Bab 17
Hilmi tak henti ketawa. Saat ini sangat ditunggu-tunggu
olehnya. Waktu diberitahu mengenai perjumpaan semula ini, hatinya sudah
berbunga riang. Memang tak sabar nak bertemu dengan kawan-kawan lama. Rindunya
terubat tatkala memandang wajah-wajah yang sama berjuang di sekolah menengah
dulu. Walaupun ada sedikit perubahan fizikal, tapi kemesraan dulu tetap sama.
Beberapa orang rakan juga sudah ada yang mengikut jejak
langkahnya. Memasuki fasa baru alam lelaki. Ada juga yang sudah menimang cahaya
mata yang dia sendiri sedang menanti akan kehadirannya.
“Kau ni Wadi, bila lagi nak ikut jejak langkah kami ni?
Syok tau kahwin ni.” Pertanyaan Hilmi yang membuatkan Wadi tersedak. Dia ketawa
terbahak-bahak.
“Kenapa kau ketawa pula? Aku tak main-main.” Matanya
menjeling ke arah isteri kesayangan di sebelah. Jenny hanya senyum. Hendak
menyampuk, dia masih tak biasa bergaul dengan kawan-kawan suaminya.
“Aku, kalau ada calon, sekarang ni jugak aku nak nikah.
Masalahnya sekarang, calon tak jumpa lagi. Kau ada calon ke nak bagi kat aku?”
Masih pekat loghat utaranya. Kawan-kawan yang mendengar turut ketawa.
“Muka sikit punya hensem, takkan tak ada calon lagi?”
Waktu sekolah dulu, bukan main lagi menggatal. Dah hilang sengat ke kawannya
yang seorang ini?
“Calon makwe tu ramai. Calon yang nak buat bini yang tak
ada. Bukan senang nak cari bini.” Air oren dihirup perlahan.
“Memilih sangatlah kau ni. Tengok aku, steady je beb.” Zul menyampuk. Teman wanita di sebelah tersenyum manis.
Wadi mencebik. Matanya dilarikan ke arah sekumpulan
wanita yang sedang asyik berborak. Bergosip mungkin. Siapa yang dah kahwin,
siapa yang baru nak bertunang, orang ni bercinta dengan siapa, orang tu
berpisah dengan siapa, topik biasa kaum hawa yang kadang-kadang buat kaum adam
bosan. Satu-persatu wajah mereka diperhati. Tiba-tiba matanya terhenti pada
satu wajah yang sedikit asing di matanya tapi macam dikenali. Lama ditenung
sehingga wanita itu juga memandang ke arahnya tetapi cepat-cepat dilarikan anak
matanya.
“Siapa pulak tu? Macam kenal tapi siapa ya?” Dia
berkira-kira sendiri. Cuba mengingat mana-mana gadis cantik yang pernah ada di
sekolah dulu. Kalau bab perempuan cantik, jarang yang terlepas daripada
pengetahuannya.
“Kau tengok apa tu Wadi? Berkerut dahi.” Hilmi pandang
ke arah yang sama.
“Kau nampak tak perempuan yang kat hujung sana tu. Aku
rasa macam pernah tengok tapi aku tak camlah siapa.” Masih tak dapat nak agak.
Tapi memang dia pernah tengok.
“Memanglah kau pernah tengok kalau dah satu sekolah. Kau
ni pun, kalau nak mengayat, pergi saja. Tak payah nak berdolak-dalih. Tunggu
lama-lama nanti, kau juga yang melepas.” Hilmi sendiri tak perasan siapa yang
ditunjukkan Wadi. Ramai sangat perempuan di sana. Entah yang mana satu.
“Kau ni agak-agaklah. Ini Wadilah. Tak payah nak
sorok-sorok kalau nak mengayat. Nas, cuba kau tengok sana. Siapa perempuan yang
kat sebelah bini kau tu?” Anas berpaling ke belakang. Mencari kelibat isterinya
yang sejak tadi dia tak nampak. Sampai sahaja, hilang bersama Ika. Dia
meninjau-ninjau ke arah yang ditunjukkan Wadi.
“La, takkan kau tak kenal. Tu kan kawan baik bini aku,
Ika.” Selamba Anas menjawab. Dia berpaling semula ke depan. Kembali mengadap
makanannya yang penuh semeja. Memang dasar kuat makan.
“Ika? Ika mana pulak ni? Manalah aku tau siapa kawan baik
bini kau tu. Nak tegur bini kau tu pun aku takut. Sekali dia buka mulut,
bergegar sekolah. Garang yang amat.” Masih tak boleh nak mengagak.
“Kau agak-agak sikit kalau cakap. Bini aku tu. Dulu
memanglah macam singa, sekarang manja macam kucing. Tu yang aku sayang tu.”
Tercetus ketawa mereka. Siapa tak kenal Syarifah. Walaupun bukan satu kelas,
kalau tanya siapa pelajar perempuan paling garang, memang tak ada orang lain.
Lebih-lebih lagi kalau mempertahankan seorang kawan perempuannya daripada
dibuli pelajar-pelajar nakal.
“Eh, tadi kau cakap siapa yang sebelah bini kau tu?
Kawan baik dia? Maksud kau kawan baik dia masa kat sekolah dulu?” Wadi masih
tak puas hati selagi tak dapat jawapan.
“Ya lah. Dekat sekolah dululah. Takkan masa dia tadika
kut.” Anas geleng kepala. Lambat betul.
“Maksud kau perempuan tu Zulaikha? Siti Zulaikha? Budak
perempuan yang selalu kena buli sebab tak cantik tu?” Bulat mata Wadi. Macam
tak percaya. Harap-harap tekaannya salah.
“Habis tu kau ingat siapa? Aku rasa kau pun pernah buli
dia kan?” Serkap Anas. Berubah muka si kawan. Walaupun tak sama kelas, tapi
mereka tetap rapat sebab sama-sama mewakili sekolah dalam bola sepak dulu.
Begitu juga Hilmi dan beberapa orang pelajar lain lagi.
“Ish, takkanlah. Kenapa yang ini cantik?” Hilmi turut
sama memandang sekali lagi ke arah perempuan tadi. Siti Zulaikha. Macam selalu
dia dengar nama itu.
“Itulah kau. Dulu kau selalu sangat buli dia. Sekarang
dia dah cantik baru kau menyesal.”
“Ish, mana ada selalu. Aku acah-acah saja. Bukannya betul-betul.
Eh, Nas. Dah berpunya ke belum?” Dah mula dah. Muka gatal pun dah jelas
kelihatan.
“Kalau kau tanya aku, aku memang dah berpunya. Dah sah
dah pun. Tapi maaflah kawan. Aku ni waras lagi. Aku tak mainlah yang
sonsang-songsang ni.” Pecah ketawa semua orang.
“Bongek. Kau buat apa. Aku pun tak ingin. Tu si Ika tu.”
“Hei Romeo. Sejak bila pula kau guna orang tengah nak
mengurat perempuan ni? Bukan kau pakar ke kalau bab ayat-ayat power ni? Hai
kawan, dah hilang taring ke?” Perli Zul yang sedari tadi hanya menjadi
pendengar. Dia masih kenal Zulaikha itu. Mereka sama-sama pengawas. Lagipun,
ada sesuatu tentang Zulaikha yang rasanya dia tak salah tafsiran.
“Bukan macam tu. Kalau yang dulu-dulu tu aku main-main
saja. Sekarang ni kan nak cari calon isteri. Mestilah kena berlapik sikit.
Budak Ika tu pun nampak macam sopan saja. Sesuai sangatlah tu.” Mukanya kembali
ceria. Macam dah berkenan. Harap-harap masih ada peluang.
“Kalau kau nak si Ika tu, kau kena berhadapan dengan
bini aku dulu. Ada berani ke kawan?” Anas cuba menguji Wadi. Muka yang tadinya
ceria bertukar cuak. Penakut juga mamat romeo ni.
“Itu yang masalah tu. Bini kau ni potong jalanlah. Nas,
kau tolonglah risik-risik. Aku serius ni. Bukan main-main.” Nampak betul-betul
serius kali ini.
“Kesian pula aku tengok kau ni. Tak apalah, asalkan kau
belanja aku makan kat hotel lima bintang, masalah kau kira settle.” Bila lagi nak mengenakan si Wadi. Inilah masanya. Lagipun
apalah sangat belanja makan di hotel lima bintang, lebih daripada itu pun
kawannya ini mampu. Maklum sajalah anak orang kaya.
“Mak ai, melampau betul. Tapi tak apalah. Demi
mendapatkan seorang isteri solehah.” Sekali lagi ketawa kawan-kawannya meledak.
Tak sangka si romeo ini juga ada hati nak beristerikan wanita solehah.
>>
Hilmi menepuk bantal lalu diletakkan di atas katil. Biar
selesa sikit isterinya tidur. Pasti penat setelah hampir empat jam melayan
kawan-kawannya. Kesian isterinya. Tapi wanita itu tak pernah merungut. Hanya
senyum walaupun kelihatan letih. Maklumlah orang tengah berbadan dua.
“You pun tidurlah. Mesti letihkan?” Jenny merebahkan
badannya. Selimut ditarik ke dada. Dia membetulkan kedudukannya. Rasa tak
selesa.
“Abang, siapa Zulaikha tu?” Tiba-tiba sahaja soalan itu
terpacul dari mulutnya. Entah kenapa dia mahu tahu sangat-sangat.
“Ha? Siapa?” Hilmi seraya berpaling. Mata yang baru saja
hendak dipejam terbuka luas semula.
“Tu, perempuan yang kawan-kawan you cerita tadi tu. You
kenal dia?” Dari riak wajah suaminya tadi, tak nampak pula yang suaminya
mengenali perempuan itu. Macam tak ambil kisah pun. Tapi dia nampak si Zul ada
menjeling suaminya bila menyebut nama perempuan itu.
“Entahlah, abang tak ingat pun siapa dia. Bukannya dia
seorang saja yang nama Zulaikha kat sekolah tu dulu. Dahlah, abang mengantuk
ni. Sayang tidurlah. Tak elok tidur lewat sangat.” Dahi Jenny dikucup. Dia
kembali memejamkan mata tapi nama Zulaikha seakan bermain-main di benaknya. Dia
rasa macam dia kenal. Tapi dia lupa.
Jenny tak bertanya lanjut. Mungkin betul suaminya tak
kenal. Perkara dah lama. Pasti ada yang menarik mengenai perempuan itu dulu
sehingga namanya menjadi sebutan malam ini. Siapa ya dia sebenarnya? Jenny terlena
dalam teka-tekinya.
>>
Mata Ika terkebil-kebil. Hampir sejam dia begitu. Entah
kenapa payah benar nak lelap. Pusing kiri tak kena, pusing kanan tak kena. Bayangan
wajah Hilmi dan wanita cantik di sebelahnya menyesakkan kepalanya. Dia jadi tak
keruan. Tak tahu bagaimana nak gambarkan keadaan hatinya bila dapat tahu wanita
cantik itu adalah isteri Hilmi yang sah. Hancur luluh. Rasa sesak. Lemah
longlai lututnya. Nasib baik waktu itu dalam kereta Syarifah. Kalau tak, mesti
dah rebah dalam restoren. Tak ke malu?
“Bang, siapa perempuan yang kat sebelah si Hilmi tadi
tu?” Soal Syarifah. Sempat dia mengerling ke arah Ika melalui cermin di
hadapan. Dia tahu, pasti Ika pun nak tahu sangat-sangat.
“Oh, tu isteri dia. Dah lama dah dia orang tu kahwin. Wife dia pun tengah pregnant sekarang ni.” Melopong Syarifah. Rasa bersalahnya makin
menebal. Pantas dia menoleh ke belakang. Harap-harap Ika tak apa-apa.
Ika cuba menenangkan diri setenang mungkin. Tak mahu
gejolak di hatinya terbongkar. Sungguh! Berita itu amat melukakan hatinya.
Perasaannya waktu itu? Aduh, jika dia berada di luar waktu itu, pasti dia sudah
lari sekuat hati. Lari sejauh mungkin.
“Oh ya ke? Tak tahu pula dia dah kahwin. Eh, Ika. Tadi
ada orang kirim salam dekat kau. Popular betul kau malam ni ya? Kalau setakat
seorang tu tak apa lagi. Ini berderet yang beratur. Penat aku nak mengingat.”
Syarifah cuba untuk menceriakan semula hati Ika. Tak mahu Ika terus dibelenggu
rasa sedih. Itulah Syarifah.
“Ha, si Wadi pun kirim salam. Kau ingat tak Wadi, Ika?”
Anas menyampaikan pesan si kawan. Yang selebihya terpulang kepada Ika.
“Entahlah Nas. Aku bukannya kenal sangat budak-budak
sekolah kita dulu. Kalau yang satu kelas tu aku ingatlah. Yang lain, entahlah.”
Seorang sahaja yang dia ingat. Itupun sudah jadi milik orang.
Syarifah diam. Ika juga. Syarifah tahu Ika sedang
bersedih. Memang salah dia. Dia yang paksa Ika. Lain yang diharap lain pula
yang jadi. Haruskah dia bagitahu Ika perkara yang sebenar? Tapi dia tak mahu
Ika rasa malu nanti. Tunggulah saat yang sesuai.
Ika menyeka air mata yang merembes. Tak guna dia melayan
perasaan. Hilmi sudah jadi suami orang. Tak mungkin dia berpeluang untuk
memiliki cinta lelaki itu. Dia harus belajar terima kenyataan yang sepatutnya
dari dulu lagi dia tahu. Sejak lelaki itu menolaknya secara mentah-mentah. Dia
yang bodoh. Dia yang tak malu. Dia yang terlebih berangan. Sekarang, rasakanlah
kesakitannya.
Bab 18
Encik Zainal Abidin mencatat sesuatu di dalam diari
kecilnya. Sudah masuk hujung bulan. Ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan
apabila tiba waktu-waktu begini. Dia menutup diari kecilnya. Dia kemudian
mengeluarkan enam keping not lima puluh ringgit dari dompetnya.
“Dollah, macam biasa ya? Beli semua barang keperluan
yang diperlukan. Tanya dulu apa yang tiada.” Dollah, pemandunya yang setia
berkhidmat selama hampir tiga puluh tahun mengambil kertas-kertas hijau itu
tanpa banyak soal. Bukan kali pertama. Memang sudah tahu apa yang perlu
dilakukan.
Encik Zainal melayan menungannya. Ada perkara yang dia
simpan. Hanya dia dan Dollah saja yang tahu. Dia serba salah. Hampir tiga puluh
tahun rahsia itu disimpan. Dia takut suatu hari nanti dia sudah tak mampu nak
melindungi rahsia itu. Apa yang akan terjadi bila waktu itu hadir?
Puan Zalina leka menilik bunga-bunganya yang mekar di
dalam pasu. Bunga-bunga ini perlu dibelai selalu, barulah dia boleh hidup
subur. Macam manusia juga. Kalau sentiasa disayang dan dibelai, bahagialah
hidupnya.
“Ma, kita nak masak apa tengahari nanti?” Jenny keluar
sambil memegang pinggangnya yang kerap benar sakit kebelakangan ini. Mungkin
kerana perut yang semakin membesar.
“Alah, tak payahlah kamu susah-susah. Pergi berehat
saja. Mama dengan Mak Jah boleh buat. Kamu tu kena jaga kesihatan sikit. Jangan
aktif sangat.” Perhatiannya beralih. Kini kepada si menantu yang sedang
mengandungkan keturunan sulungnya. Terujanya bukan main saat menerima berita
itu.
“Dah sakit pinggang saya ni asyik baring saja. Biarlah
saya buat kerja. Bosan asyik tidur dari tadi.” Dia menilik bunga-bunga yang
ditanam ibu mertuanya. Banyak. Penuh satu taman. Dah boleh buka kedai bunga.
Rajin sungguh.
“Tak apa. Bila lagi kamu tu nak rehat. Kalau hari lain,
asyik kerja tak ingat nak rehat. Hah, sekarang bila duduk rumah mama, rehat
sajalah. Hilmi mana?” Masih tak nampak kelibat anak lelakinya itu selepas
sarapan tadi. Sambung tidur ke? Bertuah betul.
“Entahlah ma, dia ikut papa. Ke kebun agaknya.” Jenny
melabuhkan duduknya.
“Jannah, kita berbual sekejap boleh?” Jenny angkat muka.
Sejak bila mama perlu minta kebenaran jika nak berbual. Macam tak biasa pula
mama ini.
“Mama ni, macam tak biasa pula berbual dengan saya.”
Jenny atau nama Islamnya Nur Jannah ukir senyum. Puan Zalina menarik kerusi
seraya duduk. Dia memandang sekilas ke arah bunga-bunga yang dibelai tadi.
Mekar menghiasi taman mini di halaman rumahnya. Hatinya jadi tenang.
“Macam mana kandungan? Ada rasa sakit-sakit?” Puan
Zalina memulakan perbualan. Wajah mulus menantu kesayangan dipandang kasih. Dia
tahu disebalik ketenangan yang terpancar di wajah itu tersimpan duka yang masih
tak berpenghujung.
“Setakat ni, Alhamdulillah mama. Tak adalah sakit
sangat. Cuma kadang-kadang tu sakit pinggang. Mungkin sebab penat kerja.” Masih
ada pelat tapi makin menunjukkan perubahan yang baik. Tapak tangan diletakkan
di atas perut. Tak sabar nak tunggu perutnya membesar dan si kecil di dalamnya
bergerak aktif.
“Hmm..tu lah, jangan kerja kuat-kuat sangat. Jaga
kandungan tu. Bukan senang nak dapat. Kesian cucu nenek, tak sabar nak jumpa
nenek ya?” Puan Zalina juga mengusap perlahan perut menantunya yang masih lagi
kecil. Dah masuk empat bulan tapi masih tak nampak macam orang mengandung.
“Mummy dengan daddy tak pernah call?” Tangan Jenny
berhenti mengusap perutnya. Pertanyaan yang sedikit sensitif tapi dia cuba
untuk bersikap biasa.
Jenny menggeleng perlahan. Bibir mengukir senyum pahit.
Pantas wajah kedua-dua orang tuanya menerpa ruang pandangannya, membuatkan
kolam matanya bergenang. Rindu yang bertandang cuba dibendung seboleh mungkin.
“Nur Jannah masih tak bagitahu mereka yang Nur Jannah
mengandung?” Jari-jemari runcing Nur Jannah diraih ke dalam genggamannya, cuba
memberi sedikit kekuatan. Dia tahu ada getar di dada itu.
“Buat apa? Mereka tak mahu tahu pun. Kalau mereka nak
tahu, dah lama mereka tanya dan ambil peduli. Saya lebih selesa begini mama.
Tak perlu pening kepala nak fikir pasal mereka.” Seketika dia diam. Cuba
menguatkan semangat. Tak mahu ada air mata yang gugur dek kerana perkara itu.
Dah puas dia menangis. Sejak hari pertama ibu bapanya membuangnya dulu.
“Mama ni pun seorang ibu juga. Mama faham perasaan mummy
Nur Jannah. Memang sakit rasanya bila anak yang kita sayang pergi dari hidup.
Tapi mama tak akan halang anak-anak mama untuk hidup bahagia.” Genggaman
tangannya makin dieratkan. Dia mahu Nur Jannah rasa selesa. Tak mahu wanita
muda itu rasa tersisih. Cukuplah disisih keluarga sendiri.
“Mummy tak sama macam mama. Daddy pun tak sama macam
papa. Saya lebih selesa di sini. Dari kecil saya dikongkong. Semua yang mummy
dan daddy nak saya buat. Tapi saya pun nak rasa bahagia. Dan kebahagiaan saya
adalah Hilmi. Saya tak faham kenapa mummy dan daddy tak merestui kebahagiaan
saya.” Sebak makin ketara. Dia kalah lagi. Air mata tetap juga ingin mengalir. Perasaaannya
bercampur-baur kini. Antara rindu dan juga kekesalan.
“Sudahlah tu. Mungkin mereka ada sebab. Mungkin mereka
rasa kehilangan. Nur Jannah anak kesayangan mereka. Nur Jannah kena ingat,
walau apapun yang berlaku, walaupun sekarang ini Nur Jannah dan mereka bukan
lagi satu agama, mereka tetap ibu bapa kandung Nur Jannah. Ibu yang melahirkan
Nur Jannah. Sebagai anak, kita harus memaafkan mereka.” Pujuk Puan Zalina.
Dipeluk erat tubuh menantunya. Mengusap perlahan belakang tubuh itu.
“Saya rindukan mereka.” Terucap juga apa yang tersirat
di hatinya sekian lama. Ternyata rasa sayangnya mengatasi rasa benci dan kesal.
“Mama tahu. You
have to be strong. Banyakkan doa. InsyaAllah, pasti suatu hari nanti hati
mereka akan terbuka untuk menerima semua ini.” Puan Zalina juga sebak. Anak
mana yang tak sayangkan orang tuanya.
Jenny tak dapat menahan lagi. Dia menangis semahu
mungkin di dalam pelukan ibu mertuanya. Sungguh dia rindu. Rindu untuk menatap
wajah-wajah kesayangannya. Rindu untuk dibelai manja. Rindu untuk dikasihi
seperti dulu. Mungkinkah dia masih ada peluang untuk merasai semua itu?
“Saya nak jumpa mereka.” Perlahan tapi masih jelas di
pendengaran Puan Zalina. Dia menolak sedikit tubuh menantunya supaya wajah itu
dapat ditatapnya untuk meminta kepastian. Akhirnya.
“Nur Jannah serius?” Dia senang memanggil menantunya
dengan nama itu. Beberapa ketika dia menanti menantunya mengiyakan kata-katanya
tadi. Bukan dia tak pernah pujuk dulu, tapi hati Nur Jannah keras.
“Saya takut saya tak akan jumpa mereka buat
selama-lamanya selepas ini.” Puan Zalina kerut dahi. Tapi seketika kemudian dia
kembali positif. Dia ukir senyum. Persetujuan Nur Jannah sudah buat hatinya
riang.
“Mama temankan saya ya?” Dia bersungguh-sungguh
sekarang. Tapi dia perlukan wanita ini di sisinya. Dia masih belum kuat
sepenuhnya tapi dia yakin, jika ibu mertuanya ada mungkin dia akan lebih
berani.
“InsyaAllah sayang. Mama akan sentiasa menyokong Nur
Jannah. Aturkan saja tarikhnya. Mama akan temankan Nur Jannah.” Kata-kata
semangat yang membuatkan Jenny ukir senyum. Walaupun ada getar di hatinya
apabila memikirkan bagaimana penerimaan keluarganya nanti, tapi dia yakin. Jika
niatnya baik, pasti Allah akan menolongnya. Apa yang perlu dilakukannya
sekarang cuma banyakkan berdoa. Semoga hatinya kuat sehingga tiba harinya
nanti.
“Thanks Mama.”
Tubuh wanita kesayangannya itu didakap erat. Doanya semoga Allah panjangkan
usianya supaya dia dapat menatap wajah keluarganya. Sekali pun jadilah.
>>
Nur Jannah hanya diam sejak tadi. Hilmi jadi risau.
Entah apa yang difikirkan oleh isterinya sehinggakan wajahnya yang sentiasa
mennyejukkan jiwanya itu berkerut dan keruh sahaja. Apa yang mengganggu
isterinya?
“Sayang, kenapa diam saja ni? Ada masalah ke?” Tangan
Nur Jannah diraih ke dalam genggamannya. Sesekali matanya melirik ke arah wajah
kesayangannya. Kereta dipandu perlahanan. Lagipun kereta tak banyak malam-malam
begini.
“Tak adalah. Penat sikit. You tengoklah depan.” Nur
Jannah menarik tangannya dari genggaman si suami. Tak mahu suaminya hilang
tumpuan semasa memandu.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa masam aje? Abang ada buat
salah ya? Atau mama marah sayang?” Tekaan Hilmi yang jauh menyimpang daripada
kebenaran. Nur Jannah menarik nafas sedalamnya. Dia belum sedia nak bagitahu
Hilmi.
“Ish, ke situ pula. Mama tak pernah marah I. Dia sayang
I lebih daripada dia sayang you tau.” Nur Jannah cuba mengembalikan keceriaan.
Tak mahu Hilmi terus-menerus curiga. Selagi dia mampu elak, dia akan elak.
“Hmm…abang tahu. Ya lah. Menantu kesayangan. Mana boleh
marah. Anak sendiri pun kena pinggir. Sedih betul.” Hilmi buat muka kesian. Dia
tak kisah sebenarnya. Dia senang bila mama dan papa dapat menerima Jenny dengan
hati yang sangat terbuka. Mereka sangat menyayangi menantu yang seorang ini.
“Ha, tau tak apa. Jadi, drive laju-laju sikit. Kalau terus bawa macam ni, esok pun belum
tentu sampai. Mama dah sakit pinggang. Papa ni tak kesian dekat mama kan baby?”
Jenny usap perutnya. Tak sabar nak menatap wajah comel ini. Hilmi ukir senyum
bahagia. Tangannya dibawa ke perut kecil milik isteri. Dia sangat bahagia.
Kalau boleh, hari ini juga dia mahu menatap wajah comel yang sedang menghuni di
dalam ini.
“Baiklah mama. Mama tidur saja dulu kalau penat. Nanti
dah sampai, papa kejutkan ya.” Pedal minyak ditekan. Dia juga penat sebenarnya.
Seharian di kebun papanya. Sudahlah panas. Dah lama dia tak ke kebun. Sejak
mula bekerja.
Jenny memandang sayu ke arah suaminya yang tenang
memandu. Sayang dan cintanya terlalu dalam buat lelaki ini. Sehinggakan dia
sanggup meninggalkan keluarga. Mengingatkan keluarganya buat hatinya kembali
sebak. Apa khabar agaknya mereka di sana? Sihatkah? Mungkinkah mereka juga
rindukan dirinya sebagaimana dia merindui mereka?
“Kenapa pandang abang macam tu?” Soal Hilmi. Tapi dia
perasan, pandangan Nur Jannah sudah menembusi cermin hingga ke luar. Dia
terlalu ingin tahu apa yang sedang mengganggu fikiran isterinya. Tapi nampaknya
Nur Jannah lebih selesa berahsia.
“Nothing. Saja
nak tengok suami sendiri. Nanti kalau I pandang orang lain, abang marah pula.” Sejak
mengenali Hilmi, tak terlintas di fikirannya untuk mengkhianati lelaki ini.
Cintanya memang ikhlas hanya untuk lelaki ini.
“Tau tak apa. Jadi jangan cuba-cuba nak pandang lelaki
lain ya?” Hidung kecil isterinya dicuit manja. Dia tahu Nur Jannah tak akan
kecewakannya. Cukup kesetiaan yang ditunjukkan wanita cekal ini selama ini.
“I love you.”
Ucapan yang membuatkan perasaan Hilmi melonjak bahagia. Sungguh, dia tak perlu
curigai sedikit pun akan wanita ini.
“I love you too.
Forever.” Memang jalan yang dipilih tak salah. Meninggalkan keluarga dan
meninggalkan jauh agama yang sekian lama dianuti. Pengorbanan yang cukup payah
tapi ini janji Allah kepadanya. Syukur.
No comments:
Post a Comment