Bab 34
Hilmi menanggalkan kopiah putih dari atas kepalanya.
Lama dia berteleku di sejadah. Muhasabah diri. Dia terleka sejak kematian
isterinya. Dia hanyut dalam kesedihannya. Dia lupa ada yang lebih mengetahui
rahsia di sebalik kejadian yang menimpa. Mujur dia cepat sedar. Surat terakhir
arwah isterinya buat dia sedar. Dia punya tanggungjawab. Ada insan yang
memerlukannya.
“Mi, turun nak. Mummy dengan daddy ada di bawah. Mereka
tunggu Mi.” Hilmi angguk lemah. Sejadah dilipat. Hampir ke pukul sembilan pagi.
Lama betul dia duduk di situ.
Dia capai sesuatu di atas meja. Kaki diatur menuju ke
ruang tamu. Riuh rendah suara penghuni melayan karenah si kecil yang asyik
merengek. Pasti rindukan ibunya. Hilmi tarik nafas dalam.
‘Tak, aku harus kuat. Nur Jannah, abang akan tunaikan
permintaan sayang.’
Sedaya upaya dia cuba ukir senyum walaupun agak sumbing.
Seakan-akan sudah tak tahu bagaimana nak senyum. Lama dia tak buat begitu.
Wajah mertuanya masih kelihatan suram walaupun cuba mengukir senyum.
“Mummy dan daddy apa khabar?” Hilmi menyalami keduanya.
“Baik.” Puan Wong tahu, pasti menantunya ini masih lagi
terluka. Mana taknya, teman sebantal sudah tak ada. Hilmi orang paling rapat
dengan anaknya sebelum anaknya meninggal. Pasti sakit itu lebih.
Anak kecil yang masih lagi merengek dipandang penuh
kasih. Kulitnya putih bersih. Sama seperti kulit arwah isterinya. Hilmi pejam
mata, tak mahu terus mengingati perkara itu. Dia harus mulakan hidup baru.
“Kenapa ni Ilham. Dia rindukan papanya kut. Hilmi,
dukunglah anak kamu tu. Kesian dia.” Puan Zalina bersuara. Kasihan si kecil,
sudahlah tak ada ibu, ayah pula masih tak pedulikan dirinya.
Hilmi dukung anaknya. Serta-merta anak kecil itu diam.
Memang betul, dia rindukan papanya. Pipi kecil itu dikucup.
‘Papa sayangkan
Ilham. Papa akan jaga Ilham. Papa dah janji dengan mama. Ilham mesti jadi anak
yang baik ya sayang.’
Puan Zalina mahu mengalirkan air mata. Begitu juga Puan
Wong. Sebak dada mereka. Anak kecil itu seakan tahu yang dia sedang didukung
oleh papanya. Bukan main berselera lagi bila disuakan susu oleh papanya.
“Dah tidur dah dia.” Hilmi senyum melihat keletah
anaknya.
“Terus diam dapat tengok papa dia. Kamu tak sarapan lagi
kan Mi. Pergilah, mama ada buat nasi goreng tadi. Nak mama panaskan?”
Hilmi geleng kepala. “ Tak payahlah ma. Mi tak rasa
lapar lagi. Nantilah.”
“Sekali-sekala, bawalah Ilham balik rumah Mummy. Mummy
nak datang selalu dah tak larat. Ini pun sebab rindu sangat.” Pesan Puan Wong.
Kalau mereka datang, bolehlah juga dia melepas rindu. Tak ada Jenny, cucu pun
jadilah.
“Baiklah mummy. Kalau ada masa, saya akan bawa Ilham ke
sana.”
“Mi, dah seminggu mama kat sini. Mama memang tak ada
masalah kalau nak tinggal lama di sini tapi tak bolehlah terlalu lama. Kesian
papa seorang di rumah. Kalau mama balik nanti, anak kamu ni macam mana? Biar
mama jaga di kampung ya?” Dia belum yakin untuk menyerahkan hak penjagaan
sepenuhnya kepada Hilmi. Bukan tak percaya tapi buat sementara waktu, biarlah
dia yang jaga. Lebih terjamin rasanya. Nak harapkan rumah asuhan, lagi dia tak
yakin. Banyak kes buruk dah terjadi. Dia tak mahu satu-satunya cucu yang dia
ada ini jadi mangsa seterusnya.
“Mi faham. Tapi Mi nak jaga anak Mi sendiri. Mi dah
janji dengan arwah.” Biarlah dia susah. Dia tak kisah. Demi amanat arwah isteri
dan demi anak tersayang, dia sanggup.
“Tapi Mi, kamu tak ada pengalaman nak uruskan budak
kecil. Lagipun bayi ni sensitif sikit. Biarlah mama yang jaga dulu. Nanti, bila
anak kamu dah besar sikit kamu ambillah.” Keadaan anaknya masih belum stabil.
Macam mana nak jaga bayi kecil ini? Dia takut Hilmi tak dapat kawal keadaan.
Bukan senang menguruskan seorang anak kecil lebih-lebih lagi Hilmi bekerja.
Pulangnya tak tentu. Kalau kerja di luar daerah? Kasihan cucunya.
“Betul cakap mama kamu tu Hilmi. Mummy pun rasa ada
eloknya mama kamu jaga dulu buat sementara waktu. Nanti bila keadaan dah
stabil, anak pun dah besar sikit, bolehlah kamu jaga. Mummy rasa, Jenny tentu
faham keadaan kamu.” Sokong Puan Wong. Dia pun tak yakin yang menantunya boleh
menjaga cucunya seorang diri.
Hilmi mengeluh kecil. Dia serba-salah. Anak kecil yang
sedang nyenyak tidur dipandang penuh kasih. Dia baru saja berpisah dengan Nur
Jannah, dan sekarang bolehkah dia bertahan jika terpaksa berpisah dengan
anaknya?
“Rumah kamu dengan rumah mama bukannya jauh sangat.
Hujung minggu kamu boleh jenguk anak kamu. Tak susah pun. Biarlah mama jaga
dulu cucu mama. Kasihan dia.” Tokok Puan Zalina lagi. Harap kali ini Hilmi
memberikan kebenaran.
Hilmi berfikir sejenak. Kata-kata kedua-dua wanita itu
ada betulnya. Dia pun masih tak ada pengalaman menguruskan anak kecil. Kalau
sesuatu yang buruk menimpa Ilham, dia tak akan maafkan dirinya.
Lama dia diam sebelum akhirnya dia mengangguk lemah.
Hanya separuh hatinya merelakan. Dia harap masa cepat berlalu. Dia tak sabar
nak menjaga anaknya sendiri.
‘Bukan papa tak sayangkan Ilham, papa sanggup buat apa
saja asalkan anak papa ni selamat dan sihat.’
“Oh ya mummy. Ini ada surat untuk mummy. Daripada
Jenny.” Hilmi seluk poket seluarnya. Surat bersampul putih itu diserahkan
kepada ibu mertuanya. Dia jumpa dalam diari arwah isterinya.
Puan Wong sambut surat itu. Dia ketap bibir seraya
memandang suaminya di sebelah yang sedari tadi hanya menjadi pendengar yang
setia. Dia tak berniat nak membacanya sekarang sebab dia tahu dia tak akan
dapat tahan air matanya. Di rumah saja. Dia pegang erat surat itu. Seolah-olah
dia sedang memegang erat tangan anak sendiri.
>>
Hilmi membetulkan tali lehernya. Kalau dulu, isterinya
yang buat semua itu. Baju pun kena gosok sendiri sekarang. Dia tak mahu
fikirkan sangat perkara itu. Dia tak kisah buat semua itu. Lama-lama nanti
biasalah. Lagipun kalau tak sempat sangat, kedai dobi banyak. Hantar saja.
Dia mengatur langkah menuruni anak tangga. Kalau sebelum
ini, Nur Jannah setia menunggunya di meja makan, kini sesusuk tubuh itu tak
kelihatan lagi. Paginya rasa hambar tanpa menatap senyum Nur Jannah.
“Sarapan dulu Mi. Mama dah sediakan mi goreng.” Puan
Zalina menuang air teh. Hilmi duduk tapi dia tak ada selera langsung nak
menjamah apa-apa makanan. Bukan kerana masakan mamanya tak sedap tapi entahlah.
Mungkin dah terbiasa bersarapan dengan air tangan isteri. Bila orang lain yang
buat, perasaannya lain.
“Tak apalah mama. Mi sarapan di pejabat saja nanti.
Ilham dah bangun ke?” Pertama kali nak berpisah dengan anaknya. Walaupun hanya
sekejap tapi dia pasti merindui anaknya nanti.
“Belum lagi. Masih tidur di atas tu. Biasalah Mi, budak
kecil ni tidur lama sikit.” Puan Zalina menyuakan cawan berisi air teh kepada
anaknya. Hilmi hirup perlahan.
“Mi pergi dulu mama. Assalamualaikum.” Tangan mamanya
disalami. Sekali lagi dia ralat. Biasanya Nur Jannah akan menghadiahkan sebuah
kucupan untuknya. Ah, dia rindu semua itu.
“Ya lah. Jangan balik lewat sangat.” Puan Zalina
menghantar anaknya hingga ke pintu utama. Menunggu hingga anaknya hilang dari
pandangan. Lega sedikit bila anaknya sudah dapat meneruskan hidup seperti biasa
walaupun dia tahu perasaan anaknya.
Hilmi memandu tenang. Kesunyian sedikit terasa. Dia
melirik ke sebelah. Kosong. Hilmi ketap bibir. Ah, kenapa payah benar untuk dia
terima hakikat itu? Stereng dipegang kemas. Pedal minyak ditekan. Dia mahu
cepat-cepat sampai ke pejabat. Tak mahu hanyut dalam mainan perasaannya
sendiri.
Azlan menepuk bahu kawan sepejabatnya. Raut wajah itu
tak seceria selalu. Dia faham. Memang sukar bagi Hilmi untuk menerimanya. Kalau
dia di tempat Hilmi pun, dia rasa dia akan lebih menderita.
“Kau ok ke bro?” Mereka beriringan masuk ke pejabat.
Hilmi cuba senyum walaupun tak sepenuh hatinya.
“Ok atau tak, aku kena juga datang kerja. Aku ada anak
yang nak kena tanggung.” Memang dia kuat demi Ilham. Demi amanat Nur Jannah.
“Kau jangan paksa diri sangat. Aku rasa bos tentu faham
kalau kau nak sambung cuti lagi. Lagipun baru seminggu kan arwah pergi?” Dia
simpati sebenarnya. Berat dugaan ditanggung Hilmi. Sejak awal perkahwinan,
sehingga ke hari ini. Dulu perkahwinan tak direstu. Sekarang, isteri pula
meninggal dunia. Sabarlah kawan.
“Aku ok. Lagipun aku rasa lebih baik aku kerja. Bila
sibuk dengan kerja, mungkin boleh buat aku lupa sekejap.” Dia sedang cuba
berusaha untuk menerima kenyataan dan menjalani kehidupan normal seperti
sediakala.
“Baguslah macam tu. Kalau kau perlukan apa-apa, kau
boleh harapkan aku.” Bahu kawannya ditepuk beberapa kali. Dia ikhlas. Hilmi
kawannya. Mereka kenal pun dah lama.
“Thanks.” Hilmi cuba ukir senyum sekali lagi walaupun
agak hambar. Dia hargai kebaikan Azlan.
Hilmi duduk di kerusinya. Seminggu meninggalkan kerja,
dia jadi kekok sedikit. Tapi dia tak akan biarkan perasaan itu menguasai
dirinya. Dia harus kuat. Demi Ilham. Demi Nur Jannah.
Bab 35
Hari-harinya kian diisi dengan senyum mekar. Bahagia
melingkari di setiap ruang hati. Mencongak hari bahagia yang kian mendekat buat
hatinya riang. Empat minggu mendatang, dia bakal disarungkan cincin
pertunangan. Status dirinya akan berubah. Satu lagi fasa kehidupan akan
ditempuhnya.
Persiapan masih belum dibuat. Baru merancang beberapa
perkara. Sudah diberi amaran oleh orang tuanya, tak perlu buat secara
berlebihan. Cukup sekadar meraikan. Bertunang cuma adat. Kaum keluarga terdekat
dan jiran tetangga dah cukup.
“Amboi Ika, bukan main lagi ya dia senyum. Sampai nampak
gusi. Kak Min datang pun tak sedar.” Ika tersentak. Kak Min tercegat di depan
biliknya dengan wajah ceria.
“Eh, Kak Min. Dah mula kerja hari ni? Baby macam mana?
Sihat?” Baru sekali Ika melawat bayi yang baru dilahirkan itu. Itupun sewaktu
di hospital. Kak Min pun tak berpantang di sini. Nun jauh di pantai timur.
“Alhamudillah, sihat. Dia tanya bila Auntie Ika nak
datang jenguk dia lagi.” Kak Min ketawa. Ika juga. Masakan anak kecil yang
belum sampai tiga bulan sudah pandai bertanya.
“Ala, kesian dia. Auntie sibuklah sayang.” Ika
menyembunyikan tangannya di bawah meja. Tak mahu Kak Min perasan akan cincin
belah rotan yang menghiasi jari manisnya. Kalau tak, banyak pula soalnya. Riuh
satu pejabat nanti.
“Oklah, Kak Min tak nak ganggu Ika. Tengahari nanti kita
lunch sama-sama ya? Lama tak dating dengan Ika.” Ika mengangguk.
Ceria betul wajah ibu muda ini. Pasti sangat bahagia setelah dikurniakan
seorang lagi cahaya mata. Dia juga mahu sebahagia itu. Dikurniakan keluarga
yang bahagia dan anak-anak yang comel.
Ika menarik nafas dalam. Dia harus segera menyiapkan
kerja. Banyak lagi urusan yang perlu disiapkan selepas ini. Masa amat berharga
sekarang. Sebulan bukannya lama. Sekejap saja.
>>
Berubah-ubah ekspresi wajahnya. Sekejap berkerut dahi,
sekejap senyum meleret. Gambar-gambar pelamin bagi majlis bertunang di dalam
majalah yang dibeli buat kepalanya pening. Sungguh dia tak tahu macam mana nak
pilih. Semuanya nampak cantik di mata. Itu belum masuk bab pakaian. Lagilah dia
pening. Nak tanya pendapat Syarifah, wanita itu sudah jauh di kampung halaman.
Lagipun dia masih belum khabarkan berita gembira ini.
Konsentrasi sedikit terganggu dengan bunyi deringan
telefon yang nyaring. Segera dicapai. Faiz. Senyumnya tambah meleret.
“Buat apa tu?” Hilang sedikit tekanan apabila mendengar
suara bakal tunangnya.
“Tengah baca majalah. Awak tak tidur lagi ke? Dah lewat
ni.” Jam sudah menginjak ke angka dua belas. Dek kerana pening memikirkan
majlis yang bakal berlangsung, dia jadi tak mengantuk. Kalau tak, jangan harap
dia nak tidur selewat ini.
“Cakap orang. Awak tu pun sama. Kenapa tak tidur lagi?
Berdebar ya?” Faiz memulangkan paku buah keras. Dia sekadar bergurau. Rindu
asyik bertandang. Dia tak dapat menghalang.
“Belum mengantuk. Lagipun banyak kerja.” Gila tak
berdebar? Waktu nak dirisik pun dah berdebar separuh mati, inikan pula
bertunang. Kalau nikah nanti tak tahulah macam mana.
“Kerja apa yang banyak sangat tu sayang? Esok tak boleh
buat ke? Nak abang tolong?” Ika telan liur. Sayang? Abang? Oh, kepalanya tambah
pusing. Faiz mengigau ke? Meremang bulu roma.
“Tak…boleh…eh, tak.” Bicara Ika jadi kelam kabut. Itu
baru sikit. Belum lagi Faiz di depan mata.
“Apa yang tak? Apa yang boleh? Hmm…itu tandanya sayang
dah kena tidur.” Sekali lagi lidahnya jadi kelu. Terbuai seketika dengan
panggilan manja itu. Faiz betul-betul pandai mengusik jiwanya. Awak pakai bomoh
ke?
“Ya kut. Oklah, saya nak tidur dulu.” Dia tak sanggup
nak dengar lagi. Cukuplah tu.
“Abang pun dah mengantuk. By the way, thanks.” Ika tak faham. Dahinya berkerut. Kenapa pula
nak ucap terima kasih malam-malam ni?
“Thanks? Kenapa?”
“Sebab terima abang.” Senyuman kembali terukir. Dia juga
mahu ucap terima kasih sebab sudi menunggunya sebegitu lama. Tapi kata-kata itu
tak terluah.
“Good night. Assalamualaikum.”
Siapakah lelaki ini? Kenapa dia terlalu baik? Seakan
terlalu sempurna buat dirinya. Kenapa dirinya yang dipilih? Dia tak sempurna.
Cinta yang sedang cuba dibina untuk lelaki bernama Faiz itu dirasakan masih
terlalu rapuh jika dibandingkan dengan cinta lelaki itu buat dirinya.
Layakkah dia untuk merasai cinta yang begitu tulus itu?
Ika terjerat dalam soalan ciptaannya sendiri. Sudah lama dia terfikirkan hal
ini. Sebelum menerima lamaran Faiz dulu, sekali lagi dia bertanyakan hatinya. Walaupun
keyakinan itu ada, tapi semuanya disebabkan oleh Faiz. Cinta lelaki itu yang
membuatkan hatinya yakin.
Majalah ditolak ke tepi. Badan kurusnya direbahkan.
Dalam gembira dan bahagia, masih ada gentar di hatinya. Persoalan hati sering
buat dirinya lemah. Setiap hari dia cuba untuk menyulam cinta buat jejaka
pilihannya itu. Bukan senang untuk dia membina rasa cinta buat kali kedua bila
rasa cinta kali pertama masih tersemat di hatinya.
Dia memang bersalah. Hatinya tak sungguh-sungguh
membuang Hilmi. Dia tak tahu kenapa. Di mulut dan di minda dia kata sudah lupa
tapi di hati? Dia sendiri tak dapat jawab. Hati dan mindanya sering tak selari
bila memikirkan soal ini. Pendiriannya sangat goyah. Sekejap kata ya, sekejap
kata tidak. Dia buntu.
Dia akui dia sayangkan Faiz. Tapi adakah itu maknanya
dia cintakan lelaki itu? Kenapa hatinya perlu rasa begini? Sekejap kata cinta
sekejap menafikannya. Dia betul-betul tak tahu. Hatinya seakan terbahagi dua.
Sebelah hati untuk perasaan positif dan sebelah lagi untuk perasaan negatif.
Andai boleh dihapuskan bahagian negatif itu…
No comments:
Post a Comment