2012-11-19

Tanya Sama Hati 4



Hilmi mengesat peluh yang bercucuran di dahi dan lehernya. Air mineral diteguk rakus. Lencun bajunya dek kerana peluh. Mentari petang masih terasa bahangnya. Semuanya bukan penghalang. Hobi tetap hobi. Raket tenis diletakkan dicapai semula. Masih berbaki satu set. Kemenangan hampir menjadi miliknya lagi petang ini. Sebut sahaja Hilmi, siapa boleh lawan.
“Jom Mat. Dah tak sabar aku nak menang ni.” Hilmi sedia berdiri. Badan kawannya dipukul lembut dengan raketnya.
“Kecohlah kau. Macam tak pernah menang. Tapi petang ni nasib baik aje tau. Sengaja aku bagi peluang dekat kau.” Mat tak mahu kalah. Bukan setakat hari ini sahaja dia bagi peluang, malah hari-hari. Memang tak ada peluang nak menang.
“Kau hari-hari pun bagi peluang. Dah lah, cepat bangun.” Mat hanya menurut. Penat masih terasa. Hilmi sudah bersedia di gelanggang.
Ika menoleh ke arah gelanggang tenis. Biasanya pelajar lelaki pujaannya ada di situ petang-petang begini. Matanya melilau. Segaris senyuman manis terukir. Lelaki itu kelihatan sangat mempesonakan saat melakukan pukulan. Ika terleka seketika.
“Hoi, kau ni kenapa? Aku yang sikit punya besar ni pun kau tak nampak ke? Apa yang kau tengok sampai aku pun kau langgar ni?” Panjang bebelan Syarifah. Cepat-cepat Ika tersedar. Senyuman hilang sekelip mata. Buku yang terjatuh dikutip segera.
“Hah? Eh, tak ada apa-apa. Aku tak sengaja.” Cepat kakinya melangkah meninggalkan Syarifah yang masih terpinga-pinga. Asal lalu tepi gelanggang tenis aje, mesti si Ika buat perangai pelik. Kena sampuk dengan hantu tenis ke apa?
“Ika, kau kenapa? Apa yang kau tengok dekat tennis court tu? Kau ada minat siapa-siapa ya?” Usik Syarifah. Riak wajah Ika terus berubah. Dia tak mahu rahsianya terbongkar.
“Eh, mana ada. Aku seronok tengok dia orang main. Mesti best kan main tenis?” Ada sahaja alasan yang diberi.
“Tengok dari jauh buat apa. Kalau nak tengok orang main, pergi dekat-dekat terus.” Syarifah capai tangan Ika. Tersentak sahabat baiknya itu.
“Eh Sya, kau nak bawa aku pergi mana ni?” Syarifah tak menjawab. Langkahnya laju membuatkan Ika terpaksa berlari anak. Buku di tangan hampir terjatuh.
“Hah, kau duduk sini. Barulah best nak tengok orang main tenis.” Syarifah sudah melabuhkan duduknya. Jantung Ika tak henti berdegup kencang. Melihat pujaan hati dari jarak dekat buat dia tak senang duduk.
“Yang kau berdiri tu kenapa? Kata nak tengok orang main tenis, duduklah.” Ika hanya menurut. Pujaan hati berdiri betul-betul di hadapannya. Cuma jarak mereka jauh.
“Ish, kalau si Hilmi main, mesti syok. Juaralah katakan.” Ika senyum meleret saat pujaan hatinya dipuji begitu. Siapa sahaja yang melihat pasti akan tertawan. Gayanya memang maskulin. Tak berkelip Ika melihat.
Syarifah tepuk tangan. Perlawanan sudah tamat. Ika masih tak berganjak. Matanya masih tertancap pada si jantung hati. Dia menang lagi.
“Ika, kau nak duduk buat apa lagi kat sini? Permainan dah habislah. Jomlah balik.” Bahu Ika dicuit. Pelik melihat Ika yang masih terus duduk.
“Hah? Dah habis ke?” Kelam-kabut dia mengambil buku di kerusi sebelah dan pantas berdiri.
“Aku peliklah dengan kau ni. Takkan obses sangat dengan tenis sampai macam ni sekali? Kau demam ke Ika?” Syarifah geleng kepala. Memang sah kena sampuk kawan dia seorang ini.
“Eh mana ada. Aku tengah fikir benda lain tadi. Dah lah, jom kita balik. Dah nak maghrib ni.” Ika mendahului Syarifah. Lama-lama dia di situ, terbongkar pula rahsianya.
“Hilmi!” Panggil seorang gadis. Berlari-lari anak gadis itu mendapatkan si lelaki. Rambut yang ditocang ekor kuda juga menari-nari mengikut lariannya.
Ika hanya melihat. Meleret senyuman si gadis. Disambut mesra juga oleh si teruna. Nampak mesra sekali. Gadis itu pun cantik. Kenal benar Ika dengan gadis itu. Penolong ketua pengawas sekolah mereka. Mimi namanya. Orangnya memang cantik. Cemburu mula menyerang hatinya.
Hilmi menyambut mesra tuala kecil yang dihulur Mimi. Dia mengesat mukanya yang sudah bermandi peluh. Mimi menghulur pula air mineral. Disambut dengan senyuman meleret oleh Hilmi. Tapi di bibir Ika, senyuman sudah lenyap. Air liur yang ditelan terasa kelat.
“Dah datang dah buah hati pengarang jantung dia. Menyampah betul aku tengok dia orang tu. Asyik berkepit ke hulu ke hilir. Tak padan dengan ketua dan penolong pengawas. Meluat betul.” Syarifah meluahkan rasa tidak puas hatinya. Ika hanya diam. Apa yang boleh dia kata?
“Cepatlah Ika, dah berbulu mata aku tengok dia orang tu. Nak aje aku suruh si Hilmi tu cepat-cepat masuk meminang si minah gedik tu lepas dia orang habis SPM. Kurang sikit dosa.” Laju Syarifah meninggalkan Ika yang masih dalam kesedihan. Memang sahlah si Syarifah ni meluat.
Ika cuba untuk berpaling semula ke arah pasangan tadi tapi hatinya tak mampu. Langkah terus diatur laju. Mungkin dia tidak layak untuk dicintai. Lelaki sehebat Hilmi mana mungkin akan jatuh cinta pada gadis yang teramat biasa sepertinya. Mungkin dia bertuah dalam bab pelajaran tapi bukan dalam bab cinta. Pasrah.
>> 
Peperiksaan akhir tahun hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Dia perlu bersedia daripada sekarang. Walaupun bukan peperiksaan besar seperti SPM, tapi peperiksaan tetap peperiksaan. Mesti sentiasa cemerlang. Set soalan matematik ditelaah dengan tekun. Dia tak mahu menyerabutkan kepalanya dengan perkara lain saat ini. Perihal Hilmi biarkan sahaja.
“Ika, kau ni serius sangatlah kalau study. Rileks sudahlah geng.” Minah ni kalau tak mengacau orang sehari memang tak sah. Ika tak berganjak. Sekarang bukan masa nak bersantai-santai.
“Ika, kau perasan tak sekarang si panjang tu dah tak kacau kau lagi?” Syarifah mengambil duduk di sebelah Ika. Tangannya membelek-belek buku rujukan Sejarah. Masih belum ada perasaan nak menelaah. Biasalah, last minute study juga yang seronok.  
“Baguslah.” Malas nak melayan. Menyelesaikan masalah matematik lebih menarik tumpuannya.
“Agaknya kan, dia dah insaf kut. Ya lah, dah nak SPM. Nanti kalau dia kacau kau lagi, mesti dia takut tak lepas SPM. Hah, tahu pun takut.” Syarifah seronok membuat andaian sendiri. Dah lama dia tak bertekak dengan mamat sengal tu.
“Cepat betul tahun ni habis. Tahun depan kita pula yang ambil SPM. Macam tak bersedia saja lagi.” Syarifah mengeluh perlahan. Ika masih dengan latihan matematiknya. Terus membiarkan Syarifah bercakap sendirian.
“Eh Ika, kau ni bukannya nak dengar apa aku cakap. Dah lah. Kau bercakap ajelah dengan buku kau tu.” Merajuklah pula. Biarkan sahaja. Tak sampai lima minit tu. Nanti dia kacau balik.
Kepalanya tiba-tiba buntu. Jalan kerjanya tersekat di situ. Kata-kata Syarifah sebentar tadi berputar di benaknya. Hujung tahun makin hampir. SPM juga makin hampir. Maknanya dia hanya ada sedikit masa lagi untuk menatap wajah Hilmi. Hatinya rasa sebak tiba-tiba. Pen diletak di atas meja. Dia meraup muka. Mata dipejam.
“Kau kenapa Ika?” Pelik melihat Ika yang tiba-tiba berhenti. Tadi bukan main semangat lagi. Macam nak makan saja buku tu.
“Tak ada apalah. Aku pening kepala sikit.” Buku latihan matematik ditutup. Dia bingkas bangun dan melangkah ke luar bilik. Cuba menghirup angin malam yang terasa sedikit dingin.
Ika mendongak ke atas. Langit hitam yang hanya disinari oleh sinaran bulan kelihatan amat memukau dengan bintang yang membentuk pelbagai buruj. Indah dan uniknya ciptaaan Tuhan. Syarifah makin pelik. Jarang melihat Ika sebegini. Apa dah jadi?
“Mimi, apa si Hilmi tu bagi kat kau tadi?” Antara dengar dan tidak suara dari bilik sebelah. Ika cuba mengamati suara itu seboleh mungkin. Nama Hilmi yang disebut oleh pelajar perempuan itu menarik perhatiannya untuk terus mendengar.
“Mana ada apa-apa. Sibuklah kau.” Mimi cuba berahsia. Senyum bahagia menghiasi bibirnya.
“Alah kau ni dengan aku pun nak berahsia. Macamlah aku tak nampak tadi. Siap berbalut cantik lagi. Apa dia?” Tak mahu mengalah selagi dia tak tahu apa isi kotak cantik yang berbalut ungu tadi.
Mimi beralih ke loker miliknya. Dia mengeluarkan sesuatu. Kotak berbalut kertas berwarna ungu. Si kawan sudah tersenyum menang. Bukan susah pun nak pujuk Mimi. Kotak cantik itu dibuka. Mimi mengeluarkan isinya. Bola kristal yang berisi serbuk berkilat yang seakan-akan salji dan dihiasi dengan dua ekor burung dan sekuntum bunga diletakkan di atas meja.
“Wow, cantiknya. Romantiknya si Hilmi tu. Bertuah betul kau dapat dia.” Ika yang masih mencuri dengar di luar telan liur. Mahu sahaja dia menerjah dan melihat hadiah itu. Cemburu menyerang lagi. Dadanya terasa sesak. Mimi memang bertuah.
Of courselah. Inikan Mimi. Siapa yang boleh tolak. Bukan aku yang bertuah dapat dia, dia tu yang bertuah dapat aku tau tak. Ingat senang ke nak pikat Mimi.” Kedengaran angkuh. Kecantikan yang dianugerahkan buat dia alpa seketika. Si kawan mencebik.
“Ya lah. Siapa yang tak terpikat dengan kau. Cantik, kulit halus, putih gebu.” Puji kawannya separuh ikhlas.
“Tahu tak apa. Dah lah. Aku nak study ni.” Mimi menyimpan semula hadiah yang diterimanya tadi.
Ika ketap bibir. Bertuah sungguh kalau orang cantik. Apa yang mereka mahu pasti dapat. Pilih sahaja siapa yang berkenan di hati. Kepalanya terasa makin berdenyut. Cepat-cepat dia melangkah semula ke dalam biliknya. Badan dihempas ke katil. Syarifah di sebelah bingung. Tak faham dengan apa yang terjadi dengan kawannya yang seorang ini.
“Ika, kau ni kenapa? Datang bulan ke?” Syarifah geleng kepala. Ika tak menjawab. Dia menarik selimut dan menutup mukanya. Mahu melupakan semua yang terjadi. Terasa diri amat bodoh kerana jatuh cinta kepada seorang lelaki yang hebat bernama Mohd Khairul Hilmi. Cukup sampai di sini.

No comments:

Post a Comment