2014-02-09

Tanya Sama Hati 57, 58, & 59



assalamualaikum & salam sejahtera semua!!!!!...oioioioi...lamanya tak update!!wuwuwuw...biase le kalo da balik kg tu...laptop campak entah ke mana..hehe..so sebagai tanda mintak maaf... saye post 3 bab sekali..hehehe...da nak abes da citer ni...tapi takde ending lagi..masih mencari2 ending yg sesuai..sad ending ke happy ending yang best....ehhh..ape punye soalan daaaa...hahaha..tapi sesekali ubah angin jadi sad ending pun ape salahnye kan???weeeeeeee..ape2 pun....harap korang enjoy baca 3 bab ini yer..segala kekurangan harap dimaafkan..sy budak baru belajar..ececeh..hahaha...

Bab 57
Tangan dikepal kemas. Hatinya membara marah. Gigi diketap rapat. Matanya jelas menunjukkan amarah yang sedang membakar di hati. Nafasnya turun naik dek menahan sabar dengan drama sebabak yang sedang tertayang jelas di hadapannya. Tak sanggup menonton lebih lama, dia berpaling ke belakang. Menumbuk kuat bonet kereta.
‘Tak guna punya jantan!’ Hatinya menyumpah. Benci dan dendam yang sebelum ini cuba dikikis jadi makin menebal.
‘Kau jangan harap kau akan dapat. Dia hak aku!’ Tekad. Tak ada siapa pun boleh ambil kepunyaannya. Kalau dengan ayahnya sendiri pun dia boleh derhaka dan kurang ajar, apalah sangat setakat dengan gelaran abang tiri yang tak pernah diiktirafnya itu. Perkara mudah.
“Ika, kau tak akan terlepas dari aku. Kalau salah seorang perlu mati pun aku sanggup.’ Bisik hati yang sedang membara dengan amarah. Segera badannya dipusing semula ke hadapan. Nak main-main dengan Faiz? Faiz pun boleh buat perkara yang sama.
Kaki diatur ke arah rumah teres dua tingkat itu. Hanya Hilmi yang ada di luar. Kekasih hatinya sudah menghilang ke dalam rumah. Faiz cuba untuk jadi setenang mungkin. Anggap saja drama sebabak tadi tak pernah ditontonnya. Cuma khayalan semata. Dia ada rancangan sendiri. Drama yang ingin dicipta lebih hebat. Kita tengok saja nanti.
“Assalamualaikum.” Tenang. Tiada nada marah. Hilmi angkat muka. Matanya tak berkelip untuk seketika.
“Waalaikumussalam. Masuklah.” Tangan segera dihulur. Senyum diukir walaupun rasa kekok. Ini kali pertama dia betul-betul bersua muka dengan adik tirinya. Pesaing utamanya dalam merebut cinta seorang wanita bernama Siti Zulaikha.
“Maaflah, terlambat. Ada kerja.” Kedengarannya ramah. Senyum terukir di bibir. Hilmi mula rasa sedikit selesa. Faiz tak kelihatan tegang seperti pertemuan sebelum ini.  
“Tak apa. Makanan pun ada lagi. Silalah.” Hilmi mencari pinggan untuk dihulurkan kepada Faiz. Tak ada. Teringat yang Ika sudah membawa pergi pinggan ke dalam.
“Kita makan di dalamlah.” Hilmi mendahului Faiz masuk ke dalam rumah. Riak wajah Faiz serta-merta berubah bila Hilmi berpaling. Jangan harap dia nak senyum begitu dengan musuh sendiri. Dia hanya berlakon demi menyempurnakan dramanya.
Zaza yang sedang mengemas ruang tamu agak terkejut dengan kehadiran Faiz. Tetamu yang paling tak disukainya. Dia hanya menjeling sekilas. Tak mahu pandang lama-lama. Buat sakit hati. Senyum pun dia tak sudi. Biarlah dicop sebagai adik tiri yang sombong pun. Dia sanggup daripada berbaik-baik dengan abang tiri yang menyakitkan hati.
“Hai sayang.” Hampir terjatuh pinggan yang dipegang. Segera dia berpaling ke belakang. Wajah Faiz hanya seinci di belakangnya. Lelaki itu merenung tajam ke arahnya. Kaki segera diundur beberapa langkah. Menjarakkan diri daripada Faiz. Renungan tajam itu buat dia seram sejuk.
“Hai.” Sepatah saja. Itu pun rasa tersekat di kerongkong. Ada getarannya.
“Ya Allah Faiz. Kenapa baru datang? Tetamu semua dah balik. Kamu ke mana?” Puan Sofia segera mendapatkan anaknya. Lengan anaknya dipaut. Wajah itu tak kurang di mana-mana. Nampak segar. Pakaian pun kemas. Nampaknya tak ada apa-apa yang buruk berlaku kepada anaknya. Lega hati tuanya.
“Maaf mama. Faiz ada kerja tadi.” Tangan mamanya dicium. Sekali lagi matanya dilirik ke arah Ika yang masih lagi terkejut dengan kehadirannya. Kenapa? Tak menduga yang dia akan datang juga akhirnya?
“Dahlah. Ika, tolong ambilkan nasi untuk Faiz boleh? Mak cik nak tolong mak cik Zalina kemaskan dapur tu.
Angguk tak, menggeleng pun tak. Jujur, dia masih terkejut. Faiz ada di depannya. Sedang merenung tajam dengan bibir yang menguntum senyum menggoda. Apa sudah jadi dengan tunangnya ini? Takkan sekelip mata saja lelaki itu melupakan sengketa yang sedang berlaku di antara mereka? Hatinya masih lagi sakit tapi takkan hati lelaki itu dah sejuk? Faiz sedang menghampirinya dan tubuhnya rasa bergetar.
“Kenapa dengan sayang ni? Macam tak suka saja tengok abang? Atau takut rahsia terbongkar?” Bisik Faiz dekat dengan telinga Ika. Makin seram jadinya. Di satu sudut, Hilmi sedang memandang dengan hatinya yang bergelodak rasa cemburu.
“Apa awak cakap ni? Saya pergi ambil makanan.” Segera melarikan diri. Perangai Faiz makin pelik. Memang dia dapat rasa ada sesuatu yang tak kena bila Faiz senyum padanya tadi. Tolonglah jangan buat kecoh di sini. Dia dah tak sanggup nak terima dugaan lagi. Cukuplah dengan apa yang ada.
Ika keluar semula dengan sepinggan nasi dan segelas air. Dihulur kepada Faiz tapi Faiz tak sambut. Ika kerut dahi. Lelaki ini nak apa sebenarnya? Tolonglah jangan nak berdrama di sini. Dia penat. Nanti nak kena memandu pulang lagi.
“Sayang temankan abang makan ya?” Lembut suara itu menyapa telinga Ika. Debar di dada makin memuncak. Ya Allah, selamatkan hamba-Mu. Masih tak dapat agak apa yang mahu dilakukan Faiz.
“Awak makanlah. Saya dah makan. Banyak lagi kerja nak buat.” Dia betul-betul letih dengan karenah Faiz.
No. Abang nak sayang temankan juga. Kalau tak, abang tak nak makan. Sayang bakal isteri abang tau.” Hilmi masih memerhati. Faiz peluk tubuh. Ika mengeluh perlahan. Faiz memang sedang mengujinya. Mahu tak mahu dia terpaksa ikutkan juga.
Ika letak makanan di hadapan Faiz. Tapi Faiz masih tak menjamah makanannya. Apa lagi sekarang? Nak suruh suap pula? Jangan buat sampai dia hilang sabar.
“Makanlah cepat. Saya banyak kerja lagi ni.” Cuba untuk bersabar walaupun rasanya kesabaran itu makin tipis.
“Suapkan boleh?” Terjegil mata Ika. Faiz ketawa kecil. Dia betul-betul tak faham dengan Faiz. Sekejap baran sekejap baik. Masalah mental?
Faiz lirik ke kiri. Dia tahu Hilmi sedang memerhatikan mereka berdua walaupun lelaki itu sedang berpura-pura menyibukkan diri. Dia sengaja. Dia mahu tunjukkan yang dia dan Ika sedang berbahagia. Ini baru sikit. Kalau mahu tunjuk yang lebih bahagia pun dia boleh buat. Kita tunggu nanti.
“Tak puas abang tengok wajah bakal isteri abang yang manis ni. Geram.” Tutur Faiz seraya mencuit manja hidung Ika. Terperanjat beruk Ika. Kenapa Faiz begitu berani? Sehingga ke saat ini, tak pernah ada lelaki yang berani menyentuhnya. Faiz tak ada hak itu!
“Faiz! Apa awak buat ni?” Dia betul-betul marah. Dah tak tahu dosa pahala ke? Memanglah mereka bakal berkahwin tapi itu dua bulan lagi. Sabarlah sikit. Nasib baik orang tua mereka berada di dapur. Kalau tak, apa pula kata mereka?
Tersentak jantung Hilmi. Tapi dia buat tak kisah saja. Karpet merah segera digulung. Api cemburunya memang sedang membara sekarang ini. Sama warnanya dengan karpet ini. Apa motif Faiz? Atau selama ini mereka memang sebegitu?
“Rilekslah sayang. Sayangkan bakal isteri abang. Tak rugi pun.” Selamba dia menyuap nasi ke mulutnya.
Faiz betul-betul dah gila. Nafas Ika turun naik menahan marah. Jangan ingat dia semurah itu.
“Saya cuma bakal isteri. Belum jadi isteri lagi. Jadi awak tak ada hak nak sentuh saya.” Dia ada maruah. Ika berkira-kira untuk bangun.
“Bangun dan abang akan buat yang lebih teruk lagi.” Ika tak jadi untuk bangun. Dia memandang tepat ke arah Faiz yang masih lagi berlagak selamba. Ugut? Faiz dah melampau.
“Apa kena dengan awak ni Faiz? Boleh tak jangan buat kecoh kat sini?” Ika ketap bibir, geram. Kalaulah dia boleh lempang muka lelaki di hadapannya ini, dah lama dia buat. Bukan setakat lempang, sepak terajang pun dia nak buat. Biar puas hatinya.
“Apa yang abang buat? Sayang yang mula dulu.” Ika mengecilkan mata. Apa yang dia dah buat? Jangan nak buat tuduhan melulu.
“Ok, saya tak tahu apa yang saya dah buat tapi yang saya tahu sekarang, saya penat sangat. Saya banyak lagi kerja kat dapur tu. Kalau awak nak makan, makan cepat.” Ika meraup mukanya. Tolonglah, Faiz. Tolonglah!
“Penat layan jantan lain?” Tersentap jantungnya. Berubah terus air mukanya. Ini sudah betul-betul melampau. Faiz sedang menghinanya.
“Kau jangan ingat aku tak tahu apa yang kau buat di belakang aku.” Terlopong mulutnya. Bahasa itu kedengaran sangat kasar di telinganya. Dia tak sedap hati. Seram jadinya. Betulkan Faiz yang ada di hadapannya? Atau lelaki ini sudah dirasuk jin?
Segera Ika angkat punggung. Dia takut. Tak kisahlah Faiz nak buat apa pun. Yang dia tahu dia kena larikan diri. Jauhkan diri daripada lelaki yang semakin tak dikenalinya ini. Dia sedang diduga lagi. Ya Allah, selamatkan hamba-Mu.
Pinggan nasi ditolak ke tepi. Dia tahu Ika terkejut dengan bahasa yang digunakan tadi. Dia tahu Ika kecewa. Dia bertambah lagi kecewa. Tapi dia tak dapat tahan sabarnya bila Ika asyik mahu mengelak daripadanya sedangkan bila dengan Hilmi tadi, bukan main lama lagi mereka duduk semeja. Ini, tak sampai sepuluh minit pun Ika tak dapat nak tunggu. Macam-macam alasan diberi. Siapa yang tak sakit hati?
Hilmi yang setia memerhati sejak tadi melepaskan nafas lega bila melihat Ika sudah berlalu ke dapur. Api cemburunya sedikit berkurang. Wajah Ika tak seceria tadi. Tapi dia tak ambil pusing. Yang penting matanya sudah tak sakit melihat mereka berdua bersama.
>> 
Ika membetulkan lipatan lengan baju kurungnya. Kerja di dapur dah selesai. Dia lebih rela memenatkan diri membuat semua kerja di dapur daripada melayan karenah Faiz yang sangat menjengkelkan. Sakit jiwa dibuatnya. Ika lepas nafas lega. Jam tangan ditilik. Hampir ke pukul sepuluh setengah malam. Dah lewat. Rasanya dah boleh pulang sekarang.
“Tengok tu, habis basah baju. Itulah mak cik cakap tadi, tak payahlah basuh semua tu. Bibik ada. Degil.” Ika hanya senyum. Biar bajunya basah, jangan wajahnya yang dibasahi air mata. Baju basah boleh dikeringkan.
“Tak apalah mak cik. Bukannya susah sangat basuh pinggan. Kesian bibik dari tadi asyik buat kerja.” Bibik tersengih mendengar. Puan Zalina hanya geleng kepala.
“Dah lewat ni mak cik. Ika nak balik dululah ya?” Takut pula nak memandu malam-malam begini. Tapi terpaksalah.
“Ya lah. Kesian Ika. Terpaksa buat kerja pula datang sini. Nanti sekejap, mak cik bungkuskan lauk. Esok boleh makan.” Pantas Puan Zalina mencari bekas makanan di dalam kabinet.
“Tak payahlah mak cik. Buat susah-susah saja.” Malu sebenarya. Sudahlah tadi makan banyak. Nak bawa balik lagi.
“Tak ada susah-susahnya. Ika tunggu di depan.” Ika tak membantah. Lambat-lambat dia menapak ke depan. Melilau dia mencari kelibat Faiz. Sebolehnya dia tak mahu bertembung dengan lelaki itu. Lagi bagus kalau lelaki itu dah berambus. Menyusahkan hidup saja.
“Cari abang ya?” Terperanjat Ika. Tiba-tiba Faiz muncul di belakangnya. Nampaknya mimpi ngeri sebelum tidur masih menghantuinya.
“Tak. Saya nak balik.” Cepat-cepat Ika menuju ke pintu utama. Macam jumpa dengan pembunuh bersiri pun ada. Takut semacam.
“Cepatnya nak balik. Tak sayang ke nak tinggalkan kekasih hati?” Dia mulakan lagi. Ika jeling tajam.
“Nah Ika. Esok panaskan saja. Terima kasih banyak tau.” Puan Zalina menghulurkan bekas berisi ayam gulai kepada Ika. Ika cuba untuk senyum walaupun dengan hati yang sakit.
“Terima kasih mak cik. Ika balik dulu ya.”
“Hati-hati ya Ika. Ada masa, datanglah lagi.” Pesan Puan Zalina. Encik Zainal di sebelah hanya mengangguk.
“Ika, nanti Ika bincang baik-baik dengan ibu dengan abah di kampung ya? Mak cik tak ada halangan. Lagi cepat lagi bagus.” Puan Sofia mencelah. Memang dia agak terperanjat dengan keputusan wanita muda ini untuk mempercepatkan tarikh pernikahan, tapi dia memang tak menghalang. Baguslah. Apa lagi nak ditunggu kalau dah bersedia.
Ika cuma mengangguk. Tak berani nak berjanji lebih-lebih. Mengenangkan sikap pelik Faiz buat hatinya tambah berbelah bagi untuk meneruskan pernikahan yang dirancang. Rasa sayang untuk lelaki bernama Faiz semakin pudar.
“Kak Ika, jangan lupa ni.” Zaza menunjukkan beg tangan Ika. Dia hampir terlupa. Semuanya gara-gara Faiz.
“Jom sayang, abang hantar ke kereta.” Dengan selamba Faiz memaut pinggang Ika. Sepantas kilat juga melangkah menjauhi lelaki itu. Kurang ajar! Syaitan apa yang dah rasuk lelaki ini?
“Kenapa sayang? Macam tak biasa.” Merah padam muka Ika. Memang dia tak biasa. Tak pernah pun. Sudahlah semua orang sedang memandang mereka sekarang ini. Hilmi juga. Pasti pandangan mereka terhadap dirinya sedikit berubah. Faiz!
Segera Ika menyalami kedua-dua wanita di hadapannya. Dengan air mata yang ditahan, kaki diatur laju meninggalkan perkarangan rumah dua tingkat itu. Dadanya jadi sesak. Kenapa Faiz buat dia macam ni? Apa salah dirinya? Faiz jahat. Dia benci Faiz. Ikutkan hati, sekarang juga dia mahu putuskan hubungan dengan lelaki itu.
‘Aku benci kau Faiz. Aku benci!’ Pintu kereta dihempas kuat. Pedal minyak ditekan sekuat hati. Pekat malam sudah tak dihirau. Dia mahu segera keluar dari tempat itu. Faiz hanya memerhati. Dia tahu Ika marah. Hatinya lagi marah. Tapi dia masih tak puas. 
Bab 58


Pemanduan tetap diteruskan walaupun air mata sudah berjuraian di pipi. Ketenangan malam yang dihias cantik dengan bulan yang mengambang penuh dan kerlipan lampu-lampu neon sikit pun tak mampu nak menenangkan jiwanya yang remuk redam. Kenapa Faiz sanggup buat dia macam tu? Lelaki itu dah berubah. Kenapa masih lagi mahu curiga bila dia sendiri sudah putuskan yang mereka akan bernikah? Apa lagi yang lelaki itu perlukan?
Pedal minyak terus ditekan keras. Menderum laju membelah kepekatan malam. Kena saman pun dia dah tak kisah. Hatinya sedang sakit. Suasana sunyi di perkarangan kolej kediaman ketika dia sampai. Cepat-cepat dia keluar dari kereta. Langkah diatur laju menuju ke rumahnya. Pintu rumah dikunci rapat. Beg tangan dilempar ke kerusi. Punggung dihenyak kasar. Dia betul-betul tertekan sekarang.
Ika memeluk lutut. Air mata mencurah lagi. Masalah yang sebelum ini pun belum selesai. Sekarang, datang lagi satu masalah. Kenapa hidupnya tak pernah sunyi dengan dugaan dan ujian? Dia dah penat. Dia dah letih. Dia dah tak berdaya nak hadapi semua ini. Dia cuma nak hidup tenang dan bahagia macam orang lain. Kenapa susah sangat dia nak rasa semua tu?
‘Ya Allah, aku dah tak kuat. Bantu aku Ya Allah, bantu aku.’ Rintih hatinya sayu. Dia betul harapkan pertolongan itu.
Air jernih itu diseka. Tak guna dia menangis kerana lelaki tak berhati perut itu. Dia perlu lakukan sesuatu. Kalau Faiz boleh bertindak sedemikian, dia juga boleh. Ika terus bangun menuju ke biliknya. Pintu bilik air dibuka. Pili dipulas perlahan. Mencurah air keluar, terus dibawa ke wajahnya yang masih rasa melekit dek air mata.
Pili ditutup selesai dia membasuh kakinya. Mungkin ini yang sepatutnya dia buat sejak awal dulu. Tapi oleh kerana dia tak yakin dan takut berhadapan dengan realiti, dia abaikan jalan yang satu ini. Telekung putih disarung ke kepala. Sejadah berwarna coklat dihampar. Dia beristighfar seketika. Menenangkan hati. Biar istikharahnya khusyuk. Biar jawapan yang dicari ditemui.
‘Ya Allah, aku mengharapkan petunjuk-Mu.’
>> 
Deruman bunyi motor sayup-sayup kedengaran. Yang kelihatan di hadapan matanya kini cuma lampu neon pelbagai warna yang langsung tak menarik minatnya. Beberapa pasangan kekasih kelihatan mesra berjalan sambil berpimpin tangan. Hatinya dijentik cemburu. Alangkah bagusnya jika dia dan Ika juga semesra itu. Tak perlu rasa sakit hati, tak perlu ada rasa benci dan tak perlu bermasam muka setiap kali jumpa. Dia rindu pada Siti Zulaikha yang dulu. Yang manis tersenyum walaupun wajahnya tak semenarik gadis-gadis lain. Biar tak cantik, dia lebih rela begitu.
Terbayang di matanya peristiwa beberapa jam yang lalu. Entah kenapa jemarinya begitu pantas mencuit manja hidung wanita itu. Tak tahu kenapa tangannya begitu laju memegang erat pinggang wanita itu. Yang pasti semuanya disebabkan rasa marah yang sedang membuak-buak di hati. Bukan dia tak menyesal, tapi dia mahu Ika tahu yang dia sangat cintakan Ika dan tak mahu wanita itu jatuh ke tangan orang lain. Lebih-lebih lagi kepada saudara sendiri. Tak mungkin. Dia tak rela.
Dia cemburu bila lihat Ika boleh senyum manis pada Hilmi. Boleh duduk semeja dengan lelaki itu tanpa ada rasa mahu pergi. Apa lebihnya Hilmi berbanding dirinya? Dia juga punya kerjaya sendiri. Dia juga punya wajah yang kacak. Dia juga punya rasa cinta yang mendalam buat Ika. Apa lagi yang tak cukup? Kenapa duda itu juga yang jadi pilihan Ika? Itu yang dia tak puas hati.
Walau apa pun yang terjadi, dia tetap akan miliki Ika. Ika dah janji yang mereka akan berkahwin dalam masa dua bulan lagi. Dia akan pastikan yang majlis itu akan berlangsung. Dia akan pastikan yang Ika akan jadi isterinya yang sah. Waktu itu, tak ada siapa lagi yang akan pisahkan mereka. Tak ada siapa yang akan rampas Ika daripadanya. Hilmi pun tak boleh. Dia akan pastikan itu semua!
>> 
Kepala terasa pening. Mesti sebab terlalu banyak menangis semalam. Tubuh digagahkan juga untuk bangun. Mata terasa bengkak. Sempat dia berhenti di hadapan cermin sebelum masuk ke bilik air. Melihat wajahnya yang tak terurus. Matanya jadi sepet. Buruk. Ika geleng kepala. Cepat-cepat dia masuk ke bilik air. Solat lagi bagus.
Dia termenung seketika di sejadah sebelum lamunannya terganggu dek bunyi telefon. Siapalah pula pagi-pagi buta ni. Faiz? Harap-harap bukan. Ibu? Mungkin juga. Nak pastikan anak daranya yang suka tidur ini tak terlepas subuh. Telefon dicapai tapi tak sempat dijawab. Seketika kemudian, telefon berbunyi lagi. Mesej pula kali ini.
Salam. Dah bangun ke? Jangan lupa janji kita pagi ni ya.”
Kedua-dua tekaannya meleset. Bukan Faiz, bukan juga ibu. Mesej daripada Hilmi. Janji? Oh, dia hampir terlupa. Dalam tak sedar, dia dah berjanji dengan Hilmi semalam. Dan sekarang, lelaki itu sedang menuntut janjinya. Aduh, macam mana ni? Sudahlah keadaan sedang kucar-kacir sekarang. Dia nak tambahkan kusut lagi ke? Kalau Faiz dapat tahu macam mana. Lelaki psiko itu seakan sedang memerhatikan segala gerak-gerinya sekarang ini. Nak jalan selangkah pun rasanya macam serba salah.
Nak tolak? Nanti dikata mungkir janji pula. Apa alasan dia nak bagi? Ika garu kepala. Memang betul kut dekat dahinya ada ditulis perkataan ‘Masalah’. Setiap hari ada saja masalah baru. Macam mana ni? Dahinya berkerut. Kenapa dia tak boleh nak fikirkan alasan yang munasabah? Otaknya macam tak berfungsi. Ikutkan hati, memang dia nak pergi. Siapa boleh tolak pelawaan Hilmi? Tapi bila fikirkan keadaan sekarang dan yang paling utama perangai pelik Faiz, dia kena fikir beribu kali.
Mesej dibiar tak berbalas. Kita tengok saja nanti. Sekarang, matanya sudah rasa pedih-pedih. Hujan renyai-renyai di luar buat bantal dan selimut kelihatan sangat menarik. Ditambah pula dengan sakit kepala yang masih terasa. Telekung ditanggalkan. Lampu bilik dimatikan. Mulut yang sudah menguap ditutup. Nikmatnya!
>> 
Hilmi menyandarkan badannya ke kepala katil. Kepala digelengkan dengan senyum meleret singgah di bibir. Entah bila dan bagaimana cinta kali kedua itu hadir. Semuanya secara tak sengaja. Banyak kali dinafi dan hingga satu saat dia dah tak mampu nak bohong diri sendiri lagi. Telefon bimbit yang masih di tangan dipandang. Tiada balasan daripada pihak di sebelah sana. Mungkin masih tidur.
Hilmi segera bangkit daripada katilnya. Mata sudah tak mengantuk. Teruja? Entahlah. Dia menuju ke dapur. Bunyi pinggan mangkuk berlaga berselang seli dengan suara tangisan si kecil.
“Anak papa dah bangun? Awalnya.” Si kecil terdiam saat dirinya disapa oleh Hilmi. Berkelip-kelip matanya memandang papanya.
“Ilham tak nak tidur. Puas mama pujuk. Kalau tak, lagi tak pukul sepuluh tak nak bangun.” Ilham merengek kecil.
“Ilham pun teruja nak jumpa mama baru kut.” Seakan berbisik pada anaknya. Serta merta dahi Puan Zalina berkerut. Apa Hilmi cakap?
“Apa? Cuba cakap sekali lagi?” Fokusnya kini pada anaknya. Ilham yang masih merengek minta diberikan susu tak diendah.
“Tak ada apa-apa. Ilham rindukan mamanya kut.” Cuba ubah kenyataannya tadi. Tersasul.
“Tapi mama macam dengar ayat lain. Hilmi, cuba cakap betul-betul dengan mama.” Puan Zalina tak puas hati. Bukan ayat itu yang keluar dari mulut anaknya.
“Kesian anak papa. Lapar ya? Jom minum susu dengan papa ya.” Ilham bertukar tangan. Cepat-cepat Hilmi capai botol susu yang separuh penuh dan berlalu ke ruang tamu.
Bukan main laju lagi anaknya menghisap susu. Lapar betul. Kepala anaknya diusap perlahan. Baru semalam rasanya dia mengazankan anaknya. Kasihan si kecil ini. Sejak lahir, hidupnya dah diduga. Tak dapat rasa kucupan seorang ibu, pelukan hangat ibu, kasih sayang ibu yang melahirkan.
“Sayang sabar ya. Papa janji papa akan berikan semua itu pada Ilham.” Dahi anaknya dikucup perlahan. Matanya dah tertutup. Patutlah tak nak tidur. Lapar.
“Abang, awalnya bangun. Ilham pun dah bangun?” Tegur Zaza yang masih lagi berbaju tidur. Suaranya yang sedikit nyaring hampir mengejutkan si kecil itu. Cepat-cepat Hilmi letak jari telunjuk di bibir. Bukan senang nak tidurkan si hero ini.
“Abang kerja ke hari ni?” Zaza mengambil duduk di hadapan abangnya. Memerhati anak saudara yang semakin aktif yang sudah tewas dengan sebotol susu.
“Tak. Tapi ada kerja.” Penuh makna. Zaza yang tak tahu apa-apa hanya mengangguk. Tapak tangannya menutup mulut yang masih mahu menguap.
“Abang nak minta tolong sikit boleh?” Zaza capai alat kawalan jauh televisyen. Badannya dibaringkan ke sofa. Sisa-sisa mengantuk masih ada. Tambah lagi dengan rasa penat majlis semalam. Diikutkan hati, malas dia nak bangun.
“Apa dia?” Acuh tak acuh. Matanya rasa pedih. Satu persatu rancangan televisyen ditukar. Tiada yang menarik perhatian.
“Temankan abang keluar hari ni boleh?” Bukannya Zaza tak biasa temankan dia keluar tapi hari ini istimewa sikit. Mesti Zaza tak akan tolak.
“Abang nak pergi mana?” Masih lagi tertumpu pada televisyen yang asyik bertukar siaran. Matanya sudah berair menahan kantuk.
“Jumpa seseorang.” Masih nak berahsia. Anak kecil yang nyenyak tidur di pangkuan ditepuk perlahan.
“Siapa?” Kalau pergi shopping ke, jalan-jalan ke dia sukalah. Nak jumpa orang? Ini yang bosan. Kena temankan juga ke?
“Cik Ika.” Perlahan tapi cukup untuk buat Zaza terkejut beruk. Daripada berbaring, terus duduk tegak. Mata yang mengantuk kembali cerah. Biar betul abangnya ini? Buat apa nak jumpa Kak Ika?
“Nak buat apa?” Agak kuat tapi cepat-cepat ditegur abangnya. Si hero baru nak tidur.
“Adalah.” Cepat-cepat Hilmi bangun. Mahu tidurkan anaknya di atas. Kalau duduk kat bawah ni, tak sampai setengah jam mesti dah terjaga sebab dengar suara Cik Su Zaza dia yang tak reti nak cakap perlahan sikit.
“Pukul sepuluh nanti.” Sempat dia berpesan. Zaza tak terkata. Kepalanya ligat memikirkan kenapa abangnya nak jumpa Kak Ika. Ada apa-apa ke mereka berdua ni? Tapi Kak Ika kan bakal jadi adik ipar abangnya? Pening kepala nak fikir.
 
Bab 59

Ika terjaga saat matanya rasa silau dek panahan matahari yang menyusup masuk melalui celah-celah tingkap biliknya. Badan rasa sakit-sakit. Kepala pun rasa pening-pening. Dah pukul berapa ya? Telefon bimbit dicapai. Terpisat-pisat matanya mahu baca nombor yang tertera di skrin. Mata yang masih mahu tertutup tiba-tiba bulat apabila nombor yang tertera dapat dibaca dengan jelas. Pukul sepuluh setengah!
Ika segera bangkit dari katil. Lamanya dia tidur. Sampai tak sedar dah lewat. Tuala dicapai. Belum sempat kaki melangkah ke bilik air, telefon bimbitnya berbunyi. Aduh, waktu ni jugalah dia nak telefon. Dah nak terkencing ni.
Setengah jam kemudian, Ika keluar dari bilik air dengan wajah yang agak segar walaupun matanya masih nampak bengkak. Rambutnya dibungkus dengan tuala. Dia duduk di hadapan cermin. Menilik mukanya yang ditumbuhi dua biji jerawat baru. Kalau remaja, bolehlah nak kata sebab mengurat. Dah tua pun sebab mengurat juga ke? Dia malas nak ambil peduli. Bukan dia tak pernah ada jerawat penuh satu muka.
Telefon bimbit dicapai bila teringat akan deringan sebelum masuk ke bilik air tadi. Terbeliak biji mata. Bukan setakat satu panggilan tak dijawab. Ada lima! Siapa? Apa yang mustahak sangat. Cepat-cepat dia buka. Hilmi! Tapi kenapa lelaki itu telefon dia sampai lima kali? Dahinya berkerut. Cuba ingat kembali apa-apa yang penting. Matanya bulat dah mulutnya melopong.
“Ya Allah!” Baru dia ingat. Dia dah janji dengan Hilmi nak jumpa lelaki itu hari ni. Pukul sepuluh. Sekarang dah pukul sebelas lebih. Patutlah Hilmi telefon dia sampai lima kali. Alamak, macam mana ni?
Sedang dia pening kepala berfikir, telefon bimbit berbunyi lagi. Dari Hilmi. Ika telan liur. Apa dia nak jawab? Takkan nak kata baru bangun tidur? Malunya. Anak dara bangun pagi pukul sepuluh. Elok-elok nak buat bini terus tak jadi. Ah, angkat dulu. Alasan tu kita fikir nanti.
“Assalamualaikum.” Teragak-agak.
“Ika, awak ok ke ni? Kenapa tak angkat tadi?” Lega sikit bila panggilannya dijawab. Sejak tadi, macam-macam perkara negatif bermain di benaknya. Takut apa-apa yang tak elok terjadi pada wanita itu.
“Tak ada apa-apa. Tadi…ermm….tadi…” Apa alasan dia nak bagi. Tiba-tiba buntu alasan.
“Ok, tak apa. Saya dah ada depan kolej awak ni. Dah siap ke?”
Depan kolej? Dia masih lagi berkemban dengan kain batik. Bukan sekejap nak bersiap. Namanya pun perempuan. Aduh, gawat!
“Erm… saya tak siap lagi. Hilmi, saya minta maaf. Sebenarnya saya terlupa.” Terus terang sajalah. Lagi senang. Kalau lelaki itu nak marah pun, marah sajalah. Memang silap dia. Tidur tak ingat dunia.
Hilmi diam. Ika jadi serba salah. Terasa hati ke? Marah ke?
“Ok, awak siap dulu. Saya tunggu.” Tenang suara Hilmi. Ika lepas nafas lega. Dalam telefon bolehlah dia rasa lega. Nanti, nak berhadapan dengan lelaki itu macam mana? Cepat-cepat dia berlari ke almari. Mencari-cari baju mana yang paling senang dipakai. Tak perlu gosok dan sesuai dengan tudung yang sudah sedia digosok. Dia capai sehelai baju warna biru corak abstrak. Hentamlah. Segera disarung ke badan.
Kemudian dia berlari pula ke meja solek. Semuanya dilakukan dengan pantas. Tuala yang membalut kepalanya dicampak ke katil. Cepat-cepat dia menyisir rambut. Masih basah tapi abaikan saja. Darurat. Puas hati dengan solekan tipis di wajahnya, tudung disarung. Puas hati. Tas tangan dicapai. Terkocoh-kocoh dia keluar dari bilik. Sekejap, kenapa dia rasa lain macam? Langkahnya terhenti di pintu utama. Kepala ditunduk ke bawah.
“Arrrggghhh….!” Dia tak pakai seluar. Hanya dibalut dengan kain batik. Gila! Itulah kelam kabut punya pasal. Rasanya solekan di wajah pun dah cair sebab dari tadi berlari ke sana ke mari.
“Ok, Ika. Rileks. Hilmi dah cakap dia tunggu. Jadi tak perlu kalut-kalut.” Ika tarik nafas dalam dan dihembus perlahan. Seluar jeans yang tersangkut dicapai. Dia kembali semula ke meja solek. Sekali lagi dia tilik wajah yang sudah berpeluh. Tisu ditarik dan wajah dilap.
Langkah diatur tenang menuju ke pintu utama. Sekali lagi nafas ditarik dan dihembus perlahan. Betul ke tindakannya untuk keluar dengan Hilmi? Adakah dia sedang berlaku curang? Dia tunang orang. Paling parah, Hilmi adalah bakal abang iparnya. Kalau keluarga mereka dapat tahu macam mana? Tapi sekarang, dia dah tak boleh undur diri. Kereta milik Hilmi sudah ada di hapadan mata. Tapi yang buat hatinya sedikit lega bila melihat Zaza juga ada bersama. Rasanya, keputusannya tak salah. Gadis itu sedang mendukung anak saudaranya. Bagus betul Hilmi. Semua diangkutnya. Mungkin tak nak ada salah faham atau curiga orang lain.
Ika lempar senyum pada Zaza yang berada di luar kereta bersama anak saudaranya. Hilmi menunggu di dalam kereta. Anak kecil dalam dukungan Zaza diacah. Comel betul. Mesti ikut wajah mamanya. Kulitnya putih melepak.
“Ilham duduk dengan mama Ika ya?” Serta-merta anak kecil itu bertukar tangan. Ika terpinga-pinga. Mama Ika? Kenapa mama Ika dan bukannya mak cik Ika?
“Jom Kak Ika. Panaslah kat luar ni.” Ika hanya menurut. Ilham diam di dalam dukungannya. Ika mahu duduk di belakang tapi cepat-cepat Zaza tolak badannya ke tempat duduk hadapan. Ish, apa rancangan mereka ni?
“Assalamualaikum.” Ucap Hilmi. Dia senang tengok Ilham di pangkuan Ika. Anaknya langsung tak merengek. Biasanya, pantang duduk dengan orang tak dikenali, mesti meraung. Tapi lain pula perangainya bila duduk dengan Ika.
“Waalaikumussalam. Maaflah, tak pasal-pasal kena tunggu lama.” Perasaan malu menguasai diri. Malu yang amat. Dahlah ada si Zaza. Dia kekok.
“Tak apa. Bukannya lama sangat pun. Tak sampai setengah jam. Cepat juga awak bersiap ya?” Hilmi tekan pedal minyak. Banyak perancangan yang dia nak buat hari ni. Dia mahu jadikan hari ini hari yang istimewa buat mereka.
“Macam berjanji aje kan? Dua-dua pun pakai baju biru. Ke memang dah janji?” Usik Zaza. Ada saja akalnya nak kenakan abang dan kakaknya.
Ika langsung tak perasan. Dia pandang sebelah. Hilmi nampak segak dalam baju t-shirt warna biru muda. Dia juga pakai baju biru. Mana ada janji. Dia main hentam saja tadi. Baju ini saja yang senang nak dipakai. Pandai-pandai saja si Zaza ni.
“Taklah. Akak main ambil aje tadi.” Sangkal Ika.
“Kalau kami janji pun, buat apa nak bagitahu adik.” Terkejut Ika dengar ayat yang baru keluar dari mulut Hilmi. Biar betul mamat ni. Jangan nak bikin skandal kat sini. Mati kalau si Zaza ni tahu.
Hilmi lirik ke arah Ika yang kelihatan malu-malu. Anak kecil di pangkuan Ika diacah-acah. Makin malu Ika jadinya. Tapi dalam hati, Ika rasa seronok. Rasa bahagia. Hilmi memang punya ciri-ciri lelaki idamannya. Lupa seketika pada Faiz. Dia rasa lebih selesa dan gembira bila bersama Hilmi.
Taman tema air kelihatan meriah dengan kehadiran ramai pengunjung. Kebanyakannya ialah keluarga yang mahu meluangkan masa bersama-sama di hujung minggu. Ilham yang masih lagi dipangkuan Ika kelihatan agak teruja. Mungkin dia gembira tengok ramai orang.
“Jom Ilham, kita main air.” Anak kecil yang hampir berusia lapan bulan itu diambil daripada Ika. Zaza senyum penuh makna. Kedua-duanya nampak malu-malu tapi sebenarnya mahu.
“Sesuai.” Serentak Ika dan Hilmi memandang Zaza yang masih dengan senyumannya. Hilmi berlagak tenang. Cepat-cepat Ika menjauhkan diri. Bahaya budak perempuan ni.
Ika hanya memerhati ketiga-tiga bakal ahli keluarganya itu yang sedang seronok bermain air. Bukan tak berminat nak sertai, tapi dia tak bawa baju. Lagipun, malulah. Takkan nak main air sekali dengan Hilmi. Ish, lupakan saja. Seronok betul dia tengok. Hilmi langsung tak kekok melayan anaknya. Dia nampak ciri-ciri seorang bapa yang baik pada diri lelaki itu.
“Ika!” Serta-merta kepalanya berpaling.
“Sya!” Tubuh sahabat baiknya itu dirangkul erat. Macam dah berpuluh tahun tak jumpa gayanya.
“Kau buat apa kat sini Ika? Kau datang dengan siapa?” Syarifah tak nampak sesiapa bersama dengan Ika. Takkan datang tempat macam ni seorang diri kut? Pelik pula.
“Dah namanya pun Sunway Lagoon. Takkan nak shopping pula.” Dengan siapa? Dia tak nak jawab dulu. Pipi tembam si kecil Amni dicubit geram. Makin tembam budak kecil ni. Umurnya sama dengan anak Hilmi tapi tubuh Amni lebih besar. Mungkin sebab dia diberi minum susu ibu. Ilham tak dapat semua tu. Kesian Ilham.
“Aku tahulah. Kau datang dengan siapa? Takkan datang seorang kut?” Soalan yang sama diajukan sekali lagi. Dia cuba lihat sekeliling. Tak ada siapa yang dikenali.
“Dengan kawan.” Masih lagi mahu berahsia. Dia malu sebenarnya. Agaknya apa reaksi Syarifah ya kalau si ibu ini tahu yang dia datang dengan Hilmi? Boleh kecoh satu taman tema ni dengar dia menjerit.
“Eh, tu bukan Hilmi ke? Ika, kau datang dengan Hilmi ke?” Anas tak berapa pasti sebab jarak mereka jauh. Tapi rasanya dah tak silap. Lelaki yang sedang mendukung anak kecil itu memang mirip Hilmi.
“Hah? Hilmi? Ika, kau datang dengan Hilmi?” Melilau-lilau matanya mencari kelibat lelaki yang disebut. Ika menikus. Mengiya pun tidak, menafikan pun tak.
“Eh, ya lah tu papa. Memang Hilmi tu. Patutlah tak nak cakap datang dengan siapa. Dating rupanya. Siap bawa anak. Nak cover line lah  tu kononnya ya?” Usik Syarifah. Dalam diam rupanya kawannya ini. Patutlah muka ceria semacam. Kalau dah tahap keluar macam ni, bukan setakat kawan biasa lagi ni. Ini dah lebih dari kawan. Tak sabar dia nak korek. Siap kau Ika.
“Mana ada. Aku teman dia saja. Adik dia pun ada sekali. Kebetulan aku free hari ni. Lagipun mereka tu kan bakal keluarga aku juga.” Ika senyum sebaris dan kemudian senyum itu mati. Bakal keluarga. Serta-merta nama Faiz muncul di benaknya. Kejadian hitam semalam satu persatu terlayar. Kebenciannya makin tebal.
“Papa, pergilah dekat Hilmi. Bawa baby sekali. Mama duduk dengan Ika kat sini ya?” Anas angguk. Si kecil Amni sudah tak sabar nak main air. Kakinya dah tergedik-gedik. Teruja betul.
“Hmmm….macam ada sesuatu yang aku tak tahu saja ni? Sejak bila kau pandai keluar macam ni?” Misi korek rahsia dah bermula. Syarifah bersila di sebelah Ika. Memerhati sahabat baiknya yang tiba-tiba nampak muram. Dah kenapa pula? Dia ada tersalah cakap ke?
“Ini kali pertamalah. Kau jangan nak buat gosip pula ya.” Hujung tudung dipintal-pintal. Patutkah dia ceritakan apa yang sedang dia rasa sekarang kepada Syarifah. Setakat hari ini, masih belum ada rahsia antara dia dan Syarifah. Tapi perkara yang satu itu terlalu berat untuk diceritakan.
“Mana ada gosip. Aku gembira tau tengok kau dengan Hilmi bahagia macam ni. Kau dengan dia sesuai sangat.” Dia ikhlas. Dia lebih suka Siti Zulaikha dan Khairul Hilmi berbanding dengan Siti Zulaikha dan Mohamad Faiz. Tapi keputusan tetap di tangan Ika.
Ika diam. Dia juga gembira dengan keadaan ini. Tapi dia harus sedar semua ini cuma sementara. Dia juga sedar yang dia adalah tunang orang. Hilmi bakal jadi abang iparnya. Ika raup muka. Nama Faiz muncul lagi.
“Ika, kau ada masalah ke? Kau tak nak share dengan aku?” Bukan Ika namanya kalau tak ada masalah. Nampak saja macam ceria tapi dia tahu, dalam hati wanita tabah ini penuh dengan kedukaan.
Ika masih diam. Syarifah tak mahu paksa. Dia tahu wanita ini sedang terseksa. Orang yang dicinta ada di depan mata tapi rasa cinta itu tak dapat dilunaskan dek kaki dan hatinya sudah diikat dengan satu ikatan yang lebih kuat. Ika memang kuat. Sampai ke saat ini pun dia masih bertahan.
“Aku dah tak kuat Sya. Dugaan datang bertimpa-timpa. Aku rasa macam nak mati saja.” Akhirnya dia tak dapat nak sembunyikan lagi. Dia lemah bila di hadapan Syarifah.
“Tak baik kau cakap macam tu. Kau sangat kuat sebenarnya Ika. Sebab itu Tuhan sentiasa uji kau. Kau tengok, sampai sekarang pun, walau sebanyak mana kau diuji, kau tetap bertahan. Kalau orang lain, mungkin dah bunuh diri.” Bahu kawannya dipegang erat. Jangan putus asa, Ika. Jangan mengalah.
“Tapi Faiz dah melampau. Aku dah tak tahan dengan dia.” Ika cuba bertahan. Tak mahu titiskan air mata. Tak mahu mata merahnya nanti jadi persoalan Hilmi.
Syarifah kerut dahi. Apa yang Faiz dah buat? “Kenapa dengan Faiz? Apa dia dah buat pada kau?”
“Dia dah malukan aku depan keluarga dia. Aku tak tahu apa yang ada dalam kepala dia tapi aku ada maruah Sya.” Masih terasa hidungnya dicuit oleh jari lelaki itu semalam. Pinggangnya yang cuba dipeluk Faiz juga.
Jelas Syarifah terkejut. Dia pernah jumpa Faiz. Jika dilihat dari mata kasar, lelaki itu lelaki budiman. Raut wajahnya tak seperti orang jahat. Cara dia melayan Ika juga memang cukup baik. Waktu itu dia fikir yang Faiz memang jodoh yang terbaik buat Ika. Lelaki itu mampu menghilangkan cinta Ika buat Hilmi. Tapi sekarang, semuanya terbalik. Apa dah jadi dengan Faiz?
“Aku tak faham.”
Ika diam. Seboleh mungkin dia dah tak nak sebut apa yang Faiz dah buat semalam. Tak nak ingat pun. Berat lidah nak menyatakannya. Dia harap Syarifah faham.
“Ok, kalau kau tak nak cerita sekarang, aku faham. Tapi aku nak kau tahu yang aku akan sentiasa ada bila kau perlukan aku.” Bahu Ika diraih ke dalam pelukannya. Dia sayang Ika. Sahabat yang sudah dianggap sebagai saudaranya sendiri.
“Tapi yang ini aku tak nak kau rahsiakan daripada aku. Apa cerita? Diam-diam saja kau ya?” Matanya melirik ke arah Hilmi yang sedang seronok bermain bersama anaknya. Ika ukir senyum simpul. Apa dia nak kata? Dia pun tak tahu macam mana keadaan boleh jadi begini.
“Apa yang diamnya? Kau dah lama tahukan? Kau juga yang temukan aku dengan dia.”
“Jangan nak tukar cerita. Baik kau cerita. Kalau tak aku tanya Hilmi sendiri.” Ugut Syarifah. Yang itu memang dia tahu, tapi dia tak tahu cerita seterusnya.
“Ish, kau ni. Kan aku dah cakap tadi. Aku cuma temankan dia dengan adik dia saja. Kau ni suka fikir bukan-bukan.” Takkan dia nak mengaku yang mereka sedang bercinta pula. Hilmi pun tak pernah cakap apa-apa. Nanti dia tersalah cakap, tak ke malu.
“Kalau tak ada apa-apa, takkan dia ajak kau temankan dia. Kenapa dia tak ajak perempuan lain?” Tak puas hati.
“Mungkin yang lain semua sibuk. Aku je yang free.” Mulutnya mengunyah keropok yang dibawa tadi.
Syarifah merengus geram. Itu pun nak berahsia. Daripada gaya dan lirik mata pun orang dah tahulah. Saja nak dengar dari mulut dia sendiri. Apa taknya, dari tadi mata Ika dan mata Hilmi asyik bertembung. Bila mata dah bertemu mata, bibir pun ukir senyum. Nampaknya, Hilmi dah jatuh hati dengan Ika. Cuma masih tak luahkan rasa.
Eloklah tu. Dua-dua pun tengah kesunyian. Seorang hilang isteri, yang seorang lagi makin hilang kasih sayang tunang sendiri. Mungkin memang jodoh Ika dan Hilmi. Dia harap sangat yang kali ini, Ika dapat memiliki lelaki yang dicintai sepenuh hati itu. Dah banyak sangat kawannya itu menderita dan berkorban. 
GOMAWOOO...eh..hahahah...da tersampuk hantu korea pulak dah..kikikiki...saranghae yo....aaa sudah....ok2...byeeeee :)
 

4 comments:

  1. Hi...knp create watak faiz jd jahat..huk.huk..faiz asal baik kn...lgpn faiz terima dia seadanya dr awal..helmi mmg baik gak..tp as a reader sy kecewa sbb watak helmi direka mnjadi baik utk match dgn ika..tp sebenarnya dlm cite..y plg bersalah adlh Ika..sbb dia poyo sgt..hahaha..sbb dia y berubah..faiz berubah jd jahat pn sbb dia..nk bg opinion utk ending..wlpun ika heroin..n novel dh biasa ada happy ending..better buat watak ika mati kot dr dia dgn helmi..hehe..tp the best is..helmi mati accident...faiz menyesalkan dgn apa y dia buat..n than diorg kawin..n ilham jd ank angkat diaorg sbgi kenangan helmi dlm hidup ika...hehe...(suka2 je kn bg ending) sy xrajin menulis tp sy suka membaca...-yus

    ReplyDelete
  2. Hehehehehehe...tq yus...sy sbnarnya nk buat faiz ni jadi jahat sbb dia rasa terancam..sbb nak pertahankan hak dia...n dia tak nak nasib yg sama macam mak dia..lebih2 lg hilmi tu abg dia..hehe..mgkin cara pengolahan sy tak smpai kot..hehe..masih amatur ni..hehe...apa2 pun tq utk idea ending tu..hehe...sgt2 mnghargainya..inshaaAllah akan cuba sedaya upaya utk berikan ending yg terbaik...tq so much yus :)

    ReplyDelete
  3. Kesian kat faiz. Dy jd mcm tu sbb ika xsetia. Mula2 bg harapan kat dy, los tu tolak faiz ke tepi. Ade hubungan dgn abg tiri faiz lg.

    ReplyDelete
  4. Serius xsuka dgn watak ika mcm ni. Konon jg sgt maruah tu tp xsedr awk tu sbg tunang org tp sbk ikut lelki lain.

    ReplyDelete