2012-09-10

tanya sama hati 3


Jam loceng yang sudah beberapa kali berbunyi langsung tak diendahkan. Dia mahu tidur sepuasnya. Seminggu bersengkang mata semata-mata untuk mendapatkan yang terbaik dalam ujian memang buat dia letih. Cuti seminggu memang perlu digunakan sebaik mungkin.
“Ya Allah Achik, tak bangun lagi? Matahari dah tegak. Orang ke sawah pun dah balik. Kamu masih berselimut lagi. Dah, bangun!” Bebel Puan Siti. Anak daranya seorang ini beginilah kalau pulang dari asrama. Tidur tak ingat dunia.
“Mengantuklah bu. Nanti Achik bangunlah.” Ika menarik gebarnya ke muka. Silau dek kerana ibunya menyelak langsir di tingkap.
“Tak elok anak dara bangun lewat. Nanti tak ada orang nak masuk meminang. Dah, bangun. Pergi mandi.” Puan Siti menarik selimut anaknya. Ika merapatkan matanya kejap. Tak mahu bangun.
“Nak ibu siram dengan air ke?” Ugut Puan Siti. Sebelah mata dibuka separuh.
“Ibu…ngantuk. Sikit lagi.” Mata yang dibuka hampir tertutup kembali.
“Tak ada. Kamu ni bukan boleh dibiar. Sekejap yang kamu kata tu maknanya dua jam lagi. Dah, cepat bersiap. Nanti Mak Cik Senah nak datang.” Ika merungut dalam keadaan mamai.
‘Kenapalah Mak Cik Senah nak datang hari ni? Kalau datang esok tak boleh ke?’ Membayangkan mulut becok Mak Cik Senahnya buat Ika tak jadi nak pejam mata. Tak sanggup nak dengar bebelan panjang mak ciknya itu. Sekali mulutnya bersuara, riuh sekampung. Buat malu orang saja.
Dia bersila di atas katil. Riuh-rendah suara budak-budak bermain di halaman rumah baru kedengaran di gegendang telinganya. Pancaran matahari yang menyelit masuk ke dalam kamar beradunya membuatkan matanya makin payah nak dibuka. Hish, memang mengantuk. Kalau sambung tidur memang syok. Tak sampai seminit, kepalanya rebah menyembah bantal empuk yang seperti bermangnet.
“Achik, bangun!” Jerit Puan Siti. Masak benar Puan Siti perangai anaknya yang seorang ini. Pantang dibiar sekejap.
Tersentak Ika. Secara automatik badannya tegak berdiri. Tuala yang tersangkut di penyidai ditarik. Segera kakinya melangkah ke bilik mandi. Sempat ekor matanya mengerling ke arah jam dinding. Hampir jam sebelas pagi. Memang buruk perangai. Ah, sekali-sekala. Bukannya selalu. Kalau di asrama, jangan harap dapat tidur macam ni.
“Hah, tahu pun nak bangun. Ingatkan nak tidur sampai tahun depan.” Ika menutup mulutnya yang masih mahu menguap walaupun badannya sudah disiram dengan air yang amat sejuk tadi. Menggigil seluruh badan. Rasa macam nak mandi ala P. Ramlee aje.
“Ibu ni, bukannya Achik sengaja. Seminggu orang tak cukup tidur. Dah dapat peluang tidur lebih sikit, takkan nak lepaskan.” Pulut panggang disua ke dalam mulut.
“Tapi itu dah melampau. Bukan hari ini saja kamu cuti. Ada seminggu lagi. Lagipun, nanti kalau Mak Cik Senah kamu tu datang, lagilah bising mulut dia. Ibu kesiankan kamu aje nak kena dengar mak cik kesayangan kamu tu membebel.” Ikan cencaru yang sudah disiang diletakkan ke dalam besen. Mahu dibuat cencaru sumbat. Kegemaran anak daranya.
“Buat apa mak cik datang?” Tak puas hati. Disebabkan ibu saudaranya itu, dia terpaksa korbankan tidurnya. Memang kacau.
“Entah. Ibu pun tak tahu. Dia tak cakap apa pun.” Sebakul bayam diletakkan di atas meja.
“Nah, tolong ibu potong sayur ni.” Ika tak membantah. Segera pisau dicapai. Laju tangannya memotong sayur bayam. Perkara kecil aje ni. Potong saja sesuka hati. Nanti masuk perut juga.
“Fiq mana bu?” Tak nampak kelibat adik bongsunya itu sejak tadi. Entah ke mana budak tu merayap.
“Dia pergi rumah kawan dia. Buat projek sekolah katanya.” Ika hanya mengangguk. Mesti projek Kemahiran Hidup.
“Assalamualaikum. Siti…ooo Siti.” Dah sampai dah. Ika membetulkan duduknya.
“Waalaikumussalam. Naiklah Kak Senah. Kami kat dapur ni.” Sambut Puan Siti.
“Ish kamu ni Siti. Dibiar saja pintu depan tu terbuka. Kalau masuk pencuri macam mana? Zaman sekarang ni bukan boleh kira. Siang-siang pun pencuri boleh masuk. Memang tak takut dia orang ni.” Dah mula dah. Ika menyalami ibu saudaranya.
“Hah kau Ika, bila balik? Cuti sekolah ya?” Mak Cik Senah terus menghenyakkan punggung lebarnya di atas kerusi. Ika hanya mengangguk.
“Siti, mintak air masak sikit. Dahaga pula tekak aku ni. Panas betul kat luar tu.” Puan Siti hanya menurut. Segelas air masak diletakkan di hadapan kakaknya.
“Macam mana pelajaran kau Ika?” Mak Cik Senah beralih ke arah Ika. Bayam yang sudah siap dipotong dibawa ke sinki.
“Ok je mak cik.” Mak Cik Senah hanya mengangguk.
“Baguslah kalau macam tu. Kau jangan jadi macam Kak Chu kau tu. Tiap-tiap malam bergayut. Entah dengan mamat mana pun aku tak tahu. SPM dah dekat tapi aku tengok tak pernah pun dia tu mengadap buku. Asyik duk mengadap telefon aje. Pening kepala aku dibuatnya.” Mak Cik Senah meneguk air masak. Kering tekak agaknya. Ika hanya senyum segaris. Bukan dia tak tahu perangai kakak sepupunya itu. Kekasih keliling pinggang. Maklumlah orang cantik.
“Kalau ditegur mulalah tarik muka empat belas. Sakit sungguh hati aku ni Siti. Dah tak tahu nak buat macam mana. Makin menjadi-jadi perangai dia tu. Aku ingat, susah-susah sangat lepas SPM aku bagi aje dia kahwin. Senang cerita. Biar dia duduk dengan laki dia. Tak adalah menyusahkan aku.” Geram betul agaknya. Puan Siti hanya geleng kepala. Ika tak berani menyampuk. Nanti tak pasal-pasal kena sembur.
“Biasalah kak, budak baru nak membesar. Ramai kawan. Kesian dia kalau akak buat macam tu.” Pujuk Puan Siti. Tangannya ligat menyumbat ikan cencarunya.
“Nak kesian apanya. Dia tu, bukannya nak belajar. Itu pun nasib baik sampai tingkatan lima. Kalau ikutkan dia, habis tingkatan tiga dah tak nak belajar. Entah apa yang dia fikir pun aku tak tahu. Agaknya dia fikir dia boleh hidup kalau setakat kerja gaji lima puluh ringgit sebulan. Hish, pening kepala akulah Siti.” Habis segelas air masak. Berkerut mukanya.
“Dah itu kehendaknya nak buat macam mana kak. Budak-budak ni bukannya boleh dipaksa-paksa. Kalau dipaksa, nanti lari dari rumah pula. Biarkan sajalah. Nanti bila dah susah, pandai-pandailah dia.” Puan Siti pun tak tahu nak cakap apa. Anak saudaranya itu memang degil orangnya. Biasalah anak bongsu. Manjanya terlebih.
“Aku ni cemburu dengan kau Ti. Anak-anak kau semuanya berjaya. Tengok si Along dengan Angah, dua-dua masuk universiti. Si Ika ni pun, masuk sekolah asrama penuh. Tak lama lagi, ikut jejak langkah kakak-kakaknya pula. Semua pun makan nasi macam anak aku juga, tapi cerdiknya aje yang tak sama.” Puan Siti hanya senyum. Memang semua itu anugerah Tuhan.
“Alhamdulillah kak. Dia orang tu semua belajar sendiri. Kalau nak harapkan saya, tak ada apa yang boleh saya beri kak. Kalau sekadar nasihat tu bolehlah. Ayah dia orang pun sama. Nasihat saja yang kami boleh beri. Yang lain-lain tu, pandai-pandai dia oranglah. Semuanya anugerah Tuhan kak. Syukurlah.” Rasa rindunya pada kedua-dua anak perempuannya menerpa sanubari. Entah bagaimana keadaan mereka berdua agaknya. Sudah hampir tiga bulan mereka tak pulang. Sibuk katanya. Tak apalah, asalkan mereka baik-baik sahaja.
“Anak-anak kau tu tak balik ke Siti?” Suara Mak Cik Senah kembali mengendur. Mungkin semakin pasrah.
“Tak. Dia orang dah dekat nak exam. Mungkin bulan depan baru dapat balik.”
“Ya lah. Hai, kalaulah anak-anak aku pun pandai macam anak-anak kau tak adalah aku susah-susah macam ni. Yang perempuan gatal nak menikah, yang lelaki pula gilakan motor. Boleh mati awal aku macam ni.”
“Ish, tak baik akak cakap macam tu. Baguslah dia orang nak kahwin awal. Sekurang-kurangnya tak adalah dia orang buat hal lain. Akak makan tengahari kat sini ya? Saya masak lebih ni.” Ikan cencaru yang sudah siap disumbat dibawa ke tempat memanggang.
“Boleh juga. Aku tengok macam sedap aje ikan kau tu.” Segaris senyuman mula terukir di bibir Mak Cik Senah yang sejak tadi tak habis-habis mengomel dan membebel.
“Ika, pergi masak nasi. Nanti abah kamu nak balik.” Ika menurut tanpa membantah. Periuk dicapai. Bau ikan cencaru menusuk hidungnya. Lapar terus jadi perutnya. Memang kegemarannya.
>> 
Sehelai demi sehelai muka surat buku rujukan dibelek. Satu pun tak masuk dalam kepala otaknya. Ika mengeluh perlahan. Sudahnya, buku tebal itu ditutup. Dia kembali ke katil. Badan yang terasa lenguh dibaringkan. Mata cuba dipejam. Tak dapat. Apa yang mengganggu fikirannya?
Mata dipejam lagi. Bayangan wajah seseorang terpapar di sebalik kegelapan. Segera matanya dibuka luas. Ika bingkas bangkit dari pembaringan. Dia meraup mukanya. Kenapa mesti ada bayangan itu?
Peristiwa bulan lepas kembali menerjah kotak ingatannya. Mata itu mengusik mindanya lagi. Ika mengeluh lagi. Kenapa mesti dia jatuh cinta pada orang itu? Kenapa mesti rasa cinta ini hadir? Ika mengatur langkah ke meja solek. Dia melabukan punggungnya.
Pandangannya tepat ke arah cermin di hadapan. Fikirannya kosong. Tangannya meraba pipinya yang ditumbuhi jerawat-jerawat kecil. Ada yang sudah kering dan meninggalkan bekas. Cermin mata yang hampir menutupi sebahagian wajahnya ditolak sedikit ke atas. Giginya yang putih pula ditutupi oleh pendakap besi. Memang patutlah dipanggil Betty La Fea. Sama macam watak dalam cerita telenovela latin itu. Tapi itu semua bukan pintanya. Biarlah orang nak kata apa pun, dia tak kisah.
“Hai, kalau muka tak cantik macam ni, boleh ke jadi kekasih pakwe hensem macam mamat tu? Entah-entah dia tak pandang pun. Aku ada ke tak ada ke, dia pun tak tahu.” Keluhan kedengaran lagi. Kali ini lebih berat bunyinya.
Sekeping gambar dikeluarkan dari laci mejanya. Gambar semasa jamuan badan pengawas tahun lalu. Matanya tertancap pada satu wajah yang baru tadi hadir dalam bayangannya. Lama dia renung. Segaris senyuman terpamer di bibir nipisnya. Kalau tak dapat tuannya pun, dapat tatap gambar pun jadilah. Tak sabar rasanya mahu kembali ke sekolah. 

hye kawan2...hehe..komen sket tau!! tq :)

No comments:

Post a Comment