adoiiiiiiiiiii....sunyi sepinye blog nih...apelah tuan punye dia buat eksss???huhuhu...bz??xder maknenye...skolah tengah cuti kan???da nak abes da pun...dan yg paling bestnye...i da xperlu g skola lagi....hahahahahaha...errkkk..best ker??kite tengok ajerla nnt...time skola bukak, mesti meronta2 kat umah..maklumla...da 3tahun jadi pendidik 'serba boleh'...hahah..sangatlah serba bolehkan????
naper xperlu p skolah??hehe...nntla citer...
now...org nk update citer yg agak suam2 kuku nih...agak kurang perhatian berbanding e-novel sebelum ni...mgkin sebab readers pikir yg e-novel ni pun sama cam e-novel lynn allyna sblm ni...jd e-novel sekerat jalan...then kalo nk tahu ending..kena beli novel di pasaran...hohohohohohoho....
dont worry...e-novel kali ni xkan dicetak..kite wat ending kat sini jer...ok tak???
so, dipersilakan tuan/puan/cik adik/cik abang/datuk/datin/atuk/nenek..errrkkkk...ade ke atuk nenek baca novel cinta budak skolah???hohohohohoho....
selamat mmbaca uollllsssss....kisah cinta budak skolah je kot...kuikuikuikui.... :)
Bab 5
Ika menilik penampilannya di cermin. Baju uniform
pengawas yang dipakai dibetulkan. Tudung yang cantik terletak di kepalanya
dibetulkan sedikit agar nampak lebih kemas. Walaupun muka tak cantik, pakaian
kena sentiasa kemas. Muka yang dioles sedikit bedak nampak lebih segar. Dia
mengulum senyum. Hari ini istimewa sedikit.
Stoking disarung ke kaki dan disusuli dengan kasut
berwarna hitam. Bibirnya masih dengan senyuman. Entah kenapa hatinya berbunga
riang hari ini. Kerana mahu bertemu dengan Hilmi kah? Baru dua hari lepas dia
berikrar pada dirinya yang dia akan lupakan lelaki itu. Tapi kenapa hatinya
masih lagi berdegup kencang setiap kali nama lelaki itu melintas kotak
fikirannya?
“Wah, cantik kau hari ini Ika. Kau dah nak pergi ya?”
Syarifah mencuit dagu kawannya. Ada satu kelainan. Ika pakai bedak!
“Eh, jap. Kau pakai bedak ya Ika? Patutlah nampak
berseri-seri aje muka kau. Kenapalah selama ini kau tak pakai bedak. Tengok,
cantik aje kalau macam ni.” Ika hanya senyum. Hanya sapu sedikit bedak, takkan
wajahnya terus berubah. Syarifah sengaja mengusiknya.
“Aku pergi dulu Sya. Nanti lambat pula.” Makin lama,
makin kuat pula nanti si Sya ini mengusik. Langkah diatur tenang walaupun
hatinya berombak kencang.
Syarifah hanya memerhati. Lain benar tingkah si Ika
sejak akhir-akhir ini. Beberapa hari lepas bukan main tension mukanya. Hari
ini, ceria semacam pula. Macam orang bercinta. Cinta? Adakah kawannya itu
dilamun cinta? Tapi dengan siapa? Tak pernah pula si Ika itu menunjukkan minat
pada mana-mana lelaki. Yang dia tahu, buku sahaja.
Syarifah jungkit bahu. Kalau ya, baguslah. Memang
bertuah lelaki itu kalau dapat Ika. Sudahlah pandai, baik hati pula tu.
Walaupun kawannya itu punya kekurangan, semua itu tak penting. Semua orang pun
ada kekurangan. Yang penting ikhlas. Syarifah ukir senyum. Nanti sahaja dia
bertanya dengan Ika.
Ika sudah sampai di dewan makan yang sudah dihias
cantik. Hanya ada beberapa orang pengawas perempuan di hujung sana yang sedang
menyusun hadiah dan sijil. Ika ambil keputusan menunggu dahulu di luar. Dia
terlalu awal mungkin. Jam ditilik. Masih ada dua puluh minit sebelum majlis
bermula.
Dari jauh dia dapat melihat beberapa orang pengawas
terkedek-kedek berjalan ke arah kantin. Pengawas-pengawas tingkatan tiga. Ika
melempar senyum bila disapa oleh mereka. Ika melangkah masuk apabila kelihatan
sudah ramai pengawas yang memenuhi ruang dewan makan.
“Hai Kak Ika. Mesti akak terpilih untuk jadi penolong
ketua pengawas tahun depan. Akak saja yang paling layak.” Ika hanya senyum
dipuji oleh juniornya.
“Mana ada Farhan. Ramai lagi yang layak. Akak lebih suka
berada di bawah. Tak pandai nak arahkan orang.” Sentiasa dengan sikap rendah
dirinya.
“Eh, abang Hilmilah. Jom kita pergi sana.” Bisik salah
seorang daripada mereka. Sepantas kilat jantung Ika berdegup. Dia berpaling ke
belakang. Memang Hilmi ada di situ. Bersama kawan-kawan pengawasnya yang lain.
Langkah Ika kaku. Memandang lelaki sekacak itu buat dia lemah. Hilmi nampak
sangat matang dengan kot pengawas dan rambut disisir rapi.
“Ika, apa tunggu lagi. Jom kita ke sana.” Tegur salah
seorang rakannya. Bergetar langkahnya. Dia mengambil tempat. Agak jauh ke
belakang tapi masih jelas untuk menatap wajah si jejaka. Tiba-tiba nafasnya
terasa sesak. Mimi ada di situ. Mereka berbual mesra. Jelas sekali kelihatan
senyuman bahagia Hilmi.
‘Berapa kali nak cakap, tak guna simpan perasaan begini.
Sudahnya kau juga yang kecewa.’ Ika mengutuk dirinya sendiri. Muka dipaling ke
arah lain. Tak sanggup melihat kemesraan yang merobek jiwa remajanya itu.
“Semua yang hadir diharap dapat mengambil tempat
masing-masing. Kita akan mulakan majlis kita sebentar lagi.” Suara garau milik
pengacara majlis membuatkan seisi dewan senyap seketika.
Majlis jamuan tahunan badan pengawas berjalan lancar.
Beberapa anugerah dan penghargaan buat pengawas yang berjasa juga diberikan.
Ika tak dapat mengelak dari memandang pujaan hatinya ketika lelaki itu naik ke
pentas menerima anugerah. Hati kalau dah suka, susah nak benci.
“Tahniah.” Hampir terjatuh pinggan yang dipegang. Ika
angkat muka. Mulutnya terkunci rapat. Dia tak salah dengarkan? Senyum yang cuba
diukir terasa sumbang. Hatinya mahu menyambut ucapan itu tapi lidahnya begitu
kelu.
“Kamu ada peluang yang cerah untuk menyandang jawatan
penolong ketua pengawas tahun depan.” Satu penghargaan buat dirinya. Makin kelu
lidahnya. Hilmi sedang memujinya. Senyuman dipamer selebar mungkin.
“Terima ka…”
“Hilmi, jom kita duduk kat sana.” Tak sempat Ika nak
menjawab. Kekuatan yang ada jatuh merudum. Mimi terlebih dahulu menarik
perhatian Hilmi. Sekali lagi dia terkecewa. Hilmi sudah hilang dari pandangan
matanya mengikut langkah sang kekasih hati.
Tapi tak apa. Sebaris ucapan dan pujian itu sudah cukup
buat hatinya yang tadi layu tak bermaya mekar mewangi semula. Tak pernah
terlintas di hatinya Hilmi akan menegurnya begitu. Dunia terasa ceria. Kuih
lapis disua ke dalam mulut. Serta-merta perutnya terasa lapar. Memang begitu
kalau dah gembira, selera pun membuak-buak.
>>
Ika menulis sesuatu di dalam buku laporan bertugas. Hari
terakhir menjalankan tugas bagi tahun ini. Minggu depan, peperiksaan akhir
tahun akan bermula. Derap kaki seseorang buat dia segera berpaling. Buat
kesekian kalinya, nafasnya berhenti berhembus. Sepasang mata milik Hilmi
dipandang tanpa beralih.
“Zulaikha, good
luck untuk tahun depan. Kami yakin kau mampu memimpin barisan pengawas.”
Ika mengalih pandangannya kepada rakan di sebelah Hilmi. Langsung tak perasan
ada orang lain di situ. Mukanya sudah membahang malu.
“Thanks.”
Segera kakinya melangkah pergi. Tak sanggup berlama-lama di situ. Dadanya sakit
menahan degupan yang maha kencang. Peluh memercik di dahinya. Kerap benar
kebelakangan ini dia bertembung mata dengan Khairul Hilmi.
Ika teringat sesuatu. Dia meraba-raba poket bajunya.
Bibir ukir senyum seraya kepala digelengkan. Habis semuanya lupa gara-gara
seorang lelaki bernama Khairul Hilmi. Pennya tertinggal semasa menulis laporan
tadi. Ika berpatah balik.
“Mi, kau tak pelik ke tengok si Zulaikha tu? Aku
rasakan, dia syok kat kau. Cuba kau tengok daripada cara dia pandang kau.
Langsung tak berkelip.” Si kawan cuba meluahkan rasa hatinya dan rasanya dia
tak silap. Zulaikha memang ada hati pada Hilmi.
“Gila kau. Syok apanya. Tak kuasa aku nak layan.” Hilmi
menulis sesuatu dalam buku laporan. Tak ada masa dia nak layan benda-benda
remeh sebegitu.
“Cuba kau tengok betul-betul. Cara dia pandang kau tu
lain macam aje.” Masih cuba menyakinkan Hilmi.
“Aku tak ada masa nak layan benda macam tu. Kalau ya pun
dia syok kat aku, lantaklah. Aku nak buat macam mana. Kalau setakat perempuan
macam tu, aku tak hairan. Walaupun tak ada perempuan lain dalam dunia ni, belum
tentu aku akan pilih dia, tau?” Begitu rendah pandangan Hilmi terhadap seorang
gadis bernama Siti Zulaikha. Terlalu hinakah gadis itu? Apa salah gadis itu
padanya?
“Hish, kejam sungguh kau ni. Nanti jangan kau menyesal
sudahlah. Biasanya yang kita benci tu yang kita akan dapat.” Terlalu ego
kedengaran di telinganya. Walaupun Zulaikha bukan tergolong dalam kalangan
gadis cantik, tetapi tak sepatutnya dia dihina hingga sebegitu.
“Ah, dah lah. Jom masuk kelas.” Di sebalik dinding batu
itu, tuan empunya badan hanya mampu bersandar. Mengharapkan belas ihsan dinding
batu yang kukuh menampung badannya yang hampir rebah. Lemah lututnya. Begitu
hina dia di mata Hilmi rupanya. Air mata yang mahu merembes ditahan semampu
mungkin. Jangan menangis kerana lelaki. Itu prinsipnya.
“Aku benci kau Hilmi. Aku benci kau sampai bila-bila.”
Hatinya bulat. Siapa Hilmi untuk menghinanya sebegitu rupa. Dia tak ada hak.
Walaupun sebelum ini ramai yang menghinanya kerana rupa parasnya, dia tak
kisah. Semua itu tak berbekas di hatinya.
Tapi bila lelaki yang selama ini dipuja dan disanjung
meletakkan dia pada tahap terendah, dia tercabar. Dia lebih rela dicemuh kerana
tak cantik daripada dikatakan tidak layak untuk dicintai. Itu sudah
keterlaluan. Dia juga ada hati dan perasaan untuk merasa itu semua.
“Ika!” Suara Syarifah bergema. Segera Ika membetulkan
badannya. Kekuatan diri segera dikembalikan.
“Kat sini rupanya kau. Penat aku cari. Kau pergi mana
tadi?” Syarifah melepaskan lelahnya. Tudung dikibas-kibas.
“Aku ada kat sini aje. Kan aku bertugas tadi. Kau ni
macam baru hari ini kenal aku.” Matanya melilau-lilau mencari pen yang
tertinggal sebentar tadi. Sudah tiada. Dia mengeluh hampa. Hilang lagi.
“Ika, kau nak pergi mana pula ni?” Penatnya masih belum
hilang. Terpaksa mengejar Ika kembali.
“Nak balik kelaslah. Kau ni kenapa? Demam ya?” Pelik
sungguh. Dah tentu waktu pembelajaran sekarang, mestilah nak masuk kelas.
“Bukan aku yang demam. Kau tu yang demam. Angin satu
badan ni kenapa?” Langkahnya laju membuntuti langkah Ika di hadapan. Entah
tempias angin laut mana yang terkena pada kawannya ini.
“Mana ada aku marah. Kau tu yang tanya bukan-bukan.”
Syarifah kerut dahi. Tanya bukan-bukan? Salah ke dia tanya soalan begitu? Makin
tak faham.
Ika membetulkan duduknya. Buku rujukan Kimia terus
dibuka. Pen di tangan diputar-putar. Sebenarnya, mindanya bukan pada buku yang
dibaca. Masih melayang pada peristiwa tadi. Hatinya geram bercampur sedih.
Lelaki ego itu memang melampau.
Syarifah terus memerhati tingkah laku Ika. Dia tahu,
pandangan Ika bukan pada buku itu. Pandangannya sudah tembus hingga ke meja.
Entah apa yang mengganggu fikiran sahabat baiknya itu. Dia mahu tahu.
“Ika, aku nak tanya sikit boleh?” Ika tak menjawab.
Tiada reaksi langsung.
“Ika, kau dengar tak aku bercakap dengan kau ni?” Tubuh
Ika digoncang perlahan. Pantas Ika berpaling. Sudah jauh dia mengelamun.
“Kau ada masalah ya?” Tanya Syarifah prihatin.
“Eh, mana ada.” Ika tak mahu sesiapa pun tahu
termasuklah Syarifah walaupun dia tahu kawannya itu boleh diharap. Tapi kali
ini memang dia tak boleh bagitahu. Perkara ini terlalu rahsia.
“Habis tu kenapa aku tengok kau macam ada masalah saja.
Tadi tu, aku tahu kau bukannya baca buku. Kau fikirkan benda lain kan?” Serkap
Syarifah. Jarang benar Ika berahsia dengannya.
“Pandai aje kau ni. Aku baca bukulah. Cuma aku tak
berapa faham part ni.” Ika
mengerutkan dahi tanda dia memang tidak faham.
“Tak apalah kalau kau tak mahu cerita dengan aku.
Maklumlah, orang dah ada yang tersayang.” Syarifah terus-terusan membuat
andaian yang menyentakkan jantung Ika. Jelas sangat ke kerut pada wajahnya?
“Apa kau cakap ni Sya? Tak faham aku. Apa pula yang
sayang-sayangnya?” Suara pelajar lain di dalam kelas makin jelas kedengaran.
Cikgu Bedah tak ada hari ini. Guru yang mengganti pun tak dapat masuk. Apa
lagi, berpestalah semua orang. Tak sedar-sedar yang peperiksaan akhir tahun
hanya tinggal seminggu.
“Kau dah jatuh cinta ya?” Terus-terang lebih senang.
Sepantas kilat Ika memusingkan kepalanya ke arah Syarifah di sebelah. Melopong
mulutnya. Mana minah kepoh ini dapat tahu? Dia pernah mengigau ke malam-malam?
“Bercinta apa pula ni Sya? Kau boleh tak jangan cakap
perkara mengarut macam tu. Lebih baik kau buka buku, baca. Minggu depan dah nak
exam. Kalau kau tak nak menangis,
baik kau baca buku tu. Lagi banyak faedahnya.” Bebel Ika. Pandangannya dialih
semula ke arah buku Kimia yang masih terbuka. Degupan jantungnya jelas
kedengaran.
“Habis tu, betul ke tak kau dah jatuh cinta?” Buku yang
dibuka oleh Ika tadi dibiarkan sahaja. Dia masih berminat dengan soalannya
tadi.
“Sya, boleh tak kau baca aje buku tu? Aku tak ada masa
nak bercinta-cinta ni lah. Lebih baik aku baca buku daripada buat perkara
mengarut tu.” Ika mengeluh perlahan.
“Lagipun, lelaki manalah yang nak kat perempuan tak
cantik macam aku ni.” Perlahan tapi masih jelas di pendengaran Syarifah.
Kata-kata itu buat Syarifah rasa bersalah. Pasti Ika terasa hati.
“Ika, sorrylah.
Aku bukannya sengaja nak buat kau marah. Aku cuma nak tahu saja sebab kau
nampak lain macam saja kebelakangan ni. Macam orang angau pun ada. Macam orang
putus cinta pun ada. Itu sebab aku tanya. Aku minta maaf ya Ika kalau kau
terasa.” Tangan kawannya diraih. Betul-betul minta maaf. Tak terniat langsung
nak buat Ika rasa begitu.
“Siapa kata kawan aku ni tak cantik? Hitam manis, lesung
pipit, hidung mancung. Cantiklah tu.” Usik Syarifah. Cuba untuk menceriakan
semula sahabat baiknya itu. Ika hanya senyum sedikit. Tak makan pujian. Dia
tahu Syarifah hanya mahu mengambil hatinya.
‘Maafkan aku Sya. Bukan aku tak nak bagitahu kau tapi
aku malu.’
p/s::hrrrrrrrmmmmm...cam bdk skolah tak???kuikui...layankan ajeler...korang nak lg tak???sila angkat kening...oppppssss...camner i nk nampak??komenla tu maknenye...xfaham2 lagi???hahahahaha...gurau jer...kepala tengah tingtong nih...ok...lps ni sesama kita angkt kening owkeeeehhhh.... :)
eeee..hilmi nie prasan sungguh la mentang2 la org byak nk usha dia..smbong btul hilmi nie mghina snga
ReplyDeleteeee..suke ati je mghina org ingat kau bgus la
ReplyDelete