2012-04-02

jangan merajuk sayang 6

wiwit!!here we go...next!!


Siti Fatimah memarkirkan keretanya. Penat betul hari ni. Pukul lima setengah baru boleh balik rumah. Dah melekit satu badan. Baunya, sendiri mahu ingatlah. Nasib baik bawa minyak wangi. Benda wajib tu.

“Baru balik Siti?” Tanya Hajah Asmah dengan senyum yang masih tak lekang. Siti Fatimah hanya mengangguk. Dah penat sampai tak boleh nak bercakap.

“Penat? Mak buatkan air ya?” Sekali lagi dia mengangguk. Agak pelik tapi orang dah nak buatkan air, terima sajalah. Memang tengah dahaga sangat-sangat.

“Hah Siti, baru balik. Mak mana?” Tanya Kak Teh yang sudah siap berbaju kelawar. Selesa katanya. Maklumlah, perut makin membesar.

“Kat dapur.” Siaran di televisyen tak menarik perhatiannya. Penat!

Siti Amirah tersengih-sengih melihat adiknya. Siti Fatimah tak puas hati. Apa yang kelakar sangat dengan dia hari ni? Muka ada terconteng apa-apa ke? Diraba mukanya. Rasa melekit adalah. Perangai emaknya pun pelik. Ini mesti ada apa-apa yang dia tak tahu ni. Tak boleh jadi.

“Kak Teh ni dah kenapa? Tersengih-sengih dari tadi. Apa yang kelakar sangat?” Sudahlah dia penat, nak main teka-teki pula. Tak kuasa betullah.

“Mana ada. Tu cerita kat tv tu kelakarlah pula.” Dalih Siti Amirah. Senyumnya makin melebar.

“Tak payah nak melawak. Bila masa pula berita terkini jadi berita lawak pula? Baik cakap cepat.” Nak tipu pun agak-agaklah sikit. Berita pasal kemalangan, apa yang lawaknya? Sengal!

Hajah Asmah datang dengan membawa minuman sejuk di tangan. Gelas itu disuakan kepada anak daranya. Senyuman masih tetap setia menghiasi bibirnya. Dia melirik ke arah Siti Amirah yang tersengih-sengih. Siti Amirah juga memandang emaknya. Mereka sama-sama ketawa. Siti Fatimah tak jadi nak minum. Ini memang kes pelik. Apa mimpi pulalah dua beranak ni?

“Mak, kenapa ni? Dari tadi asyik senyum memanjang. Kak Teh pun sama.” Memang dia tak puas hati. Ayah mana? Kalau emak dan kakaknya tak nak bagitahu dia akan tanya ayah. Tapi kelibat lelaki itu tak nampak di mana-mana. Mesti ke kedai kopi.

“Siti dah sembahyang Asar ke? Pergi mandi dulu.” Siti Fatimah tak segera bangun. Selagi tak dapat tahu apa yang disorokkan daripadanya, dia tak akan berganjak. Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. SMS.

“Tahniah Siti. Diam-diam aje ye.” Satu persatu patah perkataan pesanan ringkas itu dibaca. Makin dia tak faham. Kenapa Kak Long bagi mesej begitu? Pandangannya kembali terarah kepada kakak dan emaknya. Masih lagi tersengih-sengih seperti tadi.

“Kenapa Kak Long bagi mesej macam ni? Baik cakap cepat. Apa yang dah berlaku sebenarnya?” Kenapa susah sangat nak cakap ni? Cakap sajalah.

“Pergi mandi dulu. Dah nak masuk maghrib ni.” Hajah Asmah masih lagi ingin berteka-teki. Siti Amirah hanya mendiamkan diri. Biarlah emak sahaja yang buka cerita.

“Tak nak selagi mak tak nak bagitahu.” Degil. Rasa penat tadi hilang serta-merta dek kerana rasa ingin tahunya. Badannya ditegakkan. Tak sampai seminit kemudian, telefonnya berbunyi lagi. Kali ini daripada Kak Chik. Ayat yang sama maksudnya macam mesej Kak Long. Makin dia pening. Semua orang dah kenapa?

“Eee....geramnya. Kenapa nak kena rahsia sangat ni? Kak Teh, baik cakap cepat!” Makin tak boleh nak sabar. Kak Teh jungkit bahu. Buat-buat tengok tv. Geramnya!

“Tak nak bagitahu sudahlah. Merajuk!” Kaki dihentak kuat dan terus masuk ke biliknya. Kalau tak memikirkan yang dirinya masih tak solat Asar, dia akan tetap duduk di situ sampai dia dapat jawapan. Tak apa, lepas ni dia akan paksa sampai dapat tahu rahsia itu.

“Kesian Teh tengok Siti tu mak. Kenapa mak tak nak cakap aje?” Tanya Siti Amirah setelah Siti Fatimah berlalu. Bukan dia tak nak cakap tapi perkara sebegitu biarlah orang tua yang sampaikan.

“Nantilah. Biar dia bertenang sikit. Dia tengah penat tu. Nanti tak pasal-pasal dia mengamuk. Kamu macam tak kenal adik kamu tu. Bukan main susah nak pujuk kalau dah merajuk.” Hajah Asmah mahu mencari masa yang sesuai.

Siti Fatimah mencapai tuala yang tersangkut di penyidai. Hatinya masih geram. Segera diatur langkah ke bilik air. Bermacam-macam andaian yang bermain di mindanya. Kenapa Kak Long dan Kak Chik ucap tahniah? Hari ini hari apa? Bukan hari jadinya. Bukan juga hari yang istimewa. Kenapa? Ish, tak boleh jadi. Cepat-cepat sabun yang memenuhi setiap inci tubuhnya dibilas. Mahu cepat siap dan mahu cepat-cepat tahu apa yang dirahsiakan oleh semua adik-beradiknya.

Usai solat Asar, Siti Fatimah terus mendapatkan emak dan kakaknya yang sedang sibuk di dapur menyediakan juadah makan malam. Dia akan paksa sehabis-habisnya. Biar terungkai semuanya. Biar syak wasangka dan andaian bukan-bukan hilang secepatnya dari minda. Tak suka dibelenggu dengan perkara yang tak sepatutnya.

“Mak, sekarang mak kena cakap juga. Kalau tak, Siti tak nak cakap dengan mak selama seminggu.” Ugut. Agak-agak berkesan tak? Tak bercakap sehari pun rasa macam nak mati, inikan pula tak bercakap selama seminggu. Dia cuma mengugut demi membongkarkan sebuah rahsia.

“Ish budak ni. Main ugut-ugut pula. Tak baik tau.” Celah Kak Teh. Siti Fatimah tak peduli. Dia tetap dengan pendiriannya. Tadi pun, selepas mandi, dia terima SMS yang sama lagi daripada Kak Ngah. Makin sakit jiwa.

“Duduk dulu. Bertenang.” Rasanya dia dah bersedia nak bagitahu. Pisau yang dipegang diletakkan ke bawah. Siti Fatimah hanya menurut perintah.

“Mak nak Siti dengar dulu. Bertenang dan berfikir dulu sebelum Siti cakap apa-apa.” Siti Fatimah dapat rasa ada debaran di dadanya. Kenapa? Emak pun nampak serius. Kak Teh juga walaupun masih ada senyuman di bibir wanita berbadan dua itu.

“Siti ingat tak Hajah Mariam?” Tanya Hajah Asmah.

“”Hajah Mariam?” Siti Fatimah terdiam seketika sebelum kepalanya dianggukkan.

“Kenapa dengan Hajah Mariam mak?” Terbayang wajah cantik milik wanita yang hampir sebaya dengan emaknya. Baik orangnya. Peramah. Dua minggu berkenalan pantas mencipta keserasian di antara mereka.

“Dia datang tadi. Dia datang dengan adiknya.” Sesekali Hajah Asmah mengerling ke arah anaknya yang seorang lagi.

“Habis tu, kenapa? Biarlah dia datang. Tak, apa kena-mengena Hajah Mariam dengan rahsia mak ni? Boleh tak berterus-terang aje?” Makin dia bercelaru. Apa kaitan pula Hajah Mariam? Kesabarannya terhad.

“Kau ni memang tak menyempat. Sabarlah. Tunggu mak cerita satu-persatu.” Sampuk Kak Teh. Dia geleng kepala. Elok sangatlah berkawan dengan dua anak lelakinya. Semuanya nak cepat saja.

“Dia datang ada hajat. Bukan hajat dia tapi hajat adik perempuan dia.” Hajah Asmah senyum. Dia tahu anaknya keliru.

“Hajat? Hajat apa? Nak ajak kita pergi umrah lagi? Siti on aje.” Kalau hajat yang satu itu memang dia sentiasa bersedia. Memang rindu nak ke sana lagi setelah pergi kali pertama.

“Bukanlah. Ke situ pula dia.”

“Habis tu?”

“Dia datang nak merisik Siti.” Terbongkar rahsia. Siti Fatimah terlopong. Tak berkelip dia memandang emak dan kakaknya. Merisik?

“Ish, apa mak cakap ni? Nak merisik Siti buat apa?” Tak naklah. Suka-suka hati nak merisik anak orang.

“Buat binilah. Takkan nak buat alat mainan pula.” Betullah budak ni. Ada ke tanya soalan macam tu.

“Tak naklah mak. Batang hidung pun tak kenal, nak kahwin. Suruhlah dia cari orang lain.” Siti Fatimah protes. Dia tak mahu kahwin dengan orang yang dia tak kenal. Seksa nanti. Macam mana kalau lelaki itu sebenarnya orang jahat? Penyamun ke, penagih dadah ke. Simpang malaikat empat puluh empat. Rela dia tak kahwin.

“Tunggu sini.” Hajah Asmah bingkas bangun dan menuju ke biliknya. Dia mahu ambil sesuatu.

“Kak Teh, kenapa tak cakap dari tadi? Sengajakan nak kenakan Siti?” Geram betul. Benda macam ni pun nak rahsiakan. Siti Amirah jelir lidah. Malas nak layan adiknya. Semuanya tak nak. Semuanya tak berkenan. Entah lelaki yang macam mana dia nak. Sekali kahwin dengan orang tua baru padan muka.

“Nah, tengok ni.” Sekeping gambar bertukar tangan. Siti Amirah menyibuk di belakang adiknya. Mahu juga tengok rupa bakal adik iparnya.

Siti Fatimah tak terkata apa saat gambar itu disuakan kepadanya. Lama dia pandang. Tak dia nafikan lelaki di dalam gambar itu hampir sempurna di mata seorang wanita. Matanya, keningnya, bibirnya, hidungnya, kulit bersihnya, memang kacak. Tapi kenapa hatinya tak rasa berdebar sepertimana debaran yang dirasa saat memandang lelaki yang dia jumpa di butik Bob?

“Kenapa lama sangat tenung tu? Dah berkenan ke?” Perli Siti Amirah. Tak dia nafikan lelaki di dalam gambar itu agak menarik.

“Ryzal namanya. Macam mana? Suka?” Soal Hajah Asmah. Dia harap sangat anaknya setuju. Dia memang dah berkenan dengan Ryzal. Ditambah pula dengan keluarganya yang baik.

“Nampak muka memanglah macam orang baik. Entah-entah, sebaliknya.” Dia suka? Entah. Kalau terdesak sangat, mungkin dia akan setuju. Tapi dia masih belum sampai ke tahap itu.

“Mak ayahnya orang baik. Dua-dua pun dah naik haji. Insya Allah, anaknya pun mesti baik sama macam mak ayahnya.” Sedaya boleh dia mahu yakinkan anaknya. Entah kenapa hatinya cukup kuat mengatakan lelaki di dalam gambar ini bakal jadi menantunya.

“Mak, iman tu tak dapat diwarisi. Mak tak ingat ke lagu Raihan tu? Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai.” Sempat lagi dia lagukan nasyid dari kumpulan Raihan. Bilalah agaknya dia nak jadi serius. Perkara penting macam ni pun masih lagi sempat main-main.

“Tapi mak yakin, Ryzal ni baik orangnya. Takkanlah Hajah Maria tu nak pinang Siti kalau anaknya tak baik.” Masih dalam usaha memujuk. Dah tak sabar rasanya dia nak telefon Hajah Mariam untuk bagitahu keputusan anaknya. Yang pasti, keputusan itu mesti positif.

“Manalah tahu, anak dia tu sebenarnya kaki perempuan. Sebab tu dia nak suruh anaknya kahwin cepat-cepat. Takkanlah muka hensem macam ni tak ada makwe. Mustahillah mak.” Masih lagi dengan curiganya. Sesekali matanya melirik pada gambar di tangan. Siapa lagi kacak? Lelaki di dalam gambar ini atau lelaki di butik Bob?

“Hish, ada pula ke situ. Takkanlah Hajah Maria nak buat macam tu. Tak baik cakap tuduh sembarangan.” Kenapalah susah sangat anaknya ini nak setuju.

“Apa kerja si Ryzal ni mak?” Tanya Kak Teh.

“Entah. Lupa pula mak nak tanya. Tapi suami Hajah Maria tu ada syarikat sendiri. Mungkin anaknya kerja dengan ayahnya kut.” Disebabkan terlalu teruja, dia lupa nak tanya banyak. Hanya sempat tanya nama.

“Orang kaya jugalah nampaknya ni. Untung siapa dapat kan mak?” Macam perli. Siti Fatimah jeling tajam ke arah kakaknya. Apa dia kisah? Kaya ke, kacak ke, semua tu bukan jaminan untuk hidup bahagia.

“Mak bukannya nak paksa. Tapi mak harap sangat Siti setuju sebab tak tahulah kenapa mak dapat rasa yang Ryzal akan jadi suami yang baik untuk Siti.” Pujuk Hajah Asmah. Dia tahu anaknya mesti rasa serba-salah.

Siti Fatimah diam. Kalau sebelum ini, emak dan kakak-kakaknya hanya perkenalkan lelaki kepadanya. Tapi hari ini, keluarga lelaki itu sendiri datang bertanya. Kiranya macam merisik khabarlah juga. Dia jadi serba-salah nak buat macam mana. Kalau dia tolak lagi kali ini, takut nanti jodoh dah tak sampai-sampai. Kalau dia terima, maknanya dia tempah masalah sendiri.

“Siti fikirlah dulu. Mak terima apa pun keputusan Siti. Tapi mak harap Siti tak akan kecewakan mak.”

Ini yang dia tak suka. Mak buat dia makin serba-salah.

>>

“Ryzal tak balik lagi ke?” Soal Datuk Haji Azizan. Waktu makan malam pun tak nampak anak lelakinya itu. Kali terakhir dia jumpa Ryzal sebelum makan tengahari di pejabat tadi.

“Macam awak tak kenal anak lelaki awak tu. Mana pernah dia balik awal. Kalau balik pun, sekejap aje. Lepas tu keluar balik. Dia buat rumah ni macam hotel.” Bebel Datin Hajah Maria. Sebab tu dia mahu cepat-cepat kahwinkan anaknya. Harap sangat yang Siti Fatimah Adrianna akan setuju dengan permintaannya.

“Macam mana urusan awak pagi tadi? Budak perempuan tu setuju?” Akhbar dibelek satu persatu. Isterinya ada memberitahunya semalam tentang perkara ini. Dia tak membantah. Dia tahu isterinya hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya.

“Bukan budak perempuanlah bang. Siti Fatimah namanya. Siti Fatimah Adrianna. Cantikkan nama dia? Orangnya pun cantik. Berkenan betul saya. Macam nak suruh si Ryzal tu nikah esok aje.” Bersemangat Datin Hajah Maria bercerita. Masih terbayang wajah manis milik Siti Fatimah. Dia yakin, Siti Fatimah dapat merubah anaknya.

“Awak tu semuanya pun cantik. Awak dah tanya Ryzal macam mana?”

“Macam mana nak tanya. Tuan badan tak balik lagi. Nantilah saya tanya dia.” Senyum tak lekang di bibirnya. Dia akan pastikan Ryzal akan setuju.

“Anak dara awak tu ke mana pula? Biasanya riuh saja suaranya.” Anak perempuan yang sudah menjadi tunangan orang tapi perangai masih sama macam sepuluh tahun dulu. Manja.

“Keluar dengan tunangnyalah. Melekat dua puluh empat jam. Rimas saya tengok. Dilarang nanti, merajuk pula.” Ini lagi seorang. Manja sangat. Marah tak boleh, tegur tak boleh. Pening kepalanya. Ikutkan hati nak saja dia kahwinkan mereka.

“Kalau macam tu, kita kahwinkan sekali dengan abangnya. Senang.”

“Hmmm...saya cadang pun memang nak buat macam tu. Kita pun tak pening kepala. Duit pun boleh jimat.” Bila difikir-fikir, macam tak sabar nak tunggu semuanya berlangsung. Lagi cepat lagi bagus.

>>

“Awak dah bagitahu Siti?” Haji Zailani menghirup kopi yang dibuat isterinya. Memang dah jadi kebiasaannya lepas pulang dari solat Isyak di masjid.

“Dah petang tadi. Tapi abang tahu ajelah Siti tu. Bukannya senang dia nak terima. Sebelum ni pun, dah berapa banyak dia tolak.” Luah Hajah Asmah. Sampai sekarang, anak daranya masih belum beri kata putus. Terima atau tolak. Dia pula jadi tak sabar.

“Belum jodoh dia lagi. Nak buat macam mana. Tunggu sajalah.” Haji Zailani lebih bersikap terbuka soal jodoh anak-anaknya. Baginya, semua itu kerja Tuhan.

“Saya bukan apa bang. Bukannya nak memaksa dia kahwin. Tapi saya kesian tengok dia. Umur dah dua puluh lapan tapi masih lagi tak ada suami, tak ada anak. Saya ni jadi tak senang duduk.” Hajah Asmah mengeluh perlahan. Walaupun kerap kali Siti Fatimah kata dia tak kisah hidup sendiri tapi hati keibuannya tak senang. Seboleh mungkin dia mahu anaknya itu berkahwin sementara hayatnya masih ada.

“Kita pun bukan makin muda. Entah esok lusa, dijemput Tuhan. Saya doa sangat yang saya dapat tengok Siti nikah.” Sambung Hajah Asmah. Kerap kali juga dia timbulkan hal itu di hadapan Siti Fatimah.

“Kita doakan saja yang terbaik buat dia.” Dia juga punya impian yang sama seperti isterinya tapi dia lebih senang berdiam diri. Menyerahkan segalanya kepada Tuhan.

“Saya harap sangat yang Siti akan terima lamaran ni. Saya takut, kalau dia tolak lagi kali ni, dia akan membujang selama-lamanya. Berkenan betul saya dengan Ryzal tu. Walaupun tak pernah jumpa tapi saya dapat rasa yang dia tu seorang yang baik. Keluarga pun orang baik-baik. Harap-harap Siti tak kecewakan saya kali ni.” Harapan yang menggunung. Dah tak tahu macam mana nak yakinkan anaknya supaya bersetuju dengan lamaran ini. Ikutkan hati, sekarang juga dia nak telefon Hajah Maria dan bagitahu yang anaknya sudah setuju dengan lamaran itu. Dia tak mahu tunggu lama-lama. Kalau boleh, bulan depan juga dia nak langsungkan pernikahan Siti.

“Siti, apa Siti buat kat sini?” Tegur Kak Teh. Siti Fatimah berdiri tegak tak berganjak. Dah lama dia berdiri di pintu dapur. Hajat di hati nak minum air tapi kakinya tak sempat nak melangkah ke dapur bila terdengar perbualan ayah dan emaknya. Satu persatu dia dengar. Luluh rasa hati. Seluruh badan rasa menggeletar.

“Tak ada apa-apa Kak Teh. Ingatkan nak minum air tapi tak jadilah. Sakit perut pula.” Siti Fatimah berlalu pergi. Cukuplah setakat itu dia dengar. Dia dah tak boleh nak fikir apa-apa. Antara kemahuan diri dan permintaan bersungguh-sungguh emaknya.

Siti Amirah memerhati tingkah adiknya. Macam ada yang tak kena. Ini mesti kes petang tadi. Tak apalah, nanti saja dia tanyakan.

Pintu bilik ditutup rapat. Punggung dihenyak ke katil. Bantal peluk dipeluk erat. Cuba memikirkan sesuatu yang lain tapi dia tak mampu. Kata-kata emaknya tadi terngiang di corong telinga. Macam mana ni? Dia tak nak kahwin dengan Ryzal. Dia tak kenal Ryzal. Tapi macam mana dia nak tolak permintaan emak yang ternyata ingin Ryzal jadi menantunya? Aduh, gawat!

>>

Matanya dah pedih menahan rasa mengantuk. Entah untuk kali yang keberapa dia tilik jam di dinding. Hampir mencecah ke pukul dua pagi. Masih tak ada tanda-tanda anaknya balik. Sudah dihantar pesanan ringkas menyuruh anak terunanya itu pulang awal sikit hari ini. Langsung tak diendah. Memang nak kena anaknya ini. Tak apa, kalau anaknya itu boleh buat sesuka hati, dia pun boleh. Kita tengok siapa yang lagi hebat.

Mata Datin Hajah Maria dah nak terpejam tapi pantas kembali celik saat telinganya menangkap deruan enjin kereta milik Ryzal. Pandai pun nak balik. Siaplah dia lepas ni.

“Awal kau balik Ryzal? Perli Datin Hajah Maria dan Ryzal seperti biasa tak menjawab. Bau rokok kuat menusuk hidungnya. Mesti dari pusat hiburan. Geramnya!

“Mama ada perkara penting nak bincang dengan kau. Duduk dulu.” Arah Datin Hajah Maria tapi masih tak diendah Ryzal. Kakinya dah melangkah ke tangga.

“Ryzal! Mama cakap duduk dulu.” Agak kuat. Ryzal kembali berpaling ke arah mamanya. Dia mendengus geram. Dia penat. Penat melayan perempuan-perempuan di kelab malam itu menari. Masih dapat dirasa liuk-lentuk tubuh mereka.

“Kenapa ni mama? Esok tak boleh cakap ke? Ryzal penatlah. Esok nak kerja.” Masih tak berganjak dari tempatnya.

“Oh, ingat pun esok nak kerja. Habis tu, hari dah nak subuh baru kau ingat nak balik tu kenapa?” Bebel mamanya. Ryzal terduduk di atas tangga. Dia benar-benar penat. Terpaksa pula dengar bebelan mamanya. Rimas!

“Ma, please. Kalau setakat mama nak membebel, Ryzal janji esok mama boleh bebel puas-puas. Tapi sekarang, tolong benarkan Ryzal naik. Ryzal penat sangat ni.” Rayu Ryzal. Tolonglah faham.

“Mama tak nak dengar janji kau. Mama dah buat keputusan. Mama nak kau kahwin.” Apa nak jadi pun jadilah. Ryzal kena ikut arahannya. Selama ini, dia saja yang mengikut kata anaknya.

“Apa mama mengarut malam-malam ni? Ryzal kan dah cakap, Ryzal tak sedia nak kahwin lagi. Lagipun, Nadia nak kahwin tak lama lagikan? Samalah juga tu. Mama akan dapat menantu juga.” Perkara yang paling dia tak nak dengar. Tahun depan cakap boleh tak?

“Mama tak kira. Kau setuju ke tak setuju, kau kena kahwin juga. Mama dah carikan calon.” Keputusan muktamad. Dia tak mahu dengar rayuan. Tak akan dilayan.

“Mama, apa ni? Mama sebenarnya dah mengantuk. Sebab tu cakap bukan-bukan. Apa kata kita naik atas, tidur. Esok kita cakap lagi ya?” Ryzal cuba pujuk mamanya. Tak payah susah-susah carikan calon untuknya. Pandai-pandailah dia cari sendiri.

“Mama serius. Mama dah pergi rumah budak perempuan tu tadi.” Ryzal makin pening. Dia pegang kepala. Dah kenapa dengan mamanya? Kenapa mama tak tanya dia dulu?

“Mama, kenapa mama buat keputusan sendiri? Kenapa tak tanya Ryzal dulu? Tak, Ryzal tak setuju. Mama tolong batalkan semua ini. Ryzal tak akan setuju.” Jangan harap dia akan setuju.

“Kenapa tak tanya Ryzal? Selama ni, pernah Ryzal tanya mama, tanya papa sebelum Ryzal buat keputusan? Pernah Ryzal endahkan segala nasihat mama, teguran papa? Selama ini mama dengan papa ikutkan apa saja kemahuan Ryzal. Sekarang, mama nak Ryzal ikut arahan mama dan papa.” Dadanya berombak geram. Dia tahu anaknya akan memberontak tapi dia terpaksa buat begini.

“Mama! Semua ni tak masuk akal. Sekarang ni bukan zaman dulu-dulu. Mana ada mak bapak aturkan perkahwinan anak-anak lagi.” Bentak Ryzal. Ini soal kehidupannya. Mana boleh mamanya tentukan.

“Mama tak nak dengar apa-apa. Apa yang mama tahu Ryzal Syahmi akan kahwin dengan Siti Fatimah.” Keputusan muktamad. Rayuan tak akan didengar.

“Mama!” Datin Hajah Maria tak nak dengar apa-apa lagi. Laju dia menghayun langkah mendaki tangga. Setitis demi setitis air mata yang ditahan mengalir. Tak pernah dia marah sampai begini. Dia tahu memang silap dirinya. Ryzal berani melawan cakapnya sebab dia yang didik Ryzal begitu. Nak ubah sekarang pun tak guna. Dah terlambat.

Ryzal tak puas hati. Sofa ditumbuk sekuat hati. Siti Fatimah! Perempuan kampung mana yang mama dah kutip untuk dijadikan calon isterinya? Tak, jawapannya tetap tak!

3 comments:

  1. akhirnya ad gak n3. hehe. ape la nasih si siti tu yer bile dah kawen ngnr ryzal. cpt2 smbg kak. xsbr nak tw nie. =)

    ReplyDelete
  2. ni msti nti die berbiras ngn mamat encem kt butik bob tu kn,,,,

    ReplyDelete