Ika melabuhkan duduknya di kerusi kosong. Suasana agak
lengang. Jam ditilik. Masih awal. Matanya melilau sekeliling. Terasa asing bila
duduk bersendirian. Di sudut sana, ada sebuah keluarga besar yang sedang
menjamu selera. Di sudut yang lain pula, sepasang kekasih sedang berbual mesra.
Pantas mindanya teringatkan seseorang. Apa khabar agaknya si dia di sana. Lama
benar tak bertemu.
Masin mulut Salihah. Faiz memang benar-benar terpaut
hati padanya. Bukan mudah untuk dia mengatakan ya. Bertahun lelaki itu mencuba.
Pelbagai cubaan dilakukan. Tapi hatinya keras. Memori lama buat dia cukup payah
untuk menerima cinta lelaki lain. Beberapa bulan sebelum pengajian mereka
berakhir barulah dia dapat membuka mulut dan menganggukkan kepala kepada lelaki
itu. Tapi itu semua dilakukan bukan dengan sepenuh hati. Dia cuma kasihan. Faiz
terlalu mengharap dan dia sudah tak sampai hati nak lihat lelaki itu bermasam
muka kerananya.
Ika tersedar tatkala pelanggan di sebelahnya menarik
kerusi. Jam ditilik sekali lagi. Sepuluh minit berlalu selepas waktu yang
dijanjikan. Matanya melilau sekeliling. Dahinya berkerut. Matanya tajam
memerhati ke satu sudut. Tak berkalih. Membuatkan seorang gadis yang duduk di
sudut itu serba salah. Macam orang nak cari gaduh saja.
Ika tak berganjak. Pandangannya tak berkelip. Tetap
tertancap pada gadis yang duduk di sudut itu. Tiada senyuman yang terukir.
Gadis itu makin tak kena duduk. Nak senyum tak kena, nak lawan mata balik pun
rasa tak kena. Mental ke minah tu? Nak gaduh dengan aku boleh aje.
Tapi sebentar. Macam pernah dilihat. Otaknya ligat
berfikir. Entah di mana dia pernah melihat minah mental yang dari tadi asyik
melihatnya tanpa berkelip. Dia hanya boleh ingat seseorang. Seseorang yang
sedang dinanti. Tapi takkanlah. Berbeza benar. Pelanduk dua serupa aje kut.
Ika bangun. Menapak menuju ke sudut sana. Matanya masih
lagi tak berganjak. Gadis tadi berpaling ke kiri dan kanan. Tak ada orang lain.
Hanya dia seorang sahaja di situ. Semakin dekat, semakin berkerut dahinya. Ika
menghentikan langkahnya betul-betul di hadapan gadis yang sudah semakin cuak
itu. Mukanya langsung tiada segaris senyuman.
Bulat mata gadis itu melihat Ika yang sudah berdiri di
hadapannya sambil bercekak pinggang. Dia segera bangun. Memandang wajah Ika tak
berkelip. Tangannya diangkat dan jarinya mencucuk muka Ika meminta kepastian.
“Tak salah orang kan?” Tanya si gadis yang masih dalam
kekeliruan.
Ika menjegilkan matanya. Kedua-dua tangannya diletakkan
pada wajah gadis itu dan menggeleng-gelengkannya.
“Ika!” Syarifah menjerit nyaring. Bergema ke seluruh
restoren menyebabkan pelanggan yang lain berpaling ke arah mereka. Bukan main
teruja lagi. Terus sahaja tubuh kurus Ika dipeluknya.
“Kau apa khabar? Aku rindu gila kat kau. Kenapa muka kau
lain benar? Kau buat pembedahan plastik ke?” Bertubi-tubi soalan dilemparkan
Syarifah.
“Kau gila? Berdosa tau tak buat pembedahan plastik kalau
semata-mata nak cantik. Tengok oranglah sikit.” Terjegil biji mata Ika. Kerusi
di hadapan sahabat baiknya ditarik seraya melabuhkan duduknya.
Mata Syarifah masih tak berkelip memandang kawan lamanya
itu. Memanglah masih ada rupa Ika yang dulu, tapi perbezaannya nampak sangat
ketara. Betul ke kawan dia ni tak buat pembedahan plastik?
“Habis tu, yang muka kau berubah sangat ni kenapa? Share lah dengan aku sikit.” Masih
dengan perangai lamanya.
“Mana ada apa-apa. Aku tak buat apa-apa pun. Bangun aje
dari tidur, terus muka aku berubah.” Ika menahan gelaknya. Syarifah sudah
berkerut dahi. Kemudian mendengus kasar.
“Kedekut punya kawan. Kau ingat ni zaman Cinderella ke?
Banyaklah kau punya cerita.” Bebel Syarifah geram. Tapi dia tidak nafikan
memang Ika bertambah cantik. Kulit mulus milik Ika buat hatinya cemburu. Tiada
lagi pendakap gigi dan tiada lagi cermin mata besar. Ika bukan lagi Betty La
Fea seperti dulu.
“Alah, nantilah aku cerita. Sekarang aku nak tuntut
janji. Kau cakap nak belanja aku kan. Aku nak makan makanan paling best dan
paling mahal kat sini. Cepatlah order.” Bulat mata si kawan. Kejam!
“Banyaklah kau punya mahal. Aku bagi kau air masak
dengan biskut kering aje. Yang lain kalau kau nak makan, kau bayar sendiri.”
Serius. Marah betul agaknya.
“Sampai hati kau.” Ika buat-buat kesian. Mata ditala ke
bawah. Mengharapkan belas ihsan si kawan di hadapan.
“Kau ni memanglah kan. Kalau bab buat muka kesian,
memang juara. Ok, kau nak makan apa? Kau orderlah apa-apa pun. Tapi kau jangan
order tuan kedai ni sudahlah. Aku tak cukup duit nak bayar.” Terburai ketawa
kedua-duanya.
>>
Hilang segala lenguh badannya saat tubuh kurus itu
direbahkan ke katil. Novel berbahasa inggeris dibawa ke dada. Mata dipejam
seketika. Ringan terasa kepala. Mata yang sedikit letih terasa selesa. Ika
berkira-kira. Cutinya hanya berbaki dua hari lagi sebelum dia memulakan tugas
sebagai seorang pensyarah. Kehidupannya pasti berubah selepas ini. Entah
bagaimana keadaannya nanti.
Novel tulisan Alexandra Potter itu dibelek satu persatu.
Sekadar mahu menghilangkan stres. Membaca adalah terapi yang terbaik untuknya
jika mahu menghilangkan stres. Dia akan terleka seketika. Tenggelam dalam dunia
khayalan si penulis. Terlupa pada masalah yang membelenggu.
“Tak tidur lagi?” Ika mengalih sedikit buku yang
menutupi mukanya. Terpacul wajah manis milik ibunya. Wanita cekal itu
menghampiri dirinya.
“Belum lagi bu. Awal lagi ni. Ibu tak mengantuk lagi
ke?” Ika mengerling sekilas ke arah jam di atas meja. Menghampiri jam sepuluh.
“Tak mengantuk pula. Tak apalah, malam ni aje ibu nak
tengok anak ibu ni. Esok kan ibu dah nak balik.” Puan Siti mengusap manja rambut
puterinya. Rindunya masih bersisa.
“Ala…kenapa cepat sangat nak balik. Tunggulah lagi
seminggu. Ika baru nak mula kerja minggu depan.” Rengek Ika manja. Kepala
dialih kedudukan. Peha ibunya menjadi mangsa.
“Aduh, beratnya. Oi makcik, awak tu dah besar.” Gurau Puan
Siti. Ika tak berkalih malah makin seronok pula dia. Siap tutup mata.
“Abah kamu tu dah bising. Ikutkan dia, dah lama dia nak
balik. Siapa nak jaga ayam itik dia tu. Kebun pun dah tumbuh lalang agaknya.”
Puan Siti mengeluh. Masak benar dengan minat suaminya yang satu itu. Sejak
bersara, makin menjadi-jadi. Macam-macam pokok yang ditanam di kebun belakang
rumah mereka. Tapi bagus juga. Jimat belanja, tak perlu beli sayur. Buah-buahan
pun banyak. Kalau kena musimnya, petik saja.
“Mesti dah banyak buah-buah kat kebun kan bu? Sedapnya.”
Terbayang betapa manisnya buah rambutan dan manggis yang ditanam abahnya. Dia
hanya sempat merasa sekali sewaktu pulang dulu.
“Hmm…tapi sekarang bukan musimnya lagi. Nanti, dah
musimnya Achik baliklah.” Dia pun sebenarnya sudah rindu dengan periuk
belanganya di kampung. Pokok-pokok bunga yang mekar di halaman rumah pasti
sudah merinduinya. Dia ada pesan pada Kak Yah di sebelah rumah supaya
tengok-tengokkan bunga-bunganya itu. Tapi lain orang, lain caranya.
“Dahlah. Lenguh kaki ibu ni. Ibu masuk tidur dulu. Abah
kamu dah lama tidur agaknya. Dah, Achik pun tidurlah. Nanti esok, ibu dah
sampai kampung baru kamu nak bangun.” Ika mengangkat kepalanya. Dia bersimpuh
di atas katil. Menghantar ibunya keluar dengan anggukan dan senyuman di bibir.
Kepala direbahkan semula ke bantal. Berkira-kira mahu
tidur. Buku yang tadinya masih di tangan sudah beralih tempat. Mata dipejam.
Hanya seketika sebelum dibuka semula apabila telefon bimbitnya berbunyi. Segera
dicapai.
‘Aku tetap nak
tahu jugak rahsia kecantikan kau.:p’
Ika geleng kepala. Memang tak berubah kawannya yang
seorang ini. Kepoh dan kecoh sentiasa. Butang balas ditekan.
‘Gudnite dear :p’
Pasti membebel tak henti Syarifah di sana. Entah rahsia
apa yang harus dia pecahkan. Semuanya kerja si Salihah. Gadis itu yang beria-ia
nak ubah penampilannya. Katanya, cara penampilannya dah ketinggalan lima puluh
tahun kebelakang. Disebabkan sedikit tercabar, dia terima nasihat Salihah.
Mula-mula tu memang dia tak selesa tapi lama-lama, makin terbiasa pula.
“Ika, aku ada benda nak bagi dekat kau ni.”
Tersengih-sengih Salihah menerpa ke arah Ika yang sedang khusyuk mencari
sesuatu di dalam almari. Hanya belakang badannya saja yang kelihatan. Entah apa
yang penting sangat yang dicarinya dalam almari sederhana besar berwarna putih
itu.
“Ika, tengoklah apa yang aku bawa untuk kau ni.” Ika
masih tekun di dalam almari. Buat si kawan curiga.
“Makcik, kau cari apa dalam almari tu? Ada kucing
beranak ke?” Mahu juga dia tahu apa yang menarik sangat di dalam sana
sehinggakan Ika langsung tak melayannya.
“Ni, aku cari buku nota aku. Aku rasa aku letak dalam
almari ni. Tapi tak jumpa pulak. Ada benda yang aku nak cari dalam tu.” Ika
mengeluarkan kepalanya. Dia mengeluh perlahan melepaskan penat setelah hampir
lima belas minit membenamkan kepalanya di dalam almari demi mencari sebuah buku
nota kecil yang entah di mana duduknya.
“Kau letak kat tempat lain kut?” Ika jungkit bahu. Sudah
tak tahu mana hendak mencari. Dia tak ingat mana dia letak. Itulah, tak
sistematik. Main campak saja.
“Hmm…esok ajelah kau cari. Ni, mari sini aku nak
tunjukkan sesuatu dekat kau.” Salihah masih bersemangat hendak menunjukkan
barang yang baru didapatinya sebentar tadi. Ika seakan tak berminat. Kepalanya
masih ligat berfikir di mana letaknya buku nota kecilnya.
“Ika, kau ingat tak bulan lepas aku ada suruh kau isi
satu borang?” Salihah mencapai beg sandangnya. Ada sesuatu di dalamnya.
“Isi borang apa?” Makin pening kepalanya. Entah, dia tak
dapat ingat. Buku nota kecil masih menjadi agenda utama dalam kepalanya.
“Alah…ada. Aku suruh kau isi aje borang tu. Time tu kau busy buat assignment. Tu
yang kau tak berapa ingat kut.” Salihah buat telahan sendiri.
“Hmm…maybe.
Kenapa pulak tiba-tiba kau tanya balik?” Apa-apa sajalah. Memang dia tak ingat
pun.
“I have something
for you. Berkat kau isi borang tu dengan ihklas.” Tercetus ketawa Salihah.
Dahi Ika tambah berkerut. Borang apa yang dia dah isi?
Salihah mengeluarkan sesuatu dari dalam beg sandangnya.
Satu kotak sederhana besar dan sehelai kertas berwarna putih biru. Kotak itu
digoyang-goyangkan di hadapan Ika. Makin ketara kerut di wajah si kawan.
“Nah, this is for
you.” Kotak beralih tangan. Bersama dengan kertas putih biru.
“Tapi kenapa tiba-tiba bagi aku benda ni? Apa sebenarnya
ni?” Ika membelek kotak biru muda di tangannya. Moisturizer, day cream, night cream, cleanser, serum. Ish, apa
benda semua ni?
“Ish kau ni Sal, aku bukannya pakai benda-benda ni
semua. Kau ambillah. Tak kuasa aku nak pakai.” Kotak biru itu diletakkan di
atas katil. Kertas yang terselit langsung tak dibaca. Tak berminat. Tak pernah
dia pakai benda begitu.
“Apa pulak aku. Ini hadiah yang kau dapat sebab jawapan
yang kau beri tu menarik minat juri. Sebagai ganjarannya, kau dapat rawatan
wajah secara percuma selama enam bulan dan set penjagaan ni. Kau ingat senang
ke orang nak dapat. Enam bulan tu. Bukan enam hari tau. Memang rugi kalau tak
cuba. Kau try lah Ika. Mana tahu
sesuai dengan kulit kau.” Cuba dipujuk kawan yang seorang ini. Bukan dia tak
tahu, memang Ika tak pakai sebarang produk kecantikan. Cukup sekadar cuci muka.
Malas katanya.
“Tak kuasa aku. Banyak lagi kerja yang aku nak kena
buat. Aku ni tak cantik Sal, buat macam mana pun tetap tak cantik. Kalau sental
dengan berus besi pun tak tentu lagi boleh hilang makhluk-makhluk kat muka aku
ni.” Ika beralih duduk. Dia mengeluh perlahan. Bukan kecewa tapi cuba untuk
menerima keadaan diri dengan sepenuhnya.
“Kau ni, belum cuba lagi dah mengalah. Kau pun pernah
cakapkan, kau tak pernah cuba apa-apa produk sebelum ni. Kau sendiri yang tak
berusaha. Cuba kali ini kau buat. Manalah tahu, boleh berubah.” Terus memujuk.
Tak kira, kali ini kawannya mesti setuju. Dia memang sengaja suruh Ika masuk
pertandingan itu setelah mengetahui hadiah yang menanti pemenangnya. Walaupun
tak menang tempat pertama, tak kisah sebab memang dia target nak dapatkan
hadiah yang kedua.
“Malaslah aku. Buat assignment
lagi bagus.” Ika menarik kerusi. Tangannya ligat membelek buku-buku yang
tersusun kemas. Masih berusaha mencari buku nota kecilnya. Tangan yang sebelah
lagi menongkat dagu. Dah tak tahu mana nak cari. Semua tempat tak ada.
“Kau memang. Langsung tak kesian kat aku. Penat aku
pergi hantar borang kau tu. Hari-hari pergi tengok nama pemenang. Penat tau.”
Salihah tarik muka. Tudung yang masih melekat di kepala ditanggal menampakkan
rambut lurus yang separas bahu.
“Kau gantilah tempat aku. Taklah rasa rugi sangat. Penat
pun berbaloi.” Acuh tak acuh Ika memberi cadangan. Pen yang terselit di jari
diketuk-ketuk ke atas meja. Fokusnya sedikit terganggu. Entah kenapa kali ini
pujukan Salihah sedikit berbekas di hatinya.
Terdengar dengusan Salihah yang sedikit panjang. Sakit
hati mungkin. Sabar sajalah kalau ada kawan yang susah dipujuk begini. Beg
sandangnya dicapai. Tudungnya dijinjit. Kakinya dihentak sedikit kuat tanda
protes. Kali ini Ika boleh terlepas. Esok lusa jangan harap. Kalau perlu dia
menipu pun dia sanggup. Tunggu sajalah nanti.
serius saya x paham citer ni...
ReplyDeletesila perbaiki gaya penulisan anda