lamanya xupdate blog..huhu..sorry kpd followers yg ternanti2 smbgan citer Tanya Sama Hati... so arini sy akan smbg citer syok sendiri nih..hekhek.. sbb esok maulidur rasul jd sy baik hati bg 3 bab terooosss..hehe..enjoy ur holiday gegelllzz..selamat mmbaca !!
Bab 10
Ika bangun dari kerusi yang sudah didudukinya selama
setengah jam tadi. Tangan kedua-duanya bertaut seraya sebaris senyuman lega
diukir. Hilang segala debaran yang dirasa sejak pagi tadi hinggakan nak sarapan
pun tak lalu.
“Tahniah Cik Zulaikha. Saya harap Cik Zulaikha dapat
memberi komitmen yang baik. Saya harap kita semua dapat menjadi rakan sekerja
yang bekerjasama.” Leretan senyuman ketuanya buat hati Ika tambah senang.
“InsyaAllah prof. Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk
memberikan yang terbaik.” Tautan tangan dileraikan. Ika menolak semula kerusi
ke arah meja. Profesor Jamila mengangguk senang.
Kaki diatur dengan semangat yang membara. Sesekali
kepalanya mengangguk sopan apabila berselisih dengan staf lain. Kakinya
terhenti di hadapan sebuah bilik sederhana besar yang tidak berpenghuni. Kunci dikeluarkan
dari tas tangannya dan disuakan ke arah tombol pintu. Pintu kayu berwarna
coklat gelap itu dikuak perlahan. Susun atur perabot di dalamnya diperhati.
Kemas dan minima.
Beg yang dijinjingnya sejak tadi diletakkan di atas
kerusi. Mejanya kosong. Hanya terdapat rak kecil untuk menyimpan dokumen keluar
masuk. Sebuah kcomputer juga turut tersedia. Ika melabuhkan duduknya. Hilang
segala keresahan. Dia tersenyum puas. Usahanya selama ini berhasil.
Telefon bimbit dicapai. Segera dicari nombor ibunya. Tak
sabar hendak berkongsi kegembiraan. Hatinya saat ini seakan melonjak. Kalau
dibelah dadanya pasti melompat segala isinya. Dia menunggu seketika. Tiada yang
menjawab. Dicuba sekali lagi.
“Assalamualaikum.” Ceria suara di hujung talian.
Senyuman Ika kian melebar.
“Waalaikumussalam ibu. Ibu sihat? Ibu ke mana tadi?”
“Tak ke manalah. Ibu baru selesai solat dhuha ni. Ibu sihat,
Alhamdulillah. Achik dekat mana ni?” Hari ini hari pertama anaknya masuk kerja.
Dia sentiasa ingat.
“Achik kat pejabatlah ibu. Hari ni kan hari pertama
Achik.” Jelas sekali kegembiraan dalam nada suaranya yang disusuli dengan
ketawa kecil.
“Ibu tahu. Itu yang ibu tanya. Boleh pula Achik telefon
ibu waktu macam ni.” Telekung putih masih tersarung di badannya. Tangan kiri
ligat membilang manik-manik tasbih. Sekilas dia memandang jam di dinding.
Hampir ke pukul sepuluh pagi.
“Achik baru je masuk ke pejabat ni. Belum ada kerja
lagi. Hari ni nak mengemas dulu. Bila dah ada jadual nanti, jangan harap nak
boleh duduk-duduk macam ni.” Boleh dibayangkan kesibukannya selepas ini. Dia
menyapu mejanya yang kelihatan sedikit berhabuk.
“Biasalah tu Achik. Namanya pun kerja. Mana ada kerja
yang tak sibuk. Ingat, kerja tu elok-elok. Jangan main-main. Kerja, kerja juga.
Yang abaikan kesihatan, solat tu yang paling penting.” Pesanan ibu yang tak
pernah berubah sejak dulu. Tapi dia tak jemu mendengar. Semuanya betul.
“Ya ibu. Achik ingat pesanan ibu. Ibu janganlah risau
sangat. Pandailah Achik jaga diri. Oklah ibu, Achik nak mengemas dulu. Malam
nanti Achik telefon balik. Kirim salam pada abah ya bu.” Salam kedua-duanya
bersambut. Talian diputuskan. Ika menarik nafas dalam. Dihembus perlahan.
Beberapa orang yang lalu lalang di hadapan seakan tidak perasan akan
kehadirannya. Mungkin kerana bilik ini sudah lama tak berpenghuni. Jadi mereka
ingat, tak ada orang di dalamnya. Ika bingkas bangun. Kerja kemas-mengemas
perlu dimulakan segera. Biar semuanya nampak kemas sebelum mula bekerja.
Rambut yang masih basah dibalut dengan tuala. Ika
bersila di atas katilnya. Baru satu hari kerja sudah rasa kepenatannya. Dia
mengurut perlahan lehernya. Mata terasa pedih. Ketukan di pintu hanya dijawab
lemah.
“Hai, baru satu hari kerja dah penat?” Perli kakak
sulungnya seraya melabuhkan duduk di sebelah adiknya.
“Penat sikit aje. Achik kemas bilik tu tadi. Tu yang
sakit badan. Anak-anak Along mana?” Tak dengar pula riuh rendah suara anak-anak
saudaranya. Kalau tak, bingit telinga ni. Ada sahaja yang nak dicelotehkan.
“Ikut abahnya pergi isi minyak kereta. Kejap lagi
baliklah tu.” Ika angguk. Patutlah senyap.
“Hmm…Achik, tak ada ke yang bujang-bujang kat tempat
kerja Achik tu?” Siti Aisyah cuba mengorek rahsia. Manalah tahu sudah ada yang
tertangkap dek mata.
“Ish Along ni. Ke situ pula. Manalah sempat nak tengok
semua tu. Baru aje kerja hari ni. Sempat tengok kerusi dengan meja aje tau.”
Tuala yang terbalut di kepala dileraikan. Semerbak bau syampu. Ika bangkit dari
katil. Tuala ungu disangkut di penyidai. Dia beralih pula ke meja solek. Sikat
berwarna biru muda dibawa ke rambut. Disisir rapi.
“Along Tanya je. Manalah tahu kut-kut ada yang
terserempak. Tak salah pun.” Meleret senyum si kakak. Payah betul adik dia yang
seorang ini kalau berbicara soal teman lelaki. Berahsia sangat.
“Malaslah nak fikir lagi Along. Baru aje nak mula kerja.
Banyak lagi yang nak kena fikir. Lagipun, Achik pun muda lagi kan. Nanti-nanti
ajelah.” Bedak talkum Johnson’s Baby disapu ke badannya. Memang tak boleh
berenggang dengan bedak ni.
“Muda apanya. Along dulu, umur macam ni dah kahwin tau
tak.” Selar si kakak. Siti Aisyah bingkas bangun apabila terdengar enjin kereta
memasuki parkir rumah. Ika hanya senyum.
“Dahlah. Jom kita makan. Abang Long pun dah balik.” Tak
sampai seminit, riuh rendah bunyi di dalam rumah. Hai, ini baru dua orang. Ika
geleng kepala sambil membetulkan bajunya sebelum keluar dari bilik. Nasib baik
ada kakaknya di sini. Kalau tidak, tak tahu dia nak duduk di mana.
Perut yang terasa sendat diusap perlahan. Jam ditilik.
Masih awal. Nak menonton tv di luar dia rasa kurang selesa. Ada rasa malu
dengan abang iparnya walaupun lelaki itu sedaya upaya untuk membuatkannya rasa
selesa. Kakaknya juga. Tapi dia lebih selesa jika bersendirian di bilik.
Biarlah mereka anak-beranak saja di luar sana.
Deringan telefon membantutkan niat Ika yang baru sahaja
mahu melangkah ke bilik air. Telefon bimbit yang sudah beberapa tahun digunakan
itu dicapai. Segaris senyuman terukir. Segera dijawab. Salamnya berbalas.
“Macam mana hari pertama kau? Ada jumpa mana-mana mamat
hensem tak?” Ceria suara Syarifah di hujung talian. Ika mendengus.
“Kau ni sama macam Along aku. Tak ada benda lain ke kau
nak tanya? Macam mana pejabat aku ke? Aku sihat ke tak? Dah makan ke belum.
Balik-balik itu jugak yang ditanya.” Bebel Ika. Dia menyandarkan badan di
kepala katil. Bantal kecil dipeluk.
“Yang tu aku tak payah tanya. Itu kau suruh pakwe kau
nanti tanya.” Jelas kedengaran ketawa Syarifah. Ika tumbuk bantal. Geram
sungguh dengan kawan dia ini. Tak habis-habis nak menyakat.
“Malaslah aku nak layan kau ni. Dahlah, aku mengantuk.
Esok nak kerja.” Merajuk. Ketawa Syarifah masih belum reda.
“Kau ni. Tak habis-habis nak merajuk. Ya lah. Aku tanya
kau ni. Kau sihat ke Ika? Kau dah makan?” Syarifah cuba menahan ketawanya
daripada terhambur sekali lagi. Merah mukanya menahan ketawa.
“Mengada-ngadalah kau ni Sya. Nasib baik kau jauh. Kalau
tak, memang dah kena dengan aku.” Geramnya masih bersisa. Kaki yang tadinya
lurus kini sudah bersila.
“Ika, aku call
kau ni sebab ada benda nak cakap.” Syarifah mula serius walaupun masih rasa
mahu ketawa.
“Hmm…apa dia? Kalau kau nak kenakan aku sekali lagi,
siap kau.” Ika bangun dari duduknya. Kakinya menghala ke arah almari pakaian.
Berkeriut pintu almari bila dibuka. Susunan baju kurung yang tergantung kemas
di dalamnya buat Ika rambang mata. Tak tahu mana satu yang mahu dipakai untuk
esok hari.
“Macam ni, hujung bulan ni ada reunion. Kau ikut sekali ya?” Ika tak jadi nak memilih baju.
Perkataan reunion buat dia sedikit
kaget. Dia membelakangkan almari.
“Reunion apa?” Pantas dia bertanya. Harap-harap bukan
seperti apa yang difikirkan.
“Ish kau ni. Reunion sekolah menengah kita dululah.
Macam banyak sangat sekolah yang kau pergi.” Buat-buat tanya pula. Itu saja
sekolah menengah yang mereka pernah pergi dari tingkatan satu sampai lima.
“Semua?” Dia pun tak tahu apa yang dia maksudkan dengan
semua. Tapi itu saja yang terpacul dari mulutnya.
“Apa yang semuanya? Yang terlibat ni semua yang pernah
belajar di sana dari tahun 1993 hingga 1998. Kita pun termasuk sekalilah tu.
Kau pergi tau. Dia orang tu dah lama benar tak jumpa dengan kau.” Dipujuk lagi
si kawan supaya bersetuju. Ini peluang terbaik untuk memperkenalkan Ika dengan
mana-mana lelaki yang datang nanti.
“Ish, tak naklah aku. Buat malu aje.” Dadanya bergetar.
Kepalanya ligat mencongak. Kalau dia pergi, pasti akan jumpa dengan kawan-kawan
lamanya. Dan seseorang itu juga termasuk sekali. Mampukah dia berhadapan dengan
keadaan itu?
“Sampai hati kau. Dia orang tu semua nak jumpa kau.
Tahun lepas dahlah kau tak sempat. Jenuh aku nak menjawab bila mereka tanya
fasal kau. Kau tak rindu kat dia orang ke?” Ika telan liur. Dia berpaling
semula ke arah susunan baju kurungnya. Semuanya nampak sama. Makin pening.
“Nantilah aku fikirkan dulu. Lagipun aku tak tahu lagi
program aku untuk hujung bulan ni. Manalah tahu tiba-tiba ada kerja. Nantilah
aku bagitahu kau balik ya?” Jawapan yang dirasakan paling selamat setakat ini.
Hatinya berat nak ke sana. Jumpa dengan budak-budak yang pernah mengata dan
mengejeknya dulu. Ish, kerja gila. Dia tak sanggup.
“Aku tak kira, kau mesti pergi jugak. Nanti aku tuliskan
nama kau. Oklah. Suami aku tu dah bising. Nanti aku call kau lagi. Bye.” Tak
sempat nak kata apa-apa. Ika ketap bibir. Masalah besar ni. Pintu almari
ditutup semula. Dah tak ada mood nak
gosok baju. Telefon bimbit digenggam erat. Terduduk dia di katil. Termenung
seketika. Laci meja solek direnung lama.
Di tangannya kini, sebuah buku nota lama dipegang kemas.
Muka surat kedua dari belakang dibelek. Ada sesuatu yang tercatat di situ.
Rahsia hatinya. Rahsia hati yang tak siapa yang tahu. Rahsia hati yang sehingga
kini tetap sama. Rahsia hati yang entah bila akan menjadi nyata. Mungkin rahsia
itu akan tetap jadi rahsia hatinya sampai bila-bila.
Hatinya sebak tiba-tiba. Buku nota kecil itu ditutup.
Disimpan semula ke tempat asalnya. Dia tahu itu semua adalah impian yang tak
mungkin akan jadi kenyataan. Ika memandang wajahnya di cermin. Pandangannya
tepat ke arah mukanya sendiri. Memang ianya telah berubah walaupun bukan
seratus peratus. Tapi itu tak menjanjikan apa-apa. Terbayang di matanya wajah
gadis belasan tahun yang bertudung putih. Nampak ketara perbezaan warna antara
tudung putih bersih dengan warna kulitnya.
Tak semena-mena air matanya mengalir. Bayangan wajah
gadis itu hilang. Hanya wajahnya sahaja yang nampak di mata. Bagai
terngiang-ngiang ejekan dan cemuhan budak-budak nakal yang tak jemu melemparkan
kata-kata menyakitkan hatinya. Bukan ianya tak berbekas di hati, tapi dia cuba
untuk menanamkan rasa sabar yang tinggi waktu itu. Dia bukan pelajar yang cukup
berani untuk melawan.
Kepala ditundukkan. Baru sekejap tadi senyuman menghiasi
bibirnya. Kini semuanya hilang dek kerana berita yang cukup buat dia rasa tak
senang. Haruskah dia mengikut kata Syarifah atau tetapkan pendirian? Runsing
kepalanya. Memang dia rindukan kawan-kawan lamanya tapi hatinya belum cukup
kuat untuk berada di kalangan mereka dan lebih tepat lagi, berada di kalangan
‘seseorang’ itu.
Bab 11
Entah berapa kali sudah dia menguap. Pedih mata. Kerja
yang tertayang di depan mata masih juga belum siap. Hilmi berpeluk tubuh
seketika. Mata dipejam rapat. Seminit kemudian dia berpaling ke belakang.
Wanita kesayangannya sedang lena dibuai mimpi indah. Kasihan wanita itu. Tidur
malamnya sering tak berteman sejak kebelakangan ini dek kerana tuntutan kerja
yang bagai tak pernah habis.
Kaki diatur perlahan menghampiri wanita kacukan
Cina-Australia itu. Kulit wajah putih mulus milik sang isteri diusap perlahan.
Seluruh kasih sayangnya tertumpah buat permaisuri hatinya ini. Kucupan hangat
hinggap di dahi isterinya. Tak sedikit pun berganjak. Pasti keletihan.
Wanita cekal ini betul-betul buat hatinya tertambat dan
tertawan. Dia juga tahu betapa dalamnya cinta wanita kacukan ini buat dirinya.
Jika tidak, masakan wanita ini sanggup meninggalkan keluarga yang dihormatinya
sekian lama hanya untuk bersama dengannya. Pengorbanan yang dia sendiri pun
belum tentu boleh lakukan.
Saat isterinya melafazkan dua kalimah syahadah dua tahun
lalu, waktu itulah hatinya benar-benar yakin yang inilah wanita yang telah
diciptakan untuknya. Tak akan ada wanita lain yang mampu mengetuk pintu
hatinya. Janjinya, tak akan pernah sekalipun dia mengecewakan dan membiarkan
isteri pujaannya ini hanyut. Kasih sayangnya begitu dalam.
Tangannya merayap ke bawah. Perut isterinya diusap
perlahan. Tak lama lagi kebahagiaan mereka akan lengkap. Kehadiran bayi comel
ini sentiasa dinantikan setiap hari. Kekecewaan lima bulan dahulu kini
terbalas. Jika lima bulan dahulu, hari-hari mereka dibaluti kedukaan kerana
kehilangan permata hati yang terlalu didamba setelah dua tahun perkahwinan.
Doanya mereka diperkenan. Kehadiran permata kedua ini buat mereka kembali
merasa bahagia.
“Sayang tak tidur lagi?” Jenny terjaga bila terasa
perutnya diusap. Wajah suaminya diintai dalam samar-samar cahaya. Mata sepetnya
digosok perlahan.
“Sorry. I rindukan
baby kita ni. Sayang tidurlah. I ada kerja lagi nak buat.” Sekali lagi dia
mengucup lembut dahi isterinya membuatkan wanita itu kembali memejamkan mata.
“Don’t sleep too
late, dear.” Sempat lagi berpesan pada si suami walaupun dalam keadaan mata
tertutup. Hilmi hanya senyum seraya melangkah ke meja kerjanya. Dia mahu
sambung sikit sahaja lagi.
Komputer riba ditatap dengan muka serius. Rutin harian
sebelum tidur, membaca email. Tiada apa yang penting sebelum matanya tertancap
pada satu email yang membuatkan diri segar seketika.
‘Reunion ex-SMSDM
batch 1993 – 1998.’
Hilmi ukir senyum. Tak mahu fikir panjang. Lama sungguh
dia tak bertemu dengan rakan-rakan sekolah menengah. Peluang yang ada jangan
dipersiakan. Bukan senang nak ada perjumpaan macam ni. Pasti seronok nanti.
Ikon balas ditekan. Segera memberi jawapan. Email dihantar. Hilmi bersandar di
kerusinya. Senyumannya masih di situ.
Terbayang wajah-wajah rakan-rakan sekolahnya. Paling
diingati sewaktu tahun terakhir dia di sekolah itu. Tahun yang banyak menyimpan
kenangan manis di antara mereka. Rapat seperti sebuah keluarga besar. Guru-guru
yang banyak membantu sehingga dia berjaya seperti sekarang. Semuanya terlalu
manis untuk dikenang.
Gelagat Razif yang suka menyakat perempuan, tak kira
siapa. Telatah nakal Zul dan Wadi yang suka benar buat kecoh. Pantang guru
masuk lambat sikit, ada saja idea mereka. Macam dah kalis kena denda dengan
cikgu. Si Aina yang ulat buku, Zamri yang selalu tidur dalam kelas sebab
malam-malam asyik meronda memastikan keselamatan asrama. Dia rindu semua itu.
Lebih-lebih lagi dengan badan pengawas sekolah yang mengajarnya erti kerja
sepasukan dan kepimpinan.
Kalaulah semuanya boleh diulang kembali. Hilmi geleng
kepala. Jauh sudah dia mengelamun. Mata yang tadinya mengantuk sudah sedikit
segar. Tapi tak boleh diikutkan sangat. Esok dia masih perlu bekerja. Komputer
riba ditutup. Meja kerjanya dikemas ala kadar. Lampu meja ditutup. Kelam
suasana. Hanya bertemankan cahaya lampu jalan yang samar-samar. Dia merebahkan
diri di sebelah isterinya. Mengucup pipi gebu itu buat kesekian kali sebelum
menutup rapat matanya. Kembali membayangkan kenangan manis yang pernah
dilaluinya.
>>
Beberapa rakan sekerja yang menyapa dibalas lembut oleh
Ika. Masih awal, tak ramai lagi yang datang. Pintu biliknya dikuak perlahan.
Seminggu berada di pusat pengajian ini buat dia tambah selesa. Jadual kuliahnya
juga tidaklah sepadat mana. Masih ada masa untuk melunaskan kerja peribadi.
Ika menilik jadual pengajarannya hari ini. Dia
berkira-kira. Masih ada satu jam lagi. Komputer riba dibuka. Air kotak Dutch Lady yang sempat dicapainya
sebelum keluar dari rumah tadi dikeluarkan dari beg. Cukuplah buat alas perut
sebelum masuk ke kelas sebentar lagi.
Ika menarik nafas seketika. Cuba bertenang sebelum
memulakan kerja. Kalau otak tenang, nak buat kerja pun happy sahaja. Getaran telefon bimbit membuatkan meditasi singkatnya
itu terganggu. Telefon yang sedia terletak di atas mejanya dicapai.
‘Ptg ni teman aku
p shopping k.’
Dahi Ika berkerut. Cuba menganalisa mesej yang baru
diterimanya. Arahan atau ajakan? Tapi kalau si Syarifah, semuanya seperti satu
arahan yang wajib dilaksanakan. Hai, entah macam mana dengan suaminya.
Jangan-jangan jadi pak turut. Nasiblah kau Anas. Anas a.k.a anak jepun. Siapa
sangka. Itulah, suka sangat bergaduh. Kan dah terjatuh cinta. Siap jadi suami
lagi. Dulu mengutuk, sekarang jatuh sayang. Siapa nak jawab?
Senyum Ika menguntum senyum mengenangkan kawan baiknya
yang seorang ini. Mulut saja yang laju, tapi hati baik. Penyayang. Mungkin sebab
tu kut si Anas boleh berkenan. Anas pun budak baik. Sepadan sangat mereka
berdua tu. Tapi yang hairan, entah bila mereka berdua tu terjatuh cinta. Nak
kata belajar di universiti yang sama pun tak. Seorang di utara, seorang di
selatan. Jauh benar. Hai, kalau dah jodoh tu, seorang di kutub utara dan
seorang di kutub selatan pun boleh bertemu.
‘InsyaAllah.’
“Ika, sarapan jom.” Terjegul wajah Kak Min, rakan
sekerjanya. Ika tak rasa terkejut sebab dah biasa. Hari-hari macam tu.
“Kak Min pergilah dulu. Saya ada kerja sikit nak buat.
Lagipun nanti ada kelas. Sorry ya?”
Kak Min kelihatan sedikit hampa. Kasihan tapi nak buat macam mana.
“Ok. Eh, ni yang tersengih-sengih ni kenapa? Dapat mesej
dari pakwelah tu.” Serkap Kak Min yang memang selalu ceria. Umur dah masuk tiga
puluhan pun masih lagi nampak macam anak dara.
“Ish akak ni. Mana ada. Akak pergilah sarapan dulu.
Kesian kat baby dalam perut tu. Lapar
dah tu.” Min mengusap perutnya yang sudah masuk tujuh bulan. Terpancar
kebahagiaan di wajahnya. Ini anak keduanya.
“Ok. Ika ada nak pesan apa-apa ke? Boleh Kak Min
belikan.” Ika menggelengkan kepala. Masih belum terasa ingin makan. Nantilah
dia sendiri yang ke sana. Tak sampai hati pula nak suruh ibu mengandung ini
yang belikan.
“Kak Min pergi dulu ya.” Daun pintu ditutup rapat.
Hilang wajah ibu muda itu dari pandangan.
Ika membuka komputer peribadinya. Sekadar mahu melihat
kembali apa yang akan diajarkannya dalam kelas nanti. Taklah nanti
terpinga-pinga kalau ditanya. Sepuluh minit berlalu dan rasanya dia sudah
bersedia. Lagipun mengajar budak-budak tahun pertama ni taklah susah sangat.
Semuanya perkara asas.
Air kotak yang dibawa tadi dibuka. Masih berbaki lima
belas minit sebelum kelas bermula. Biasanya lima minit sebelum kelas, memang
dia sudah terpacak di dalam kelas. Buat persediaan apa yang patut. Mungkin
semangat orang baru kut. Harap-harap berkekalan. Telefon berbunyi lagi.
‘Aku jemput kau
pukul lima nanti.’
Ika mengeluh perlahan. Kan dah cakap. Kalau si Syarifah,
memang semuanya arahan. Awas kalau tak dituruti. Mod telefon ditukar ke mod
senyap. Tak mahu ada gangguan waktu kuliah nanti. Barang-barang dimasukkan ke
dalam tas tangan. Beberapa biji buku yang berkaitan dibawa bersama. Manalah
tahu, tiba-tiba tersekat. Ada juga penyelamat.
>>
Jenny menyalami tangan suaminya. Hilmi menghulur
senyuman manis buat si isteri. Baru beberapa jam tidak bersua, hatinya sudah
dihambat rasa rindu. Wajah ayu milik Jenny atau nama Islamnya Nur Jannah sering
buat hatinya tak keruan. Dua tahun usia perkahwinan mereka seakan tidak terasa.
Bagai semalam baru mereka bersua dan dinikahkan.
Rambut lurus Jenny diusap perlahan. Jemarinya beralih
pula ke wajah mulus itu. Diusap perlahan. Mereka bertentangan mata. Seperti
pasangan muda yang sedang asyik dilamun cinta lagaknya.
“Sayang nak makan kat mana hari ni?” Gear dimasukkan.
Pedal minyak ditekan perlahan. Kemudian tangannya mencapai tangan halus isteri
dan digenggam erat.
“Up to you. I
tak kisah. You nak makan kat bulan pun I sanggup.” Sakat Jenny. Dia ketawa
kecil. Pantas Hilmi menghadiahkan cubitan manja di pipi isterinya. Itu yang
buat dia tambah sayang. Pandai betul ambil hati.
“Habis tu kalau I ajak sayang makan tengah laut pun
sayang sangguplah ni?” Giliran Hilmi pula menguji cinta isterinya. Tak perlu
beritahu pun dah tahu.
“You knew it,
sayang. Bukan setakat tengah lautan, dalam laut, atas gunung berapi, semua pun
I sanggup asalkan you ada dengan I.” Jemari halusnya mengusap lembut pipi si
suami yang sedang mengukir senyuman bahagia. Jemarinya kemudian dicapai Hilmi dan
dibawa ke bibir. Dikucup penuh kasih.
“I love you.”
“I love you too.”
Bahagia bila disayangi. Damai terasa.
Hilmi mengerling sekilas ke wajah permaisuri hatinya.
Bertuah sekali dapat memiliki cinta wanita ini. Tak pernah dia sesali walaupun
berkahwin pada usia yang muda. Sewaktu kawan-kawan lain masih lagi hidup bebas
sebagai orang bujang, dirinya sudah ada tanggungjawab. Besar sekali
tanggungjawabnya. Bukan setakat seorang suami, tapi yang paling berat
dirasakannya apabila dia harus membimbing isterinya yang baru sahaja memeluk
islam.
Mujur ada mama dan papanya yang banyak membantu. Tak
jemu memberi tunjuk ajar kepada menantu sulung mereka. Ditambah lagi dengan
keadaan isterinya yang masih lagi bersedih kerana dibuang keluarga kerana
memilih lelaki melayu sebagai suami. Walaupun kesedihan itu tak nampak tapi dia
tahu. Anak mana yang tak sedih dan terasa kehilangan apabila keluarga yang
dijadikan tempat berteduh dan menghirup manisnya kasih-sayang tiba-tiba
membuang hidup-hidup diri mereka.
“Ok, kita dah sampai. Jom sayang.” Enjin kereta
dimatikan. Pintu kereta dibuka. Seketika kemudian, mereka beriringan masuk ke
dalam restoren yang tampak cantik dan unik dengan hiasan ukiran kayu.
Hilmi menarik kerusi untuk isterinya. Bau haruman
masakan yang memenuhi ruang restoren buat perutnya tambah lapar. Tak sampai
seminit duduk, pelayan restoren sudah sampai dengan menu di tangan.
“Sayang, you orderlah apa-apa ya. I nak ke toilet
sekejap.” Hilmi bingkas bangkit dari kerusinya. Jenny mengangguk dan matanya
masih lagi setia pada menu yang ada di tangan. Entah apa yang dia mahu makan. Kalau
diikutkan hati, macam-macam yang mahu dimakan. Tapi bila dah ada di depan mata,
makannya sesuap dua saja. Hai, nasiblah. Mak mertuanya kata, biasalah tu,
pembawaan budak.
Makanan dipesan. Makin lama ditilik, makin tak tahu nak
makan apa. Hilmi masih belum keluar. Ramai orang mungkin. Jenny pandang
sekeliling. Anak matanya berhenti pada satu sudut. Kelihatan sebuah keluarga
yang sebangsa dengannya sedang khusyuk menjamah makanan. Sesekali anak gadisnya
ketawa bila diusik oleh bapanya. Si ibu pula sibuk melayan anak kecilnya.
Bahagianya mereka. Jenny terleka seketika. Tak sedar suaminya sudah duduk di
hadapan.
Hilmi tak segera menegur. Dia turut sama memandang ke
arah yang sama. Dia tahu apa yang bermain di fikiran wanita cekal di hadapannya
ini. Jemari runcing Jenny digenggam kemas. Cuba untuk senyum. Anak matanya
tepat memandang ke arah anak mata Jenny. Mata itu berkaca.
“Sorry, I tak
sedar you datang.” Segera dia mengalihkan pandangannya. Tak mahu Hilmi tahu
kesedihan di hatinya.
“You miss them?”
Sedetik, dua. Tiada jawapan yang diterima. Si isteri sudah tertunduk. Genggaman
tangan makin kemas. Kekuatan cuba disalurkan.
“So much.”
Seakan berbisik tapi masih jelas dipendengaran Hilmi. Wajahnya diangkat
sedikit. Air jernih itu sudah mula bertakung. Menunggu masa untuk tumpah.
“Hey, don’t cry.
I adakan.” Jenny cuba untuk senyum walaupun senyuman itu kelihatan sumbing. Air
matanya diseka. Dia sendiri pun tak mahu air jernih itu keluar. Sudah banyak
dia tumpahkan air mata sebelum ini. Tapi entah kenapa dia terasa rindu pada
keluarganya. Rindu hendak menatap dan memeluk kedua-duanya. Rindu untuk merasa
kebahagiaan seperti dulu.
“Kita pergi jumpa mereka, nak?” Hilmi cuba member
pendapat.
“No!” Sepantas
itu juga Jenny menghalang. Hilmi angkat kening. Cuba meminta alasan walaupun
dia tahu alasan yang sama juga akan diberikan.
“You pun tahukan kenapa? I tak sanggup nak tengok mereka
herdik you, marah you, halau you macam pengemis. I yang buat salah, you tak
perlu jadi mangsa.” Pelat cinanya masih kedengaran. Peristiwa dua tahun dulu
masih segar diingatannya. Teruk Hilmi kena herdik dengan orang tuanya. Dia tak
mahu kejadian yang sama berulang lagi. Sakit hatinya.
“Itu dulu sayang. Manalah tahu, sekarang hati mereka dah
lembut. Lebih-lebih lagi bila mereka tahu you dah pregnant. Ini pun cucu mereka juga kan?” Cuba dipujuk hati
isterinya. Memang dia masih ingat peristiwa dua tahun dulu sewaktu mereka baru
sahaja tiga hari menjadi suami isteri. Sudahlah perkahwinan mereka tak
direstui, dilempar pula kata-kata kesat yang merobek hati. Sejak itu, mereka
langsung tak datang menjenguk.
“Tak mungkin. Mereka daddy dan mummy I, I tahu perangai
mereka. Kalau dah benci tu, sampai bila-bila mereka akan benci. Tak payahlah
kita buang masa.” Hidangan yang dipesan sudah sampai. Perbualan mereka terhenti
seketika. Jenny memandang sepi hidangan yang tadinya buat liurnya kecur.
Sekarang, seleranya mati. Perbuatan daddy dan mummy buat hatinya sakit.
“Tapi sayang, tak salah mencuba kan?” Masih berusaha
untuk memujuk walaupun dia tahu hati isterinya ini memang keras.
“No. I don’t want.
Dahlah, malas I nak cakap pasal benda ni.” Jus mangga disedut. Sudu dan garfu
dicapai tapi seleranya memang tiada.
“Ok, kita makan ya. Kesian baby papa ni. Lapar ya? Mama, saya lapar. Mama makanlah cepat.”
Hilmi cuba melawak. Sekadar mahu memujuk isterinya untuk makan. Jenny senyum
segaris. Dia mengusap perutnya yang masih belum nampak.
“Orang mengandung
ni tak boleh stress, nanti effect kat baby dalam perut ni.” Terngiang-ngiang pesanan ibu mertuanya. Macam-macam nasihat yang
diberikan. Memang bersyukur dikuraniakan ibu mertua sebaik itu. Terubat sedikit
kelukaan di hatinya. Hilang ibu kandung, tapi masih ada ibu mertua yang
penyayang.
Bab 12
Ika membelek-belek baju yang tergantung di hadapannya.
Tiada minat nak membeli apa-apa. Dia cuma temankan Syarifah. Entah ke mana
sudah kawannya itu. Kalau dah membeli, memang laju. Tak ingat kawan. Ika
mengeluh perlahan. Kakinya sudah terasa lenguh walaupun baru satu kedai yang
mereka masuk. Mungkin kerana banyak sangat berjalan waktu kerja tadi. Banyak
yang perlu diselesaikan.
“Ika, kau tak beli apa-apa ke? Tema reunion kita tu
merah putih tau. Kau dah ada baju ke?” Matanya masih tertarik kepada baju-baju
yang bergantungan. Di tangannya sudah ada beberapa pasang baju merah dan putih,
tapi masih tak puas hati.
“Aku tak cakap pun aku nak pergi.” Tangan Syarifah
berhenti membelek baju-baju. Tepat dia memandang wajah Ika yang kelihatan
selamba.
“Siapa cakap kau tak payah pergi. Wajib pergi kau tahu
tak?” Matanya bulat. Satu arahan. Bukan lagi pelawaan.
“Aku malaslah Sya. Banyak kerja lagi yang aku kena buat.
Lagipun aku tak suka keluar malam. Ya lah, nanti apa pula kakak dengan abang
ipar aku kata.” Cuba mencari alasan walaupun sedikit tidak sesuai. Apa-apa
sajalah, asalkan ada alasan.
“Tak ada maknanya kerja kau tu. Orang lain pun kerja
juga. Aku pun kerja juga. Kita ni kalau kerja tak ingat dunia luar pun tak
boleh juga tau. Tak sampai dua bulan kerja, tak fasal-fasal jadi penghuni
hospital gila. Dah ramai orang yang jadi macam tu tau. Kalau kes kakak dengan
abang ipar kau tu, tak payah risau. Aku kan ada. Takkanlah dia orang tu nak
halang. Kau bukannya pergi disko. Kau ni pun agak-agaklah kalau nak bagi alasan
pun.”
Berdesing telinga Ika mendengar bebelan panjang si
Syarifah. Memang payah kalau bercakap dengan orang otak ligat ni. Ada sahaja
yang nak dibangkangnya. Dia mengeluh perlahan. Makin tak ada mood nak membeli. Sudahlah penat, kena
paksa pula tu.
“Kau lama lagi ke Sya?” Jelas kelihatan garis kebosanan
di wajah Ika. Baju-baju yang dibelek, semuanya tak berkenan di mata. Rimas
dengan pelanggan yang semakin ramai.
“Sekejaplah. Aku tengah pilih ni. Takkan kau tak
berkenan satu pun Ika?” Entah berapa helai baju yang dia hendak cuba. Semuanya
menarik perhatian.
Ika tarik keluar sehelai baju. Dipadankan ke badannya
yang kurus. Blaus berbunga merah itu kelihatan manis sekali. Ika menghadap
cermin. Cantik.
“Cantikkan baju tu. I pun berkenan. Boleh I tengok
sekejap?” Belum pun sempat Ika menghulur, wanita itu terlebih dahulu
‘merampasnya’ dari tangan Ika. Tergamam dia seketika. Ada juga orang macam ni.
“Hmm…memang cantik. Cantik tak?” Wanita separuh usia
siap bergaya ala model lagi. Melopong Ika memandangnya.
“Ha…cantik.” Acuh tak acuh dia menjawab. Macam nak lari
pun ada. Betul ke tak betul mak cik ni?
“Eh, you nak beli ke baju ni?” Masih tak puas bergaya
dengan baju yang dirampasnya tadi. Sesekali tubuhnya dipusing ke kiri dan ke
kanan. Ika menggeleng. Kalau dia nak beli pun, mak cik tu nak bagi balik ke
baju yang dia dah berkenan habis tu?
“Baguslah. Bolehlah I beli.” Sekelip mata, mak cik yang
boleh dikatakan bergaya itu hilang ke dalam bilik persalinan. Ika tak tahu nak
kata apa. Pantas dia berpusing ke belakang.
“Ish, kau ni Sya. Terperanjat aku.” Nasib baik tak
menjerit. Pusing ke belakang, terpacak Syarifah di hadapannya. Nasib baik tak
tercium.
“Apahal tu?” Syarifah nampak apa yang berlaku tadi tapi
dia tak pasti pula sama ada tekaannya betul atau tidak.
“Entah, aku pun pelik. Tiba-tiba saja dia tegur aku,
kemudian terus ambil baju yang aku tengah pilih. Entahlah Sya, malas nak fikir.
Biarlah, dia nak sangat.” Ika malas nak ambil pusing. Sikap yang tak pernah
hilang sejak dari dulu. Tak pernah nak ambil kisah. Biar saja orang buat apa
pun kepada dia.
Syarifah tekup mulutnya. Menahan ketawa daripada
terhambur keluar. Tak cukup satu tangan, dua-dua tangan naik ke mulutnya. Ika
jadi hairan. Apa yang kelakar sangat tu. Dia berpaling ke arah yang sama. Bulat
matanya. Patutlah si Syarifah ni nak ketawa pun.
“Ish, baju ni memang saiz macam ni ya?” Ika cuba menahan
ketawanya. Bergetar bibirnya. Dia geleng kepala seraya menjungkitkan bahunya.
Mulutnya terkunci rapat. Takut nanti, bukan kata-kata yang keluar, tapi ketawa
yang terhambur dahulu.
Wanita itu cuba menarik baju yang baru dicubanya itu ke
bawah sedikit. Jelas kelihatan setiap lekuk yang ada di tubuh gempalnya. Baju
yang sepatutnya labuh hingga ke bahagian pinggul itu hanya cukup untuk menutup
bahagian pinggangnya. Habis terdedah semuanya. Mak cik ni tengah buat rancangan
lawak ke apa?
“Maaf puan. Baju ini memang saiz kecil sahaja yang ada.
Rasanya kurang sesuai dengan puan. Apa kata puan pilih baju lain?” Jurujual
berbangsa cina itu cuba memberi pendapat tapi wanita itu masih kurang berpuas
hati. Dicuba juga untuk membetulkan baju yang sudah sedia betul itu. Berkali-kali
dia membelek penampilannya di cermin. Berkerut mukanya. Memang tak puas hati
agaknya.
“Baik kita lari cepat.” Ika tarik tangan Syarifah. Mahu
segera keluar dari kedai itu. Syarifah tak banyak cakap. Terus mengikut langkah
Ika. Tangannya masih tak berubah tempat. Tunggulah sampai di luar kedai nanti.
Syarifah tak dapat nak tahan lagi. Terhambur juga
ketawanya. Beberapa orang yang lalu lalang berpaling ke arah mereka. Entah apa
yang lucu sangat.
“Entah dari planet mana mak cik tu. Dia tak perasan ke
baju tu memang kecil? Cuba dia bayangkan badan kau yang sekeping ni dengan
badan dia yang macam tong gas tu? Ada ke sesuai? Tolonglah.” Syarifah cuba
untuk menahan ketawanya daripada terus berpanjangan. Usahanya gagal.
“Dia tak perasan kut yang badan dia dengan badan aku
berlainan saiz.” Ketawa Syarifah kedengaran lagi. Ika geleng kepala. Beberapa
orang pengunjung hanya memerhati gelagat mereka.
Kedua-dua melangkah masuk ke sebuah lagi kedai pakaian.
Suasana juga agak sama seperti tadi. Tak ramai pelanggan. Senang nak pilih
baju. Syarifah sudah maju ke depan meninggalkan Ika yang masih setia menjadi
pengikutnya. Ika beralih ke bahagian tepi kedai. Deretan blaus berbunga
pelbagai warna menarik perhatiannya. Ditarik sehelai keluar.
“Hmm…sesuai sangat dengan cik baju ni. Laris tau baju ni
cik.” Entah bila jurujual itu berada di sebelahnya. Nasib baik tak terlepas
baju dari tangannya.
“Kalau yang pink
ni sesuai dengan cik. Nampak comel aje. Biru ni pun cantik.” Gadis muda itu
mula mengeluarkan satu persatu baju yang tergantung cantik. Ika serba-salah.
Dia tiada niat pun nak membeli. Cuma mahu melihat saja. Hai, memang sesuai
sangat jadi jurual budak seorang ni. Mulut macam bertih jagung.
“Cik pergilah cuba. Fitting
room ada di hujung sana.” Dua helai baju dihulurkan kepada Ika yang masih kebingungan.
Dua helai blaus sudah berada di tangannya.
“Eh dik. Akak cuma tengok saja. Bukan nak beli pun. Tak
apa, adik simpan balik ya baju ni.” Baju-baju tadi beralih tangan. Giliran
gadis itu pula yang melopong. Cepat-cepat Ika lari meninggalkan gadis itu.
Matanya liar mencari kelibat Syarifah.
“Sya, lama lagi ke?” Ika mengeluh lagi. Entah untuk kali
yang ke berapa.
“Sekejaplah. Kau tu, kenapa tak pilih lagi?”
“Tak naklah aku. Aku kan dah cakap, aku tak boleh
pergi.” Masih dengan pendiriannya. Dia masih belum bersedia untuk bertemu
dengan rakan-rakan lamanya. Memang tak bersedia.
“Kau jangan nak mengada-ngada. Kalau kau tak pergi, kau
bukan kawan aku. Malas aku nak ambil tahu pasal kau lagi lepas ni.” Tak ada
cara lain nak memaksa kawannya yang seorang ini. Dia tak mahu dengar sebarang
alasan. Apa pun, Ika mesti pergi.
“Sya…” Syarifah geleng kepala. Keputusannya muktamad.
Sekali lagi dengusan kedengaran.
“Dik, tolong pilihkan baju untuk kakak ni. Warna merah dan
putih. Ika, kau pergi ikut adik tu. Cepat!” Seperti lembu yang dicucuk hidung.
Ika menurut tanpa sebarang bantahan lagi walaupun bukan dengan sepenuh hatinya.
Menang juga akhirnya gadis tadi.
“Akak nak baju yang macam mana? Lengan pendek, lengan
panjang? Baju yang labuh, atau blaus? Corak atau polos?” Banyak pula soalnya.
Satu pun tak dijawab Ika.
“Atau akak nak baju tadi? Warna merah dan putih memang
ada. Bunganya merah, dan latarnya putih. Memang cantik sangat kalau akak yang
pakai.” Masih tak ada jawapan. Gadis itu hanya senyum. Tak cepat mengalah. Baju
yang dimaksudkannya tadi dikeluarkan. Dilayangkan di hadapan Ika. Tiada
perasaan.
“Akak, yang ni boleh?” Masih tiada jawapan. Ika tak
berganjak.
“Akak…Kak!” Sedikit kuat suaranya mengejutkan Ika yang
seolah-olah di dunia lain. Dia mencari-cari wajah gadis manis itu. Senyuman
paksa dilemparkan. Sekadar menutup malu sendiri. Sempat lain fikirkan benda
lain. Entah apa yang ada dalam kepalanya pun tak tahu.
“Boleh.” Blaus labuh separas pinggul itu dicapai dan
terus sahaja kakinya melangkah ke bilik persalinan. Malu dengan si penjual.
Tengah-tengah beli baju pun boleh berangan. Hai, entah apa yang mengganggu fikirannya.
Si dia lagikah?
“Hah, cantik pun. Dah, tak payah nak fikir-fikir lagi.
Yang ini memang sesuai sangat dengan kau. Pergi tukar cepat. Lepas ni boleh
pergi makan.” Ika melihat penampilannya dalam blaus baru itu. Dia juga malas
nak fikir banyak. Ini pun sebab kena paksa. Dia pandang sekilas ke arah gadis
tadi yang berdiri di sebelah Syarifah. Gadis itu senyum mengangguk, mengiyakan
pujian Syarifah.
“Thanks.” Ika
menyambut beg plastik berisi baju yang dibayar oleh Syarifah. Hai, untung
sungguh ada kawan baik hati ni.
“Tak ada hal lah. Asalkan kau pergi reunion tu nanti.” Ika senyum dalam paksa. Memang terpaksa.
“Kita minum dululah Ika. Penatlah.” Laju langkah
Syarifah menapak ke dalam restoren makanan segera itu. Ika seperti biasa,
menjadi pengikut yang amat setia.
“Eh, kejap. Tu bukan mak cik tadi ke?” Langkahnya
terhenti. Seorang wanita yang sedang menikmati juadahnya menarik perhatian.
Bukan main lagi dia makan burger. Tak toleh kiri kanan. Buka mulut macam nak
telan sebiji burger. Ish, buruk perangai betul.
“Mana?” Ika masih tak perasan. Ligat bebola matanya
mencari.
“Ish kau ni. Tu, yang duduk belakang lelaki baju merah
tu.” Panjang muncung Syarifah menghala ke arah wanita yang dimaksudkan.
“Ah, biarlah dia. Bukan kita nak suruh dia belanja pun.
Kau nak makan ke tak nak ni? Aku dah lapar gila ni.” Ika mencari-cari tempat
kosong. Sudah lenguh kakinya setelah hampir dua jam menemani minah yang seorang
ini memilih baju. Malam ni balik confirm
tidur mati. Nasib baik esok hari jumaat.
“Ish, tak nak aku. Nanti, tak pasal-pasal kejadian yang
sama berulang kembali. Kita pergi tempat lainlah. Aku tengok dia makan pun dah
naik seram.” Cepat-cepat Syarifah menarik tangan Ika. Baru saja nak melabuhkan
duduknya. Mahu, tak mahu terpaksalah diikutkan juga.
“Tak baiklah kau ni.” Syarifah hanya tersengih. Ah,
lantaklah. Tak kuasa nak melayan orang psycho
macam tu.
ika mesti kene pergi reunion tu...tunjuk ckit kat org2 yg selalu ejek dye tu, bia tersembol biji mate.. ika yg sekarng da cntik...hahaha...wah, emo terlebih pulak da
ReplyDelete