2012-07-03

jangan merajuk sayang 19


adusss..lambat lagi..huhu..maaf..banyak perkara yg perlu diselesaikan mggu ini..
apa2 pun...enjoyzzzzzzz!!!

 
Ryzal membalas senyuman yang dilemparkan oleh gadis-gadis pelayan kelab kepadanya. Hampir seminggu dia tak bertandang ke sini. Kena kuarantin di rumah sebab nak berkahwin. Dia mencari kelibat Norman di dalam kelab yang sesak dengan pelanggan. Suasana bingit menyesakkan telinga. Senyumnya makin melebar bila ternampak Norman melambai padanya.

“Hai bro, apa cerita? Orang baru kahwin biasanya tak nak keluar dari bilik. Kau ni, baru dua hari kahwin dah boleh melepak dekat kelab?” Sinis. Bukan dia tak tahu cerita di sebalik pernikahan Ryzal.

“Bosanlah duduk kat rumah. Kalau bini tu perempuan yang aku suka tak apa juga. Ini mengalahkan singa betina. Rimas aku. Asyik mengaum saja kerjanya.” Minuman dipesan. Kepalanya digoyang-goyang mengikut rentak muzik. Dia nak lupakan seketika apa yang berlaku dalam dua hari ini. Anggap saja dia masih lagi bujang seperti sebelum ini.

“Kau biar betul? Aku tengok, dia tu lembut saja?” Terbayang wajah isteri Ryzal. Kali pertama melihat, dia tak nafikan perempuan itu memang cantik. Senyumnya manis. Perwatakan pun lembut saja.

“Kau tengok luarannya. Takkan depan orang dia nak mengamuk pula. Aku yang duduk sebilik dengan dia ni saja yang tahu. Kau percaya, malam pertama pun aku dah kena dera.” Nasib baik lenguh di badannya dah hilang. Malam ini terpaksalah dia tidur di bilik tetamu. Tak sanggup nak tidur atas lantai lagi.

“Kena dera? Kenapa? Apa dia dah buat dengan kau? Dera fizikal ke dera batin?” Norman ketawa nakal. Seronok juga dengar cerita orang baru kahwin ni.

“Kau gila? Ada ke dia suruh aku tidur atas lantai? Dahlah tak ada tilam. Satu badan sakit tau.” Bulat mata Norman mendengar. Ketawanya meledak lagi. Ini kes dera zahir dan batin.

“Hei, apa kes ni bro. Dah hilang taring ke? Kau ada hak tau atas isteri kau tu.” Dia sendiri pun belum kahwin lagi tapi sikit-sikit tu dia tahulah. Dia ada dengar masa kursus perkahwinan dulu. Sekarang tunggu masa nak nikah saja.

“Kalau perempuan macam dia tu, baik tak payah. Nak dekat pun aku seram. Silap hari bulan, aku kena masuk hospital pada malam pertama.” Dia lebih rela tidur di lantai daripada tidur di dalam wad. Isterinya itu bukan boleh kira.

“Itu kalau silap hari bulan. Kalau betul hari bulannya, aku rasa kau tak akan keluar lagi malam-malam.” Sekali lagi ketawanya meledak. Ryzal ketap gigi geram. Tak ada benda lain nak fikir ke? Satu ketukan singgah di dahi Norman. Pandai pun nak berhenti ketawa.

“Dahlah tu. Malas aku nak fikir pasal perempuan tu. Aku datang sini nak release tension jadi kau jangan nak rosakkan mood aku.” Matanya melilau sekeliling. Tak ada gadis ke pelayan  yang boleh dijadikan teman malam ini?

“Dah ada yang halal, nak juga cari yang haram. Pelik betullah.” Norman geleng kepala. Dah kahwin pun masih tak berubah lagi perangai kawannya ini. Agak-agak boleh berubah ke ya?

Ryzal tak ambil pusing dengan kata-kata Norman. Seorang gadis menghampirinya. Ryzal kenyit mata. Boleh tahan juga. Pinggan gadis seksi itu diraih. Sekelip mata dia sudah hilang ke lantai tari bersama gadis itu. Norman hanya memerhati. Nasiblah kau Siti Fatimah, dapat laki kaki perempuan.

>> 

Ryzal menolak daun pintu biliknya. Suasana sudah bertukar gelap. Mana taknya, dah hampir pukul tiga pagi. Perlahan-lahan dia menapak ke katilnya. Siti Fatimah sudah terlena di atasnya. Merengkot kesejukan. Tudung masih setia di kepala. Dia teringin nak tengok Siti Fatimah tanpa tutup di kepala.

Lama dia memerhati wanita yang sudah dua hari menjadi isterinya yang sah itu. Kulit wajahnya cantik. Tak ada noda. Air mukanya lembut. Kalau orang yang tak kenal mesti ingat Siti Fatimah ini seorang yang lemah lembut. Tak ada cacat-celanya wanita ini jika dipandang dari segi fizikal. Tapi kenapa hatinya tak terbuka untuk mencintai wanita ini? Dia ada hak untuk menyentuh Siti Fatimah tapi kenapa dia tak mahu berbuat demikian?

Siti Fatimah mengingatkannya kepada kekasih yang dicinta sepenuh hati. Di mana wanita itu sekarang? Sihatkah dia? Hatinya tiba-tiba diterpa rasa rindu. Lama dia tak rasa begitu. Selimut tebal ditarik menutupi tubuh kurus Siti Fatimah. Sekali lagi dia merenung wajah itu. Dia terbayangkan Natasha! Perlahan-lahan tangannya cuba menyentuh wajah itu. Lembut. Sentuhannya menjalar ke dagu dan kemudian ke bibir merah merekah.

Lena Siti Fatimah terganggu apabila dia merasa ada sesuatu yang menjalar di wajahnya. Cuba membuka mata yang macam digam. Dalam gelap malam dia menangkap wajah seseorang di hadapannya. Seorang lelaki. Terus terbuka luas matanya. Nak menjerit tapi mulutnya pantas ditekup oleh Ryzal. Sepantas kilat dia bangun. Apa yang Ryzal cuba lakukan?

“Shhh...” Tapak tangan Ryzal masih di mulutnya. Sebelah lagi tangan Ryzal meramas lembut sebelah tangan milik Siti Fatimah. Dikucup hangat. Siti Fatimah tergamam. Kenapa Ryzal tiba-tiba jadi seberani itu? Nafasnya seakan tersekat. Air matanya sudah bergenang. Dia tak rela disentuh Ryzal.

Tangan Ryzal dialihkan daripada mulut Siti Fatimah. Dia cuba untuk merapati Siti Fatimah. Wajah mereka sangat dekat hingga dapat dirasa deruan nafas keduanya. Siti Fatimah pejam rapat matanya. Dia tak rela Ryzal buat apa-apa pada dirinya. Dijauhkan sedikit wajahnya dan kemudian dihantukkan dahinya ke dahi Ryzal. Dia rela sakit daripada menjadi mangsa Ryzal.

“Aduh!” Ryzal gosok dahinya. Pedih. Dia buka mata dan lihat Siti Fatimah berada di hadapannya. Mana Natasha?

“Apa yang kau buat ni?” Setitis air mata gugur. Dia takut. Bantal ditekup ke dada.

Giliran Ryzal pula yang tergamam. Adakah dia sedang bermimpi dalam sedar tadi? Wajah Natasha adalah khayalan semata-mata. Kenapa boleh jadi sampai begitu? Mungkin kerana dia terlalu rindukan wanita itu. Beberapa saat kemudian, susuk tubuhnya menghilang di sebalik pintu bilik. Dia malu.

Siti Fatimah pelik dengan perangai Ryzal. Kenapa lelaki itu nampak macam terkejut? Adakah Ryzal sekadar berlakon untuk menutup kesalahannya? Tapi kenapa Ryzal cepat-cepat keluar dari bilik? Siti Fatimah meraba pipinya yang disentuh Ryzal. Begitu juga tangannya yang dikucup Ryzal. Saat itu hatinya bergetar hebat. Pertama kali dia lihat Ryzal selembut itu.

Ryzal menyembunyikan dirinya di dalam bilik tetamu. Nasib baik semua orang dah tidur. Esok awal-awal pagi dia akan keluar dari sini. Lampu dibiar tak berpasang. Dia berteleku di hujung katil. Macam mana dia boleh bayangkan Siti Fatimah sebagai Natasha? Dia meraup wajahnya. Entah apa yang akan Siti Fatimah fikir tentang dirinya? Ah, pedulikanlah. Yang penting, dia tak ada niat nak sentuh Siti Fatimah. Dia hanya terbayangkan Natasha.

 >> 

Siti Fatimah menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Ryzal masih tak kelihatan. Bangun pagi tadi pun Ryzal masih tak ada di dalam bilik. Tak tahulah mana mamat tu tidur. Tak kisahlah, bukan rumah orang lain pun. Rumah dia sendiri. Mesti adalah tu di dalam salah satu bilik.

“Mana Ryzal? Tak bangun lagi ke?” Siti Fatimah serba salah nak jawab. Manalah dia tahu Ryzal dah bangun ke belum. Orangnya pun dia tak tahu dekat mana.

“Belum.” Tipu sunat. Nak menyelamatkan keadaan. Nanti tak pasal-pasal kecoh satu rumah.

“Dah berbini pun macam tu jugak perangainya. Bangun tak pernah nak awal.” Bebel Datin Hajah Maria. Teh panas dituangkan ke dalam cawan suaminya.

“Biasalah tu. Orang baru kahwin.” Sampuk Datuk Haji Azizan. Dia menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Pipi Siti Fatimah memerah menahan malu.

“Orang lain pun baru kahwin juga. Tapi pandailah juga nak bangun awal sikit.” Datin Hajah Maria turut menyuapkan nasi goreng ke mulutnya. Siti Fatimah kelu di situ. Dia masih tak biasa dengan keluarga barunya ini. Nak sebut mama dan papa pun rasa kekok.

Morning.” Sepantas kilat Siti Fatimah berpaling. Panjang umur.

“Panjang pun umur. Ingatkan dah reti nak bangun.” Ryzal tersengih-sengih. Siti Fatimah cepat-cepat melarikan pandangannya. Tak tahu kenapa cepat saja peristiwa di dalam gelap semalam menerpa ke mindanya. Tak boleh jadi.

“Mana boleh tak bangun ma. Isteri kesayangan Ryzal ni tak ada depan mata sekejap pun Ryzal dah rindu.” Ryzal meramas tangan Siti Fatimah menyebabkan wanita itu serba salah lagi. Nak tarik ke nak biarkan? Siti Fatimah ambil langkah selamat. Dia menyenduk nasi goreng ke pinggan Ryzal.

“Baguslah kalau macam tu. Cepat sikit mama dapat cucu, kan bang?” Tersedak Siti Fatimah. Baru dua hari kahwin dah cakap pasal cucu? Ryzal senyum sinis memandang Siti Fatimah yang sudah berubah riak wajahnya. Kalau tidur pun atas lantai, macam mana nak dapat anak?

“Insya Allah ma. Kami pun dah rancang. Tak nak tunggu lama-lama. Kalau boleh, dalam bulan ni juga.” Masa inilah dia nak kenakan Siti Fatimah. Gerenti Siti Fatimah tak akan melawan.

“Elok sangatlah tu. Mama pun dah tak sabar nak timang cucu. Siti, makan lebih-lebih sikit. Biar gemuk sikit. Baru senang nak mengandung.” Senyum Ryzal makin melebar. Siti Fatimah rasa nak sorok muka bawah meja. Tolonglah, boleh tak cakap benda lain?

“Dengar tu sayang. Makan banyak-banyak sikit.” Ryzal menceduk nasi goreng dan meletakkannya ke dalam pinggan Siti Fatimah. Banyak. Sengaja nak kenakan isterinya. Sebelum ni seronok sangatkan kenakan orang? Sekarang kau rasalah pula.

‘Kau memang sengajakan nak kenakan aku. Mentang-mentanglah mak bapak kau ada.’ Mahu tak mahu Siti Fatimah terpaksa juga lempar senyum walaupun rasa sumbing. Tapi nasi yang membukit dalam pinggan ni siapa nak makan?

Ryzal menyuap nasi goreng ke mulutnya tanpa ada rasa bersalah. Siti Fatimah tak puas hati. Ada yang nak kena ni. Jangan ingat mak bapak Ryzal ada depan mata dia tak boleh nak kenakan mamat sengal ni.

“Bukan semalam awak cakap awak kena masuk kerja ke hari ni?” Biar Ryzal terjerat dengan pembohongannya sendiri.

“Hah, nasib baik Siti ingatkan. Mama nak tanya semalam tak sempat. Abang ada suruh Ryzal pergi kerja ke?” Soalan berbalik kepada suaminya. Kalau ya, memang nak kena dua beranak ni.

“Tak adalah. Diakan tengah bercuti sampai hujung minggu ni. Nak pergi kerja buat apa? Bukannya ada masalah pun di pejabat tu.” Datuk Haji Azizan berhenti menyuap makanan ke mulutnya. Dia memandang tepat ke arah anak lelakinya. Kenapa Ryzal nak pergi kerja hari ni? Bukan ke dia dah siapkan semua kerja sebelum bercuti tempoh hari?

“Tak jadi ma. Masalah dah selesai.” Sedikit pun dia tak memandang wajah orang tuanya. Kenapa Siti Fatimah nak ungkit cerita tu pula? Bukan ke minah ni dah tahu ke yang dia hanya mencipta alasan untuk balik ke sini? Ada yang tak kena ni.

“Masalah apa? Kenapa papa tak tahu?” Setahunya tak ada masalah yang dilaporkan kepadanya. Lagipun dia pengarah di situ. Kalau ada masalah dia akan tahu.

“Masalah kecil aje pa. Tak ada apalah.” Habislah. Nak kelentong apa lagi ni?

“Ryzal, cuba cakap baik-baik. Jangan buat mama dengan papa keliru.” Datin Hajah Maria tak puas hati. Ryzal macam sembunyikan sesuatu. Atau anaknya ini sedang berbohong. Tapi kenapa?

Siti Fatimah tak menjawab apa-apa. Biarkan Ryzal jawab semuanya. Nak menipu sangatkan? Seronok pula tengok Ryzal kena marah dengan datuk dan datin.

“Mungkin Ryzal sengaja reka cerita kut mama sebab dia nak balik ke sini.” Sayu suara Siti Fatimah. Masa untuk berlakon. Datin Hajah Maria dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Reka cerita?

“Ryzal, betul ke apa yang Siti cakap tu?” Suara mamanya agak meninggi. Tapi kenapa sampai nak reka cerita begitu?

Ryzal diam. Siti Fatimah ni dah kenapa? Sengaja nak tengok aku kena marah ke? Memang tak senang kalau tak menyusahkan orang. Mangkuk betullah minah ni.

“Tak apalah ma. Siti tahu, rumah Siti tak besar macam rumah ni. Rumah kampung saja. Mungkin Ryzal tak biasa.” Siti Fatimah menunduk. Suaranya makin sayu. Nasi yang menimbun sudah ditolak ke tepi. Berjaya juga dia buat alasan supaya tak payah habiskan nasi tu. Bijak tak?

“Tapi Siti terkilan sebab Ryzal dah tipu mak, ayah dan ahli keluarga Siti yang lain. Kesian dia orang.” Makin sedih jadinya. Mama dan papa Ryzal makin tak senang duduk. Ryzal memang nak kena.

“Ryzal, betul ke apa yang Siti cakap tu?” Apa dah jadi dengan anaknya ni. Dia tak pernah ajar anaknya menipu. Sanggup Ryzal malukan dia dan suaminya.

“Ma, mana ada. Siti yang salah faham.” Bijak betul kepala otak perempuan ni. Ada saja idea dia nak kenakan orang. Siaplah kau nanti.

“Tak apalah ma. Siti ke dapur dulu.” Mukanya memang sangat menyedihkan. Pinggan di bawa ke dapur. Dalam hati, macam nak melompat. Suka sangat sebab Ryzal kena marah. Marah lagi, marah sampai Ryzal menangis. Yes!

“Habis tu kenapa tiba-tiba balik sini semalam? Mama tak sangka Ryzal sanggup buat macam tu. Mama tak pernah ajar Ryzal menipu tau. Ryzal tahu tak siapa yang Ryzal dah tipu tu? Mak ayah Ryzal tau. Mama betul-betul kecewa dengan Ryzal.” Remuk hatinya. Ryzal dah betul-betul melampau. Entah apa yang besannya akan fikir tentang dirinya. Betul-betul tak pandai jaga anak.

“Ma, please.” Ryzal menguak rambutnya ke belakang. Kenapa boleh jadi sampai macam ni pula? Siti Fatimah!

“Mama tak akan maafkan Ryzal selagi Ryzal tak balik semula ke sana dan minta maaf dengan keluarga Siti.” Tak perlu nak pujuknya lagi. Keputusannya bulat. Datin Hajah Maria meninggalkan meja makan. Terus mendaki tangga menuju ke biliknya.

Siti Fatimah yang mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atas Ryzal. Gembira bukan kepalang. Dapatlah dia balik ke rumah semula. Padan muka Ryzal.

“Papa pun tak tahu nak cakap apa. Kamu dah buat salah dan sekarang kamu kena tanggung akibatnya.” Ringkas dan padat. Ryzal menunduk. Siti Fatimah memang pembawa masalah.

7 comments:

  1. Hahaha... Padan muka ryzal... Menipu lagi...dah kawin, still nak berpeleseran pulak... Paksa siti fatimah utk kawin dgnnya & tak pandai nak ambil hati isterinya... Serves him right if fatimah tortures him...

    ReplyDelete
  2. ngam sgtlah buku bertemu ruas

    ReplyDelete
  3. kaki popuan rupenye...cian siti....huhuhuu padamuka kena marah

    ReplyDelete
  4. padan muka Ryzal tipu lagi kan dh
    kena marah... perangai pun tak
    berubah masih lagi kaki perempuan
    kesian dgn Siti ye...

    ReplyDelete
  5. hehehehe...padan muka dia kan??
    ape2..nntkan pergaduhan seterusnya.. agak2nye..sape yang kene lenyek macam cekodok??siti ke ryzal??hikhik

    ReplyDelete
  6. harap penulis dpt cepatkan n3 lagi.. x sabar nak tahu episod selanjutnya..
    mmg best lah...sbb wife nya x terlalu naif sgt dpt suami mcm nie..

    ReplyDelete