2012-03-19

jangan merajuk sayang 4

yeay!!spt yg dijanjikan...next episode of my new project. masih tak bertajuk...huhuhhu...xper la..apa2pun harap korang enjoyzzzzz!!!!


Hajah Mariam meletakkan cawan berisi air teh ke piringnya. Wajah muram adiknya dipandang. Sejak akhir-akhir ini, susah sangat nak tengok senyuman di wajah manis milik Datin Hajah Maria. Ada sesuatu yang tak kena ni. Nak kata suaminya buat perangai, tak mungkin. Adik iparnya tu memang baik orangnya. Walaupun kaya, tapi dia bukan hidung belang.

“Kau ni kenapa Maria? Monyok aje aku tengok. Ada masalah ke? Suami kau buat hal?” Kuih lapis yang nampak sedap tak jadi nak dijamah. Selagi tak tahu apa masalah adiknya, selagi itulah dia tak ada selera nak makan.

“Bukan abang yang buat masalah. Tapi anak teruna aku tu. Tak tahulah nak buat macam mana lagi. Langsung tak nampak yang dia tu fikirkan masa depan. Enjoy memanjang.” Luah Datin Hajah Maria. Pening kepala bila memikirkan anak terunanya yang seorang itu. Sudahlah anak lelaki seorang itu saja yang dia ada. Langsung tak boleh nak diharap. Pagi pergi kerja, malam keluar pergi entah ke mana. Dah nak masuk subuh baru balik.

“Kenapa dengan Ryzal? Apa pula dia buat kali ni?” Anak saudaranya itu memang tak habis-habis buat masalah. Sejak kecil sampai dah besar sekarang ni pun, masih lagi nak buat masalah.

“Dia tak buat apa-apa pun. Tapi aku ni risau tengok dia. Umur dah tiga puluh dua, tapi sikit pun tak fikirkan masa depan. Nak kahwin ke, nak ada anak ke, runsing betul kepala ni.” Datin Hajah Maria bersandar ke sofa. Kepala yang berdenyut dipicit.

“Kau tak ada tanya dia ke bila dia nak kahwin? Manalah tahu dia dah ada calon sendiri.”

“Buang masa saja tanya. Ditanya sikit, mulalah nak melenting. Mama ni menyibuklah, mama ni tak sportinglah. Entah apa yang ada dalam kepala otak dia pun aku tak tahu.” Ingat lagi beberapa minggu lepas, bergaduh besar dia dengan Ryzal. Sebabnya, hanya kerana dia tanya pasal jodoh.

“Itulah kau, manjakan sangat dia dulu. Kau bagi kebebasan sepenuhnya kepada dia. Sampai dia tak pandai nak berdikari. Hanya ingat nak berseronok saja.” Dia tahu, adiknya sangat sayangkan anak. Maklumlah, anak hanya ada dua orang. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Tapi itu bukan caranya nak didik anak.

“Entahlah Yam. Memang salah aku kut. Tak pandai nak didik anak. Sudahnya, dia jadi macam tu. Setiap hari aku doa supaya satu hari nanti pintu hati dia tu terbuka nak berubah.” Teringin benar dia nak tengok anak lelakinya itu punya kehidupan sendiri. Bertanggungjawab dan serius dengan diri.

“Sabar ajelah Maria. Aku yakin, satu hari nanti, dia mesti berubah juga. Mungkin dia rasa dia belum bersedia nak berkahwin.” Pujuk Hajah Mariam. Kasihan betul dia tengok adiknya ini. Jika dilihat dari luaran, tak ada apa yang kurang. Rumah besar, kereta mewah, harta banyak. Tapi masalah di dalam, siapa yang tahu.

“Ikutkan hati, aku nak kahwinkan saja dia dengan mana-mana perempuan. Biar dia belajar jadi orang yang bertanggungjawab.” Bukan dia nak memaksa, tapi dia cuma takut anaknya tersilap langkah, terlanjur. Bukan dia tak pernah nampak anaknya mengusung perempuan di luar. Bila ditanya, macam-macam alasan diberi.

Hajah Mariam diam seketika. Mungkin dia dapat tolong sesuatu. Dah lama dia nak mengusulkan perkara ini tapi dia tak berani. Takut nanti dikata suka masuk campur hal rumah tangga orang. Lagipun dia tahu, Ryzal ramai kawan perempuan.

“Maria, aku ada kenal seorang budak perempuan. Cantik orangnya. Baik pun baik. Keluargannya pun baik-baik. Aku kenal mereka masa kami pergi umrah sama-sama tahun lepas.” Berhati-hati Hajah Mariam menyusun kata. Datin Hajah Maria angkat kepala. Seakan berminat.

“Betul ke ni? Orang mana?” Mungkin tak salah kalau mencuba. Mana tahu menjadi.

“Orang sini juga. Berkenan betul aku dengan budak perempuan ni. Nak dijadikan menantu, dah tak ada anak lelaki bujang.” Bersungguh. Masih terbayang wajah lembut dan sopan milik gadis itu. Sudahlah cantik, hormat orang tua pula tu.

“Apa kerjanya?” Makin berminat. Kalau kakaknya sendiri dah berkenan, mesti budak perempuan tu memang betul-betul bagus.

“Cikgu. Ayahnya pun cikgu juga. Tapi dah pencen.” Datin Hajah Maria diam seketika. Bibirnya menguntum senyum. Elok sangatlah tu.

“Macam mana? Setuju tak?” Tanya Hajah Mariam minta kepastian. Adiknya tak menjawab tapi dia mengangguk perlahan.

Hajah Mariam ukir senyum. Puas hati.

“Kalau macam tu, esok kita pergi rumah dia.” Bersemangat. Bulat mata Datin Hajah Maria.

“Esok? Tak cepat sangat ke Yam?” Mana sempat nak buat persediaan. Kurang-kurang pun kena ada sireh junjung. Bukannya nak pergi tengok anak kucing.

“Kita pergi kenal-kenal aje. Bukannya nak pergi meminang. Kau ni pun, tengoklah dulu orangnya macam mana. Cantik ke tak, berkenan ke tak.”

“Ya tak ya juga. Ok, kalau macam tu, esok kita pergi.” Teruja. Macam tak sabar nak tunggu esok. Harap-harap semuanya berjalan lancar.

>>

Minuman bergas di dalam gelas diteguk rakus. Muzik yang membingitkan telinga langsung tak dihiraukan. Nampak sangat dah biasa. Kepala digoyang-goyangkan mengikut irama. Perempuan-perempuan seksi yang lalu-lalang di depan mata dipandang dari atas ke bawah. Rezeki, siapa yang tak nak. Dah mereka tunjuk, tengok sajalah.

“Hai abang. Seorang saja? Nak saya temankan?” Tegur seorang perempuan dengan pakaian tak cukup kain. Manja bunyinya. Bau semerbak minyak wangi menggetarkan jiwa lelaki.

“No, it’s ok. I tunggu kawan.” Tolak Ryzal. Ikutkan hati, dilayan saja tapi dia tak nak perang dunia ketiga meletus nanti. Mandy bukan boleh tengok dia dengan perempuan lain. Cemburunya tak kena tempat.

“Kawan perempuan ke lelaki?” Masih tak mahu berganjak. Bahunya digeselkan ke dada bidang milik Ryzal. Sengaja mahu menggoda.

Girlfriend.” Bisik Ryzal. Terus berubah wajah si gadis penggoda. Tapi sempat dia kenyit mata sebelum berlalu. Namanya pun pelacur, memang handal bab-bab goda-menggoda ni.

Ryzal tilik jam. Setengah jam berlalu. Masih tak nampak batang hidung Mandy. Tadi kata dalam perjalanan. Tapi sampai sekarang tak sampai-sampai. Nak dijemput, Mandy tak mahu. Katanya boleh datang sendiri. Ryzal bosan menunggu. Dia menapak keluar.

Dia pandang kiri kanan. Masih tak nampak kelibat Mandy. Ryzal menyandarkan badannya ke dinding. Telefon dikeluarkan. Cuba dihubungi kekasih hati. Tak diangkat. Panas betul hatinya. Baik tak payah pakai telefon. Masa minta dibelikan telefon dulu, bukan main lagi merengek. Tak nak telefon yang murah, nak yang canggih-manggih.

Sebuah kereta berhenti tak jauh daripadanya. Matanya menyorot ke arah tempat duduk penumpang. Ada seorang perempuan di situ. Pemandunya adalah lelaki. Mata dikecilkan. Dia macam kenal dengan perempuan itu. Lama dia memerhati. Bukan main mesra lagi. Siap bercium mulut. Penumbuk dikepal. Segera kaki melangkah merapati kereta yang boleh tahan mewahnya itu.

Cermin kereta diketuk. Sepantas kilat penghuninya berpaling. Muka si perempuan dah berubah riak. Masalah! Perlahan-lahan pintu kereta dikuak tapi cepat ditarik oleh Ryzal. Perempuan murahan ni memang nak kena ajar.

“Kurang ajar punya perempuan. Kau tipu aku!” Pergelangan tangan perempuan berbangsa cina itu direntap kasar, memaksanya keluar dari kereta.

“Sakitlah.” Mandy cuba melepaskan diri. Tapi pegangan tangan Ryzal terlalu kuat.

“Oh, tahu pun sakit.” Hatinya bengkak. Selama ini dia kena tipu dengan perempuan kaki kikis ni dan dia langsung tak sedar?

“Hoi, kau jangan kurang ajar dengan dia. Kau siapa?” Pemandu kereta itu dah berada di sebelah Ryzal.

“Aku siapa? Kau tanya perempuan ni.” Pergelangan tangan Mandy dilepaskan. Tiba-tiba dia rasa jijik.

“Aku tak kenal kau.” Ryzal cekak pinggang. Berkerut dahinya memandang Mandy. Tak kenal? Yang selama ni dia usung ke hulu ke hilir, siapa? Hantu Mandy? Sial!

“Tak kenal kau kata? Yang selama ni aku tanggung makan pakai kau, kau boleh cakap tak kenal aku?” Membara hatinya. Memang dasar perempuan murahan.

“Bro, dia dah cakap tak kenal, maksudnya dia tak kenallah. Baik kau berambus dari sini sebelum aku hilang sabar.” Tubuh Ryzal ditolak. Ryzal tak melawan. Kepala diangguk beberapa kali.

“Baik, kalau kau betul tak kenal aku tak apa. Tapi aku nak, kau serahkan semua barang yang aku dah bagi pada kau. Handphone, barang kemas, kereta, semuanya sekarang juga.” Kau jangan ingat senang-senang kau boleh kikis harta aku. Langkah mayat aku dulu.

Mandy tak fikir panjang. Telefon canggih yang sudah berada di tangannya dicampak ke lantai. Begitu juga dengan gelang emas pemberian Ryzal beberapa minggu lalu. Teman lelaki barunya hanya memerhati tapi wajahnya penuh dengan tanda tanya.

“Tunggu. Aku rasa baju kau tu pun aku yang belikan. Entah-entah yang kau pakai kat dalam tu pun aku yang belikan.” Tempelak Ryzal. Wajah Mandy merah padam menahan marah. Perlu ke dia tanggalkan semuanya di sini?

“Tapi tak apa. Tak ingin aku nak ambil balik apa yang dah melekat dekat badan kotor kau tu. Aku halalkan. Tapi ingat, kau jangan berani-berani nak tunjuk muka kau lagi depan aku.” Jari telunjukkan hampir mencucuk mata Mandy.

“Aku pun tak ingin nak jumpa kau lagi. Dasar kaki perempuan!” Pintu kereta dihempas kuat. Menderum laju meninggalkan Ryzal yang masih bengang. Telefon bimbit yang berharga ribuan ringgit itu dipijak hingga berkecai. Dia hanya mengugut. Tak sangka Mandy akan serahkan semuanya.

Sakit hatinya hanya sekejap. Bukan dia tak pernah putus cinta. Lagipun, bukannya dia cinta betul-betul. Hanya sebagai teman berhibur. Seorang pergi, berduyun lagi yang menanti. Setakat perempuan macam Mandy tu, sepuluh pun dia boleh cari. Ryzal menapak semula ke dalam pusat hiburan kegemarannya itu. Ramai lagi wanita cantik dan seksi di dalam ni. Dia kenyit mata sekali pun dah boleh sangkut. Bukannya susah sangat.

>>

“Awal kamu balik malam ni?” Tegur Datin Hajah Maria. Sepantas kilat Ryzal berpaling ke arah suara itu. Nasib baik wajah mamanya yang dia nampak.

Ryzal tak menjawab. Kunci kereta diletakkan ke atas almari. Berkira-kira mahu terus naik ke atas. Badannya rasa melekit. Kepala pun rasa pening dek kerana terlalu banyak menghidu asap rokok di dalam disko tadi.

“Apa nak jadi dengan kamu ni Ryzal? Hari-hari balik lewat. Sembahyang entah ke mana. Kamu tu dah tiga puluh dua tahun tahu tak?” Datin Hajah Maria tak puas hati bila anak terunanya hanya diamkan diri. Kesabarannya tercabar.

“Ma, please. Ryzal penat sangat ni. Kita bincang esok boleh?” Kakinya sudah mendaki anak tangga. Bebelan si ibu hanya sepintas lalu masuk ke telinganya.

“Bila mama tegur, kamu marah. Bila tak ditegur, makin menjadi-jadi perangainya. Tak fahamlah mama.” Geram. Ada saja alasannya nak mengelak.

“Ok. Good night mama.” Ryzal terus mendaki ke atas tanpa menghiraukan bebelan mamanya. Bukan dia nak jadi anak kurang ajar tapi dia betul-betul penat malam ini. Sebab itu dia balik awal. Kalau tak, mahunya pukul empat pagi baru ingat nak balik.

“Ryzal!” Datin Hajah Maria mendengus keras. Bertuah punya anak. Tapi dia masih lagi mampu bersyukur sebab sehingga ke hari ini, tak pernah lagi Ryzal balik dalam keadaan mabuk dan tak pernah lagi Ryzal mengusung perempuan hingga ke bilik tidur. Selewat manapun, dia akan tetap pulang ke rumah.

Mungkin cadangan kakaknya petang tadi boleh diguna pakai. Manalah tahu anaknya akan berubah bila dah berkahwin. Tak cuba tak tahu. Tapi sanggupkah dia memperjudikan masa depan gadis itu semata-mata untuk melihat anaknya berubah? Kalau Ryzal tak berubah juga, macam mana? Atau Ryzal mempersiakan hidup gadis itu? Dia akan rasa bersalah seumur hidupnya nanti.

“Ah, tak cuba tak tahu.” Mata yang sudah mengantuk sejak tadi tak dapat ditahan lagi. Segera kakinya melangkah ke atas. Suaminya sudah lama dibuai mimpi. Hanya dia yang masih setia menanti kepulangan anak teruna tersayang.

1 comment: