assalamualaikum semua...ape kabo??rasenye tak terlambat lagi utk sy mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua blogger & pembaca semua...raya..raya juga..makan..makan juga tapi kesihatan kena jaga gak ok!!
hmm..ok berbalik kepada citer sy kali ni...novel ni sy da pernah post dulu..tapi yg skrg ni sy da edit sket...agak2 macam boleh diterima akal sket kot..hehehe...
ape2 pun..korang bace la dulu..tgk camner..kalo tak ok, gtau la eks..hehe..
enjoyyyyyyyyyzzzzzzzzzzz!!!!
Bab 1
Malaysia, 1997
Tudung putih yang melekat di kepala dikibas-kibas. Panas
yang amat. Elektrik pula terputus. Macam dalam ketuhar. Agaknya kalau masak
kek, dah boleh makan. Suara Cikgu Zabedah masih kedengaran nyaring, berlaga
dengan bunyi kertas yang dijadikan kipas oleh beberapa orang pelajar yang lain.
“Panasnya,” suara jantan seorang pelajar lelaki
mengejutkan seisi kelas yang sedang leka mengibas sambil mendengar bebelan
Cikgu Zabedah yang sudah makin kendur. Mungkin kerana dia pun terasa bahangnya.
“Kau banyak dosa. Memanglah panas. Tengok aku. Steady je beb!” Seorang lagi menyampuk.
Bikin panas telinga.
“Dah. Banyak pula cakapnya. Siapkan nota yang saya suruh
buat. Esok hantar,” cikgu juga yang menang. Kalau dah namanya Cikgu Bedah, tak
ada siapa boleh lawan. Singa pun boleh jadi tikus.
“Fuh, lega. Nasib baik dia keluar awal sikit. Kalau tak,
boleh terbakar telinga aku ni. Dah lah tak ada elektrik, dia pula buat ringan
mulut membebel.” Ngomel Syarifah. Tangannya masih ligat mengibas kertas yang
sudah hampir renyuk dek kerana terlalu kuat dikibas.
“Lama pula kali ni elektrik ni putus. Tak tahanlah macam
ni. Dah lencun baju aku ni.” Syarifah bangun. Dia menghampiri pintu utama
kelas. Cuaca di luar juga sama panasnya. Tak ada angin langsung. Mukanya tambah
berkerut.
“Hah, itulah kau. Banyak sangat buat dosa. Lain kali,
kalau orang suruh pergi sembahyang jemaah tu pergi aje lah. Ini tak, nak
memonteng saja kerjanya.” Memang celupar mulut mamat jepun ni seorang. Bikin
panas ni.
“Oi, jepun. Mulut kau tu jaga sikit. Kang tak
pasal-pasal ada yang makan bakul sampah.” Lantang suara Syarifah.
“Kau cakap saja bolehlah. Cuba buat aku nak tengok.”
Syarifah tercabar. Memang nak kena anak jepun seorang ni.
Syarifah menuju ke belakang kelas. Beberapa pelajar
lelaki sudah bersorak. Si anak jepun telan liur. Nampak macam berani, tapi
penakut juga.
“Kau nak sangat kan?” Syarifah angkat bakul sampah. Dia
angkat kening. Muka si anak jepun dah berubah. Bukan boleh kira si Syarifah ni.
Silap haribulan, merasa dia makan sampah percuma.
“Woi, aku main-mainlah tadi. Kaulah kawan aku yang
paling baik. Selalu pergi sembahnyang jemaah, selalu baca Al-Quran. Kaulah yang
paling cantik kat sekolah ni.” Syarifah makin menghampir. Tak makan pujian.
Mampuslah. Bukan dia ikhlas tu. Nak mengelak kena makan sampah saja.
“Semua bangun!” Suara lantang Pijan, ketua kelas buat
Syarifah tersentak. Terjatuh bakul sampah yang sedari tadi ditangannya.
Bertabur sampah di atas lantai.
‘Aduh…’ Masalah lain pula yang timbul. Tak pasal-pasal
jadi tukang sapu pula.
“Syarifah, kenapa tu? Kamu kutip balik semua sampah tu.”
Syarifah sudah menunduk. Terbongkok-bongkok mengutip sampah yang bertabur. Si
anak jepun tersengih-sengih memandang. Dia menang lagi.
‘Tak guna punya anak jepun. Siap kau lepas ni.’ Syarifah
menjeling tajam. Memang malang nasibnya hari ini.
>>
“Ika!” Laung Syarifah. Kawannya di hadapan berpaling ke
belakang. Segaris senyuman diberi. Kemudian terus menyambung langkah mencari
tempat duduk. Perut yang sudah berkeroncong perlu diisi segera.
“Geram betul aku dengan anak jepun tu. Siaplah dia lepas
ni. Memang kaw-kaw aku kerjakan.” Si
kawan sekadar mendengar. Bukan tak tahu sikap kawannya yang seorang ni. Pantang
betul kalau dicabar. Malas nak layan lebih-lebih.
“Ika, nanti aku pinjam nota kau ya. Tak sempat aku nak
salin tadi.” Ika sekadar mengangguk. Masih lagi tertumpu pada nasi lemak yang
dibelinya tadi. Waktu rehat terlalu singkat.
“Hai, boleh tumpang sekali?” Ika jeling sekilas.
Mamat-mamat biasa. Menyampah betul.
“Hoi, kau orang ni tak ada kerja ke? Mengacau orang
saja. Dah, berambus.” Syarifah tak suka bila Ika dikacau kacang-kacang hantu
itu. Ika pula, diganggulah macam mana pun, tak pernah dia kisah. Entah ilmu apa
yang dia pakai.
“Aku kacau kawan kau, bukan kau. Senyap sudah. Kan cik
Betty?”
Berdekah-dekah mereka ketawa. Ika masih meneruskan
suapannya. Langsung tak kisah bila diejek begitu. Dah biasa sangat. Hari-hari
dia dengar. Dah kalis. Kalau dia lawan pun, bukannya dia boleh tukar apa-apa.
Tetap juga dia begitu.
“Mulut kau orang jaga sikit ya. Jangan sampai ada yang
kena ganyang dengan cili nanti.” Syarifah mula panas. Terasa benar dia. Ika
kawan baiknya. Tak sanggup dia lihat melihat Ika asyik dikeji begitu. Kesian.
Bukan salah dia. Semuanya ciptaan Tuhan.
“Uuu…takutnya I. Nanti kena makan cili. Pedas tu.” Ketawa
pelajar-pelajar lelaki itu makin keras. Buat Syarifah makin hangat.
“Dahlah tu Sya. Tak ada gunanya kau lawan dia. Bukan
dapat apa-apa pun.” Ika menyabarkan kawannya. Nasi lemak sudah habis dimakan.
Air sirap dihirup perlahan hingga habis. Dia perlu segera. Hari ini gilirannya
bertugas.
“Aku pergi dulu ya. Nak bertugas pula ni. Kau masuk
kelas dulu.” Ika bangkit. Meninggalkan pelajar-pelajar lelaki itu yang masih
lagi ketawa. Syarifah juga angkat punggung. Malas nak mengadap muka budak-budak
sengal tu lama-lama. Darah tinggi dia nanti.
“Hah, dah nak balik negara dia agaknya si gigi besi tu.”
Ketawa mereka bergema satu kantin. Beberapa pelajar yang masih di situ hanya
menggeleng. Memang melampau.
Syarifah tuding jari runcingnya tepat pada muka salah
seorang pelajar lelaki itu. Memang dia tak puas hati. Kalau bukan kerana Ika
yang menghalang, dah lama budak-budak kurang otak tu kena sembur dengan dia.
“Siaplah kau orang lepas ni.” Pantas kerusi ditolak ke
belakang. Langkah diatur laju tanpa sedikitpun menoleh ke belakang. Panas betul
hatinya. Nasib baik elektrik dah ada, kalau tak memang terbakar terus hatinya.
>>
Ika mempercepatkan langkahnya bila loceng sekolah
menjerit nyaring. Malas betul dia nak pergi ke tempat yang satu ini. Kalau tak
kerana tugas, memang haram tempat ini untuknya. Tempat ‘jin’ bertendang.
Sepatutnya dia bertugas dengan rakannya, tapi budak tu tak datang sekolah pula.
Langkah diatur makin laju. Makin cepat dia ke sana, makin cepat dia boleh
berambus. Tak kuasa nak duduk lama-lama.
Kepala dipanjangkan sedikit. Kemudian dipendekkan
semula. Ini yang dia malas. ‘Jin-jin’ itu ada di sana. Ika tarik nafas panjang.
Nak tak nak, terpaksa juga. Dengan kuasa pengawasnya, ‘jin-jin’ itu perlu patuh
arahan. Kalau tak, pandai-pandailah jawab dengan Cikgu Zaid, ‘bapak jin’.
“Maaf, kamu semua dikehendaki masuk ke kelas sekarang
juga.” Wajah-wajah ‘jin’ yang tak bertanduk itu dipandang sekilas kemudian
pandangannya ditunduk bila kesemua mata-mata itu memandangnya tajam. Jantungnya
berdegup kencang. Memang mati dia kali ini.
“Hah, dah berani nak tunjuk lagak nampaknya kau ni. Hoi,
Kau ingat kami takut. Setakat minah gigi besi macam kau ni, sekali aku hentak
kaki aje, luruh semua gigi kau tu. Tau tak?” Memang satu penghinaan! Bila ketua
‘jin’ bersuara, pengikut yang lain ketawa berdekah-dekah. Ika ketap bibir.
“Saya tak kisah. Tapi yang penting, kamu semua kena
masuk sekarang atau saya laporkan pada guru disiplin.” Mesti tegas. Jangan
cepat mengalah. Pengawas sekolah mesti kuat. Tangannya dikepal. Menahan geram
dan getar.
“Oh, nak buat laporan ya. Kau ingat kami takut ke? Si
Zaid tu nampak aje ganas. Tapi sekali aku angkat penumbuk, kecut jugak perut
dia.” Memang kurang ajar ‘jin-jin’ ini semua. Dengan cikgu pun mereka tak
hormat.
“Baiklah, kalau kamu tak mahu masuk juga, saya buat
laporan sekarang.” Tak sempat Ika berpusing ke belakang, tangannya ditarik dan
dilipat ke belakang. Menjerit dia. Sakit.
“Hah, tahu pun sakit. Baik kau jangan buat pandai. Kalau
tak, bukan setakat tangan kau aje, kaki kau sekali aku patahkan. Kau nak?”
Dekat suara itu kedengaran di telinga Ika. Bau rokok melemaskan rongga
hidungnya.
Air matanya bergenang tapi tak semudah itu dia perlu
mengalah. Yang salah tetap kena hukum. Amanah yang dipikul tetap perlu
dilunaskan. Sekolah ada undang-undang. Tangan Ika makin kuat ditekan bila dia
tidak bersuara. Ika menjerit kecil.
“Hoi!” Ika terperanjat. Begitu juga sekumpulan pelajar
samseng itu. Sepantas kilat tangan Ika dilepaskan. Berkeliaran mereka lari.
Huh, ingatkan berani sangat. Pengecut rupanya. Baru kena jerkah sikit, dah
kecut. Blah lah.
Ika mengusap pergelangan tangannya yang terasa perit
kerana dicengkam kuat tadi. Merah jadinya. Dia menghela nafas lega. Nasib baik
tak patah.
“Kau tak apa-apa?” Tegur suara tadi. Ika menoleh ke
belakang. Tergamam seketika. Tak berkelip matannya. Dadanya terasa sesak. Dia
tak mimpi kan? Memang orang itu yang berdiri di hadapannya saat ini.
“Zulaikha, kamu tak apa-apa ke?” Tersedar dia dari
lamunan. Pantas kepalanya menggeleng. Terasa pipinya panas. Malunya.
“Hmm…baguslah. Tapi apa kau buat kat sini?”
“Bertugaslah.” Mukanya ditunduk ke lantai. Tak sanggup
dia nak tatap wajah itu. Sesak nafas!
“Seorang saja? Mana lagi seorang?” Macam tak puas hati.
“Dia tak datang sekolah.” Kedua-dua pengawas lelaki yang
berdiri di hadapannya mengangguk. Puas hati dengan jawapan yang diberi mungkin.
“Dah, kau pergi masuk kelas. Biar kami berdua yang settlekan benda ni. Ingat, lain kali
kalau seorang, jangan buat-buat berani bertugas kat sini. Cakap dengan kami.”
Serius. Nama pun ketua pengawas. Cepat-cepat Ika beredar dari situ. Hatinya
bercampur-baur. Sakit tangannya sudah tak terasa bila terpandang wajah itu.
Aduh, cair dibuatnya.
Bab 2
Payah betul rasanya nak melelapkan mata. Sepasang mata
milik pujaan hatinya asyik mengganggu tidurnya. Bibirnya mengulum senyum setiap
kali teringatkan peristiwa siang tadi. Macam mimpi. Seolah-olah macam kisah
dongeng. Puteri raja yang diselamatkan oleh putera raja yang sangat kacak. Ah,
syoknya. Ika mula mengelamun.
“Hoi mak cik. Yang kau tersengih-sengih tengah-tengah
malam buta ni apahal?” Sergahan Syarifah menghapuskan semua angan indah yang
diciptanya sebentar tadi. Tak sempat nak naik kuda dengan putera idaman. Apalah
si Syarifah ni. Mengacau saja kerjanya.
“Ish, mana ada aku sengih. Aku tengah tidurlah ni.
Kacaulah.” Ika memusingkan badannya membelakangkan Syarifah.
“Alah, tak payah nak tipu aku. Aku tahu.” Pantas mata
Ika terbuka. Dia kembali memusingkan badannya mengadap Syarifah. Apa yang
kawannya tahu?
“Apa yang kau tahu?” Mukanya mula membahang. Mana si
kepoh ni dapat tahu? Siapa lagi yang tahu. Malunya.
“Aku tahulah kau tak tidur lagi. Eh, kau tak jawab lagi
soalan aku petang tadi.” Fuh, lega! Ika hela nafas lega. Nasib baik tak pecah
rahsia.
“Soalan apa pula kau ni? Aku nak tidurlah.”
“Nyanyuk betullah kau ni. Kenapa kau masuk kelas lewat
lepas rehat tadi? Masuk-masuk aje, terus diam tak bercakap. Kau kena sampuk ke?
Manalah tahu kau pergi jaga tempat jin bertendang sana.” Memang celuparlah
mulut minah seorang ni. Pantas ingatannya pada peristiwa pagi tadi terlayar di
depan mata. Tiba-tiba sahaja pergelangan tangannya terasa perit.
“Aku bertugas macam biasalah.”
“Tapi tadi tu lewat sangat. Biasanya kau bertugas lima
minit saja. Kau nak memonteng ya?” Serkap Syarifah.
“Gila kau. Apa faedahnya kalau aku ponteng kelas.” Apa
punya kawanlah. Aku sikit punya baik.
“Aku gurau sajalah. Aku tahulah kau tu best student. Setiap kali ujian mesti
dapat high score. Habis tu kau pergi mana?”
Masih tak mengalah. Ika buat-buat tak dengar. Matanya dipejam rapat.
Kadang-kadang, ada perkara yang perlu dirahsiakan juga walaupun dengan kawan
baik sendiri. Maaf ya Syarifah. Perkara tu, biarlah rahsia.
“Ika, kau dengar tak aku tanya ni?” Tubuh kurus kawannya
digoncang-goncang. Tak ada tindak balas. Syarifah merengus. Geram betul.
“Tak apalah. Dah tak sudi nak kawan dengan kita.”
Syarifah merajuk. Dia menapak ke katilnya. Matanya pun sudah mengantuk.
‘Sorrylah Sya.
Aku tak boleh nak cakap kat kau. Esok ajelah aku pujuk kau.’ Ika menyambung
tidurnya. Harap-harap putera pujaan masih setia menunggunya bersama kuda putih.
>>
Ika meletakkan pen di tepi kertas ujian. Masih ada
sepuluh minit sebelum masa tamat. Jawapannya disemak semula. Agak berpuas hati
dengan jawapan yang diberi. Nasib baik ujian kali ni tak berapa susah.
“Baik pelajar semua. Masa menjawab dah tamat. Sila
letakkan pen.” Ika menghela nafas lega. Subjek terakhir untuk ujian kali ini.
“Ish, susah betullah. Cikgu Siti kata soalan senang aje.
Senang apa kalau macam tu. Pecah kepala nak fikir. Sengallah.” Bebel Syarifah.
Tak habis-habis membebel. Dari hari pertama hingga ke hari terakhir hari ini,
itu sahaja yang dibebelkannya. Naik berbulu telinga ni mendengar.
“Habis tu kau asyik fikir susah aje, memanglah susah
jadinya. Cuba kau fikir senang, senanglah jadinya.” Tempelak Ika. Pau kacang
dikunyah perlahan. Sudah tak ada selera nak makan benda lain. Maklumlah esok
nak balik kampung.
“Kau senanglah. Memang bijak. Aku ni, baca sepuluh kali
pun tak lekat-lekat kat otak.” Air pandan disedut laju.
“Ish, tak baik kau cakap macam tu. Kalau kau tak pandai,
macam mana kau boleh masuk sekolah ni. Kau pun pandai, Cuma malas sikit aje.”
Syarifah mencebik. Pandailah nak memujuk. Dah muak mendengar.
“Hah, ini dia si Betty La Fea tu.” Ika berhenti
mengunyah. Syarifah yang tengah panas jadi makin berapi. Memang cari nahas.
“Hoi mangkuk. Kau orang kalau tak mengacau orang sehari
tak boleh ke? Apa, kalau tak mengejek sehari, kau orang boleh mati ya? Kalau macam
tu elok sangatlah. Mati lagi bagus daripada kau orang hidup. Menyusahkan mak
bapak aje.” Syarifah dah bercekak pinggang. Merah padam mukanya menahan marah.
“Eh, mak bapak jangan sebut ok. Kau apahal? Ada aku
mengata kau ke? Baik kau berambus sebelum muka kau tu pecah.” Ika telan liur.
Kadang-kadang si Syarifah ni terlampau berani.
“Sya, dahlah tu. Aku ok je.” Ika cuba menarik tangan
sahabatnya tapi ditepis.
“Apa kau ingat aku takut. Cubalah kalau berani. Hoi
mangkuk, cuba kau cermin dulu muka kau tu. Kau ingat muka kau tu hensem sangat
ke? Muka macam bangunan tak siap, ada hati nak mengutuk orang. Sedarlah sikit.”
Berombak dadanya menahan marah. Berubah terus muka mamat di hadapannya. Kulit
cerah lelaki itu bertukar merah. Telinga pun sama.
“Mulut kau tu jaga sikit. Silap haribulan tak boleh
bercakap terus.” Penumbuk dikepal. Egonya tercabar. Dikutuk oleh seorang gadis.
Memang tak boleh dimaafkan.
“Hah, apa kau tunggu lagi. Tumbuklah kalau kau berani.”
Syarifah sudah menyuakan mukanya. Makin berani.
“Sya, sudahlah tu. Bahaya.” Tubuh kawannya ditarik
sedikit menjauhi pelajar lelaki yang besarnya lebih satu kali ganda daripada
mereka.
“Ah, aku tak peduli. Kau ingat dia orang tu berani
sangat ke? Muka saja nampak macam samseng, tapi hati macam kucing.” Sesedap
rasa sahaja si Syarifah itu mengutuk.
“Apa kau cakap?” Pelajar lelaki itu sudah hilang sabar. Penumbuknya
diangkat. Tinggal seinci sahaja sebelum sampai ke muka Syarifah. Nasib baik
kawan-kawannya sempat menghalang. Kalau tak memang lebam sebelah muka cantik
Syarifah.
“Faizul! Ikut saya ke pejabat sekarang. Syarifah, kamu
pun sama.” Hampir luruh jantung kedua-duanya bila mendengar jerkahan Cikgu
Zaid. Memang cari nahas.
“Tu lah kau Sya, aku dah cakap. Jangan lawan dengan dia
orang. Kan dah susah.” Ika dah tak tahu nak cakap apa. Memang Syarifah panas
baran. Pantang silap sikit, melentinglah dia.
“Ah, aku tak kisah. Bukan salah aku pun. Mamat bengong
tu yang salah. Buat apa aku nak takut.” Masih dengan sikap panas barannya.
Sabar sajalah. Semua yang berada di kantin hanya memerhati dua pesalah itu.
“Apa nak jadi dengan kamu berdua ni? Dah tak nak
sekolah? Nak jadi samseng pula?” Berdesing telinga Syarifah mendengar. Faizul
hanya menunduk. Ini bukan kali pertama dia berdepan dengan guru disiplin.
Minggu lepas pun dia dah jumpa. Tapi tak pandai nak serik.
“Bukan salah saya cikgu.” Syarifah cuba mempertahankan
dirinya.
“Kamu diam. Saya tak habis cakap lagi.” Syarifah ketap
bibir. Kepalanya ditunduk ke bawah.
“Faizul, saya tak tahu ini sudah kali ke berapa.
Tiap-tiap minggu muka kamu sahaja yang datang mengadap saya. Apa nak jadi
dengan kamu ni? Kamu kena ingat, tahun ni kamu SPM. Takkanlah sebab bergaduh
dengan budak perempuan kamu sanggup kena gantung sekolah. Kamu tak fikir masa
depan ke? SPM dah dekat. Tinggal dua bulan saja lagi. Apa salahnya kamu simpan
dulu perangai samseng kamu tu. Lepas SPM nanti, kamu nak jadi samseng ke, nak
jadi jin ke, nak jadi apa ke, lantak kamulah. Tapi buat masa sekarang, kamu
masih di sekolah dan sekolah ni ada peraturan.” Cikgu Zaid tarik nafas. Kepala
digeleng beberapa kali.
“Kamu faham tak apa yang saya cakap ni Faizul?” Faizul
hanya mengangguk. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Macam biasa.
“Hah, kamu Syarifah. Apa masalah kamu sebenarnya ni?
Dengan budak lelaki pun nak bertumbuk. Kamu ingat sikit, kamu tu perempuan.
Jaga sikit tingkah laku kamu tu. Kamu fikir, ada ke orang yang nakkan kamu
kalau kamu buat perangai macam ni?” Faizul tergelak kecil. Padan muka. Tak
macam perempuan langsung. Syarifah merengus kasar. Kurang asam betul.
“Tapi dia yang mulakan dulu cikgu. Dia yang menghina
Zulaikha dulu. Saya cuma nak pertahankan Zulaikha saja.” Tak boleh berdiam
diri. Kebenaran mesti ditegakkan. Tak boleh biarkan yang salah terus berkuasa.
“Betul Faizul?” Peluh mula memercik di dahinya.
“Mana ada cikgu. Dia yang terlebih-lebih. Saya cuma
menegur saja. Mana ada saya hina dia.” Bukannya susah sangat pun nak reka
cerita bohong. Syarifah ketap bibir geram.
“Eh, kau jangan pandai-pandai nak reka cerita pulak kat
sini. Yang kau panggil dia Betty La Fea tu apa? Bukan menghina namanya tu?
Patutlah Bahasa Melayu selalu gagal.” Ejek Syarifah. Memang dia tak puas hati.
“Apa kau cakap?”
“Memang betul pun kan?” Tak mahu mengalah.
“Sudah-sudah. Tak habis-habis. Depan saya pun kamu nak gaduh
ke? Nanti saya bagi surat gantung sekolah baru kamu tahu.” Gertak Cikgu Zaid.
Macam-macam hal budak-budak sekarang ni.
“Eh, kalau cikgu nak bagi surat gantung sekolah, cikgu
bagi kat dia saja sebab dia yang salah. Saya tak salah apa-apa.” Syarifah tetap
mempertahankan dirinya. Dia tak nak kena gantung sekolah.
“Apa pulak. Kau yang mula dulu.” Memang dasar perempuan
muka tembok.
“Saya kata sudah! Memang tak seriklah kamu berdua ni.
Karang ada yang saya nikahkan terus kat sini.” Terbeliak mata Syarifah mendengar
kata-kata cikgu disiplinnya itu. Gila ke apa nak kahwin dengan mamat tiga suku
macam tu. Dah lah cakap berbelit-belit. Kaki penipu. Simpang malaikat empat
puluh empat.
“Hish, bagi percuma pun tak nak.” Pantas Faizul geleng
kepala.
“Dah, ini amaran terakhir saya. Kalau lepas ini kamu
buat lagi, saya tak akan teragak-agak gantung kamu dari sekolah. Faham?”
Kedua-duanya mengangguk. Lega bila diberi pelepasan. Kalau tak, mahunya kena
gantung sekolah.
“Dan kamu Faizul, lepas ni saya nak kamu tumpukan pada
pelajaran kamu. Masa depan kamu jauh lagi. Jangan musnahkan masa depan kamu tu
hanya kerana perangai samseng kamu tu.” Faizul mengangguk lemah. Kedua-duanya
keluar dari bilik Cikgu Zaid dengan perasaan bercampur-baur. Antara lega dan
tak puas hati. Geram pun ada.
“Macam mana Sya? Kau ok ke?” Ika yang dari tadi menunggu
di luar bilik guru disiplin terus mendapatkan kawannya. Tak senang duduk
dibuatnya.
“Aku ok. Cuma aku tak puas hati aje. Macam mana cikgu
boleh lepaskan mamat sengal tu. Memanglah nak kena dengan aku.” Tak serik lagi.
“Dahlah tu Sya. Nasib baik kau tak kena gantung sekolah.
Kau jangan layan sangat sikap panas baran kau tu. Bahaya.” Nasihat yang entah
ke berapa kali. Dah jenuh mulutnya membebel.
“Aku tahulah Ika. Tapi memang tak puas hati betullah.
Siaplah dia lepas ni.” Masih dengan sikap keras kepalanya. Nak juga dia balas
dendam.
“Sya!” Geram sungguh kalau nasihat kita tak diendahkan.
Orang bagi nasihat untuk kebaikan dia. Ika menapak laju meninggalkan Syarifah.
Panggilan kawannya langsung tak diendahkan. Sakit hati.
No comments:
Post a Comment