Bunyi nyaring mesin pemotong rumput di halaman rumah
langsung tidak menjadi penghalang buat Ika untuk mengulit lenanya. Langsung tak
terusik. Ketukan pintu bilik juga langsung tak didengarnya. Entah apa mimpinya
hinggakan semua itu tak diendahkan.
Pintu bilik dikuak perlahan. Puan Siti menggeleng
kepala. Tak berubah. Kalau dah tidur, tak ingat hari siang ke malam. Kalau
gempa bumi pun garenti tak sedar. Sebentar kemudian, dia mengulum senyum.
Biarkan sajalah. Pintu bilik ditutup kembali. Tak berniat nak mengganggu tidur
anak gadisnya.
“Achik tak bangun lagi ke?” Soal Haji Khalid yang baru
masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Dia melabuhkan duduknya di atas
kerusi. Air teh yang sudah sedia dituang, dihirup perlahan.
“Biarlah dia tidur bang. Penat agaknya. Nanti dia dah
puas tidur, bangunlah tu.” Karipap panas yang baru digoreng tadi dihulurkan
kepada suaminya. Lelaki itu tak berkata apa. Hanya diam sambil tangannya
menyapu peluh yang membasahi dahinya.
“Cepat abang balik hari ni? Tak ada kerja ke kat kebun
tu?” Air di dalam cawan dihirup perlahan. Biasanya, kalau matahari tak tegak
atas kepala tak akan nampak batang hidung.
“Panas sangatlah hari ni. Lepas bakar sampah tadi, saya
terus balik.” Terik mentari terasa membakar kulit tuanya.
“Eloklah tu. Kita ni dah tua, buat sekadar termampu
ajelah. Nak paksa-paksa sangat, nanti lain pulak jadinya. Abang makanlah. Saya
nak pergi siapkan makan tengahari.” Puan Siti bangun dari duduknya menuju ke
peti sejuk. Mengeluarkan ikan yang dibeli dua hari lepas. Ikan cencaru.
Kegemaran anak gadisnya.
Kalau dipanggang, memang tak cukup satu ekor. Suka sangat
dia makan. Ikan dibawa ke sinki. Dia kembali semula ke peti sejuk. Seketika
kemudian pintu berwarna hijau itu ditutup rapat. Sayur-sayuran dibawa ke meja.
“Along dengan Angah tak cakap nak balik ke?”
“Entah. Tak ada pula dia orang tu cakap apa-apa bang.
Sibuklah tu agaknya. Achik cakap, Along sekolah hari ni. Tu yang tak dapat
balik tu. Tak apalah, nanti baliklah dia orang tu.” Haji Khalid mengangguk.
Bukan apa, rasanya lama mereka sekeluarga tak makan sekali. Kalau semua ada kan
bagus. Rindu pula pada cucu-cucunya.
Ika menggeliat kecil. Kepalanya terasa pening. Pancaran
cahaya matahari melalui tingkap biliknya membuatkan matanya tak dapat dibuka
dengan sempurna. Pasti ibunya yang bukakan tingkap. Perlahan-lahan matanya
dibuka. Badannya diangkat perlahan. Dia termenung seketika di tepi katil.
Jam dinding diperhati. Sekilas. Salah satu jarumnya
menghala ke nombor tujuh. Masih awal fikirnya. Sekejap, jarum yang satu lagi?
Pantas kepalanya dipusingkan kembali ke arah jam di dinding. Matanya digosok.
“Ya Allah…” Bingkas dia bangun. Tuala dicapai. Pintu
bilik ditarik kuat. Laju dia menghala ke dapur.
“Kenapa tak kejutkan Achik?” Dia tercegat di pintu dapur
sambil menggalas tuala di bahunya. Muka tak payah nak cakaplah. Serupa ikan
kering.
“Hmm…habis kamu tu yang tidur tak ingat dunia. Malaslah
ibu nak kejutkan. Kesian pulak tengok. Macam orang tak pernah tidur.” Puan Siti
geleng kepala. Dia meneruskan kerjanya. Haji Khalid hanya mendengar.
“Kamu ada nak ke mana-mana ke? Kalut semacam je ibu
tengok.” Ika masih sempat tarik kerusi dan terus menghenyakkan punggungnya.
Menyambung menungannya di meja makan.
“Tak adalah. Dah lewat sangat bangun ni.” Aroma karipap
menusuk hidungnya. Berkeroncong perut. Mana tidaknya, sampai saja ke rumah
lewat malam tadi, terus masuk tidur.
“Ish, budak ini. Pergi mandi dulu. Basuh muka tu, gosok
gigi.” Bebel Puan Siti bila dilihatnya Ika sudah mencapai karipap di dalam
piring. Tinggal tak masuk mulut aje lagi.
“Nantilah bu. Lapar pulak rasa. Lama tak makan karipap
ibu.” Belum sempat masuk mulut, tangannya sudah dipukul oleh ibunya. Tak jadi
dia makan.
“Mandi dulu. Nanti, kamu nak makan sampai habis satu
pinggan pun tak apa. Dah, pergi mandi.” Ika akur. Dia melangkah malas. Sempat
lagi menguap. Sisa-sisa mengantuk masih ada. Pening rasa kepalanya akibat
terlebih tidur.
“Tak berubah. Macam manalah nak jadi bini orang kalau
macam tu perangainya.” Bebel Puan Siti walaupun dia tahu bukan selalu anaknya
begitu. Tapi biasalah kalau namanya ibu. Mesti terselit juga rasa risaunya.
“Biarkan sajalah. Bukannya selalu. Nanti, dah nak
kahwin, pandai-pandailah dia tu.” Haji Khalid bangun dari duduknya. Mahu
berehat. Penat setelah hampir empat jam di kebun.
“Hai, entah bilalah kita nak terima menantu lagi ya
bang? Bayang pun tak nampak lagi ni. Dia tu pun bukannya muda lagi. Elok sangat
kalau nak kahwin waktu ni.” Kerjanya terhenti seketika. Hati orang tua mana
yang tak risau kalau masuk bab yang satu ini.
“Nanti adalah tu. Budak tu pun baru aje lagi kerja.
Biarlah dia kerja dulu. Nanti dah sedia, dah cukup semua, kahwinlah dia.
Janganlah awak risau sangat.” Sebenarnya hatinya juga turut tertanya-tanya tapi
dia lebih suka berdiam diri. Tak adalah risau sangat macam isterinya itu.
Mata tua Puan Siti menyorot pada susuk tubuh suaminya
yang menghilang di sebalik langsir. Dia mengeluh perlahan. Seketika kemudian
dia meneruskan kembali kerjanya yang tergendala. Kalau nak difikirkan terus,
tak jadi semua kerja.
>>
Ika mempercepatkan langkahnya ke dapur. Aroma yang sudah
lama tak melekat di hidungnya. Dia telan liur. Makin hebat irama dondang sayang
di perutnya.
“Ibu masak apa ni? Sedapnya bau.” Buat-buat tanya
padahal dia sudah boleh meneka apa yang dimasak ibunya. Melilau matanya
mencari-cari dari mana datangnya bau yang sedap itu.
“Tu, bawah tudung saji tu. Kamu cari tu kan?” Segera dia
berpaling ke meja makan. Tudung saji diangkat. Senyumnya melebar.
“Sedapnya!” Tak fikir panjang. Terus dicubit ikan
cencaru panggang yang disediakan ibunya.
“Ish kamu ni. Cuba duduk dulu sebelum makan. Kamu tu
anak dara.” Ika hanya sengih. Tak sempat nak duduk.
“Ibu ni macam tau-tau aje Achik dah lama tak makan ikan
ni. Sedapnya…” Makin galak dia mencubit ikan kegemarannya.
“Nanti, kamu dah jadi ibu, kamu tahulah. Ni, ibu nak
tanya ni.”
“Tanya apa bu?” Tangannya beralih kepada karipap pula.
“Achik tak ada calon lagi ke?” Cuba merisik.
“Calon? Calon apa?”
“Assalamualaikum…” Perbualan mereka terganggu. Kunyahan
Ika terhenti.
“Waalaikumussalam.” Puan Siti menjawab salam seraya
menapak ke pintu dapurnya. Entah siapa pula yang datang.
“Achik, tolong tengokkan gulai ibu tu.” Ika bingkas
bangun. Kalau tolong tengok memang tak ada masalah.
“La…Kak Senah. Kenapa tak cakap awal-awal nak datang?
Masuklah.” Puan Siti menyalami kakaknya.
“Aku pergi rumah Tok Alang kat hujung kampung tu tadi.
Alang-alang dah dekat dengan rumah kau, aku singgahlah.” Terkedek-kedek
kakaknya itu masuk ke dalam rumah.
“Oh, Ika ada balik. Apa khabar kau Ika. Lama betul Mak
Nah tak tengok kau. Dah makin cantik kau sekarang ni ya?” Ika mencapai tangan
ibu saudaranya. Tak banyak berubah. Cuma badannya nampak sedikit kurus.
“Baru sampai malam tadi mak cik. Ika Alhamdulillah,
sihat. Kak Chu tak datang sekali mak cik?” Lama sungguh dia tak jumpa sepupunya
itu. Entah macam mana rupanya sekarang. Mesti anaknya dah besar.
“Kak Chu kau kerja. Tak dapat datang.” Mak Cik Senah
menanggalkan selendang yang tersangkut di kepalanya. Panas mungkin.
“Kak Chu kerja apa sekarang ni mak cik?” Kakak sepupunya
itu tak lulus SPM. Lepas SPM dulu, terus kahwin. Dah dapat dua orang anak pun
sekarang ni. Tapi, jodohnya dengan bekas suaminya tu tak lama. Baru dua tahun
lepas dia orang bercerai.
“Hmm…entahlah dia tu. Biasalah Ika, orang tak lulus SPM.
Kerja apalah sangat. Jadi jurujual dekat pasaraya kat pekan tu aje. Biarlah
dia. Asalkan dia kerja. Tak adalah menyusahkan aku sangat.” Riak wajahnya sugul
seketika. Mungkin mengenang nasib anak-anaknya.
“Tak apalah kak. Dah dia suka kerja tu, asalkan halal
sudahlah.” Sampuk Puan Siti.
“Lama Ika tak tengok anak-anak Kak Chu. Mesti dah
besarkan sekarang?” Dia ingat lagi, sebulan sebelum dia ke luar negara dulu,
kakak sepupunya itu baru sahaja lepas melahirkan anak sulungnya. Dia hanya
sempat tengok sekali saja. Lepas tu, waktu dia pulang bercuti tiga tahun
selepas itu, kakak sepupunya itu dah ada dua orang anak. Sepasang, seorang lelaki
dan seorang perempuan. Sekarang, kalau jumpa pun pasti dah tak cam.
“Kau pergilah rumah mak cik. Dia orang ada rumah mak
cik. Kau ni, bukannya nak ke sana. Asyik duk terperap dalam rumah saja.” Kecil
hati mungkin. Ya lah, dah berapa tahun dia tak ke sana. Nama sahaja anak
saudara.
“InsyaAllah mak cik. Kalau ada masa nanti, Ika sampailah
tu ke sana.” Perlahan sahaja suaranya. Entah bila masanya akan ada. Tunggu
sahajalah.
“Hah, kau ni bila lagi nak langsung. Kerja dah bagus,
gaji pun bagus. Kau nak tunggu apa lagi?” Ika tercengang. Tak pasal-pasal soal
itu pula yang dibangkitkan.
“Lambat lagilah mak cik. Kerja pun baru nak masuk dua
bulan. Mana ada duit lagi.” Bukan setakat duit yang tak cukup, calonnya pun tak
ada. Takkan nak kahwin dengan batang pokok.
“Alah, tak payah buat besar-besar. Asalkan akad.” Ika
hanya sengih. Malas nak membalas. Panjang pula jadinya nanti.
“Dia tak rasa nak kahwin lagi tu kak. Nanti dah sampai
serunya tu, kahwinlah dia. Takkan nak membujang sampai tua.” Nasib baik ada
ibunya. Sayang ibu.
“Hai, tak apalah Ika. Asalkan kau bahagia. Tak kisahlah
kahwin awal ke kahwin lambat ke, yang penting bahagia. Jangan jadi macam Kak
Chu kau tu sudahlah. Kahwin tak sampai lama mana, dah sibuk nak bercerai-berai.
Pening kepala aku dibuatnya.” Mak cik Senah mengeluh panjang. Ika hanya diam.
Puan Siti juga.
“Dulu, sibuk sangat nak kahwin. Tak menyempat. Katanya,
perkara baik buat apa nak tangguh-tangguh. Hah, sekarang baru nak menyesal.
Bekas laki dia tu, langsung tak bagi duit belanja dekat anak-anak dia. Nasib
baiklah duit pencen pak cik kau tu ada. Kalau tak, kesian kat cucu-cucu aku tu.
Kalau nak harapkan duit gaji Chu tu, berapa sen lah sangat.”
“Barang-barang sekarang ni bukan main mahal lagi. Susu
mahal, milo mahal, lampin mahal. Serba-serbi mahal. Ni nanti, yang sulung tu
nak masuk sekolah. Makin banyak pakai duit. Hai, pening kepala aku ni Ti.” Mak
cik Senah termenung seketika. Banyak perkara yang dia perlu fikirkan.
“Dah takdir dia macam tu kak. Redha sajalah. Mana tahu,
nanti hidup dia senang. Dapat kerja bagus, dapat suami yang baik.
Banyak-banyakkan doa sajalah kak.” Puan Siti pun tak tahu nak cakap apa. Setiap
kali datang, itu sajalah yang dibualkan. Lama-lama dengar, kesian juga. Tapi
nak buat macam mana. Semua perkara dah jadi.
“Aku pun harap macam tu Siti. Ni dia duk gatal nak
menikah dengan mat bangla yang kerja dekat projek tu. Pening kepala aku ni.
Entah apa yang ada pada mamat tu pun aku tak tahulah. Hish, macam-macamlah
budak ni seorang.” Bulat mata Ika mendengarnya. Nak gelak pun ada. Tapi nanti
kata kurang ajar pula.
“Ish, biar betul kak. Takkanlah si Chu tu boleh suka
dekat mat bangla tu?” Puan Siti beralih ke almari di sudut dapur. Mahu melihat
nasi yang dimasaknya tadi.
“Entahlah Siti. Nampak gayanya macam tulah. Asyik duk berkepit
dengan si hitam tu aje aku tengok. Malu aku dengan jiran-jiran. Tapi nak buat
macam mana. Nanti kalau ditegur, merajuk. Takut nanti kalau dilarang, dia pergi
kahwin lari pula dengan si bangla tu. Lagi haru.” Ika makin minat nak
mendengar. Boleh tahan juga kakak sepupunya itu.
“Akak tak cuba nasihatkan dia elok-elok ke?” Masih boleh
diselamatkan kalau kena gayanya.
“Dah puas dah aku ni Ti oi. Tapi kau tahu ajelah anak
aku yang sorang tu. Keras kepalanya bukan main. Mana dia nak dengar cakap aku
ni. Kalau dia dengar cakap, tak ada hidup dia jadi macam tu.” Sakit hati bila
mengenangkan anak perempuannya itu.
“Saya ni bukan apa kak. Takut dia tu kena tipu aje. Kita
ni bukannya tahu siapa lelaki tu. Sekarang ni, ramai perempuan tempatan yang
kena tipu dengan orang-orang macam tu. Mula-mula memanglah nampak baik, tapi
lama-lama baru nampak belangnya. Bahaya tu kak.” Bukan mahu menambahkan
kerisauan di hati kakaknya tapi hanya mahu berjaga-jaga. Macam-macam kes
sekarang ni.
“Itulah yang aku takutkan Siti. Tapi aku dah tak tahu
nak nasihat macam mana. Dia tetap dengan keputusan dia. Tu yang tadi aku pergi
rumah Tok Alang. Minta air penerang hati. Nak bagi si Chu tu minum. Manalah
tahu dia dah kena guna-guna dengan si hitam tu.” Memang dia risau sangat dengan
anak perempuannya itu. Tak mahu apa-apa yang buruk terjadi. Selagi boleh, dia
akan berusaha.
“Kita usahalah kak. Manalah tahu menjadi kali ini.” Puan
Siti memandang anak gadisnya yang dari tadi asyik mendengar. Terbit juga rasa
risau kalau perkara itu terjadi kepada anak gadisnya. Minta dijauhkan.
“Tak apalah Siti. Aku nak balik dululah. Kesian dekat
cucu-cucu aku tu. Entah apa jadi pada dia orang.” Mak cik Senah bingkas bangun.
Kesian Ika tengok. Makin tua, makin banyak pula masalahnya. Patutlah dia makin
kurus.
“Eh, akak tak makan dulu ke? Makanlah sekali kak. Lauk
pun dah siap ni.” Mak cik Senah sudah berada di muka pintu.
“Tak apalah Siti. Lain kali sajalah. Aku risaukan cucu
aku tu. Kesian si Peah kena jaga lama-lama. Mak cik balik dulu Ika. Senang-senang
nanti datanglah rumah. Biasanya pukul lima, Kak Chu kau tu dah balik. Nak
datang cakap ya, nanti mak cik buat kuih.” Ika menyalami tangan ibu saudaranya.
“Insya Allah mak cik. Nanti Ika bagitau.” Tak boleh
berjanji. Dia belum lepas rindu lagi pada rumahnya sendiri.
“Baik-baik jalan kak.” Puan Siti memerhati langkah
kakaknya yang semakin jauh ke hadapan. Berat sungguh dugaan kakaknya. Sudahlah
tiada suami di sisi. Terpaksa tanggung semuanya sendirian.
“Apa yang riuh sangat tadi tu?” Terpacul wajah Haji
Khalid di sebalik langsir. Dia menggosok-gosok matanya. Rasa kantuk masih
bersisa.
“Kak Senah. Dia singgah sekejap saja. Biasalah kalau dia
datang. Cerita masalah anak-anak dialah.” Puan Siti menyusun pinggan di atas
meja.
“Achik, ambil gulai dalam periuk tu.” Arahnya.
Terkedek-kedek Ika mengikut arahan.
“Apahal pula kali ni?” Haji Khalid mengesat mukanya yang
baru dibasuh. Kerusi meja makan ditarik.
“Biasalah, si Chu tu. Tak habis-habis buat masalah. Dia
duk berkenan dekat mat bangla yang kerja buat bangunan.” Nasi diceduk ke dalam
pinggan suaminya. Tiada balasan daripada suaminya.
“Harap-harap perkara macam tu tak jadilah dalam keluarga
kita ya bang. Hari-hari saya doa. Biarlah anak-anak kita bertemu jodoh dengan
orang yang baik-baik.” Terharu Ika mendengarnya. Besar harapan ibu dan abahnya.
Mampukah dia?
Salam. Terima kasih dari peminat baru. Untuk bab ni nak komen sikit memang benar masyarakat Melayu ada bias perkauman walaupon mereka yg berpegang teguh pada agama. Contoh: ibu ika digambarkan alim, solat sunat dhuha, bertasbih dsb. Sekadar berkongsi untuk ingat memperingati, Insha Allah. http://drmaza.com/home/?p=1250
ReplyDelete