salam sejahtera. Alhamdulillah...syukurlah sbb kita masih diberikan kesempatan untuk bernafas hari ini...korang semua ape khabar??hehehe...lama xupdate citer nih...thanks kpd semua readers yg sudi baca e-novel ni wlaupun semua kamu adalah silent readers...tq3....just nk gtau balik yg e-novel ni adalah e-novel yg xakan dicetak utk dijadikan novel. just utk pembaca online sy ajerrr (cam spesel edition la giteewwww. kononnyerrr)...hehe..so sy harap xder la org nk amik kesempatan menciplak karya sy ni eksss...hehe..sy tau korang2 sume baik2 n comel2...selamat membaca kawan2...
Bab 19
Ika membelek kad yang baru diterimanya tadi. Wangian
semerbak menerpa hidungnya. Bagai sudah boleh diagak apa isinya. Dia ukir
senyum. Tulisan pada sampul kad memang dikenalinya. Dia teruja. Perlahan-lahan
sampul itu dibuka. Dia menarik isinya. Kad cantik berwarna merah hati itu
dikeluarkan. Setiap patah perkataan dibaca. Senyumnya makin melebar.
Alhamdulillah.
Undangan majlis perkahwinan. Daripada Salihah dan
pasangannya Aman. Syukurlah. Panjang betul jodoh mereka berdua. Masih dia ingat
sewaktu sama-sama belajar dulu. Sekejap baik sekejap gaduh. Kalau tengah baik,
memang tak ingat dunia. Sampaikan kawan sebilik pun boleh lupa. Tapi kalau
tengah gaduh, makan pun dia boleh lupa. Monyok sepanjang masa. Nak tegur pun
takut.
Kad itu disimpan kembali. Dia menanda sesuatu di kalendar
mini yang terletak di atas meja. Takut terlupa pula nanti. Nasib baik waktu
cuti semester. Jadi senang sikit nak minta cuti. Rasanya baru sahaja semalam
Salihah memberitahu yang dia bakal bertunang. Hari ini, Salihah bakal menjadi
isteri orang. Walaupun tarikhnya lagi sebulan, dia dapat rasakan debaran yang
ditanggung oleh kawannya itu. Dengan perangainya yang senang menggelabah, pasti
haru-biru jadinya.
Lama dia memandang kad yang sudah berada di dalam sampul
itu. Perlahan-lahan jemarinya mengeluarkan kembali kad itu. Direnung lagi. Satu
perasaan aneh sedang membelenggu jiwanya. Kenapa perlu dia rasa sayu? Kenapa
perlu dia rasa sedih? Betapa dia mahu melihat namanya tercatat di situ. Dan
pengantin lelakinya? Saat nama itu terlintas di fikirannya, dia jadi makin
sebak. Terbayang kembali peristiwa beberapa bulan lepas. Tergambar betapa
mesranya lelaki itu merangkul erat pinggang wanita cantik di sebelahnya.
Serta-merta dimasukkan kembali kad merah hati itu ke
dalam sampul. Laci dibuka dan sampul merah jambu itu dimasukkan ke dalamnya.
Makin lama dipandang, makin mengarut fikirannya. Ika beristighfar di dalam
hati. Fikirannya dah jauh melayang. Segera dicapai kertas-kertas yang disusun
kemas di atas rak. Pen merah yang sudah berada di atas meja dicapai. Mahu
menyibukkan diri. Baru sahaja sehelai yang ditanda, tumpuannya terganggu. Bunyi
deringan telefon bimbit memaksanya untuk beralih tumpuan.
“Assalamualaikum.” Tangannya masih memegang pen merah.
Matanya juga berusaha untuk mentafsir setiap patah perkataan yang ditulis
dengan tulisan tangan itu.
“Waalaikumussalam.” Pergerakan tangannya terhenti.
Pandangan matanya juga sudah beralih kedudukan. Suara lelaki. Dia ingatkan
Syarifah. Itu yang dia buat tak kisah saja.
“Sibuk ke?” Tanya si pemanggil yang Ika sendiri tidak
tahu siapa. Hanya nombor telefon yang tidak dikenali sahaja yang terpapar di
skrin telefonnya. Ini yang dia tak suka.
“Agaklah. Boleh saya tahu siapa di sana? Manalah tahu
encik ni salah nombor.” Ika kembali menyambung tugasnya yang tergendala sebentar
tadi. Suara pun dia tak pernah dengar. Nak kata Faiz, dia ada simpan nombor
telefon lelaki itu. Tapi ini bukan suara Faiz. Suara Faiz lembut. Sedap saja
nak dengar. Ini, kasar semacam aje. Entah orang tua mana.
“Awak ni Zulaikha kan? Rasanya dah tak salah nombor.”
Sekali lagi Ika tersentak. Dia boleh tahu nama aku? Eh, siapa ni? Dahinya
berkerut.
“Encik ni siapa? Apa urusan encik dengan saya?” Ini yang
dia malas ni. Tak sukalah bercakap dengan orang tak kenal. Buang masa saja.
“Takkan tak kenal dengan saya kut. Baru je beberapa
bulan lepas kita jumpa. Ingat tak?” Si lelaki mula mengatur ayat. Kerutan di
dahi Ika makin jelas kelihatan. Eh mamat, kau ingat kau seorang saja ke yang
hidup di dalam dunia ni? Dah berapa ribu orang aku jumpa dalam beberapa bulan
ni. Itu tak termasuk lagi dengan pelajar-pelajar dalam universiti ni.
Beribu-ribu tau. Cakap guna kepala lutut ke apa?
“Sah encik ni salah orang kut. Siapa yang saya jumpa
hari ni pun saya dah lupa. Inikan pula yang beberapa bulan lepas. Kalau orang
tu betul-betul penting, ya lah jugak kalau saya nak ingat pun.” Balas Ika. Dah
tak ada mood nak melayan. Aku banyak kerjalah!
“Sebab orang pentinglah awak kena ingat. Ingat tak apa
yang berlaku tiga bulan lepas? Dekat Restoren Sri Saujana.” Si jejaka cuba
untuk mengingatkan Ika. Masih tak putus asa. Gadis ini mesti jadi miliknya.
“Restoren Sri Saujana?” Macam pernah dengar. Sri
Saujana? Oh, dia dah ingat sekarang.
“Reunion.” Sepatah perkataan yang membuatkan sekali lagi
tumpuannya terganggu. Hayunan pen merah terhenti. Apa kaitan majlis itu dengan
lelaki ini? Atau mungkin….
“Ha…ingat pun. Masa tu lah kita jumpa. Awak ingat tak?”
Ika mendengus. Memang sah bercakap guna kepala lutut.
“Maaflah encik ya. Rasanya saya tak dapat ingat. Yalah,
bukan kita berdua saja yang ada dalam restoren tu. Berates-ratus. Dengan siapa
saya jumpa dan bercakap pun saya dah lupa. Inikan pula dengan orang yang saya
tak kenal.” Ika mula bosan. Cakap terus-terang boleh tak? Ini terbelit-belit.
“Sebab tu saya telefon ni. Saya nak awak kenal saya.”
Hah, sudah. Bab ini yang dia paling tak suka. Rasa macam nak terus matikan
talian. Tapi macam kurang ajarlah pulak.
“Er…maaflah encik. Saya ada banyak kerja nak buat ni.
Assalamualaikum.” Talian terus dimatikan. Kalau lewat sesaat sahaja pasti dia
kena melayan mamat yang tak tahu dari mana datang itu lagi.
“Ika!” Tak sempat dia nak menyambung. Wadi hampa. Ika
seakan tak berminat tapi dia memang ikhlas nak mengenali wanita itu. Wanita
yang berjaya membuka pintu hatinya saat pertama kali memandang. Dia dapat
rasakan Siti Zulaikha adalah calon isteri yang paling tepat untuk dirinya.
Tak apa. Dia akan cuba lain kali. Putus asa itu bukan
sifatnya. Mesti ada kesabaran untuk mendapatkan yang terbaik. Kalau hari ni tak
dapat, esok lusa mungkin masih ada harapan. Wadi menguntum senyum. Bukan senang
dia nak mendapatkan nombor telefon Siti Zulaikha. Puas dia pujuk Anas. Tinggal
tak belanja makan dekat hotel lima bintang saja lagi. Itu nanti, lepas dia dah
berjaya memikat Siti Zulaikha.
>>
Dia mahu buat perhitungan dengan Syarifah hari ini.
Memang nak kena kawan dia yang seorang ni. Tak padan dengan perut memboyot. Tak
habis-habis nak mengenakan dirinya. Siaplah dia nanti.
“Apasal muka kau ketat semacam je mak cik? Sakit perut
ke? Nak pergi toilet?” Dengan mulut yang penuh dengan makanan, masih ada hati
nak bercakap. Tak senonohlah perempuan ni. Ika mendengus.
“Eh, kau ni kenapa? Apa yang tak puas hati sangat ni? Kau
cemburu ya tengok aku makan banyak sangat. Maaflah, bukan aku yang nak makan,
ni baby dalam perut ni asyik nak makan macam-macam. Aku kan ibu mithali.
Terpaksa ikutkan saja.” Syarifah tersengih macam kerang busuk. Masih tak
berhenti menyuakan makanan ke dalam mulutnya. Mengandung baru enam bulan tapi
badan dah macam tong gas.
“Eeee…kau ni kan, aku tengah ada masalah ni kau masih
ada selera nak makan. Memanglah kau tak sayang aku.” Rajuk Ika membuatkan
Syarifah berhenti menyuapkan makanan ke mulutnya lantas ketawa melihatkan wajah
Ika yang muncung.
“Ish…ish…ish. Kesian dekat kawan aku yang seorang ini.
Ni, aku nak tanya apa masalah kau yang besar sangat ni? Sampai makan pun tak
selera, monyok aje. Putus cinta ya?” Serkap Syarifah membuatkan Ika mendengus
kasar. Geram. Bukan Syarifah tak tahu dia bukannya ada kekasih. Nak putus cinta
dengan siapa?
“Kau ni, aku serius kau main-main pulak. Geram
betullah.”
“Aku seriuslah ni. Aku tanya apa masalah kau? Cuba
cerita kat aku.” Kentang goreng disuakan ke dalam mulut.
“Sekarang aku nak tanya kau. Kau mesti jawab dengan
jujur. Kalau kau tipu, siap kau.”
“Eh, terbalik pulak. Aku tanya kau, kau tanya aku balik.
Hah, apa dia?” Syarifah menghirup minuman yang sudah tinggal separuh. Dia
bersandar seketika. Perutnya terasa ketat. Itulah, banyak sangat makan.
“Kau jawab jujur tau.” Sekali lagi Ika mengingatkan Syarifah.
“Iya. Kau tanyalah dulu. Barulah aku boleh jawab.” Entah
apa soalan yang serius sangat ni. Macam-macam kawannya yang seorang ni.
“Sya, ada tak kau bagi nombor telefon aku pada
siapa-siapa? Maksud aku mana-mana lelaki?” Dia malu nak tanya tapi kena tanya
juga.
“Hah?” Belum sempat jawab, Syarifah lebih dahulu ketawa.
“Tengok tu. Aku tanya ni, apasal kau tak jawab?” Dah
agak. Kalau tak kerana kawannya ini mengandung, memang teruk dia kerjakan.
“Tak adalah. Aku ingatkan kau nak tanya apa. Kenapa? Ada
orang kacau kau ya?” Syarifah masih tak mahu menjawab. Suka dia mengusik
kawannya ini. Ika buat muka tak puas hati.
“Aku tanya ni. Kau jawablah betul-betul. Ini yang malas
aku nak tanya kau ni.” Rajuk Ika. Menyesal pula rasanya. Baru saja nak
berkongsi cerita.
“Siapa Ika? Kau kenal dia ke?” Masih lagi tergantung
soalan daripada Ika tadi. Soalan lain pula yang ditanya.
“Kalau aku kenal, tak adalah aku tanya kau. Ish, dahlah.
Malas aku nak cakap dengan kau. Aku tanya lain kau jawab lain. Cepatlah makan,
aku nak balik.” Masih merajuk. Geram pun ada. Tunggulah lepas pantang nanti,
teruk dia kerjakan.
“Alah, merajuklah pula. Janganlah macam tu. Ok, aku
jawab soalan kau.” Pujuk Syarifah. Riak wajah Ika sudah menunjukkan sedikit
perubahan. Wajah ingin tahu. Hilang sedikit rajuknya.
“Seingat aku, tak ada pula aku bagi nombor telefon kau
pada sesiapa. Lebih-lebih lagi lelaki. Aku kenal sangat dengan kau. Daripada
aku kena sembur, baik aku berwaspada. Tapi kalau perempuan, adalah. Itupun masa
majlis kita hari tu. Lepas tu tak ada pula.” Terang Syarifah. Dia menghirup air
yang sudah mahu habis. Ika buat muka tak percaya. Bukan tak percayakan kawannya
tapi dia pun perlu berwaspada. Manalah tahu, Syarifah masih mahu mengenakannya.
“Kenapa kau pandang aku macam tu? Kau tak percaya cakap
aku?” Duga Syarifah. Ika mengalihkan pandangannya. Rasa bersalah. Tak patut dia
curiga sebentar tadi. Syarifah bukan macam tu.
“Aku bukan tak percaya. Curiga aje.” Berterus-terang.
Syarifah terdiam seketika. Ika rasa bersalah. Terasakah kawannya ini?
“Honestly,
memang aku tak pernah bagi nombor kau pada mana-mana lelaki. Kau pun tahukan,
manalah ada budak lelaki sekolah kita dulu tu yang berani dengan aku. Sekali
aku buka mulut aje semua dah cabut.” Syarifah cuba menghalau rasa curiga yang
bersarang di hati Ika. Dia melihat Ika mengangguk perlahan. Mungkin sudah
percayakan kata-katanya.
“Tapi tak tahulah aku kalau laki aku yang bagi. Kau
tahulah dia tu, memang baik dengan geng-geng lama dia. Tak apa, kau jangan
risau. Nanti aku tanyakan pada dia.” Syarifah memujuk Ika yang sudah kelihatan
agak tenang daripada mula-mula bertemu tadi.
“Aku bukan apa Sya, aku cuma tak suka aje bila ada orang
yang tak kenal ganggu aku. Rimaslah. Lebih-lebih lagi bila sudah cakap benda
mengarut. Ish, tak sukalah.” Adu Ika. Syarifah mengangguk. Dia faham benar
dengan perangai Ika. Tak berubah dari dulu. Anti sungguh dengan lelaki.
“Aku tahu.” Syarifah tersengih-sengih. Macam ada sesuatu
yang lucu sedang ditontonnya sekarang.
“Yang kau tersengih-sengih ni kenapa?” Tak pasal-pasal
pula minah ni.
“Eh, Ika. Suara dia macho tak? Kenapa kau tak layan aje?
Manalah tahu handsome macam Aaron Aziz ke, romantik lagi. Kau tak terasa nak
cuba ke?” Usik Syarifah. Kalau tak cuba mana nak tahu. Bukannya salah pun.
“Tak kuasa aku. Kalau suara aje yang macho tapi tuannya
hancur buat apa. Buang karan aje.” Balas Ika. Dia menghirup sedikit air yang
masih penuh di dalam gelasnya.
“Aku tahu siapa yang kau tunggu.” Serkap Syarifah.
Sengaja mahu menduga hati Ika. Tapi dia tahu, kawannya itu tak akan mengaku.
Berahsia sangat kalau bab cinta.
“Siapa?” Sedikit tersentak dengan pengakuan Syarifah.
Macam mana Syarifah boleh tahu? Dia ada tersalah cakap ke?
“Tu, Ally Iskandar kan?” Syarifah menuding jari ke arah
seorang lelaki yang gambar wajahnya terpampang pada poster TV3. Sepantas kilat
Ika memandang ke arah gambar yang ditunjukkan.
“Ish, kau ni. Ke situ pula. Kenal pun tidak.” Ika
melepaskan nafas lega. Maknanya Syarifah hanya bergurau. Selamat rahsia dia!
“Aku gurau ajelah. Oklah, dah lewat ni. Nanti membebel
pula laki aku kat rumah tu.” Dalam kepayahan dia bangkit dari kerusi. Perut
makin hari makin membesar.
“Sorrylah Sya, aku dah susahkan kau.” Ika memimpin
tangan kawannya semasa menuruni tangga. Berhati-hati.
“Tak ada hallah. Bukannya baru hari ni kau susahkan
aku.” Sempat lagi menyakat. Itulah dia Syarifah. Satu cubitan hinggap di
lengannya. Sempat lagi nak menyakat. Tak padan dengan berbadan dua. Ika geleng
kepala
Bab 20
Jenny mengusap perutnya yang sudah semakin membesar.
Sudah masuk enam bulan. Masih berbaki tiga bulan sebelum bayi kecil ini melihat
dunia. Dia sengaja meminta cuti hari ini. Ada perkara yang perlu diselesaikan.
Tak mahu bertangguh lagi. Hilmi tidak tahu rancangannya hari ini. Dia cuma
cakap yang dia mahu berehat.
Jenny menilik lagi penampilannya. Baju kemeja longgar
berwarna merah dipadankan dengan seluar putih. Rambutnya yang lurus separas
bahu dibiar lepas. Bibir dicalit sedikit pelembap. Berpuas hati. Tas tangan
pemberian Hilmi sewaktu hari jadinya tahun lepas dicapai. Belum sempat
melangkah keluar dari bilik, telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
“Hai sayang. Buat apa?” Suara Hilmi kedengaran riang.
“Tak buat apa-apa. Tengah rehat.” Bohong Jenny. Maafkan
sayang, abang. Sayang terpaksa.
“Dah makan?” Isterinya, jika tak diingatkan selalu,
memang tak buatlah jawabnya.
“Tadikan dah sarapan sama-sama. Masih kenyang lagi.” Jenny
melangkah keluar. Perlahan-lahan dia
berjalan menuruni tangga.
“Oklah kalau macam tu. Abang tak nak ganggu sayang
rehat. Petang nanti abang cuba balik awal.” Hari ini tak banyak sangat kerja
yang perlu dibereskan. Mungkin boleh pulang awal sedikit. Sekurang-kurangnya
tak adalah bosan sangat isterinya seorang di rumah.
“Tak apa. Abang buatlah kerja abang. Oklah. Bye.” Jenny
segera memutuskan talian setelah menjawab salam yang dihulurkan suaminya. Kunci
kereta dicapai. Tak sampai seminit, telefonnya berbunyi lagi. Dia mengeluh
perlahan. Apa lagi yang suaminya mahu.
“Hello.” Dia tak jadi nak keluar rumah. Mahu menunggu
sehingga talian dimatikan. Tak mahu Hilmi curiga.
“Assalamualaikum.” Satu suara lembut menyapa telinganya.
Tekaannya meleset. Bukan suaminya. Itulah, main jawab saja tanpa melihat siapa
yang memanggil.
“Waalaikumussalam. Mama. Saya baru nak keluar rumah ni.
Mama dah siap ke?” Dia menyambung balik hajat yang tergendala tadi. Pintu utama
rumah dikuak perlahan. Kemudian ditutup semula dan terus dikunci. Sandal tanpa
tumit dipakai ke kaki.
“Mama dah siap. Tunggu Nur Jannah saja ni. Ingatkan tak
siap lagi. Tak apalah kalau dah nak bergerak. Mama tunggu ya. Hati-hati drive
tu. Lambat tak apa. Mama boleh tunggu. Keselamatan awak tu lebih penting.”
Nasihat ibu mertuanya. Jenny hanya mengangguk perlahan sebelum memutuskan
talian.
Enjin kereta dihidupkan sebelum keretanya bergerak
perlahan meninggalkan perkarangan rumahnya. Ada getar di hatinya tapi dikuatkan
semangat. Semuanya demi anak yang dikandung. Dia mahu anak itu nanti kenal asal
keturunan. Biarlah apa pun yang bakal dia hadapi nanti, dia redha.
>>
“Nur Jannah betul-betul dah bersedia?” Puan Zalina minta
kepastian. Lama Jenny diam. Dia menarik nafas dalam. Mungkin mencari kekuatan.
“Saya redha mama. Biarlah apa pun penerimaan mummy dan
daddy nanti, saya redha.” Jenny yakin dengan kata-katanya. Dia tak mahu
melangkah ke belakang lagi.
“Jangan bimbang. Mama ada. Mama sentiasa sokong Nur
Jannah.” Puan Zalina menggenggam erat tangan menantunya. Jenny membalas erat.
Ini sahajalah kekuatannya saat ini di samping anak yang sedang menghuni
rahimnya.
“Thanks mama.” Jenny memulakan pemanduannya. Masih
diingat jalan ke rumah ibu bapanya. Tak susah pun. Walaupun getar sedang
melanda jiwanya, tapi dikuatkan juga hatinya.
Puan Zalina mengerling sekilas ke arah menantunya.
Kasihan. Sewaktu dihubungi Nur Jannah tiga hari lepas untuk menyatakan hasrat
hatinya, dia terus menurut. Dia tahu, Nur Jannah amat memerlukan dia saat ini.
Wanita muda ini perlukan kekuatan. Sebab itu dia tak berfikir panjang. Terus
sahaja bersetuju. Sepatutnya dia ke majlis perjumpaan persatuannya hari ini,
tapi terpaksa dibatalkan demi menantunya. Ini lebih penting.
Hampir satu jam memandu, Jenny memberhentikan keretanya
di hadapan sebuah rumah banglo yang tersergam. Banglo tiga tingkat itu
kelihatan suram dan sunyi. Pintu pagar besar membataskan penglihatan mereka
untuk melihat ke dalam. Jenny masih kaku di tempat duduknya. Hanya memandang
sekilas ke arah banglo berwarna putih jingga itu.
“Nur Jannah? Ini ke rumahnya?” Puan Zalina tidak pernah
ke sini. Maklumlah, sewaktu Nur Jannah dan anaknya berkahwin dulu, tak ada
majlis merisik atau meminang. Semuanya dilakukan di rumahnya.
“Saya takut mama.” Jenny tunduk. Sungguh, itulah yang
dia rasa sekarang ini. Sudah hilang kekuatan yang dia bina sejak tadi. Melihat
saja akan rumah ini, dia rasa takut. Terbayang bagaimana dia dihalau dulu.
Hampir tiga tahun tak menjejakkan kaki, ada rasa lain yang bertandang di dalam
hatinya.
“Nur Jannah, jangan cakap macam tu. Kita dah sampai
sekarang. Jangan sia-siakan peluang yang ada ni. Ingat, apa sebab Nur Jannah
buat semua ni? Ingat baby dalam perut tu.” Tangan lembut itu digenggam lagi.
Cuba mengalirkan kekuatan ke dalam jiwa wanita muda itu.
“Macam mana kalau mummy dengan daddy masih tak dapat
terima saya?” Persoalan itu diungkit lagi. Sungguh, semangatnya hilang
serta-merta.
“Nur Jannah. Belum cuba belum tahu. Kita turun ya?”
Masih cuba berusaha untuk memujuk. Jenny mengeras di tempat duduknya. Ada titis
air jernih yang mengalir keluar dari tubir matanya.
“Jangan macam ni sayang. Mama ada. Walau apa pun yang
berlaku, sayang dah mencuba. Selepas ini, terpulanglah kepada mereka. Cuba
bayangkan jika mereka memang menantikan kepulangan Nur Jannah selama ini. Kita
pergi jumpa mereka dulu ya?” Puan Zalina sudah keluar dari tempat duduknya. Dia
membuka pintu pemandu. Menyuruh menantunya keluar. Tapi wanita mualaf itu masih
mendiamkan diri.
“Kalau Nur Jannah masih berdiam diri macam ni, mama
terpaksa bertindak. Mama tekan loceng ya?” Seakan mengugut. Dia tahu hati
menantunya terlalu ingin berjumpa dengan ibu bapanya di dalam tapi perasaan
takut sedang menguasai wanita itu. Anak mana yang tak rindukan ibu bapa
sendiri.
“Mama…tunggu.” Mahu tak mahu terpaksa juga dia keluar
dari kereta. Berat rasa kakinya mahu terus melangkah ke hadapan.
“Kuatkan semangat. Mama ada. Jom.” Tangan menantunya
digenggam erat dan perlahan-lahan ditarik mendekati pintu pagar. Debaran di
dada Jenny kian kencang. Kakinya juga semakin menggeletar.
“Ding dong…ding dong…” Puan Zalina menekan loceng
berwarna putih itu. Jenny telan liur. Perut yang semakin kelihatan diusap
perlahan. Genggaman tangan ibu mertuanya masih tak dilepaskan.
Beberapa minit kemudian, pintu pagar automatik itu
terbuka. Terbentang di depan mata mereka berdua sebuah banglo yang cantik
dengan hiasan laman yang kemas dan bersih terjaga. Jenny sebak. Masih terbayang
di matanya taman yang menjadi tempat dia bermain dulu. Gelak ketawanya memenuhi
sekeliling rumah. Dialah permata hati mummy dan daddy.
“Nur Jannah…” Puan Zalina menepuk perlahan bahu
menantunya. Jenny tersentak. Hilang semua bayangannya sebentar tadi. Kembali
kea lam yang nyata. Di hadapannya kini rumah yang sudah bertahun ditinggalkan
tetapi masih tetap seperti dahulu. Sedikit pun tak berubah. Warnanya masih
sama. Pokok-pokok yang ditanam juga masih sama cuma susun aturnya sedikit
berbeza. Memang itu hobi mummy.
“Kita masuk ya.” Nur Jannah tak menjawab tapi mahu tak
mahu dia terpaksa juga melangkah apabila ibu mertuanya menarik tangannya ke
dalam. Belum sempat mereka sampai ke pintu utama, seorang wanita dalam
lingkungan tiga puluhan keluar dari dalam rumah. Jenny mengamati wajah itu. Dia
tak kenal. Mungkin pembantu rumah yang baru.
“Maaf, puan berdua ni mahu cari siapa?” Masih kedengaran
pekat loghat Indonesia wanita itu. Jenny memandang ke arah Puan Zalina.
“Kami nak jumpa tuan rumah. Mereka ada?” Puan Zalina
melemparkan senyuman. Jenny masih lagi memerhatikan sekeliling rumah itu.
Sesekali matanya mencuri pandang ke dalam rumah tapi terhalang oleh pintu besar
yang hanya terbuka sedikit.
“Maaf. Puan ini siapa ya?” Tak pernah dia lihat
kedua-dua wanita ini. Seorang memang wanita melayu. Seorang lagi persis wanita
Cina tapi dia kurang pasti apa.
“Oh ya. Maafkan saya. Saya Zalina. Ini menantu saya, Nur
Jannah. Kami ada hal penting nak jumpa dengan tuan rumah.” Pembantu rumah warga
Indonesia itu mengangguk faham.
“Sekali lagi minta maaf ya Puan Zalina. Tuan dengan puan
nggak ada di rumah. Mereka keluar. Nggak tahu kapan pulangnya.” Puan Zalina
mengeluh perlahan. Sia-sia mereka datang hari ini. Hasrat menantunya tak
kesampaian. Jenny tunduk. Mungkin kecewa.
“Uncle, ini ada orang mahu jumpa sama tuan dan puan.
Tapi tuan dan puannya nggak ada.” Seorang lelaki tua muncul dari arah belakang.
Serta-merta Puan Zalina dan Jenny berpaling ke belakang. Lelaki yang mungkin
sudah melebihi separuh abad itu memandang kedua-dua wanita di hadapannya. Dia
mengesat peluh yang membasahi dahi. Topi besar yang menutupi kepala
ditanggalkan. Bulat mata Jenny memandang. Dia kenal sangat dengan lelaki tua
ini.
“Uncle Lim.” Menitis air matanya. Harap-harap lelaki ini
masih mengenali dirinya. Lelaki itu mengecilkan matanya. Cuba mengamati wanita
yang baharu sahaja menyebut namanya. Lama. Jenny mendekati lelaki itu.
“Jenny?” Dia rasa dia tak silap orang. Memang yang
berada di hadapannya ini adalah Jenny. Anak majikannya.
“Ya uncle. Ini Jenny.” Syukur, Uncle Lim masih kenal.
Dia cuba mengukir senyum walaupun dalam juraian air mata.
“Jenny, mana lu pergi. Uncle rindu sama lu. Kenapa lu
tak balik sini?” Bahu Jenny ditepuk-tepuk. Seakan tak percaya dengan apa yang
dilihat sekarang. Bertahun dia tak melihat gadis yang membesar di hadapannya
itu.
“Maafkan saya uncle. Mummy dengan daddy…” Ayatnya mati
di situ. Tak sanggup nak teruskan. Air matanya bercucuran lagi. Mengenangkan
kedua-dua orang tuanya itu membuatkan dia makin sebak.
Puan Zalina juga sebak. Dia cuba menyeka air mata yang
mahu mengalir. Sella, si pembantu rumah terpinga-pinga. Siapa sebenarnya wanita
berwajah cina itu? Kenapa Uncle Lim kenal dia? Dia cuba mengamati lagi wajah
Nur Jannah atau Jenny itu. Seakan pernah dilihat wajah wanita ini di mana-mana.
Tapi dia tak pasti.
“Kita masuk dulu. Nanti mummy dengan daddy lu balik.
Jumpa mereka.” Puan Zalina memberi isyarat kepada menantunya supaya menurut
kata Uncle Lim.
“Tunggu di belakang sajalah uncle. Lagipun, lama saya
tak tengok kolam ikan di belakang tu.” Uncle Lim mengangguk.
“Suka hati lu lah. Ini pun rumah lu jugak.”
Ketiga-tiganya menapak ke belakang rumah. Sebuah kolam ikan yang sederhana
besar dengan taman yang dihias cantik menghiasi mata mereka. Jenny ukir senyum.
Tak sangka dia masih berpeluang melihat pemandangan ini. Tempat kegemarannya.
Uncle Lim yang menjaga ikan-ikan dan taman ini.
“Duduk sini. Uncle mahu masuk sekejap.” Lelaki tua itu
ukir senyum. Dia gembira. Memang dia rindu dengan anak majikannya yang manja
itu. Gadis baik yang selalu mendengar kata. Tapi peristiwa beberapa tahun lepas
membuatkan semuanya jadi kucar-kacir.
“Cantik rumah ni. Mama tak tahu pun yang mummy dengan
daddy Nur Jannah ada rumah besar macam ni.” mata Puan Zalina mengamati
pemandangan sekeliling. Pohon buluh hidup subur. Begitu juga dengan beberapa
pokok hiasan lain. Pandai orang ini jaga.
Bab 21
Sella berlari-lari anak mendapatkan Uncle Lim di dapur.
Dia mahu tahu siapa wanita yang baharu sahaja datang ke rumah majikannya itu.
Tak puas hati selagi tak dapat tahu perkara sebenar.
“Uncle, sebenarnya siapa puan itu? Uncle kenal ya?”
Uncle Lim yang sedang meneguk air berpaling. Memandang ke arah Sella yang penuh
tanda tanya. Wanita itu memang tak kenal siapa Jenny kerana dia datang selepas
Jenny keluar daripada rumah ini.
“Itu Jenny. Anak tuan dengan puan.” Uncle Lim membawa
gelas ke sinki. Dia menapak semula ke luar rumah.
“Anak tuan dan puan?” Patutlah dia macam pernah lihat.
Baru dia ingat, dia pernah lihat gambar wanita cantik itu semasa mengemas bilik
majikannya. Bukan sekali dua, Tapi beberapa kali juga. Gambar itu tersimpan di
bawah bantal puan. Dia tertanya-tanya juga, siapa wanita muda itu dan kenapa
puan simpan gambar itu di bawah bantal. Sekarang baru dia tahu. Tapi kenapa baru
sekarang anaknya itu muncul? Ke mana dia selama ini?
“Sella, buatkan air.” Arah Uncle Lim seraya keluar.
Sella mengangguk walaupun kepalanya penuh tanda tanya.
Uncle Lim mengambil tempat di hadapan Jenny. Kasihan dia
melihat wanita muda ini. Bukan kecil dugaan yang terpaksa ditempuh. Matanya
menyorot ke arah perut Jenny yang kelihatan berisi. Mengandungkah? Dia ukir
senyum.
“Lu mengandung? Sudah berapa bulan?” Jenny memegang
perutnya. Inilah punca kekuatannya sehingga dia boleh sampai ke sini.
“Sudah masuk enam bulan uncle.” Uncle Lim mengangguk.
Kemudian dia beralih pula kepada wanita di sebelah Jenny.
“Ini mak mertua lu ke?” Puan Zalina ukir senyum. Dia
mengangguk perlahan.
“Saya Zalina. Ibu mertua Nur Jannah.” Puan Zalina
memperkenalkan diri. Dahi Uncle Lim sedikit berkerut. Mungkin dia keliru.
“Itu nama Islam saya uncle.”
“Oh, uncle lupa. Biasalah sudah tua.” Mereka sama-sama
ketawa. Suasana senyap seketika.
“Mummy dengan daddy masih marahkan saya ya uncle?” Jenny
tunduk. Suaranya jelas ada getar. Uncle Lim tak segera menjawab.
“Lu jangan fikir banyak. Mummy dengan daddy lu marah
sekejap saja. Luar saja nampak marah, tapi uncle tahu, dalam hati mereka rindu
sama lu.” Mungkin itu jawapan yang terbaik. Dia juga seorang bapa. Dia tahu
perasaannya.
“Tapi kalau mereka tak marah, kenapa mereka tak pernah
datang cari saya? Kenapa tak jawab panggilan saya?” Sekali lagi Uncle Lim diam.
Entah bagaimana dia mahu tenangkan hati Jenny.
“Mungkin dia orang tak tahu mahu cari lu di mana.
Lagipun, lepas lu pergi, mummy lu tak sihat. Selalu saja sakit. Mungkin rindu
sama lu.” Memang ketara perubahan Puan Wong selepas ketiadaan Jenny. Selalu
saja termenung. Makan pun tak banyak. Dalam sebulan, mesti dua tiga kali ke
klinik.
“Mummy sakit?” Jenny sudah tak dapat nak menahan air
matanya. Rasa bersalahnya makin menebal. Memang dia yang menyebabkan mummy
sakit.
“Sakit orang tua saja. Lu tau sajalah mummy lu itu. Tak
suka makan ubat.” Masih cuba untuk menenangkan hati Jenny.
“Kasihan mummy.” Bahunya sudah terhinjut-hinjut. Terlalu
rindu pada orang tuanya.
“Sabarlah Nur Jannah. Nanti kita boleh jumpa mereka.”
Puan Zalina mengusap bahu menantunya. Entah sudah kali yang keberapa menantunya
ini merembeskan air mata. Kasihan sungguh.
Bunyi deruman enjin kereta yang memasuki perkarangan
rumah menarik perhatian mereka bertiga. Jenny mengelap pipinya yang basah. Dia
memandang ke arah Uncle Lim dan Puan Zalina silih berganti. Genggaman tangan
ibu mertuanya makin kuat.
“Mungkin mummy dengan daddy lu sudah balik.” Uncle Lim
angkat punggung. Mahu menjemput kepulangan majikannya.
“Mama, saya takut.” Jenny meluahkan kegusarannya.
“Tak apa. Mama ada. Kita dah tak boleh patah balik. Kita
dah ada kat sini.” Cuba memberi sedikit semangat kepada menantu kesayangannya.
“Siapa punya kereta di luar tu? Ada tetamu?” Soal Puan
Wong apabila melihat Uncle Lim.
“Ada. Mereka tunggu di taman.” Beberapa saat kemudian,
terjegul wajah Sella di muka pintu utama.
“Puan, tuan. Ada tetamunya di belakang. Bilang Uncle
Lim…”
“Tetamu dah lama tunggu. Puan pergilah.” Tak sempat
Sella habiskan ayatnya, Uncle Lim terlebih dahulu memotong. Memberi isyarat
kepada Sella supaya diam.
“Siapa Lim?” Tanya Tuan Wong yang sudah masuk ke dalam
rumah. Puan Wong membuntuti langkah suaminya.
Tuan Wong terlebih dahulu sampai ke taman. Puan Wong
berdiri di sebelahnya. Ada dua orang wanita di hadapannya. Seorang lengkap
bertudung dan seorang lagi tertunduk ke lantai, menghalang mereka untuk melihat
wajahnya.
“Nur Jannah…” Degupan jantung Jenny jelas kedengaran.
Kenapa dia begitu takut untuk berhadapan dengan kedua-dua orang tuanya?
“Maaf, kamu berdua ini siapa?” Tanya Tuan Wong apabila
dia gagal untuk mengingat siapa yang berada di hadapannya ini. Dahi Puan Wong
berkerut. Sedaya upaya dia cuba untuk melihat wajah wanita yang masih lagi tertunduk
itu. Hatinya berkata yang dia kenal akan wanita itu.
“Maafkan kami Tuan dan Puan Wong. Saya Zalina dan ini
menantu saya, Nur Jannah.” Puan Zalina bangun dari duduknya, menarik bersama
Jenny untuk berdiri.
“Ini…” Dada Puan Wong berombak kencang. Ya, memang dia
kenal dengan wanita yang seorang lagi itu. Walaupun wanita itu tidak mengangkat
mukanya, tapi dia memang kenal.
“Kau?” Muka Tuan Wong berubah bengis. Tetamu yang
betul-betul tak dijangkanya.
“Mummy…daddy…” Bergetar bibir Jenny bila mengungkapkan
dua perkataan keramat itu. Perlahan-lahan dia mengangkat mukanya.
Puan Wong mahu maju ke hadapan tetapi pantas tangannya
direntap oleh Tuan Wong, menghalang langkahnya. Wanita itu sudah mengongoi.
Hari-hari dia menunggu kepulangan anaknya dan sekarang bila sudah berada di
depan mata, suaminya pula menghalang.
“Daddy, maafkan saya. Mummy…” Jenny juga mengongoi.
Hanya Tuhan yang tahu betapa dia mahu memeluk kedua-dua insan yang berada di
hadapannya itu. Tapi wajah bengis daddynya buat dia gerun.
“Buat apa kau datang sini lagi? Tak puas lagi mahu
sakitkan hati kami?” Sesungguhnya amarah Tuan Wong masih belum reda. Jenny
terduduk. Dia tak mampu nak melawan lelaki itu. Serta-merta kekuatannya kendur.
“Arghhh…” Jenny memegang perutnya yang tiba-tiba sakit.
Dia mengerang.
“Nur Jannah!” Puan Zalina kaget. Segera mendapatkan
menantunya. Puan Wong juga kaget. Apa yang terjadi kepada anaknya. Riak wajah
Tuan Wong yang tadi bengis juga sudah bertukar.
“Puan Wong, tolong saya angkat dia.” Segera Puan Wong
berlari mendapatkan Jenny yang sedang mengerang.
“Kenapa ni Jenny?” Badan Jenny dipapah masuk ke dalam
rumah. Dibaringkan tubuh itu ke atas sofa.
“Cepat call Doktor Vincent.” Arah Puan Wong kepada
suaminya yang masih tercegat di tempat tadi. Suara Jenny makin kuat. Tuan Wong
terpaksa mengikut arahan.
“Sabar Nur Jannah. Kuatkan semangat.” Puan Zalina dan
Puan Wong cuba menenangkan Jenny.
Suara Jenny yang tadinya kuat semakin mengendur.
Nafasnya juga semakin perlahan. Sesaat, dua saat, Jenny diam tak bergerak.
Kedua-dua wanita di sisinya makin tak keruan bila melihatkan Jenny sudah tak
sedarkan diri. Tuan Wong juga makin menghampir. Dia juga bimbang sebenarnya.
Jenny satu-satunya anak yang dia ada.
“Jenny!!” Raung Puan Wong. Dia sendiri semakin lemah.
Sudahlah lama tidak bertemu. Bila sudah bertemu, ini pula jadinya. Kasihan
anaknya.
>>
Doktor Vincent memeriksa nadi Jenny. Lemah. Beralih pula
kepada kandungannya. Normal tapi sedikit lemah. Stetoskop dimasukkan semula ke
dalam beg. Jenny sudah sedar tapi masih lemah. Puan Wong masih teresak-esak di
sebelah. Mengusap perlahan kepala anaknya.
“Macam mana dengan anak saya doktor?” Puan Wong segera
bertanya setelah Doktor Vincent menyelesaikan tugasnya.
“She’s ok tapi
perlukan rehat. Jangan bagi dia stress. Kandungan juga ok. Don’t worry. She will be fine.
Yang penting, rehat yang cukup dan jangan stress.” Doktor yang sebaya Tuan Wong
itu menguntum senyum. Cuba untuk menenangkan perasaan ahli keluarga yang lain.
“Poor my baby.”
Puan Wong mengucup ubun-ubun Jenny. Tersentuh hati Puan Zalina. Rupanya selama
ini Puan Wong menanggung rindu terhadap anaknya. Tapi disebabkan suaminya, dia
terpaksa memendam perasaan. Dia bersyukur, doa menantunya dimakbulkan.
“Jangan risau Puan Wong. Nur Jannah kuat semagat
orangnya. Dia pasti cepat sembuh.” Puan Wong mengangguk. Dia juga tahu itu.
Anaknya memang seorang yang sangat tabah. Dia yang lemah.
“Terima kasih sebab jaga anak saya dengan baik selama
ini. Saya memang betul-betul tak guna sebab tak pandai jaga dia.” Kedua-dua
wanita itu sudah berada di laman rumah. Membiarkan Jenny berehat seketika.
“Puan Wong jangan cakap macam tu. Semua ini semua satu
dugaan. Dugaan untuk menguji kekuatan kasih sayang kita. Saya tahu, Nur Jannah
sayang sangat dengan mummy dan daddynya. Sebab itu, dia kuatkan juga semangat
untuk datang hari ini walaupun dia tak tahu apa penerimaan yang dia akan
dapat.” Puan Wong menunduk. Terbayang kembali apa yang telah berlaku beberapa
tahun dahulu. Jenny dihalau tanpa belas kasihan.
“Kami memang tak dapat terima bila dia mahu tukar agama
dan kahwin dengan orang melayu. Dia satu-satunya anak kami. Itu sebab kami
sukar nak terima. Tapi lepas Jenny tinggalkan rumah, barulah saya dapat
berfikir. Dia tak bersalah. Kami yang ego.” Airmatanya mengalir lagi. Menyesali
apa yang sudah berlaku.
“Dahlah Puan Wong. Semua dah berlaku. Tak guna kita
ingat lagi. Sekarang, kita boleh mulakan yang baru. Kita perlu bagi semangat
pada Nur Jannah. Dia bakal melahirkan cucu kita tak lama lagi. Keturunan kita.
Walaupun berlainan agama, kita tetap satu keluarga. Darah yang mengalir dalam
tubuh Jenny dan bakal cucu kita nanti tetap sama dengan darah yang mengalir
dalam tubuh Puan Wong.” Pujuk Puan Zalina. Puan Wong mengangguk perlahan.
Mungkin baru terfikir akan hal itu.
Disebalik dinding batu yang memisahkan antara ruang
dalam dan luar rumah, Tuan Wong berdiri tegak. Setiap kata-kata Puan Zalina
meresap ke jiwanya. Dia berfikir sejenak. Kata-kata itu memang ada betulnya.
Dia yang ego. Pandangan dihala ke arah Jenny yang masih terbaring di sofa. Kasihan
anaknya. Tak pasal-pasal menjadi mangsa egonya yang menggunung.
Bab ni cam ulang je.bab 7,8,9 xsilap
ReplyDeleteoh yeke?saya xperasan pulak...nnt saya cek balik ya!btw..thnks for d info :)
ReplyDelete