifah terlebih emosi. Macam dia pula yang jadi mangsa buli.
Mereka mengambil duduk di kalangan beberapa orang kenalan wanita. Masing-masing sibuk bercerita tentang hal dulu-dulu. Gembira bila mengetahui hampir semua kawan-kawan dulu sedang berbahagia dengan kehidupan masing-masing. Terpancar keceriaan di setiap wajah mereka.
Dalam diam, mata Ika masih lagi mencuri pandang ke arah sekumpulan lelaki dan wanita di tengah restoren. Mereka sedang rancak berbual dan bergelak ketawa. Sesekali terlihat Hilmi memandang manja ke arah wanita di sebelahnya. Api cemburunya tercetus apabila melihat lelaki itu tak lepas merangkul pinggang si cantik di sebelah. Siapa sebenarnya wanita itu? Isterikah? Atau sekadar teman wanita? Dia terlalu ingin tahu.
 http://secha.org/wp-content/uploads/2012/08/A-sincere-thanks.png
 

1 comment: