ok...episod dua dah masuk!! silakan semua...tapi tajuk tetap juga xder lagi..adelah dua tiga tajuk yang terfikir tapi belum decide lagi yang mana satu boleh diguna..ape2 pun..hope korang enjoyzzzz.....
Siti Fatimah meletakkan begnya di atas meja. Punggung dihenyak ke atas kerusi. Mahu melepaskan penat seketika sebelum masuk ke kelas nanti. Dia membelek jadual waktu pengajaran. Satu keluhan berat dilepaskan. Kelas Tiga Ehsan. Di awal pagi pula tu. Kelas yang paling dia anti. Tak pernah dia senyum bila masuk ke kelas itu. Sakit hati memanjang.
“Hai cikgu Siti. Kenapa muka berkerut aje ni? Pagi-pagi lagi dah tension ke?” Siti Fatimah tak menoleh pun. Dengar suara pun dah tahu. Ini lagi satu makhluk perosak mood baik. Setiap pagi mesti nak kena mengadap muka dia. Rimas betul.
“Dah makan ke? Jom kita ke kantin.” Ajak Firdaus. Sejak empat tahun lalu dia berusaha untuk memikat hati wanita cantik di hadapannya ini. Tapi selama empat tahun juga dia masih lagi kecewa. Susah betul Siti Fatimah nak terima cintanya. Nak kata dia tak ada rupa, takkan pelajar-pelajar perempuan tergila-gilakannya. Siap hantar surat cinta. Tak tahan betul budak-budak zaman sekarang. Berani mati.
“Ada kelas.” Malas Siti Fatimah nak layan. Dia rela berlapar daripada pergi makan dengan Firdaus. Dia buat-buat sibuk. Rekod pengajaran harian dibuka. Rancangan pengajaran semalam masih belum bertulis. Pen dicapai dan terus dicoretkan sesuatu ke atas kertas putih bergaris itu.
“Siti ni, kalau Fir ajak pergi makan selalu tolak. Tak boleh ke sekali sekala terima. At least taklah Fir rasa kecewa sangat.” Firdaus buat ayat sedih. Mana taknya, Bukan sekali dua dia ajak wanita pujaannya ini keluar makan, satu pun tak dilayan. Tragis betul.
“Dah memang saya sibuk. Saya nak buat macam mana. Pergilah ajak cikgu lain. Ramai lagi yang belum makan rasanya. Tu, Kak Akma tu. Rasanya belum makan. Cikgu Lan pun rasanya belum makan. Pergilah ajak dia orang.” Buku teks Matematik tingkatan tiga dikeluarkan daripada susunan buku-buku. Beberapa biji buku latihan pelajar juga dicapai. Bersedia nak masuk kelas. Kalau keadaannya macam ni, dia lebih rela masuk kelas Tiga Ehsan tu.
“Dia orang tu buat apa. Pandai-pandailah makan sendiri. Fir nak makan dengan Siti.” Berbulu telinga Siti Fatimah mendengarnya. Tak payah nak manja-manja kat sini. Nanti ada yang makan penyepak.
“Cikgu Firdaus, saya ni pun dah besar juga. Pandai makan sendiri. Tak perlu ada orang suapkan. Dahlah, saya nak masuk kelas.” Silap oranglah kalau nak bermanja. Kalau kau tu budak tiga tahun, tak apalah juga. Ni dah tua, tak payah nak mengada-ngada.
Cepat-cepat Siti Fatimah berlalu. Firdaus hanya dapat memerhati si jantung hati berlalu. Dia kecewa lagi hari ini tapi tak apa. Dia tak akan mengalah selagi Siti Fatimah tak jadi miliknya. Dia dah jatuh cinta habis dekat cikgu yang seorang ni. Tunggu saja. Abang Firdaus tak akan putus asa!
Dari jauh lagi dah boleh dengar bunyi bising dari kelas Tiga Ehsan. Siti Fatimah ketap bibir. Sabarlah wahai hati. Siti Fatimah berdiri di hadapan pintu masuk. Suasana masih lagi seperti tadi. Agaknya masih tak nampak dirinya yang sudah tercegat di situ.
“Woi, cikgu Siti dah masuk!” Tegur seorang pelajar lelaki.
“Hah, cikgu Siti?” Balas seorang lagi. Beberapa pelajar yang mendengar terus bergerak ke meja masing-masing. Yang masih tak sedar, terus bergelak ketawa di belakang kelas. Apa agaknya yang mereka buat?
“Semua bangun!” Laung ketua kelas. Pelajar-pelajar yang sedang bergelak ketawa di belakang terkocoh-kocoh berlari ke tempat masing-masing. Tahu pun takut.
“Assalamualaikum cikgu!” Bergema satu kelas. Hampir tujuh puluh peratus pelajar kelas ini adalah pelajar lelaki. Itu yang lagi mencabar tu. Dahlah kelas paling hujung, nakalnya tak payah nak cerita. Dengan bilangan pelajar yang ramai, memang pening kepala. Bukan dia seorang saja yang anti dengan kelas ni, rasanya semua cikgu yang mengajar kela ni pun rasakan benda yang sama. Entah hantu apa yang rasuk budak-budak ni.
“Sebelum kamu semua duduk, siapa yang rasa dirinya tak hantar buku latihan yang saya suruh hantar dua hari lepas, sila keluar dan berdiri di hadapan.” Semua pelajar berbisik-bisik. Seorang pun tak nak mengaku.
“Baiklah. Kalau tak nak mengaku tak apa. Pelajar yang saya panggil namanya ini, datang depan ambil buku dan kamu boleh duduk. Yang saya tak sebut namanya, dengan segala hormatnya sila ke hadapan.” Nak main-main dengan cikgu lain boleh, tapi jangan harap dengan Cikgu Siti. Siaplah kau orang nanti. Hancur aku kerjakan.
Satu-persatu nama pelajar dipanggil. Kebanyakannya pelajar perempuan. Hanya dua tiga orang saja pelajar lelaki. Semua buku latihan sudah habis diedarkan. Hampir separuh daripada kelas masih lagi berdiri. Sekarang, masih tak nak mengaku lagi? Beberapa orang pelajar yang berdiri sudah menundukkan wajah. Mungkin terfikir apa denda yang mereka akan dapat hari ini. Ada juga yang tersengih-sengih macam kerang busuk. Yang tak tahan ada juga yang buat muka selamba. Siap bersandar di dinding.
“Ok, yang berdiri ini, silalah datang ke depan. Nak saya bentangkan karpet merah?” Siti Fatimah berdiri sambil tangannya disilangkan. Lambat-lambat pelajar itu berjalan. Lima belas orang semuanya.
“Sekarang, saya mahu setiap orang bagi saya sepuluh sebab kenapa kamu tak hantar buku latihan.” Pecahlah kepala kau orang berfikir. Padan muka. Siapa suruh buat Cikgu Siti marah? Pelajar-pelajar yang berdiri di hadapan diam. Cuma berberbisik sesama sendiri. Mungkin berbincang mengenai alasan-alasan yang patut diberi. Tahu pun takut.
“Faizul, apa alasan kamu.” Pelajar dengan rambut kerinting itu tak menjawab. Pandang kiri pandang kanan. Kemudian garu kepala yang tak gatal.
“Lupa cikgu.” Jawab Faizul. Tak boleh nak fikir alasan lain lagi. Itu saja yang dia tahu.
“Sembilan lagi?” Faizul tersengih-sengih. Dia geleng kepala.
“Kamu Zulkifli?”
“Tak ingat cikgu.” Serta-merta dijawab.
“Rizuan?” Pelajar dengan ketinggian sederhana itu hanya geleng kepala. Wajahnya ditundukkan.
“Baiklah, siapa di antara kamu yang boleh beri saya sepuluh alasan itu?” Semuanya diam. Siti Fatimah angguk kepala. Sebenarnya, ini denda yang dia mahu buat.
“Ok, kalau tak dapat beri alasan, saya nak kamu buat sesuatu. Sekarang, semua beratur di luar. Saya nak kamu berjalan itik dari sini hingga ke hujung koridor sana.” Rasakan. Serentak semua yang berdiri itu tutup muka.
“Cepat. Saya kira sampai tiga. Kalau tak berdiri di luar, saya bawa kamu semua jumpa dengan guru disiplin.” Ugut Siti Fatimah. Serta-merta mereka semua beratur di luar dan siap sedia duduk mencangkung. Tak rela jumpa dengan guru disiplin. Tengok orangnya pun dah naik gerun. Itu belum lagi tengok rotannya yang panjang. Taubat, sekali kena dah tak nak buat lagi.
“Jalan sekarang!” Terkedek-kedek pelajar-pelajar itu berjalan itik hingga ke hujung koridor. Pelajar-pelajar kelas lain ada yang ketawa melihat mereka. Biarkan. Pengajaran untuk masa depan.
>>
“Garang betul cikgu Siti kita ni. Kalau mengajar, suara tu boleh dengar sampai ke tingkat bawah. Seram.” Usik Firdaus. Masih tak putus asa walaupun sudah ditolak mentah-mentah awal pagi tadi.
“Siti, kita keluar petang ni nak?” Buku latihan pelajar yang berada di atas meja Siti Fatimah dicapai dan dibelek-belek.
“Tak boleh. Banyak kerja.” Siti Fatimah tekun memeriksa buku latihan pelajar-pelajarnya. Pening kepala. Tulisan macam orang menulis dengan kaki. Ini baru Matematik, kalau subjek bahasa, tak ke juling biji mata cikgu nak menanda?
“Kerja tu lain kali boleh buat. Petang ni kita keluarlah dulu.” Buku latihan diletak semula ke tempatnya. Siti panas hati. Tak cukup dengan kelas Tiga Ehsan tadi, yang ini pun nak buat dia panas hati. Nanti aku tengking depan cikgu-cikgu lain, ada yang malu.
“Saya kata saya sibuk, maknanya saya sibuk. Cikgu Firdaus guru Bahasa Melayu kan? Rasanya cikgu dah lebih daripada faham.” Tempelak Siti. Kak Akma di meja sebelah hanya tersenyum mendengar. Tak kisahlah. Bukan baru hari ni Kak Akma dengar, dah empat tahun. Satu sekolah pun tahu perangai Firdaus. Gilakan Siti Fatimah.
“Garangnya. Ok, kalau tak dapat hari ni, kita keluar esok.” Masih tak mahu mengalah. Dia akan pujuk hingga Siti Fatimah setuju.
Tak faham bahasa melayu ke apa mamat ni? Tak ada kerja sangat ke? Nah, ambil kerja aku yang bertimbun ni. Kepalanya makin berserabut. Tumpuan nak menanda buku latihan pelajar dah hilang entah ke mana. Firdaus memang perosak mood. Nak saja dia sembur habis-habisan.
“Cikgu, saya ni banyak kerja. Kalau cikgu tak ada kerja sangat, cikgu pergilah keluar seorang.” Siti Fatimah mula bosan. Tak habis-habis nak mengganggu. Tak boleh ke dia nak rasa aman sekejap?
“Tak syoklah keluar seorang. Kalau ada yang temankan lagi bagus.” Meluatnya dengar. Nak teman ya? Sekejap.
“Oh, nak ada orang temankan ya? Sekejap.” Siti Fatimah senyum. Hati Firdaus berbunga riang. Nampaknya kekecewaannya bakal terubat.
“Kak Nab, petang ni free tak? Cikgu Firdaus ajak keluar. Boleh?” Serta-merta senyuman manis di bibir Firdaus mati. Kak Nab?
“Petang ni? Tak bolehlah Fir. Akak ada kerja. Kalau tak busy, nak juga akak pergi.” Jawab Kak Nab. Umurnya dah hampir empat puluh tahun tapi masih anak dara. Dengar katanya dulu dia pernah bertunang dengan seorang cikgu. Tapi tunangnya meninggal dalam kemalangan. Lepas tu, dia terus tak mahu ada hubungan dengan siapa-siapa lagi. Kesian Kak Nab. Untung siapa yang dapat. Baik sungguh orangnya.
“Kalau tak sudi tak apalah.” Firdaus berlalu dengan hati yang makin kecewa. Kenapalah susah sangat Siti Fatimah nak terima dia? Atau Siti Fatimah dah ada yang punya? Ah, selagi Siti Fatimah tak kahwin, dia masih ada peluang.
“Kesian Cikgu Firdaus. Tak baik Siti buat dia macam tu.” Tegur Kak Akma. Siti Fatimah hanya senyum sebaris.
“Tak apa kak. Dia dah biasa. Bukan baru hari ni saya tolak dia.” Siti Fatimah capai fail berkulit keras warna putih. Tarikh tutup pengemaskinian data murid hanya tinggal seminggu. Banyak lagi yang perlu dia buat.
“Akak tengok, Fir tu bersungguh benar nakkan Siti. Kenapa Siti tak terima saja dia?” Penulisannya terhenti. Kenapa dia tak terima?
“Entahlah kak. Siti pun tak tahu kenapa. Tapi hati ni tak boleh nak terima.” Dia tak boleh paksa hatinya untuk terima Firdaus hanya untuk menjaga hati lelaki itu. Berkahwin bukan untuk sehari dua.
“Tak apalah Siti. Lambat laun Fir tu akan faham juga. Atau Siti dah ada pilihan sendiri? Tak nak cerita dekat akak?” Tutur lembut Kak Akma selalu buat dia lemah. Ustazah yang berasal dari Kelantan ini memang lemah lembut orangnya. Cantik pun cantik. Tapi dia tak ada sesiapa yang nak diceritakan.
“Tak ada siapalah kak. Saya ni masih solo lagi. Tak sempat lagi nak cari pakwe.” Siti Fatimah ketawa. Dia pun tak pasti dengan jawapan sendiri.
“Tak sempat ke tak nak cari?” Serkap Kak Akma. Siti Fatimah menoleh ke sebelah. Dia pun tak tahu. Tak sempat atau tak nak cari?
“Siti masuk kelas dulu kak.” Pertanyaan Kak Akma dibiar tak berbalas. Macam mana dia nak cari? Ah, manusia itu dijadikan berpasang-pasangan. Cuma cepat atau lambat saja.
bab 3 mane
ReplyDeletemaaf2..xperasan pulak bab 3 xder...xper..novel ni dah diterbitkan...so boleh dapatkan di kedai2 buku atau order d penerbitan kaki novel...terbitan bulan 3..maaf ya.. terima kasih kerana sudi membaca.. :)
ReplyDeleteCikgu org mne yer
ReplyDeleteNk kenal bleh?
Wassap sy 0177730436
Kawan2 jer