okes2..da kuar..sorry..lmbt sket mggu nih...hehe...enjoyzzzzzzzzz!!!!
Datin Hajah Maria kelihatan agak gelisah. Entah apa yang dia risaukan pun tak tahu. Macam nak pergi jumpa permaisuri raja lagaknya. Hajah Mariam geleng kepala. Mesti adiknya tak lena tidur semalam kerana memikirkan hal ini. Maria...Maria. Tak berubah-ubah perangai gementarnya itu.
“Apa yang kau takutkan sangat ni Maria? Cuba bawa bertenang sikit.” Hajah Mariam tenang memandu. Rumah yang mereka hendak pergi ini bukannya jauh sangat. Lagipun satu negeri. Daerah pun bersebelahan saja.
“First time Yam. Kau dah biasa. Anak kau semua dah kahwin.” Macam-macam yang bermain dalam kepala. Apa dia nak cakap?
“Kau ni pun, kita ni nak pergi jumpa orang. Bukannya nak jumpa singa. Kau jangan risaulah. Akukan ada. Lagipun Hajah Asmah tu baik orangnya. Aku kenallah dia tu. Tak adanya dia nak halau kau kalau kau salah cakap.” Hajah Mariam cuba menenangkan adiknya. Baru nak pergi berkenalan. Bukannya nak pergi merisik atau meminang.
“Aku bukannya apa Yam. Kau tahulah anak aku tu macam mana. Bukannya macam anak orang lain.” Itu sebenarnya yang dia risaukan. Sejak semalam dia fikirkan perkara itu. Betul ke langkah yang dia ambil ni? Tak rasa macam pentingkan diri sendiri ke?
“Kenapa? Si Ryzal tu tak ada hidung? Tak ada tangan?” Hajah Mariam tahu apa maksud adiknya.
“Bukan itu maksud aku. Ryzal tu liar budaknya. Sembahyang ke mana, tanggungjawab ke mana. Aku takut, budak perempuan tu terseksa nanti Yam. Kau pun cakap dia tu baik orangnya. Tak ken anti kita menyusahkan dia? Perangkap dia semata-mata nak ubah perangai Ryzal tu? Kalau Ryzal tu berubah jadi baik tak apalah juga. Kalau sebaliknya?” Kerisauan di hati terluah akhirnya. Dia tak mahu ada yang terluka disebabkan anaknya. Ryzal bukannya boleh ditegur lebih-lebih. Nasihatnya sendiri tak nak didengar, apatah lagi nasihat orang lain yang dia tak kenal.
“Maria, tak cuba tak tahu. Mana tahu, Ryzal berkenan dengan budak perempuan tu? Lagipun, budak perempuan ni cikgu. Rasanya dia tahu cara nak ajar anak teruna kesayangan kau tu.” Tambah Hajah Mariam. Kereta dibelok memasuki simpang. Sudah tak jauh. Cuma beberapa meter di hadapan.
“Hah, dah sampai pun. Jom.” Enjin kereta dimatikan. Pintu kereta dibuka. Adiknya masih di dalam.
“Eh, kenapa tak nak keluar? Jomlah, nanti lambat pula.” Hajah Mariam geleng kepala. Apalah yang si Maria ni takutkan sangat. Bukannya nak masuk rumah hantu. Rumah kat depan ni bukan main cantik lagi.
Lambat-lambat Datin Hajah Maria keluar. Rumah yang agak besar dihadapannya dipandang. Halaman rumahnya bersih. Pokok-pokok bunga tersusun cantik. Suka dia tengok.
“Assalamualaikum.” Seru Hajah Mariam. Tak lama kemudian, seruannya bersambut. Seorang wanita yang hampir sebaya dengannya muncul. Hajah Mariam menarik tangan adiknya mendekati pintu utama.
“Waalaikumussalam. Ya Allah, Hajah Yam. Mari masuk. Maaflah, dah tua-tua ni, mata pun tak berapa nak nampak.” Huluran tangan tetamu disambut mesra. Tubuh mereka bersatu. Lama betul tak jumpa. Perkenalan hampir setahun lepas membuatkan mereka jadi rapat.
“Samalah kita Kak Mah. Maaflah Yam datang tak bagitahu. Ini kenalkan, adik Yam. Maria.” Huluran tangan Datin Hajah Maria disambut. Sudah dia agak. Wajah mereka memang seiras.
“Apa khabar?” Tanya Hajah Asmah memulakan perbualan di antara mereka.
“Baik. Alhamdulillah.” Gementar di hati Datin Hajah Maria sedikit berkurang bila melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Hajah Asmah.
“Masuklah. Tak ada orang pun kat rumah. Anak-anak semua kerja. Cucu pun pergi sekolah.” Hajah Asmah mendahului tetamu-tetamunya masuk ke dalam rumah.
“Cantik rumah Kak Mah.” Puji Datin Hajah Maria. Susun atur perabotnya kemas. Bersih. Ada gambar keluarga yang tergantung di dinding. Lama Datin Hajah Maria pandang. Keluarga yang agak besar. Deretan cucu-cucu di dalam potret keluarga itu membuatkan Datin Hajah Maria mengandaikan yang hampir semua anak-anak Hajah Asmah sudah berumah tangga.
“Duduklah Yam, Maria. Akak ke dapur sekejap.” Hajah Asmah tak tunggu lama. Terus saja kakinya melangkah ke dapur. Tetamu yang datang perlu diraikan kerana tetamu datang bersama rezeki.
“Besar juga keluarga Kak Mah ni ya? Anak cucu pun dah berderet.” Satu persatu gambar yang tergantung di dinding diperhatikan. Gambar anak-anaknya lengkap berpakaian jubah konvokesnyen. Ada enam kesemuanya. Semua anaknya berjaya. Bertuahnya.
“Kalau tak silap, anaknya ada enam orang. Lima perempuan.” Hajah Mariam turut sama memerhati gambar-gambar yang tergantung. Sejuk hati melihat potret keluarga yang begitu sempurna. Mereka nampak sangat bahagia. Teringat anak-anak yang jauh di mata.
Datin Hajah Maria bangkit dari duduknya. Dia mendekat meja sederhana besar yang menempatkan beberapa keping gambar yang cantik berbingkai. Seronoknya dia tengok. Mesti meriah keluarga ini kalau semuanya anak-anak dan cucu-cucu berkumpul. Dia tak pernah rasakan semua itu. Anaknya cuma dua. Dua-dua pun tak berumah tangga lagi. Cucu jauh sekali.
Tangannya mencapai sekeping gambar yang berbingkai perak. Gambar seorang gadis yang manis tersenyum. Cantik. Sopan bertudung dan berbaju kurung. Adakah ini gadis yang dikatakan oleh kakaknya? Memang tak salah penilaian kakaknya. Dalam gambar pun dah boleh nampak sopan santunnya.
“Ini ke gadisnya Yam?” Gambar itu ditunjukkan kepada Hajah Mariam. Beberapa saat kemudian, Hajah Mariam senyum dan mengangguk. Inilah gadisnya.
“Cantik. Patutlah kau pun berkenan.” Puji Datin Hajah Maria. Ini belum tengok tuannya sendiri. Ikutkan hati, sekarang juga dia nak masuk meminang.
“Itu gambar anak bongsu akak. Cikgu.” Hajah Asmah datang dengan menatang dulang berisi minuman dan kuih-muih. Nasib baik dia ada buat kuih pagi tadi. Memang rezeki tetamunya.
“Cantik orangnya. Dah kahwin ke?” Sengaja Datin Hajah Maria bertanya walaupun dia sudah lebih daripada tahu. Kalau tak, tak adalah mereka datang ke sini hari ini.
“Belum lagi. Itulah yang akak peningkan sekarang ni. Umur dah nak masuk tiga puluh tapi masih lagi tak kahwin-kahwin.” Bukan nak membuka pekung di dada, tapi kerisauannya tak dapat disembunyikan. Senyuman Datin Hajah Maria dan kakaknya makin melebar. Nampaknya tak sia-sia mereka datang.
“Biasalah tu kak. Orang bekerja. Dah tak jadi hal kalau kahwin umur tiga puluh.” Balas Hajah Mariam. Dia memandang sekilas ke arah adiknya yang kelihatan makin selesa.
“Bagi dia biasalah. Kita ni sebagai orang tua, rasa juga risaunya. Jemput minum Yam, Maria.” Kedua-dua tetamu mengangguk. Haruman teh menusuk ke hidung. Kuih sagu berwarna merah itu juga nampak menyelerakan.
“Akak buat ke kuih ni?” Tanya Datin Hajah Maria sekadar mengambil hati. Rasanya dah tak sabar-sabar nak bertanyakan hal yang sebenar. Tujuan utama kedatangan mereka ke sini.
“Ya. Buat lagi untung. Anak-anak dengan cucu-cucu ramai kat rumah ni. Kalau nak beli, banyak pula. Baik buat saja.” Dia dah biasa sediakan makan minum. Dah berpuluh tahun dia buat semua itu. Bila tak buat, lain macam pula rasanya.
“Oh, siapa lagi yang tinggal dengan akak kat sini?” Makin rancak Datin Hajah Maria bertanya. Hajah Mariam hanya membiarkan.
“Anak akak yang kelima dengan yang bongsu tu. Yang nombor lima tu dah ada dua anak. Dah nak masuk yang ketiga pun. Ada dia orang, tak adalah sunyi sangat.” Walaupun kedua-dua cucunya itu agak lasak, tapi dia tak kisah. Lebih rela begitu daripada tinggal berdua saja dengan suaminya. Bosan.
“Abang Haji mana?” Giliran Hajah Mariam pula bertanya.
“Ke mana lagi kalau tak ke kebunnya. Tengahari baru balik.” Kebun mereka hanya terletak beberapa meter dari rumah. Suaminya Haji Zailani memang tak betah duduk tanpa buat apa-apa. Setiap hari mesti ke kebun.
“Rajin betul abang Haji tu.”
“Dah biasa. Lepas pencen, makinlah dia rajin ke kebun.” Ada baiknya juga. Bila tiba cuti sekolah, seronoklah cucu-cucu mereka. Macam-macam buah yang ada. Seharian duduk di kebun pun mereka sanggup. Atuk pun suka melayan. Elok benarlah.
“Anak akak yang bongsu tu belum ada yang punya ke?” Dia tak pandai nak berkias-kias. Datin Hajah Maria menjeling ke arah kakaknya. Kemudian berpaling semula kepada Hajah Asmah. Mengharapkan jawapan yang boleh melegakan hatinya.
“Entahlah Yam. Bila ditanya, katanya tak ada. Bila dikenalkan dengan mana-mana lelaki, tak nak terima pula. Tak faham betul orang muda zaman sekarang ni.” Hajah Asmah tak syak apa-apa. Biasalah kalau orang bertanya pasal anak-anak. Lagipun Hajah Mariam kenal dengan anaknya.
“Apa namanya kak?” Kakaknya tak pernah pula bagitahu.
“Siti Fatimah Adrianna.”
“Sedap namanya. Orangnya pun cantik. Bertuah siapa yang dapat.” Siti Fatimah Adrianna. Secantik orangnya.
“Kami semua panggil Siti aje. Adrianna tu, kakak-kakaknyalah yang letak. Moden sikit katanya. Akak ikutkan saja.” Sejak mula mengandung, dia dah berniat nak namakan anak yang bakal lahir itu dengan nama Siti Fatimah kalau perempuan. Sempena nama anak Rasulullah.
“Akak, rasanya eloklah kami ni berterus terang saja. Cakap banyak-banyak pun tak ada gunanya. Sudahlah kami datang ni mengejut. Menyusahkan akak saja.” Hajah Mariam mainakan peranannya. Dia tahu, adiknya memang dah tak sabar-sabar.
“Ish, tak adalah menyusahkan. Akak pun memang tak ada buat apa-apa masa macam ni. Apa halnya? Macam penting sangat aje bunyinya.” Apa hajat sebenar tetamunya ini?
“Kami datang ni ada hajat. Besar jugalah hajat kami ni.” Hajah Asmah menunggu patah kata seterusnya. Hajat besar?
“Adik saya ni sebenarnya dah berkenan dengan anak dara akak. Jadi, kami datang ni nak tanyalah kalau-kalau anak akak tu dah ada yang punya. Kalau tak ada, kami ni berhajatlah nak menyunting anak dara akak untuk anak teruna kami.” Terasa lega bebanan di dada. Datin Hajah Maria tak lekang dengan senyuman. Hajah Asmah masih lagi terkesima. Macam tak percaya.
“Maksud kamu, Siti Fatimah?” Adakah dia bermimpi? Anak daranya sedang dilamar orang.
“Yalah. Ke akak ada anak dara lain lagi?” Ketiga-ketiganya ketawa kecil.
“Akak tak tahu nak cakap apa. Tapi akak tak bolehlah nak pandai-pandai terima lamaran Yam dengan Maria ni. Akak kena juga tanya dengan Siti. Yalah, yang nak kahwinnya dia, bukan kita.” Walaupun dia pernah kata yang dia akan terima saja siapa-siapa yang masuk meminang, tapi tak sampai hati rasanya nak paksa anaknya dengan cara sebegini.
“Kami pun tak paksa kak. Apa-apa pun mesti kena tanya tuan punya badan juga. Insya Allah, kalau dah jodoh budak-budak tu, Alhamdulillah.” Tambah Datin Hajah Maria. Perkara macam ni tak boleh nak dipaksa-paksa. Banyak masalahnya nanti.
“Insya Allah. Akak harap pun macam tu juga. Dah lama sangat akak nak tengok anak bongsu akak tu naik pelamin. Harap kali ni dia tak menolak lagi.” Dia betul-betul berharap. Jika dilihat daripada ibunya, anak Maria mesti baik juga.
“Kalau macam tu, kami balik dululah kak. Dah lama benar kami kat sini. Ganggu akak saja.” Dah hampir ke pukul dua belas tengahari.
“Tak mengganggulah. Jemputlah datang lagi. Akak memang sentiasa ada kat rumah.” Lepas ni, tak berhenti senyumlah nampaknya. Hatinya gembira tak terkata. Anak daranya dah disunting orang.
“Oh ya. Terlupa pula. Ini gambar anak teruna saya. Mohd Ryzal Syahmi namanya.” Datin Hajah Marian mengeluarkan sekeping gambar daripada tas tangannya. Ini saja yang sempat dia capai pagi tadi. Dia curi-curi masuk ke bilik anaknya lepas anaknya itu keluar ke pejabat.
“Kacak orangnya. Insya Allah, akak cuba pujuk anak akak nanti. Apa-apa pun, terima kasih ya Maria, Yam.” Hajah Asmah sebak. Tak tahu nak kata apa. Rezeki yang dibawa oleh tetamunya memang sangat besar. Syukur Ya Allah.
“Kami balik dulu ya kak. Assalamualaikum.” Kedua-dua tetamu itu berlalu. Air mata yang bergenang sejak tadi menitis jua. Tak tahu macam mana nak gambarkan kegembiraan hatinya saat ini. Macam tak sabar-sabar nak tunggu Siti Fatimah balik kerja.
“Siapa tu Mah?” Tanya Haji Zailani yang baru pulang dari kebun. Dia hanya sempat tengok sekilas wajah tetamunya. Macam kenal tapi dia tak berapa pasti siapa.
“Hajah Mariam dengan adiknya.” Dahi Haji Zailani berkerut. Dia tak dapat nak ingat siapa yang disebut oleh isterinya.
“Kenapa mereka datang? Yang awak tersenyum-senyum dari tadi ni kenapa?” Pelik melihat isterinya yang tak henti-henti senyum. Apa berita baik yang diterima isterinya?
“Nantilah saya cerita. Abang pergi bersihkan badan dulu. Nanti nak ke surau. Saya nak masak.” Terkedek-kedek Hajah Asmah masuk ke dalam. Hajat di hati tu memang nak terus bercerita, tapi nanti dululah. Dapur masih belum berasap. Nanti anak-anak cucu balik dari sekolah. Kesian kalau mereka berlapar.
No comments:
Post a Comment