ok..silalah ye..komen sket ok!!
Siti
Fatimah memencilkan diri di dalam bilik. Tak berminat nak menyertai ahli
keluarganya yang lain yang sedang bersemangat membuat persiapan untuk hari
esok. Dia sikit pun tak ada hati nak buat semua tu. Hati dia dah dipenuhi
dengan rasa benci, sakit, geram dan semua yang seumpama dengannya. Tadi pun dia
hanya makan sesuap dua. Seleranya memang tertutup terus.
“Biasalah
tu mak. Orang tengah berdebar-debar, mana ada selera nak makan.” Usik Kak Long.
Siti Fatimah buat-buat tak dengar. Pinggan yang masih berbaki makanan dibawa ke
sinki.
Hatinya
sebak. Tak ada sesiapa untuk dia mengadu nasib. Nak mengadu dengan Kak Teh,
mesti Kak Teh cakap dia mengarut. Lagipun Kak Teh tengah sibuk mengemas rumah.
Setitis air matanya gugur. Kenapa nasib dia malang sangat? Bukannya dia tak nak
kahwin, tapi belum masanya lagi. Belum jumpa yang berkenan di hati. Kenapa
Ryzal buat dia macam ni? Apa salah dia?
Telefon
dicapai. sekali lagi dia membuat panggilan kepada Ryzal. Hampa. Panggilannya
masih tak berjawab. Makin laju air matanya gugur. Kemudian dia membuat
panggilan kepada seseorang. Bob adalah harapannya.
“Bob,
tolong aku Bob.” Rintihnya. Dah tak tahu nak mengadu kat siapa.
“Kau
ni dah kenapa nyah? Cuba kau cerita elok-elok kat aku.” Buang tebiat ke
menangis tengah-tengah malam ni. Macam Pontianak sudah gayanya.
“Ryzal
kejam!”
“Apa
lagi dia dah buat dekat kau?” Tumpuan kepada drama korea lakonan hero
kegemarannya, Lee Dong Wook, terganggu.
“Dia
suruh mak dia hantar rombongan esok. Dia paksa aku kahwin dengan dia.”
Tangisannya tak mampu ditahan lagi. Bantal ditekup ke muka. Tak mahu
orang-orang di luar dengar tangisannya. Jiwanya betul-betul terseksa.
“Hah?
Kau biar betul Siti. Kenapa dia buat macam tu?” Memang tumpuannya kepada Lee Dong
Wook hilang seratus peratus.
“Aku
tak tahu Bob. Masa aku balik lepas jumpa kau petang tadi, mak aku bagitahu
berita ni. Aku tak tahu nak cakap apa. Aku betul-betul bingung. Aku tak tahu
nak mengadu dekat siapa. Kau tolonglah aku Bob. Aku tak nak kahwin dengan dia.”
Siti Fatimah mengongoi. Tolonglah faham perasaannya. Dia tak nak kahwin dengan
Ryzal. Tak nak!
“Habis
tu kau nak aku buat apa? Larikan kau? Aku tak nak subahat.” Apa yang dia boleh
buat? Kalau Siti Fatimah ada depan mata bolehlah dia pujuk.
“Kau
buatlah apa saja asalkan aku tak kahwin dengan dia.” Siti Fatimah sendiri pun
tak tahu nak suruh Bob buat apa.
“Manalah
aku tahu nak buat apa. Aku ni tukang jahit aje tau. Bukannya samseng. Kalau
samseng bolehlah aku pergi tumbuk si Ryzal yang tak tahu malu tu.” Dia pun naik
geram dengan Ryzal. Suka-suka hati nak paksa orang kahwin dengan dia. Dah desperate sangat ke apa?
“Hah,
kau datang rumah aku. Lepas tu kau cakap yang kau nak kahwin dengan aku. Kau
cakaplah yang kita memang bercinta. Bob, kau buatlah apa saja Bob.” Idea gila
dah datang. Bob sajalah harapannya. Tipu sunat tak apa. Demi masa depannya.
“Kau
gila? Belum sempat aku buka mulut, rasanya mak kau dah halau aku dengan penyapu
lidi. Tak naklah aku.” Nak mati? Sah-sah keluarga Siti Fatimah tak akan terima.
“Habis
tu aku nak buat macam mana Bob? Tolonglah aku.” Siti Fatimah dah tak berdaya
nak berfikir. Tak sanggup dia nak bayangkan apa yang akan berlaku esok.
“Macam
mana ya? Macam nilah, aku rasa kau kena juga bagitahu keluarga kau pasal Ryzal.
Manalah tahu mereka boleh terima. Masih ada masa lagi kalau nak batalkan.” Itu
saja yang dia boleh tolong. Dia tak ada hak nak batalkan majlis pertunangan
itu.
“Aku
tak sanggup nak bagitahu mereka. Kau tahu tak, sekarang ni mereka semua sedang
bersemangat buat persiapan untuk hari esok. Makanan pun dah tempah.
Adik-beradik aku pun semua dah sepakat nak balik esok.” Sungguh dia tak
sanggup. Emak paling bersemangat. Awal-awal lagi dia dah suruh Mak Ngah Nab
buatkan pulut kuning. Baju pun Kak Long dengan Kak Teh dah belikan.
“Payah
juga kalau macam tu. Siti, aku rasa kau bersabarlah sampai esok. Kau berlagak
saja macam biasa. Biar pertunangan tu berlangsung. Kau masih ada masa sebulan
untuk batalkan semuanya.” Idea yang dia sendiri pun serba-salah nak sebut. Kalau
boleh tak naklah jadi macam tu. Tapi dah tuan empunya badan sendiri yang tak
nak.
Siti
Fatimah dah tak mampu nak berkata apa. Dia pun pernah fikirkan perkara yang sama.
Tapi, mampukah dia untuk memutuskan pertunangan itu disaat semua orang sedang
bergembira? Ah, dia dah tak boleh nak berfikir.
“Kau
rehatlah dulu. Esok kau tu dah jadi tunang orang. Nanti bengkak mata tu tak
cantik pula. Lari pula abang Ryzal.” Sengaja dia bakar hati Siti Fatimah yang
dah memang sedia terbakar.
“Bob!
Kalau dia lari pun lagi bagus.” Pergilah lari jauh-jauh. Lelaki itu tak
diperlukan dalam hidupnya. Menyusahkan orang saja.
“Aku
gurau sajalah. Amboi, makin dekat nak kahwin makin garang.” Ketawa Bob meledak.
“Bob!
Kurang asam kau ya.” Bob terlebih dulu putuskan talian. Tak sanggup nak dengar
sumpah seranah Siti Fatimah.
Siti
Fatimah kembali melayan sendunya. Betapa dia tertekan memikirkan hari esok.
Entah bila dia terlena pun dia tak tahu. Malam ini mimpinya tak seindah biasa.
Ryzal senyum sinis memandangnya. Dia cuma mampu berendam air mata.
>>
Rombongan
pihak lelaki akan sampai bila-bila masa sahaja. Siti Fatimah sudah cantik
didandan oleh kakak-kakaknya. Senyuman langsung tak terpamer di wajahnya sejak
awal tadi. Dah macam patung bernyawa lagaknya. Hanya mengikut dan menerima apa
yang orang lain buat pada dirinya.
“Dah
cantik dah adik Kak Long. Mesti tak berkelip si Ryzal tu tengok nanti.” Usik
Kak Long. Siti Fatimah langsung tak terusik. Hingga ke saat ini pun dia masih
terfikir macam mana nak batalkan semua ini. Macam nak lari dari rumah pun ada.
“Mak
Ucu, Pak Ucu dah sampai.” Kecoh mulut Farah, anak ketiga Kak Long menyampaikan
berita.
“Amboi,
awalnya. Ini mesti kes tak sabar nak tengok bakal tunang dia.” Masih mahu
mengusik. Cakaplah apa saja pun, Siti Fatimah dah tak kisah. Tak ada langsung
rasa teruja seperti orang lain.
“Kak
Long dengan Kak Ngah keluar dulu. Siti duduk sini diam-diam tau.” Tak ada
respons. Tinggal Siti Fatimah seorang diri di dalam bilik. Dia pandang cermin
di hadapan. Melihat pantulan wajahnya. Bibirnya dioles dengan gincu warna merah
hati. Ada celak dan maskara juga. Sesuatu yang tak pernah dibuatnya. Tapi
disebabkan dia hanya mampu membatu tadi, dia terpaksa terima.
“Mak
Ucu, kereta Pak Ucu semuanya besar-besar. Pak Ucu kaya ya Mak Ucu? Nanti
bolehlah Iqbal suruh dia belanja Iqbal makan KFC hari-hari. Tak pun belikan
kereta mainan banyak-banyak. Boleh tak Mak Ucu.” Siti Fatimah kerut dahi.
Pandai sungguh budak bertuah ni. Kaya sangat ke? Siti Fatimah mengintai dari
tingkap biliknya. Terlopong mulutnya. Agaklah. Ada dua buah kereta Mercedes.
Satu lagi kereta dia tak pasti kereta apa. Tapi memang nampak mewah. Apa kerja
Ryzal sebenarnya? Siapa keluarga Ryzal?
“Boleh
tak Mak Ucu?” Iqbal ulang semula soalannya.
“Hah?
Boleh.” Apa sebenarnya yang Iqbal minta tadi?
“Mak
Ucu, nantikan, kalau Mak Ucu kahwin, Mak Ucu duduk dengan Iqbal lagi ke?” Agak
terkejut dia dengar soalan Iqbal. Apa maksud si kecil ni?
“Kenapa
Iqbal tanya macam tu?” Dia mengusap perlahan ubun-ubun anak saudaranya. Anak
saudara yang paling rapat dengannya. Sejak lahir, memang dia yang jaga Iqbal.
“Nanti
kalau Mak Ucu tak ada, siapa nak main PS2 dengan Iqbal? Tak bestlah main dengan
Along. Boring.” Nak tergelak Siti Fatimah dengar pengakuan anak saudaranya yang
seorang ini. Boleh pula dia fikir sampai ke situ.
“Iqbal
tak payah risau. Mak Ucu akan tetap tinggal dengan Iqbal.” Tak duduk sini nak
duduk mana lagi? Kahwin pun belum. Entah jadi entah tidak.
“Janji?”
“Janji.”
Siti Fatimah mengucup pipi gebu Iqbal. Melompat si kecil itu. Serta-merta dia
keluar dari bilik.
“Siti,
jom keluar. Mereka nak jumpa Siti.” Kak Long membawa adiknya keluar dari bilik.
Perasaan Siti Fatimah? Dia sendiri tak pasti. Memang sedikit berdebar tapi dia
langsung tak gembira.
“Siti,
salam dengan Datin Maria. Inilah mama Ryzal.” Siti Fatimah menyalami wanita
cantik di hadapannya. Datin? Kenapa dia tak tahu pun?
“Tak
payah nak berdatin-datin dengan saya Kak Mah. Siti Fatimah panggil saja mama.
Cantik Siti Fatimah. Tak hairanlah kalau Ryzal berkenan pun.” Puji Datin Hajah
Maria. Bukan setakat Ryzal yang berkenan, dia pun sama. Siti Fatimah hanya
mampu senyum.
Cincin
emas bertatahkan sebutir berlian disarung kemas ke jari manis Siti Fatimah.
Saat itu hanya Tuhan yang tahu betapa luluhnya hati wanitanya. Semua yang
berlaku sekarang bukan atas kerelaannya. Dia sekadar berlakon. Berlakon untuk
mengekalkan senyuman di wajah emak dan ahli keluarganya yang lain. Adakah ini
satu pengorbanan?
“Alhamdulillah,
semuanya pun dah selamat. Lepas ni, bolehlah kita buat persiapan untuk majlis
pernikahan mereka pula.” Datin Hajah Maria tak lepas menggenggam tangan bakal
menantunya. Dia gembira. Gembira sangat.
“Harap-harapnya
begitulah datin. Kami pun tak adalah nak buat besar-besar sangat. Setakat yang
termampu saja.” Baru tadi dia tahu yang bakal besannya ini berpangkat datin.
Hari tu datang, langsung tak berlagak macam datin.
“Tak
apa Kak Mah. Kami pun nak minta maaflah sebab majlis belah kami lambat sikit
sebab nak tunggu adik Ryzal nikah dulu.” Siti Fatimah sekadar mendengar. Dia
langsung tak tahu apa-apa. Bila tarikhnya pun dia tak tahu.
“Kami
tak kisah. Asalkan semuanya berjalan lancar, itu dah cukup baik.” Majlis itu
tak penting. Yang pentingnya akad. Rasanya macam dah tak sabar nak tengok anak
bongsunya ini naik pelamin.
“Mak,
makanan dah siap.” Kak Chik berbisik kepada emak.
“Mari
datin. Kita jamu selera. Kami buat ala kadar saja.” Datin Hajah Maria
mengangguk.
Siti
Fatimah tak ada selera nak makan. Matanya melilau mencari kelibat Ryzal. Dia
mahu menuntut penjelasan daripada lelaki itu. Dia menghampiri tingkap rumah.
Ryzal sedang leka bermain dengan anak-anak saudaranya. Mereka nampak sangat
mesra. Pandai juga mamat tu layan budak-budak. Siti Fatimah terleka seketika
tapi kemudian dia tersedar. Ada perkara yang perlu diselesaikan.
“Ryzal,
boleh kita bercakap sekejap?” Siti Fatimah langsung tak memandang ke arah Ryzal
yang kini sudah sah menjadi tunangnya. Ryzal pandang Siti Fatimah dari atas ke
bawah. Terkesima sekejap. Cantik.
“Ada
apa?” Lembut suaranya. Dia mendekati Siti Fatimah membuatkan wanita itu jadi
tak selesa. Siti Fatimah melangkah menjauhi Ryzal.
“Kenapa
awak buat macam ni?” Suaranya bergetar. Dia sedang menahan sakit hatinya. Air
mata yang bergenang juga cuba ditahan supaya tak mengalir.
“Buat
apa?” Sengaja buat-buat tak faham.
“Pleaselah
Ryzal. Tak payah pura-pura tak tahu. Apa niat awak sebenarnya?” Dia
memberanikan diri menentang wajah tunangnya. Tapi tak boleh lama. Mata Ryzal
sangat tajam.
“Ok.
Niat saya? Tak ada niat apa-apa. Saya rasa awak sesuai jadi isteri saya. Sebab
tu saya suruh mama langsungkan pertunangan ni.” Senang saja jawapannya. Siti
Fatimah kecilkan matanya. Macam tak percaya yang Ryzal akan cakap begitu. Mamat
ni ingat kahwin tu perkara main-main ke?
“Tapi
saya kan dah cakap saya tak sukakan awak dan saya tak nak kahwin dengan awak.”
Suaranya sedikit tinggi. Ryzal letak jari telunjuknya di bibir.
“Jangan
kuat-kuat. Nanti orang lain dengar.”
“Biarlah
orang lain dengar pun. Apa masalahnya? Biar dia orang tahu yang awak ni
sebenarnya lelaki tak guna.” Biar padan muka Ryzal. Baru puas hatinya.
“Takkan
awak nak suruh mak ayah awak dengar kut? Nak tengok mereka berdua menangis?”
Siti Fatimah terdiam. Dah berani nak mengugut pula? Memang dasar lelaki tak
tahu malu.
“Ah,
tak kisahlah. Sekarang ni saya nak tahu kenapa awak buat semua ni.” Hatinya
bertambah geram. Menyampah betul dengan sikap tak serius Ryzal.
“Kan
tadi abang dah cakap. Abang nak Siti Fatimah Adrianna jadi isteri abang.” Siti
Fatimah ketap bibir. Ryzal senyum nakal.
“Itu
saja?” Siti Fatimah memang tak puas hati. Ryzal mengangguk.
“Baik.
Kalau itu yang awak nak, saya tak ada bantahan. Tapi ingat, saya akan pastikan
yang awak akan menyesal!” Keras. Kalau Ryzal boleh buat sesuka hatinya, dia pun
boleh. Jangan harap dia akan mengalah. Setitis air mata gugur juga. Tak mampu
untuk ditahan.
“Mak
Ucu, kenapa Mak Ucu menangis?” Cepat-cepat Siti Fatimah menyeka air mata yang
mengalir. Dia cuba untuk senyum.
“Eh,
mana ada Mak Ucu nangis. Mata Mak Ucu masuk habuklah sayang.”
“Mak
Ucu sedih sebab Pak Ucu dah nak balik. Nanti Mak Ucu rindu.” Ryzal senyum
nakal. Dia melirik ke arah Siti Fatimah yang ternyata sedang menahan geram. Ada
dia kisah?
Iqbal
senyum. Kemudian dia berlari menyertai sepupu-sepupunya yang lain. Siti Fatimah
pun tak menunggu lama. Pantas kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Boleh
gila dibuatnya kalau lama-lama duduk dengan Ryzal. Tak ada maknanya dia nak
rindu. Tak jumpa seumur hidup pun lagi bagus!
best...
ReplyDeletenak tahu jgak cara siti nk bals dekat si ryzal tu..